Tetamu Rindu

Sunday, 26 November 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 9




LAMA Qistina merenung wajah Marha yang kelihatan pucat. Semenjak pulang dari kampung, gadis itu bagai kehilangan seri. Asyik termenung saja kerjanya. Timbul juga risau dalam hati Qistina melihat sikap Marha yang jauh berubah. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab.
“Mar, aku tahu kau sedih. Tapi please, makanlah sikit. Dari pagi kau tak makan. Nanti kau sakit pulak. Semalam pun kau tak makan. Janganlah buat aku risau macam ni.” Ujar Qistina. Dia menyuakan nasi goreng yang dibeli tadi ke arah Marha. Namun, gadis itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Pandangannya kosong.
“Aku tak lapar…” Jawab Marha pendek.
Qistina mengeluh kecil. Dia mengambil tempat di sisi Marha. Wajah pucat milik Marha ditenung lama. Kelihatan gadis itu cuba menahan tangis. Dia dapat mengesan mutiara jernih yang mula bergenangan di kelopak mata bundar milik sahabatnya itu.
“Aku tahu kau sedih, Mar. Kehilangan orang yang kita sayang memang menyakitkan tapi itu bukan alasan kau untuk dera diri kau sendiri. Aku yakin ayah kau pun tak nak tengok kau muram macam ni. Makan pun tak nak. Kau ingat arwah ayah kau tak risau ke?” Qistina menyusun kata. Cuba memujuk semampu mungkin.
“Ayah aku tentu risaukan aku tapi kenapa dia tinggalkan aku? Aku masih perlukan dia, Mar. Banyak kesalahan yang aku lakukan pada ayah aku tapi aku tak pasti sama ada dia maafkan aku atau pun tak. Aku tak nak jadi anak derhaka, Mar. Aku tak pernah bayangkan ini semua jadi dalam hidup aku. Aku tak nak apa-apa pun. Aku cuma nak ayah aku je.” Luah Marha. Air mata yang merembes di pipi, dibiarkan mengalir tanpa sekaan.
Qistina menggigit bibir. Dia kehilangan kata. Bicara Marha menyentuh hati kecilnya. Lantas, tangan sahabatnya digenggam lembut.
“Aku faham, Mar. Tapi ni ketentuan Allah. Kita tak boleh halang. Aku ingat lagi kata-kata yang selalu kau cakap pada anak-anak kat Baitul Husna. Kau kata, ibu bapa ni pinjaman yang paling berharga dalam hidup kita. Sebut saja pasal pinjaman, tentu ia akan diambil semula. Jadi, mak ayah ni pun pinjaman daripada Allah, Dia berhak untuk mengambil bila-bila masa yang Dia rasakan sesuai. Allah tak pernah salah dan takkan sesekali buat kesilapan dalam menentukan apa yang terbaik untuk kita. Sebaliknya, Dia akan gandakan lagi kebaikan untuk kita, kalau kita bersabar dengan ujian yang Dia berikan.” Ucap Qistina panjang lebar. Sekadar memberi nasihat bagi menaikkan semangat Marha yang jatuh merundum.
Marha terdiam. Kata-kata yang pernah diucapkan dahulu kini mengenai tepat pada batang hidungnya. Dia bukan sahaja diuji dengan kehilangan Encik Yasin, tetapi sikap Amzar yang kini bertukar status menjadi suaminya turut membebankan fikiran Marha. Semuanya bergabung menjadi satu membuatkan otaknya semakin kusut.
“Mar, Allah takkan uji kalau kau tak kuat. Allah takkan kejam pada hamba-Nya. Percayalah kau mampu untuk hadapi semua ni. Aku tahu kau kuat. Kau kena kuat. Sekarang ni, arwah ayah kau perlukan kau. Dia perlukan doa kau untuk dia tenang kat sana. Kalau kau menangis, meratap macam ni, kau fikir ayah kau akan tenang ke?” Soal Qistina lagi setelah Marha mendiamkan diri.
Marha mengetap bibir. Dia menyeka air mata yang masih lagi galak menuruni lekuk pipi.
“Aku sayangkan ayah aku. Aku tak nak tengok dia merana…” Ucap Marha lalu meraup wajahnya dengan kedua belah telapak tangan. Dia tidak ingin menangis lagi. Dia ingin kuat.
Qistina tersenyum manis. Lantas, tubuh Marha ditarik ke dalam pelukan.
“Ujian yang Allah kirimkan kadang-kadang buatkan kita rebah, memang kita patut rebah sebab saat itu kita akan bangkit. Bangkit kerana Allah. Kerana saat Dia berikan ujian, pasti Dia juga yang memberi jalan penyelesaian. Tugas kita hanya berdoa dan berdoa. Itu saja.” Bisik Qistina lembut.
Marha mengangguk laju. Mengiakan kata-kata Qistina. Kini, hatinya semakin lega dengan kata-kata nasihat daripada Qistina. Dia terharu kerana masih ada insan yang sudi mendengar keluh-kesahnya. Tetapi jika Qistina mengetahui yang dia sudah menikah disebabkan perkara yang mengaibkan, adakah sahabatnya itu akan terus setia? Hati Marha mula libang-libu.

SELESAI solat Isyak Marha duduk berteleku seketika di atas tikar sejadah. Rasa tenang menyapa hatinya sebaik saja dia tunduk sujud kepada Tuhan Yang Maha Esa. Walaupun masalahnya tidak dapat diselesaikan namun ketenangan yang bertamu dalam hatinya sudah cukup untuk meneruskan kehidupan yang masih samar-samar penghujungnya.
Bunyi deringan telefon bimbitnya mengejutkan Marha. Dia berpaling ke arah katil sebelum telefon bimbitnya dicapai. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Berkerut dahinya apabila melihat  private number terpapar di skrin telefon. Siapa agaknya? Desis hati kecil Marha. Dengan pantas dia panggilan dijawab.
“Hello, assalamualaikum Marha…” bunyi suara wanita memberi salam mengejutkan Marha. Dia cuba untuk mengecam nada suara itu tetapi dia gagal.
“Waalaikummusalam, siapa ya?” soal Marha sopan.
“Mama ni…”
Marha tersentak. Laju saja jantungnya berdetak.
“Mama? Datin Zahidah?” Soal Marha seterusnya.
“Ya, mama ni. Mar apa khabar?” Lembut saja suara Datin Zahidah kedengaran di peluput telinga Marha sehingga membuatkan hatinya tersentuh.
Tergambar jelas sikap ambil berat yang ditunjukkan oleh Datin Zahidah sewaktu ayahnya meninggal dunia. Wanita itulah yang menenangkannya. Memberi kata-kata semangat untuk dia terus bertahan. Betapa dia mengkagumi keperibadian Datin Zahidah.
“Alhamdulillah Mar sihat, auntie. Auntie sihat?” Soal Marha kembali.
“Alhamdulillah mama pun sihat. Err… Mar, mama ada sesuatu nak cakap dengan Mar ni…” Datin Zahidah memulakan bicara.
Marha memperkemaskan duduk. Hatinya resah dengan kata-kata Datin Zahidah yang tiba-tiba.
“Auntie nak cakap apa?”
“Mama tahu apa yang jadi pada Mar begitu menyakitkan. Mama nak mintak maaf bagi pihak Am, atas sikap Am pada Mar. Tapi mama nak Mar tahu Am jadi macam tu disebabkan dia tengah marah. Jadi mama nak mintak sangat dengan Mar, datanglah ke rumah mama. Kita bincang tentang hala tuju hubungan Mar dan Am. Mar tahu kan soal perkahwinan ini kita tak boleh main-main. Sekarang Mar dah jadi isteri Am, mama rasa Mar tahu soal tanggungjawab sebagai seorang isteri kan?” ucap Datin Zahidah dengan bahasa yang cukup tersusun.
Marha mengeluh kecil apabila mendengar nama Amzar meniti di bibir Datin Zahidah. Masih tergambar jelas wajah Amzar yang bengis. Senyum sinis dan cacian yang terlontar daripada mulut lelaki itu. Kata-kata yang cukup mengguris hati Marha. Mana mungkin dia sanggup untuk menghadapi lelaki itu lagi. Walaupun dia sedar, dia tidak mampu mengelak daripada bertemu dengan lelaki itu sementelah Amzar merupakan majikannya.
“Tapi auntie, Tuan Am bencikan saya. Dia langsung tak boleh pandang muka saya. Saya rasa biarlah kami macam ni…”
“Sampai bila Mar nak mengelak? Mar tetap akan kena menghadap muka dia juga bila di pejabat nanti. Mama tak nak Mar belakangkan soal tanggungjawab ni. Berdosa, nak.” Pujuk Datin Zahidah dengan lembut.
“Mar tahu auntie. Tapi kalau Tuan Am yang tak nak, Mar takkan terhegeh-hegeh. Mar tahu tempat Mar kat mana dan tempat Mar bukan di sisi Tuan Am.” Jawab Marha petah.
Kedengaran satu keluhan kecil terlepas daripada mulut Datin Zahidah.
“Mama tahu susah untuk Mar terima apa yang jadi. Tapi mama merayu pada Mar, datanglah ke rumah mama dulu. Kita bincang elok-elok. Mama yakin Am dah mampu terima keadaan sekarang ni…”
“Tapi auntie Mar…”
“Mama tunggu Mar datang esok. Mama tunggu tau. Jangan tak datang.” Ucap Datin Zahidah sebelum menamatkan panggilan.
Marha tersentak. Dia memandang skrin telefon yang bertukar kelam. Dia melepaskan nafas dengan kuat. Apa lagi pilihan yang dia ada saat ini?

MARHA memandang kosong rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di hadapan mata. Rumah itu nampak gah bukan saja daripada seni binanya tetapi lanskapnya juga nampak mewah. Marha meneguk liur. Tiba-tiba dia terasa kerdil. Dia dan Amzar memang umpama langit dan bumi. Takkan dapat bersatu sampai bila-bila.
“Walau apa pun yang terjadi, Mar tetap menantu mama. Semua ni terjadi bukan kita yang rancang tapi dah ketetapan. Sekarang, kita kena fikirkan jalan penyelesaian bukan mengenang perkara yang dah lepas. Mama tahu sikap Am sekarang buatkan Mar tertekan tapi Am jadi macam ni sebab dia marah. Nanti bila dia dah tenang, dia pasti akan boleh terima Mar. Mar datanglah dulu rumah mama. Kita bincang dengan Am.”
Kata-kata Datin Zahidah kembali terngiang di telinga Marha. Disebabkan rasa hormatnya terhadap Datin Zahidah, Marha gagahkan jua kakinya untuk melangkah ke rumah yang umpama istana ini.
Loceng ditekan. Tidak lama kemudian, pagar automatik itu terbuka dengan sendiri. Marha menarik nafas panjang lalu melepaskannya dengan perlahan sebelum melangkah masuk ke dalam kawasan rumah milik Datin Zahidah.
“Marha!” Muncul Datin Zahidah dengan mata yang berkaca apabila melihat figura Marha berdiri di hadapannya. Lantas saja tubuh genit itu ditarik ke dalam pelukan.
Dia tahu apa yang dirasakan oleh Marha saat ini. Sekelip mata hidup gadis ceria seperti Marha berubah dek kerana peristiwa itu. Diabaikan oleh suami, kematian ayah yang tercinta dan dibuang keluarga. Cukup untuk membuatkan gadis yang dahulunya ceria, berubah laku secara mendadak. Datin Zahidah hanya mampu menumpang sedih.
“Auntie…” Hanya itu yang terluah daripada mulut Marha. Dia sebak. Air mata mula bergenangan apabila terasa pelukan Datin Zahidah yang hangat.
“Panggil mama… Mar kan menantu mama sekarang…” Ucap Datin Zahidah lalu meleraikan pelukan. Wajah Marha dipandang lama. Gadis itu menundukkan wajah.
“Saya tak layak untuk panggil auntie dengan panggilan tu…” Balas Marha perlahan.
“Ya, memang kau tak layak! Dan kau tak layak untuk pijak kaki dekat rumah ni! Siapa izinkan kau datang kat sini?” Satu suara yang melengking tinggi muncul dari arah belakang mengejutkan Marha dan Datin Zahidah. Mereka berpaling.
“Am… Kenapa cakap macam tu?” Soal Datin Zahidah cuba mententeramkan Amzar yang kelihatan berang. Anak mata lelaki itu kelihatan merah mencerun ke arah Marha yang sedang tertunduk menekur lantai.
“Salah ke apa yang Am cakap, mama? Tak cukup lagi ke dia dah hancurkan masa depan Am, takkan dia nak tambah lagi bala dengan datang kat rumah ni!” Balas Amzar kasar. Dia mencekak pinggang.
“Tak baik Am cakap Marha macam tu. Mama yang jemput dia datang sini. Mama nak kita berbincang. Kita jernihkan apa yang dah keruh…”
Amzar tersenyum sinis. Semakin dia melihat wajah Marha, semakin bertambah bencinya pada gadis itu walaupun gadis itu tidak berbuat apa-apa. Masih terbayang-bayang lagi peristiwa sewaktu mereka ditangkap berdua-duaan. Semuanya seakan diulang tayang dalam mindanya.
“Nak jernihkan apa lagi, mama? Mama nak Am kahwin dengan dia, Am ikut. Am cuma tak nak tengok muka dia dalam rumah ni, susah sangat ke mama nak ikut permintaan Am? Kalau mama sayang sangat perempuan tak guna ni, lebih baik Am keluar daripada rumah ni. Jijik Am nak tinggal sekali dengan perempuan pemusnah masa depan orang lain!” Hambur Am lagi dengan amarah yang tidak tertahan.
“Am! Jangan kurang ajar! Mama tak pernah ajar kamu jadi macam ni!” Suara Datin Zahidah meninggi. Sedikit terkejut dengan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Amzar.
Marha menelan rengkungnya sendiri. Kata-kata hinaan yang dilempiaskan oleh Amzar begitu merobek hatinya. Sedaya-upaya dia cuba bertahan. Bersabar.
“Memang mama tak pernah ajar Am jadi kurang ajar, tapi perempuan ni… Perempuan ni buat Am hilang sabar!” Jerit Am.
Serentak dengan itu, dia meluru ke arah Marha. Lengan isterinya itu dicekak dan ditarik dengan kasar.
“Am nak buat apa ni?” Datin Zahidah mula panik apabila Amzar menarik tubuh Marha dengan kasar menuju ke pintu pagar.
“Perempuan tak guna ni tak layak berada kat rumah kita! Dia boleh berambus!” Tengking Amzar lagi. Lantas, tubuh genit itu ditolak ke arah pintu pagar. Tubuh Marha terhentak di pintu pagar. Dia menyerengai kesakitan.
“Am ni dah gila agaknya. Ingat sikit, Marha tu isteri Am. Kalau Am nak seksa dia macam ni, lebih baik Am lepaskan dia dengan cara baik!” Balas Datin Zahidah. Dia mendapatkan Marha. Tubuh menantunya diusap lembut.
“Memang Am dah gila. Gila sebab fikirkan kenapa Am kena kahwin dengan perempuan murah macam ni. Hidup Am dah hancur, mama tahu tak? Mama nak Am lepaskan dia? Huh, dia dah buat Am terseksa, jadi Am takkan biarkan dia hidup bahagia. Dia dah perangkap Am dengan rancangan bodoh tu jadi biar Am perangkap dia dalam perkahwinan ni. Am takkan jalankan tanggungjawab Am dan Am takkan lepaskan dia. Biar dia terseksa sampai bila-bila! Itu hukuman Am untuk perempuan yang berani kacau hidup Am!” Balas Amzar sarat dengan dendam. Dia merenung tajam wajah Marha.
Datin Zahidah tersentak. Marha hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak mampu untuk bersuara. Dia tidak mampu untuk menangis. Beban yang dirasakan saat ini benar-benar menghukumnya.
“Am…” Datin Zahidah terkelu.
“Saya mintak maaf, tuan. Tapi saya yakin tuan juga tahu, apa yang jadi pada malam tu bukan salah saya dan bukan salah tuan. Semuanya tak sengaja. Saya tak pernah ada niat untuk perangkap tuan. Saya sedar siapa saya…”
“Berani jugak nak menjawab! Baguslah kalau kau sedar siapa kau, tak perlu aku ingatkan hari-hari. Kau dengar sini, aku tak nak ada seorang pun tahu siapa kau dengan aku. Kalau ada sesiapa tahu, nahas kau, aku kerjakan!” Ugut Amzar. Dengan selamba dia menunjal kepala Marha dengan kuat.
“Am!” Marah Datin Zahidah lalu menepis tangan Amzar.
Amzar menjeling benci. Dia tidak tahu mengapa Datin Zahidah berpihak pada Marha walhal mereka baru saja berjumpa.
“Mama tak payahlah nak bela sangat perempuan tak guna ni. Luaran je nampak baik tapi dalaman, busuk! Perempuan macam ni layak campak tepi longkang je!” Hambur Amzar lagi. Lantas, dia menolak bahu Marha dengan kuat.
Marha hampir jatuh nasib baik dia sempat berpaut pada lengan Datin Zahidah.
“Ya Allah, budak ni!” Suara Datin Zahidah meninggi. Dia cuba menghalang Amzar daripada terus mengasari Marha.
“Lebih baik kau berambus, perempuan. Sebelum teruk aku kerjakan kau. Berambus!” Tempik Amzar kuat.
Terhinjut bahu Marha. Tanpa menunggu lama, dia memboloskan diri daripada pintu pagar. Tidak sanggup rasanya dia terus menghadap baran Amzar yang semakin menjadi-jadi. Bagaimana agaknya dia ingin menghadap Amzar setiap hari di pejabat?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.