Tetamu Rindu

Saturday, 23 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake) - Bab 6



“SAYA mintak maaf, datuk. Saya tak boleh buat apa-apa. Anak datuk didapati berdua-duaan dan berpelukan di tempat yang gelap tanpa ada orang lain yang boleh dijadikan saksi.” Terang Ustaz Khairi sambil membalas renungan Dato Zuhdi dan Datin Zahidah yang kelihatan begitu kecewa.
Dia hanya menjalankan tugasnya untuk membanteras kes maksiat yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja. Dia sendiri tidak percaya anak kepada kenalannya, Datuk Zuhdi menjadi salah seorang daripada beberapa remaja lain yang ditahan semasa mengadakan serbuan di Pantai Irama Bachok.
“Berpelukan? Fitnah! Saya tak pernah berpelukan dengan dia!” Amzar bersuara keras. Membantah kata-kata Ustaz Khairi.
Dato Zuhdi menjeling tajam ke arah Amzar. Memberi amaran dalam diam supaya Amzar menutup mulut.
“Betul, kami tak pernah buat perkara tu. Tolonglah percaya saya, dato.” Rayu Marha. Air mata sudah menjadi peneman setia sejak malam tadi.
Datin Zahidah yang turut hadir hanya mampu mengeluh kecil. Dia tidak menyangka Marha yang dikenalinya di rumah anak-anak yatim merupakan setiausaha Amzar. Betapa kecilnya dunia. Adakah ini satu kebetulan atau takdir yang telah ditetapkan?
“Saksi yang turut sama hadir masa operasi itu nampak kamu berdua berpelukan. Walau apa pun sebabnya, berada di tempat yang sunyi dan gelap tanpa ada orang lain, itu merupakan satu kesalahan. Ia boleh mendatangkan fitnah. Saya rasa kamu tahu tentang itu kan?” Jawab Ustaz Khairi sambil mengalih pandangan ke arah Marha.
Marha terbungkam. Dia tersedu kecil di sisi Datin Zahidah. Pak Din, bapa saudara Marha turut mendiamkan diri. Sesekali kedengaran keluhan terlepas daripada bibirnya mengenangkan apa yang berlaku kepada anak saudarnya begitu mengejutkan.
“Habis apa yang kami nak buat, ustaz? Kami malu kalau orang dapat tahu kes ni. Kami orang bisnes, perkara macam ni pasti akan bagi kesan pada bisnes kami.” Keluh Dato Zuhdi sambil meraup rambutnya ke belakang. Dia kusut.
“Kita kahwinkan aje budak berdua ni, bang!” Sampuk Datin Zahidah tiba-tiba.
Amzar tersentak. Marha terbuntang. Dato Zuhdi terkejut. Semua yang ada di situ memandang ke arah Datin Zahidah yang beriak selamba.
“Ida?”
“Mama!”
Dato Zuhdi dan Amzar bersuara serentak. Amzar bingkas bangun dari tempat duduknya. Tiba-tiba saja punggungnya terasa panas. Begitu juga hatinya.
“Sama ada dia orang bersalah atau tidak, orang tetap akan tahu yang mereka berdua ni ditangkap khalwat. Ditangkap berdua-duaan. Jadi, siapa akan malu nanti? Keluarga kita juga kan? Daripada semuanya jadi lebih buruk, lebih baik kita kahwinkan aje dia orang berdua ni supaya dia orang bertanggungjawab terhadap perbuatan dia orang.” Datin Zahidah bersuara.
“Tapi Am tak bersalah, mama!” Tegas Amzar. Wajahnya bertukar kelat.
“Am ada bukti?” balas Datin Zahidah membuatkan Amzar mati kutu.
Amzar mengetap bibir. Pandangannya dihalakan  ke arah Marha. Melotot matanya memandang Marha yang tidak henti-henti menangis. Pasal perempuan ni, aku dapat masalah. Memang dasar perempuan tak guna! Menyusahkan hidup aku! Bentak hatinya. Rasa benci semakin menular ke segenap hatinya yang marak dengan api kemarahan.
“Hoi, perempuan! Kenapa kau diam? Cakaplah yang tak ada apa-apa berlaku antara kau dengan aku.” Amzar mula menyerang Marha dengan bicara yang agak kasar.
Dia mendekati Marha. Tajam matanya merenung wajah Marha yang kelihatan cuak dengan perubahan emosi Amzar. Marha benar-benar kelihatan kecil di mata Amzar sekarang. Terasa bahang api kemarahan berada di ubun-ubun. Bila-bila masa sahaja kemarahannya boleh meletup.
“Sabar, Am. Kita bincang elok-elok perkara ni,” Dato Zuhdi cuba menghalang Amzar daripada mendekati Marha. Lengan anak lelakinya itu dipegang kejap.
“Bincang, papa? Mama nak Am kahwin dengan perempuan ni sedangkan Am tak salah. Am tak buat apa-apa pun dekat dia. Sentuh dia pun tak. Kenapa Am nak kena bertanggungjawab?” Amzar meluahkan rasa tidak puas hatinya.
“Memang Encik Am tak buat apa-apa pada Marha. Mungkin tak ada apa-apa yang terjadi antara kamu berdua tapi kenyataannya kamu berdua dah ditangkap berkhalwat. Berdua-duaan tanpa ikatan yang sah. Orang tetap anggap kamu berdua bersalah. Encik Am orang bandar, mungkin takkan ada orang yang mengata. Tapi keluarga saya dan keluarga Marha ni hidup kat kampung. Apa saja yang terjadi pada anak-anak kami terutama anak perempuan, pasti akan jadi buah mulut orang. Sekarang ni, ayah Marha jatuh sakit disebabkan perkara ni. Mana kami nak letak muka kami ni?” Pak Din turut bersuara apabila dirasakan Amzar mula menyalahkan Marha.
Amzar terdiam. Dia memandang sekilas pada bapa saudara Marha. Dia merengus.
“Pak long, Mar tak salah. Tuan Am pun tak salah. Kami cuma berada di tempat yang sama pada waktu yang salah. Mar tak tahu nak terangkan macam mana lagi. Kalau Mar terangkan, takkan ada sesiapa yang percayakan Mar. Mar tak kisah, kalau kena bayar denda atau kena penjara sekali pun. Tapi Mar mintak dengan pak long, jangan susahkan sesiapa.” Akhirnya Marha bersuara. Lirih suaranya kedengaran.
Semua yang berlaku begitu pantas. Dia sendiri masih lagi kebingungan. Tambahan pula ayahnya diserang sakit jantung akibat mendengar berita ini. Hal itu membuatkan otak Marha bertambah serabut. Kemarahan yang ditunjukkan oleh Amzar tidak berbekas dalam dirinya sebaliknya dia lebih risaukan kesihatan ayahnya.
“Oh, boleh pulak bersuara. Aku ingatkan bisu…” sinis Amzar geram.
Datin Zahidah menjeling tajam. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya dengan perlahan.
“Mar mungkin boleh bayar denda atau ke penjara tetapi orang tetap akan pandang hina pada Mar. Mar sanggup hidup dengan caci maki orang lain?” Pak Din menyoal.
“Tapi dengan berkahwin pun takkan selesaikan masalah, pak long.” Bantah Marha.
“Tak. Hanya dengan perkahwinan yang akan selesaikan masalah ni. Sekurang-kurangnya nama yang busuk boleh ditutup kalau Am bertanggungjawab. Keputusan mama tetap sama, Am kena kahwin dengan Marha secepat mungkin!” Datin Zahidah membuat keputusan.
“Mama! Am tak nak!” Amzar mula meninggikan suara.
“Saya rasa itu seeloknya datin, dato. Saya kenal anak saudara saya ni, dia nak bercakap dengan lelaki pun payah. Inikan pula nak buat perkara tak senonoh. Tapi untuk tutup aib dirinya sendiri saya mohon, Encik Am tolong nikahi Marha. Kalau ayah Marha ada kat sini, saya yakin dia pun pasti akan buat keputusan yang sama.” Sambung Pak Din lagi dengan nada yang mendatar.
“Pak long! Ini bukan penyelesaiannya! Mar tak nak kahwin!”
“Am takkan nikah dengan perempuan tak guna ni! Apa nak jadi, jadilah!” bentak Amzar lantas melangkah meninggalkan bilik itu.
“Am!” Panggil Datin Zahidah dan Dato Zuhdi serentak. Dengan pantas, Datin Zahidah turut berjalan pantas untuk mengejar langkah Amzar yang semakin laju.
“Am tunggu dulu!” jerit Datin Zahidah sambil berlari mendapatkan Amzar. Tetapi Amzar tidak peduli.
“Kalau Am masih hormat mama sebagai ibu Am, berhenti kat situ sekarang jugak!” jerit Datin Zahidah geram dengan kedegilan yang ditunjukkan  oleh Amzar.
Amzar merengus. Dia memejamkan matanya sejenak. Wajahnya diraup dengan telapak tangan sebelum langkahnya terhenti.
“Am mintak tolong sangat dengan mama, tolong jangan paksa Am kahwin dengan perempuan yang Am tak kenal hati budi dia. Am tak nak, mama! Am tak bersalah dalam hal ni.” Ucap Amzar dengan suara yang mendatar. Seakan tidak tertanggung tekanan perasaan yang dirasakan saat ini.
“Hati mama percaya yang Am tak bersalah tapi cuba Am fikir kalau berita ini tersebar luas dekat rakan-rakan bisnes kita yang lain. Keluarga kita yang lain. Apa akan jadi? Mereka tetap akan fikir Am buat benda yang tak senonoh. Dahlah buat benda tak senonoh tak nak bertanggungjawab pulak. Siapa yang akan dipersalahkan? Bukan Am tau. Tapi mama dan papa. Mama dan papa akan dicop tak pandai didik anak. Am sanggup tengok atau dengar mama dan papa kena caci? Kena hina dengan orang lain? Am sanggup?” soal Datin Zahidah sambil memegang kedua belah lengan Amzar.
Anak lelakinya itu hanya menundukkan wajah. Wajah keruh itu menceritakan segalanya.
“Tapi kalau Am pilih untuk nikah dengan perempuan tu, Am akan terperangkap dengan dia. Am tak nak! Am tak cintakan dia. Am tak kenal dia. Entah-entah dia saja nak perangkap Am. Dia nak hancurkan hidup Am.”
“Dan Am fikir dia sanggup perjudikan hidup dia untuk hancurkan hidup Am? Tak ada seorang pun perempuan dalam dunia ni yang sanggup rendahkan martabat dirinya sendiri semata-mata nak hancurkan hidup orang lain. Memang mama pun tak kenal sangat dengan Marha tapi mama pernah jumpa dia sebelum ni dan mama yakin dia perempuan yang baik.” Ujar Datin Zahidah cuba menyedarkan Amzar.
Amzar tersenyum sinis. Tangan Datin Zahidah yang memegang lengannya ditolak lembut. Dia menggelengkan kepala. Langkahnya diundurkan setapak ke belakang.
“Kalau mama fikir mama boleh pujuk Am dengan kata-kata tu, mama silap. Am takkan pernah setuju dengan apa yang mama cadangkan. Perempuan tu takkan pernah jadi isteri Am apatah lagi jadi sebahagian hidup Am. Dia hanya seorang perempuan yang tak guna dan takkan ada sesiapa yang dapat mengubah kenyataan itu!” balas Amzar masih lagi enggan mendengar kata-kata Datin Zahidah.
Datin Zahidah mengeluh hampa.
“Baiklah, kalau macam tu keputusan Am. Mama bagi dua pilihan pada Am, kahwin dengan Marha secepat mungkin atau Am boleh lupakan mama dan papa sebagai keluarga Am. Mama tak perlukan anak yang dah mencalarkan maruah keluarga tapi tak nak bertanggungjawab. Mama tak perlukan anak macam tu.” Ucap Datin Zahidah selamba.
“Mama!” terjerit kecil Amzar dibuatnya. Jantungnya berlari pantas mendengar kata-kata Datin Zahidah.
“Itu saja pilihan yang mama bagi pada Am. Pilih salah satu. Mama bagi satu jam untuk Am fikir.” Ucap Datin Zahidah lantas berpaling meninggalkan Amzar yang termangu sendirian.
Amzar melepaskan nafas dengan kuat. Dia meraup rambutnya ke belakang. Semakin kusut fikirannya saat ini. Perempuan tu betul-betul dah menyusahkan hidup aku! Aku takkan biarkan dia menang!

“IDA yakin ke dengan keputusan Ida ni? Ini bersangkut paut dengan masa depan anak kita. Memang Marha tu pekerja kita tapi kita tak kenal hati budi dia lagi.” Dato Zuhdi bersuara saat dia berdua dengan Datin Zahidah. Dia yakin pasti ada sesuatu yang sembunyikan di sebalik keputusan isterinya memaksa Amzar supaya menikahi Marha.
Datin Zahidah tersenyum nipis. Dia memperkemaskan duduk. Renungan Dato Zuhdi yang sarat dengan tanda tanya itu dibalas lembut.
“Abang mungkin tak kenal dia tapi Ida pernah jumpa dia masa dekat Baitul Husna. Kalau abang nak tahu, dia jadi sukarelawan kat sana. Sebab itu Ida tak teragak-agak untuk terima dia jadi menantu kita,” jawab Datin Zahidah tenang.
“Tapi jadi sukarelawan bukan menjamin yang dia perempuan yang baik…”
“Cuba abang cakap kat Ida, anak muda mana yang sanggup luangkan masa dekat rumah anak yatim? Tanpa ambil apa-apa bayaran. Tanpa pedulikan masa dia habis untuk layan kerenah-kerenah anak yatim. Cuba abang cakap anak gadis mana yang sanggup? Anak perempuan kita sendiri pun boleh kira dengan jari pergi melawat Baitul Husna tu. Apatah lagi Ratna. Sekali pun tak pernah jejak rumah anak yatim. Kalau jejak pun pasti ada kamera ikut sekali.” Balas Datin Zahidah sambil menjuihkan bibir.
Dato Zuhdi terdiam. Kata-kata Datin Zahidah ada benarnya juga. Lagipun jauh dalam hatinya, dia turut berkenan dengan sikap santun yang selalu dipamerkan oleh Marha. Mungkin dengan menjadikan Marha sebagai menantu mereka, boleh menjauhkan Amzar daripada Ratna.
“Jadi Ida setujulah Marha jadi menantu kita?” Soal Dato Zuhdi sekali lagi. Sekadar inginkan kepastian.
Datin Zahidah mengangguk laju. Dia akan melakukan apa saja asalkan Amzar memperisterikan Marha. Nalurinya sebagai ibu kuat mengatakan yang Marha adalah gadis yang sesuai untuk dijadikan menantunya. Mungkin, perkara aib yang terjadi di antara Amzar dan Marha cuma asbab untuk Allah mengkabulkan doanya selama ini.
“Kalau boleh Ida nak percepatkan akad nikah ni. Tak kira sama ada Am setuju atau tak.”

MARHA berlari-lari anak mengejar Amzar yang melangkah laju ke kereta. Riak wajah Amzar kelihatan tegang manakala roman wajah Marha kelihatan cemas.
“Tuan! Tuan tak boleh buat keputusan macam ni!” Tingkah Marha lalu mendapatkan Amzar yang sudah bersedia untuk menarik pintu kereta. Dia berdiri berhadapan dengan Amzar yang sedang membelakanginya.
“Tuan tak boleh buat keputusan macam ni. Saya tak nak! Saya tahu tuan tak rela jadi saya harap tuan jangan buat keputusan macam ni.”
“Apa pun keputusan aku, tak ada kena mengena dengan kau. Aku buat semua ni sebab mama. Sebab papa aku. Untuk maruah keluarga aku. Tak pernah sesekali pun aku terfikir tentang kau. Anggap ajelah kau pinjamkan jasad kau ni semata-mata nak tutup aib keluarga aku dan keluarga kau. Itu pun kau tak dapat fikir ke? Oh, lupa. Perempuan kurang cerdik macam kau ni bukannya reti nak berfikir. Otak kau dengan kau sama aje tak berguna!” Hambur Amzar dengan sinis.
Marha terpempan. Kata-kata kesat yang dilemparkan oleh Amzar meresap jauh ke dalam hatinya sehingga menggoncang pintu kesabaran yang dia pertahankan.
“Tapi semua ni akan tambah lagi masalah, tuan. Tuan tahu kan semua yang jadi ni bukan salah kita jadi tak perlu kita bertanggungjawab atas apa yang berlaku.” Tambah Marha lagi. Dia resah sendiri dengan keputusan yang dibuat oleh Amzar.
“Senangnya kau cakap. Kalau kau tak datang tegur aku kat pantai, semua ni takkan jadi. Entah-entah ni semua perangkap kau kan? Kalau kau nak duit, kau cakap aje dengan aku. Aku boleh bagi. Tak perlulah kau buat rancangan bodoh macam ni untuk kenakan aku. Sekarang ni mama aku nak aku kahwin dengan kau. Pak cik kau pun nak kau kahwin dengan aku. Apa masalahnya, kahwin ajelah. Sign borang nikah. Akad nikah. Siap! Orang zaman sekarang cuma nak bukti aje. Sama ada kau jadi suami isteri sebetul-betulnya atau tak, itu bukan persoalannya.”
“Pernikahan tu bukan benda mainan tuan. Saya tak setuju kalau tuan anggap pernikahan ni sebagai barang mainan.” Tegas Marha. Dia cuba menentang pandangan Amzar namun dia tidak berani. Akhirnya, anak matanya dilarikan ke tempat lain.
Amzar ketawa lepas. Jelas sekali ketawa yang sengaja dibuat-buat semata-mata untuk melindungi rasa sakit di hati.
“Habis tu kau nak aku terima kau sebagai isteri aku dengan rela hati? Huh! Kau dengar sini, sekali pun aku setuju untuk pernikahan ni, tapi kau takkan sesekali dapat tempat dalam hidup aku! Bagi aku, kau cuma sampah! Sampah yang tak boleh dikitar semula. Kau wujud cuma untuk kotorkan tempat orang dan tinggalkan bau yang cukup busuk. Macam tu jugak hati kau. Hati kau lebih busuk dari sampah!” cemuh Amzar sarat dengan kebencian.
Marha kehilangan kata. Dia benar-benar tersentap dengan kata-kata Amzar. Dia menahan air mata daripada gugur. Berhadapan dengan orang yang panas baran seperti Amzar memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Jelas sekali, kata-kata itu cukup merobek hatinya
“Tuan! Saya…”
Belum sempat Marha menghabiskan kata. Kedengaran namanya dipanggil dari arah belakang. Marha berpaling sedangkan Amzar sudah meloloskan diri ke dalam kereta sebaik saja melihat kelibat Pak Din menghampiri mereka berdua.
“Mar, ayah kamu! Ayah kamu!” suara Pak Din kedengaran cemas.
“Kenapa dengan ayah, pak long? Kenapa?” soal Marha turut cemas.
“Ayah kamu tenat!”
“Hah??”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.