Tetamu Rindu

Tuesday 7 May 2019

Bayang - Bab 5 -

KAU dah buat appointment dengan security company tu?” Soal Syadi tiba-tiba sewaktu Rafi sedang mengemas pakaian lelaki itu. Perbuatan dia terhenti seketika. Dia melemparkan pandangan yang tajam kepada Syadi.
“Kau sedar tak yang kau baru aje nak keluar hospital? Banyak perkara kau kena fikir. Soal bodyguard tu biar aku yang uruskan.” Balas Rafi tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh Syadi.
“Kau dah buat appointment ke belum?” Soal Syadi sekali lagi. Dia memeluk tubuh sambil merenung tajam ke arah Rafi.
Rafi meneguk liur. Dia tersengih. Kecut perut apabila melihat wajah Syadi yang serius.
“Dah. Lepas aku hantar kau balik, aku terus ke syarikat tu. Kalau boleh, hari ni juga aku nak dapatkan bodyguard untuk kau.” Terang Rafi.
Syadi terdiam seketika. Dia memikirkan sesuatu.
Good! Aku ikut sekali.” Jawab Syadi cukup bersahaja.
Rafi tersentak. Dia mendongak mencari raut Syadi. Jelas, lelaki itu benar-benar maksudkan kata-katanya tadi.
“Kau nak ikut sekali? Buat apa?” soal Rafi makin pelik dengan kerenah Syadi kali ini.
“Tak boleh ke? Aku cuma nak ikut kau je. Aku pun nak tengok juga bodyguard yang kau pilih untuk aku. Aku perlu tahu.” Jawab Syadi tidak mahu mengalah. Dia mengalihkan bola matanya ke tempat lain. Renungan Rafi membuatkan dia tidak selesa. Lelaki itu seakan cuba membaca fikirannya.
“Encik Syadi Arsyad, aku nak ke syarikat tu sebab aku nak upah bodyguard yang kau nak sangat tu. Memandangkan kau nak juga perempuan tu jadi bodyguard kau jadi aku tak ada pilihan lain. Jadi kau jangan risau. Kau duduk rumah diam-diam. Kunci pintu. Jangan buka pintu sampai aku datang ke rumah kau. Faham?” ujar Rafi sambil mengancingkan giginya. Berharap agar Syadi mematuhi arahannya kali ini.
“Tapi aku tetap nak ikut.” Balas Syadi dengan rasa tidak bersalah.
Rafi mengetap bibir. Cuba terus bersabar.
“Kau perlukan banyak rehat. Kau duduk ajelah di rumah tu. Nanti aku minta Anuar temankan kau sementara aku tak ada. Kau kena rehat betul-betul. Jadual kau selepas ni memang padat. Cubalah kau dengar cakap aku. Tak boleh ke?” soal Rafi geram.
“Tak boleh. Aku tetap nak ikut kau. Takkan kau nak biarkan aku sorang-sorang di rumah tu. Aku takut. Kau tahu tak macam mana traumanya aku. Nyawa aku hampir melayang tau. Macam mana kalau pembunuh tu cuba pecah masuk rumah aku lagi masa kau tak ada? Macam mana kalau Anuar tak dapat datang? Kau tak kesiankan aku ke?” Soal Syadi dengan wajah yang berubah keruh. Dia menundukkan wajah sambil jari kakinya menguis lantai bilik.
Hati Rafi kembali lembut apabila mendengar bicara Syadi. Timbul simpati dalam dirinya. Sesungguhnya dia juga takut. Takut jika peristiwa hitam itu berulang kembali. Masih segar dalam ingatannya bagaimana nafas Syadi yang tersekat-sekat di pangkuannya dengan darah yang berlumuran di seluruh wajah dan badannya. Saat itu Rafi terasa seperti seluruh jiwanya hancur berantakkan.
“Aku buat semua ni untuk keselamatan dan kesihatan kau, Syad. Kau kena faham…”
“Yalah, aku faham…” Ucap Syadi memintas kata-kata Rafi. Dia menundukkan kepala. Suaranya kedengaran lirih.
Rafi mengetap bibir. Kalah dengan Syadi kali ini.
“Yalah, kau boleh ikut aku.” Jawab Rafi akhirnya.
Syadi mengangkat muka. Wajahnya berubah ceria. Sedaya-upaya dia cuba menyembunyikan senyumannya. Dia berlagak selamba.
“Aku rasa ada yang tak kena dengan kau ni, Syad.” Ujar Rafi tiba-tiba. Dia mengecilkan mata memandang Syadi.
Dahi Syadi berkerut. Dia membalas jelingan Rafi dengan riak tanda tanya.
“Apa yang tak kena?” soalnya kembali.
Rafi hanya menjongketkan bahu. Sukar untuk dia jelaskan kerana hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang cuba Syadi sembunyikan daripadanya tentang pengawal peribadi yang bernama Ainan Yusra itu. Dia masih lagi pelik mengapa Syadi begitu berkeras menginginkan gadis itu sebagai pengawal peribadinya sedangkan ramai lagi pengawal peribadi yang hebat berbanding gadis tersebut. Pasti ada sesuatu!
“Kau kenal perempuan tu kan?” soal Rafi lagi. Dia inginkan kepastian.
Syadi menayang riak selamba. Dia hanya menjongketkan bahu.
“Kita dah lambat ni. Jomlah.” Balasnya tanpa menjawab soalan Rafi. Syadi memalingkan tubuh sebelum berjalan meninggalkan Rafi yang masih dilanda dengan seribu persoalan.
Rafi mengeluh kecil. Tidak dapat tidak, akhirnya dia membuntuti langkah Syadi menuju ke tingkat bawah untuk daftar keluar.
“Kau tahu tak, berita tentang kau masuk hospital ni dah jadi trending tau kat media sosial. Semua peminat kau doakan kau cepat sembuh dan jaga diri. Ada yang cadangkan kau upah bodyguard. Dia orang semua sayangkan kau.” Ujar Rafi sambil mengeser I Pad yang berada di tangannya sewaktu mereka berdua berjalan menuju ke tempat letak kereta.
Syadi hanya tersenyum nipis.
“Alhamdulillah. Aku bukannya nak cari publisiti murahan dengan berita ni aku cuma aku rasa peminat patut tahu apa yang terjadi pada artis yang mereka sokong. Aku harap dengan tersebar berita ni, penceroboh tu takkan muncul lagi. Biar polis yang teruskan siasatan.” Balas Syadi.
Rafi memandang sekilas ke arah Syadi. Dahinya berlapis.
“Kau memang tak syak sesiapa ke, Syad? Mana tahu kau ada musuh dengan sesiapa sebelum ni.” Bicara Rafi mulai serius.
“Aku rasa kau kenal aku dah lama, Raf. Semua pasal aku, kau tahu. Kau orang paling rapat dengan aku selepas nenek dan atuk aku. Selama ni kau pernah nampak aku bermusuh dengan sesiapa ke? Aku cuma buat kerja aku je. Takkan aku nak hancurkan karier aku sendiri dengan cari musuh dengan orang lain? Kau tahu kan macam mana susahnya aku nak sampai ke tahap ni.” Balas Syadi mengharap agar Rafi memahaminya.
Rafi hanya menganggukkan kepala. Kata-kata Syadi ada benarnya. Dia menjadi saksi betapa lelaki kacak itu bersusah-payah untuk mencapai cita-citanya sebagai penyanyi. Bermula dari menyanyi di media sosial, kemudian Syadi melangkah ke uji bakat program realiti. Ternyata rezeki menyebelahinya. Akhirnya, Syadi menjadi juara. Kemenangannya bukan saja disebabkan rupa parasnya tetapi bakatnya yang memang tidak dapat disangkal. Memiliki suara yang lunak serta berkebolehan menulis lirik menjadikan Syadi salah seorang penyanyi yang terkenal walaupun ramai artis baharu yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.
“Aku kenal kau, Syad. Cuma sampai sekarang aku tak senang duduk selagi penceroboh tu tak ditangkap. Kita tak tahu apa motif dia. Kenapa dia serang kau? Kenapa dia nak bunuh kau? Kenapa dia seakan berdendam dengan kau? Itu yang aku nak tahu sangat.” Balas Rafi setelah mendiamkan diri beberapa saat.
Mereka meneruskan langkah sehingga tiba di parkir kereta.
“Bukan kau sorang aje yang nak tahu, Raf. Aku pun sama. Aku yang jadi mangsa sekarang ni. Tentulah aku lebih curious nak tahu. Bila-bila masa saja nyawa aku boleh melayang tanpa aku tahu apa sebabnya. Memang kita tak digalakkan untuk takut mati tapi selagi aku boleh pertahankan nyawa aku, aku akan buat apa saja.” Ujar Syadi dengan keluhan pendek terlepas daripada celah bibirnya.
Rafi turut melepaskan keluhan. Naik sakit kepalanya memikirkan perkara ini. Lelaki misteri itu benar-benar menimbulkan tanda tanya dalam fikiran mereka.
“Mulai hari ni aku nak kau berhati-hati. Kalau kau tak kesah, aku boleh tinggal sekali dengan kau sampai kes ni selesai.”
“Elok juga tu. Aku dah fobia nak tinggal sorang-sorang.” Balas Syadi.
“Habis tu bodyguard kau macam mana nanti?” soal Rafi sambil meletakkan tangannya di atas bonet kereta.
Belum sempat Syadi menjawab, anak matanya tiba-tiba tertangkap sesuatu yang terselit di cermin kereta Ford Fusion miliknya.
“Eh, kertas apa ni?” Soal Syadi lalu mencapai kertas yang diselitkan di pengelap cermin keretanya.
Rafi turut dilanda tanda tanya. Dia menjengukkan kepala saat Syadi membuka lembaran kertas yang berlipat dua.
Aaaa!” Syadi terjerit kecil lalu kertas tersebut terlepas daripada genggaman.
Langkah kedua pemuda itu terundur ke belakang. Suasana berubah hening. Syadi menggenggam kedua belah tangannya. Cuba melindungi tangannya yang menggeletar. Air liur ditelan berkali-kali. Malah, peluh yang mengalir di pelipis, diseka dengan kasar.
Rafi cuba bertenang. Anak matanya melilau ke kiri dan kanan. Cuba mencari kelibat orang lain namun hampa, tiada sesiapa yang kelihatan di tempat parkir itu. Kemudian, Rafi menundukkan badan. Kertas yang terjatuh di atas lantai, dicapai kembali.
“Apa ni?” Soal Rafi lebih kepada dirinya sendiri. Namun, sebaik saja lembaran kertas tersebut terpampang di ruang mata, jantung Rafi berdetak keras. Dia memandang Syadi sekilas. Jelas, wajah lelaki itu berubah pucat.
KAU TAK SEHARUSNYA HIDUP!
“Kau tak seharusnya hidup? Apa maksud kata-kata ni?” Soal Syadi dengan penuh debaran. Saat itu dia dapat rasa seperti diperhatikan. Pantas, kepalanya dipusingkan ke kiri dan kanan. Namun, tiada seorang pun yang berada di situ kecuali dia dan Rafi.
“Aku rasa aku pernah dengar kata-kata ni…” Syadi tidak jadi menghabiskan bicaranya. Tiba-tiba anak matanya terarah pada tayar keretanya.
 “Kau tengok tu…” ujar Syadi lalu jari telunjuknya diluruskan ke arah sesuatu yang terdampar di tepi tayar hadapan keretanya.
Dahi Rafi berkerut. Namun, dia tetap membongkokkan tubuh lalu mencapai objek yang berwarna putih tersebut.
“Ini bunga!” ujarnya lantas bunga yang berwarna merah pekat itu dibawa ke hidung. Wangi!
“Bunga? Bunga apa?” Soal Syadi dengan dada yang berdebar-debar. Dia cuak.
“Bunga kemboja!” jawab Rafi pantas.
“Bunga kemboja? Warna merah? Apa semua ni, Raf?” soal Syadi gugup. Dia memegang lengan Rafi.
Rafi menggelengkan kepala. Dia benar-benar buntu saat ini.
“Aku pun tak tahu, Syad. Apa kata kita jumpa Inspektor Fariz dulu dan maklumkan perkara ni. Kita tak tahu apa maksud surat ni. Tapi aku yakin ni surat ugutan. Aku rasa ni mesti angkara lelaki yang serang kau hari tu. Dia tak main-main nampaknya. Dia memang nak buat hidup kau huru-hara.” Jawab Rafi turut cemas.
Syadi mengetap bibir. Wajahnya diraup beberapa kali. Kusut sungguh fikirannya. Siapa yang cuba bermain dengan nyawanya sekarang ini?


TIGA batang tubuh yang terbujur kaku dengan darah yang berlumuran di segenap tubuh malah cecair pekat itu turut membasahi lantai rumah mewah tersebut. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki merangkak keluar dari bawah katil lalu melangkah perlahan-lahan menuju ke muka pintu bilik.
Tombol pintu dipulas dengan perlahan. Jantungnya berdengup tidak menentu. Bimbang penjahat yang menceroboh rumahnya masih berada di kediamannya. Namun, dia tekad. Tekadnya mengatasi ketakutan yang dirasakan saat ini. Lantas, pintu ditarik perlahan. Kepalanya dijengukkan sedikit. Sebaik saja kepalanya dijenguk, matanya disajikan dengan lautan darah yang membanjiri sebahagian rumahnya.
Matanya terbeliak. Jantungnya berlari laju apabila melihat tiga batang tubuh yang cukup dikenalinya terbaring kaku dengan keadaan cukup menyayat hati. Anak matanya terpaku pada tubuh wanita yang tertiarap sambil wajahnya dihalakan ke arah biliknya. Tubuh itu dipenuhi dengan darah yang mengalir dari kepala dan bahagian perutnya.
“Mama!”
“Syad! Syad!” Satu suara menyergah dengan kuat memaksa dia membuka mata. Sebaik saja matanya terbuka, dia kebingungan. Pandangannya dikalih ke sisi. Dahinya bertindih tindan.
“Aku kat mana ni?” Soalnya tiba-tiba seolah-olah dia hilang ingatan.
“Kau dalam keretalah ni. Kau mimpi buruk lagi? Tadi kau meracau bukan-bukan.” Ujar Rafi sambil anak matanya fokus ke jalan raya.
Syadi menarik nafas dalam dan menghembuskannya dengan perlahan. Jadi, apa yang dialaminya tadi hanya mimpi? Kenapa dia merasakan bahawa dia pernah melalui kejadian tersebut? Wanita yang dipanggil mama itu kenapa terasa dekat dengannya? Kenapa kesedihan yang dirasakan di dalam mimpi masih terasa di sudut hatinya? Perlahan-lahan, dia menyentuh pipinya. Basah! Dia menangis?
“Aku tak tahu bila mimpi ni akan berhenti. Siang malam aku mimpi benda yang sama. Aku dapat rasa mimpi tu macam pernah berlaku dalam hidup aku.” Jawab Syadi dengan keluhan kecil terbit dari celah bibirnya.
“Mimpi kan cuma mainan tidur, Syad. Kau jangan fikir sangat. Nanti kau yang susah.”
“Memang mimpi mainan tidur tapi mimpi yang terjadi berulang kali, aku tak rasa tu cuma mainan, Raf. Pasti ada maksud di sebaliknya. Mungkin ada kaitan dengan hidup aku yang aku tak tahu.” Jawab Syadi pantas.
“Kehidupan kau yang kau tak tahu? Maksud kau?” Soal Rafi pelik.
“Aku rasa mimpi tu sebagai petunjuk. Petunjuk yang aku sendiri tak tahu maksudnya.” Jawab Syadi. Pandangannya dihalakan ke luar tingkap buat seketika.
“Kau jangan risau Syad. Semua ni akan berakhir. Aku rasa kau selalu mimpi buruk sebab kau penat. Kau stress dengan kerja-kerja kau. Kau tak cukup rehat. Aku yakin bila semua ni berakhir hidup kau akan tenang.” Balas Rafi cuba menyenangkan hati Syadi.
Syadi tersenyum hambar. Dia menunduk seketika memandang jari jemarinya.
“Enam belas tahun aku dihantui dengan mimpi ni, Raf. Kau rasa aku boleh tenang?” soalnya dengan suara yang mendatar.
Rafi terdiam. Kata-kata sahabatnya itu menyentuh hati.
“Alah, kau kuat kan? Kau boleh hadapi ni. Aku yakin.” Balas Rafi sambil tersengih.
“Aku tak kuat mana, Raf. Tapi aku akan cuba untuk kuat untuk diri aku sendiri. Hanya sebab itu aje yang aku ada. Tapi, kita nak ke mana ni?” Soal Syadi sambil anak matanya melilau memandang kawasan sekeliling.
“Kau kata kau nak jumpa bakal bodyguard kau kan? Aku nak bawa kau ke sanalah ni.” Ucap Rafi lalu membelokkan keretanya dan memasuki ruang kawasan The Guardian Security Company.
“Oh, sorry. Aku lupa.” Jawab Syadi pendek. Dia membetulkan duduk.
Nafasnya turut diatur dengan tenang sebaik saja Rafi selesai memarkirkan kereta. Pantas, Syadi mencapai topi berwarna hitam lalu dipakaikan ke kepalanya. Manakala, kaca mata hitam turut disarungkan ke wajah.
“Jomlah. Tuan Basri dah tunggu tu.” Ujar Rafi lalu menolak pintu kereta diikuti oleh Syadi.
Sebaik saja mereka melangkah keluar daripada perut kereta, kelihatan seorang lelaki tinggi lampai dan berbadan tegap menghampiri mereka dengan senyuman manis. Lelaki itu cukup segak dengan baju korporat syarikat yang tersarung di tubuh. Terserlah karismanya sebagai seorang ketua.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan dengan penuh sopan.
“Waalaikummusalam.” Jawab Syadi dan Rafi serentak. Mereka bertukar senyuman dan salam.
“Saya Rafi yang call tuan semalam dan kenalkan ini Adi Arsyad. Majikan saya.” Ucap Rafi sambil menunjukkan Syadi kepada Tuan Basri.
Tuan Basri hanya tersenyum. Lama dia merenung wajah lelaki muda yang dikenalkan sebagai Adi Arsyad itu.
“Penyanyi kan?” Soalnya pendek.
Syadi tersenyum. Kaca mata hitamnya ditanggalkan. Dia mengangguk lembut.
“Tak sangka tuan kenal saya.” Balas Syadi merendah diri.
Tuan Basri ketawa kecil.
“Mestilah saya kenal. Anak perempuan minat sangat dekat Encik Adi. Setiap kali Encik Adi muncul dekat TV, jangan haraplah saya nak tengok cerita lain. Mata dia tu tak lepas daripada tengok Encik Adi. Kalau lagu-lagu encik tu, saya rasa dia dah hafal semua. Saya tak tahulah dia minat lagu encik ke atau dia minat encik.” Balas Tuan Basri ramah.
Syadi dan Rafi berpandangan. Tidak lama kemudian, Syadi turut ketawa kecil.
“Alhamdulillah. Tentu dia minat lagu saya tu. Berapa umur anak tuan?” Soal Syadi sekadar ingin tahu.
Lima belas tahun. Baru melangkah ke alam remaja. Tapi cita-cita memang nak jadi penyanyi macam Encik Adi.” Jawab Tuan Basri dengan menggeleng kecil.
“Biasalah tu tuan. Budak-budak lagi, kan.” Balas Syadi.
Tuan Basri hanya mengiakan kata-kata Syadi.
“Oh ya, saya ada terbaca berita tentang apa yang berlaku kepada Encik Adi beberapa hari lepas. So, sekarang macam mana dengan perkembangan kes tu?” Soal Tuan Basri sambil menunjukkan jalan kepada Syadi dan Rafi untuk ke pejabatnya.
Mereka bertiga jalan beriringan mengikuti arah langkah Tuan Basri.
“Setakat ni tak ada tangkapan dibuat. Suspek pun tak ada. Jadi kami serahkan kepada pihak polis untuk teruskan siasatan. Sebab itulah kami nak dapatkan khidmat pengawal peribadi untuk Encik Adi selagi kes ni belum selesai.” Rafi menjawab bagi pihak Syadi.
Tuan Basri mendengar dengan teliti.
“Kes Encik Adi ni berat dan bahaya. Saya rasa orang tu memang berniat untuk hancurkan bukan saja karier Encik Adi tapi dia nak hancurkan Encik Adi sendiri. Masa Encik Rafi telefon saya, encik ada tanya tentang salah seorang bodyguard saya kan? Encik memang dah fikir masak-masak untuk ambil dia sebagai bodyguard encik ke?” soal Tuan Basri inginkan kepastian yang jelas daripada mulut Syadi sendiri.
Syadi mengangguk laju tanpa berfikir panjang.
“Tapi dia perempuan, encik. Saya bukan nak bandingkan bodyguard perempuan dan bodyguard lelaki tetapi kes encik ni bahaya. Encik harus dilindungi 24 jam. Saya rasa kalau bodyguard perempuan ni mungkin susah bagi encik nanti.” Sambung Tuan Basri lagi.
“Saya tahu tu. Tapi saya dah fikir masak-masak. Saya cuma nak dia yang jadi bodyguard saya. Lagipun tak salah kan?” soal Syadi kembali.
Tuan Basri berpandangan seketika dengan Rafi. Dia tersenyum kecil.
“Tak salah, encik. Saya cuma beri pendapat. Kalau encik tetap nakkan Yusra sebagai bodyguard, saya tak kesah. Lagipun Yusra juga salah seorang bodyguard terbaik syarikat kami. Dia memang seorang yang rajin, kuat, berdisiplin dan paling penting, dia memiliki seni mempertahankan diri peringkat tinggi. Insya-Allah, encik akan selamat.” Balas Tuan Basri.
“Yusra?” soal Syadi tiba-tiba apabila telinganya menangkap sebaris nama yang disebut oleh Tuan Basri.
Langkahnya terhenti. Begitu juga dengan langkah Tuan Basri dan Rafi. Dua pasang mata memandang Syadi.
“Yusra. Ainan Yusra. Dia yang encik nak ambil sebagai pengawal peribadi, kan?” soal Tuan Basri mulai keliru dengan sikap Syadi.
Rafi menyiku lengan Syadi sedangkan Syadi sudah tersengih. Sedar akan kesilapannya sendiri. Hampir dia terlupa tentang nama penuh Yusra.
“Ha, ya betul. Saya terlupa nama dia sekejap.” Balas Syadi lalu menundukkan pandangan bagi menghilangkan rasa malunya.
Encik Basri tersenyum mesra. Dia ingin melanjutkan perjalanan namun anak matanya tertancap kepada beberapa orang pekerjanya sedang berlatih seni mempertahankan diri taekwando di dewan terbuka. Bunyi hingar-bingar suara mereka menarik perhatian Syadi dan Rafi. Mereka turut melemparkan pandangan ke arah dewan terbuka.
“Dia orang buat apa tu, tuan?” Soal Rafi ingin tahu.
“Oh, dia orang tengah berlatih taekwando. Di syarikat ni, tak kira pengawal keselamatan biasa atau pun pengawal peribadi, diwajibkan untuk ikuti latihan taekwando seminggu sekali. Bagi pengawal yang menggunakan senjata, latihan menggunakan senjata api turut disediakan oleh syarikat.” Jelas Tuan Basri.
Rafi dan Syadi menganggukkan kepala tanda faham. Ternyata mereka datang ke tempat yang betul.
Sedang asyik Tuan Basri menerangkan tentang syarikatnya, anak mata Syadi mula meliar memandang persekitaran dewan yang riuh rendah. Tiba-tiba anak matanya terhenti pada seraut wajah yang sedang berdiri di hadapan barisan. Wajah itu dibasahi peluh namun pandangannya penuh dengan semangat.
“Tak sangka, kau langsung tak berubah.” Desis Syadi sendirian. Hanya dia yang mendengar. Butir bicara Tuan Basri sepatah pun tidak singgah di telinganya. Segala fokusnya terarah kepada gadis yang berada di tengah dewan.
Anak mata Syadi turun pada pinggang gadis itu. Matanya sedikit membulat apabila melihat tali pinggang yang terikat di pinggang gadis tersebut.
“Wow, black belt.” Desis Syadi lagi. Namun, tidak lama kemudian, dia mencebikkan bibir. Seakan tidak percaya dengan apa yang terpapar di hadapan mata.
“Ah, aku tak percayalah!” ujar Syadi tidak semena-mena.
“Apa yang kau tak percaya, Syad?”
Syadi tersentak. Dia mengangkat muka. Kelihatan Rafi dan Tuan Basri memandangnya dengan anak mata yang terkebil-kebil. Syadi tersengih. Kuat sangat ke aku cakap? Detik hatinya.
Err… Tak ada apa-apa.” Jawabnya dengan wajah yang mula bertukar merah. Dia berdeham bagi meredakan debaran di dada.
Kemudian, dia kembali mengangkat pandangan. Sangkanya, gadis tersebut masih fokus pada latihan namun sebaliknya berlaku. Gadis itu turut memandang ke arahnya. Syadi tertegun seketika. Selang beberapa saat, dia terus menyarung kembali kaca mata hitam ke wajahnya. Agak-agak, dia kenal aku tak? Soal hatinya. Penuh tanda tanya.

Bayang - Bab 4 -

RAFI memandang lama wajah Syadi yang kelihatan tenang. Sedangkan saat ini Rafi dilanda gelisah dengan permintaan pelik lelaki itu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal entah ke berapa kali. Melihat senyuman Syadi makin menambahkan rasa pelik dalam diri Rafi.
“Betul ke kau nak upah perempuan tu jadi bodyguard kau?” Soal Rafi untuk kesekian kalinya.
Syadi mengangkat wajah buat seketika sebelum dia kembali menyambung mengunyah epal hijau yang dipotong oleh Rafi. Anak matanya masih melekat di telefon pintar sementara kepalanya dianggukkan sebagai jawapan kepada soalan Rafi.
Rafi mengeluh berat. Dia duduk di birai katil bertentangan dengan Syadi.
“Tapi kenapa kau nak kena upah bodyguard perempuan? Upah ajelah bodyguard lelaki. Lebih selamat. Boleh tinggal satu rumah dengan kau. Boleh jaga kau 24 jam. Kalau kau upah bodyguard perempuan, dia tak boleh tinggal dengan kau. Dia tak boleh jaga kau sepanjang masa. Takkan kau nak dia tinggal dengan kau pula? Tak pasal-pasal kontroversi. Kau tahu kan, kau salah satu artis kat Malaysia ni yang bersih dari sebarang kontroversi yang membabitkan perempuan.” Bebel Rafi. Dia inginkan penjelasan daripada Syadi.
Syadi hanya mengangkat bahu. Dia mengunyah epal seolah-olah bicara Rafi tidak singgah di telinganya.
“Salah ke upah bodyguard perempuan? Selagi tak langgar batas-batas, aku rasa tak salah.”
“Memang tak salah. Tapi kebanyakan bodyguard perempuan ni golongan datin-datin, puan sri- puan sri aje yang upah. Aku tak pernah tengok lagi bodyguard perempuan yang jadi pengawal menteri-menteri atau orang kenamaan lelaki. Ini melibatkan nyawa, kau percaya ke bodyguard perempuan tu boleh lindungi kau? Silap-silap kau yang lindung dia.” Tempelak Rafi masih tidak berpuas hati.
Namun, Syadi masih lagi tenang. Apabila dia sudah nekad, tiada sesiapa pun yang dapat mengubah keputusannya.
“Dah nama pun bodyguard. Mestilah terlatih. Kau ni pun. Cuba call dulu security company tu. Kau yang bagi cadangan. Aku ikut je. Bila aku dah ikut, kau pula bantah. Senang-senang tak payah upah sesiapa. Biar je aku mati katak.” Ujar Syadi berbaur ugutan.
Rafi mengetap bibir. Ketegasan Syadi memang sukar dilunturkan. Hal itu memang Rafi cukup arif.
“Bukan tu maksud aku. Aku cuma nak keselamatan kau terjamin. Kita tak tahu lawan kita siapa, boleh ke perempuan tu jaga kau? Lindung kau? Kalau bodyguard lelaki, sah-sah orang tu takut nak dekat.” Terang Rafi dengan suara yang mendatar.
“Aku nak upah perempuan tu jadi bodyguard aku, bukan untuk protect aku dari kes ni aje. Cuba kau bayangkan, kalau aku buat konsert, waktu sesi tanda tangan, sesi bertemu peminat, tentu peminat perempuan bersesak-sesak kan nak dekat, jadi bila ada bodyguard perempuan, senanglah dia nak handle peminat-peminat tu. Kalau bersentuhan dengan peminat perempuan pun, tak dosa. Kau tak fikir ke semua tu?” Soal Syadi mengajak Rafi berfikir.
Rafi terdiam sejenak. Kata-kata Syadi ada benarnya juga. Selama ini jika berada di konsert atau pun sesi bertemu peminat, pasti dia juga diasak oleh peminat terutama sekali peminat perempuan. Saat itu, mereka langsung tidak mengambil kira soal batas-batas yang perlu dijaga. Asalkan dapat bergambar dengan artis kesayangan, itu sudah cukup.
“Tapi aku tetap tak setuju. Lebih baik kau upah bodyguard lelaki.”
“Tak nak. Aku cuma nak perempuan ni jadi bodyguard aku. Dia atau bukan orang lain! Itu keputusan aku. Titik!” tegas Syadi sambil memeluk tubuh. Wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
Rafi mengeluh lagi. Kusut seketika apabila memikirkan jalan fikiran Syadi yang sukar ditebak. Apa istimewa perempuan ini sehinggakan Syadi tetap berkeras untuk menjadikannya sebagai pengawal peribadi? Nak kata Syadi kenal, mustahil. Lelaki itu tidak pernah rapat dengan mana-mana perempuan sejak dari awal dia mengenali Syadi.
“Kau kenal ke perempuan ni, Syad?” Soal Rafi tiba-tiba.
Syadi terdiam. Sepatah pun tidak dijawab.
“Kau jarang macam ni bila melibatkan perempuan. Atau kau dah jatuh cinta pandang pertama bila tengok gambar perempuan ni. Lebih baik kau mengaku, Syad.”
Bukkkkk!
Sebiji bantal mendarat tepat di wajah Rafi sebaik saja dia menghabiskan bicara. Rafi terpempan. Dia menahan sabar dengan kerenah Syadi.
“Dah, pergi tidur. Aku nak rehat.” Ujar Syadi tanpa mengulas kata-kata Rafi. Dia ada sebabnya yang tersendiri tetapi apa yang pasti, cinta bukan alasan mengapa dia inginkan gadis itu menjadi pengawal peribadinya.
Syadi merebahkan badannya kembali ke tilam. Tubuhnya masih rasa sengal-sengal. Cuma di hadapan Rafi dia berlagak seperti tiada apa-apa. Dia tidak mahu Rafi risau akan dirinya. Hakikatnya, dia menahan kesakitan. Lantas, matanya dipejamkan. Cuba merehatkan minda. Namun, sepotong nama itu terlintas di ruang fikiran. Mata Syadi terbuka luas. Terkebil-kebil dia memandang siling.
Dia berkalih pandang. Mencari kelibat Rafi. Kosong. Serentak, bunyi air dari tandas tertangkap di ruang pendengaran. Mungkin Rafi ke tandas. Fikir, Syadi. Anak matanya kembali memandang ke arah meja sisi. Dia mencapai kad kerja yang dijumpainya pagi tadi lalu direnung lama gambar yang terpapar di situ.
“Ainan Yusra….” Desisnya perlahan. Cukup hanya dia yang mendengar.


TUNGGU!” Satu suara menjerit sambil tangannya laju menepis tumbukan Yusra yang hampir mengenai wajahnya. Entah apa silapnya, gadis itu cuba melepaskan tumbukan rambang.
Tubuh Yusra terhentak ke dinding. Dia kaku seketika apabila mendengar suara yang tidak asing lagi di telinganya. Dia kembali mengatur langkah dan mengangkat pandang. Bulat matanya apabil figura seorang lelaki muda berdiri di hadapannya dengan nafas yang tercungap.
“Ya Allah, awak! Maaf. Saya tak sengaja. Saya ingatkan awak…” kata-kata Yusra mati di situ. Dia menghampiri lelaki itu. Dia serba-salah.
Fariq melemparkan senyuman kelat. Dia menggelengkan kepala tanda dia tidak apa-apa. Dia yakin Yusra pasti ada alasan tersendiri apabila terpaksa bertindak sejauh itu.
“Samseng tu datang rumah awak lagi?” Soal Fariq seakan mengerti apa yang dialami oleh Yusra.
Wajah Yusra berubah. Dia menarik daun pintu rumahnya dan menutupnya dengan rapat. Satu keluhan dilepaskan. Tanpa menjawab soalan Fariq, dia berlalu menuju ke koridor. Tangannya diletakkan di atas blok koridor sambil mendongak memandang langit yang kelam tanpa bulan dan bintang.
“Mereka takkan berhenti selagi tak jumpa ayah saya.” Jawab Yusra dengan kepala ditundukkan. Malu untuk mengakui kepincangan hidupnya di hadapan Fariq meskipun lelaki itu telah mengetahui segalanya kerana mereka tinggal berjiran.
“Tapi awak bayar hutang ayah awak tiap-tiap bulan kan? Buat apa mereka cari ayah awak lagi?” Soal Fariq seakan tidak berpuas hati.
Yusra hanya mampu menjongketkan bahu. Soalan itu hanya mampu dijawab oleh samseng yang mencari ayahnya. Sesungguhnya, dia sendiri tidak mempunyai sebarang jawapan yang tepat.
“Mungkin sekadar nak cari pasal. Atau mungkin tak puas hati kenapa ayah saya hilangkan diri. Saya pun tak tahu.” Jawab Yusra ringkas.
Fariq melepaskan nafas pendek. Dia merenung wajah Yusra dari sisi. Dia dapat melihat keperitan di wajah gadis itu meskipun gadis itu cuba sembunyikannya dengan senyuman.
“Awak tak cuba cari ayah awak?” soal Fariq lagi.
Yusra menggelengkan kepala.
“Awak tahu kan, kerja macam kita mana pernah ada cuti yang panjang. Saya kena cari duit, mana nak sempat cari ayah saya. Kalau ayah saya masih ada rasa tanggungjawab, dia yang cari kami.” Jawab Yusra. Lirih.
“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak menyibuk hal awak, Yusra. Tapi sebagai kawan, sebagai jiran saya berhak untuk ambil tahu apa yang jadi pada awak. Tadi awak nyaris tumbuk saya, saya tak rasa perkara ni biasa-biasa. Apa kata awak buat repot polis?” Cadang Fariq.
Yusra terdiam seketika. Tidak lama kemudian dia menggelengkan kepala.
“Kalau buat repot sekali pun, itu takkan selesaikan masalah. Saya rasa lagi bertambah masalah. Lagipun setakat ni, samseng tu tak berani nak apa-apakan saya dan ibu. Mereka cuma geledah rumah je untuk pastikan yang ayah betul-betul tak ada. Selagi saya bayar hutang mereka, selagi tulah saya dan ibu selamat.” Ujar Yusra. Sempat lagi dia mengukir senyuman. Namun, dirasakan cukup hambar.
“Memanglah dia orang tak berani apa-apa kan awak, awak pernah patahkan kaki salah seorang konco dia orang kan? Sah-sah, dia orang gerun dengan awak.” Komen Fariq sambil ketawa kecil.
Yusra mengulum senyum. Peristiwa itu masih segar dalam ingatannya. Pertama kali dia diserang dengan sekumpulan samseng yang diupah untuk memungut hutang daripada ayahnya. Dek kerana sikap kurang ajar mereka, Yusra terpaksa menggunakan kekuatannya untuk membela diri. Itulah kali pertama dia mengetahui bahawa ayahnya terlibat dengan judi dan mengalami kerugian yang terpaksa ditanggung oleh dirinya hingga ke hari ini.
“Saya cuma pertahankan diri aje. Tak ada niat pun nak tunjuk kuat. Syukur juga masa tu awak ada tolong saya. Kalau tak, susah saya nak lawan sorang-sorang.” Balas Yusra sambil memandang ke arah Fariq yang tersenyum manis.
“Awak dalam kesusahan takkan saya nak tengok je. Tak gentleman tau.” Jawab Fariq.
Yusra hanya mampu ketawa kecil. Namun, tidak lama kemudian tawanya sirna. Wajahnya berubah keruh. Dia menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Dah banyak awak tolong saya, Fariq. Sejak saya pindah ke sini awak yang banyak tolong saya. Carikan saya kerja, beri semangat pada saya agar jangan putus asa, tolong tengokkan ibu saya kalau saya kerja dan paling penting, awak tolong saya lawan samseng tu. Tak terbalas rasanya budi awak, Fariq. Terima kasih sangat. Saya bersyukur dapat kawan macam awak.” Ujar Yusra penuh emosi.
Fariq tersenyum nipis. Dia menatap wajah Yusra dengan lama.
“Saya tak harapkan apa-apa balasan pun, Yusra. Saya anggap awak dah macam keluarga saya sendiri. Awak tahu kan, saya ni kawan tak ramai. Tak sempat pun nak berkawan, memandangkan awak jiran saya, kerja pun di tempat yang sama jadi awaklah kawan baik yang saya ada. Awak jangan sedih, saya akan selalu ada untuk awak.” Balas Fariq dengan ikhlas.
Yusra terharu. Lama dia merenung ke dalam anak mata Fariq dan dia menemui keikhlasan di situ. Dia turut tersenyum. Betapa dia bersyukur dikurniakan sahabat seperti Fariq yang selalu ada di saat dia kesusahan. Menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
“Saya dengar awak dah tak nak sambung kontrak dengan Tan Sri Ghazali, betul ke?” soal Fariq tidak lama kemudian setelah tiada balasan daripada Yusra.
Yusra melepaskan keluhan apabila nama Tan Sri Ghazali meniti di bibir Fariq.
“Saya tak boleh bekerja dengan majikan yang tak hormatkan pekerja dia sendiri. Dia ingat pengawal peribadi macam kita ni kuli ke apa? Saya boleh terima kalau dia marah saya tapi saya tak boleh terima dia berkasar dengan saya. Anak dia yang tak nak ikut cakap, dia nak salahkan orang lain. Bukan dengan saya dan Ehsan je dia layan teruk, dengan semua pekerja dia, dia layan macam sampah. Kalau ikutkan hati saya, nak je saya bagi penumbuk sebagai hadiah tadi.” Cerita Yusra dengan semangat. Terjuih-juih mulutnya menceritakan perangai Tan Sri Ghazali yang cukup menjengkelkan.
Fariq ketawa lepas. Seronok dia mendengar bebelan Yusra. Gadis itu kelihatan comel di matanya.
“Tak baik tau guna kekerasan untuk orang awam. Salah di sisi undang-undang tu.” Ujar Fariq sekadar mengingatkan. Jari telunjuknya digoyangkan ke kiri dan kanan.
Yusra menekup mulut dengan telapak tangannya. Tidak lama kemudian dia tersengih.
Sorry, saya gurau je. Saya cuma geram dengan sikap orang ada kuasa macam tu.” Balas Yusra.
“Tapi tak semua orang kaya dan orang kenamaan macam tu. Ada aje yang baik cuma kita selalu jumpa yang tak baik. Anggap ajelah ujian untuk bodyguard macam kita.” Jawab Fariq dengan sengihan melebar daripada bibirnya.
Yusra hanya tersenyum sebagai balasan. Anak matanya masih tegak memandang dada langit. Nafasnya ditarik dan dihembuskan dengan perlahan. Berharap agar ketenangan meresap ke hatinya.
“Fariq… Awak tahu mana-mana orang kenamaan yang perlukan bodyguard?” Soal Yusra tidak lama kemudian. Dia mengalih pandangan ke sisi. Mencari raut wajah Fariq yang turut memandang ke arahnya.
“Awak tak serik lagi dengan orang kaya macam Tan Sri Ghazali?” Soalan dibalas dengan soalan oleh Fariq. Keningnya dijongketkan.
“Serik tu memang serik tapi saya terpaksa. Saya perlukan duit yang lebih untuk langsaikan hutang ayah saya. Hanya cara macam tu saya boleh dapat gaji yang lebih berbanding kalau saya bekerja di syarikat sebagai pengawal keselamatan.” Terang Yusra sambil menundukkan wajah.
Mengakui kesusahan yang dialaminya bukan kemahuan Yusra. Betapa berat hatinya untuk menceritakan masalah yang dialaminya kepada orang lain. Namun, dia memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaannya, memberi semangat kepadanya untuk terus berjuang bagi menghadapi kehidupan yang penuh cabaran.
Hmmm… Setakat ni saya tak tahu lagi. Mungkin esok kita boleh tanya Tuan Basri. Mana tahu ada job untuk awak. Lagipun, awak punya rekod setakat ni memang terbaik. Awak ada taekwando. Itu dah satu bonus untuk awak. Saya yakin mesti akan ada orang yang akan ambil awak sebagai bodyguard. Awak jangan risau.” Balas Fariq cuba memberi kata-kata semangat. Dia mengangkat tangan dengan tangannya itu digenggam sebagai tanda semangat buat Yusra.
Yusra menjeling bersama senyuman yang terukir indah di bibir.
“Aamiin… Saya harap pun macam tu. Kalau ada orang yang nak upah saya sebagai bodyguard, saya akan terima tanpa ragu-ragu dan saya takkan sia-siakan peluang ni.” Ujar Yusra turut bersemangat. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali.
Fariq hanya ketawa kecil melihat gelagat Yusra. Namun, hatinya sedikit sebanyak berasa lega apabila dapat melihat kembali senyuman Yusra.
“Eleh, boleh percaya ke awak ni?” usik Fariq seolah-olah tidak percaya dengan janji yang dilafazkan oleh Yusra.
Yusra mengangguk dengan laju. Sebelah tangannya diangkat. Lagak seperti berikrar.
“Saya janji. Saya akan layan majikan saya lepas ni dengan sebaik mungkin. Saya akan setia sampai kerja saya selesai.” Ujar Yusra. Kemudian dia ketawa sendiri.
Fariq ikut ketawa apabila melihat Yusra ketawa walaupun tiada yang lucu. Akhirnya, tawa mereka bersatu. Tanpa sedar ada sepasang mata sedang memerhati mereka dengan penuh minat. Satu senyuman terukir di bibir pemiliknya.

Bayang - Bab 3 -

KAU nak ke mana ni, Syad? Kau tak sihat lagi kan. Kau lupa ke apa yang Inspektor Fariz pesan semalam? Selagi penceroboh tu belum ditangkap, nyawa kau masih dalam bahaya.” Bebel Rafi sewaktu melihat Syadi menyelak selimut dan mula menyarung seliparnya.
“Aku bukan nak ke mana-mana pun. Kau cakap ada wartawan tunggu kat bawah kan? Aku nak jumpa dia orang. Aku kena terangkan keadaan sebenar. Aku terpaksa cancel banyak event disebabkan kes ni. Takkan kau nak biarkan dia orang tertanya-tanya keadaan aku.” Balas Syadi sambil duduk di birai katil. Mengharap pengertian daripada pengurus merangkap sahabat baiknya itu.
Rafi melepaskan keluhan pendek.
“Ya, aku tahu kau risaukan pandangan orang tentang kau. Tapi biar aku yang jelaskan kepada wartawan keadaan kau. Sekarang ni kesihatan dan keselamatan kau lebih utama.” Tambah Rafi lagi tidak mahu mengalah dengan kedegilan Syadi.
Syadi tersenyum kelat. Walaupun peristiwa pahit itu masih tergambar jelas di fikirannya saat ini tetapi itu bukan alasan untuk dia berpeluk tubuh. Masih banyak kerja yang perlu dilakukannya. Dia percaya, pihak berkuasa tidak akan tinggal diam dengan perkara ini.
“Aku tahu. Tapi peminat aku lagi penting.” Jawabnya ringkas. Dia bersiap-siap untuk bangun. Dengan wajah yang berkerut, dia cuba mengatur langkah.
“Ya, peminat kau lagi penting. Tapi kalau peminat kau tahu keadaan kau teruk macam ni lagilah mereka tu akan risau. Macam mana kalau orang yang serang kau tu tiba-tiba serang kau dekat public? Kau tak risau? Kau tak kesah?” Soal Rafi bertalu-talu.
“Aku risau. Tapi kau ada kan?” Balas Syadi sambil tersengih.
Rafi menjeling.
“Aku serius ni, Syad. Aku risau macam nak mati bila nampak kau kena pukul semalam tau. Paling aku kesal, bila orang yang serang kau terlepas macam tu aje. Apa kata kalau kita ikut je saranan Inspektor Fariz semalam,” ujar Rafi sambil mengetuk-ngetuk dagunya.
Dahi Syadi berkerut. Cuba mengingati kembali saranan Inspektor Fariz yang dikatakan oleh Rafi. Namun, fikirannya hanya menayangkan saat tubuhnya disepak dan diterajang oleh lelaki misteri itu. Cepat-cepat Syadi menggelengkan kepala.
“Inspektor Fariz cakap apa? Aku tak ingat.” Jujur Syadi.
“Dia cadangkan kau upah pengawal peribadi untuk jaga kau sementara kes ni dalam siasatan. Kita tak tahu apa yang bakal jadi, kita tak dapat ramal tindak tanduk lelaki misteri tu. Entah-entah dia memang berdendam dengan kau. Dia cuma cari peluang untuk cabut nyawa kau, sekurang-kurangnya bila ada pengawal peribadi, boleh jaga kau dua puluh empat jam.” Rafi memberi pendapat.
Syadi terduduk kembali di birai katil. Otaknya ligat memikirkan kata-kata Rafi.
“Kau tak rasa itu terlalu menarik perhatian ke? Semua orang akan tahu kes ni. Kau tak rasa itu akan cetuskan kontroversi?” Soal Syadi lagi.
“Aku rasa tak ada yang salahnya. Kau cuma nak lindungi nyawa kau sendiri. Keselamatan kau paling utama sekarang ni. Kau tak boleh leka apatah lagi jadual kau padat untuk sebulan dua bulan ni. Aku rasa bila kau upah pengawal peribadi, lelaki misteri tu pun tak berani nak dekat. Alah, bukan untuk selama-lamanya pun. Kau upahlah sampai kes ni selesai.” Terang Rafi.
Hmmm….” Syadi menggumam. Dia membalas pandangan Rafi yang kelihatan bersungguh. Dia mengherotkan bibirnya ke kiri dan kanan. Tanda dia sedang berfikir.
“Tapi kau tahu kan aku macam mana? Aku susah nak bergaul dengan orang baru. Inikan pula orang tu nak kena jaga aku 24 jam. Aku rasa itu bukan jalan yang terbaik. Aku tak selesa.” Putus Syadi sambil menggelengkan kepala.
Rafi melepaskan keluhan berat. Dia menjatuhkan kepala.
“Untuk sementara je, Syad. Bukan selama-lamanya.” Ujar Rafi cuba menyakinkan Syadi. Dia membuntuti langkah kaki Syadi yang mula bergerak menuju ke pintu.
Syadi menggelengkan kepala. Tanda tidak setuju. Pintu bilik itu dikuak perlahan.
“Kau kenal aku kan? Aku memang susah nak sesuaikan diri dengan orang baru. Kalau ada pengawal, sah-sah pengawal tu kena tinggal sekali dengan aku. Eiii… Aku tak dapat bayangkan. Boleh sesak nafas aku.” Ujar Syadi tanpa menghiraukan rayuan Rafi.
Dia meneruskan langkah dengan kaki yang terhincut-hincut. Sakit dan sengal masih lagi terasa tetapi dia tetap gagahkan diri untuk melangkah. Namun, saat kakinya ingin melangkah keluar dari bilik, secara tiba-tiba kakinya terpijak sesuatu yang keras di atas lantai. Hampir saja dia terjatuh tetapi dia sempat memaut pada sisi pintu.
“Syad! Kenapa kau ni?” Soal Rafi cemas apabila melihat langkah Syadi yang sumbang. Cepat-cepat dia memaut bahu Syadi.
“Aku okeylah. Aku terpijak benda atas lantai ni. Cuba kau tengok apa tu.” Ujar Syadi lalu melarikan kakinya. Dia tidak dapat menundukkan badannya kerana pinggangnya pasti terasa sakit setiap kali dia ingin menunduk.
Rafi hanya menurut. Dia mencapai satu kad berbentuk segi empat yang mana di hujungnya terikat dengan tali yang panjang. Nampak seperti kad pekerja. Rafi membelek-belek kad tersebut dengan wajah yang berkerut.
“Kad kerja siapa pula yang terjatuh ni? Mesti tuan dia tengah cari sekarang.” Omel Rafi sambil membaca satu per satu maklumat yang tertera di kad tersebut.
“Kad doktor ke jururawat?” Soal Syadi cuba mengintai kad tersebut.
“Bukan kakitangan hospital ni. Ni kad kerja… Kejap aku tengok,” ujar Rafi lalu melangkah beriringan dengan Syadi.
Syadi hanya membiarkan Rafi meneliti kad kerja yang tercicir itu. Sedangkan saat ini fokus Syadi lebih kepada dirinya sendiri. Dia cuba melangkah perlahan yang mungkin kerana kesan dipijak masih terasa di segenap kakinya. Nasib tak patah. Fikir Syadi.
“Oh, ni kad kerja pengawal peribadi, bukan kakitangan hospital ni.” Suara Rafi memecah lamunan Syadi. Syadi berpaling sejenak.
“Pengawal peribadi?” soalnya dengan dahi yang berkerut.
Rafi mengangguk pantas.
“Di hospital ni kau tak payah pelik. Memang ramai VIP yang gunakan khidmat pengawal peribadi. Tapi ni baru pertama kali aku nampak pengawal peribadi perempuan…” ujar Rafi lagi.
Syadi tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Mungkin orang yang upah pengawal peribadi tu pun perempuan. Sebab itulah dia gunakan khidmat pengawal peribadi perempuan. Aku rasa lebih baik kau pulangkan kad tu dekat kaunter. Mana tahu pemilik dia tengah cari sekarang ni.” Ujar Syadi lagi.
Rafi menganggukkan kepala.
“Okey. Nanti aku pulangkan. Tapi nama perempuan ni cantiklah. Ainan Yusra.” Ucap Rafi tiba-tiba. Dia tersenyum apabila menyebut sebaris nama itu.
Sebaik saja selesai Rafi bersuara, langkah Syadi terbejat. Dia kaku di tengah jalan. Nama yang disebut oleh Rafi terngiang-ngiang di telinganya. Aku tak salah dengar ke ni? Soal hatinya.
“Kalau tengok pada gambar, perempuan ni nampak lembut. Tak sangka dia kerja…” bicara Rafi terhenti apabila menyedari Syadi tertinggal di belakang. Rafi berpaling.
Laaa… Kenapa kau berhenti?” Soal Rafi pelik.
“Apa nama perempuan tu?” Soal Syadi dengan air liur yang tertelan.
“Perempuan mana?” Soal Rafi dengan dahi yang berkerut. Dia memandang sekeliling.
“Kad kerja yang kau pegang tulah…”
Ohhh… Nama bodyguard ni, Ainan Yusra. Kenapa?” Soal Rafi lagi. Masih dilanda tanda tanya.
“Ada gambar tak?” Soal Syadi laju.
“Ada. Kau nak tengok ke? Nah!” Jawab Rafi lalu menghulurkan kad tersebut kepada Syadi.
Syadi menggigit bibir. Dadanya mula berdetak tanpa sebab. Huluran Rafi bersambut. Dia menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Lalu, pandangannya terpaku pada kad kerja tersebut. Sesaat dua, dia tergamam. Dia kaku saat menatap wajah yang terpapar di atas kad tersebut. Bagaimana semua ini boleh terjadi? Adakah dunia ini terlalu kecil? Soal hatinya.
“Syad, kau okey tak ni?” Soal Rafi pelik apabila Syadi hanya mendiamkan diri saat menatap kad kerja tersebut. Dia tidak mampu menebak apa yang berada di dalam fikiran lelaki itu sekarang ini.
“Kau kenal ke perempuan tu?” Soal Rafi lagi apabila tiada jawapan daripada Syadi.
Syadi tersentak. Dia mengangkat muka memandang Rafi.
“Kau nak aku upah pengawal peribadi kan?” Soalnya tiba-tiba.
Rafi menganggukkan kepala dengan dahi yang bertindih-tindan. Tambah pelik apabila Syadi menyerahkan pas kerja itu kembali kepadanya dengan senyuman penuh makna.
Call security company tu.”
“Untuk apa?” soal Rafi masih tidak dapat menangkap maksud Syadi.
“Untuk upah bodyguard.” Jawab Syadi pendek.
Mata Rafi bagaikan ingin terjengil keluar.
“Kau jangan cakap… ” Kata-kata Rafi mati di situ.
Syadi hanya tersenyum penuh makna dan mengenyitkan mata. Tidak perlu dia terangkan apa-apa kerana dia yakin Rafi cukup mengerti maksudnya.



YUSRA termenung panjang apabila melihat rumah sewa miliknya bagai tongkang pecah. Dia merenung wajah si ibu yang sedang menangis teresak-esak.
“Dia orang datang lagi ke, ibu?” Soal Yusra lembut.
Mak Cik Zaleha hanya mampu menganggukkan kepala. Air mata yang mengalir di pipi, diseka dengan lengan bajunya. Menangisi nasib mereka dua beranak yang tidak pernah tenang sejak suaminya, Pak Ishak terlibat dengan perjudian dan menghilangkan diri tanpa jejak.
“Dia orang cuma cari ayah kamu je. Dia orang tak percaya yang ayah kamu tak balik ke rumah ni. Sebab itulah dia orang geledah rumah kita.” Jawab Mak Cik Zaleha sambil memandang sayu keadaan rumah mereka yang bersepah-sepah.
Yusra mengetap bibir. Kebenaran yang terpaksa dia telan sejak beberapa tahun yang lalu akibat sikap ayahnya sendiri yang mementingkan diri. Bahananya, dia terpaksa menanggung beban hutang yang banyak. Setiap bulan separuh gajinya dihabiskan untuk membayar hutang-hutang yang ditinggalkan Pak Ishak sebelum melarikan diri. Separuh lagi digunakan untuk belanja harian manakala soal makan dan pakai diuruskan oleh Mak Cik Zaleha yang menjual secara kecil-kecilan di tingkat bawah rumah flat mereka.
“Apa lagi yang mereka nak cari? Berapa kali kita nak cakap yang ayah tak pernah jenguk kita. Kenapa dia orang tak percaya?” Soal Yusra bengang.
“Ibu pun tak tahu, Ra. Ibu malu dengan kamu. Disebabkan perangai ayah kamu tu, kamu terpaksa tanggung beban. Semua duit gaji kamu habis semata-mata nak bayar hutang je. Sampai sekarang ibu tak tahu di mana ayah kamu sembunyi.” Jawab Mak Cik Zaleha dengan kesalan yang menggunung.
Yusra melepaskan nafas pendek. Dia mengangkat punggung lalu duduk di sebelah Mak Cik Zaleha. Bahu si ibu, dipeluk mesra.
“Tak perlulah ibu malu dengan Ra. Semua dah jadi. Kita pun tak dapat hentikan tabiat ayah yang ketagih dengan judi. Memang Ra marah dengan ayah sebab tinggalkan kita dalam keadaan macam ni tapi seburuk-buruk perangai ayah, Ra takkan lupa macam mana dia bersusah-payah cari duit untuk sekolahkan Ra. Beli mainan Ra masa Ra kecil dulu. Ra tak tahu sama ada duit yang ayah berikan pada Ra tu duit halal ke tidak, tapi Ra percaya ayah buat semua tu untuk kesenangan keluarga kita. Cuma ayah tak sedar, tak ada jalan singkat untuk kita hidup senang.” Ujar Yusra panjang lebar. Sekadar untuk meniup semangat ke dalam jiwa si ibu.
Mak Cik Zaleha mencapai tangan Yusra. Tangan itu digenggam erat manakala wajah anak gadisnya itu ditatap dengan penuh kasih sayang.
“Ibu bertuah sebab dikurniakan anak macam Ra. Kalau Ra tak ada, ibu rasa ibu boleh jadi gila. Kamu ketepikan kehendak kamu sendiri semata-mata nak langsaikan hutang ayah. Tapi ayah kamu…” kata-kata Mak Cik Zaleha terhenti di situ. Dia dihurung sebak. Wajahnya ditundukkan.
Yusra mengetap bibir. Turut menahan rasa. Melihat wajah keruh milik si ibu sudah cukup untuk membuatkan hatinya galau. Jika boleh, dia sanggup melakukan apa saja asalkan air mata ibunya tidak menitis.
“Ibu, jangan cakap macam tu. Masa Ra kecil, ibu dan abah yang jaga Ra, beri kasih sayang yang cukup, ikut apa saja kemahuan Ra, sekarang bila Ra dah besar, dah jadi tanggungjawab Ra untuk balas balik. Ibu yang lahirkan Ra ke dunia ni, tak pernah sekali Ra rasa ibu menyusahkan Ra. Soal ayah, kita serahkan kepada Allah. Ra rasa ayah akan balik juga nanti. Biar masa yang menentukan.” Ujar Yusra dengan senyuman nipis tersungging di bibir.
Mak Cik Zaleha hanya mampu menganggukkan kepala. Terkesan dengan kata-kata anaknya sendiri. Lantas, nafasnya ditarik dan dihembuskan dengan perlahan.
“Yalah, ibu takkan berhenti berdoa agar hati ayah kamu tu terbuka untuk balik. Kerja kamu macam mana? Okey? Awal kamu balik hari ni.” Mak Cik Zaleha mula mengubah topik perbualan mereka.
Yusra membetulkan duduk. Dia berdeham seketika. Lengannya disorokkan ke belakang badan.
“Haah, hari ni Ra minta balik awak. Lagipun kontrak Ra dengan majikan Ra dan tamat. Esok, Ra kena ke syarikat semula.” Terang Yusra.
Mak Cik Zaleha menganggukkan kepala. Dia mencapai beberapa helai baju yang terdampar di atas lantai lalu dibawa ke riba untuk dilipat.
“Tentu kerja kamu bahaya, kan? Mesti penat.” Tambah Mak Cik Zaleha lagi.
“Tak adalah bahaya mana, ibu. Biasalah kalau kerja jaga keselamatan orang ni. Macam polis dan askar juga. Setiap kerja ada risiko. Macam tulah kerja Ra ni. Tapi Ra seronok, ibu. Jadi, ibu jangan risau. Kalau penat tu, biasalah. Semua kerja penat, ibu.” Balas Yusra dengan senyuman. Dia tidak mahu Mak Cik Zaleha risau akan dirinya.
“Kamu tak nak cari kerja lain ke, Ra? Kerja yang sesuai dengan perempuan.” Sambung Mak Cik Zaleha. Dia memandang sekilas wajah si anak yang tampak lesu. Timbul rasa simpati dalam dirinya dengan pengorbanan Yusra.
“Bukan Ra tak nak, ibu. Tapi kerja ni gaji dia boleh tahan besar. Bolehlah buat bayar hutang ayah banyak sikit. Ibu tahu kan Ra memang suka kerja lasak. Kerja bawah air cond ni bukan taste Ra.” Jawab Yusra sambil tersengih.
“Ibu tahu. Tapi ibu nak juga tengok kamu kerja pakai pakaian perempuan. Ini tak, 24 jam pakai seragam. Kalau tak pakai seragam, pakai kot. Harap kamu tu pakai tudung, nampaklah perempuan. Lepas hutang ayah kamu settle, kamu tukar kerja lain ya? Ibu rasa kerja ni bahaya untuk kamu. Semalam, ada berita tentang pengawal keselamatan mati kena tembak perompak. Memang kerja kamu bukan pengawal keselamatan, tapi pengawal keselamatan dan pengawal peribadi tu sama je kan? Ibu tak nak jadi apa-apa kat kamu.” Ujar Mak Cik Zaleha mula menyuarakan kebimbangannya.
 “Insya-Allah, ibu. Nanti Ra usahakan. Buat masa sekarang Ra lebih selesa kerja macam ni. Ibu tak payahlah risau. Allah ada kan? Ibu juga yang ajar.” Balas Yusra dengan senyuman.
Mak Cik Zaleha melepaskan keluhan. Berdebat dengan Yusra pasti tidak akan menemui penamat. Penyudahnya, dia yang kalah.
“Ra nak masuk bilik dululah, ibu. Nanti Ra tolong ibu kemas rumah.” Sambung Yusra lalu bangun setelah tiada jawapan daripada Mak Cik Zaleha.
“Yalah, nanti ibu sediakan makan malam.” Ucap Mak Cik Zaleha.
Yusra hanya tersenyum. Baharu saja kakinya ingin melangkah, bunyi ketukan di pintu membuatkan langkahnya terbejat. Dia berpandangan dengan Mak Cik Zaleha. Jelas, wajah ibunya berubah pucat. Cuak.
“Siapa yang datang tu, Ra? Takkan samseng tu lagi?” Mak Cik Zaleha mula gundah. Dia bangun dan bersembunyi di sebalik tubuh si anak.
Wajah Yusra berubah serius. Dia menarik nafas dan menghembuskan dengan perlahan. Penumbuk dikepal. Tanda dia sudah bersedia untuk membuka langkah bila-bila masa.
“Ibu jangan risau, selagi nyawa Ra masih ada, Ra akan lindungi ibu. Ibu tunggu di sini. Biar Ra yang buka pintu.” Ujar Yusra lalu ingin mengatur langkah.
Mak Cik Zaleha menarik belakang baju Yusra. Anak gadisnya itu berpaling.
“Kenapa, ibu?” soal Yusra pendek.
“Ibu takut.” Balas Mak Cik Zaleha.
Yusra tersenyum kelat. Lantas, telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar sebelum diserahkan kepada Mak Cik Zaleha.
“Ibu ambil telefon ni, kalau apa-apa jadi, ibu terus telefon polis. Okey?” ucap Yusra cuba menenangkan perasaan Mak Cik Zaleha.
Mak Cik Zaleha hanya mampu menganggukkan kepala. Dia yakin dengan anaknya itu. Lantas, dia menghantar langkah Yusra dengan pandangan penuh kerisauan.
Yusra menghembuskan nafas kuat. Bunyi ketukan di muka pintu masih kedengaran. Dia berjalan dengan berhati-hati. Sesekali dia menoleh ke belakang. Si ibu masih memandangnya dengan pandangan ketakutan. Yusra mengukir senyum. Walau dia sendiri tidak tahu apa maksud senyuman itu.
Tangan dihulur untuk memulas tombol pintu. Dengan dada yang berdebar-debar, dengan tangan kanan yang sudah dikepalkan, Yusra membuka pintu. Tanpa melihat siapa tetamunya terlebih dahulu, Yusra melepaskan tumbukan.
“Nanti!” suara itu bertempik dan menepis tumbukan Yusra.
Belakang tubuh Yusra terhentak ke dinding. Dia tegak memandang ke hadapan dengan dada yang berombak. Apabila wajah tetamunya itu mula jelas di pandangan, serentak wajahnya berubah rona. Matanya terbuntang. Alamak!