Tetamu Rindu

Sunday, 17 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake)- BAB 5




SUASANA malam Pantai Irama Bachok kelihatan tenang bersama bayu yang berpuput lembut. Kedengaran jelas bunyi ombak yang menghempas pantai berselang seli dengan bunyi keriuhan orang ramai yang singgah di warung berhampiran.
Marha hanya memerhati. Dia berpeluk tubuh sambil berjala menyelusuri pantai yang kelihatan kelam di waktu malam. Dia berdiri sambil menghadap badannya ke arah laut. Terasa penat seharian dia bekerja, hilang begitu saja sebaik saja wajahnya disapa dengan angin malam.
Marha memejamkan matanya sejenak. Angin dan bunyi ombak menghempas pantai ini mengingatkannya pada seseorang. Seseorang yang ingin dia padamkan dari kotak fikirannya.
“Kenapa tiba-tiba Qib nak putuskan pertunangan kita? Lagi sebulan kita nak kahwin, Qib. Kalau Mar ada salah, Mar mintak maaf. Qib cubalah fikirkan semula keputusan Qib ni.” Lirih suara Marha kedengaran. Anak matanya memandang tepat ke wajah Naqib yang kelihatan resah. Malah, lelaki yang dicintai hampir empat tahun itu hanya melarikan pandangan ke tempat lain. Enggan menatap wajahnya.
“Susahlah Qib nak terangkan. Kalau Qib terangkan, Mar takkan faham. Qib rasa kita tak ada jodoh. Qib tak mampu nak tanggung Mar lagi. Dengan keadaan mak Qib yang sakit. Qib tak boleh teruskan perkahwinan ni kalau mak Qib masih lagi tak pulih.” Jawab Naqib sambil meraup rambutnya ke belakang.
“Kalau sebab penyakit mak Qib tu, Mar tak kisah kalau kita tangguh perkahwinan kita. Mar nak senang dan susah sama-sama dengan Qib. Kita kan dah janji nak senang atau susah sama-sama.” Jawab Marha masih cuba memujuk.
Naqib mengetap bibir. Dia menggelengkan kepala. Air laut yang membiru masih tidak mampu memberinya ketenangan.
“Masalah sekarang, Qib tak nak Mar hidup susah disebabkan Qib. Kanser yang ada pada mak tu perlukan kos pembedahan yang tinggi. Qib perlukan duit untuk selamatkan mak. Jadi, Qib harap Mar faham. Kisah kita tamat kat sini aje.” Ujar Naqib dengan penuh keyakinan.
Marha terpempan. Dia menahan air mata yang ingin gugur. Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum dilepaskan perlahan. Kau harus kuat, Marha. Kau harus!
“Qib pasti nak tamatkan hubungan kita ni? Qib pasti yang Qib takkan menyesal satu hari nanti? Kalau ada kelemahan Mar yang Qib tak suka, Qib cakap. Mar boleh berubah.” Marha masih cuba memujuk meskipun saat ini dadanya terasa berat menahan sebak. Hatinya bagaikan ditumbuk lumat. Hancur berkeping-keping.
“Tak ada apa yang perlu diubah, Mar. Cuma perasaan ni yang berubah. Anggap ajelah antara kita tak ada jodoh. Mungkin jodoh kita setakat kawan saja. Qib tetap anggap Mar sebagai kawan Qib. Tak ada yang berubah.” Jawab Naqib seolah-olah tiada perasaan. Dia hanya tunduk menekur tanah. Tidak berani menatap wajah Marha apatah lagi merenung ke dalam anak mata itu.
“Ada yang berubah, Qib. Kalau Qib nekad nak putuskan hubungan ni, Mar harap Qib jangan tunjuk lagi muka Qib depan Mar. Kenapa mesti Qib yang beri harapan dan Qib juga yang hancurkannya? Qib ingat hati Mar ni macam batu, tak ada perasaan? Perasaan keluarga kita, Qib tak fikir ke? Mana pergi akal Qib? Mana?” Julat suara Marha mula meninggi. Kesabaran yang dipertahankan akhirnya ranap jua.
Begitu mudah Naqib berkata-kata seolah-olah dia tidak punya perasaan.
Naqib menggenggam kedua belah tangannya dengan erat. Sukar untuk dia membuat keputusan, sukar lagi saat berdepan dengan orang yang dia kasihi. Tetapi dia harus membuat pilihan dan ini adalah pilihannya. Melepaskan Marha adalah keputusan yang terbaik meskipun hatinya meronta-ronta untuk menjadikan gadis itu miliknya.
“Qib terpaksa, Mar….” perlahan saja suara Naqib kedengaran. Cukup hanya dia saja yang mendengar.
“Apa Qib cakap?” Soal Marha apabila suara Naqib tidak jelas di telinganya.
Sepantas kilat Naqib menggelengkan kepala.
“Tak ada apa-apa. Baiklah, kalau Mar tak nak jumpa Qib lepas ni, Qib akan ikut. Ini kali terakhir kita berjumpa.” Ucap Naqib. Dia mengangkat wajah. Cuba merenung wajah Marha yang kelihatan merah. Malah, anak mata gadis itu turut bergenangan. Luluh hatinya saat ini tetapi dia terpaksa. Ada perkara yang ingin dia ungkapkan tetapi dia tidak mampu.
Marha menggelengkan kepala. Dia tidak rela jika kasih yang disemai akhirnya putus begitu saja tanpa sebab dan alasan yang pasti. Marha cuba menahan sendu daripada kedengaran tetapi dia tewas. Air matanya gugur jua.
Perlahan-lahan, cincin pertunangan yang tersemat kemas di jarinya, ditarik lalu dihulurkan kepada Naqib dengan rasa yang memberat. Namun, saat Naqib ingin menyambut hulurannya, dengan spontan Marha melemparkan cincin tersebut jauh ke tengah laut.
“Mar!” jerit Naqib. Terkejut dengan reaksi Marha. Dia membuka langkah untuk mencari semula cincin tersebut tetapi suara Marha menegah.
“Bukan cincin yang Mar buang tapi sebaliknya cinta kita. Tak guna Qib kejar cincin tu lagi sedangkan cinta yang sepatutnya Qib pertahankan, Qib biarkan ia pergi. Anggaplah cincin tu seperti perasaan Mar saat ini. Biar ia tenggelam kalau wujudnya hanya untuk menyakitkan.” Ucap Marha penuh dengan makna yang tersirat.
Tanpa menunggu lama, dia melangkah pergi meninggalkan Naqib yang termangu-mangu di situ. Semenjak dari hari itu, Marha tidak lagi bertemu dengan Naqib. Hanya berita pernikahan Naqib dengan wanita yang tidak dikenalinya sampai ke telinga Marha. Buat sekian kali hatinya hancur lumat lantas dengan tekad dia meninggalkan kampung halamannya semata-mata untuk mencari secebis ketenangan.
Lamunan Marha terganggu apabila terdengar bunyi letupan memenuhi ruang pantai. Dia tersentak. Pandangannya teralih kepada sekumpulan anak-anak muda yang sedang menembak bunga api ke udara. Meriah kawasan itu dengan hilai tawa mereka tidak kira lelaki atau pun perempuan.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya dengan perlahan. Kakinya terus berjalan tanpa tujuan.


AMZAR jalan bersendirian saat ini, berhajat untuk menenangkan fikirannya yang semak memikirkan soal kerja yang tak pernah surut. Ditambah lagi dengan desakan Datin Zahidah yang meminta supaya dia menamatkan zaman bujangnya. Bukan dia tidak mahu cuma alasan demi alasan yang diberikan Ratna membuatkan Amzar mulai bosan. Masih jelas di ingatannya perbincangan antara dia, Ratna dan Datin Zahidah. Perbincangan yang tidak mencapai apa-apa keputusan.
“Bila auntie boleh jumpa keluarga Ratna untuk hantar rombongan?” Soal Datin Zahidah sewaktu mereka makan malam bersama. Datuk Zuhdi dan adik-adik Amzar yang lain hanya mendiamkan diri.
Ratna tersedak. Dengan pantas dia mencapai air masak yang dihulurkan oleh Amzar lalu diteguk perlahan.
“Hantar rombongan untuk apa, auntie?” soal Ratna berpura-pura tidak tahu sedangkan hatinya mula bergumam resah.
Datin Zahidah berpandangan dengan Amzar sebelum anak matanya kembali memandang Ratna.
“Rombongan untuk meminang kamulah. Kamu nak kahwin dengan anak auntie tak?” suara Datin Zahidah kedengaran beku tak bernada.
Ratna tersenyum kelat. Dia menyeka peluh di dahi. Rambutnya yang hitam keperangan itu diselak ke belakang mempamerkan bahagian lehernya yang putih melepak.
“Errr… Nak auntie tapi sekarang ni I sibuk sikit. Banyak fashion show. Photoshoot pun banyak. Jadual padat sikit.” Jawab Ratna dengan lambat-lambat. Kecut juga perutnya melihat wajah Datin Zahidah yang serius.
Datin Zahidah hanya tersenyum sinis. Dia sudah mengagak itu jawapan yang akan diberikan oleh Ratna. Dia yakin, wanita bekerjaya seperti Ratna hanya mementingkan kerjanya semata-mata. Wanita seperti inikah yang Amzar inginkan jadi isteri? Mampukah wanita seperti ini menjaga Amzar hingga ke akhir hayat anaknya itu?
“Mama, kita tangguhlah dulu soal kahwin ni. Lagipun Am pun belum sedia nak pikul tanggungjawab sebagai suami tu. Kebelakangan ni Am sibuk. Banyak projek nak diuruskan. Tunggulah bila Am dan Ratna ada masa. Nanti kita bincangkan balik.” Sampuk Amzar menyebelahi Ratna.
Mata Datin Zahidah teralih pada laman wajah Amzar yang kelihatan resah. Entah mengapa dia dapat rasakan yang tiada cahaya cinta terpancar di mata Amzar buat Ratna. Atau itu mungkin perasaannya sahaja?
“Mama beri Am peluang untuk pilih teman hidup Am, jadi mama tak nak Am sia-siakan masa yang ada. Mama dan papa ni entah sampai bila dapat bernafas atas muka dunia ni, sekurang-kurangnya bila mama dan papa tak ada, ada orang yang boleh uruskan makan pakai Am.” Ucap Datin Zahidah membuatkan Amzar terdiam seribu bahasa.
Satu keluhan terbit daripada celah bibir Amzar. Memikirkan permintaan Datin Zahidah menambahkan lagi kusut di fikirannya. Bukan dia belum sedia untuk memikul tanggungjawab cuma perasaan itu tidak wujud untuk Ratna meskipun mereka telah menjalinkan hubungan selama lebih dua tahun. Entah di mana silapnya, kehadiran Ratna langsung tidak dapat mengisi hatinya. Seolah-olah masih ada ruang kosong di hatinya. Untuk mengungkapkan perkataan cinta pun dia tidak mampu, apatah lagi ingin membuktikannya dengan sebuah perkahwinan. Dia memilih Ratna pun sekadar untuk melepaskan diri daripada didesak oleh Datin Zahidah untuk menamatkan zaman bujangnya.
Amzar melabuhkan punggung di bangku yang tersedia di tepi pantai tersebut. Bangku yang agak jauh daripada tumpuan orang ramai. Hanya cahaya lampu neon saja yang menerangi kawasan itu.
“Tuan Am?” Satu suara menyoal membuatkan Amzar berpaling.
Kelopak matanya dikecilkan untuk memastikan milik siapa suara yang menegurnya tadi. Dia terkebil-kebil melihat gadis itu berdiri di hadapannya.
“Marha?” Soalnya pula.
“Ya, saya. Tak sangka jumpa tuan kat sini.” Ucap Marha dengan senyuman menghiasi bibirnya.
Amzar berpaling semula ke dada laut. Dia mengeluh kecil.
“Saja ambik angin. Awak pulak macam mana boleh datang kat sini? Dah lewat sangat ni.” Balas Amzar sambil matanya melirik ke arah jam yang melingkari pergelangan tangan. Hmmm… Dah dekat pukul dua belas. Cepatnya masa berlalu. Gumam hati Amzar.
Errr… Saya pun nak ambil angin juga tadi. Bosan duduk kat hotel. Nak tidur, mata tak mengantuk pulak. Boleh saya duduk?” pinta Marha sambil menunjukkan ruang kosong di sebelah Amzar.
Amzar hanya mengangguk. Dia mengesot punggungnya agak jauh daripada Marha.
“Tuan fikirkan apa? Jauh betul saya tengok tuan termenung.” Marha cuba berbicara. Dia memandang sekilas pada wajah Amzar yang samar-samar dilihat di bawah cahaya lampu.
“Tak ada apa. Fikir pasal kehidupan aje. Alangkah bagus, kalau apa yang jadi dalam hidup kita ikut apa yang kita rancang.” Jawab Amzar perlahan. Dia melepaskan nafas pendek.
Marha hanya tersenyum. Hal itulah yang selalu dia fikirkan tiap masa. Alangkah bagus jika setiap apa yang dia rancang, menjadi mengikut aturannya. Tetapi Marha sedar, masih ada kuasa yang mengawal setiap susun atur hidupnya. Kuasa yang lebih tahu apa yang terbaik untuk hidupnya. Kuasa yang tak layak untuk dia pertikaikan.
“Sebab kita hanya hamba. Layaknya seorang hamba hanya mengikut arahan tuannya dan tuan kita adalah Dia yang di atas sana. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.” Jawab Marha ringkas tetapi padat.
Amzar terdiam. Kata-kata Marha ada benarnya. Dia hanya manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Tidak seharusnya dia merungut dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya selama ini.
Hmmm… Dah lewat ni, saya balik dululah.” Ucap Marha setelah tiada balasan daripada Amzar.
Amzar hanya mengangguk dan hanya memerhatikan Marha yang sudah bingkas bangun. Namun, saat Marha ingin melangkah tiba-tiba kakinya terpijak bongkah kayu yang tersadai di atas tanah. Kakinya tersadung.
“Eh… Eh…”
Hampir saja dia terjatuh tetapi nasibnya baik apabila ada tangan yang menangkap lengannya. Marha menarik nafas lega. Namun, jantungnya bagai direntap apabila pemilik tangan itu adalah Amzar. Dia meneguk liur saat mata mereka berpandangan.
“Mata tu Allah bagi untuk pandang, bukan untuk hiasan.” Perli Amzar sambil membantu Marha untuk berdiri kembali.
Marha hanya mampu tersengih. Sedar akan silapnya sendiri. Lantas, lengannya yang masih dalam pegangan Amzar, ditarik perlahan. Marha ingin mengata sesuatu tetapi bunyi derap tapak kaki yang menghampiri tempat mereka berdua membuatkan Marha mendongak.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan bersama suluhan lampu yang tepat mengenai wajah mereka berdua.
Marha dan Amzar memejamkan mata bagi mengelak cahaya lampu yang menyilaukan pandangan. Dalam dada mereka sudah berdentum-dentam tanda sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Waalaikummusalam…” Jawab Amzar. Sedangkan Marha sudah beku di tempatnya berdiri apabila melihat sekumpulan lelaki lengkap berkopiah dan berbaju melayu sedang berdiri di hadapan mereka berdua. Ya Allah, apa yang jadi ni?
“Kami dari Jabatan Agama Islam daerah Bachok, datang nak buat pemeriksaan. Boleh tunjuk kad perkahwinan kamu berdua?” soal lelaki yang berada di tengah-tengah kumpulan lelaki tersebut.
“Kad kahwin?” Soal Marha dan Amzar serentak. Mereka berpandangan sesama sendiri dengan jantung yang berlari kencang. Hancur semuanya!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.