Tetamu Rindu

Monday 27 August 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 20

"KITA nak ke mana ni, tuan? Dah sejam kita ronda bandar ni, tapi satu tempat pun tuan tak nak singgah.” Ujar Marha sambil memandang sekilas Amzar yang duduk membatu di tempat duduk penumpang.
“Nak singgah macam mana? Kau tak nampak kaki aku ni tengah sakit, nak jalan macam mana?” soal Amzar sambil menjeling.
“Dah tu kenapa tuan tak nak rehat aje kat rumah?” soal Marha lagi.
“Aku bosan tahu tak? Nak pergi ofis, satu benda pun aku tak boleh buat. Duduk kat rumah pun tak boleh buat apa. Kau faham tak perasaan aku? Aku bosan!” balas Amzar dengan suara yang sedikit meninggi. Dia melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Marha terdiam sesaat. Dia menggigit bibir. Cuba memikirkan sesuatu.
“Tuan nak jumpa dengan Cik Ratna? Saya boleh arrange kan untuk tuan.” Marha memberi pendapat.
Amzar menggelengkan kepalanya dengan pantas.
“Ratna sibuk. Dia ada kelas lakonan dekat KL.” Balas Amzar. Bohong. Padahal acap kali Ratna menghubunginya namun dia yang enggan menjawab. Semenjak peristiwa dia terserempak Ratna bersama lelaki lain, hatinya menjadi kosong. Tawar dan hambar.
Hmmm… Kalau tuan tak tahu nak pergi mana, tuan ikut saya jelah.” Ucap Marha dengan senyuman nipis terukir di bibirnya.
Amzar berpaling.
“Kau nak ke mana?” soal Amzar penuh tanda tanya.
“Adalah. Tapi sebelum tu tuan kena makan dulu. Tuan tak makan pun tengah hari tadi. Tuan ni suka sakit agaknya.” Balas Marha. Dia menjeling jam di dashboard yang bertukar ke angka dua.
“Bukan aku suka sakit tapi perut aku tak lapar…”
“Tak lapar pun tuan tetap kena makan. Tuan tu ada gastrik. Waktu makan kena jaga betul-betul. Lagipun kita kena makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang kan?” pintas Marha menghentikan bicara Amzar.
Amzar mencebikkan bibir. Tewas dengan kata-kata Marha.
“Yelah, yelah. Kau menang. Tapi macam mana aku nak makan? Aku tak nak makan guna tangan kiri.” Ujar Amzar sambil memandang tangannya yang masih berbalut. Rasa sakit semakin pudar cuma saat dia menggerakkan tangan, lengannya pasti terasa ngilu.
“Ya, saya tahu. Dah jadi tugas saya suapkan tuan kan?” soal Marha sekadar bergurau. Dia mengerling ke sisi. Cuba mengintai reaksi Amzar.
“Papa bayar kau kan? Jadi kau kenalah buat kerja kau.” Balas Amzar tidak mahu mengalah.
“Ya, saya tahu. Nanti bolehlah saya minta bayaran lebih dengan papa sebab tuan tak nak dengar cakap saya. Tuan cerewet lebih. Tuan suka cari pasal dengan saya. Jadi, saya kena claim lebih.”
Claim lebih? Claim untuk apa?” soal Amzar dengan mata yang membulat.
Claim untuk hati dan perasaan saya. Hati saya sakit, siapa yang nak rawat? Jadi saya kena claim lebih.” Jawab Marha selamba.
Amzar melongo. Terkebil-kebil dia memandang Marha.
“Kau ni memang mata duitan.”
“Semua benda perlukan duit sekarang ni, tuan. Tuan pernah cakap saya setuju untuk kahwin dengan tuan sebab duit kan? Betullah tu. Jadi, tuan kena dengar cakap saya kalau tuan tak nak duit papa habis saya kikis.” Balas Marha bersahaja.
Amzar menggeleng kecil.
“Selama ni kau tipu mamalah? Berpura-pura baik depan mama. Pandai kau kan?”
Marha ketawa kecil.
“Nak hidup kenalah pandai, tuan. Tuan tahu saya ni bukan perempuan baik jadi saya rasa ada baiknya tuan lepaskan saya nanti. Tak perlulah tuan nak gantung ke apa ke. Kita selesaikan secara baik, ya?” pinta Marha tiba-tiba.
Amzar berjeda. Dia mengulum senyum. Dia tersedar akan sesuatu. Dia yakin kata-kata Marha sebentar tadi sekadar ingin memprovokasi dirinya agar bersetuju untuk memutuskan ikatan mereka. Dia ingat aku bodoh agaknya? Detik hati Amzar.
“Sepatutnya dari dulu kau fikir masak-masak sebelum masuk dalam kehidupan aku. Kau dah terperangkap sekarang. Memang aku bencikan kau. Memang aku menyampah dengan kau. Tapi aku takkan lepaskan kau. Gunalah apa cara sekali pun, kau takkan terlepas.” Balas Amzar penuh yakin.
Marha mengeluh berat. Dia menghentikan kereta di hadapan Taman Gelora. Dia berkalih ke arah Amzar.
“Tapi kenapa tuan? Tuan bencikan saya sepatutnya tuan lepaskan saya.”
Amzar hanya menjogketkan bahu sebagai jawapan.
“Tak semua soalan ada jawapan.” Balas Amzar selamba.
Pandangannya mula ditebar ke sekeliling. Mula menyedari di mana mereka berada.
“Kenapa datang sini?” soal Amzar pelik.
“Oh, datang nak makanlah. Nak makan dekat restoran, nanti tuan malu pula kalau saya yang suapkan. Biar saya bungkus makanan kat sini, lepas tu kita makan dekat tepi tasik tu.” Terang Marha.
“Makan tepi tasik?” soal Amzar pelik. Keningnya yang lebat mula bertaut.
Marha tersenyum dan menganggukkan kepala.


AMZAR resah menantikan Marha yang tidak kunjung tiba sedangkan saat ini dia duduk bersendirian di tepi tasik. Angin yang bertiup lembut memberi ketenangan kepada Amzar. Dia rasa nyaman.
Dia kembali duduk di bangku sambil matanya ditebarkan ke tengah tasik. Kelihatan beberapa ekor ikan timbul di permukaan. Amzar tersenyum sendiri.
Dia tidak menyangka hidupnya berubah sampai begini sekali. Kehadiran Marha sebagai isterinya tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Bagi Amzar, Marha Cuma gadis yang hadir semata-mata untuk merosakkan masa depannya. Kebencian terhadap gadis itu memang tidak berbelah bahagi. Namun, setelah beberapa hari tinggal bersama gadis itu, Amzar dapat merasakan gadis itu bukan seteruk yang disangkakan. Cuma hatinya masih keras untuk menerima kehadiran Marha.
Amzar memandang lengannya yang masih lagi terikat di leher. Disebabkan kemalangan itu, semua kerjanya bergantung kepada Marha. Sememangnya Marha pekerja yang rajin dan komited cuma kebenaran itu hanya diakui di dalam hatinya saja.
Perlahan-lahan Amzar meleraikan ikatan kain yang terikat di lehernya. Dahinya berkerut menahan rasa nyilu. Namun, itu bukan alasan untuk dia memanjakan diri. Kain yang membaluti lengannya turut dileraikan.
“Apa yang tuan buat ni?” tegur Marha lalu berlari-lari anak mendapatkan Amzar yang duduk bersendirian di gazebo.
Amzar berpaling. Perbuatannya terhenti. Wajah Marha yang kerisauan mencuit hatinya.
“Tuan nak buat apa ni? Tangan tuan tak sembuh lagi kan?” soal Marha risau. Dia meletakkan bungkusan makanan dan air di tengah bangku. Dia memandang wajah Amzar dengan lama. Dia inginkan jawapan.
“Aku cuma nak gerakkan tangan ni. Kalau asyik terikat dan berbalut macam ni, bila nak sembuh? Banyak lagi kerja aku yang tertangguh.” Jelas Amzar.
Marha melepaskan nafas dengan lembut.
“Tuan, sakit yang Allah berikan tu kan untuk menghapus dosa-dosa kecil kita. Allah bagi sakit tu bermakna, Dia nak bagi tuan rehat daripada kerja-kerja tuan yang banyak. Sabarlah sikit, ya?”  ujar Marha seakan memujuk.
“Aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya aku kena usaha untuk sembuh bukan tunggu tangan ni baik dengan sendiri. Dekat pejabat tu, berlambak lagi kerja yang aku kena semak. Banyak meeting yang terpaksa cancel. Stress kau tahu tak?”
Marha menahan diri daripada ketawa apabila mendengar Amzar membebel. Dia tunduk seketika sebelum kembali mendongak.
“Pasal meeting, pasal kerja ofis, papa dan lantik Encik Omar selaku pengganti tuan buat sementara waktu. Segala meeting atau urusan yang Encik Omar buat, dia dah maklumkan pada saya jadi tuan jangan risau. Papa nak tuan rehat betul-betul.” Balas Marha cuba menenangkan Amzar.
Amzar terdiam seketika. Penjelasan Marha sedikit sebanyak memberi kelegaan dalam hatinya. Dia melepaskan nafas perlahan.
“Sekarang, tuan kena pakai kain ni semula. Tuan tak boleh tanggalkan kain ni sebelum doktor yang tanggalkan.” Tegas Marha.
Dia mencapai kain tersebut daripada pegangan Amzar. Dengan selamba dia menarik tangan Amzar dengan perlahan. Kain tersebut kembali diikatkan ke leher Amzar.
Amzar menahan perasaannya saat tubuh Marha menghampiri. Dia tertelan air liur. Jantungnya mula berlari pantas.
“Okey, dah siap.” Ucap Marha kemudian memandang Amzar yang hanya mendiamkan diri. Mereka berpandangan seketika.
Errr… Ni makanan untuk tuan. Saya ada belikan rojak. Rojak kat sini sedap tau. Tuan cubalah dulu.” Sambung Marha setelah Amzar hanya membatukan diri.
Marha membuka bekas plastik lalu ditunjukkan kepada Amzar. Kemudian kuah rojak diletakkan ke dalam bekas plastik yang berisi mi.
Amzar hanya memerhatikan tingkah Marha dengan penuh minat. Wajah Marha direnung lama. Dari kening Marha yang lebat kemudian jatuh ke bola mata Marha yang bundar. Anak mata itu kelihatan bersinar saat bibir gadis itu tersenyum. Tanpa sedar bibir Amzar turut mengukir senyum.
“Aku nak…” ucap Amzar tiba-tiba.
“Hah? Tuan nak apa?” soal Marha dengan mata yang membulat. Terkebil-kebil dia memandang Amzar.
Amzar menundukkan kepala seketika. Dia cuba menyembunyikan tawanya. Hidungnya digosok kemudian dia kembali mendongak.
“Nak rojak tulah. Aku lapar ni. Habis tu kau ingat aku nak apa?” soal Amzar kemudiannya.
Marha tersengih malu. Wajahnya berubah rona. Dia menggeleng kecil. Dia tidak keruan apatah lagi saat ini Amzar asyik memerhati setiap tindak-tanduknya.  Lalu, sudu yang berisi mi disuakan ke mulut Amzar dengan tangan yang sedikit menggigil.
Amzar membuka mulut sambil matanya tidak lepas daripada menatap wajah Marha. Dia tahu gadis itu sedang berperang dengan perasaan sendiri. Namun Amzar tidak peduli, dia ingin terus mengusik. Reaksi Marha yang tersipu malu mencuit hatinya.
Marha terus menyuap Amzar walaupun saat ini wajahnya terasa hangat. Renungan anak mata coklat cair itu seakan tembus hingga ke jantungnya. Dia tahu renungan itu tidak membawa sebarang makna tetapi sudah sikap semula jadinya, dia malu apabila ditenung seperti itu.
“Kenapa tuan pandang saya macam tu? Saya ada buat salah ke?” soal Marha akhirnya.
“Nak pandang pun tak boleh ke?” soalan dibalas soalan oleh Amzar. Dia masih setia menatap wajah Marha. Seolah-olah seraut wajah itu tidak jemu dipandang.
“Bukan tak boleh masalahnya tak selesa.” Gumam Marha. Hanya dia yang mendengar.
Dahi Amzar berkerut.
“Kau cakap apa?”
“Tak ada apa-apa. Tuan habiskan rojak ni. Sikit aje lagi.” Balas Marha sekali gus mengubah topik perbualan mereka.
“Kau tak makan sekali?” soal Amzar sekadar basa basi.
Marha tersenyum. Pandangan Amzar dibalas lembut.
“Saya dah makan sebelum keluar tadi. Tuan makanlah.” Jawab Marha.
Dia kembali menyuap rojak mi ke mulut Amzar. Saat ini dia terlupa bahawa lelaki di hadapannya kini, sangat membenci dirinya. Dia melayan Amzar seolah-olah tiada sengketa di antara mereka.
“Eh, sekejap. Comot pulak mulut tuan ni.” Sambung Marha.
Lalu, dia mencapai tisu kemudian pinggir bibir Amzar yang tercalit kuah rojak disapu dengan lembut sehingga bersih.
Hati Amzar berdetak lagi. Butir bicara Marha yang seterusnya tidak kedengaran jelas di telinganya. Layanan Marha yang lembut benar-benar menyejukkan hatinya saat ini. Senyuman gadis itu yang manis berjaya melemahkan jiwanya. Tanpa sedar, Amzar terpukau!
“Okey, tuan pun dah siap makan, jomlah kita gerak.” Ajak Marha seakan tidak mengerti Amzar yang sedang bergelut dengan perasaannya sendiri. Dia bangun setelah selesai mengemas tempat duduk mereka.
“Nanti dulu…” halang Amzar lantas menarik pergelangan tangan Marha dengan lembut.
Langkah Marha terbejat. Dia hanya memandang Amzar dengan mata yang terkebil-kebil. Lelaki itu kelihatan gelisah.
“Kenapa tuan?” soal Marha pelik. Anak matanya memandang pergelangan tangannya yang berada dalam pegangan tangan Amzar sebelum kembali memandang wajah Amzar.
Amzar melangkah setapak menghampiri Marha. Dia menjilat bibir yang terasa kering. Dia ingin mengatakan sesuatu namun kata-kata itu seakan tersekat di kerongkongnya.
“Tuan, kenapa ni? Tuan lapar lagi?” sambung Marha setelah Amzar hanya mendiamkan diri.
Amzar menggeleng dengan pantas. Dia hanya merenung wajah Marha dengan lama.
“Dah tu kenapa? Kalau tak ada apa-apa, jomlah kita gerak sekarang nanti…”
Belum sempat Marha menghabiskan bicara, Amzar melepaskan pegangan di pergelangan tangan Marha. Tangan kirinya diangkat kemudian menyentuh pipi Marha!
Marha terkaku dengan jantung yang mula berdetak kencang.
“Tuan?”
Marha ingin mengatakan sesuatu tetapi Amzar bertindak terlebih dahulu. Pipi Marha dikucup lembut!
“Terima kasih.” Bisiknya rapat di telinga Marha.
Sedangkan saat ini Marha tergamam dengan mata yang terbeliak. Tubuhnya menjadi kaku serta-merta. Jantungnya pula seakan ingin meletup! Apa yang Tuan Am buat ni?! Jerit hari Marha.

Friday 24 August 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 19

AMZAR terjaga dengan sendirinya apabila matanya disimbah dengan cahaya yang tembus melalui tingkap biliknya yang tersingkap.
Siapa pula yang selak langsir ni? Rungut hatinya. Lantas, mata yang terpejam dibuka luas. Dia memisat-misatkan matanya. Rasa kantuk masih lagi bersisa namun Amzar gagahkan diri untuk bangun.
Dia duduk sambil menyandarkan belakang badannya di kepala katil. Matanya tertancap pada kerusi panjang yang terdapat di hujung katilnya. Amzar mula teringatkan sesuatu. Bukan ke semalam Marha tidur di situ? Mana pula gadis itu menghilang? Soal hati Amzar. Sekilas, dia menjeling jam loceng yang terletak di atas meja sisi. Jarum jam sudah berganjak ke angka tujuh setengah. Tentu perempuan tu ada kat dapur sekarang ni. Bisik hati Amzar.
Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air dengan kaki yang terhincut. Berkerut dahinya menaha sakit namun dia gagahkan juga.
Selang beberapa minit, Amzar mula menapak ke tingkat bawah. Hidungnya mula terhidu sesuatu yang lazat. Lantas, kakinya diarahkan ke ruang dapur.
“Hah, dah nak siap ni. Datang ajelah. Nanti aku share location. Pastikan kau datang sorang.” Bunyi suara Marha bercakap di telefon tertangkap di telinga Amzar.
Dia menghentikan langkah di ruang masuk ke bahagian dapur. Dia menyandarkan sisi tubuhnya ke dinding sambil anak matanya memerhati tingkah Marha yang kelihatan lincah memasak. Gadis itu masih belum menyedari kehadirannya.
“Ya Yusuf sayang. Aku masak nasi dagang paling sedap untuk kau.” Ujar Marha diselangi dengan tawa kecil.
Amzar tersentak apabila nama lelaki asing meniti di bibir Marha. Yusuf? Siapa Yusuf? Siap bersayang lagi. Kekasih dia ke? Tapi bahasa yang digunakan tu kasar sangat. Jadi siapa? Soal hatinya sendiri.
“Kau masak apa?” soal Amzar tiba-tiba.
“Oii, mak!” latah Marha lantas berpaling. Dia menggosok dadanya akibat terkejut dengan pertanyaan Amzar yang mengejut.
“Eh, tuan. Sekejap.” Ucap Marha.
“Yus, aku letak dulu. Kau datang je ikut alamat yang aku bagi. Okey, bye.” Ujar Marha dengan tergesa-gesa sebelum talian dimatikan.
Dia kembali berpaling ke arah Amzar yang sedang duduk di meja makan. Dia tersenyum nipis.
“Saya ada masakkan nasi dagang. Kalau tuan nak makan, saya boleh hidangkan.” Ucap Marha.
“Aku tak makan nasi pagi-pagi.”
“Saya tahu. Sebab tu saya tanya tuan dulu. Kalau macam tu, tuan tunggu sekejap, saya sediakan roti bakar untuk tuan.” Balas Marha lalu mencapai sebungkus roti potong dan mentega.
“Kau tahu aku tak makan nasi semasa sarapan tapi kenapa kau masak nasi juga?” soal Amzar sambil memandang nasi dagang yang sudah siap dimasak oleh Marha. Dia memandang Marha dengan curiga.
Marha meneguk liur. Riak Amzar yang serius meresahkan Marha.
“Oh, nasi ni? Errr… Sebenarnya sepupu saya nak teringin nak makan nasi dagang yang saya masak. Jadi saya masakkan lebih untuk tuan sekali. Itu pun kalau tuan sudi nak rasa.” Balas Marha dengan tergagap-gagap.
Amzar tersenyum sinis.
“Sepupu kau mengidam ke?” soalnya. Walaupun dia tahu nama Yusuf yang disebut oleh Marha sebentar tadi pasti sepupu gadis itu.
Marha menggelengkan kepala dengan pantas.
“Tak. Sepupu saya lelaki.” Jawab Marha laju dan jujur..
“Kau masak untuk lelaki lain dalam rumah aku, guna barang-barang aku, siapa bagi kau kebenaran?” soal Amzar dengan wajah yang masam mencuka. Oktaf suaranya mula meninggi.
Marha mula serba salah. Dia menundukkan wajah.
Errr… Barang-barang ni saya beli dengan duit saya sendiri. Saya tak guna pun barang-barang tuan…”
“Habis tu kau masak guna apa? Guna dapur arang ke?” soal Amzar pantas. Dia menghampiri Marha yang terkulat-kulat. Terpancar keresahan di wajah gadis itu.
“Saya… Saya…” Marha tergagap. Dia tidak menyangka Amzar akan berkira seperti ini. Kemudian, anak matanya terpandang beg dompet miliknya yang berada di atas meja. Lantas, dompetnya dicapai. Beberapa not sepuluh ringgit dikeluarkan.
“Saya minta maaf kalau tuan tak benarkan saya gunakan barang-barang tuan. Ni duit untuk barang-barang yang dah saya guna dalam rumah tuan…”
Marha menghulurkan duit tersebut kepada Amzar. Namun, lelaki itu menepis. Marha terkedu. Bulat matanya memandang duit yang bertaburan di atas lantai.
“Kau ingat duit kau tu bernilai sangat?” sindir Amzar lantas menghampiri Marha. Dia berdiri di hadapan isterinya yang jelas terkejut dengan reaksinya.
Marha mendongak. Membalas pandangan Amzar dengan tajam.
“Memang duit saya tak bernilai pada tuan tapi sekurang-kurangnya tuan hormatlah rezeki tu sikit. Tuan boleh benci saya sesuka hati tuan tapi saya minta tak boleh ke tuan layan saya dengan baik? Kalau bukan sebagai kawan, cukuplah layan saya sebagai pekerja. Saya cuba ikut semua arahan tuan. Cuba bersabar dengan sikap tuan, tapi tuan tetap layan saya macam ni. Apa yang tuan nak sebenarnya? Tak lama pun saya berada dalam hidup tuan. Sampai masa saya pergi juga.” Jawab Marha tanpa sedar dia meluahkan perasaan terkilannya dengan sikap Amzar.
Dia tunduk dan mengutip kembali duit yang bertaburan di atas lantai dengan perasaan sebak. Bila agaknya Amzar akan berubah? Sesungguhnya, dia benar-benar penat saat ini. Penat dengan sikap Amzar yang tidak tentu arah. Sekejap baik, sekejap menyinga.
Amzar kelu. Suara Marha yang lirih mematikan semua rasa panas dalam jiwanya. Wajah itu kelihatan kecewa.
“Kau yang cari pasal dengan aku. Kau tanggunglah akibatnya.” Balas Amzar masih menjunjung egonya.
Marha kembali berdiri bertentangan dengan Amzar.
“Ya, saya tahu. Saya tersilap melangkah masuk dalam hidup tuan. Saya sedar tu. Saya cuma minta tempoh. Tempoh untuk betulkan semula kesilapan saya. Tak lama pun tuan, lepas tu tuan takkan jumpa saya lagi.” Balas Marha sedaya upaya menentang anak mata Amzar.
Amzar terdiam. Hanya pandangan mereka saja yang bertaut.
“Kau cakap semua ni semata-mata nak raih simpati kan? Kau nak buat aku rasa terhutang budi sebab kau dah jaga aku. No. Aku takkan termakan umpan kau. Sekarang kau berani bawa jantan datang ke rumah aku. Apa yang kau nak tunjuk? Nak tunjuk yang kau perempuan murah?” tempelak Amzar.
“Astaghfirullah-al-azim. Yusuf tu sepupu saya paling rapat, tuan. Dia bukan orang lain. Dia satu-satunya keluarga saya yang percaya saya tak bersalah. Takkan dia datang kat sini pun jadi masalah pada tuan?” soal Marha. Mula tidak mengerti cara pemikiran Amzar.
“Memang salah. Apa yang kau buat semuanya salah pada pandangan aku.” Balas Amzar.
Marha melepaskan keluhan. Cuba menyabarkan diri.
“Saya…”
Ping! Ping!
Belum sempat Marha menghabiskan kata, bunyi hon mengejutkan mereka berdua.
“Sepupu saya dah sampai. Saya keluar sekejap.” Pinta Marha. Dia cuba melepasi Amzar namun lelaki itu bertindak menghalang laluannya.
“Jangan keluar. Aku tak benarkan.” Ujar Amzar dengan riak yang serius. Dia melangkah setapak mengampiri Marha.
Tangan kirinya dilekapkan ke singki. Mengepung tubuh Marha.
Jantung Marha berdegup dengan reaksi Amzar. Bibirnya mula terasa kering. Dia gugup seketika.
“Apa yang tuan cakap ni? Saya nak keluar sekejap, takkan tak boleh?” soal Marha tidak berpuas hati. Sedangkan saat ini loceng rumah Amzar berdenting buat kesekian kalinya.
Anak mata Amzar tegak memandang wajah Marha yang keresahan. Entah mengapa dia hatinya terasa pedih saat nama lelaki lain meniti di bibir Marha walaupun lelaki itu merupakan sepupu gadis itu.
“Tak boleh!” tegas Amzar lagi.
“Tuan tak ada hak untuk halang saya.” Balas Marha turut bertegas.
Lantas, lengan Amzar yang menyekat laluannya ditepis. Dia berjaya meloloskan diri.
Sedangkan saat itu Amzar terdiam. Kata-kata Marha kembali terngiang di telinga.
“Hak? Ya, apa hak aku untuk halang dia? Sedangkan ikatan ni pun berat untuk aku akui.” Desis Amzar. Dia mula tersedar akan sesuatu.
Akhirnya, dia hanya mampu memandang Marha yang meninggalkannya tanpa sebarang kata. Dia menyandarkan tubuhnya di singki. Wajahnya diraup dengan tangan kirinya.
“Apa yang tak kena dengan kau ni, Am?”

AMZAR menutup kembali langsir biliknya dengan kasar. Dia mencebikkan bibir sebaik saja melihat Marha sedang berbual mesra dengan lelaki yang dikenali sebagai Yusuf itu. Ternyata sepupu kepada isterinya itu nampak kacak dan bergaya. Hatinya sedikit tercuit resah.
“Sepupu apanya macam tu? Bukan main bergelak ketawa. Tak sedar agaknya dia kat mana sekarang ni. Dasar perempuan kampung.” Bebel Amzar lantas duduk di birai katil. Dia termenung seketika.
“Suami yang biarkan isteri dia keluar dengan lelaki lain, suami yang dayus. Suami yang tak tegur kesalahan isteri adalah suami yang dayus. Tuan tahu kan dosa untuk suami yang dayus ni besar mana? Tuan nak gantung hubungan ni, saya boleh jadikan tuan suami yang dayus. Adil.”
Bicara Marha tempoh hari kembali terngiang di telinga. Amzar mula terfikirkan sesuatu.
“Jadi, dia sengaja panggil sepupu dia datang ke sini semata-mata nak tunjuk yang aku tak boleh buat apa-apa untuk halang dia. Aku tak ada hak? Ni cara dia untuk buat aku ceraikan dia?” Amzar mula membuat andaian sendiri. Dia tersenyum sinis.
Lamunan Amzar terhenti sendiri apabila bunyi ketukan di pintu biliknya. Air muka Amzar berubah kelat. Dia kembali menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
“Masuk!” laung Amzar kuat.
Selang beberapa minit, muncul Marha dari sebalik pintu dengan menatang dulang yang berisi roti bakar dan kopi susu buat Amzar.
Amzar mendengus. Dia memalingkan wajah ke tempat lain. Riak wajah Marha yang ketawa gembira saat bertemu dengan sepupunya sebentar tadi kembali diulang tayang dalam fikiran Amzar. Dadanya terasa sesak.
“Kenapa datang jumpa aku? Pergilah bersembang, berborak dengan tetamu kau tu. Tak payah ambil kisah pasal aku.” Tempelak Amzar sewaktu Marha meletakkan dulang di atas meja sisi. Dia memeluk tubuh sendiri.
Marha terkulat-kulat. Nampaknya Amzar ingin memanjangkan perbalahan.
“Saya datang ni bukan nak bergaduh dengan tuan. Pasal Yusuf, saya dah jelaskan tadi. Terpulanglah pada tuan nak fikir apa pun. Saya tak kisah. Sekarang, saya nak jalankan tugas saya. Saya bawakan sarapan untuk tuan jadi tuan kena makan.”
Dengan selamba Marha duduk di birai katil. Dia mencapai piring yang berisi roti bakar lalu dihulurkan kepada Amzar.
Amzar menjeling. Huluran Marha langsung tidak dipandang sebaliknya pandangan dibiarkan terarah ke luar tingkap. Panas hatinya masih belum reda.
Satu keluhan terbit dari celah bibir Marha. Sikap Amzar kali ini benar-benar menguji kesabarannya.
“Saya dah bawa makanan, tapi tuan tak nak makan. Saya tak tahu nak buat apa lagi. Kalau tuan sakit, tuan jangan salahkan saya tau. Tuan sendiri yang cari penyakit. Hari ni hari cuti, ada apa-apa yang tuan nak saya buat ke?” soal Marha kembali kepada peranan asalnya sebagai setiausaha Amzar. Piring yang berisi roti diletakkan ke tempat asal.
“Keluar dari bilik aku!” arah Amzar tiba-tiba. Suaranya bertukar dingin.
Marha menggigit bibir. Angin Amzar kembali lagi. Lantas, tanpa banyak bicara, Marha bingkas bangun. Dia berpaling.
Amzar membeliakkan matanya. Sangkanya Marha akan memujuknya namun sebaliknya yang berlaku. Perempuan ni memang hati batu. Bisik hati Amzar. Pantas, Amzar bingkas bangun dan tangan kirinya merentap pergelangan tangan Marha. Tindakan spontan tersebut membuatkan tubuh Marha terdorong ke arah Amzar.
“Aaaa!” Marha terjerit kecil.
Hampir saja dia terjatuh, namun Amzar cepat bertindak dengan memaut tubuh Marha. Padahnya, kedua-duanya terhumban ke atas tilam.
“Aduhhhh...” Amzar mengerang kesakitan apabila tubuh Marha menghenyak tangan kanannya yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Ya Allah! Tuan tak apa-apa? Maaf, maaf. Tuan tu yang salah. Kenapa tiba-tiba tuan tarik saya?” soal Marha cemas. Dia cuba menjarakkan diri. Tidak betah rasanya berada dekat dengan Amzar.
Amzar memakukan pandangan pada raut wajah Marha yang kerisauan. Lantas, sewaktu Marha ingin menjarakkan diri, Amzar bertindak pantas dengan memaut pinggang isterinya membuatkan Marha kembali terjatuh ke dalam pelukannya.
Anak mata Marha terbuntang. Dadanya mula diserang debaran. Apa kena dengan Amzar ni? Jerit hatinya.
“Apa ni tuan? Lepaslah!” pinta Marha sambil meronta kecil. Cuba meloloskan diri daripada pelukan tangan sasa itu.
“Kau sengaja suruh sepupu kau datang sini kan? Nak tunjuk yang aku ni lelaki dayus sebab biarkan kau jumpa dengan lelaki lain. Ini rancangan kau supaya aku bebaskan kau, kan?” soal Amzar dengan riak serius.
Dia menentang pandangan Marha yang kelihatan kaku seketika. Wajah gadis itu mula berona merah. Sama ada malu atau pun marah, Amzar tidak tahu.
“Apa yang tuan merepek ni? Yusuf tu tak ada kena mengena dengan masalah kita. Tuan marah sangat ni kenapa? Tuan cemburu?” tempelak Marha dengan berani.
Giliran Amzar pula yang terkaku. Kata-kata Marha rasa seperti ditampar. Perit dan pedih.
“Cemburu? Huh! Kau siapa untuk aku cemburu?” bantah Amzar.
Sepantas kilat, dia meleraikan pelukan. Tubuh Marha ditolak dengan selamba sehingga gadis itu jatuh terduduk di atas lantai.
“Auchhh!” jerit Marha sambil memegang pinggangnya yang terasa sakit. Dia mengetap bibir.
Sedangkan Amzar hanya ketawa lepas melihat Marha yang terduduk di atas lantai.
“Padan muka kau. Itu padahnya kalau perasan. Kalau aku cemburu, tu bermakna aku dah gila. Faham?” tekan Amzar penuh keyakinan.
Marha mencebikkan bibir. Dia bingkas bangun sambil memegang pinggangnya.
“Baguslah kalau tak cemburu, kalau macam tu, bolehlah saya keluar dengan mana-mana lelaki yang saya suka. Tuan tak kisah kan? Jadi tu bermakna saya dah dapat kebenaran. Tak adalah saya rasa berdosa sangat sebab keluar tanpa izin suami.” Marha tidak mahu mengalah. Perkataan suami sengaja ditekankan.
Dia tersenyum sinis apabila melihat Amzar terkulat-kulat. Dia menjongketkan kening dan tanpa menunggu balasan daripada Amzar, Marha berlalu.
Amzar kehilangan kata. Dia hanya mampu mengetap bibir menahan geram. Lantas, sebiji bantal dicapai lalu dibaling ke arah pintu yang sudah tertutup.
“Tak guna punya perempuan!” bentaknya. Dia kalah lagi.

Sunday 12 August 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 18

AMZAR terjaga daripada tidurnya apabila merasakan perutnya tidak selesa. Mata yang terpejam, dibuka dengan luas. Dia mengerling jam loceng yang terletak di atas meja sisi. Ternyata waktu sudah berganjak ke dua pagi. Amzar menekan perutnya dengan dahi yang berkerut. Kepalanya pusing tiba-tiba. Tekaknya juga terasa mual. Amzar cuba bangkit untuk ke kamar mandi namun dia terduduk semula apabila mengenangkan kakinya yang terluka. Dia mengeluh. Saat ini kulit wajahnya sudah mula berpeluh-peluh. Apa yang tak kena dengan aku ni? Detik hatinya.
Lantas, tangan Amzar laju mencapai I Phone yang terletak di atas meja sisi. Nombor telefon milik Marha didail. Tetapi panggilannya tidak berjawab. Amzar mendengus.
“Tidur mati ke perempuan ni?” bentaknya dengan tangan yang mula menggigil. Perutnya semakin memulas. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu.
Sekali lagi Amzar mencuba, kali ini panggilannya bersambut.
“Datang bilik aku cepat!!” jerit Amzar sebelum memutuskan talian. Telefonnya dicampak ke tengah katil. Dia kembali merebahkan diri. Dia mengerekotkan badan. Cuba menahan kesakitan yang tidak terhingga.
“Arghh! Lambat betul perempuan ni!” dengus Amzar. Dia memejamkan mata dengan rapat. Berharap dengan cara itu dia dapat mengusir rasa pedih di perut dan rasa pening serta mual yang dialaminya saat ini.
“Tuan, kenapa ni?!” soal Marha cemas. Dia mendapatkan Amzar yang sedang berguling di atas katil menahan kesakitan.
“Perut aku sakit. Bawa aku ke tandas sekarang!” arah Amzar.
Marha akur. Dia mengangguk laju. Tangan kiri Amzar ditarik lalu dilingkarkan ke lehernya sementara sebelah tangan lagi Marha gunakan untuk memeluk pinggang Amzar. Saiz badan Amzar yang besar dan berat menyukarkan Marha untuk bergerak. Dia mengerah semua tenaga yang ada semata-mata untuk membantu Amzar berdiri.
“Ya Allah, beratnya.” Omel Marha setelah Amzar dapat berdiri. Walaupun tidak stabil tetapi lelaki itu masih mampu berjalan.
“Tuan ni kenapa? Macam mana boleh sakit perut ni?” soal Marha ingin tahu.
Dengan berhati-hati, dia memapah tubuh Amzar sehingga ke bilik mandi. Amzar hanya mampu menekup mulut dan mengawang-awang tangannya tanda dia tidak mampu bercakap saat ini. Dia menghampiri singki dengan tergesa-gesa dan memuntahkan segala isi perutnya di situ.
Marha terkedu seketika. Timbul rasa simpati buat suaminya itu. Lantas, bahu dan belakang tengkuk Amzar dipicit lembut.
“Perut tuan masuk angin ni. Tuan ada gastrik?” soal Marha sambil tangannya laju menepuk belakang badan Amzar dengan lembut.
Amzar hanya menganggukkan kepala. Tidak berdaya untuk membuka mulut. Sedangkan saat ini, tiada apa pun yang dimuntahkan.
“Tuan ada gastrik? Kenapa saya tak tahu apa-apa pun? Tuan makan tak malam tadi?” soal Marha lagi. Dia menanti reaksi daripada Amzar.
Pantas, Amzar menggelengkan kepala. Marha tersentak.
“Tak makan?! Tengah hari tadi, tuan makan tak?” soal Marha dengan mata yang membulat.
Geleng lagi. Marha menggelengkan kepala. Kalau diikutkan hati, memang teruk lelaki ini dibebelkan namun mengenangkan Amzar yang sedang kesakitan, Marha membatalkan hasratnya.
“Tak makan? Patutlah perut tuan masuk angin. Tuan memang suka cari penyakit ya?” soal Marha bagi melepaskan rasa geramnya.
Amzar mendengus. Rasa mualnya semakin menghilang sebaik saja dia memuntahkan isi perutnya. Dia membasahkan wajah. Bebelan Marha tidak masuk ke telinganya. Dia memandang cermin buat seketika. Ternyata Marha masih menanti jawapan daripadanya.
Dia berpaling. Tubuhnya disandarkan ke dinding. Matanya dipejam sejenak. Cuba menenangkan diri.
“Aku memang gastrik tapi jarang sangat kena macam ni. Kalau aku mengganggu, kau boleh keluar sekarang.” Ujar Amzar lantas membuka matanya kembali. Wajah Marha direnung tajam.
Marha serba-salah. Dia menggigit bibir. Mula menyesali kata-katanya.
“Bukan macam tu maksud saya…”
“Dahlah. Aku penat. Aku nak rehat.” Tegas Amzar memintas bicara Marha. Dia cuba bergerak tanpa bantuan Marha tetapi baru setapak dia melangkah, tubuhnya hampir rebah. Nasibnya baik apabila Marha sempat memaut lengan Amzar menghalang tubuh sasa itu daripada jatuh menyembah lantai.
“Biar saya tolong tuan...”
“Tak payah!” Amzar masih berdegil. Tangan Marha ditepis. Sekali lagi dia cuba untuk melangkah dengan memegang dinding, namun dia mengalah. Kakinya yang terluka mula terasa pedih. Amzar mengetap bibir. Matanya dipejam seketika.
Marha melepaskan nafas perlahan. Kedegilan dan sikap ego yang ditunjukkan oleh Amzar sedikit sebanyak menguji kesabaran Marha.
“Saya tahu tuan kuat, tuan tak perlukan bantuan saya tapi sekarang mama dan papa tuan dah bagi saya amanah untuk jaga tuan. Jadi, tolong dengar cakap saya kali ni. Tak lama pun tuan kena hadap saya dalam rumah ni. Sabarlah sikit, boleh?” ucap Marha lantas menghampiri Amzar. Tangan tangan lelaki itu kembali dilingkarkan ke lehernya. Sedangkan sebelah tangannya lagi memeluk pinggang Amzar.
Dada Amzar kembali menyambut debaran dengan tindakan spontan Marha. Walaupun niat gadis itu ingin menolong tetapi perbuatannya mampu menggoncang iman Amzar tika ini.
Akhirnya, Amzar mengalah. Dia hanya membiarkan Marha memapah tubuhnya hingga ke katil. Tubuhnya didudukkan di birai katil dengan berhati-hati oleh Marha.
“Tuan baringlah dulu, saya ke dapur sekejap. Tuan kena makan sikit sebelum tidur, barulah perut tuan tu tak masuk angin.” Ujar Marha sebaik saja melihat Amzar menekan perutnya sendiri dengan dahi yang berkedut seribu.
Amzar mendongak. Pandangan mereka bertaut. Dengan pantas, Amzar mengalihkan pandangan.
“Tapi aku tak makan nasi malam-malam ni,” balas Amzar.
“Saya tahu.” Ucap Marha dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Amzar terpesona seketika. Dia kehilangan kata. Senyuman itu seakan anak panah yang memanah tepat ke hatinya. Amzar terpesona dalam diam.

MARHA kembali semula ke bilik Amzar sebaik saja selesai menyiapkan makanan untuk Amzar. Dia hanya mampu menggelengkan kepala saat melihat Amzar yang terbaring sambil menekan perutnya. Wajah itu tampak tidak selesa. Lantas, dia menghampiri katil. Punggungnya dilabuhkan di tepi katil. Dekat dengan Amzar.
“Tuan, saya ada bawakan jus kurma untuk tuan. Minum sikit, insya Allah nanti legalah perut tuan tu.” Ucap Marha. Dia cuba mengintai wajah Amzar yang mengiring membelakanginya.
Lambat-lambat Amzar berpaling. Dia bangun dan menyandarkan belakang badannya di kepala katil. Wajah Marha yang manis dengan rambut yang terbiar lepas, menarik perhatiannya untuk terus merenung sebelum anak matanya beralih kepada gelas yang dipegang oleh gadis itu.
“Mana kau dapat kurma tu?” soal Amzar dengan kening yang dijongketkan.
Marha tersengih.
“Saya jumpa dalam peti. Mama punya agaknya. Saya blend susu dan kurma. Tuan minumlah, insya Allah kenyang.” Jawab Marha lalu menghulurkan gelas tersebut kepada Amzar.
Huluran Marha bersambut. Perlahan-lahan dia meneguk jus kurma yang disediakan oleh Marha tanpa sedikit pun perhatiannya teralih daripada wajah Marha.
Marha mula rasa tidak selesa. Renungan Amzar terasa tembus ke jantung. Marha meneguk liur. Dia menundukkan wajah sambil jarinya menyelit anak rambut ke telinga. Dia mula tersedar sesuatu. Lalu, bibirnya digigit.
Patutlah dia pandang aku macam nak telan, aku lupa nak pakai tudung lagi. Macam manalah aku boleh lupa? Monolog Marha. Lantas, dahinya ditepuk.
“Kenapa?” soal Amzar pendek.
“Hah??” Marha tersentak. Bulat matanya memandang Amzar yang sedang ketawa kecil.
“Kenapa kau tepuk dahi? Ada nyamuk ke dalam bilik aku ni?” soal Amzar lagi.
“Nyamuk? Haaa.. Haah, nyamuk. Dahi saya kena gigit.” Bohong Marha dengan suara yang tergagap.
Amzar tersenyum senget. Dia tahu gadis itu cuba menutupi rasa gelisah. Riak wajah itu sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Lalu pandangannya jatuh pada botol kecil yang berada dalam genggaman Marha.
“Apa yang kau pegang tu?” soal Amzar ingin tahu.
Marha memandang botol minyak angin yang dipegangnya sebelum kembali membalas pandangan Amzar.
“Oh, ni minyak angin. Nanti tuan boleh sapu dekat perut.” Ujar Marha. Tersenyum. Botol minyak angin diletakkan di atas meja sisi.
“Tangan aku sakit, macam mana aku nak letak?”
“Habis tu takkan saya?”soalan dibalas soalan oleh Marha. Wajahnya berkerut.
Amzar hanya mengangkat bahu sedangkan saat ini Marha meneguk liur.
“Tadi kau juga cakap, mama dan papa dah amanahkan kau untuk jaga aku, jadi kau akan buat yang terbaik untuk jaga aku. So, buktikanlah kata-kata kau tu. Lagipun, tentu mama dan papa bayar kau lebih untuk jaga aku kan?” Bidas Amzar. Dia tersenyum sinis.
“Ini bukan soal bayar, tuan. Tuan tentu tak selesa kan kalau saya sentuh tuan?” Marha cuba mencipta alasan padahal dia sendiri yang tidak sanggup untuk menyapu minyak angin di perut Amzar. Dia masih ada perasaan malu.
“Setakat kau yang sentuh, aku tak rasa apa-apa pun. Atau kau yang takut? Takut aku terkam kau?” soal Amzar kembali sekadar menguji.
Marha membeliakkan mata. Dia terbatuk kecil. Sedikit sebanyak dia tercabar dengan kata-kata Amzar.
“Takut? Huh! Buat apa saya nak takut? Tuan tak payahlah nak gertak saya. Saya tak takut langsung.” Ucap Marha berani.
Lantas, penutup botol minyak angin dibuka sebelum beberapa titis minyak diletakkan di atas telapak tangannya. Lalu, dengan tangan yang terketar-ketar, Marha menarik baju Amzar. Dia cuba berlagak selamba namun dalam hatinya sudah berdetak tidak menentu. Terasa darah merah menyerbu ke segenap wajahnya apabila telapak tangannya dilekapkan ke perut Amzar. Marha menundukkan wajah. Malu! Sangat malu!
Amzar menahan tawa daripada meletus. Reaksi Marha dan kulit wajahnya yang bertukar kemerahan mencuit hati Amzar. Tetapi sentuhan lembut tangan Marha di kulit perutnya sedikit sebanyak menyalurkan rasa selesa dalam diri Amzar. Hatinya mula terasa hangat. Jiwa lelakinya bergetar. Berdua-duaan dengan Marha saat ini menjemput rasa aneh dalam hati Amzar. Dadanya mula berdebar tidak menentu. Lantas, tangan Marha ditepis kasar.
Marha tercengang-cengang. Tangannya dilarikan.
“Aku nak tidur.” Ujar Amzar lantas menarik selimut menutupi tubuhnya. Dia tidak betah berhadapan dengan Marha saat ini. Jiwanya kacau. Hatinya gundah.
“Oh, okey. Kalau macam tu saya keluar dulu..” ucap Marha lalu bingkas bangun.
Sebaik saja mendengar kata-kata Marha, Amzar bingkas bangun. Dia menarik pergelangan tangan isterinya. Tanpa sedar, dia telah menarik tangan Marha dengan kuat sehingga tubuh gadis itu terdorong ke arah Amzar. Rapat. Hujung hidung mereka bersentuhan. Marha tergamam. Amzar terkaku.
Mata mereka bertentangan. Menjemput getaran di hati mereka berdua. Marha menelan liur yang terasa kasar. Renungan itu menikam tepat ke hatinya.
“Errr… Tuan perlu apa-apa lagi ke?” soal Marha dengan tergagap-gagap. Suaranya bertukar perlahan dan bergetar. Kedudukannya yang rapat, meresahkan Marha.
Amzar tersedar. Pantas saja dia melepaskan pegangan tangannya dari lengan Marha. Dia berpaling ke arah lain. Cuba meredakan debaran di dada dan cuba menyembunyikan wajahnya yang berubah warna.
“Kau nak pergi mana tadi?” soal Amzar. Dia mencapai jus kurma dan meneguk saki baki air yang masih bersisa. Dia tidak mampu untuk memandang wajah Marha saat ini. Jiwanya tidak keruan. Dia resah.
Marha kembali berdiri. Rambutnya dikuakkan ke belakang. Dia berdeham.
“Saya nak keluarlah. Tuan nak tidur kan?” jawab Marha.
“Kau tak boleh keluar.”
Marha tersentak. Dia melongo memandang Amzar.
“Kenapa tak boleh? Dah tu saya nak tidur kat mana?” soal Marha dengan nada terkejut.
“Kalau aku sakit lagi macam mana? Takkan aku nak menjerit panggil kau macam tadi. Kau tu dahlah tidur mati. Aku panggil sekali bukannya kau nak dengar. Jadi, malam ni kau kena tidur dalam bilik ni. Tidurlah celah mana pun, aku tak nak ambil tahu tapi aku tak benarkan kau keluar dari bilik ni.” Tegas Amzar.
Mata Marha membulat.
“Tapi tuan, tu bukan alasan untuk saya tidur sekali dalam bilik ni. Saya boleh tidur dekat ruang rehat depan bilik tuan ni. Tuan tak payah tutup pintu. Saya akan dengar kalau tuan panggil saya.” Marha memberi pandangan.
“Tak payah. Tidur dalam bilik ni atau gaji kau, aku potong.” Ugut Amzar dengan sebelah kening terangkat.
Marha mengecilkan mata memandang Amzar.
“Tuan ugut saya?”
Amzar mengangkat bahu.
“Terserah kau nak anggap apa. Aku tak peduli. Ikut cakap aku atau kau hilang gaji kau.” Tambah Amzar.
Marha mengetap bibir. Mula geram dengan sikap Amzar kali ini.
“Baiklah. Kejap, saya ke bilik ambil bantal.”
Bukkkk!
Belum sempat Marha menghabiskan bicara, sebiji bantal dicampakkan ke mukanya. Marha tergamam. Dia hanya mampu memandang bantal yang jatuh di kakinya dengan rasa terkejut.
“Untuk malam ni guna bantal tu.” Ujar Amzar selamba.
Marha memandang Amzar dengan rasa bengang menguasai diri. Haraplah aku hormatkan mama dan papa, kalau bukan disebabkan mama dan papa, mahu aku patahkan terus tangan mamat ni. Monolog Marha. Geram.
“Kenapa pandang aku macam tu? Nak tunjuk perasaan? Lantak kaulah nak buat apa pun, aku nak tidur.” Sambung Amzar lantas merebahkan tubuhnya kembali dengan mengiring ke kanan.
Dengusan yang terbit daripada mulut Marha mengundang senyuman kecil di bibir Amzar. Terasa kemenangan berpihak kepadanya saat ini. Kau takkan boleh menang, Marha. Detik hati Amzar bersama mata yang dipejam rapat.