Tetamu Rindu

Sunday, 3 December 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Remake RINDU DALAM SEPI ) - BAB 10



SEMENJAK peristiwa di rumah Datin Zahidah tempoh hari, perasaan benci Amzar terhadap Marha semakin menjadi-jadi. Ada sahaja sikap Marha yang tidak kena di matanya. Kadang-kadang perkara kecil pun akan dibesarkan oleh Amzar. Marha benar-benar tertekan setiap kali datang ke pejabat. Tetapi disebabkan dia perlu mencari rezeki, dia teruskan jua meski pun terpaksa berhadapan dengan sikap baran Amzar yang tidak pernah surut.
“Am ada?” sergah satu suara mengejutkan Marha. Dia mengangkat muka.
Kelihatan Ratna sedang berdiri di hadapannya dengan riak sombong. Secalit senyuman pun tidak dihadiahkan untuk Marha apatah lagi ingin bermanis muka. Macam aku hadap sangat nak tengok senyuman dia tu. Cebik Marha dalam hati. Mula naik muak dengan perangai Ratna yang melebih-lebih. Entah apalah yang Amzar pandang pada Ratna pun Marha tidak tahu. Kalau daripada segi rupa memang gadis di hadapannya ini cukup cantik dan jelita tetapi kalau daripada segi adab dan sopan santun, kosong!
“Hoi, I tanya ni! Am ada ke tak? Yang you termenung tenung muka I ni kenapa? I tahulah I cantik. Makan gaji buta aje you ni kan? Pemalas!” hambur Ratna tiba-tiba.
Rasa sakit hatinya terhadap Marha tentang kes insiden tempoh hari masih belum pulih sepenuhnya. Dia rasa tercabar dengan sikap berani yang Marha tunjukkan di hadapan orang ramai.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya dengan perlahan. Dia cuba menyabarkan diri. Memang tak sayang mulut agaknya minat ni, sekali aku tempeleng, bisu 40 hari. Bebel Marha dalam hati. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri.
“Aik, senyum sorang-sorang pulak. Dah gila agaknya you ni. Kenapalah Am boleh ambil perempuan yang sewel macam you ni bekerja. Scary!” sambung Ratna sambil membuat riak muka menjijikkan.
“Kau tu lebih scary daripada aku. Datang ofis pun pakai baju pendek bukan main.” Desis Marha cukup hanya dia yang mendengar.
“You cakap apa?” Soal Ratna meninggi apabila dia melihat Marha memandangnya dari atas hingga ke bawah.
“Saya cakap, cik nak jumpa Encik Am ke? Cik ada buat appointment tak?” soal Marha selamba. Terkebil-kebil dia memandang wajah Ratna yang sedang berdiri dengan riak wajah yang tidak berpuas hati.
What? Appointment? Seriously? You kenal tak I siapa?” Soal Ratna sambil menunjuk ke dirinya sendiri dengan mata yang dijengilkan.
“Kenal. Cik Ratna la,” jawab Marha ringkas dengan riak tak bersalah.
Ratna mendengus. Mula sakit hati dengan kerenah Marha.
“I ni girlfriend Amzar dan I boleh jumpa Amzar bila-bila masa yang I suka tanpa perlu appointment, you tak tahu ke?” bentak Ratna sambil mengertap bibir.
“Siapa cakap? Masa saya mula-mula kerja dulu Encik Amzar sendiri yang tetapkan setiap orang yang nak jumpa dengan dia perlu buat appointment. Papa Encik Amzar, Dato Zuhdi pun buat appointment kalau dia nak jumpa dengan Amzar pasal bisnes. So, saya hanya ikut arahan yang dikeluarkan sahaja.” Ucap Marha sambil menekankan perkataan sahaja.
What the hell? Kau memang nak kena dengan aku! Aku nak cakap dengan Amzar sekarang!” Ratna sudah mula bertukar watak. Bahasanya juga turut bertukar.
Belum sempat Marha membalas, muncul Amzar dari dalam biliknya dengan wajah yang sentiasa serius. Sejak malam kejadian itu, senyuman Amzar terlalu payah untuk dilihat.  Itu yang Marha sedar.
“Apa yang bising-bising ni?” soal Amzar sambil memandang Ratna dan Marha silih berganti. Mesti perempuan ni buat hal lagi! Bentak hari Amzar.
Sebaik sahaja melihat kelibat Amzar, Marha terus bangun daripada duduk tanda hormatkan lelaki itu.
“Sayang, you tengoklah perempuan ni. Dia tak bagi I jumpa you. Dia cakap I kena buat appointment dulu sebelum jumpa you. Sakit hati I tau. I bukan client you. I kan buah hati you, sayang.” Rengek Ratna sambil tangannya memeluk erat lengan Amzar. Kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu.
Marha menahan diri daripada rasa loya. Sayang konon. Nak muntah aku!
“Betul ke apa yang Ratna cakapkan ni, Marha?” Soal Amzar dengan wajah yang tegang. Dia cuba menahan rasa marah tetapi sebaik saja terpandang wajah Marha, bayang peristiwa malam itu kembali terlayar ke kotak fikiran.
Marha hanya mampu menganggukkan kepala. Dia tidak berani untuk menentang renungan Amzar. Terasa renungan itu menusuk terus ke jantungnya. Dia kecut perut.
“Apasal kau ni lembab sangat? Ratna ni kekasih aku! Siapa kau nak halang dia daripada jumpa aku? Kau mama aku ke? Nenek aku ke? Takkan itu pun aku nak kena ingatkan kau banyak kali? Lembab!” hambur Amzar tidak tertahan-tahan. Dia puas apabila melihat wajah Marha yang keruh. Dia puas apabila gadis itu menunduk dengan wajah yang sendu.
Hati Marha terguris. Kata-kata itu seolah-olah menjatuhkan air mukanya apatah lagi saat ini beberapa pasang mata sedang memandang ke arah mereka bertiga.
“Tapi tuan pernah cakap yang tuan takkan terima urusan yang tak buat appointment. Saya cuma ikut arahan tuan aje.” Marha memberanikan diri untuk menjawab.
Amzar menjengilkan mata. Dia tidak menyangka Marha berani untuk melawan. Sedangkan Ratna hanya tersenyum sinis melihat Marha dimarahi oleh Amzar. Padan muka kau! Tadi berlagak sangat.
So sekarang kau nak lawan akulah? Siapa bos kat sini? Aku ke kau? Hotel ni aku punya, suka hati akulah nak buat peraturan macam mana pun. Kau tu kuli aku je, buat cara kuli! Kalau tak suka dengan cara aku, kau boleh berhambus! Belajar tinggi tapi semua benda aku nak kena ajar!” marah Amzar lagi dengan bahasa yang sangat kasar.
Marha menggigit bibir. Dia menahan rasa. Air mata yang ingin gugur, ditahan sekuat hati. Jangan menangis depan lelaki ini, Marha. Kau kena kuat. Kau harus kuat! Hatinya mengingatkan. Lantas, Marha mengangkat wajah menentang pandangan Amzar.
“Baiklah, tuan. Kalau itu yang tuan cakapkan. Saya hanya menurut perintah.” Jawab Marha dengan senyuman hambar sengaja diukirkan.
Kata-kata Amzar mati di situ. Suara Marha yang lembut membuatkan suhu kemarahannya menjunam sedikit demi sedikit.
“Sudahlah sayang. Buang masa aje you ceramah perempuan ni. Dia bukan faham bahasa. Jomlah masuk bilik you. I rindu nak tengok muka you. I rindu nak sembang dengan you,” ucap Ratna sambil menarik lembut lengan Ratna.
Amzar menarik lengannya daripada pegangan Ratna. Dia tidak selesa dipegang begitu sementelah mereka berada di tempat kerja. Dia bimbang jika ada gosip-gosip liar sampai ke pengetahuan Dato Zuhdi.
“Kali ni aku lepaskan kau. Apa tunggu lagi tu? Pergi buat air untuk Ratna!” Sergah Amzar sebelum menghilangkan diri bersama Ratna.
Marha melepaskan keluhan. Dia terduduk di atas kerusinya. Wajahnya diraup dengan kedua belah telapak tangan. Ya Allah, adakah ujian aku baru bermula?

PINTU bilik diketuk sebelum dia melangkah masuk dengan menatang dulang yang berisi dua cawan kopi panas untuk dihidangkan buat Amzar dan kekasih hatinya itu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, hanya batang tubuh Ratna sahaja yang kelihatan. Amzar hilang entah ke mana.
“Ada pun kau perempuan kampung. Aku ingatkan dah menangis tepi bucu meja tadi,” sinis Ratna dengan senyuman mengejek menghiasi bibirnya yang bergincu merah.
Dia menyilangkan kakinya sekali gus mempamerkan betisnya yang putih gebu. Sekarang ini, Amzar tiada jadi inilah peluang untuk dia mengenakan Marha.
“Kalau aku jadi kau kan, dah lama aku berhenti kerja. Buat apa kerja kalau bos sendiri pun tak suka. Atau kau sanggup bertahan kerja kat sini sebab kau dah sangkut dengan buah hati aku tu? Maklumlah dia orang kaya, perempuan mana tak terhegeh-hegeh kan? Tapi sebelum kau pasang angan-angan nak goda buah hati aku tu, lebih baik kau cermin muka kau tu dulu.” Ujar Ratna lagi sekadar untuk menambah rasa sakit dalam hati Marha. Fikirnya Marha pasti akan melenting.
Tetapi Marha hanya bersikap selamba. Dia menadah segala cercaan daripada Ratna tanpa apa-apa perasaan. Apalah yang minah ni mengarut? Macamlah aku nak sangat buah hati dia tu. Kalau kau tahu yang buah hati kau tu dah jadi suami aku, aku rasa sekarang juga kau terjun bangunan hotel ni sebab tak dapat terima kenyataan. Monolog Marha. Dia tersenyum nipis.
“Dah habis cakap Cik Ratna? Saya nak hidangkan air ni…” balas Marha tanpa mengulas kata-kata Ratna.
Ratna mendengus apabila provokasinya tidak menjadi. Lantas, sebaik saja Marha ingin meletakkan cawan di atas meja, Ratna menahan kaki Marha menyebabkan kaki gadis itu tersadung. Cawan yang berisi air panas itu tumpah mengenani lengan Marha. Nasib baik hanya sedikit saja sisa air yang terpercik pada betis Ratna. Kalau tidak lagi kecoh jadinya. Wajah Marha berkerut menahan rasa pedih di lengannya.
“Aduh, sakitnya!” Marha mengaduh kesakitan. Lalu dia bingkas bangun untuk ke pantri. Namun saat itu juga pintu bilik Amzar terkuak. Terjengul wajah Amzar yang masam mencuka. Marha meneguk air liur. Masak aku kali ni!
“Apa yang jadi ni?” Soal Amzar garang apabila dia melihat kesan air kopi yang tertumpah di atas meja.
Ratna tersenyum jahat. Ternyata dia mendapat kesempatan untuk mengenakan Marha. Lantas, betisnya dipegang dengan air mata yang dipaksa keluar.
“Aduh, sayang. Kaki air sakit! Kaki I dah melecur! Semuanya salah perempuan tu. Dia sengaja nak balas dendam kat I. You tengoklah, dah merah kaki I ni. Macam mana I nak kerja nanti?”  rengek Ratna berpura-pura sakit. Dia berpura-pura menangis.
Marha tersentak. Mencerun pandangannya ke arah Ratna sebelum anak matanya kembali ke laman wajah Amzar. Lelaki itu sudah mencekak pinggang.
“Apa alasan kau kali ni?” Soal Amzar dengan suara yang mendatar cuba menahan rasa amarah yang meluap-luap dalam dada.
“Saya tak buat apa-apa pun…” Ucap Marha tergagap-gagap.
Amzar membesarkan matanya. Kecil saja Marha di pandangannya saat ini. Dia menghampiri Ratna. Kaki Ratna dibelek. Hanya terdapat sedikit saja kesan merah. Bukannya teruk mana.
“You okey?” Soal Amzar dengan lembut. Wajah Ratna dipandang dengan rasa risau.
“Kaki I sakit sangat sekarang ni. Rasa pedih. Ni ada kesan merah, macam mana I nak catwalk malam ni? Ni semua setiausaha you punya pasal. I nak dia lap kaki I!” bentak Ratna sambil menarik-narik lengan baju Amzar. Tidak ubah seperti budak kecil yang inginkan coklat.
Amzar kembali memandang Marha yang masih mendiamkan diri. Rasa amarah kembali menyerang dirinya tatkala melihat Marha yang hanya membisu seribu bahasa.
“Ini kau kata kau tak buat apa-apa? Kau tak nampak apa yang jadi pada Ratna? Kau lap kaki dia sekarang!” arah Amzar seraya menuding jari ke arah kaki Ratna yang terdedah.
Marha tersentak. Laju saja kepalanya dipanggung. Mereka beradu pandangan. Sungguh Marha tidak menyangka sampai begitu sekali keputusan Amzar.
“Bukan salah saya lagipun air tu tak tumpah langsung atas kaki Cik Ratna. Tak ada sebab untuk saya lap kaki dia!” Bantah Marha cuba menegakkan keadilan.
“Kau nak melawan aku? Ini arahan, lap kaki Ratna sekarang!” arah Amzar lagi dengan mata yang merah menahan marah.
Marha menggelengkan kepala dengan pantas. Dia enggan meski pun lelaki itu memaksa.
“Saya tak nak! Bukan salah saya sebaliknya Cik Ratna yang patut mintak maaf sebab dia yang tahan kaki saya sampai saya terjatuh. Saya hanya ikut arahan tuan berkaitan kerja saja. Ini penindasan! Saya takkan ikut!” Lawan Marha petah.
Amzar terasa telinganya berdesing. Ternyata Marha memang seorang yang keras kepala. Gadis itu enggan mengaku kalah jika bukan kesalahannya. Tetapi Amzar tidak boleh tewas. Dia akan pastikan gadis itu menangis kesakitan. Lalu, dia mendekati Marha. Lengan gadis itu dicengkam kuat sebelum diheret menuju ke arah Ratna yang duduk selesa di atas sofa.
Marha menyeringai kesakitan. Rasa pedih akibat melecur masih belum hilang ditambah pula dengan cengkaman tangan Amzar yang kasar. Cukup menyakitkan. Hampir menitis air matanya menahan rasa.
“Sakit, tuan. Lepaskan tangan saya!” bentak Marha cuba merentap tangannya kembali.
Namun pegangan tangan Amzar terlalu kuat.  Sukar untuk dileraikan oleh Marha.
“Kau jangan nak lawan aku. Kau tu bukan sesiapa pun pada aku. Lap kaki Ratna sekarang sebelum kau menyesal sebab kerja kat sini!” arah Amzar berbaur ugutan.
Marha tetap menggeleng. Sedaya-upaya dia cuba menarik tangannya kembali. Jika boleh dia ingin cepat-cepat keluar daripada bilik itu. Sudah tak tertanggung rasa sakit yang terasa lengannya yang melecur.
“Kalau tuan paksa saya sekali pun, saya takkan ikut cakap kekasih tuan yang penipu tu!” bentak Marha.
“Apa kau cakap?” Ratna menyampuk. Hatinya mendidih dengan kata-kata Marha.
“Berani kau, ya? Kau fikir kau kuat sangat  hah?” Amzar mulai berang. Dia menambah lagi kekuatan cengkamannya.
“Sakitlah!” Marha menjerit. Menitis juga air matanya. Saat ini dia memandang tepat ke anak mata Amzar namun anak mata itu sarat dengan sinar kebencian. Tiada secebis simpati pun yang terbias di dalam anak mata coklat cair itu.
“Lepaskan saya atau saya adukan perkara ni pada dato!” Marha semakin kuat meronta.
Amzar tersenyum sinis.
“Siapa kau untuk papa aku dengar aduan kau?”
“Saya pekerja dan saya berhak!”
“Kau tak payah cakap soal hak dengan aku. Kau tak berhak langsung. Kau tu sampah! Ikut arahan aku sekarang!” Amzar mula hilang sabar. Tubuh Marha ditolak ke arah Ratna.
Marha jatuh terjelepok di atas lantai. Dia memegang pinggangnya yang rasa sakit akibat terhentak di atas lantai.
“Saya rela mati daripada ikut arahan tuan yang gila ni!” bentak Marha dengan keberanian yang masih bersisa.
“Kurang ajar!” Tempik Amzar. Serentak, dia melayangkan tangan.
“Amzar!” jerkah satu suara menghentikan perbuatan Amzar. Dia berpaling ke arah pintu.
“Papa?” Intonasi suaranya jatuh menjunam sebaik saja melihat figura Dato Zuhdi berdiri dengan wajah yang menyinga.
Kesempatan yang ada digunakan oleh Marha untuk berlari dan bersembunyi di belakang Dato Zuhdi. Ada esak tangis mula kedengaran. Hampir saja pipinya menjadi mangsa Amzar. Nasibnya baik Dato Zuhdi tiba tepat pada masanya.
“Apa nak jadi dengan kamu ni, hah? Dengan perempuan pun kamu nak angkat tangan? Jangan jadi dayus, Am. Papa tak pernah ajar kau jadi macam ni!” marah Dato Zuhdi sambil mencerun matanya memandang Amzar.
“Am cuma nak ajar perempuan tu aje. Dia kurang ajar sangat dengan tetamu Am. Memang patutlah makan penampar.” Jawab Amzar selamba tanpa riak bersalah.
Jelas Dato Zuhdi tersentak dengan kata-kata Amzar. Dia mengalih pandangan ke arah Ratna yang sedang tersengih-sengih. Rasa muak pula dia melihat gadis itu.
“Kalau nak ajar bukan begini caranya. Ini menganiya. Marha ini pekerja kita, kalau dia buat laporan, kamu juga yang susah. Jumpa papa dekat bilik meeting sekarang. Awak, Cik Ratna…” Dato Zuhdi memandang tepat ke arah Ratna yang sudah berdiri.
“Sini, tempat orang cari rezeki bukan tempat berdating. Kalau awak tak ada kerja, jangan kacau orang buat kerja!” tempelak Dato Zuhdi.
Ratna terkulat-kulat.
Marha menarik nafas lega. Sedangkan Amzar melemparkan pandangan berbaur amaran kepada Marha. Nasib kau baik hari ni, perempuan!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.