Tetamu Rindu

Saturday, 9 September 2017

RINDU DALAM RAHSIA (Rindu Dalam Sepi Remake) - BAB 2




QISTINA MELETAKKAN mug di atas meja berhadapan dengan Marha yang kelihatan termenung panjang. Kawan baik merangkap kawan serumahnya itu masih leka dalam lamunannya sehingga kehadiran Qistina langsung tidak disedari.
“Mar…” Panggil Qistina sambil mengawang-awang tangannya dia hadapan wajah Marha.
Marha masih lagi larut dalam dunianya. Hanya matanya saja yang tertancap di kaca televisyen tetapi pandangannya kosong. Qistina menghela nafas dan melepaskannya dengan perlahan. Tak ada kerja lain, termenung lagi minah ni. Desis hati Qistina.
“Mar!” Sergah Qistina kuat di telinga Marha.
Gadis itu terperanjat. Hampir sahaja Marha terloncat daripada tempat duduknya.
“Apa kau ni, Qis? Terkejut aku tau!” Marah Marha. Dengan selamba dia menampar lembut lengan rakannya itu.
Qistina hanya menghamburkan tawa melihat wajah Marha yang pucat. Tak ubah seperti kena kejar dengan hantu.
“Dah kau termenung tu apa kes? Aku panggil pun kau boleh buat tak endah je. Kau fikir apa?” Soal Qistina lalu mengesot menghampiri Marha.
Marha hanya mencebik. Dia mencapai mug yang berada di atas meja. Tanpa perasaan bersalah dia meneguk air tersebut. Pandangan daripada Qistina tidak diendahkan.
“Amboi banyak cantik muka kau, aku buat penat-penat, kau bantai air aku.” Dengus Qistina.  Dia membeliakkan matanya.
Sorry, aku dahaga sangat. Nanti aku ganti balik air kau, ya?” Ujar Marha sambil mengerdipkan matanya beberapa kali.
Qistina hanya mencebik. Itulah tabiat yang selalu dilakukan oleh Marha. Namun, Qistina langsung tidak mengambil hati. Dia dah faham benar dengan perangai sahabatnya itu.
“Tadi aku tengok kau termenung panjang. Kenapa? Kau fikir pasal apa?” Soal Qistina kembali ke topik asal.
Senyum Marha mati. Dia mengeluh pendek.
“Susahlah aku nak cerita. Serba tak kena pulak aku dibuatnya.” Ucap Marha perlahan.
“Serba tak kena? Apa yang tak kena?” Soal Qistina kembali. Dahinya berkerut.
“Bos aku tulah…” Marha meleretkan kata. Sengaja dia biarkan kata-katanya menjadi persoalan dalam benak Qistina.
Qistina membetulkan duduk menghadap Marha. Air yang berada di tangan, diteguk berkali-kali.
“Kenapa dengan bos kau? Ceritalah.” Sampuk Qistina tidak sabar.
Marha mengetap bibir. Matanya dibiarkan tertancap pada kaca televisyen. Seakan ada batu yang tersekat di kerongkongnya untuk menceritakan tentang kejadian beberapa hari lepas.
“Bos aku tu macam tak puas hati aje dengan aku. Dah dekat seminggu aku kerja dengan dia tapi dia suka sangat cari salah aku.” Luah Marha akhirnya.
“Cari salah kau? Dah tu dia jumpa tak?” Soal Qistina sambil tersengih.
Marha mengeluh kecil. Dia menyebak anak rambutnya ke belakang.
“Setakat ni aku semuanya aku dapat tepis. Tapi hari-hari mendatang ni aku tak pasti sangat. Dia macam tak puas hati betul dengan aku.” Balas Marha. Terbayang wajah Amzar yang asyik mencuka di hadapannya. Pantang ada kesalahan kecil dia lakukan, pasti lelaki itu menyinga. Sampaikan dia lambat dua minit ke pejabat pun, lelaki itu ambil kira.
Qistina diam sejenak. Jari telunjuknya dibiarkan mengetuk dagu sementara anak matanya dihalakan ke kaca televisyen yang menayangkan drama Korea.
“Mesti ada sebab kenapa dia tak puas hati dengan kau. Mustahillah tiba-tiba aje dia cari pasal dengan kau sedangkan kau orang kepercayaan dato untuk jadi setiausaha dia. Lagipun kau baru lagi kerja. Takkan secepat tu dia cari salah kau. Ke kau memang ada cari pasal dengan dia?” Soal Qistina setelah beberapa minit mendiamkan diri.
Mata Marha membulat. Sedikit tersentak apabila Qistina seakan dapat membaca apa yang berada di fikirannya saat ini. Tidak lama kemudian dia tersengih.
“Hah, kenapa pulak kau sengih ni? Betul ke tekaan aku tu?” Sambung Qistina lagi. Jari telunjuknya diluruskan ke muka Marha yang masih menayang giginya yang bersih.
“Aku tak cari pasal dengan dia, tapi dengan girlfriend dia…” Jawab Marha lambat-lambat.
Mata Qistina membuntang sebaik saja Marha menghabiskan ayat. Dia melipat sila lalu tumpuannya difokuskan tepat ke wajah Marha yang kelihatan selamba.
“Apa kau cakap? Kau cari pasal dengan girlfriend bos kau? Kau biar betul?”
“Betullah. Dua hari lepas masa aku temankan Syifa beli ais krim, secara tak sengaja Syifa terlanggar girlfriend dia. Habis kotor baju perempuan tu. Masa tu aku tak tahu pun yang perempuan tu kekasih bos aku. Tapi sumpah, aku takkan kurang ajar kalau orang tu tak kurang ajar dengan aku dulu. Kau tahu, kekasih bos aku tu mintak Syifa ganti rugi baju dia yang kotor padahal Syifa dah mintak maaf. Aku pun dah mintak maaf bagi pihak Syifa tapi perempuan tu sombong. Dia tetap berkeras nak ganti rugi.” Cerita Marha penuh semangat.
Qistina menekup mulut tanda tidak percaya.
“Dah tu kau bagi ke ganti rugi?” Soal Qistina kemudiannya.
Marha mengangguk laju.
“Kenapa kau bagi? Patutnya orang tak ada sivik macam tu kau sekolahkan aje. Dengan budak-budak pun nak ambil kira. Tak matang betul.” Omel Qistina. Turut geram.
“Aku bagi sepuluh ringgit je untuk hantar baju ke dobi.” Jawab Marha sambil tersengih.
Omelan Qistina terhenti. Lama dia menatap wajah Marha sebelum menghamburkan tawa.
“Kau bagi sepuluh ringgit? Kau biar betul? Dah tu dia tak marah? Bos kau macam mana?” Soal Qistina lagi. Tidak percaya.
“Betul, aku bagi sepuluh ringgit je. Gila kau tak marah, merah muka bos aku bila aku buat macam tu kat kekasih dia. Peduli apa aku. Dekat pejabat memang dia bos aku tapi kat luar dia bukan sesiapa pun pada aku.” Jawab Marha yakin.
Qistina menghabiskan sisa tawanya. Dia tidak menyangka Marha seberani itu. Sudahlah orang yang ditentang itu merupakan majikannya sendiri. Patutlah asyik cari salah Marha, ternyata Marha terlebih dahulu menjolok sarang tebuan.
“Kau yakin ke dia bukan sesiapa pada kau? Entah-entah nanti dia jadi laki kau. Baru haru-biru hidup kau dapat madu macam kekasih bos kau tu.”
Marha menjuihkan bibir. Geli perutnya mendengar kata-kata Qistina.
“Minta dijauhkanlah dapat jodoh dengan lelaki macam tu. Tak ingin aku! Bukan taste akulah orang kaya, berlagak, poyo macam tu. Tak ada dalam senarai kau tahu tak? Eiii… Tak nak aku!” Balas Marha. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
Qistina menyambung tawa. Muka Marha yang kegelian itu mencuit hatinya.
“Amboi, macam tu sekali kau anti dengan bos kau. Dia tak handsome ke?” Soal Qistina sambil menjongket-jongketkan keningnya. Dia tersengih.
“Kau ni tak ada soalan lain ke nak tanya. Soal rupa juga jadi perhatian kau.” Getus Marha.
“Eh mestilah. Rupa tu penting. Bukan apa, kau cakap bos kau tu muda lagi sebaya dengan sepupu kau tu. Sebab tulah aku tanya. So, bos kau tu handsome tak?” Soal Qistina lagi.
Marha membiarkan soalan Qistina sepi untuk seketika. Pandangan dihalakan semula ke ke skrin televisyen.
“Kau nak tahu handsome ke tak bos aku?” Soalan dibalas soalan oleh Marha.
Qistina mengangguk laju.
“Kau kenal tak pelakon K-Drama, Zo In Sung?” Soal Marha membuatkan Qistina terdiam seketika. Otaknya ligat memikirkan nama pelakon yang disebut oleh Marha. Tidak sampai beberapa saat, dia mengangguk laju.
“Zo In Sung pelakon drama Its Okay That’s Love tu kan? Jadi kau nak cakap bos kau tu macam muka dialah?” soal Qistina teruja. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada Marha.
Marha mengangkat bahu. Dia langsung tidak teruja untuk menceritakan perihal Amzar kepada Qistina.
“Taklah sama macam pelakon tu. Tapi iras-iraslah.” Jawab Marha bersahaja.
“Iras-iras pun dah kira handsome. Untunglah kau tiap-tiap hari dapat tengok pemandangan indah.”
Marha hanya mencebik. Indah apa bendanya? Lagi meluat adalah.

MARHA menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Wajahnya berkerut seribu sambil anak matanya memandang jambangan bunga yang berada dalam pegangannya. Sesekali dia memandang ke sekeliling cuba mencari sesiapa yang boleh menjawab teka teki yang bermain di fikirannya saat ini. Namun, semua pekerja sedang sibuk dengan urusan masing-masing membuatkan persoalan itu berlegar-legar di ruang minda Marha. Siapa yang letak bunga ni atas meja aku? Soal hati Marha. Tiba-tiba matanya tertancap pada kad yang terselit di celah bunga ros merah itu. Lantas, kad tersebut dicapai.
Khas untuk Ainur Marha,
Cantik nama awak secantik senyuman awak. Saya harap senyuman awak itu akan menemani hari-hari saya buat seumur hidup saya. Salam perkenalan daripada saya.
Tulus ikhlas,
Pemuja Rahsia.

“Pemuja Rahsia?” Desis Marha. Terkebil-kebil dia membaca nota tersebut tanpa apa-apa perasaan. Tiada langsung rasa teruja apatah lagi rasa tersentuh. Hanya satu yang dia dapat rasakan kali ini. Rasa geli hati yang tidak dapat dibendung. Lalu, kedengaran tawa Marha meletus kala waktu pejabat sedang sunyi sepi.
Semua kakitangan yang ingin memulakan tugas tercenggang-cenggang mendengar tawa Marha yang tiba-tiba. Mereka berpandangan sesama sendiri. Malah langkah Kak Zati turut terhenti. Dia mengatur langkah menuju ke ruang kerja Marha.
“Kenapa dengan kau ni, Mar? Tiba-tiba gelak macam tak ingat dunia ni?” Soal Kak Zati ingin tahu. Anak matanya lekat pada wajah Marha yang berona merah akibat terlalu kuat ketawa.
Marha hanya mampu mengesat sisa air matanya. Bukan kerana sedih tetapi kerana terlalu kuat ketawa. Dia mengangkat pandangan. Renungan Kak Zati dibalas dengan tawa yang cuba ditahan.
“Akak tahu tak siapa yang letakkan bunga ros ni atas meja saya?” Soal Marha tanpa menjawab soalan Kak Zati.
“Tak tahu pulak akak. Akak pun baru sampai ni. Kenapa? Ada yang tak kena ke?” soal Kak Zati sambil pandangannya beralih ke jambangan bunga yang berada dalam pelukan Marha.
“Tak ada apa-apa kak cuma saya pelik tiba-tiba aje jambangan ni ada atas meja saya. Saya ingatkan ada orang tersalah letak tapi nama dekat kad ni memang nama saya. Kalau bunga je yang ada, tak adalah saya nak tergelak tapi kata-kata dekat kad ni buat saya geli geleman,” terang Marha dengan mimik muka meluat terukir di wajahnya.
“Kata-kata apa pulak? Akak nak baca boleh?” Pinta Kak Zati sambil tersengih.
Marha mengangguk lantas menghulurkan kad yang berada di tangannya kepada Kak Zati. Dia hanya menunggu balasan daripada Kak Zati yang kelihatan tekun membaca patah perkataan yang tertulis di atas kad berwarna pink itu.
“Akak rasa kan, orang yang tulis kad ni terlebih baca novel cinta kut. Lain sangat ayatnya ni. Buat akak rasa kembang tekak. Boleh muntah hijau akak kalau macam ni.” Komen Kak Zati.
Serentak tawa mereka terburai. Marha hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak percaya dengan apa yang dia dapat pagi ini.
“Akak nak ke bunga ni? Akak ambillah. Saya tak nak.” Sambung Marha setelah tawa mereka reda. Jambang bunga ros yang digubah cantik itu, dihulurkan kepada Kak Zati.
Kak Zati menolak dengan pantas. Dia menggelengkan kepala.
“Eh tak naklah akak. Nanti terasa hati pulak kekasih gelap Mar tu.”
Marha tersengih. Jambangan bunga itu tetap dihulurkan kepada Kak Zati. Sememangnya dia tidak suka menerima pemberian daripada orang yang tidak dikenalinya. Dia lebih rela memberikannya kepada orang lain.
“Saya tak ada kekasihlah, Kak Zati. Gelap ke cerah ke, memang saya tak ada. Saya ni memang tak suka terima hadiah daripada orang yang saya tak kenal. Tambah-tambah lagi bunga warna merah. Saya memang tak suka. Akak ambillah, hias kat pantry pun cantik juga ni,” ujar Marha memberi cadangan.
Kak Zati termenung seketika. Tidak lama kemudian dia menganggukkan kepala.
“Kalau Mar dah cakap macam tu, akak ikutkan aje…”
“Apa yang kecoh sangat ni? Dari jauh dah boleh dengar ni…”
Kedengaran suara menyapa dari belakang membuatkan Kak Zati dan Marha berpaling. Kelihatan Amzar berdiri sambil membimbit briefcase di tangan. Lelaki itu kelihatan segak dengan kemeja berwarna ungu lembut dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam dan bertali leher berwarna ungu gelap. Penampilan jejaka itu tampak segar namun sayangnya, tiada secalit senyuman pun terukir di bibirnya pagi ini.
“Saya tanya ni tak dengar ke?” Ulang Amzar sambil meninggikan sedikit nada suaranya.
Marha dan Kak Zati tersentak. Kak Zati tersengih. Sedangkan Marha hanya menayang muka selamba.
“Tak ada apa-apa, tuan. Ni hah… Marha dapat bunga daripada orang yang dia tak kenal. Siap ada kad lagi…” jelas Kak Zati sambil tersenyum ramah.
Amzar menjeling pada Mardiyah dan jambangan bunga ros itu silih berganti. Tanpa sedar ada cebikan terzahir di bibirnya.
“Oh, saya ingat apalah yang kecoh sangat tadi. Dapat bunga rupanya. Saya rasakan orang yang bagi tu mesti tak tahu menilai siapa yang layak dapat bunga secantik tu. Bunga yang cantik sepatutnya bagi pada orang yang secantik Kak Zati. Barulah padan,” balas Amzar. Dia tersenyum sinis.
Kak Zati tersipu-sipu malu apabila dipuji oleh Amzar. Sedangkan Marha mengumpul kesabaran. Berdesing juga telinganya mendengar kata-kata Amzar. Aku tahulah aku tak cantik macam kekasih kau tu, tapi tak perlulah nak bandingkan aku dengan bunga. Bebel hati Marha. Geram!
“Jadi betullah tindakan saya bagi bunga tu dekat Kak Zati kan tuan? Bunga yang cantik hanya untuk orang yang cantik. Saya tak termasuk dalam golongan tu dan saya sedar diri. Saya tak rasa orang tu salah menilai sebab menilai guna mata itu nafsu, tapi menilai guna hati itu sejati. Tapi apa boleh buatkan, ramai sangat yang menilai guna mata dan ikutkan nafsu. Tak gitu Kak Zati?” Sengaja Marha melontarkan soalan itu buat Kak Zati. Dia tersenyum puas melihat Amzar yang terkulat-kulat.
Kak Zati tertelan liur apabila melihat wajah Amzar yang kelat. Dia dapat merasakan bahang di antara Amzar dan Marha. Kedua-dua insan itu beradu pandang membuatkan Kak Zati berpura-pura ketawa.
“Apa-apalah, Mar. Akak pergi buat kerja dulu. Tiba-tiba akak rasa kat meja kau ni panas. Akak minta diri dulu, tuan.” Pinta Kak Zati dengan sopan.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia merenung Marha dengan tajam. Rasa berdesing telinganya mendengar kata-kata Marha. Kalau diikutkan hatinya, memang dah lama Marha ditendang daripada hotelnya ini tetapi disebabkan disiplin Marha terhadap kerja bagus, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu.
“Kalau rasa nak kerja lama kat sini, mulut tu jaga sikit. Ingat, dengan siapa awak bercakap ni.” Amzar memberi amaran. Nadanya kedengaran tegas.
Tapi Marha hanya bersikap selamba. Siapa yang mulakan dulu sebenarnya ni? Alih-alih nak salahkah aku pulak. Bebel hati Marha.
“Saya sambung kerja dululah, tuan. Selamat pagi…” jawab Marha tanpa perasaan. Dia kembali duduk di kerusinya tanpa perasaan bersalah.
Sedangkan Amzar sudah merengus. Hatinya tiba-tiba terasa panas. Kenapa minah ni kena jadi pekerja aku? Stress!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.