BAB 4
“SEMUA
bangun!” jerit Ghani selaku ketua kelas Tingkatan 5 Progresif. Semua pelajar di
dalam kelas tersebut bangun setelah melihat seorang guru lelaki yang segak
berbaju kemeja berjalan dengan penuh karisma melangkah masuk ke dalam kelas.
Senyuman manis terukir di bibir yang merah.
Nuha yang sedang berdiri sedikit
terpegun melihat cikgu lelaki tersebut. Cikgu yang sama terserempak dengannya
semalam. Subhanallah, tenangnya wajah dia. Bisik hati Nuha. Terpesona dengan
ciptaan Allah yang berada di hadapan mata.
“Assalamualaikum, cikgu!” Ghani memberi
salam sambil diikuti oleh rakan sekelas yang lain.
Cikgu lelaki itu tersenyum manis. Dan
menjawab salam dengan lembut. Selepas dia membenarkan pelajar duduk, cikgu
lelaki tersebut berdeham sebelum menyambung kata.
“Mesti kamu semua tertanya- tanya siapa
saya kan? Baiklah saya kenalkan diri saya dulu. Nama saya Thaqif Aswad, cikgu
Ekonomi Asas kamu yang baru menggantikan Cikgu Mazlina. Saya harap kamu semua
dapat memberikan kerjasama dengan saya,” ucap Cikgu Thaqif penuh dedikasi
sebagai seorang guru.
“Baik cikgu!” jawab pelajar- pelajar 5
Progresif serentak. Cikgu Thaqif tersenyum lagi sambil membetulkan cermin
matanya yang terlurut jatuh.
“Alahai, cutenya dia, Nuha. Aku nak buat pengakuan pada kau, mulai hari ni
lelaki idaman aku mestilah bercermin mata!” bisik Fatin rapat ke telinga Nuha.
Nuha menjeling. Entah apa- apalah member
aku ni sekor. Tapi betul, aku pun rasanya dah jatuh cinta. Jatuh cinta pada
Cikgu Thaqif!
“Good!
Kalau macam tu bolehlah saya kenal kamu satu persatu kan. Memandangkan kelas ni
cuma ada 20 orang jadi tak susah untuk saya ingat nama kamu semua. Baiklah kita
mulakan dengan sebelah kanan, tolong kenalkan diri,” pinta Cikgu Thaqif pada
Mona yang duduk di hadapan di sebelah tingkap.
Nuha hanya merenung wajah Cikgu Thaqif
yang tenang. Bila lelaki itu tersenyum, Nuha turut tersenyum. Anak mata Cikgu
Thaqif yang coklat perang itu dipandang. Comel. Desis hatinya sebelum matanya
beralih pada hidung Cikgu Thaqif yang mancung. Perfect!
“Awak pula, siapa nama?” suara Cikgu
Thaqif menghentikan lamunan Nuha. Dia mendongak memandang wajah Cikgu Thaqif.
Serta merta air liur ditelan. Panahan anak mata itu menusuk terus ke jantung
dan menggoncang hatinya sehingga menjemput debaran yang tidak henti- henti.
“Nuha, cikgu tanya tu jawablah. Diam pulak kau ni,” bebel Fatin sambil
menyiku lengan Nuha yang kelihatan terpinga- pinga.
“Hah? Oh, okey…” dengan pantas Nuha
berdiri. Dia menarik nafas panjang namun apabila memandang wajah Cikgu Thaqif
yang tersenyum, hati Nuha bagaikan cair. I’m
melting!
“Nama saya Nuha Saqeena tapi cikgu boleh
panggil saya Nuha je,” ucap Nuha
dalam satu nafas. Sudah tidak dapat ditahan rasa yang membalut hati. Rasa nak
terkucil pun ada saat ini.
“Nuha Saqeena? Hmm…sedap nama tu,” puji Cikgu Thaqif ikhlas.
Nuha hanya tersenyum kemudian duduk. Dia
mengangkat kening pada Fatin yang sudah mencebik. Sukalah tu, cikgu handsome puji nama dia sedap. Nama aku
pun sedap apa, Fatin Aqilah. Bisik hati Fatin.
“Okey sekarang kita buka QA session. Ada apa-apa soalan yang kamu
nak tanya cikgu?” tambah Cikgu Thaqif lagi. Sengaja dia memberi peluang pada
pelajar untuk bertanya, mungkin dengan cara ini dia boleh mengeratkan lagi
jurang antara guru dan pelajar.
“Cikgu dah kahwin?” satu suara menyoal
dari belakang membuatkan Cikgu Thaqif tersenyum lebar.
Nuha dan Fatin menanti penuh debaran
jawapan yang bakal diberikan oleh Cikgu Thaqif. Jawablah tak. Tak. Tak. Tak..
hati mereka berkata.
“Dah! saya dah kahwin. Insya- Allah bulan
depan cikgu akan menimang cahaya mata yang pertama,” jawab Thaqif bersahaja.
Bagaikan petir yang membelah bumi,
jawapan Cikgu Thaqif meremukkan hati Nuha. Jawapan itu cukup mengecewakannya.
Matanya tiba- tiba menitiskan air mata. Nuha tersentak. Kenapa pula dengan aku
ni? Bisik hatinya tidak keruan. Dia sendiri tidak mampu mengawal apa yang
jasadnya lakukan. Kenapa aku sedih sangat ni? Hatinya bertanya lagi. Dia
menundukkan wajah.
“Nampaknya kita kena lupakan hasrat nak
ngorat cikgu ni. Dia dah berpunya, Nuha,” bisik Fatin di telinga.
Nuha hanya mendengar kata- kata Fatin
dengan hati yang sebal. Dia sendiri tidak tahu kenapa harus sedih? Kenapa harus
kecewa bila mendapat tahu lelaki itu sudah berkahwin. Biarlah, dia bukan
sesiapa pun dengan lelaki itu cuma perasaannya lain bila berhadapan dengan
lelaki itu. Adakah dia sudah menjadi mangsa cinta pandang pertama? Wujudkah
cinta pandang pertama itu?
NUHA
tersentak apabila namanya dipanggil oleh Puan Maryam. Kenangan silam lenyap
daripada ingatan. Kini dia kembali ke alam realiti. Dia mengorak langkah menuju
ke arah Puan Maryam yang sedang berbincang sesuatu yang serius dengan Cikgu
Thaqif. Wajah lelaki yang dipuja dalam diam itu kelihatan tegang.
Dia menghampiri kedua insan itu.
Pandangan Mak Cik Zakiah yang pelik tidak dipedulikan. Dia tahu pasti ada
sesuatu yang penting sehinggakan Cikgu Thaqif memandangnya dengan pandangan
yang sukar untuk Nuha tafsirkan.
“Ya, mak cik. Mak cik panggil Nuha ke?”
soal Nuha sambil berdiri di sisi Puan Maryam.
“Yup, mak cik ada sesuatu nak cakap tapi
mak cik rasa biarlah Qif yang beritahu pada Nuha sendiri,” ucap Puan Maryam
sambil memandang Thaqif yang mengerutkan dahi.
“Nak cakap apa mak cik?” soal Nuha lagi.
Dia duduk di sebelah Puan Maryam. Wajah Puan Maryam dan Cikgu Thaqif dipandang
silih berganti. Kenapa aku rasa macam ada yang tak kena je. Bisik hati kecil Nuha.
“Qif, kamu cakaplah. Ibu nak ke dalam,”
ujar Puan Maryam sebelum berlalu meninggalkan Thaqif dan Nuha yang dilanda
tanda tanya.
Thaqif hanya memandang kelibat ibunya
yang menghilang disebalik pintu. Pandangannya beralih pada laman wajah Nuha
yang kelihatan tenang. Dia yakin pasti Nuha tertanya- tanya apa yang hendak
dibincangkan. Tapi dia lakukan semua ini hanya untuk ibu dan anak- anaknya. Dia
redha apa saja penerimaan Nuha nanti.
“Kenapa ni, cikgu? Tak pernah saya
tengok mak cik serius macam tu. Ada yang tak kena ke?” Nuha memberanikan diri
untuk bertanya. Suasana yang lengang ketika ini membuatkan dia berani untuk
bersuara mencari kebenaran.
“Memang ada yang tak kena pun, Nuha.
Bukan mak cik yang tak kena, tapi saya,” balas Cikgu Thaqif serius.
“Kenapa ni cikgu? Saya tak faham…” balas
Nuha. Keningnya bertaut.
“Saya nak awak dengar semua penjelasan
saya dulu. Selepas tu barulah awak boleh buat keputusan, okey?” Thaqif
memulakan bicara. Agak kekok untuk dia berbincang dengan gadis semuda Nuha tapi
kata- kata ibunya tidak boleh dibangkang. Belum cuba belum tahu. Bisik hatinya.
“Okey,” balas Nuha pendek. Dia
menumpukan sepenuh perhatiannya pada Cikgu Thaqif yang kelihatan resah. Dahi
lelaki itu berpeluh- peluh. Gementar agaknya.
“Saya rasa awak tahu tentang cerita
hidup saya, kan? Mesti ibu saya ada ceritakan pada awak tentang masalah yang
saya hadapi sekarang. Actually itu
bukanlah masalah pada saya cuma dugaan yang perlu saya hadapi untuk menempuh
hidup ini. Dalam hidup saya, saya pegang prinsip bercinta sekali berkahwin pun
biarlah sekali. Malah, saya tak pernah fikirkan perempuan lain selepas isteri
saya meninggal sewaktu melahirkan Dani dan Dania. Tetapi keadaan saya hari ini
memaksa saya untuk memikirkan perempuan lain yang perlu saya jadikan sebahagian
daripada hidup saya,” ucap Thaqif panjang lebar. Dia merenung tepat ke dalam
mata Nuha yang masih menanti kata- kata daripadanya.
“Bukan saya tak mampu untuk membela Dani
dan Dania cuma saya perlukan sokongan daripada seorang wanita yang boleh Dani
dan Dania panggil ibu bila besar nanti. Saya ayah mereka tapi saya tak boleh
nak berikan kasih sayang sebagaimana seorang ibu berikan pada seorang anak.
Saya harap awak faham apa yang saya cuba sampaikan ini, Nuha,” sambung Thaqif
lagi.
Nuha terkelu. Namun, hatinya sudah
berdetak tidak menentu. Adakah kata- kata itu bermaksud……
“Sudi tak awak jadi ibu kepada anak-
anak saya, Nuha Saqeena?” soal Thaqif spontan tanpa selindung- selindung.
Nuha tersentak. Laju saja pandangannya
bertaut dengan anak mata Thaqif yang setia memandang wajahnya. Lidah Nuha
bagaikan digam dengan ketat. Wajahnya sudah berbahang. Dengan pantas dia
menundukkan kepala. Malunya!
“Tapi kenapa mesti saya?” soal Nuha
akhirnya dengan wajah ditundukkan. Suaranya kedengaran tenggelam timbul akibat
menahan rasa debar yang berlagu hebat.
“Saya nampak anak- anak saya sayangkan
awak dan awak sayangkan anak- anak saya, betul tak?” soal Thaqif menduga.
Laju saja Nuha menganggukkan kepala.
Memang dia sayangkan si kembar itu malah dia sudah menganggap Dani dan Dania
macam adiknya tapi tak sangkalah pula ayah si kembar mahu menjadikannya ibu
kepada mereka berdua. Bersediakah Nuha untuk semua ini?
“Saya sayangkan anak- anak cikgu malah
saya dah anggap Dani dan Dania macam adik saya sendiri tapi saya tak sangka
yang cikgu….” Kata- kata Nuha mati di situ. Dia memberanikan diri untuk
mendongak memandang wajah Cikgu Thaqif yang masih kelihatan tenang. Macam mana
dia boleh setenang itu sedangkan hati aku memang tak mampu untuk bertenang saat
ini? Desis hati Nuha sebelum dia kembali menundukkan pandangan.
“Saya melamar awak ini bukan kerana
terpaksa ataupun dipaksa tetapi saya perlukan pertolongan awak untuk mendidik
dan mengasuh anak saya. Kalau awak tak boleh nak anggap dia macam anak- anak
awak pun saya tak kisah, awak anggaplah Dani dan Dania tu macam adik awak.
Pernikahan ini adalah alasan untuk membolehkan awak tinggal bersama dengan kami.
Memang tak logik kan awak dan saya tinggal dalam satu rumah tanpa sebarang
ikatan?” balas Thaqif penuh diplomasi.
Dia merenung wajah Nuha yang menunduk.
Dari pertama kali dia melihat Nuha, dia tahu gadis itu seorang pemalu dan
penyegan. Gadis itu pasti menundukkan wajahnya apabila berhadapan dengan
Thaqif, itu yang Thaqif perasan. Kenapa agaknya?
“Ya saya tahu. Tapi perasaan cikgu pula
macam mana?” soal Nuha kembali.
“Asalkan awak terima itu cukup melegakan
hati saya. Lagipun, ibu saya dah berkenan dengan awak…” balas Thaqif melindungi
perasaannya yang sebenar.
Nuha menggigit bibir. Dia agak segan
untuk bicara soal peribadi begini namun apa yang boleh dikatakan? Lelaki yang
dipuja dalam diam sudah melamarnya, perlukah dia menolak?
“Hmmm…kalau
macam tu, cikgu jumpalah dengan mak dan ayah saya. Semua keputusan saya
serahkan pada mereka…” ucap Nuha perlahan.
Namun kata- kata itu didengari oleh
Thaqif. Dia tersenyum nipis.
“Baiklah, nanti saya bincang dengan ibu.
Awak pergilah buat kerja awak,” balas Thaqif.
Nuha mengangguk dan berdiri tanpa
memandang wajah Thaqif. Sungguh dia malu, apatah lagi saat terpandangkan Puan
Maryam yang tersenyum lebar. Betul ke apa yang aku putuskan ini?
“KAU
dah fikir masak- masak ke nak kahwin?” soal Puan Aminah ketika mereka tiga beranak
sedang menjamu selera.
Suapan Nuha terhenti. Dia memandang
wajah Puan Aminah yang serius sebelum pandangannya beralih pada wajah ayah
tirinya yang diam seribu bahasa.
“Dah fikir, mak. Nuha serahkan keputusan
pada tangan mak. Kalau mak terima pinangan Mak Cik Maryam, Nuha terima je…”
jawab Nuha perlahan.
“Kau tu muda lagi. Keputusan SPM pun tak
ambil lagi, yang gatal sangat nak kahwin ni kenapa?” tanya Puan Aminah agak
kasar. Dia merenung anak daranya itu dengan pandangan tajam.
Nuha terdiam. Dia tidak tahu apa yang
perlu dikatakan. Apa yang berlaku hanya dia yang rasa betapa beratnya untuk
menolak lamaran Cikgu Thaqif apabila teringatkan Dani dan Dania. Puan Maryam
juga turut menaruh harapan yang tinggi padanya.
“Mak cik harap sangat Nuha jadi menantu
mak cik dan jadi ibu pada cucu- cucu mak cik ni. Mak cik tahu Nuha masih muda
tapi mak cik yakin Qif takkan membebankan Nuha. Dia cuma perlukan seseorang
untuk temani dia menjaga si kembar ni. Tapi kalau Nuha tak setuju dengan
lamaran ni, mak cik tak paksa,” kata- kata Puan Maryam petang tadi terngiang
kembali di telinga Nuha membuatkan seleranya terbantut.
“Biar jelah dia kahwin dan nak kahwin
sangat. Senang juga hidup awak nanti dapat berbesankan cikgu sekolah. Mak dia
tokey kantin pulak tu. Apa awak nak kisahkan sangat? Tak payah sambung belajar
pun tak apa, belajar tinggi- tinggi tapi ke dapur jugak akhirnya,” Encik Idris
bersuara menyentakkan lamunan Nuha.
Nuha mengetap bibir. Dia tidak suka
mendengar kata- kata yang ayah tirinya lemparkan. Dia ingin berkahwin dengan
Cikgu Thaqif bukan kerana harta tapi kerana hatinya memang suka pada lelaki
itu.
“Ayah, Nuha bukan nak kahwin dengan
Cikgu Thaqif sebabkan duit. Nuha ikhlas…” jawab Nuha perlahan.
Encik Idris merenung tajam wajah anak
tirinya itu. Dia mencebikkan bibir.
“Ikhlas konon. Kau ingat kau boleh hidup
dengan ikhlas je,” balas Encik Idris.
“Kau boleh kahwin tapi duit kau kena
bagi macam biasa. Kau dah dapat anak orang kaya takkan duit pun kau tak boleh
bagi,” sambung Encik Idris lagi.
Nuha tersentak. Ya Allah, kenapa duit
juga yang diungkit oleh ayah tirinya ini? Lalu, Nuha memandang wajah ibunya
yang kelihatan bersahaja.
“Kalau itu yang ayah kau cakap, mak ikut
je. Lepas kahwin jangan tak hantar duit pulak, banyak benda lagi nak kena
bayar,” balas Puan Aminah lalu mengangkat pinggan menuju ke dapur.
Nuha mengeluh. Kenapa keluarganya tidak
seperti keluarga orang lain? Tidak pernah dia rasa secebis kasih sayang yang
diberikan oleh Puan Aminah dan Encik Idris. Mungkin aku harus pergi barulah
mereka sedar kasih sayang yang aku harapkan selama ini. Bisik hati Nuha pilu.
AIR
MATA yang menuruni lekuk pipi diseka dengan
jari-jemarinya. Hati Nuha benar-benar terganggu dengan kata-kata Puan Aminah
dan Encik Idris. Entah mengapa dia merasakan dirinya dipinggirkan oleh Puan
Aminah dan Encik Idris.
Bunyi pintu dikuak dari luar membuatkan
Nuha lekas-lekas menyapu sisa air mata. Dia bingkas duduk di birai katil.
“Boleh akak masuk?” soal Kak Nurin
sambil menjengukkan kepalanya di muka pintu.
Nuha hanya menganggukkan kepala.
Kak Nurin melangkah masuk dan
menghampiri Nuha yang sedang membelakanginya. Dia menyentuh lembut bahu adik
tirinya itu. Dia faham perasaan Nuha yang kecewa ketika ini tetapi apa yang
boleh dia lakukan?
“Nuha menangis?” soal Kak Nurin lembut.
Dia cuba mengintai wajah Nuha tetapi Nuha sedikit pun tidak berganjak. Dia
lebih rela memandang dinding daripada memandang wajah Kak Nurin yang lembut.
“Akak faham perasaan Nuha, tetapi Nuha
tak boleh terus bersedih macam ni. Kalau Nuha percaya keputusan Nuha ni betul,
Nuha kena buktikan pada mak dan ayah. Ayah dan mak cuma nak yang terbaik untuk
Nuha. Dia tak nak masa depan Nuha sia-sia macam tu aje,” nasihat Kak Nurin.
Nuha menyapu air mata yang masih
mengalir di pipi.
“Nuha tahu Nuha masih muda tapi Nuha takkan
lupakan tanggungjawab Nuha sebagai anak. Nuha cuma nak tolong Mak Cik Maryam
dan Cikgu Thaqif je. Nuha kasihankan budak-budak tu. Kalau mak dan ayah takut
Nuha tak berjaya lepas Nuha kahwin, itu tak betul. Nuha akan tetap sambung
belajar walaupun Nuha dah kahwin. Cikgu Thaqif pun setuju kalau Nuha sambung
belajar. Cikgu Thaqif tu baik, kak. Akak cubalah yakinkan mak dan ayah,” rayu
Nuha lagi.
Dia berpaling pada Kak Nurin. Tangan
kakaknya itu dipegang kemas.
Kak Nurin tersenyum manis. Dia membalas
genggaman Nuha. Walaupun dia tidak tinggal satu bumbung dengan Nuha tetapi dia
cukup kenal dengan adik bongsunya ini. Status sebagai adik-beradik tiri bukan
penghalang untuk Kak Nurin menyayangi Nuha seperti adiknya sendiri.
“Akak akan cuba tapi Nuha pun kena
sama-samalah yakinkan mak dengan ayah. Nuha tahu kan perkahwinan ni bukan
perkara yang main-main. Tambahan lagi Nuha tu muda lagi. Baru lepas habis SPM.
Nuha tak menyesal ke?” soal Kak Nurin lagi.
Nuha menundukkan wajah. Menyesal? Sejak
dia menerima lamaran daripada Cikgu Thaqif, Nuha langsung tidak memikirkan
perkara lain selain lelaki itu. Fikiran dan hatinya hanya dipenuhi dengan nama
Cikgu Thaqif. Sukar untuk dia memikirkan perkara lain.
“Nuha tak menyesal, kak. Lagipun Nuha
kasihankan Mak Cik Maryam, dia betul-betul harapkan Nuha jadi menantunya. Dani
dan Dania tu dah panggil Nuha mama, tak sampai hati pulak Nuha nak hampakan
mereka.” Balas Nuha.
“Habis tu perasaan Nuha pulak macam
mana? Nuha sanggup pikul tanggungjawab sebagai seorang ibu pada usia semuda
ni?” tambah Kak Nurin lagi.
Nuha menghela nafas panjang. Pandangan Kak
Nurin dibalas.
“Nuha sukakan Cikgu Thaqif, kak.
Walaupun apa pun yang terjadi, Nuha tetap akan cuba untuk pikul tanggungjawab
tu. Nuha tahu jadi isteri dan ibu bukan perkara yang mudah tapi Nuha percaya
Allah akan sentiasa membantu niat baik setiap hamba-hamba-Nya. Nuha tak
mengharapkan apa-apa pun daripada perkahwinan ni cuma Nuha harapkan Nuha dapat
kebahagiaan yang Nuha cari.” Balas Nuha.
“Dan Nuha rasa Cikgu Thaqif itu mampu berikan
Nuha kebahagiaan? Dia pernah berkahwin, Nuha rasa senang ke dia nak lupakan
arwah isterinya tu?”
Soalan Kak Nurin membuatkan Nuha
tersentak. Dia mengetap bibir. Dia tahu jalan untuk dia mendapatkan kebahagiaan
itu pasti sukar tetapi jika dia tidak berusaha dan mencuba, kebahagiaan itu
tidak akan datang bergolek.
“Nuha yakin dengan takdir Allah, kak.
Nuha juga yakin dengan jodoh yang Allah tetapkan untuk Nuha. Cikgu Thaqif pasti
akan dapat berikan Nuha kebahagiaan. Cukuplah cinta yang ada pada Nuha ini
untuk Nuha hidup bersama dengan Cikgu Thaqif.” Balas Nuha.
Kak Nurin menarik nafas panjang sebelum
menghembusnya perlahan. Semangat yang ditunjukkan oleh Nuha amat luar biasa.
Mungkin itu adalah kekuatan cinta adiknya untuk lelaki bernama Cikgu Thaqif. Dia
tidak mampu berkata apa-apa lagi kalau itu yang dimahukan oleh Nuha. Tugasnya
sebagai seorang kakak adalah untuk menyokong niat adiknya itu. Bukankah
perkahwinan itu satu perkara yang mulia?
“Kalau macam tu, akak tak dapat nak buat
apa-apalah. Nuha dah buat keputusan, akak akan terus menyokong adik akak ni
dari belakang. Akak doakan Nuha jumpa kebahagiaan yang Nuha cari selama ni.”
Ujar Kak Nurin dengan senyuman.
Dia mengelus lembut rambut Nuha sebelum
tubuh itu ditarik ke dalam pelukan.
Nuha turut tersenyum manis. Lega hatinya
dengan penerimaan Kak Nurin. Sekurang-kurangnya masih ada yang menyokong
keputusannya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.