Tetamu Rindu

Sunday, 24 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA (Rindu Dalam Sepi Remake) - BAB 7



AIR mata yang menitis di pipi, dikesat dengan lengan bajunya. Marha cuba untuk bertenang sebaik saja melihat tubuh si ayah terbaring di atas katil wad. Rasa bersalah kerana meletakkan Encik Yasin dalam keadaan sebegitu semakin kuat merantai jiwanya.
“Maafkan Mar, ayah.” Lirih suara Marha kedengaran. Tangan Encik Yasin dicapai lalu digenggam sebelum tangan tua itu dikucup lembut. Penuh dengan rasa hormat dan kasih sayang.
Akibat sentuhan daripada Marha, Encik Yasin tersedar. Matanya yang terpejam, terus terbuka. Satu senyuman hambar dilemparkan buat si anak yang masih menangis.
“Ayah!” jerit Marha lalu menerpa ke arah Encik Yasin. Tubuh ayahnya dipeluk kemas.
“Maafkan Mar, ayah. Mar tak bersalah. Mar tak buat perkara tu.” Ngongoi Marha.
Encik Yasin tidak menjawab. Sungguh dia rasa sedikit kecewa dengan apa yang terjadi. Anak yang dididik penuh dengan ilmu agama, akhirnya melakukan perkara yang dia sendiri tidak dapat bayangkan. Rasa malu dan marah bercampur gaul dalam dirinya saat ini. Walaupun separuh hatinya percaya yang Marha tidak akan sesekali melalukan perbuatan terkutuk itu. Lantas, secara perlahan-lahan tubuh Marha ditolak lembut. Merungkai pelukan daripada Marha.
Marha terpinga-pinga. Entah mengapa dia dapat rasakan sikap Encik Yasin semakin dingin.
“Ibu mana?” soal Encik Yasin pendek.
Marha mengesat sisa air matanya.
“Mar belum sempat lagi jumpa ibu. Pak long terus bawak Mar datang sini. Ayah, ayah janganlah macam ni. Kalau ayah nak marah Mar, ayah marah aje. Kalau ayah nak pukul Mar, ayah pukul. Mar sanggup. Tapi jangan layan Mar macam ni. Mar rasa bersalah sangat.” Ujar Marha. Air matanya tumpah lagi sebaik saja melihat riak Encik Yasin yang dingin.
“Mar kahwin ajelah dengan budak lelaki tu. Tutup aib keluarga kita. Sekarang ni saudara mara kita dah tahu apa yang jadi. Ayah tak nak Mar jadi bahan umpat keji dia orang.” Ucap Encik Yasin secara tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia terkedu seketika bersama jantung yang berdetak kencang.
“Ayah bergurau aje kan? Mar tak bersalah, takkan Mar nak kahwin pulak dengan dia. Mar sanggup bayar denda tu, ayah. Tapi Mar tak sanggup perjudikan hidup Mar dengan kahwin dengan lelaki tu.” Bantah Marha. Tegas.
“Tapi kamu sanggup duduk berdua-duaan dengan dia sampai kena tangkap? Ayah tak tahu apa yang jadi sebenarnya, macam mana ayah nak percaya yang kamu dengan dia tak ada apa-apa hubungan? Sekarang, semua dah jadi macam ni. Nak betulkan pun dah tak boleh. Jadi, kamu kena pulihkan apa yang dah kamu rosakkan.  Ayah tak tahu sampai bila ayah boleh hidup, kalau boleh ayah tak nak habiskan sisa hidup ayah dengan rasa menyesal kerana tak mampu didik kamu dengan baik.” Ucap Encik Yasin turut bertegas.
“Tapi ayah, Mar dengan dia tak salah…”
“Kalau tak bersalah, takkan kena tangkap…”
“Ini semua salah faham, ayah. Kami berdua jadi mangsa keadaan. Ayah tak boleh buat keputusan macam ni. Ini soal masa depan, Mar. Ayah nak tengok ke Mar hidup dengan lelaki yang Mar tak kenal hati budi dia?” Soal Marha mula beremosi.
Encik Yasin melepaskan keluhan berat. Dia memicit kepalanya yang terasa pening. Terasa apa yang menimpa Marha begitu menekan jiwanya sebagai seorang ayah. Rasa kecewa yang menggunung tinggi membuatkan jiwanya turut terasa sakit. Besar harapan dia untuk melihat anak perempuan sulungnya berjaya tetapi disebabkan satu peristiwa, kepercayaan terhadap anak gadisnya itu ranap dengan sendirinya.
“Mar yang pilih semua ini terjadi. Ayah tak tahu nak salahkan Mar atau tidak, tapi ayah cukup kecewa. Mar fikirlah apa yang terbaik untuk selesaikan masalah ni. Ayah restukan semua apa yang Mar nak buat.” Balas Encik Yasin.
Tanpa menunggu balasan daripada Marha, Encik Yasin membelakangi tubuhnya daripada menghadap Marha. Dia memejamkan mata. Berpura-pura tidur sedangkan telinganya dapat menangkap jelas bunyi esakan daripada Marha. Dia tahu anak gadisnya tertekan. Dia yakin anak gadisnya tidak bersalah tetapi semua itu tidak mampu untuk memperbetulkan keadaan. Jadi, mungkin pernikahan ini saja yang dapat menyelesaikan semuanya. Encik Yasin pasrah. Maafkan ayah, Mar. Ayah lakukan ini semua hanya untuk kamu. Keluh hati Encik Yasin. Tanpa sedar, ada air mata menitis di sebalik matanya yang terpejam rapat.

“SAH!”
Satu ungkapan yang diucapkan oleh Imam Ali menyentak emosi Marha. Pantas, anak mata didongakkan. Ketika ini kelihatan Amzar memakai baju melayu berwarna krim sedang duduk berhadapan dengan Imam Ali dan ayahnya. Wajah Amzar itu kelihatan tegang tanpa ada segaris senyuman terukir di bibirnya.
Tetapi bukan itu yang merungsingkan Marha, sebaliknya reaksi keluarga tersayang begitu meruntun hatinya. Walaupun hari ini sepatutnya menjadi hari bahagia buat Marha namun semuanya berbeza ketika. Hanya tangisan yang menemani Marha sepanjang akad nikah berlangsung.
Anak mata Marha terhala pada laman wajah Encik Yasin, lelaki berusia lima puluh lima tahun itu kelihatan tidak bermaya. Malah, wajahnya sarat dengan kesedihan yang tidak mampu diluahkan. Marha mengetap bibir. Pandangannya kini beralih pada seorang wanita berusia yang duduk di sisinya. Saat memandang bola mata  itu bergenang dengan air mata, hati Marha hancur luluh.
Maafkan Mar, ibu. Mar tak buat semua tu. Kenapa tak seorang pun yang percaya cakap Mar? Detik hati Marha. Kecewa.
“Ibu…” Panggil Marha perlahan. Dia cuba menyentuh lengan Puan Kalilah, namun dengan pantas, Puan Kalilah mengalihkan tangannya.
Marha tersentap. Dia menundukkan wajah. Saat ini terasa dirinya begitu jauh dengan ibunya sendiri.
“Suami kamu datang, cepat hulurkan tangan untuk sarung cincin.” Suara Puan Kalilah kedengaran.
Marha mendongak. Kelihatan Amzar sedang berjalan beriringan dengan Datin Zahidah sebelum duduk melutut di hadapannya. Wajah lelaki itu kelihatan terpaksa malah tiada senyuman pun tersungging di bibirnya.
“Tunggu apa lagi? Sarunglah cincin tu cepat.” Gesa Datin Zahidah yang berada di sisi Amzar yang baharu saja menjadi suaminya. Wanita itu tersenyum ramah kepada Marha dan Puan Kalilah.
Namun Amzar hanya menjeling saat mata mereka bertentangan. Tanpa suara terus saja hujung jari Marha ditarik sebelum cincin emas bertatahkan permata berwarna merah disarungkan ke jari manisnya. Marha sebak. Sukar untuk dia mengawal emosi saat ini. Semuanya kacau-bilau.
“Salam tangan suami kamu tu…” Bisik Puan Kalilah keras di telinga Marha.
Marha teragak-agak. Serentak, dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amzar tetapi huluran tangannya dipandang sepi. Sebaliknya lelaki itu menghampiri tepi wajah Marha yang terpinga-pinga.
“Aku takkan maafkan kau. Aku setuju dengan pernikahan ni semata-mata kerana mama dan papa juga kerana maruah keluarga aku sendiri. Bukan disebabkan kau. Ingat, kalau ada sesiapa yang tahu tentang pernikahan ni, kau tahulah nasib kau!” Amzar berbisik keras.
Marha tersentak. Dia ingin bersuara namun tangannya terlebih dahulu ditepis sebelum Amzar bingkas bangun dan meninggalkan Marha yang terkulat-kulat.
“Astaghfirullah-al-azim budak ni. Kamu nak ke mana tu? Tunggu mama! Maafkan saya. Anak saya tertekan sikit.” Ucap Datin Zahidah lantas terus berlari mendapatkan Amzar yang melarikan diri.
Hadirin seramai lapan orang yang hadir hanya mampu menganggukkan kepala. Cuba untuk memahami.
Marha langsung tidak mengambil endah tentang Amzar. Lantaklah dia mahu ke mana. Sekarang fokus yang lebih utama adalah ayahnya sendiri. Pantas, Marha bangkit dan menghampiri Encik Yasin yang berkerusi roda. Ayahnya itu tidak bersuara walau sepatah.
Dia melabuhkan duduk di hadapan Encik Yasin sambil tangannya mencari tangan Encik Yasin. Air mata yang semakin laju menuruni lekuk pipi dibiarkan mengalir tanpa sekaan.
“Maafkan Mar, ayah. Percayalah Mar tak buat semua tu. Mar tak buat apa-apa salah pun. Apa yang berlaku hari tu satu kesilapan.” Ucap Marha cuba meraih kemaafan daripada Encik Yasin.
“Kalau itu satu kesalahan, kamu kena betulkan.” Jawab EncikYasin dingin.
Marha menundukkan kepala.
“Sebab tu Mar setuju untuk kahwin. Mar nak betulkan kesilapan yang ayah cakapkan walaupun Mar tak salah. Maafkan Mar sebab dah malukan ayah. Dah malukan keluarga kita. Mar akan buktikan yang Mar tak buat apa-apa kesalahan pun.” Ujar Marha bersungguh.
Encik Yasin tidak mengulas lanjut. Dia menggerakkan kerusi rodanya untuk menuju ke biliknya. Dia tertekan. Emosinya terganggu dek peristiwa hitam yang terjadi kepada anaknya. Encik Yasin cukup kecewa malah disebabkan kejadian itu, kesihatannya terganggu teruk.
Encik Yasin cuba bertenang. Namun, dadanya mula berombak kencang. Jantungnya mula mengepam darah dengan laju. Encik Yasin cuba menarik nafas panjang tetapi nafasnya terasa sesak malah tercungap-cungap dia cuba menyedut udara. Dahinya mula berpeluh-peluh.
“Ayah, kenapa ni?” Soal Marha panik.
Puan Kalilah menghampiri Encik Yasin dengan riak yang cemas. Dia memegang lengan Encik Yasin dengan lembut.
“Abang, abang tak apa-apa?” Soal Puan Kalilah mula tidak senang duduk.
Encik Yasin cuba menggerakkan bibirnya untuk bersuara tetapi dia tidak mampu. Rasa sakit di dada kian mencucuk-cucuk. Malah, seluruh tubuhnya terasa kejang, dingin dan kaku.
“Ayah, kenapa dengan ayah? Apa dah jadi dengan ayah ni?” Soal Marha lalu bingkas menggoncangkan tubuhnya ayahnya.
Encik Yasin tidak menjawab sebaliknya matanya terus terpejam rapat bersama nafas yang terus terhenti.
“Ayah!” Panggil Marha lagi. Dia tergamam. Melihat tubuh Encik Yasin yang tidak bergerak menambah lagi kerisauan dalam hatinya. Dia cuba untuk bertenang tetapi suara Puan Kalilah yang meraung memanggil nama Encik Yasin menyedarkan Marha.
Langkahnya terundur ke belakang saat melihat adik lelaki dan adik perempuannya mula memeluk tubuh kaku milik Encik Yasin. Kedua-dua adiknya itu menangis hiba.
“Tak! Tak mungkin! Ayah tak boleh pergi! Tak boleh!” Jerit Marha.
Dia melurut jatuh di atas lantai dengan air mata yang kian bercucuran.

“AM, tunggu dulu! Am nak ke mana tu?” Panggil Datin Zahidah dengan suara yang terjerit. Dia berjaya menarik tangan anak lelakinya itu. Tubuh si anak dipalingkan supaya menghadapnya.
Amzar mengetap bibir. Dia merengus benci. Bukan bencikan Datin Zahidah tetapi benci dengan apa yang telah terjadi dalam hidupnya saat ini. Dia sendiri tidak menyangka dalam sekelip mata dia telah sah menjadi suami kepada perempuan yang selama ini tidak pernah dia fikirkan.
“Am nak baliklah, mama. Mama paksa Am nikah dengan perempuan tu, Am dah nikah. Buat apa Am nak tunggu kat sini lama-lama. Rimaslah mama.” Jawab Amzar selamba. Dia merungkai buntang baju melayu berwarna krim yang dipakainya.
“Marha tu dah jadi isteri Am sekarang. Cuba bertanggungjawab sikit. Jangan main lepas tangan macam tu je. Tak baik.” Tegur Datin Zahidah cuba melembutkan hati Amzar.
“Tanggungjawab? Tak cukup lagi ke Am bertanggungjawab atas benda yang Am tak buat? Sekarang mama nak Am jalankan tanggungjawab Am pada perempuan tu. Huh, tak mungkin mama! Mama memang boleh paksa Am kahwin dengan dia tapi mama tak boleh paksa hati Am untuk terima dia. Mama nak Am kahwin, Am dah kahwin. Tapi kalau mama tak nak tengok dia jadi janda dengan cepat, lebih baik mama pastikan yang dia tak tinggal sebumbung dengan Am. Am menyampah tengok muka dia!” balas Amzar sarat dengan api kebencian.
“Am!” Terjerit kecil Datin Zahidah dibuatnya. Dia tidak menyangka sampai begitu sekal benci Amzar terhadap Marha.
“Kalau mama boleh bagi Am pilihan, kenapa Am tak boleh bagi mama pilihan lepas Am ikut kehendak mama? Kalau mama tak nak Am buat perkara yang lebih memalukan keluarga kita, mama kena pastikan yang tiada sesiapa pun tahu pasal pernikahan ni terutama sekali Ratna dan mama kena pastikan yang perempuan tu jauh daripada Am.”
“Jadi lebih baik kamu lepaskan dia aje Am daripada kamu terus seksa dia macam ni…” Ucap Datin Zahidah lirih. Sungguh, dia sendiri terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Amzar.
“Sepatutnya mama larang Am nikah dengan dia kalau mama tak nak dia terseksa sebab Am akan pastikan dia akan terseksa dengan pernikahan ni. Am takkan ceraikan dia dan Am takkan tunaikan tanggungjawab Am sebagai suami. Biar dia rasa apa itu kesakitan yang Am rasa. Dia dah hancurkan masa depan Am dan Am akan pastikan masa depan dia juga hancur! Baru adil.” Jawab Amzar seolah-olah tiada perasaan.
Datin Zahidah tersentak. Dia menentang pandangan Amzar namun renungan anak mata itu terlalu dingin. Seakan tiada cahaya kasih yang terbias di anak mata Amzar. Semuanya sarat dengan kebencian.
“Auntie….” Panggil satu suara sayu membuatkan Datin Zahidah berpaling.
Dia terkejut apabila melihat Marha berdiri di belakangnya. Wajah gadis itu basah dengan air mata. Pasti Marha sudah mendengar apa yang dikatakan oleh Amzar.
“Mar….” Datin Zahidah terus mendapatkan Marha. Tubuh gadis itu dipeluk kemas.
Manakala, Amzar terus meloloskan dirinya ke dalam kereta. Tanpa menunggu Datin Zahidah, dia terus memecut kereta meninggalkan perkarangan rumah Marha.
“Sabar ya, Mar. Am tengah marah tu. Dia tak bermaksud nak cakap macam tu…” Datin Zahidah cuba memujuk. Belakang badan Marha digosok dengan lembut.
Marha menggelengkan kepala. Bukan itu yang berada dalam fikirannya saat ini. Dia langsung tidak kesah jika Amzar mengabaikannya. Dia tidak peduli.
“Saya tak kesah pasal tu. Ayah… Ayah…” Suara Marha tersekat-sekat.
Dahi Datin Zahidah berkerut seribu.
“Ayah? Kenapa dengan ayah Mar?” Soal Datin Zahidah ingin tahu.
“Ayah dah tak ada. Ayah dah tinggalkan saya. Saya dah bunuh ayah saya sendiri!” Jawab Marha dengan tangisan yang berpanjangan. Bunyi tangisannya memenuhi suasana malam itu. Dengan sekelip mata hidupnya berubah. Dengan sekelip mata keceriaan hidupnya direnggut. Masih adakah sinar bahagia untuk dirinya?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.