Tetamu Rindu

Saturday, 16 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake) - BAB 4



BUNYI riuh-rendah suara anak-anak Rumah Baitul Husna membuatkan Marha tersenyum senang. Sesekali dia memandang Umi Zainab yang ligat memasak untuk makan malam. Katanya ada seseorang istimewa yang hendak datang bertandang.
“Dah nak maghrib ni. Mar, boleh tak kamu panggilkan adik-adik kamu tu masuk. Kejap lagi nak solat pulak. Tak elok duduk kat luar senja-senja ni,” ujar Umi Zainab tanpa memandang wajah Marha.
“Baik umi. Mar pergi panggil dia orang.” Akur Marha lalu menuju ke ruang tamu.
Tidak lama kemudian, kedengaran suara Marha memanggil semua kanak-kanak itu masuk. Selang beberapa minit, dia kembali semula ke dapur bagi menyambung kembali pekerjaannya.
“Umi nak Mar tolong masak ke?” soal Marha menawarkan pertolongan.
Umi Zainab terdiam seketika. Dia memandang jam yang tersangkut di dinding.
“Boleh jugak. Umi nak jenguk budak-budak tu mandi. Dia orang tu kalau tak dengar suara umi mesti tak bergerak. Kamu tolonglah masak apa yang patut. Masak sayur lemak nenas ikan masin pun okey juga. Ikan tu umi dah goreng. Nasi pun umi dah masak.” Ujar Umi Zainab lalu mengambil sapu tangan untuk mengelap tangan.
“Okey, umi. Umi cakap ada orang nak datang malam. Siapa?” soal Marha sambil memandang tepat ke wajah Umi Zainab yang sentiasa tenang.
“Oh, Datin Zahidah nak datang. Bolehlah kamu kenal dengan datin tu. Tapi sayang, Yusuf dan Qistina tak dapat join sekali.” Balas Umi Zainab dengan riak kecewa tergambar di wajah.
“Biasalah umi kerja macam Yusuf dan Qis tu. Seorang doktor, seorang nurse. Nanti kalau berjodoh, kahwin kat hospital.” Gurau Marha disambut dengan tawa kecil oleh Datin Zahidah.
“Amboi bukan main mengata kat orang. Kamu tu bila nak cari jodohnya?” tempelak Umi Zainab membuatkan Marha terdiam. Dia tersengih lebar.
“Mar masak dululah, umi. Umi pergilah tengok budak-budak tu,” Marha melarikan topik perbualan mereka.
Umi Zainab hanya tersenyum melihat Marha yang cuba mengelak jika soal jodoh dibangkitkan.
“Yalah, umi pergi dulu.”
Sebaik saja Umi Zainab hilang dari pandangan, Marha melepaskan keluhan kecil. Soalan Umi Zainab membuatkan hatinya berubah sayu.
“Bukan Mar tak nak cari jodoh, umi. Tapi jodoh yang terlepas daripada genggaman Mar.” desis Marha cukup hanya dia yang mendengar.
Naqib Bazli, nama yang takkan dia lupakan seumur hidupnya. Hampir empat tahun mereka menyemai cinta hingga mengikat tali pertunangan. Tetapi entah di mana silapnya, hubungan yang diharapkan kekal hingga ke jinjang pelamin akhirnya musnah angkara orang ke tiga.
Tanpa alasan yang pasti, cincin tanda diserahkan semula sedangkan lelaki yang sepatutnya menjadi imam dalam hidup Marha membuat keputusan untuk menikahi wanita lain. Wanita yang jauh lebih cantik daripada Marha. Wanita yang jauh lebih bergaya daripada Marha. Malah, wanita yang jauh lebih kaya daripadanya. Luka yang tercipta, begitu dalam sehingga kini kesannya masih terasa menyebabkan Marha menutup pintu hatinya serapat-rapatnya untuk mana-mana lelaki.
“Assalamualaikum….” Bunyi salam mengejutkan Marha. Dia kembali ke dunia realiti. Pantas, dia berpaling.
Kelihatan seorang wanita sebaya ibunya sedang berdiri di sisi Umi Zainab. Walaupun sudah berusia tetapi wanita yang anggun memakai jubah berwarna hitam dan bertudung kelabu itu masih kelihatan cantik. Redup mata yang asyik merenung wajahnya membuatkan Marha tersipu malu. Dengan pantas, dia menundukkan kepala.
“Mar, kenapa termenung lagi tu. Inilah Datin Zahidah yang selalu Mar tanya tu…” Umi Zainab bersuara.
“Assalamualaikum, datin…” Marha bersuara. Dengan pantas dia mendekati Umi Zainab dan Datin Zahidah yang masih setia tersenyum. Tangan dihulurkan untuk bersalam.
“Waalaikummusalam, inilah Marha yang selalu Nab ceritakan tu?” Soal Umi Zainab lantas menyambut huluran tangan Marha.
Sejuk hatinya apabila Marha tunduk menguncup belakang tapak tangannya. Senyuman gadis itu yang ikhlas seolah-olah menawan hati Datin Zahidah tanpa sedar.
“Yalah, Ida. Inilah Marha yang selalu Nab ceritakan tu. Selalunya dia datang dengan dua orang lagi tapi Qistina dan Yusuf kerja pulak hari ni. Jemputlah duduk dulu. Nab nak panggil anak-anak makan.” Ucap Umi Zainab lantas meninggalkan Marha dan Datin Zahidah bersendirian.
Marha hanya mampu tersengih. Agak kekok rasanya apabila berhadapan dengan orang kenamaan seperti Datin Zahidah. Terasa dirinya kerdil. Apatah lagi menyedari mata Datin Zahidah yang tidak lepas daripada memandang wajahnya. Sepasang mata Datin Zahidah mengingatkan Marha pada seseorang tetapi Marha tidak tahu siapa.
“Jemputlah duduk, datin.” Pelawa Marha sambil meletakkan pinggan di hadapan Datin Zahidah.
“Tak payahlah panggil datin. Panggil auntie aje. Tak selesa auntie Mar panggil macam tu. Kita kat sini kan dah macam keluarga.” Ucap Datin Zahidah membuatkan Marha tersenyum manis. Mula terasa senang dengan budi bahasa yang ditunjukkan oleh Datin Zahidah. Benarlah kata Umi Zainab, Datin Zahidah memang seorang yang sangat merendah diri.
“Baiklah. Saya cuba.”
Datin Zahidah tersenyum nipis sebelum melabuhkan punggung berhadapan dengan Marha. Kedengaran riuh suara anak-anak Rumah Baitul Husna turun ke meja makan. Masing-masing teruja dengan kedatangan Datin Zahidah yang sudah dianggap seperti ibu mereka sendiri.
Manakala Marha mengambil tempat untuk menolong Umi Zainab menyediakan makanan untuk anak-anak. Datin Zahidah cuba menolong tetapi ditegah oleh Marha. Sudahnya, Datin Zahidah hanya menjadi pemerhati. Telatah Marha yang berhadapan dengan kerenah anak-anak menarik perhatian Datin Zahidah. Dia tersenyum Marha yang kelihatan tenang menguruskan anak-anak seramai lima belas orang itu. Senyuman sentiasa mekar di bibir gadis muda itu. Alangkah beruntungnya dia jika gadis sebaik Marha itu dapat dijadikan menantu. Tetapi apabila teringatkan Amzar dah Ratna, pantas saja Datin Zahidah mengeluh. Marha terlalu baik untuk anak lelakinya itu.
“Kenapa mengeluh ni, Ida?” soal Umi Zainab sambil menyentuh bahu Datin Zahidah.
Datin Zahidah tersentak. Dia hanya menayang sengih.
“Tak ada apalah, Nab. Teringat kat anak-anak Ida tu. Bagusnya kalau dia orang pun ada masa macam Mar. Datang melawat anak-anak kat sini.” Jawab Datin Zahidah sambil tunduk memandang nasi di dalam pinggan.
“Biasalah tu, Ida. Anak-anak ni bila dah besar, sibuk dengan urusan sendiri. Kita dulu pun sama juga, tapi bila anak dah besar ni, berkurang sikitlah bebanan tu. Janganlah sedih-sedih depan rezeki ni. Betul tak, Mar?” soal Umi Zainab sebaik saja Marha muncul di hadapan mata mereka berdua.
Dahi Marha berkerut.
“Mar betulkan ajelah apa yang umi cakap.” Jawab Marha sambil tersengih.
Datin Zahidah dan Umi Zainab ketawa lepas.
“Mar ni muda lagi kan? Dah kahwin ke?” soal Datin Zahidah sewaktu mereka bertiga menjamu selera.
Marha berpandangan dengan Umi Zainab.
Err… Belum lagi, auntie. Belum ada jodoh kut.” Jawab Marha perlahan.
“Betul ke ni? Macam susah pulak auntie nak percaya. Orang cantik macam Mar ni mustahil tak jumpa calon yang sesuai lagi?”
Marha tersipu malu. Dia memandang Umi Zainab yang turut tersengih kepadanya.
“Tak adalah, auntie. Saya bukan cantik mana pun sebab tu jodoh tak sampai lagi. Maklumlah zaman sekarang ni lelaki pilih perempuan yang cantik, seksi, bijak dan kaya aje untuk dijadikan isteri. Perempuan macam saya ni mungkin jadi pilihan terakhir je…” jawab Marha merendah diri.
Bukan sengaja untuk dia merendah diri tetapi luka yang tergores di hatinya membuatkan Marha hilang keyakinan pada dirinya sendiri. Dia takut jika hatinya terluka lagi. Cukuplah hanya dia seorang yang merasa seksanya. Ditinggal tanpa sebab yang pasti di saat hari bahagia hampir menjelang. Puas dia cuba mencungkil sebab tetapi Naqib hanya mengambil langkah mendiamkan diri.
“Kecantikan bukan hanya terletak pada paras rupa, Marha. Kecantikan tu dari hati. Kalau hati cantik, maka kecantikan itu akan terserlah. Bukan ramai anak gadis zaman sekarang yang mahu jadi sukarelawan rumah anak yatim ni. Apatah lagi tanpa apa-apa bayaran. Tapi kamu sanggup buat semua itu. Kalau bukan disebabkan hati kamu yang nak lakukan semua ni, apa lagi kan?” balas Datin Zahidah. Pandangannya tepat memanah ke laman wajah Marha yang ayu bertudung kuning cair.
“Saya suka datang ke sini, auntie. Saya tak tahu kenapa. Bila tengok senyuman budak-budak ni saya rasa macam saya dapat ketenangan tu. Lagipun sejak dari universiti lagi saya suka buat kerja-kerja kemasyarakatan ni. Yalah, walaupun saya masih ada mak dan ayah tapi saya dapat rasakan perasaan macam mana kalau kehilangan orang yang kita sayang. Sedikit sebanyak kekuatan daripada budak-budak ni buat saya sedar yang setiap apa yang kita ada kat dunia ni hanyalah pinjaman. Termasuk mak dan ayah kita. Jadi sebelum apa-apa terjadi, kita kena bersyukur sebelum Allah tarik semua itu.” Balas Marha petah.
Datin Zahidah menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang dikatakan oleh Marha. Dia tersenyum mendengar bicara Marha yang jelas matang.
“Marha memang macam ni, Ida. Kalau bercakap memang petah tetapi sebenarnya dia ni pemalu.” Celah Umi Zainab.
Marha tersipu-sipu. Sedar bahawa dia sudah terlebih bicara. Pantas saja kepalanya ditundukkan. Bibirnya digigit. Sedangkan Umi Zainab dan Datin Zahidah ketawa lepas.
Lama Datin Zahidah merenung wajah Marha yang merona merah sebelum dia tersenyum sendirian. Senyuman penuh makna.

MARHA, hari ni awak ikut saya lunch.” Bunyi suara Amzar berbaur arahan mengejutkan Marha yang sedang leka menghadap komputer di ruang kerjanya.
Marha mendongak. Dengan laju dia bingkas bangun apabila Amzar berdiri betul-betul di hadapan mejanya. Jarang sekali Amzar ke ruang kerjanya melainkan ada perkara penting selebihnya lelaki itu lebih suka berkomunikasi melalui telefon.
Lunch apa, tuan? Ada meeting ke? Saya rasa tuan tak ada apa-apa lunch meeting hari ni,” ucap Marha. Dengan kelam kabut dia memeriksa semula diari peribadi yang digunakan untuk mencatat segala aktiviiti Amzar.
“Memanglah tak ada. Ini last minute punya meeting. Datuk Hisyam yang request. Dia nak saya bawak awak sekali. Jadi awak kena ikut. Mungkin dia nak tambah lagi pelaburan untuk hotel ni,” jawab Amzar. Mukanya tidak beriak. Hendak senyum, jauh sekali.
Marha melongo. Ajak aku sekali? Dah kenapa datuk tu? Ini yang aku tak suka ni. Bentak hati Marha.
“Datuk Hisyam? Kalau saya tak ikut, boleh kan tuan? Selalunya kalau tuan ada lunch meeting, saya tak ikut pun.” Suara Marha kedengaran lembut. Berharap agar Amzar memahami yang dia tidak selesa tika berdepan dengan Datuk Hisyam. Bukan dia ingin mengelak cuma pandangan Datuk Hisyam sering membuatkannya tidak selesa.
“Boleh tak awak jangan banyak kerenah? Datuk Hisyam tu cuma ajak awak makan je. Kenapa susah sangat awak nak ikut? Awak kena ingat, Marha. Datuk Hisyam tu klien kita yang penting. Kalau kita tak jaga klien kita, macam mana bisnes nak maju. Boleh tak awak ketepikan sikit perangai perasan awak tu?” Hambur Amzar tiba-tiba. Walaupun nada suaranya tidak tinggi tapi kata-kata itu cukup menikam tepat ke hati Marha.
Tersentak Marha dibuatnya. Dia menahan rasa sabar. Nafas ditarik sedalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan.
“Perasan? Apa maksud, tuan?” soal Marha lambat-lambat.
Amzar mendengus.
“Perasan yang Datuk Hisyam tu nak tackle awak.” Jawab Amzar selamba.
Marha melongo. Dia tidak percaya kata-kata itu boleh terbit daripada mulut Amzar. Tangannya digenggam. Cuba mencari kekuatan.
“Saya tak pernah rasa….”
“Sudahlah! Saya nak awak ikut saya. Ini arahan. Faham?” pintas Amzar sebelum sempat Marha menghabiskan bicara.
Tanpa menunggu lama, Amzar berlalu meninggalkan ruang kerja Marha. Bukan urusan dia kalau Marha tidak suka dengan sikap Datuk Hisyam. Sebagai ahli perniagaan, urusan peribadi dan urusan kerja harus diketepikan.
Marha mengetap bibir. Tidak bersetuju dengan arahan yang diputuskan oleh Amzar sedangkan dia ada hak untuk tidak turut serta dalam mesyuarat itu.
“Tapi tuan. Saya berhak kan kalau tak ikut sekali dalam mesyuarat ni? Lagipun mesyuarat ni antara tuan dan datuk aje.” Marha bersuara sambil mengejar langkah Amzar yang menghampiri pintu bilik pejabatnya.
Amzar merengus. Dia berdiri tegak sebelum berpaling ke belakang.
“Awak tak dengar apa yang saya cakap tadi? Datuk Hisyam nak awak ikut sekali. Ikut ajelah!” Amzar mula membentak.
“Saya tak nak!” bantah Marha berani.
“Cuba professional sikit. Ini kerja awak. Setiap arahan yang saya berikan adalah kerja untuk awak. Kalau awak tak boleh dengar arahan dari saya, sila hantar notis perletakkan jawatan!” ugut Amzar.
Dia kembali berpaling dan terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Pintu dihempas kuat. Hampir mengenai hidung Marha. Nasibnya baik apabila sempat menghentikan langkah. Kalau tidak pasti patah hidungnya.
“Haihhh… Langsung tak boleh bertolak ansur anak Dato Zuhdi ni. Dia aku ni apa nak ikut semua arahan dia. Padahal boleh je makan berdua dengan Datuk Hisyam tu. Datuk Hisyam pun satu, kalau aku join meeting sekali pun, bukannya aku boleh tambah duit untuk pelaburan.” Omel Marha sendirian.
Tidak semena-mena dia menunjuk penumbuk ke daun pintu bilik milik Amzar. Sekadar untuk melepaskan rasa ketidakpuasan hatinya.
“Pintu tu tak salah apa-apa…” tegur satu suara dari arah belakang.
Marha tersentak. Suara garau itu mengejutkan dirinya. Siapa agaknya ya? Janganlah Dato Zuhdi. Pinta Marha dalam hati. Perlahan-lahan, dia memusingkan badan. Terkebil-kebil dia memandang batang tubuh yang berdiri tegak di hadapannya.
Kelihatan seorang lelaki tegap. Sama tinggi dengan Amzar dan berkulit putih kemerah-merahan sedang berdiri di hadapannya. Segaris senyuman manis menghiasi bibir lelaki itu. Siapa dia ni? Kacak bukan main. Bisik hati Marha nakal.
“Maaf, encik cari siapa?” soal Marha sopan.
“Saya nak jumpa Am. Dia busy ke?” soal lelaki yang tidak diketahui namanya itu.
Errr… Tak busy. Encik ada buat appointment?” Soal Marha lagi inginkan kepastian.
“Saya ada call awak semalam kan untuk set kan appointment saya dengan Amzar. Saya Raqib dari HR Department.” Jawab Raqib. Matanya tidak lepas daripada menatap wajah gadis ayu yang berdiri di hadapannya ini. Inilah kali pertama dia bertentangan mata dengan setiausaha Amzar yang baharu. Tidak sangka, setiausaha Amzar kali ini boleh tahan sopannya. Tidak sama dengan setiausaha Amzar itu yang sebelum ini.
“Oh Encik Raqib. Maaf, saya terlupa pulak. Jemputlah masuk. Tuan Am ada kat dalam,” ujar Marha sambil memberi laluan kepada Raqib.
Raqib hanya mengangguk.
“Saya nak panggil awak apa ya?” Soal Raqib tiba-tiba.
“Hah?” Marha tersentak. Bola mata mereka bertentangan. Ada debaran menyapa hati Marha.
Raqib ketawa kecil.
“Maksud saya, nama awak apa?” soalnya kembali.
Marha tersengih. Dia menundukkan pandangan.
“Ainur Marha. Panggil saya Marha je. Jemputlah masuk Encik Raqib.”
Raqib hanya menganggukkan kepala. Bayang Marha dihantar dengan sorotan mata sehingga gadis itu hilang daripada pandangan. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman nipis.

MARHA mula resah apabila batang tubuh milik Datuk Hisyam mula menjelma di ruang mata. Lelaki tua itu tersenyum ramah sebaik saja terpandang wajahnya. Marha hanya membalas sekadarnya saja. Dia lebih rela membatukan diri di sebelah Amzar.
“Jemput duduk, datuk.” Pelawa Amzar ramah. Dia tersenyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amzar. Salam Amzar bersambut.
“Tak sangka, Ainur pun sudi ikut sekali.” Balas Datuk Hisyam sambil matanya terarah ke laman wajah Marha yang kelat.
Marha hanya melebarkan sengihan malas. Jelingan daripada Amzar dibuat tidak endah.
“Apa khabar, Ainur?” soal Datuk Hisyam. Tanpa disangka dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Marha. Dengan muka tidak berperasaan, dia menanti salamnya bersambut.
Marha tersentak. Dia memandang Amzar yang kelihatan bersahaja. Sedangkan dia sudah mulai resah. Buang tabiat agaknya datuk ni nak bersalam dengan aku? Tak tahu hukum ke atau sengaja nak mempermainkan hukum? Detik hati Marha. Mulai panas dengan sikap Datuk Hisyam yang dianggap tidak menghormati dirinya.
“Tak baik biar salam tak bersambut…” ucap Datuk Hisyam dengan senyuman penuh makna menghiasi bibirnya.
Marha menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan.
“Matlamat tak menghalalkan cara, datuk. Yang jelas ditegah tetap ditegah. Bak kata orang tua-tua, adat memakai, syarak mengata.” Jawab Marha dengan nada yang cukup lembut. Berharap agar Datuk Hisyam memahami kiasannya.
Huluran salam daripada Datuk Hisyam hanya dipandang sebelum telapak tangannya dilekapkan ke dada dan kepalanya ditundukkan sedikit sebagai tanda hormat kepada lelaki itu.
Datuk Hisyam terkulat-kulat. Tangannya segera dijatuhkan. Dia tidak menyangka yang Marha berani menolak huluran salamnya. Ternyata gadis itu benar-benar jenis yang sukar didekati. Hal itu membuatkan Datuk Hisyam semakin berkobar-kobar untuk mendekati Marha.
Manakala Amzar sendiri tidak menyangka dengan penolakan Marha. Gadis ini memang betul-betul berani. Tanpa sedar ada senyuman yang cuba Amzar sembunyikan sebaik saja melihat ketegasan Marha sebentar tadi.
“I suka dengan pendirian you tu, Ainur. Jadi bolehlah kita sambung perbincangan kita.” Ujar Datuk Hisyam lalu melabuhkan punggung berhadapan dengan Marha.
Marha mengerutkan kening. Dia benar-benar tidak selesa apabila terpaksa duduk berhadapan dengan Datuk Hisyam. Namun, dia cuba cekalkan hati.
“Datuk cakap, datuk ada satu projek baru yang datuk nak berikan pada Sri Lagenda. Apa tu datuk?” soal Amzar mula membuka perbincangan.
Suara Amzar mengganggu tumpuan Datuk Hisyam yang asyik merenung Marha. Spontan, dia mengalih pandangan ke arah Amzar tetapi hanya seketika. Matanya kembali menatap wajah Marha. Entah mengapa hatinya cukup berkenan dengan keayuan yang dimiliki oleh Marha. Senyuman gadis yang berlesung pipit itu begitu memukau pandangan. Tapi sayang, kehadirannya langsung tidak diendahkan oleh Marha.
“Datuk?” Panggil Amzar lagi. Dia melepaskan nafas pendek. Kadang-kadang timbul juga rasa geram dalam hatinya dengan perangai miang Datuk Hisyam. Kata nak berbincang, bila dah duduk semeja asyik nak menggatal dengan Marha. Buang masa sungguh! Bentak hati Amzar.
Datuk Hisyam tersentak.
“Oh ya, I rasa I nak melabur dalam projek you dekat Bachok tu. Boleh kan? I rasa projek kondominium mewah tepi pantai pun dapat berikan pulangan yang lumayan. Betul tak?” balas Datuk Hisyam.
Amzar hanya menganggukkan kepala. Sesekali dia mengerling pada Marha yang hanya mendiamkan diri. Sedikit pun tidak menyampuk. Cuma tangan gadis itu yang laju menulis sesuatu di dalam diari. Entah apa yang ditulisnya, Amzar tidak mengambil pusing.
“Setakat ni I rasa projek tu akan bagi kita keuntungan sebab di sekitar kawasan tu, tak ada lagi kondominium atau apartment yang didirikan. Tempat pun strategik. Dekat dengan pantai.” Jawab Amzar.
“You rasa macam mana, Ainur?” Sengaja Datuk Hisyam melontarkan soalan itu kepada Marha. Tidak betah rasanya apabila Marha hanya mendiamkan diri.
“Hah? Datuk tanya pendapat saya?” Soal Marha dengan wajah yang terpinga-pinga. Dia memandang Datuk Hisyam dan Amzar silih berganti.
“Yalah, I tanya pendapat you. You rasa projek kondominium tepi pantai ni akan mendatangkan keuntungan ke tak?” Datuk Hisyam mengulang kembali soalannya.
Err… Seperti yang Tuan Am cakap. Kediaman di tepi pantai memang dapat sambutan yang hangat. Boleh dikatakan hampir semua orang suka pantai. Apatah lagi kalau dapat duduk di tepi pantai. Saya rasa projek ni pasti dapat sambutan bagi orang kelas atasan,” jawab Marha. Betul ke jawapan aku tu? Lantak ajelah. Desis hatinya.
“You suka tinggal tepi pantai ke, Ainur?” soal Datuk Hisyam tiba-tiba. Lari daripada topik perbincangan mereka.
Marha menelan air liur. Dia hanya mendiamkan diri.
“Saya rasa lebih baik datuk sambung perbincangan dengan Tuan Am. Mesti banyak perkara yang hendak dibincangkan.” Balas Marha tanpa menjawab soalan Datuk Hisyam.
Datuk Hisyam hanya tersenyum. Dia menyoroti laman wajah Marha sambil kakinya di bawah meja cuba mencari kaki Marha. Dia tidak akan mengalah selagi Marha tidak jatuh ke tangannya.
Marha yang merasakan ada sesuatu yang tak kena mula terasa resah. Dia dapat merasakan ada ‘sesuatu’ yang cuba menyentuh kain baju kebarung yang dipakainya.
Gulp! Air liur ditelan apabila anak matanya berlaga dengan bola mata milik Datuk Hisyam. Lelaki tua itu tersenyum gatal. Dada Marha mula berombak menahan rasa marah. Sepantas kilat, dia menarik kakinya ke belakang. Telefon bimbit yang berada di atas meja dicapai. Nama Tuan Amzar di aplikasi Whatsapp, dicari dengan pantas.
Tuan, cuba tuan tengok bawah meja. Tapi pastikan yang datuk tu tak perasan.
Mesej dihantar.
Amzar tersentak apabila telefon bimbitnya bergetar di atas meja. Sempat lagi dia menjeling pada Marha yang kelihatan kaku di tempat duduknya. Tanpa berfikir panjang, telefon bimbit dicapai semata-mata untuk memeriksa pesanan.
Terkejut juga dia dibuatnya apabila pesanan itu nyata daripada Marha. Dia hanya mengerling ke arah Marha sebelum anak matanya jatuh pada wajah Datuk Hisyam yang sedang menghirup jus yang dipesannya. Dengan sengaja, Amzar menjatuhkan sudu ke lantai.
“Maaf…” ucapnya. Lalu berpura-pura tunduk untuk mengambil sudu yang terjatuh.
Kesempatan yang ada, dia memandang ke bawah meja. Terbuntang matanya apabila melihat kaki Datuk Hisyam menjalar cuba mencari kaki Marha. Tetapi rasa terkejutnya diganti dengan rasa geli hati apabila melihat Marha dengan selamba bersila di atas kerusi bagi mengelak daripada bersentuhan dengan kaki Datuk Hisyam.
Amzar hanya mampu menggelengkan kepala. Ada saja akal Marha untuk menyelamatkan diri. Lantas, dia kembali duduk di tempatnya. Dia berdeham.
“Marha, waktu lunch dah nak habis ni. Awak boleh balik ke pejabat dulu. Biar saya yang teruskan meeting ni dengan datuk.” Ucap Amzar tiba-tiba.
Sebaik saja Amzar selesai mengungkapkan ayat itu, Marha terus berpaling. Bagaikan tidak percaya yang Amzar melepaskannya pergi.
“Saya boleh balik ke ofis, tuan?” Soal Marha inginkan kepastian.
“Ya. Esok kita akan ke Bachok jadi saya nak awak prepare apa yang patut. Saya tak nak ada dokumen yang tertinggal nanti.” Dengan lancar Amzar mencipta alasan.
Marha tersenyum manis sehingga menampakkan lekuk di pipi belah kanannya. Sepantas kilat dia bingkas bangun. Segala barang-barang miliknya dicapai.
“Terima kasih, tuan. Jumpa kat ofis. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Ucap Marha dengan pantas.
Tanpa menghiraukan pandangan Datuk Hisyam, tanpa menunggu balasan daripada Amzar, Marha melangkah dengan pantas. Tidak sanggup rasanya berada lama di situ. Terasa seluruh badannya menggigil. Inilah kali pertama dia bertemu dengan lelaki miang seperti Datuk Hisyam. Tetapi nasibnya baik apabila Amzar memahami perasaan kali ini. Sekali sekala, baik juga bos aku ni. Desis hati Marha dengan senyuman kecil terukir di bibirnya.
“Kenapa you benarkan Ainur balik? Meeting kita belum habis lagi kan?” soal Datuk Hisyam tidak berpuas hati.
Amzar melepaskan nafas dengan perlahan. Sabar, Am. Sabar. Itu klien kau. Hati Amzar mengingatkan.
“Marha setiausaha saya, jadi dia hanya akan ikut arahan saya. Saya harap datuk tak kisah sebab dia balik atas arahan saya.” Jawab Amzar dengan perkataan yang disebut satu persatu. Cukup jelas di pendengaran Datuk Hisyam.
Datuk Hisyam terdiam. Ketegasan Amzar membuatkan dia mati kutu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.