Tetamu Rindu

Saturday 18 May 2013

Cinta Karma ( Bab 35 ) ~ Last Entry


SYED ARYAN menekup wajahnya dengan telapak tangan kerana dia berharap dengan cara itu dia dapat menghilangkan bayang wajah seorang gadis manis yang kerap menganggu kerjanya. Namun, semakin dia memejamkan mata semakin berlumba- lumba figura gadis itu melayang ke ruang mata dan ruang fikiran membuatkan Syed Aryan resah dan gelisah.
Dia membuka mata dengan luas dan melepaskan pandangan pada siling pejabatnya. Kelihatan wajah itu sedang tersenyum manis dan mengenyitkan mata padanya. Syed Aryan tersentak dan menggelengkan kepala. Apa kena dengan aku ni? Dia meraup rambutnya ke belakang.
Syed Aryan kembali menatap skrin komputer, dia cuba untuk membuat kerjanya tetapi dia ternampak gadis itu melirik manja ke arahnya dan melemparkan ‘flying kiss’ padanya. Syed Aryan menggigit bibir. Dia menutup komputer ribanya. Ya ALLAH apa yang terjadi pada aku ni? Kenapa aku tak dapat lupakan dia walaupun sesaat? Rintih hati kecil Syed Aryan.
Bunyi ketukan di pintu mengejutkan Syed Aryan. Dia mengangkat kepala menanti pintu biliknya terkuak. Terjengul wajah Fira dari sebalik pintu. Syed Aryan memerhatikan penampilan Fira yang agak berlainan hari ini. Gadis itu memakai baju kurung dan bertudung. Sejak bila Fira bertudung? Sekejap, tapi wajah itu saling tak tumpah seperti gadis yang bermain di fikiran Syed Aryan ketika ini. Takkan dia boleh berada di sini!
Syed Aryan menggosok matanya buat beberapa kali. Tetapi figura gadis itu masih berada di hadapannya sambil tersenyum manis. Jantung Syed Aryan berdebar tidak menentu.
“ Fiya….” Terpacul nama itu daripada mulut Syed Aryan.
“ Tuan, siapa pula Fiya tu?”
Bunyi gemersik suara itu mengejutkan Syed Aryan daripada dunia khayalannya. Wajah Wafiya hilang di bawa angin lalu digantikan dengan wajah pelik Fira. Syed Aryan menepuk dahi. Aku ni dah angau agaknya. Bisik hatinya.
“ Tak ada apa- apalah. Awak salah dengar agaknya. Ni sejak bila awak pakai tudung dengan baju kurung ni. Selama ni tak pernah pun saya tengok awak pakai macam ni,” tegur Syed Aryan bagi menutup debaran yang merajai hatinya ketika ini.
“ Alah, tuan ni baru hari ini saya start pakai tudung. Saya rasa dah sampai masanya saya kembali pada fitrah saya. Saya dah insaf. Saya takut dengan azab ALLAH bagi perempuan yang tak menutup aurat. Saya harap tuan tak marah saya pakai macam ni,” ujar Fira. Ada cahaya keinsafan di sebalik matanya yang redup itu.
Syed Aryan tersenyum. “ Alhamdulillah kalau awak dah insaf. Buat apa saya nak marah kalau awak nak berubah ke arah kebaikan. Sepatutnya gadis cantik macam awak ni tak patut mendedahkan kecantikan pada lelaki- lelaki yang belum pasti jadi suami awak sebaiknya awak simpan kecantikan awak tu pada yang berhak,” nasihat Syed Aryan.
Fira tersenyum gembira. Kata- kata Syed Aryan menyentuh hati wanitanya. Nasib baiklah kau bos aku dan aku masih sedar diri kalau tidak dah lama aku pinang kau Syed Aryan Haidar. Hai, bertuahnya Cik Kyra dapat kekasih yang baik, kacak dan boleh tahan alimnya ni. Tapi aku rasa macam Cik Kyra tak layak pula untuk lelaki sebaik Syed Aryan ni. Fira bermonolog sendirian.
“ Terima kasih tuan. Saya akan ingat pesanan tuan tu,”
“ Hah, ada apa awak masuk bilik saya ni?” soal Syed Aryan sambil menatap wajah Fira yang cantik. Bila ditenung lama wajah Fira, dia seakan ternampak wajah Wafiya membuatkan Syed Aryan kembali menunduk.
Fira menepuk dahi. Akibat berborak dengan Syed Aryan dia hampir terlupa tujuan asal dia masuk ke bilik Syed Aryan.
“ Hampir saya terlupa. Meeting untuk setiap jabatan yang tuan minta saya arrangekan dah siap. Mereka semua sudah tunggu tuan di bilik mesyuarat,” beritahu Fira.
Meeting antara jabatan?” Dahi Syed Aryan berkerut. Cuba mengingati jadual dia untuk hari ini. Tetapi dalam fikirannya kosong. Hanya wajah Wafiya yang berlegar- legar membuatkan Syed Aryan lemas.
“ Tuan dah lupa ke? Baharu semalam tuan minta saya aturkan mesyuarat dengan setiap ketua jabatan untuk mengetahui perkembangan untuk semua jabatan. Mereka sedang menunggu tuan,” terang Fira. Dia sedikit pelik dengan sikap Syed Aryan hari ini. Belum pernah bosnya itu lupa dengan setiap temujanji.
Syed Aryan mengeluh. Bukan lupa tetapi dia tidak dapat ingat benda lain selain Wafiya. Hebat betul penangan gadis itu pada dirinya. Hampir dia tenggelam dalam dunia khayalan dek kerana terbayangkan wajah gadis itu.
“ Baiklah, awak tunggu saya di bilik mesyuarat. Lima minit lagi saya sampai,” jawab Syed Aryan.
“ Baik tuan,”

SEMUA yang berada di dalam bilik mesyuarat itu bangun saat Syed Aryan melangkah masuk. Semua mata terarah pada Syed Aryan yang sedang tersenyum manis. Dia melabuhkan punggung di hujung meja.
“ Assalamualaikum semua,” ucap Syed Aryan ramah.
Kedengaran para hadirin menjawab dengan perlahan. Syed Aryan memandang wajah kakitangannya yang hadir satu persatu. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Fira.
“ Fiya mana fail laporan yang saya minta tadi?” pinta Syed Aryan tanpa sedar dia sudah tersasul.
“ Saya Fira lah tuan bukan Fiya,” bisik Fira sambil memuncungkan mulutnya. Hari ini sudah dua kali bosnya itu memanggil dia Fiya. Siapa Fiya tu? Girlfriend baru agaknya. Fikir Fira.
Syed Aryan tersengih malu. Dia menggosok- gosok hidungnya bagi menutup malu.
“ Saya tersasul. Tak sengaja. Baiklah kita akan mulakan mesyuarat sekarang,” ucap Syed Aryan.
Dia hanya mendengar apa yang dibentangkan oleh setiap Ketua Jabatan di syarikatnya. Namun, saat Cik Huzaifah berdiri untuk melaporkan perkara yang berlaku dalam Jabatan Pemasaran, fokus Syed Aryan hilang kerana dia melihat Wafiya yang berdiri di situ bukannya Cik Huzaifah. Syed Aryan memisat- misatkan matanya. Bagaikan tidak percaya namun Wafiya masih berdiri di situ.
Syed Aryan memandang ke tempat lain. Dia melihat Encik Bakar sedang berkata sesuatu padanya.
“ Tuan dah jatuh cinta. Tuan dah tewas. Tuan dah terperangkap dalam jerat yang tuan lakukan. Terimalah kenyataan tuan!” Encik Bakar berkata sambil tersenyum sinis.
Syed Aryan menelan air liur. Peluh mula membasahi dahinya. Dia tidak senang duduk. Tak mungkin semudah itu dia jatuh cinta.Bukankah dia sudah mempunyai cinta hatinya iaitu Sharifah Akyra?
“ Tuan jangan gunakan Sharifah Akyra untuk tuan lari daripada hakikat. Hakikat yang tuan sudah jatuh cinta pada Fiya. Isteri tuan sendiri. Ingat apa yang tuan sudah lakukan pada Fiya semalam di kolam renang?” Cik Huzaifah bertanya.
Syed Aryan gelisah. Kolam renang? Dia cuba mengingati apa yang berlaku. Terlayar jelas di matanya apa yang berlaku semalam. Saat dia mencium gadis itu buat pertama kali dalam hidupnya selepas mereka bergelar suami isteri. Syed Aryan menggigit bibir. Salahkah apa yang aku lakukan semalam?
“ Memang tak salah tetapi tuan telah berjanji dengan Sharifah Akyra. Tuan sudah lupa? Janji yang tuan akan memberikan ciuman pertama pada gadis yang benar- benar tuan cintai. Tengok apa dah jadi sekarang. Tuan dah mungkir janji pada Sharifah Akyra. Tuan dan jatuh cinta pada Wafiya. Mengaku jelah tuan,” sampuk Fira.
Syed Aryan menekup kedua belah telinganya. Dia mendengar semua orang yang berada di dalam bilik mesyuarat ini ketawakan dirinya seolah- olah dirinya melakukan perkara yang bodoh. Syed Aryan menggelengkan kepala. Dia tidak sanggup lagi.
“ Tuan, tuan okey ke tak ni?” suara Fira mengejutkan Syed Aryan. Dia tersedar.
Syed Aryan mengangkat muka. Semua mata memandang ke arahnya dengan penuh tanda tanya. Cik Huzaifah yang berdiri turut memandangnya pelik.
“ Tuan tidak apa- apa ke? Boleh saya teruskan?” soal Cik Huzaifah lembut.
Syed Aryan menarik nafas panjang. Dia cuba untuk menenangkan dirinya yang tidak tenteram. Fikirannya berkecamuk. Bermacam- macam perkara bermain di fikirannya saat ini. Dia tidak dapat menumpukan perhatiannya pada kerja.
“ Saya rasa meeting kita sampai di sini saja. Saya sakit kepala. Meeting ini akan ditunda pada tarikh yang akan diberitahu kelak. Saya minta maaf. Meeting dismiss.” Arah Syed Aryan.
Dia bingkas bangun meninggalkan bilik mesyuarat yang terasa panas walaupun berhawa dingin. Dia perlu lakukan sesuatu untuk mententeramkan hati dan perasaannya ini. Ya, dia perlukan jawapan untuk apa yang berlaku.

4 comments:

  1. Best citer ni..x sbr tggu next n3.. :) [aisyah]

    ReplyDelete
  2. bila smbungn . saya da x sbar nk bace .

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.