“MANA janji kau nak
bayar hutang aku, hah??” Pekik John di telinga Malik.
Dua lagi orangnya
memegang kolar baju Malik yang lembik akibat di belasah mereka. Itulah, orang
berjudi dia pun nak berjudi. Bila kalah, hutang sana hutang sini. Sekarang ada
hati mahu lari. Ini John, tiada siapa boleh lepas daripada cengkaman aku. Detik hati John bangga.
“Tolonglah, John. Nanti
aku ada duit, aku bayarlah. Buat masa sekarang ni aku tak ada duit lagi.” Rayu
Malik. Sambil memegang mulutnya yang pecah akibat ditumbuk oleh kuncu- kuncu
John kerana melarikan diri.
“Nak bayar kepala bapak
kau! Dah dekat sebulan aku tunggu tapi kau tak jugak bayar. Kalau tahu tak mampu nak bayar jangan nak berhutang
dengan aku!” Jerit John lagi.
John menggerakkan
kening pada anak buahnya. Serentak dengan itu satu tumbukan padu mendarat di
muka dan perut Malik. Darah terhambur daripada mulutnya.
“Maafkan aku, John. Aku
janji aku akan bayar…”
“Kau nak bayar dengan
apa, bangsat?!” Tanya John kasar. Perut Malik disepak dengan kakinya.
Malik mengerang
kesakitan. Rasa seperti mahu tercabut nyawa daripada badannya. Dia perlu
lakukan sesuatu agar John menghentikan perbuatannya. Kalau diikutkan hatinya
ingin sahaja dia menjerit meminta pertolongan namun dia tahu sekarang orang
kampung sedang mencari dirinya kerana dituduh membunuh Soleha.
Jadi dia membuat
keputusan untuk bersembunyi di kebun getah jauh di hujung kampung. Tetapi dia
tidak menduga bahawa geng John akan mencarinya sampai ke sini. Kalau dibiarkan
terus mesti dia mati dikerjakan oleh John. Si lintah darat yang tidak
berperikemanusiaan.
“Tunggu dulu, John. Aku
ada tawaran untuk kau kalau kau henti pukul aku.” Tahan Malik.
Dia cuba untuk berdiri
walaupun keadaannya hampir nazak. Selepas dirinya stabil sedikit dia meludah
sisa- sisa darah yang terkumpul dalam mulutnya. Boleh patah gigi aku ni.
“Tawaran apa pulak ni? Kau jangan nak main- main
dengan aku, Malik. Aku bunuh kau kang!” Ugut John dengan mata merah menyala
menahan kemarahan.
“Ini tawaran baik
punya. Aku bagi pada kau sorang je.”
Malik masih berbasa basi. Dia tersenyum penuh makna.
“Yelah, apa dia bodoh?!”
“Macam ini, aku ada
anak tiri. Bini aku dah mati jadi kau boleh angkat dia, kau jual dia dekat ibu
ayam ke bapak ayam ke aku tak kira, janji hutang aku dengan kau kira langsai
macam mana?” Malik mula mengatur langkah untuk melepaskan diri walaupun nyawa
dan maruah orang lain tergadai.
Terbayang di matanya
wajah anak tirinya, Wafiya yang sangat disayangi oleh arwah isterinya. Tidak
dapat dibayangkan jika Soleha dapat melihat anak kesayangan dan kebanggaannya
menjadi pelacur jalanan. Sememang itu yang Malik mahu lihat kerana anak gadis
itu berani mencabarnya.
“Tapi itu anak kau,
kan?” John masih pelik.
“Anak tiri. Tak ada
kena mengena pun dengan aku. Tapi yang aku boleh jamin dia masih dara. Kau
boleh buat apa yang kau suka. Amacam?”
Lama John berfikir
sebelum dia menghulurkan tangan pada Malik. Bagaikan ternampak duit- duit
bertaburan di ruang fikirannya jika dia menjual anak dara kampung kepada bapak-
bapak ayam di ibu kota.
“Aku setuju. Kalau aku
berjaya jual dia, anggap sahaja hutang kau lunas. Tapi kalau aku tak dapat dia,
nyawa kau jadi taruhan. Faham?!” Tegas John.
Malik mengangguk dalam
kepayahan. Senyuman dilemparkan tetapi pahit. Ini antara hidup dan mati. Wafiya
harus dijual!
MALAM yang masih muda
membuatkan Wafiya menggunakan masa yang
ada untuk menjahit dengan menggunakan mesin jahit peninggalan arwah ibunya.
Mesin inilah satu- satunya kenangan Soleha sewaktu dia masih hidup. Dengan
mesin jahit ini juga Soleha mengambil tempahan daripada orang kampung bagi
menambah pendapatan mereka sekeluarga.
“Fiya walaupun kita
miskin dengan harta, ingat kita kena jaga maruah kita. Tambahan pula kita ini
perempuan. Jangan kita jadi fitnah bagi kaum Adam. Kalau ibu dah tak ada nanti,
pandai- pandailah Fiya bawak diri. Kehormatan sebagai wanita jangan diabaikan
dan jangan sesekali Fiya abaikan perintah Allah. Setiap ujian yang datang ada
rahmat sebaliknya.”
Nasihat Soleha sambil
tangannya lincah mengunting kain yang ingin dibuat baju kurung. Wafiya yang
mendengar hanya mengangguk tanda mengerti. Dia tidak menyangka nasihat itu
adalah kali terakhir dapat dia dengar sebelum ibunya kembali mengadap Ilahi.
Mungkin Allah lebih sayangkan ibu. Lagipun daripada- Nya kita datang, kepada-
Nya kita kembali. Itulah hidup manusia.
Namun, ketenangan
Wafiya malam itu diganggu dengan bunyi hempasan pintu yang kuat. Wafiya
tersentak. Habis terbang segala ingatannya pada ibu tersayang. Spontan bulu
romanya tegak. Jantungnya berdetak pantas. Memandangkan hanya dia seorang yang
tinggal di dalam rumah ini, ketakutan mula menguasai diri.
“Siapa tu?” Tanya
Wafiya menggeletar. Lantas dia berdiri menuju ke ruang tamu.
“Aku!” Muncul Malik di
hadapan Wafiya dengan wajah yang lebam- lebam. Mungkin lepas dibelasah. Fikir
Wafiya.
Wafiya kaget. Ya Allah,
lindungilah hamba-Mu ini. Rintih hati kecilnya yang ketakutan.
“Ayah..buat ap..a dekat
sini?” Tanya Wafiya tergagap- gagap.
“Berapa kali aku cakap
pada kau, aku bukan bapak kau. Kau ni tak faham bahasa ke?” Marah Malik.
Namun dia tidak
menunggu balasan daripada Wafiya sebaliknya dia meluru masuk ke dalam bilik
Wafiya dan menyelongkar segala baju Wafiya dan dimasukkan ke dalam beg. Dia
sudah nekad untuk menjual Wafiya pada John. Dia mahu hidupnya bebas daripada
segala hutang.
Wafiya terkesima dengan
kelakuan Malik. Dia terkejut melihat Malik mengisi segala pakaiannya ke dalam beg.
Satu pun yang tak tertinggal. Apa yang dia nak buat ni? Hati Wafiya kalut.
“Ayah nak buat apa ni?”
Tanya Wafiya takut- takut berani.
“Hari ini kau ikut aku.
Aku nak bawak kau jumpa John?”
“John? Lintah darat
tu?” Tanya Wafiya terkejut.
Malik mengangguk.
Wafiya masih lagi terpaku di tempat dia berdiri. Dia kenal dengan John. John
adalah lintah darat yang paling kejam di kampungnya malah John juga adalah
bapak ayam yang kerjanya menjual gadis- gadis pada bapak- bapak ayam yang lain
untuk dijadikan pelacur. Takkan aku masuk dalam senarai juga? Hatinya merintih.
“Ayah nak buat apa bawa
Fiya jumpa dia? Fiya tak nak ikut!” Tegas Wafiya berani.
“Kau jangan nak melawan
aku! John ada kerja nak bagi pada kau. Gajinya tinggi. Kerja bukan berat pun.
Nanti hidup kau jugak senang.” Malik
memujuk.
“Ayah ingat saya bodoh!
Macamlah saya tak tahu kerja yang ayah maksudkan itu adalah pelacur. Ayah ingat
saya ni tak ada maruah ke apa? Saya takkan ikut ayah. Lebih baik saya mati dari
ikut cakap ayah!” Bangkang Wafiya lantang. Dia menentang wajah Malik dengan
berani. Wajah lelaki itu sudah merah menyala.
“Kau ni dah pandai
melawan kan? Memang nak kena dengan aku! Aku cakap ikut, maknanya ikutlah!”
Tengking Malik.
Lantas, tanpa perasaan
dia mencengkam tangan Wafiya lalu mengheret Wafiya hingga ke luar rumah.
Walaupun tangan Wafiya kejap memegang tangga namun Malik tetap tidak berhati
perut. Wajah Wafiya yang lembut ditampar berulang kali agar gadis itu
melepaskan pautan tangannya yang bergayutan di tangga.
“Ikut aku! Jangan nak
membantah!” Jerit Malik.
“Tak nak! Lepaskan
saya!” Wafiya turut menjerit. Dia berharap agar ada orang yang datang
menyelamatkannya.
“Kau ni memang degil,
kan? Sebijik macam ibu kau yang dah mampus tu!” Malik berkata kasar.
Menangis Wafiya mendengar
kata- kata kesat yang Malik lemparkan pada ibunya yang telah meninggal dunia.
Wafiya tidak kira, kali ini dia akan berjuang untuk menyelamatkan maruah
daripada di gadai oleh jantan yang tidak berguna ini. Wafiya meronta untuk
melepaskan diri.
Namun, Malik tidak
peduli akan rontaan Wafiya. Malah tubuh genit itu direntap kasar dan di heret
di atas tanah. Dia tidak peduli akan kesakitan yang dirasai oleh Wafiya.
“Hoi, Malik. Kau nak bawak
Fiya ke mana tu?!” Laung satu suara dengan lantang.
Malik menghentikan
perbuatannya. Dia berpaling. Cis, Hamzah!
“Kau jangan sibuk
urusan aku, Hamzah! Baik kau berambus!”
“Kau
tu yang berambus! Lepaskan Fiya, dasar pembunuh!” Jerit Hamzah lantas meluru ke
arah Malik.
Malik melepaskan
cengkaman tangan Wafiya. Dia bersedia untuk meghadapi Hamzah yang terkenal
dengan ilmu persilatan. Tetapi itu tidak membuatkan Malik gentar. Mereka
bertarung dan bergelut sedangkan Wafiya kelihatan lemah dan tidak bermaya.
Tubuhnya tidak mampu untuk menampung kesakitan yang hebat itu. Hidung dan
bibirnya mengeluarkan banyak darah. Apakah ajalku sudah tiba, Ya Allah?
“Fiya, bangun Fiya..”
Panggil suatu suara menyedarkan Wafiya daripada mamainya.
Matanya dibuka sedikit.
“Mak Yam…” Ujarnya
tidak berdaya.
“Ya, Fiya kena kuat.
Mak Yam nak Fiya lari dari sini. Cepat sebelum Malik bertindak lebih ganas. Pak
Hamzah kamu itu tak mampu bertahan lama. Cepat lari. Ini duit buat bekal untuk
kamu!”
Mak Yam tiba di saat
perbalahan antara Hamzah dan Malik. Dia perlu membantu anak gadis ini. Dia tidak
mahu anak jirannya ini terus terseksa jika tinggal di kampung ini. Pantas
seledang yang tersarung di kepala di hulurkan pada Wafiya.
Wafiya menyambutnya.
Lantas, tanpa berlengah Wafiya berdiri dan mencapai beg pakaiannya dan berlari
sepantas mungkin. Walaupun kakinya sakit tetapi itu tidak menghalang Wafiya
untuk melepaskan diri. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan maruahnya dapat
diselamatkan.
“Fiya, kau nak lari ke
mana tu?!” laung Malik.
Buat kali terakhir dia
melepaskan tumbukan di perut Hamzah membuatkan lelaki itu jatuh tersungkur.
Mungkin kerana faktor usia dia tidak dapat bertahan lama. Terbatuk- batuk
Hamzah dek penangan Malik. Akhirnya dia hanya mampu melihat Malik mengejar
Wafiya yang telah jauh melarikan diri. Semoga Allah menyelamatkan anak gadis
yang malang itu.
“FIYA, jangan lari!”
Jerit Malik lantang.
Laju sahaja kakinya
mengejar Wafiya yang jauh meninggalkannya menuju ke jalan besar. Dia tidak
boleh membiarkan Wafiya terlepas begitu sahaja kerana dia telah berjanji dengan
John untuk membawa Wafiya malam ini juga. Jika janji itu tidak ditepati,
nyawanya yang akan menjadi galang gantinya.
Wafiya tidak
mengendahkan laungan Malik. Dia tetap mempercepatkan langkahnya agar dia dapat
meninggalkan Malik jauh di belakang. Nasib baik dia seorang pelari pecut di
sekolah menengah dahulu boleh juga dia menggunakan kelebihan itu untuk
menyelamatkan diri. Walaupun dia merasakan kakinya bagaikan ingin tercabut
kerana terlampau laju berlari. Sesekali dia memandang ke arah belakang bimbang
Malik dapat menyainginya.
Namun, nasib Wafiya
memang malang. Sebaik sahaja dia sampai di jalan utama tiba- tiba ada sebuah
kereta daripada arah depan menuju laju ke arahnya tanpa sempat Wafiya mengelak
dan akhirnya…
“Aaaaaa…” jeritan
Wafiya bergema.
“Astaghfirullah-al-azim. Kenapa Mil?” Tanya Tan Sri Syed
Umar apabila secara tiba- tiba Muzamil menghentikan keretanya.
Dahi Muzamil mengeluh.
Air liur di telan berkali- kali. Aku langgar orang ke tadi?
“Amil rasa, Amil
terlanggar orang ayah.” Ujar Muzamil masam- masam kelat wajahnya.
“What? Jom kita tengok.” Ajak Tan Sri Syed Umar cemas.
Akhirnya, kedua lelaki
itu keluar daripada kereta dan melangkah ke bahagian hadapan kereta. Alangkah
terkejutnya mereka apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalan raya.
“Ya Allah, ayah. Apa
yang dah Mil buat ni? Mil dah langgar orang!” Muzamil cemas. Dia membetulkan
cermin matanya yang seakan mahu terjatuh daripada hidungnya.
“Bawa bertenang, Mil.
Ayah rasa budak ini tidak apa- apa. Mungkin dia pengsan.” Tan Sri Syed Umar
menenangkan Muzamil yang kegelisahan.
Tan Sri Syed Umar
menundukkan badan dan melutut untuk memeriksa anak gadis yang kaku di atas
jalan itu. Jari telunjuk diletakkan di hidung gadis itu. Masih bernafas.
Alhamdulillah. Bisik hati Tan Sri Syed Umar.
Dia meneliti wajah
gadis itu yang pengsan. Wajah itu penuh dengan kesan luka dan lebam. Apa yang
terjadi kepada gadis ini? Kenapa gadis ini terburu- buru berlari ke arah jalan
raya sehingga membuatkan Muzamil hampir terlanggarnya? Benak Tan Sri Syed Umar
tertanya-tanya.
Kemudian matanya
teralih pada beg pakaian gadis itu yang terdampar di sisi. Gadis ini lari
daripada rumah ke? Hatinya tertanya lagi. Tan Sri Syed Umar memandang ke kiri
dan kanan. Tiada orang yang lalu lalang yang boleh diminta pertolongan. Takkan
nak dibiarkan sahaja gadis ini di tempat yang sunyi seperti ini. Akan parah
jadinya nanti.
“Mil, tolong ayah
angkat budak ni. Kita hantar dia ke hospital. Ayah tengok dia macam cedera je. Lepas dia sedar, kita hantar dia
balik rumahnya semula.” Tan Sri Syed Umar bersuara.
Muzamil hanya
mengangguk. Mereka tiada pilihan saat ini.