Tetamu Rindu

Sunday, 10 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake) - BAB 3




SAYA nak awak tempahkan hotel dekat Bachok minggu depan. Saya ada mesyuarat kat sana dan saya nak awak ikut sekali.” Ucap Amzar lantas mengangkat wajah sebaik saja selesai menandatangani dokumen yang dibawa oleh Marha.
Marha berjeda. Lama dia terkebil-kebil memandang Amzar yang turut memandang tepat ke anak matanya.
“Mesyuarat tu hari apa, tuan?” soal Marha dengan pantas membuka diari peribadi yang digunakan untuk mencatat segala janji temu Amzar.
“Hari khamis. Awak tempahkan untuk tiga hari dua malam. Kemungkinan kita akan pergi melawat tapak untuk pembinaan cawangan Sri Lagenda kat sana.” Terang Amzar. Marha hanya menganggukkan kepala tanda faham.
“Baiklah. Saya akan uruskan tentang tu. By the way, kejap lagi tuan ada meeting dengan Datuk Hisyam. Dalam pukul sebelas.” Ucap Marha lalu melirik jam yang melingkar di pergelangan tangan.
Amzar melepaskan nafas yang panjang.
“Datuk Hisyam? Meeting pasal apa pulak ni?”
“Pasal projek Resort Homestay tu.” Jawab Marha cuba mengingatkan kembali.
Amzar termenung seketika sebelum menganggukkan kepala.
“Oh pasal projek tu….”
Belum sempat Amzar menghabiskan bicara, kedengaran pintu pejabatnya diketuk dari luar. Dia berpandangan dengan Marha. Marha hanya tersenyum.
“Saya rasa Datuk Hisyam dah sampai.” Balas Marha lalu menuju ke daun pintu. Pintu ditarik dari dalam lalu terjengul wajah Datuk Hisyam di hadapan Marha.
Lelaki tua yang sebaya ayahnya itu tersenyum ramah. Malah, penampilan Marha diteliti dari bawah hingga ke atas. Ayunya! Hati tua Datuk Hisyam mula menggatal.
“Assalamualaikum, datuk. Datuk nak jumpa dengan Tuan Am kan? Silalah…” pelawa Marha dengan sopan sedangkan hatinya berdongkol dengan rasa geram dek pandangan Datuk Hisyam yang kurang menyenangkan.
“Waalaikummusalam, Ainur. Lama rasanya I tak jumpa you. Tiba-tiba rasa rindu,” balas Datuk Hisyam dengan senyuman meleret.
Dia merenung wajah Marha dengan lama. Wajah yang ayu bertudung biru itu kelihatan segar tanpa solekan yang tebal. Nampak manis saja di matanya malah hati Datuk Hisyam mengakui keayuan yang dimiliki oleh Marha, keayuan yang asli. Tidak jemu matanya memandang.
Marha menahan gelodak perasaannya. Rasa ingin termuntah juga saat itu namun dia menayang wajah selamba. Senyuman paksa menghiasi wajahnya. Buat seketika dia memandang Amzar yang sedang meneliti fail yang berada di atas meja. Lelaki itu langsung tidak mengambil pusing apa yang dibualkan dengan Datuk Hisyam.
“Saya rasa Tuan Am dah sedia untuk meeting. Jemput masuk datuk.” Ulang Marha tanpa mengulas panjang kata-kata Datuk Hisyam.
“You tak join sekali ke meeting ni, Ainur?” soal Datuk Hisyam dengan riak kecewa jelas tergambar di wajahnya.
“Err… Saya ada…”
“Am, I rasa lebih baik kalau setiausaha you ni join meeting ni sekali. Bolehlah dia rekod apa yang patut. Projek yang I nak labur ni bukan sikit jadi I tak nak ada sebarang kecuaian berlaku,” potong Datuk Hisyam lalu melangkah menghampiri meja kerja Amzar.
Amzar mengerutkan kening. Pandangannya teralih kepada Marha yang berada di muka pintu. Kelihatan gadis itu menggelengkan kepala. Jelas terpancar keresahan di wajahnya yang selalu tenang. Tampak seperti gadis itu tidak selesa.
“I rasa semuanya kita dah bincangkan dalam meeting yang lepas. Laporan pun ada dekat I ni. Tapi I tak kisah kalau datuk nak discuss lagi. Mana tahu ada penambahbaikan untuk projek tu. I pun harap projek itu akan berjalan dengan lancar.” Ucap Amzar dengan penuh tertib.
Datuk Hisyam tersenyum lebar. Dia berpaling ke arah Marha yang hanya kaku di hadapan muka pintu.
“Ainur, have a sit. I akan lebih bersemangat kalau you ada sekali dalam meeting ni,” ujar Datuk Hisyam tanpa rasa malu. Kerusi yang berada di sebelahnya sengaja ditarik semata-mata untuk Marha. Pandangan pelik yang dilemparkan oleh Amzar langsung tidak diendahkan oleh Datuk Hisyam.
Marha menggigit bibir. Kalau diikutkan rasa menyampah, mahu saja dia lari meninggalkan bilik Amzar itu. Tetapi memandangkan Amzar tidak mengeluarkan apa-apa arahan jadi dia terpaksa menurut.
“Saya pergi hidangkan air dulu, tuan.” Ucap Marha tanpa mempedulikan Datuk Hisyam.
Dia memandang Amzar dengan pandangan agar Amzar memahami perasaannya sekarang dan ternyata anggukan Amzar membuahkan senyuman di bibir Marha. Sekurang-kurangnya dapat juga dia bersedia sebelum berhadapan dengan perangai Datuk Hisyam yang miang keladi itu. Berjumpa tak sampai tiga kali dah pandai puji itu ini. Ingat aku ni termakan sangat dek pujian agaknya. Isteri dah ada dua tapi sibuk nak menggatal dengan perempuan lain. Dasar lelaki tak pernah puas! Miang! Maki Marha cuma dalam hati. Sepantas kilat dia meninggalkan ruang bilik Amzar menuju ke pantri.
Datuk Hisyam memandang kelibat Marha sehingga hilang dari pandangan. Dia tersenyum penuh makna melihat sikap Marha yang cuba jual mahal. Dia suka perempuan seperti itu. Jinak-jinak merpati. Nampak macam pemalu tetapi apabila disogok dengan wang ringgit dan kemewahan pasti akan menyerah dengan rela hati. Fikir Datuk Hisyam.
“Duduklah datuk. Tak lari ke mananya setiausaha I tu.” Amzar bersuara membuatkan Datuk Hisyam tersengih.
Punggung dilabuhkan di atas kerusi berhadapan dengan Amzar.
“Mana you dapat perempuan macam tu? Cantik dia semula jadi. Walaupun tak bersolek sangat, tak seksi macam setiausaha you yang lepas tapi I tak jemu tengok dia. Rasa macam I dah terpikat pulak.” Luah Datuk Hisyam tanpa segan silu.
Amzar membulatkan mata. Tidak percaya dengan kata-kata yang terluah daripada mulut Datuk Hisyam. Marha cantik? Rabun ke Datuk Hisyam ni? Detik hati Amzar tidak percaya.
“I tak tahu sama ada dia masih available ke tak cuma I tahu yang datuk tu dah beristeri dua. Tak takut ke kalau datin tahu?” soal Amzar cuba mengingatkan.
Datuk Hisyam melepaskan keluhan apabila Amzar menyentuh perihal isteri-isterinya.
“Itu yang jadi masalahnya. I dah bosan dengan isteri-isteri I tu. Kalau boleh I nak cari yang fresh macam Ainur tu.” Jawab Datuk Hisyam selamba.
Amzar tersenyum sinis. Buaya darat betul datuk ni. Nasib baik bukan ayah aku. Detik hatinya. Mula terasa bosan dengan sikap Datuk Hisyam.
Belum sempat Amzar membalas, Marha muncul kembali dengan menatang dulang berisi dua cawan kopi lalu dihidangkan di hadapan Datuk Hisyam dan Amzar.
“Tuan, saya ada kerja yang nak diuruskan jadi saya keluar dululah.” Pinta Marha dengan renungan yang cukup bermakna dihadiahkan buat Amzar. Mudah-mudahan lelaki itu mengerti.
“Eh, kenapa nak tergesa-gesa, Ainur? Duduklah dulu. Kita bincang pasal projek ni sama-sama.” Datuk Hisyam kembali bersuara.
Marha mengetap bibir. Kenapalah datuk ni tak faham bahasa? Aku rimaslah. Tahu tak? Bebel hati Marha.
“Tak boleh datuk. Saya ada kerja yang penting nak dibuat. Lagipun laporan tu saya kena hantar pada Tuan Am hari ni jugak. Jadi saya kena siapkan dengan kadar segera.” Marha mencipta alasan. Sedangkan Amzar hanya menjadi pemerhati. Dia ingin melihat sejauh mana Marha mencuba untuk melepaskan diri daripada Datuk Hisyam.
“Kalau macam tu, I belanja you lunch, nak?”
“Tak nak!” jawab Marha tanpa berfikir panjang.
Datuk Hisyam tersentak. Dia terdiam. Marha menggigit lidah. Sedar akan keterlanjuran kata-katanya. Namun, Amzar hanya mengulum senyum. Nekad betul perempuan ni. Bisik hati kecilnya.
Err… Maksud saya. Saya tak keluar lunch hari ni. Saya bawa bekal.” Terang Marha cuba menjernihkan kembali suasana. Dia tahu Datuk Hisyam merupakan klien yang penting untuk Hotel Sri Lagenda malah Amzar sendiri sudah beberapa kali mengingatkan agar melayani Datuk Hisyam dengan baik.
“Tak apalah kalau you tak sudi hari ni. Lain kali I belanja you lunch ya?” Datuk Hisyam masih belum mengalah.
Err… Saya rasa tak apalah, datuk. Saya memang jarang makan dekat luar. Tiap-tiap hari saya bawa bekal. Kalau saya tak bawa bekal pun, saya puasa. Jadi saya memang takkan keluar lunch kat luar. Saya rasa itu saja kut saya nak cakap. Saya keluar dulu, tuan.” Pinta Marha cuba melarikan diri daripada terus diasak oleh Datuk Hisyam.
Amzar hanya mendiamkan diri. Dia menganggukkan kepala tanda membenarkan Marha untuk keluar.
“Tapi Ainur…” Datuk Hisyam cuba bersuara namun Marha terlebih dahulu menghilangkan diri di sebalik pintu. Datuk Hisyam mengeluh hampa.
Amzar menekup mulutnya menggunakan telapak tangan. Wajahnya ditundukkan. Berpura-pura batuk padahal dia cuba menahan senyum melihat telatah Marha dan Datuk Hisyam. Inilah kali pertama dia melihat wajah hampa Datuk Hisyam. Selama ini sesiapa saja wanita yang berkenan di hati pasti akan dapat Datuk Hisyam takluki. Tetapi kali ini nampaknya buku dah bertemu dengan ruas. Tak sangka kebal juga kau, perempuan! Desis hati Amzar.


MARHA hanya mampu memandang MPV jenis Toyota Vellfire berwarna putih berlalu meninggalkan perkarangan Rumah Baitul Husna. Dahinya berkerut seribu kerana tidak pernah melihat kenderaan mewah itu singgah di Baitul Husna. Siapa agaknya ya? Detik hati Marha.
“Siapa tu? Tak pernah tengok pun.” Suara Yusuf, sepupu Marha kedengaran seolah-olah lelaki itu dapat membaca fikirannya.
“Entah. Aku pun tertanya-tanya juga. Kita tanya umi jelah,” ajak Marha. Lalu, pintu pagar rumah anak-anak yatim dan fakir miskin itu dibuka. Kelihatan Umi Zainab tersenyum menyambut kedatangan mereka berdua.
“Assalamualaikum, umi.” Sapa Marha dan Yusuf serentak. Mereka menghampiri Umi Zainab.
“Waalaikummusalam. Sampai pun kamu berdua. Qis mana?” Soal Umi Zainab lantas menyambut huluran tangan Marha untuk bersalam.
“Qis kerja, umi. Tak dapat nak datang. Kami ni pun curi-curi masa aje nak datang. Mar rindu sangat kat adik-adik. Hujung minggu depan Mar tak dapat datang. Kena pergi outstation,” jawab Marha dengan wajah yang sengaja disedihkan.
Umi Zainab hanya tersenyum mesra. Tangan Marha ditarik lalu mereka bertiga menuju ke meja batu yang terletak di tepi halaman rumah.
“Tak apalah kalau Mar dan Yus ada kerja. Tak payah berkejar-kejar datang ke sini. Umi boleh lagi jaga budak-budak ni. Lagipun sekarang ni sekolah banyak aktiviti. Kadang-kadang petang baru dia orang ni balik. Jadi tak penat sangat umi nak jaga,” ujar Umi Zainab setelah mempelawa Marha dan Yusuf duduk.
“Kami ni dah terbiasa, umi. Kalau dalam seminggu tu tak datang sini, memang tak tenanglah hidup.” Jawab Yusuf sambil tersengih.
Marha hanya mengangguk tanda setuju. Begitulah rutin mereka semenjak tamat universiti. Marha sendiri tidak menyangka sedar tidak sedar sudah hampir dua tahun mereka bertiga menjadi sukarelawan di Rumah Baitu Husna. Bermula sekadar lawatan biasa namun lama kelamaan, Marha menjadi seronok apabila setiap kali melihat senyuman anak-anak yatim sebaik saja dia datang melawat. Terasa hatinya cukup tenang sehinggakan Yusuf dan Qistina turut diajak sekali untuk menjadi sukarelawan di Rumah Baitul Husna.
“Apa yang dimenungkan tu, Mar?” Suara Umi Zainab mengejutkan Marha. Dia berpaling. Kelihatan dua pasang mata menikam tepat ke wajahnya. Marha tersipu malu.
“Teringatkan kekasih lama agaknya, umi. Panjang sangat menungnya tu.” Usik Yusuf lantas ketawa kecil.
Marha menjengilkan mata.
“Suka hati kau je cakap benda yang bukan-bukan. Aku ni teringat masa pertama kali datang melawat rumah ni dulu. Bagi aku tempat ni penuh dengan ketenangan. Bila tengok senyuman adik-adik kat sini, rasa macam satu kepuasan. Kita tak alami apa yang adik-adik kat sini alami, Yus. Jadi bila tengok mereka ni kuat, sedar tak sedar timbul rasa insaf tu.” Ucap Marha penuh emosi.
Yusuf tersenyum kecil. Dia kenal benar dengan perangai Marha yang satu ini. Cepat sangat tersentuh. Jiwanya memang lembut jika berkait dengan budak-budak. Terserlah sifat keibuan dari dalam diri sepupunya itu.
“Kamu berdua ni buat umi bangga tau. Jarang anak-anak muda yang nak jadi sukarelawan kat sini. Semuanya sibuk dengan urusan masing-masing tapi kamu berdua termasuk Qis, sanggup datang ke sini, melawat adik-adik. Buat mereka rasa yang mereka juga sama macam kita. Buat mereka rasa mereka disayangi. Umi betul-betul terharu,” ucap Umi Zainab sebak.
Marha dan Yusuf berpandangan. Mereka menggigit bibir. Dalam tak sedar kata-kata mereka menyentuh hati kecil Umi Zainab. Tidak sanggup rasanya dia melihat wanita sebaya ibu mereka menitiskan air mata.
“Umi, kami cuma bercakap aje. Maaflah kalau kata-kata kami tu ada menyentuh hati umi. Dahlah, lupakan apa yang kami cakap tadi. Hah, lupa pulak nak tanya, siapa yang datang tadi tu, umi?” soal Marha mengalihkan topik perbualan mereka bertiga.
Umi Zainab menyeka titisan air mata dengan hujung lengan baju. Dia cuba mengimbas kembali orang yang dikatakan oleh Marha.
“Yang naik kereta besar tu ke?” soal Umi Zainab inginkan kepastian.
Marha menganggukkan kepala.
“Oh itulah Datin Zahidah. Penyumbang dana terbesar untuk rumah ni,” jawab Umi Zainab.
“Datin Zahidah? Rasanya sepanjang kami datang ke sini tak pernah sekali pun jumpa dengan Datin Zahidah tu. Mesti sibuk kan orangnya?” soal Yusuf membuahkan senyum di bibir Umi Zainab.
“Orang bisnes Yus memang sentiasa sibuk tapi Datin Zahidah ni baik orangnya. Walaupun kaya tapi tak pernah nak tunjuk kekayaan dia tu. Kalau bercakap tu asyik nak merendah diri je. Kalau Yus dan Mar nak tahu, sejak dari awal tertubuhnya rumah ni, Datin Zahidahlah yang sediakan segala-galanya. Umi cuma ditugaskan untuk jaga anak-anak je. Segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh datin.” Cerita Umi Zainab lagi.
Yusuf dan Marha mendengar dengan teliti. Terselit rasa kagum dengan cerita Umi Zainab tentang Datin Zahidah. Timbul keinginan untuk bertemu dengan wanita sehebat itu.
“Jadi Datin Zahidahlah pengasas rumah ni, umi?” soal Yusuf tiba-tiba.
Umi Zainab terdiam. Dia hanya tersenyum sebagai jawapan.
“Cukuplah Yus tahu Datin Zahidah yang beri segala bantuan untuk adik-adik kat sini,”
“Maksud umi?” Soal Marha. Pelik dengan kata-kata Umi Zainab yang seakan ada maksud tersirat.
“Tak ada apa-apalah. Nanti kalau ada masa, kamu bolehlah berbual dengan Datin Zahidah tu. Dia pun nak juga jumpa dengan kamu bertiga cuma masa tak mengizinkan.” ucap Umi Zainab tanpa menjawab soalan Yusuf dan Marha.
Marha hanya tersenyum. Dalam hatinya dapat merasakan seperti ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh Umi Zainab. Tetapi rasa itu hanya seketika. Bunyi riuh kanak-kanak yang bermain membuatkan persoalan yang menghuni fikiran Marha hilang dengan sendirinya. Mungkin ada perkara yang tidak sepatutnya dia ambil tahu. Fikir Marha.


“MAMA dari mana ni?” Soal Amzar sebaik saja melihat kelibat Datin Zahidah melintasi ruang tamu rumah banglo itu.
Datin Zahidah berpaling. Langkah kaki diayunkan ke arah Amzar yang sedang terbaring santai di atas sofa sambil tangannya memegang majalah perniagaan.
“Mama baru balik dari rumah anak yatim. Kamu tak keluar ke malam ni? Biasanya kalau malam Sabtu, kamu memang tak lekat kat rumah.”  Ujar Datin Zahidah yang faham benar dengan sikap Amzar yang suka melepak dengan buah hati pengarang jantungnya. Siapa lagi kalau bukan Ratna.
“Tak, mama. Ratna ada kat Singapore sekarang. Ada fashion show kat sana jadi Am bujanglah hari ni. Am rindu pulak nak lepak dekat rumah. Lepak dengan mama. Selalunya Am jarang dapat duduk santai macam ni,” ucap Amzar dengan manja. Dia menjatuhkan kepalanya ke bahu Datin Zahidah.
Datin Zahidah tersenyum nipis. Rambut Amzar yang hitam keperangan itu digosok dengan penuh kasih sayang. Begitulah sikap Amzar, meskipun umurnya sudah menjangkau 28 tahun tetapi sikap manjanya tidak pernah hilang. Jika di pejabat, sikap tegas Amzar memang digeruni tetapi siapa tahu disebalik sikap tegas dan garang yang ditunjukkan Amzar, terselit sikap manja yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa kecuali ahli keluarga mereka.
“Kalau nak duduk santai macam ni selalu, carilah isteri yang lekat dekat rumah. Yang akan sambut kamu bila balik kerja. Yang akan sentiasa temani kamu setiap masa. Bukan cari isteri yang setiap masa tak ada kat rumah. Memang kerja tu penting tapi kebajikan kamu sebagai suami nanti kena jaga jugak.” Balas Datin Zahidah dengan penuh makna.
Dahi Amzar berkerut. Laju saja kepalanya didongakkan. Wajah Datin Zahidah direnung lama.
“Lain macam aje kata-kata mama ni…” balasnya dengan tawa kecil menghiasi bibirnya yang merah.
“Kamu yakin ke yang Ratna tu akan jadi isteri yang baik? Kamu yakin ke nak ambil dia jadi isteri kamu?” Soal Datin Zahidah berterus-terang. Dia menentang pandangan Amzar yang kelihatan terkelu.
Amzar mengetap bibir. Dia membetulkan duduk.
“Kenapa mama tanya macam tu? Hubungan Am dengan Ratna tu dah nak masuk dua tahun. Mestilah Am serius nak jadikan dia isteri Am. Dulu, masa Am tak ada kekasih, mama suruh Am cari. Bila Am dah dapat, mama macam tak berkenan pulak.”  Jawab Amzar dengan suara yang perlahan. Dia inginkan pengertian.
“Memang mama nak kamu cari calon isteri tapi cari calon isteri yang boleh menyenangkan kamu di akhirat nanti. Bukan calon isteri yang akan membebankan kamu. Mama tengok Ratna tu macam tak boleh nak dengar cakap kamu. Tengoklah, masa bercinta dengan kamu pun dia boleh bergambar dengan lelaki lain. Kalau bergambar biasa tu tak adalah mama marah sangat, ini tak peluk sana, peluk sini. Pegang sana pegang sini. Mama tak suka bakal menantu mama macam tu.” Komen Datin Zahidah emosi. Riak wajahnya berubah tegang.
Amzar mula gelisah. Dia memicit dahi cuba memikirkan alasan yang sesuai untuk diberikan kepada mamanya itu.
“Dah kerja dia model, mama. Memang macam tulah. Am kena professional. Am tak boleh nak sekat kerja dia. Lagipun dia cantik, mama. Manja. Ada karier dia sendiri. Popular. Am rasa sedikit sebanyak populariti dia tu boleh naikkan hotel kita.” Jawab Amzar. Itulah jawapan yang dirasakan sesuai itu diberikan pada Datin Zahidah saat ini.
“Mama tak pandang seseorang apatah lagi wanita yang nak jadi menantu mama berdasarkan kecantikan semata-mata. Kalau ada rupa cantik, takkan semua nak dipertontonkan pada orang ramai? Habis kamu nanti nak tengok apa kalau semua dah didedahkan? Mama memang tak larang kamu nak kahwin dengan dia sebab itu hidup kamu tapi sebagai mama yang mengandung dan lahirkan kamu, mama nak kamu fikir banyak kali. Sesuai ke perempuan macam tu untuk kamu jadikan isteri. Mama harap sangat kamu pilih calon isteri berdasarkan agama bukan kerana rupa semata-mata.” Ujar Datin Zahidah panjang lebar.
“Mama, Ratna tu nampak aje macam tu tapi dia tetap Islam mama…” Amzar masih belum penat membela kekasih hatinya.
“Islam pada nama tapi bukan pada amalannya? Pernah Am tegur dia pasal aurat? Pernah tak dia cuba untuk perbaiki diri untuk jadi lebih baik? Mama rasa tak pernah. Siap hebahkan dalam paper lagi yang dia masih belum sedia nak bertudung. Apa semua tu?” soal Datin Zahidah membuatkan Amzar mati kutu.
“Am boleh ajar dia lepas kahwin nanti. Kita bagi dia peluang, mama. Soal hidayah kan milik Allah. Kalau dia tak bersedia, kita tak boleh paksa. Macam Ariana, mama pun tak dapat nak paksa Ariana bertudung. Ini isu sensitif, mama.” Bidas Amzar cuba mengungkit perihal adiknya, Ariana.
Datin Zahidah melepaskan keluhan kecil. Mengenangkan Ariana, timbul rasa terkilan dalam diri Datin Zahidah kerana tidak dapat membentuk satu-satunya anak gadis yang dia ada untuk menjadi seorang gadis yang muslimah.
“Silap mama juga sebab beri kebebasan pada Ana memilih cara hidup dia sendiri sedangkan cara hidup sebenar dah pun tertulis. Tapi mama tak pernah berhenti berdoa supaya hati Ariana terbuka untuk tutup aurat satu hari nanti. Sebab itulah mama tak nak Am tersalah pilih pasangan hidup Am. Ya, mungkin Am boleh bimbing Ratna jadi isteri yang baik tapi Am kena ingat, manusia yang berubah bukan kerana Allah pasti takkan berubah. Am fikirlah apa yang terbaik untuk diri Am dan hidup Am, mama cuma mampu doakan aje.” Ucap Datin Zahidah mengalah.
Dia menepuk lembut bahu Amzar sebelum bingkas bangun. Sebagai ibu dia sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Meskipun Datin Zahidah tahu Amzar tidak pernah setuju dengan kata-katanya tetapi itu sudah menjadi tugasnya sebagai seorang ibu. Mengingatkan jika anaknya terleka. Menegur jika anaknya melakukan kesalahan. Semua itu dilakukan kerana kasih sayangnya sebagai seorang ibu yang mungkin tidak difahami oleh seorang anak.
Amzar termenung panjang. Sedikit sebanyak kata-kata Datin Zahidah meresap ke dalam hatinya. Dia mengeluh panjang. Kalau bukan Ratna, siapa yang layak jadi menantu mama?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.