Tetamu Rindu

Monday 17 December 2012

Digari Cinta (Bab 8)


SELESAI Solat Isyak, Uzair merebahkan badannya di tilam yang berhias indah. Maklumlah katil pengantin. Uzair tersenyum sendirian. Pengantin apa bendanya kalau dia dan Arisya tidak pernah bersefahaman. Dia rasa seperti hendak gila kerana terpaksa berkahwin dengan gadis seperti Arisya. Sekejap gadis itu berfikiran matang sekejap perangainya mengalahkan budak- budak. Sungguh, Uzair makin pening kepala melayan kerenah Arisya.

Uzair menggeliatkan badannya yang terasa lenguh. Seharian dia melayan tetamu yang tidak jemu mengucapkan selamat penganti baru sedangkan dalam hatinya bagaikan ingin pecah kerana tidak rela berkahwin dengan ‘mak cik’ yang banyak menyusahkan hidupnya itu.

Mata Uzair melilau memandang persekitaran bilik Arisya yang sederhana besar. Tampak cantik dan kemas manakala di satu sudut bilik itu terletak pelbagai jenis hadiah yang diberikan sanak saudara kepada mereka. Uzair tersenyum lagi. Dia gembira kerana hajat umi dan ayahnya tercapai untuk melihat dia berkahwin dan itu sudah cukup membahagiakan Uzair sebagai anak.

Sedang asyik Uzair mengelamun, tiba- tiba pintu bilik itu terkuak daripada luar. Kelihatan Arisya melangkah masuk dengan muka yang selamba. Dia meneliti penampilan Arisya yang manis berbaju kurung putih dipadankan dengan selendang yang turut berwarna putih. Uzair kembali menjatuhkan kepalanya di bantal. Dia berpura- pura memejamkan mata.

“ Awak dah solat?” tegur Arisya sambil berdiri mengadap cermin solek. Dia hanya melihat Uzair yang terbaring di katil melalui cermin.

“ Dah…” jawab Uzair pendek. Dia menekupkan mukanya dengan bantal peluk.

Arisya mencebik. Ingat aku nak tengok sangat muka dia tu? Kalau handsome tak apalah ni entah apa- apa. Tapi Salma cakap suami aku ni handsome, handsome ke? Entah. Tak ada masa aku nak tengok muka mamat sengal ni lama- lama. Buat sakit hati je. Hai, apakan daya, dia dah jadi suami aku yang sah. Redha jelah.

Selepas menanggalkan selendang yang dipakai, Arisya mencapai tuala dan baju untuk membersihkan diri. Dia dapat rasakan yang badannya melekit kerana sehari suntuk sibuk melayan tetamu tanpa sempat menukar pakaian. Sebelum melangkah ke bilik mandi, sempat lagi dia mengerling ke arah Uzair yang masih tidak berganjak daripada tempatnya. Arisya mencebik sekali lagi.

Beberapa minit kemudian, Arisya keluar daripada bilik mandi dengan siap berpakaian Cuma kepalanya tidak ditutupi tudung kerana rambutnya masih basah. Arisya mengelap rambutnya yang panjang. Dia kembali duduk di kerusi solek. Dia menyapu losyen di tangan dan lehernya sambil matanya memandang Uzair yang masih seperti tadi. Tidur ke lelaki itu?

“ Awak, awak tidur ke?” soal Arisya sambil menjenguk wajah Uzair yang ditutupi dengan bantal peluk.

Kedengaran dengusan terbit daripada mulut Uzair yang terasa terganggu dengan kehadiran Arisya yang berada dekat dengannya. Dia mengiring ke kanan.

“ Awak ni sengaja nak cari pasal dengan saya kan?” ujar Arisya geram. Dia mengetap bibir.

Lalu dia menarik bantal peluk yang berada dalam genggaman Uzair. Dia geram dengan sikap Uzair yang tidak mengendahkannya padahal banyak perkara yang perlu dia bincangkan dengan lelaki itu berkenaan dengan perkahwinan meraka.

Uzair bengang. Dia merengus lalu bangun dan menatap wajah Arisya yang terkebil- kebil dengan tindakan refleksnya. Pantang betul masa aku rehat ada orang ganggu. Entah apalah yang minah ni nak. Marah Uzair namun sebaik saja dia melihat wajah Arisya yang bersih, serta merta hatinya yang panas menjadi sejuk dengan sendirinya.

“ Ya, Puan Arisya Yusra ada apa- apa yang boleh saya bantu?” tanya Uzair geram. Dia duduk bersila berhadapan dengan Arisya.

Arisya mampu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Tak perlulah skema sangat mamat sengal oii. Bisik hati kecil Arisya.

“ Saya nak bincang dengan awak pasal perkahwinan kita ni…” ucap Arisya.

“ Awak nak bincang apa lagi? kita kan dah kahwin seperti apa yang awak nakkan. Apa masalahnya?” Uzair menyoal. Berlapis dahinya mendengar kata- kata yang terbit daripada mulut Arisya. Entah apa lagilah yang dia nak bincangkan. Sakit betul kepala aku dengan budak kecik ni. Bebel hati Uzair.

“ Lepas majlis perkahwinan ni nanti, kita nak tinggal mana?” soal Arisya.

“ Rumah sayalah, takkan nak tinggal kat rumah awak pulak, apa kata ibu dengan abah nanti,” balas Uzair bersahaja.

“ Rumah umi dengan ayah ke?” soal Arisya kembali.

“ Yelah, dah situ pun saya duduk. Yang awak banyak sangat tanya ni kenapa? Awak tak nak berpisah dengan keluarga awak ke? Alah Aris, rumah ibu dengan rumah umi bukannya jauh beribu batu, selang berapa rumah je pun. Tiap- tiap hari awak boleh balik rumah ibu. Itulah kalau tak bersedia nak berpisah dengan ibu, jangan kahwin,” bebel Uzair selamba. Dia tersenyum sinis.

Arisya menjeling. Tak puas hati dengan kata- kata Uzair yang seolah- oleh memerli dirinya. Sabarlah wahai hati, dapat suami yang kuat membebel macam dia ni. Jangan sampai aku pula yang membebel, sakit telinga dia nanti.

“ Awak ni memang suka sakitkan hati saya. Asyik nak perli saya je kenapa? Awak tak fikir ke kalau kita tinggal di rumah umi sampai bila- bila kita kena kongsi bilik yang sama. Saya rasa awak mesti bosan kan duduk sebilik dengan saya. Lagipun awak tak suka perempuan, takkan tiap- tiap hari awak nak mengadap muka saya. Saya pun kalau boleh tak mengadap muka awak 24 jam. Lama- lama saya boleh buta sebab selalu sangat tengok muka awak!” Ujar Arisya cukup bersahaja. Itupun menggunakan satu nafas sahaja. Biar mamat sengal tu sedar. Inilah Arisya la takkan mengalah dengan mudah!

Melongo Uzair memandang wajah Arisya yang tersenyum puas. Sakit juga mendengar kata- kata terakhir daripada Arisya namun apa yang dikatakan oleh Arisya ada benarnya juga. Takkan mereka ingin berkongsi bilik yang sama sedangkan mereka tidak bersefahaman.

“ Eh, awak ingat saya suka sangat tengok muka awak tu. Buat sakit hati saya je. Tapi tengoklah dulu, nanti saya fikirkan apa yang awak cakap tadi…” balas Uzair sambil mengetuk- ngetuk dagunya.

Arisya tersenyum senang. Tiba- tiba dia teringatkan sesuatu, kemudian dia bingkas bangun menuju ke meja solek dan mencapai sesuatu dan dibawa pada Uzair yang masih memikirkan sesuatu.

“ Nah, ini umi dan ayah berikan sebelum mereka balik tadi…” Arisya menghulurkan dua keping kertas pada Uzair. Lelaki itu kelihatan terkejut.

“ Apa ni?” Soalnya pelik dengan dahi yang berkerut.

“ Pakej bulan madu…awak buat lawak ke apa? Siapa yang nak pergi bulan madu ni?” Uzair masih lagi kebingungan. Dia memandang wajah Arisya dengan perasaan pelik.

Arisya menepuk dahi sambil menggelengkan kepala. Alahai, suami aku.

“ Awak tanya siapa yang nak pergi bulan madu? Masalahnya, awak sedar tak awak dah kahwin?” tanya Arisya geram. Dia mencekak pinggang.

“ Sedar tapi buat- buat tak sedar…”

“ Awak ni… itu hadiah daripada umi dan ayah. Nak tak nak kita kena pergi juga nanti apa kata umi dan ayah. Kalau ikutkan saya pun tak pergi bulan madu. Dengan awak pulak tu. Mimpi ngeri pula saya nanti…” ucap Arisya sambil tergelak.

Giliran Uzair pula yang menjeling. Dia mengetap bibir. Sabar- sabar. Dia mengeluh berat. Kenapalah setiap perkahwinan kena pergi bulan madu? Untuk masalah aku ni, bukan bulan madu tapi bulan hempedu!

“ Bila kena pergi?” soalnya tanpa mempedulikan kata- kata Arisya sebentar tadi.

“ Esok…”

“ Esok? Awak dah gila ke?” pintas Uzair dengan riak terkejut.

“ Bukan saya gila tapi dah tertera tarikh tu kat situ. Awak tanya umi dengan ayahlah.” Jawab Arisya selamba. Dengan selamba, dia menuju ke meja yang menempatkan hadiah- hadiah yang telah diberikan kepada mereka berdua. Dia biarkan Uzair yang masih termangu di situ. Lantak dialah nak terkejut ke apa. Kisah pula aku dengan dia tu.

“ Nasib baik tiga hari dua malam je. Kalau lama- lama bercuti boleh naik hantu saya nak melayan kerenah awak tu,” bebel Uzair masih lagi membaca pakej bulan madu yang diberikan oleh Haji Yusuf dan Hajah Khadijah.

Arisya mencebikkan bibir. Dia tidak membalas kata- kata Uzair sebaliknya dia mencapai sebiji komputer riba berjenama Apple yang dihadiahkan oleh abahnya seperti yang telah dijanjikan. Arisya tersenyum. Dia cukup teruja dengan komputer idamannya itu. Bolehlah aku tulis novel nanti. Hehehe…

“ Yang awak asyik duk senyum pegang laptop tu kenapa? dah sewel ek?” tempelak Uzair mematikan senyuman manis Arisya yang sedang asyik berangan nak tulis novel. Memang itu pun cita- cita sampingannya.

“ Eh- eh suka hati sayalah bukan saya pinjam mulut awak pun nak senyum. Boleh tak awak jangan nak menyibuk hal saya. Yang penting saya dah dapat apa yang saya nak,” ucap Arisya.

“ Apa yang awak nak?”

“ Laptop ni…kalau tak disebabkan laptop ni saya tak ingin tau kahwin dengan awak…” ujar Arisya selamba sambil mengusap- ngusap permukaan komputer riba yang berwarna putih itu.

Uzair tersentap. Dia kahwin dengan aku semata- mata sebabkan laptop? Sungguh tak bermoral perempuan ni.

“ Awak sanggup kahwin dengan orang yang awak tak kenal semata- mata untuk dapatkan laptop tu? perempuan jenis apa awak ni?” suara Uzair kedengaran kasar. Dia merenung tajam ke arah Arisya yang terkejut mendengar kata- katanya.

“ Apa maksud awak dengan ‘perempuan jenis apa’? Awak nak cakap yang saya ni perempuan murah kerana terima hadiah daripada abah sebagai ganti kahwin dengan awak gitu?” suara Arisya sudah mula meninggi. Bunga- bunga pertengkaran semakin menampakkan sinar.

“ Saya tak cakap apa- apa tapi baguslah kalau awak sedar…” ucap Uzair seolah- olah menyimbah minyak pada bara api.

Arisya terpempan. Dia cuba bersabar. Dadanya mula berombak. Dia cukup sakit hati melihat wajah Uzair yang menayang muka tak bersalah.

“ Apa yang saya lakukan tak ada kena mengena dengan awak dan saya tak menyesal dengan apa yang saya buat. Awak tak faham apa yang saya mahu dan awak mungkin tak dapat faham saya rasakan. Cakaplah apa yang awak nak cakap sebab saya tak peduli. Hanya saya dan ALLAH tahu apa yang saya rasa. Awak boleh cakap ikut sedap tekak awak, saya tak peduli.” Balas Arisya perlahan namun cukup tegas.

Dia berlalu selepas meletakkan komputer riba tersebut di atas meja. Dia menghilang di sebalik pintu dengan dada yang terasa sebak. Lelaki itu tidak pernah memahami apa yang dirasakan dan biarlah dia rahsiakan kenapa dengan begitu mudah dia menerima untuk berkahwin dengan Uzair kerana hanya Allah yang tahu.

Uzair terkedu. Dia pelik dengan perubahan sikap Arisya. Merajukkah gadis itu?

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.