Thursday, 27 December 2012

RDS (Bab 35&36)


BAB 35

MARDIYAH keseorangan pagi itu di dapur kerana menyediakan sarapan. Baharu sekejap tadi Mak Cik Aminah datang bersama Pak Cik Idris sekadar untuk melawat Ammar dan Mardiyah. Pasangan suami isteri tahu bahawa dia adalah isteri kepada Ammar walaupun pada mulanya Mardiyah terpaksa menyorok di dalam bilik supaya tidak kelihatan di hadapan Mak Cik Aminah dan Pak Cik Idris.

Namun pengakuan Ammar pada pasangan itu bukan sahaja mengejutkan mereka malah turut mengejutkan Mardiyah kerana baharu pertama kali lelaki itu mengaku bahawa dia adalah isteri Ammar. Masih segar di ingatan Mardiyah senyuman yang Ammar lemparkan kepadanya. Cukup ikhlas dan mempersonakan.

Walaupun telah hampir lima bulan bekerja dengan Ammar dan telah hampir tiga bulan dia menjadi isteri rahsia Ammar namun tadi baharu pertama kali dia menatap wajah Ammar sedalamnya. Sewaktu lelaki itu sedang leka berbual dengan Pak Cik Idris dan Mak Cik Aminah, Mardiyah mengambil kesempatan itu untuk meneliti wajah kacak milik suaminya itu. Tiba-tiba Mardiyah tersenyum sendirian sambil mengacau bubur jagung yang di masak di dalam periuk.

Memang Mardiyah tidak nafikan wajah Ammar cukup sempurna di matanya dengan rambut lelaki itu yang hitam keperangan, keningnya yang lebat sesuai dengan matanya yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Anak mata lelaki itu memang menawan pada pandangan Mardiyah mungkin disebabkan bola mata itu yang berwarna coklat cair. Hidung lelaki itu yang mancung ditambah pula dengan bibirnya yang sensual dengan warna kulit yang putih kemerahan ditambah pula dengan lesung pipit yang melekuk di pipi kirinya membuatkan lelaki itu menjadi pujaan setiap gadis di tempat kerjanya.

Bukannya Mardiyah tidak tahu ramai anak- anak gadis yang mahu sangat berdampingan dengan Ammar namun mereka terpaksa membatalkan hasrat itu kerana hati lelaki itu telah dimiliki oleh Lydia, seorang model yang terkenal. Tetapi bagi Mardiyah pula, untuk berada di samping lelaki hebat seperti Ammar tidak pernah terlintas atau terfikir dalam otaknya sebaliknya dia tidak sabar- sabar untuk menunggu tempoh tiga bulan itu tamat supaya dia boleh beredar dari hidup Ammar yang amat menyesakkan jiwanya. Bagi Mardiyah dia tidak layak untuk menyandang gelaran isteri untuk lelaki yang setampan itu.

Namun sejak kebelakangan ini fikiran Mardiyah sering terganggu dengan sikap Ammar yang dianggap sudah jauh berubah. Jika dahulu lelaki itu seorang yang menyakitkan hati, seorang yang menjengkelkan dan seorang yang kejam tapi sekarang watak lelaki itu seolah- olah sudah berubah. Sikap lelaki itu sukar diramalkan oleh Mardiyah. sekejap baik sekejap dingin dan kadang- kadang sikap ambil berat Ammar membuatkan Mardiyah tertanya- tanya seberapa prihatinnya lelaki itu terhadap dirinya? Apakah perasaan sebenar lelaki itu terhadapnya?

Mardiyah masih tidak dapat melupakan peristiwa di pasaraya semalam, lelaki itu cemburu apabila dia menyebut nama lelaki lain di hadapannya padahal nama Baim Wong yang disebut itu adalah pelakon Indonesia yang terkenal. Disebabkan itu Mardiyah menjadi keliru dengan sikap cemburu Ammar. Perlukah lelaki itu cemburu sedangkan dia tiada apa- apa perasaan pada Mardiyah? Bukankah cemburu itu tanda sayang?

Argghhh!

Hati Mardiyah menjerit. Jika niat lelaki itu hanya untuk mempermainkan perasaannya, memang lelaki itu telah berjaya membuat Mardiyah rasa dihargai. Sikap prihatin dan romantik lelaki itu kadangkala terpancar walaupun lelaki itu cuba melindunginya. Tiba- tiba Mardiyah menyentuh pipinya yang telah beberapa kali menjadi mangsa ciuman nakal lelaki itu. walaupun sudah dimarahi namun Ammar tetap tidak mengendahkannya.

Bunyi bubur yang mengelegak mengejutkan Mardiyah daripada lamunannya. Ish kenapa aku teringatkan dia pula? Aku bukan penting pun dalam hidupnya. Bisik hati Mardiyah. Mengacau lagi bubur jagung tersebut namun secara tiba- tiba telinganya dapat menangkap bunyi alunan piano yang memainkan irama lagu yang Mardiyah tidak dapat kenalpasti tajuknya.

Selepas memadamkan api, Mardiyah mengikut jejak alunan muzik itu. sungguh mendayu- dayu dan menyentuh kalbu apatah lagi alunan piano itu dinyanyikan oleh seseorang. Mardiyah kenal suara itu tetapi kenapa lagu yang dinyanyikan begitu menyentuh kalbu Mardiyah. dengan mengikut gerak kaki Mardiyah menuju ke tingkat atas.

 

 

“DEMI semua yang aku jalani bersamamu
kuingin kau jadi milikku
kuingin kau disampingku tanpa dirimu ku hanya manusia tanpa cinta
dan hanya dirimu yang bisa
membawa syurga dalam hatiku
kuingin engkau menjadi milikku
aku akan mencintaimu
menjagamu selama hidupku
dan aku kan berjanji
hanya kaulah yang kusayangi
ku akan setia disini
menemani…sentuhanmu
bagaikan tangan sang dewi cinta
yang berhiaskan bunga asmara
dan membuatku tak kuasa, di setiap arung gerakku
tersimpan di hati kecilku
bahwa dirimu terindah untukku
selama ku masih bisa bertahan
selama ku masih bisa bernafas
selama Tuhan masih mengizinkan
kuingin selalu menjagamu..”

Ammar mengalunkan lagu itu dengan penuh perasaan kerana melalui lagu itu dia dapat mengungkap perasaannya yang sebenarnya. Setiap petikan piano yang dimainkan seolah- olah memberi kepuasan dalam diri Ammar yang masih mencari- cari erti perasaannya yang sebenar. Dia memejamkan mata buat seketika sambil menyanyikan bait- bait lirik yang dirasakan cukup menyentuh jiwa lelakinya. Namun saat matanya dipejamkan seraut wajah terlayar ke ruang fikirannya yang sememangnya sedang memikirkan gadis itu.

Sedang asyik dia melayan fikiran tiba- tiba Ammar terdengar tepukkan dari arah belakang membuatkan dia tersentak. Lantas dia berpaling. Kelihatan Mardiyah sedang bersandar di tepi pintu sambil merenung ke arahnya. Gadis itu kelihatan santai dengan memakai skirt labuh berwarna hitam dipadankan dengan blaus berwarna merah. Gadis itu juga tidak lupa mengenakan tudung dikepalanya walaupun telah Ammar telah mengingatkan bahawa jika mereka tinggal berdua, tidak perlulah gadis itu mengenakan tudung memandangkan mereka masih suami isteri yang sah walaupun dia sendiri tidak mengiktiraf perkahwinan itu. Tetapi nampaknya isterinya itu masih berdegil.

“ Wow, hebatnya awak. Saya tak pernah tahu pun yang awak tahu main alat muzik. Tak sangka awak ni seorang yang seni.” Ujar Mardiyah menyedarkan Ammar ke dunia sebenar. Dia tersenyum dan meneruskan petikan pianonya.

“ Kan aku pernah cakap pada kau, luangkan masa dengan aku untuk beberapa hari dan kau akan kenal siapa diri aku yang sebenar.” Balas Ammar bersahaja.

Mardiyah hanya melemparkan senyuman yang manis. Dia mendekati Ammar yang sedang duduk di bangku menghadap piano yang berwarna hitam itu. Nampak berkilat.

  Tapi kenapa sewaktu kat KL tak pernah pun saya tengok awak main piano ni malah masa saya bermalam kat rumah awak, saya tak nampak pun bayang piano ni?” soal Mardiyah lagi bila soalan pertamanya dibiarkan tergantung.

“ Memang sengaja aku letakkan piano ni kat rumah rehat ini supaya bila aku kat KL aku boleh tumpukan perhatian aku pada kerja dan bila aku datang sini aku boleh rehatkan fikiran aku dengan main piano ni. Kau pernah main benda alah ni?” Tanya Ammar pula. Wajah Mardiyah yang bebas tanpa make up direnung penuh minat.

“ Manalah saya pernah main semua ni. Bukan saya pandai pun. Pandai menjahanamkan bolehlah.” Gurau Mardiyah. dia ketawa kecil.

“ Awak ajarkan saya boleh? Macam seronok je tengok awak main..” Pinta Mardiyah berharap.

Ammar mencebikkan bibir.

“ Buat apa aku ajar kau. Bukan kau pandai pun..” cebik Ammar.

“ Alah awak ni kedekutlah. Bukan saya nak ambil kelas dengan awak pun setakat ajar- ajar tekan je takkan tak boleh.” Rungut Mardiyah tidak berpuas hati.

“ Tak boleh. Nanti jahanam piano aku ni. Bukan murah tau aku import piano ni.” Bangkang Ammar tegas.

Mardiyah mendengus. Dasar kedekut tahi hidung payau. Marah Mardiyah dalam hati.

“ Baiklah kalau awak tak nak ajar saya tak mengapa, saya mintak tolong Raqeem ajarkan. Mesti dia lebih hebat daripada awak..”ugut Mardiyah lantas ingin berlalu.

Demi mendengar nama Raqeem disebut oleh Mardiyah, dengan pantas Ammar memaut lengan Mardiyah menghalang daripada gadis itu daripada berlalu. Dia cukup tidak suka kalau Mardiyah menyebut nama lelaki lain di hadapannya apatah lagi nama Raqeem. Pesaing terdekatnya.

“ Tak payah nak mintak tolong dengan orang lain, aku boleh ajarkan. Sekarang duduk.” Arah Ammar sambil menarik tangan Mardiyah supaya duduk di hadapannya manakala dia berdiri dibelakang gadis itu.

Mardiyah tersenyum nakal. Tahu pun takut. Desis hati Mardiyah sebelum dia menurut arahan Ammar. Dia duduk di hadapan lelaki itu. Tetapi jantungnya tidak berhenti berlari apabila Ammar merapatkan tubuh sasanya ke belakang Mardiyah. Jari- jemari lelaki itu pula memegang jari jemarinya yang runcing lalu diletakkan ke atas permukaan piano tersebut. Berderau darah wanitanya bila Ammar sengaja merapatkan wajah ke pipinya. Ya ALLAH kuatkan iman aku. Doa Mardiyah dalam hati.

“ Lagu apa yang awak mainkan tadi? Sedap, suara awak pun boleh tahan. Kenapa tak jadi penyanyi je?” tanya Mardiyah cuba meredakan rasa hatinya yang tak menentu bila jari- jarinya masih  berada dalam genggaman tangan itu.

“ Ku Ingin Kamu. Sejak kebelakangan ini memang aku suka lagu itu. Lagu tu seolah- olah menceritakan isi hati aku yang tak dapat aku luahkan.” Ujar Ammar sambil merenung anak mata yang hitam pekat itu. dia dapat merasakan ada getaran yang maha hebat terjadi bila anak mata mereka bertembung namun Ammar hanya menayangkan sikap selamba.

“ Kalau macam itu, awak ajarkan saya lagu tu.” pinta Mardiyah. dia mengalihkan pandangan ke arah lain.

Ammar hanya mendiamkan diri dan secara perlahan- lahan dia mengajar Mardiyah cara- cara memetik piano dengan betul. Ternyata Mardiyah memang seorang yang cepat belajar. Tidak sampai lima minit Ammar menunjukkan cara, Mardiyah sudah pun dapat menekan piano dengan betul.

Lantas, dengan lembut Mardiyah mengalunkan bait- bait lagu yang telah dinyanyikan oleh Ammar sebentar tadi dengan diiringi Ammar selaku back up singer. Saat itu Ammar dapat rasakan dia sungguh bahagia bila Mardiyah berada di dekatnya. Kalau ikutkan perasaannya yang bergelora saat ini memang gadis itu dipeluknya namun dia sedar, dia harus menghormati Mardiyah memandangkan gadis itu bukan miliknya.

“ Selama ku masih bisa bertahan, selama ku masih bisa bernafas, selama Tuhan mengizinkan, ku akan selalu menjagamu..” bisik Ammar perlahan ke telinga Mardiyah.

Mardiyah tersentak. Perbuatannya terhenti lantas dia berpaling pada Ammar yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya di bangku yang sama. Wajah lelaki itu begitu hampir dengannya membuatkan Mardiyah bertambah resah ditambah dengan renungan anak mata hazel itu yang begitu menawan membuatkan lidah Mardiyah kelu untuk berkata- kata.

“ Hanya dirimu yang bisa membawa syurga dalam hatiku..” ucap Ammar lagi penuh dengan maksud yang tersirat. Hanya dia yang tahu.

Mardiyah mengalah, perlahan- lahan pandangannya ditundukkan ke lantai. Jari jemarinya dipatah- patahkan menandakan dia sedang dilanda kegelisahan saat itu kerana Ammar masih menatap wajahnya. Dia jadi gementar.

“ Am, saya rasa kelas kita hari ini sampai sini sahaja, saya nak turun dahulu. Sarapan dah siap kalau awak nak makan, turunlah.” Ujar Mardiyah lantas berdiri.

Saat dia ingin melangkah sekali lagi jari- jemari runcingnya di raih oleh Ammar. Mardiyah memakukan langkah dan berpaling mengadap Ammar yang sudah berdiri berhadapan dengannya.

“ Kenapa?” tanyanya dengan kening terangkat.

“ Aku nak cakap sikit dengan kau. Pasal tudung ni..”

“ Kenapa dengan tudung saya?” tanya Mardiyah tidak puas hati.

“ Semalam aku dah cakap, aku tak nak kau pakai tudung kalau kau tinggal berdua dengan aku. Bila luar rumah aku tak larang kau pakai tudung ni but bila tinggal berdua dengan aku please make sure kau tinggalkan tudung ni sekejap. Lagipun aku ni dah jadi suami kau dan antara kau dengan aku dah tak ada batas aurat yang membolehkan kau berdosa kalau membukanya.” Tutur Ammar petah.

Perlahan- lahan tangannya membuka pin tudung Mardiyah dengan selamba. Tudung yang dipakai Mardiyah sebentar tadi diletakkan di atas bangku. Dia kembali merenung wajah Mardiyah yang ayu dengan rambutnya yang panjang dilepaskan hingga melepasi paras bahu.

Ammar tersenyum puas manakala Mardiyah terkedu dan terkelu dengan perbuatan Ammar.

“ Tapi awak tak pernah anggap saya ni is…”

“ Isteri. Itu maksud kau?” pintas Ammar pantas.

Dia memegang kedua belah bahu isterinya dan merenung anak mata hitam itu sedalam- dalamnya.

“ Walaupun dulu aku tak pernah terima kau sebagai isteri aku tetapi itu tidak bermakna hubungan kita tidak sah. Kau masih lagi halal terhadap aku sampailah tiba masanya aku lepaskan kau. Itupun kalau aku nak lepaskan kau..” ucap Ammar bersahaja.

“ Apa maksud awak? Saya tak faham.” Tanya Mardiyah dengan dahi berkerut.

“ Aku rasa tak perlu lagi aku terangkan. Bila tiba masanya kau akan tahu juga. Tetapi aku cuma nak nasihatkan kau tak payah nak berangan nak bersanding dengan Raqeem atau dengan mana- mana lelaki pun sebab aku takkan benarkan.” Tegas Ammar lantas berlalu meninggalkan Mardiyah yang terkebil- kebil.

‘ Apa maksud lelaki itu?’

 

BAB 36

“ EH, Am, kau buat apa kat sini?” Tegur Raihan sewaktu terlihat Ammar di  Restoran Cahaya Bulan malam itu.

Ammar berpaling bila dia ditegur daripada belakang. Kelihatan Raihan berdiri di hadapannya sambil menjinjit dua beg plastik nasi bungkus. Dia tersenyum ramah.

“ Kau rupanya Han aku ingatkan siapa tadi. Aku ada kerja kat sini tak sangka pula boleh jumpa kau kat tanah tinggi ni. Kau buat apa kat sini?” soal Ammar ramah.

“ Aku bercuti dengan isteri aku. Kau pula dah lama tak call aku. Macam sombong je dengan aku. Dah lupa ke persahabatan kita.” Tutur Raihan dengan niat bergurau.

Ammar ketawa kecil. Memang dia tidak pernah lupa dengan Raihan, satu- satunya kawan baik yang dia ada cuma disebabkan kerja membuatkan masa Ammar untuk melepak dengan Raihan agak terbatas. Raihan pun sepertinya juga kerjaya seorang polis yang berjawatan inspektor memang agak sibuk.

“ Eh tak adalah, aku tetap ingat pada kau cuma kau tahulah aku sibuk sikit sejak dua menjak ni banyak sangat kerja kat hotel itu yang aku kena pantau. Bulan depan aku kena pergi ke Australia pula sebab ada seminar kat sana. Entah bila aku boleh duduk rileks.”

“ Itulah kau tak nak kahwin. Kalau kau kahwin dan ada isteri mesti kau tak penat sangat macam ini. Sekurang- kurangnya isteri boleh menjadi penyejuk hati bila kau penat balik dari kerja.” Ucap Raihan penuh makna.

Ammar tersedak. Isteri? Aku dah ada isterilah.. gumam hatinya dalam diam.

So macam mana hubungan kau dengan Lydia, masih bertahan ke?” tanya Raihan lagi.

Dia melabuhkan duduk di sebelah Ammar yang kelihatan santai berbaju t- shirt dan berseluar jeans. Memang Ammar yang dikenalinya seorang yang simple dalam berpakaian tetapi bila ke pejabat atau ke mana- mana majlis, penampilan Ammar boleh membuatkan jiwa- jiwa anak gadis bergelora. Senyuman lelaki itu sahaja sudah cukup untuk mengoyahkan iman wanita. Tidak hairanlah sewaktu di sekolah dahulu ada budak lelaki yang turut tertarik pada Ammar. Nasib baiklah kawannya itu normal.

“ Aku dengan dia okey- okey je cuma kitaorang selalu jugak bergaduh. Sampaikan aku dah naik bosan dengan perangai dia yang terlebih manja dengan aku.” Komen Ammar. Dia mengacau-ngacau straw yang berada di dalam cawannya. Wajah jelita Lydia terlayar ke ruang mata menggantikan wajah Mardiyah yang selama ini menghuni ruang fikiran.

“ Kenapa kau tak putus je dengan dia? Cari orang lain. Setiausaha kau tu ke?”

Sengaja Raihan menekankan perkataan setiausaha itu agar Ammar faham apa yang cuba dia sampaikan. Raihan mengesyaki ada sesuatu yang Ammar cuba sembunyikan daripadanya memandangkan lelaki itu kelihatan tergagap- gagap untuk menjawab soalan yang telah diajukan kepada lelaki itu sewaktu setiausaha Ammar dimasukkan ke hospital tempoh hari.

Ammar menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Berpeluh dahinya bila ditanya dengan soalan yang sebegitu. Perlukah dia berterus terang pada Raihan bahawa dia telah menikahi Mardiyah setiausahanya.

“ Err, kau ni kenapa nak libatkan Mardiyah pula dalam cerita kita ni?”

“ Sebab aku rasa macam ada yang tak kena je antara kau dengan dia. Hari itu bukan main risaunya kau pada dia semasa dia masuk ke hospital. Setahu aku kau memang tak pernah ambil berat pada mana- mana gadis sampaikan sesetengah perempuan cakap yang kau ni tak romantik. Tetapi masa Mardiyah itu masuk hospital, bukan main gelabahnya kau.” Raihan membuat penilaian. Matanya difokuskan tepat pada laman wajah Ammar yang putih kemerahan. Kelihatan kegelisahan di wajah kacak itu.

“ Aku risau tak bermakna aku ada apa- apa hubungan dengan dia, mungkin sekadar majikan dan pekerja sahaja. Itu yang membuatkan aku risau pada dia.” Terang Ammar. Sebolehnya dia mahu menutup segalanya daripada dapat dihidu oleh Raihan. Lelaki itu licik dalam menyoal maklumlah polis. Salah jawab, akan mengakibatkan dia terperangkap.

“ Ye ke? Tapi aku tak rasa macam itu.”

“ Betul Han aku dengan dia tak ada apa- apa hubungan pun.” Nafi Ammar lagi. wajahnya dipalingkan ke arah lain. Hatinya turut berdebar bila Raihan merenung matanya seolah- olah cuba mencari kebenaran yang cuba disembunyikan.

Namun perbualan mereka diganggu dengan kedatangan pelayan restoran yang membawa satu lagi bungkusan nasi goreng kampung yang dipesan untuk Mardiyah. 

“ Encik, ni satu lagi nasi goreng kampung yang encik minta.” Ujar pelayan wanita itu sambil tersenyum ramah. Selepas mengambil bil, pelayan itu pun meminta diri meninggalkan Raihan dan Ammar yang sedang tercengang.

“ Banyak kau beli Am, sampai dua bungkus siapa nak makan?” tanya Raihan penuh curiga.

Ammar menelan air liur berkali- kali. Kantoi!

“ Aku datang dengan Mardiyah. bungkusan ini untuk dia.” Beritahu Ammar tersekat- sekat.

“ Mananya dia aku tak nampak pun. Kau tinggal dekat hotel ke? Setahu aku kau mesti bermalam kat rumah rest house kau kan? Takkan kau tinggal sekali dengan Mardiyah, tak manis tu.”

Ammar tercekik mendengar asakan demi asakan daripada Raihan yang dirasakan cukup menyesakkan jiwanya yang sudah ternyata sesak. Apa aku nak jawab ni?

“ Kau jangan salah faham Han, memang aku datang dengan Mardiyah dan memang aku tinggal sebumbung dengan Mardiyah tetapi aku ada sebab…”

“ Sebab apa? Kau tahu tinggal sebumbung dengan wanita yang bukan muhrim adalah satu dosa besar yang boleh membawa kepada zina. Takkan itu kau tak tahu?” tempelak Raihan membuatkan muka Ammar merah.

“ Kau jangan tuduh aku begitu Han, aku ada sebab kenapa membolehkan aku tinggal sebumbung dengan Mardiyah sebab dia adalah….” Kata- kata Ammar tergantung di situ. Dia mengesat peluh yang memercik di dahi.

“ Adalah apa Am?” sergah Raihan.

“ Dia isteri aku!” ucap Ammar separuh terperanjat kerana disergah oleh Raihan.

What?! Biar betul Am?” Raihan terkejut. Hampir sahaja dia terloncat daripada kerusi yang didudukinya kerana terlampau terkejut mendengar pengakuan daripada mulut Ammar.

Ammar mengangguk lemah. Dia terpaksa mengaku kerana keadaan yang memaksanya. Lagipun memang dia memerlukan seorang untuk meluahkan masalahnya.

“ Bila? Kenapa kau tak jemput aku?”

“ Dah hampir dua bulan lebih. Bukan kau sahaja yang aku tak jemput tapi semua orang tak tahu yang aku dah menikah dengan Mardiyah. malah sampai sekarang orang sekeliling aku masih menganggap yang aku ni kekasih Lydia padahal yang sebenarnya aku dah ada isteri.” Ammar berterus terang. Dia meraup mukanya berkali- kali.

“ Apa yang membuatkan sampai kau terpaksa sorokkan perkahwinan kau ni? Bukankah perkahwinan ini perkara yang suci?” Tambah Raihan lagi.

Dia masih kurang jelas dengan cerita yang berlaku pada Ammar hingga membuatkan lelaki itu terpaksa merahsiakan perkara yang paling penting dalam hidupnya.

“ Aku tahu Han tapi aku terpaksa. Semuanya berlaku dengan tiba- tiba sahaja. Aku tak pernah suka pun pada Mardiyah infact masa first time aku jumpa dia, dia macam sengaja nak cari pasal dengan aku dan apa saja yang dibuat  tak kena pada mata aku. Tiba- tiba satu malam tu aku dengan dia kena tangkap basah sewaktu aku outstation dekat Kuantan. Aku dengan dia jadi mangsa keadaan tapi sumpah Han aku tak buat apa- apa dengan dia. Kitaorang kena tangkap sebab waktu itu JAIP tengah buat serbuan untuk malam Valentine.

Nak dijadikan cerita, mama dengan papa aku pulak mintak aku bertanggungjawab dengan berkahwin dengan dia. Aku tak nak tetapi kerana terpaksa aku turutkan juga sebab nak jaga hati mama dengan papa aku dengan syarat mama dan papa mesti merahsiakan pernikahan ini. Aku pulak ambil kesempatan atas yang berlaku dengan bersikap kejam dengan dia. Aku benci dia aku caci dia sampai aku puas hati. sememangnya untuk aku mengaku dia isteri aku memang tidak akan berlaku malah sampai sekarang tiada siapa tahu dia isteri aku.” Ammar berteus terang dengan panjang lebar.

“ Ya ALLAH, astaghfirullah al-azim, Am kau tahu tak apa yang kau buat tu salah. Dahlah kau tak mengaku dia isteri kau, kau hina dia lagi. apa dah jadi dengan kau Am?” rungut Raihan seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku dalam hidup Ammar.

“ Apa pilihan yang aku ada selain membenci dia? Dia bukan pilihan hati aku dan aku tak pernah terlintas dalam fikiran untuk menikah dengan pekerja aku sendiri. Mana aku nak letak muka kalau kawan- kawan aku yang lain tahu aku kahwin sebab tangkap basah. Aku nak perkahwinan aku perkahwinan yang sempurna lagipun aku ada Lydia. Hubungan dia dan aku dah bertahun takkan aku nak putuskan macam itu pulak, nanti apa kata Lydia?” luah Ammar lagi.

Fikiran dia berserabut apabila memikirkan hubungan dia dengan Lydia dan Mardiyah. jika dia putuskan hubungan dengan Lydia, pasti wanita itu berkecil hati dan jika dia memutuskan  perkahwinan dengan Mardiyah, keluarganya pula yang akan berkecil hati. apa boleh buat, dia tersempit di antara dua.

“ Kau cakap macam Lydia itu tempat kau melepaskan diri. Aku tahu satu sahaja kelemahan kau yang tak dapat elakkan sampai sekarang iaitu cinta.Kau cintakan Lydia tak?” tanya Raihan selamba.

“ Apa punya soalan kau ni? Of course I do dia kekasih aku.” Jawab Ammar tenang.

“ Okey- okey kalau begitu apa pendapat kau tentang Lydia yang kau kenal dah hampir beberapa tahun ni?” Soal Raihan lagi penuh dengan gaya seorang polis sedang menyoal siasat dan pesalahnya adalah Ammar.

Ammar menggigir bibir. Apa yang boleh dikatakan tentang Lydia? Lama dia termenung sebelum menjawab.

“ Emm, she beautiful, interligent, gorgeous, sexy, and famous..” Itu sahaja jawapan yang boleh Ammar katakan. Raihan hanya mengulum senyum.

“ Macam mana pulak dengan Mardiyah atau lebih tepat lagi isteri kau tu?” Soal Raihan lagi dia menumpukan sepenuh perhatian pada Ammar menantikan bibir itu berbicara.

Ammar tersenyum manis bila nama Mardiyah disebut. Serentak wajah ayu isterinya berlegar- legar ke ruang fikiran membuatkan dia rindu untuk menatap wajah itu walaupun baharu beberapa jam ditinggalkan. Ish apa punya perasaanlah ni? Detik hati Ammar.

“ Pada aku Mardiyah seorang yang sopan, lemah lembut, pandai ambil hati mama dengan papa aku sampaikan mama dan papa lebih sayangkan dia daripada aku. Satu lagi Mardiyah ni seorang yang penakut. Kau nak tahu tak, suatu malam tu dia balik lambat sebab banyak kerja yang nak diselesaikan tetapi bila aku sebut pasal hantu cepat je dia nak balik. Kelakar berul. Sikap kelam kabut dia memang cukup menghiburkan aku. Selain tu, aku suka dengan sikap dia yang pemalu dan disebabkan sikap dia yang pemalu itu kadang- kadang dia nak pandang muka aku payah sebab itu aku suka usik dia aku suka tengok muka dia bila dia malu.” Jawab Ammar sambil tergelak kecil.

Raihan tersenyum penuh makna. Apa yang diduga telah terjawab.

“ Maknanya kau lebih kenal Mardiyah daripada kekasih kau sendiri. Good news. Walaupun kau bercinta dengan Lydia hampir tiga tahun tetapi kau tak mampu nak cakap pasal diri dia macam mana yang kau cakap pasal Mardiyah padahal kau baru dua bulan nikah dengan dia. Nampak seperti segala- gala tentang Mardiyah melekat dalam kepala kau. Entah- entah kau dah jatuh cinta pada dia kot?” teka Raihan sambil ketawa kecil.

Ammar tersentak dan pantas menggeleng. Dia tidak rasakan seperti itu cuma sedikit sebanyak hatinya terdetik juga.

“ Mengarutlah kau ni. Cinta? Never okey!” bantah Ammar keras.

“ Kenapa kau tak suka sangat dengan cinta ni sedangkan cinta adalah fitrah manusia. Nak cakap kau pernah kecewa dalam cinta, aku rasa tak pernah malah nak sebut perkataan cinta pun payah.”

“ Entah lah Han, aku tak tahu tetapi aku dapat rasakan cinta tak ada dalam hati aku untuk mana- mana perempuan. Walaupun aku bercinta dengan Lydia, aku tetap tak dapat nak lafazkan perkataan itu. sekarang kau cakap aku jatuh cinta dengan Mardiyah? I don’t think so.”

Ammar mengeluh berat. Dia masih bertegas menafikan apa yang dikatakan oleh Raihan walaupun hatinya terdetik lain saat sahabatnya itu mengatakan bahawa dia telah jatuh cinta dengan Mardiyah.

“ Pernah kau tanya pada hati kau sendiri tentang perasaan kau pada isteri kau tu? perasaan cinta itu halus Am, kau takkan sedar bila ia menyapa hati kau tetapi kau akan tahu kalau kau sendiri yang mencari perasaan itu. Aku tahu kau benci isteri kau tu tapi itu dulukan? Tak salah rasanya kalau kau tanamkan perasaan cinta itu untuk isteri kau..” ujar Raihan memberi pendapat.

Ammar hanya termangu. Betul ke aku tak ada apa- apa perasaan pada Mardiyah? kalau betul tak ada, kenapa hati aku asyik berdebar- debar bila berada di sampingnya? Arggh kalutnya hati. batin Ammar menjerit.

“ Aku dengan dia akan berpisah tak lama lagi dan aku rasa perasaan itu takkan bercambah kot.” Ucap Ammar sambil ketawa dibuat- buat.

“ Aku yakin kau sebenarnya dah jatuh cinta pada isteri kau cuma ego kau sahaja yang menghalang untuk kau mengakuinya. Aku dapat lihat dari sinar mata kau sewaktu kau bercerita tentang Mardiyah pada aku tadi. Aku tahu kau dah jatuh cinta. Kau dah tewas Am, kau tewas dengan cinta dari orang yang kau benci.”

 

No comments: