Tetamu Rindu

Monday, 4 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi Remake) - Bab 1




PINTU BILIK yang tertera nama Amzar Mukhriz Dato Zuhdi diketuk perlahan. Nafas ditarik panjang sebelum dilepaskan dengan perlahan-lahan oleh Marha. Sementara menunggu arahan untuk masuk, Marha meneliti penampilannya. Kemas. Dia tersenyum sendiri.
“Masuk!” Sayup-sayup suara garau itu kedengaran dari dalam bilik.
Lantas, Marha memulas tombol pintu dengan dada yang berdebar hebat. Nak jumpa bos baru, gila tak berdebar. Terasa seperti kakinya tidak jejak bumi saat ini. Namun, sebaik mungkin Marha mengawal riak wajah agar tidak begitu ketara yang dia sedang gelisah.
“Ainur Marha binti Yasin. Awaklah orang yang ditukarkan oleh Dato Zuhdi ke sini ya?” Soal Amzar lantas mendongak.
Marha turut mengangkat pandangan. Serentak, anak matanya berlaga dengan bola mata majikan barunya itu. Marha terkedu. Dia kehilangan kata seketika apabila melihat roman wajah Amzar. Dia tertelan air liur. Biar betul ni anak Dato Zuhdi? Kenapa lain benar dengan dato? Dah rupa pelakon K-Drama pula aku tengok. Omel hati Marha.
“Ainur Marha? Saya tanya awak ni. Awak dengar tak?” Soal Amzar lagi dengan wajah yang berkerut. Pantas, tangannya diawang-awangkan ke wajah Marha yang termenung.
Marha tersentak. Dia tersengih malu. Pantas saja kepalanya ditundukkan.
“Maaf, tuan. Tuan tanya apa tadi?” Soal Marha kembali.
Amzar hanya menggelengkan kepala. Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang. Anak matanya dibiarkan memandang Marha daripada atas hingga ke bawah.
“Duduklah dulu.” Jemput Amzar.
Marha hanya menurut. Kerusi ditarik perlahan sebelum dia duduk dengan sopan di hadapan Amzar.
“Berapa lama dah awak kerja dengan dato di ZNZ Empire?” Soal Amzar sekadar ingin tahu.
Lagi pun Dato Zuhdi yang beria-ia mahu tukarkan Marha ke Hotel Sri Lagenda. Pasti ada yang menarik tentang gadis bertudung di hadapannya ini.
“Alhamdulillah dah hampir dua tahun saya jadi setiausaha dato, tuan. Saya pun terkejut juga bila dato tukarkan saya ke sini.” Jawab Marha lembut. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Dia berharap agar Amzar juga baik seperti Dato Zuhdi. Tidak cerewet dan selalu mementingkan kebajikan pekerjanya.
“Saya tak kisah sebenarnya siapa pun yang dato pilih untuk jadi setiausaha saya tapi awak tahu kan seorang setiausaha bukan saja pekerja tapi orang kanan majikan di sesebuah syarikat. Selepas ini, selain saya, awak adalah orang yang diamanahkan untuk menyimpan segala rahsia syarikat. Saya tak nak awak cuai dalam melakukan kerja awak. Ingat, saya bukan dato dan mungkin cara bekerja saya tidak sama dengan dato. Jadi saya nak awak tukar fikiran awak sekarang. Mungkin saya boleh jadi lebih tegas daripada dato. Walaupun Sri Lagenda cuma anak syarikat ZNZ Empire, tetapi Sri Lagenda merupakan tonggak utama ZNZ Empire, faham?” Terang Amzar panjang lebar.
Marha tersenyum kelat. Ketegasan Amzar memang jelas kelihatan sebaik saja lelaki itu menghabiskan bicara.
“Faham, tuan.” Jawab Marha pendek. Dia menganggukkan kepala.
“Lagi satu saya nak awak ambil perhatian, saya tak suka pekerja saya datang lambat walaupun seminit. Jadi awak kena make sure awak ada dekat pejabat ni lima belas minit atau sepuluh minit lebih awal. Kalau awak tak boleh ikut dengan cara saya, awak boleh keluar daripada hotel ni.” Ujar Amzar selamba. Dia merenung tajam wajah Marha yang berada di hadapannya. Dahi gadis itu kelihatan berpeluh. Amzar tersenyum sinis. Takutlah tu. Getus hatinya.
Tetapi Marha hanya bersikap selamba. Jika Amzar tidak menerangkan tentang perkara itu pun, memang dia akan datang ke pejabat lima belas minit lebih awal. Memang itulah rutin hariannya sejak bekerja dengan Dato Zuhdi.
“Okey, no problem. Memang saya diajar untuk datang awal ke tempat kerja, tuan.” Balas Marha bersahaja.
Mati terus senyuman sinis Amzar. Dia membetulkan duduk.
“Baguslah. Saya rasa dah tak ada apa-apa dah. Awak boleh mulakan kerja awak sekarang. Saya ada minta Kak Zati letakkan beberapa fail atas meja awak. Saya nak awak baca dan fahamkan isi kandungan dalam tu sebelum awak buat kerja. Tapi sebelum tu, awak tolong buatkan saya kopi.” Ucap Amzar memberi arahan yang pertama.
Marha menganggukkan kepala. Terus saja dia bingkas bangun dan meninggalkan ruang bilik Amzar. Dia melepaskan nafas pendek. Hari ini bermula episod baharu dalam hidup Marha.


“KAK MAR, Syifa nak ais krim tu boleh?” Pinta Syifa lantas menuding jari ke arah kiosk Baskin Robbin yang terletak di tengah ruang legar Berjaya Megamall.
Marha berpaling. Dia tersenyum kecil lalu membongkokkan tubuh untuk bercakap dengan Syifa.
“Ais krim ni mahal, sayang. Kita beli ais krim lain nak?” Soal Marha kembali. Dia menggosok kepala Syifa yang bertudung.
Wajah Syifa bertukar mendung. Bibirnya mula terjuih petanda dia menahan sebak.
“Tapi dah lama Syifa teringin nak makan ais krim ni. Selalu kita datang, Syifa tak sempat nak beli. Kadang-kadang tengok orang makan ais krim, Syifa terliur. Kalau akak tak ada duit, tak apa, guna duit Syifa. Syifa ada kumpul duit untuk beli ais krim ni.” Ujar Syifa dengan sayu. Dia menyeluk saku beg sandangnya untuk mencari beg dompetnya.
Sungguh saat ini hati Marha tersentuh. Anak sekecil Syifa sanggup mengumpul duit semata-mata untuk membeli sebekas ais krim. Sama seperti dirinya di waktu kecil-kecil dulu. Tidak pernah mengharapkan duit mak dan ayahnya jika dia inginkan sesuatu.
“Tapi nanti kalau Umi Zahira tahu mesti Syifa kena marah. Syifa tahu kan umi tak suka kalau Syifa bazirkan duit untuk benda-benda yang tak penting.” Ucap Marha lembut memujuk.
Kanak-kanak berumur sepuluh tahun itu hanya menundukkan wajah. Kecewa dengan kata-kata Marha.
“Tak apalah kalau macam tu. Jomlah kita cari umi.” Rajuk Syifa. Dia cuba menahan air mata daripada ingin menitis. Kemahuan seorang budak sepertinya memang sukar untuk ditegah. Namun, mungkin sudah nasib menjadi anak yatim piatu, segala kehendak pasti sukar untuk dicapai.
Marha menggigit bibir. Dia serba salah. Permintaan kecil Syifa meruntun hatinya.
“Yelah-yelah, akak belikan untuk Syifa. Tapi janji jangan bagi tahu umi. Kalau umi tahu tentu dengan akak-akak sekali dengan marah. Boleh?” Marha mengalah.
Syifa berpaling dan tersenyum girang. Dia menghampiri Marha lalu memeluk erat pinggang Marha. Walaupun Marha cuma datang seminggu sekali saja di rumah anak-anak yatim mereka, namun kehadiran wanita muda itu cukup menggembirakan hati Syifa. Terasa seperti dia mempunyai seorang kakak.
“Mestilah boleh. Nanti Syifa cakap Syifa tolong habiskan ais krim akak je.” Jawab Syifa petah.
Marha tersenyum sebaik saja melihat senyuman Syifa. Senyuman itulah yang selalu memberi ketenangan dalam diri Marha. Bermula dengan satu program ketika menuntut di universiti dahulu mempertemukan Marha dengan anak-anak yatim Baitul Husna. Sejak dari itu dia menjadi sukarelawan tetap untuk rumah anak-anak yatim yang dikendalikan oleh badan bukan kerajaan. Rasa seronok setiap kali berkunjung ke rumah itu memang sukar untuk diungkapkan oleh Marha.
“Cik, ni ais krimnya.” Ujar satu suara memecah tembok lamunan Marha. Lantas, dia tersedar. Menyedari kesilapannya kerana termenung panjang, Marha hanya melebarkan sengihan.
Setelah mengambil ais krim dan membayar harganya, Marha terus menghulurkan ais krim tersebut kepada Syifa. Syifa menyambut dengan wajah yang girang.
“Jom kita cari umi dengan kawan-kawan lain.” Ajak Marha lalu menarik lembut tangan Syifa.
Syifa masih leka dengan ais krimnya. Tanpa dia sedar, dia sudah tertinggal di belakang sedangkan Marha menonong berjalan ke hadapan. Sedang asyik dia menyuap ais krim ke mulut tiba-tiba…
Bukkk!
Kepalanya terhantuk pada sesuatu benda yang keras sebelum ais krimnya terjatuh ke atas lantai.
What the hell? Hoi, budak. Kau tak nampak ke?” Jerkah satu suara itu mengejutkan Syifa. Dia mendongak.
Kelihatan seorang gadis yang cantik jelita berdiri di hadapannya dengan wajah yang bengis. Syifa tertelan liur sebelum anak matanya turun pada skirt pendek gadis itu yang dikotori dengan sisa ais krim yang tidak sengaja ditumpahkannya.
“Maaf… Maaafkan ssaa…saya, auntie…” Ucap Syifa tergagap-gagap. Dia berdiri kaku dengan tubuh yang menggigil. Ada beberapa pasang mata sedang memandang ke arah mereka berdua.
“Auntie? Kau ni memang dah lebih. Mak bapak kau tak ajar ke?” Hambur gadis itu lagi dengan wajah yang merona merah menahan marah.
Air muka Syifa turut berubah apabila mendengar perkataan mak bapak. Hatinya mudah terguris kerana dia kehilangan mak dan ayah seawal usianya satu tahun.
“Saya tak ada mak… Saya tak ada ayah…” Jawab Syifa perlahan dengan nada yang sebak.
Gadis itu tersenyum sinis. Dia mencekak pinggang.
“Oh tak ada mak ayah, patutlah kurang ajar.” Balas gadis itu tanpa segan-silu.
Syifa menundukkan wajah. Dia kehilangan kata.
“Syifa, kenapa ni?” Soal Marha dengan cemas lalu mendapatkan Syifa yang hampir menangis. Air mata mula bergenangan. Marha dapat rasakan sesuatu telah berlaku.
“You ni siapa pulak? Bukan ke budak ni tak ada mak bapak?” Soal gadis yang berambut perang itu dengan pelik.
Marha berpaling. Dia merenung tajam gadis itu.
“Memang dia tak ada mak ayah tapi dia masih ada penjaga. Dengan budak pun cik nak cari pasal agak-agaklah sikit. Dia anak yatim, janganlah layan macam dia pengemis.” Tingkah Marha berani. Dia menarik Syifa ke dalam pelukannya..
Bulat mata gadis itu mendengar kata-kata Marha yang berbaur sinis. Dia menguak rambutnya yang panjang ke belakang.
“Habis tu you nak I layan dia macam mana? Dia dah tumpahkan ais krim kat skirt I takkan I nak bagi muka pulak. Siapa yang nak cuci skirt ni? Budak ni? Atau pun you?” Soal gadis itu dengan lantang.
“Dobi 24 jam ada kan. Hantar jelah kat situ.” Jawab Marha selamba. Dia menayang muka tiada perasaan.
Tetapi tidak bagi wanita berambut perang itu. Berdesing telinganya dengan kata-kata Marha. Terasa ingin menjerit dan menampar saja muka Marha saat ini.
“You ni kan sama…”
“Ratna, kenapa ni?” Satu suara garau menyampuk dari arah sisi Marha.
Gadis yang bernama Ratna itu mendongak. Manakala Marha berpaling. Serentak, dia tergamam.
“Sayang, you tengoklah apa budak ni dah buat. Dia dah kotorkan skirt I. Lepas tu perempuan ni nak tunjuk hero pula bela budak tak ada mak bapak ni…”
“Dia anak yatim cik, bukan anak yang tak ada mak bapak.” Sampuk Marha memperbetulkan istilah yang digunakan oleh Ratna.
Ratna dan lelaki itu berpaling ke arah Marha.
“Marha? Awak?” Soal Amzar terkejut. Dia memandang Marha, Syifa dan Ratna silih berganti sebelum pandangannya jatuh pada skirt Ratna yang comot.
“You kenal dia ke, sayang?” Soal Ratna dengan lenggok manja dan mengada-ngada.
Marha hanya mencebik. Dia memaling wajah ke tempat lain sebaik saja Ratna memeluk lengan Amzar dengan mesra. Nak muntah hijau aku tengok. Omel hatinya.
“Dia setiausaha baru I. Apa yang awak dah buat ni, Marha?” Soal Amzar dengan riak tegang.
“Saya tak buat apa-apa pun.” Jawab Marha masih lagi selamba. Dia memegang bahu Syifa dengan lembut.
“You memang tak buat apa-apa tapi mulut you tu celupar sangat. You dengan budak ni sama aje. Perangai teruk!” Maki Ratna lagi. Makin menjadi-jadi pula sikap manjanya apabila ternyata Amzar berada di pihaknya.
“Tapi tak seteruk perangai orang yang merendah-rendah anak yatim macam Syifa ni.” Balas Marha tidak mahu mengalah.
Amzar tersentak. Ratna tersentap.
“Marha! Awak jangan nak kurang ajar. Mintak maaf sekarang!” Arah Amzar dengan wajah berona merah.
“Akak, janganlah gaduh. Ni salah Syifa…” sampuk Syifa sambil menarik hujung baju kurung milik Marha.
“Tapi Syifa dah mintak maaf kan? Kalau Syifa dah mintak maaf, buat apa panjangkan lagi cerita ni.” Ucap Marha sambil menentang wajah Ratna dan Amzar dengan berani.
“I takkan maafkan dia selagi dia tak ganti rugi atas apa yang dia dah buat pada I.” Tingkah Ratna masih berdegil. Dia memeluk tubuh.
Marha mengeluh berat. Dia menggelengkan kepala. Benda kecil pun nak dibesarkan, agaknya macam manalah Amzar ni boleh jatuh cinta dengan perempuan banyak songeh seperti Ratna ni? Entah-entah perangai mereka sama, sebab itu berjodoh. Hati Marha membuat kesimpulan sendiri.
“Apalah yang budak sepuluh tahun ni boleh bagi untuk ganti rugi, cik? Dia dah mintak maaf apa lagi yang cik tak puas hati. Kalau cik nak saya mintak maaf bagi pihak dia pun saya sanggup. Okey, saya mintak maaf. Jadi case close kan. Saya nak balik dulu. Jom Syifa.” Ajak Marha bersahaja. Dia menarik tangan Syifa namun Ratna terlebih dahulu menghalang jalannya.
Amzar yang berada di situ hanya menjadi pemerhati. Sebetulnya dia malas ikut campur tetapi memandangkan Ratna kekasihnya, rela dalam terpaksa dia terpaksa campur tangan.
“Awak nak apa lagi Cik Ratna?” Soal Marha sambil mengancing gigi. Menahan geram.
“I nak you cuci tempat kotor ni. Kalau budak ni tak nak cuci, you yang cucikan.” Suara Ratna berubah perlahan namun cukup menyakitkan telinga Marha.
Marha menarik nafas panjang. Kesabarannya menipis. Hal kecil pun gadis itu ingin memperbesarkan? Memang dah tak betul agaknya buah hati Amzar ni. Getus hatinya.
“Cik nak saya bersihkan? Boleh. Kejap ya…” Ujar Marha.
Dia mengeluarkan sesuatu daripada beg duitnya. Sekeping not sepuluh ringgit dikeluarkan sebelum tangan Ratna ditarik lalu duit itu diletakkan di atas telapak tangan wanita itu. Ratna tersentak begitu juga dengan Amzar.
“Duit ni untuk pergi dobi. Cik hantar ajelah kat dobi ya. Saya banyak kerja nak buat selain cuci skirt cik tu. Lebih baik saya cuci baju anak-anak yang tak ada mak bapak ni daripada cuci skirt cik tu. Okey? Saya balik dulu.” Jawab Marha selamba. Sengaja dia menekankan perkataan ‘tak ada mak bapak’ itu supaya Ratna sedar akan sikapnya yang keterlaluan.
“Marha! Kenapa kurang ajar sangat ni? Ingat sikit yang awak kerja dengan saya…”
“Saya memang bekerja dengan tuan tapi sekarang bukan hari bekerja dan sekarang bukan waktu kerja yang membolehkan saya ikut arahan tuan. Sepatutnya bukan saya atau Syifa yang mintak maaf tetapi kekasih tuan. Kalau dia berkasar dengan saya, saya terima tapi dia dah mengguris perasaan seorang anak yatim. Itu saya takkan terima. Menjadi anak yatim berjuta kali lebih baik daripada jadi anak yang tak pernah hormatkan orang lain!” Jawab Marha dengan renungan tajam membalas pandangan Amzar yang sarat dengan rasa marah. Dia peduli apa. Kebenaran harus ditegakkan. Tanpa berlengah, dia berlalu meninggalkan Amzar dan Ratna yang masih lagi tercengang-cengang.
Terbuntang mata Amzar mendengar kata-kata Marha. Dia ingin membalas tetapi bibirnya bagaikan dikekang. Sedangkan dadanya sudah berombak marah. Dia tidak menyangka gadis selembut Marha memiliki lidah setajam pisau. Bicaranya menusuk terus ke hati.
“Argh, I takkan lepaskan perempuan tu!” Bentak Ratna. Geram.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.