Tetamu Rindu

Sunday, 3 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake)



PROLOG
“SAH!”
Satu ungkapan yang diucapkan oleh Imam Ali menyentak emosi Marha. Pantas, anak mata didongakkan. Ketika ini kelihatan seorang lelaki memakai baju melayu berwarna krim sedang duduk berhadapan dengan Imam Ali dan ayahnya. Wajah lelaki itu kelihatan tegang tanpa ada segaris senyuman terukir di bibirnya.
Tetapi bukan itu yang merungsingkan Marha, sebaliknya reaksi keluarga tersayang begitu meruntun hatinya. Walaupun hari ini sepatutnya menjadi hari bahagia buat Marha namun semuanya berbeza ketika. Hanya tangisan yang menemani Marha sepanjang akad nikah berlangsung.
Anak mata Marha terhala pada laman wajah ayahnya, lelaki berusia lima puluh lima tahun itu kelihatan tidak bermaya. Malah, wajahnya sarat dengan kesedihan yang tidak mampu diluahkan. Marha mengetap bibir. Pandangannya kini beralih pada seorang wanita berusia yang duduk di sisinya. Saat memandang bola mata  itu bergenang dengan air mata, hati Marha hancur luluh.
Maafkan Mar, ibu. Mar tak buat semua tu. Kenapa tak seorang pun yang percaya cakap Mar? Detik hati Marha. Kecewa.
“Ibu…” Panggil Marha perlahan. Dia cuba menyentuh lengan Puan Kalilah, namun dengan pantas, Puan Kalilah mengalihkan tangannya.
Marha tersentap. Dia menundukkan wajah. Saat ini terasa dirinya begitu jauh dengan ibunya sendiri.
“Suami kamu datang, cepat hulurkan tangan untuk sarung cincin.” Suara Puan Kalilah kedengaran.
Marha mendongak. Jelas kelihatan seorang lelaki bersama seorang wanita sebaya ibunya sedang duduk melutut di hadapannya. Wajah lelaki itu kelihatan terpaksa malah tiada senyuman pun tersungging di bibirnya.
“Tunggu apa lagi? Sarunglah cincin tu cepat.” Gesa wanita yang berada di sisi lelaki yang baharu saja menjadi suaminya. Wanita itu tersenyum ramah kepada Marha dan Puan Kalilah.
Namun lelaki itu hanya menjeling saat mata mereka bertentangan. Tanpa suara terus saja hujung jari Marha ditarik sebelum cincin emas bertatahkan permata berwarna merah disarungkan ke jari manisnya. Marha sebak. Sukar untuk dia mengawal emosi saat ini. Semuanya kacau-bilau.
“Salam tangan suami kamu tu…” Bisik Puan Kalilah keras di telinga Marha.
Marha teragak-agak. Serentak, dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki yang berwajah tegang itu. Tetapi huluran tangannya dipandang sepi. Sebaliknya lelaki itu menghampiri tepi wajah Marha yang terpinga-pinga.
“Aku takkan maafkan kau. Aku setuju dengan pernikahan ni semata-mata kerana mama dan papa juga kerana maruah keluarga aku sendiri. Bukan disebabkan kau. Ingat, kalau ada sesiapa yang tahu tentang pernikahan ni, kau tahulah nasib kau!” Lelaki itu berbisik keras.
Marha tersentak. Dia ingin bersuara namun tangannya terlebih dahulu ditepis sebelum lelaki itu bingkas bangun dan meninggalkan Marha yang terkulat-kulat.
“Astaghfirullah-al-azim budak ni. Kamu nak ke mana tu? Tunggu mama! Maafkan saya. Anak saya tertekan sikit.” Ucap ibu kepada si pemuda itu.
Hadirin seramai lapan orang yang hadir hanya mampu menganggukkan kepala. Cuba untuk memahami.
Marha langsung tidak mengambil endah tentang lelaki itu. Lantaklah dia mahu ke mana. Sekarang fokus yang lebih utama adalah ayahnya sendiri. Pantas, Marha bangkit dan menghampiri Encik Yasin yang berkerusi roda. Ayahnya itu tidak bersuara walau sepatah.
Dia melabuhkan duduk di hadapan Encik Yasin sambil tangannya mencari tangan Encik Yasin. Air mata yang semakin laju menuruni lekuk pipi dibiarkan mengalir tanpa sekaan.
“Maafkan Mar, ayah. Percayalah Mar tak buat semua tu. Mar tak buat apa-apa salah pun. Apa yang berlaku hari tu satu kesilapan.” Ucap Marha cuba meraih kemaafan daripada Encik Yasin.
“Kalau itu satu kesalahan, kamu kena betulkan.” Jawab EncikYasin dingin.
Marha menundukkan kepala.
“Sebab tu Mar setuju untuk kahwin. Mar nak betulkan kesilapan yang ayah cakapkan walaupun Mar tak salah. Maafkan Mar sebab dah malukan ayah. Dah malukan keluarga kita. Mar akan buktikan yang Mar tak buat apa-apa kesalahan pun.” Ujar Marha bersungguh.
Encik Yasin tidak mengulas lanjut. Dia menggerakkan kerusi rodanya untuk menuju ke biliknya. Dia tertekan. Emosinya terganggu dek peristiwa hitam yang terjadi kepada anaknya. Encik Yasin cukup kecewa malah disebabkan kejadian itu, kesihatannya terganggu teruk.
Encik Yasin cuba bertenang. Namun, dadanya mula berombak kencang. Jantungnya mula mengepam darah dengan laju. Encik Yasin cuba menarik nafas panjang tetapi nafasnya terasa sesak malah tercungap-cungap dia cuba menyedut udara. Dahinya mula berpeluh-peluh.
“Ayah, kenapa ni?” Soal Marha panik.
Puan Kalilah menghampiri Encik Yasin dengan riak yang cemas. Dia memegang lengan Encik Yasin dengan lembut.
“Abang, abang tak apa-apa?” Soal Puan Kalilah mula tidak senang duduk.
Encik Yasin cuba menggerakkan bibirnya untuk bersuara tetapi dia tidak mampu. Rasa sakit di dada kian mencucuk-cucuk. Malah, seluruh tubuhnya terasa kejang, dingin dan kaku.
“Ayah, kenapa dengan ayah? Apa dah jadi dengan ayah ni?” Soal Marha lalu bingkas menggoncangkan tubuhnya ayahnya.
Encik Yasin tidak menjawab sebaliknya matanya terus terpejam rapat bersama nafas yang terus terhenti.
“Ayah!” Panggil Marha lagi. Dia tergamam. Melihat tubuh Encik Yasin yang tidak bergerak menambah lagi kerisauan dalam hatinya. Dia cuba untuk bertenang tetapi suara Puan Kalilah yang meraung memanggil nama Encik Yasin menyedarkan Marha.
Langkahnya terundur ke belakang saat melihat adik lelaki dan adik perempuannya mula memeluk tubuh kaku milik Encik Yasin. Kedua-dua adiknya itu menangis hiba.
“Tak! Tak mungkin! Ayah tak boleh pergi! Tak boleh!” Jerit Marha.
Dia melurut jatuh di atas lantai dengan air mata yang kian bercucuran.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.