Tetamu Rindu

Sunday 9 December 2012

Rasa Yang Tertinggal (Bab 7&8)


BAB 7

BUNYI bising di rumah Balqis malam itu langsung tidak mencuit hati Balqis yang remuk rendam. Setengah jam lagi dia akan di nikahkan dengan orang yang tidak dia kenali asal usulnya kecuali nama sahaja. Dia benci dengan perkahwinan ini sungguh kalau dia dapat lari pasti dia akan melompat dari tingkap rumahnya itu. tapi dia tidak mahu memalukan orang tuanya. Siaplah kau Zhariff kau akan menyesal kerana setuju nak kahwin dengan aku. Bisik hati Balqis dengan penuh rasa jahat.

“ Kak Qis dah sedia ke nak di ijabkabulkan?” tanya Hani yang datang menjenguk Balqis di dalam bilik pengantin. Hani Nampak cantik bergaya dengan baju kurung berwarna hijau dipadankan dengan tudung yang berwarna senada dengan warna baju. Wajahnya hanya disolek tipis. Cantik pulak adik aku ni, macam dia pula yang nak kahwin. Omel Balqis sendirian.

“ Sedia atau tidak bolos aja dinding itu.” seloroh Balqis meniru gaya Zizan dalam rancangan Bolos.

Hani ketawa pecah perut mendengar jenaka Balqis. Dalam keadaan begini pun Balqis masih boleh berlawak. Kalau perempuan lain pasti berdebar-debar menunggu untuk menjadi isteri orang tapi kakak kesayangan Hani ini lain daripada yang lain.

“ Kakak ni, pengantin lelaki dah sampai tu. Tak lama lagi jadi isteri oranglah kakak Hani ni. Lepas tu bolehlah Hani dapat anak buah kan kak.” Hani mengenyit matanya pada Balqis yang hanya mencebikkan bibir yang telah di solek oleh mak andam sebentar tadi.

Balqis mengempal penumbuknya dan ditunjukkan pada Hani yang berani mengusiknya.

“ Kau beranak je sendiri. Tak kuasa aku.” Ujar Balqis. Dia Nampak cantik dengan baju pengantin berwarna putih dipadankan dengan selendang yang berwarna putih bermanik- manik. Wajahnya Nampak berseri tapi hatinya berdongkol dengan pelbagai perasaan.

Hani tergelak mendengar kata- kata Balqis dengan selamba pipi tembam kakaknya dicubit geram membuatkan Balqis menjerit kesakitan.

“ Kakak ni cantiklah hari ini memang bertuah Abang Zhariff kahwin dengan akak pasti bahagia terasa.” Ujar Hani lagi menambah geram di hati Balqis namun di diamkan sahaja.

Tidak lama kemudian Mak Kiah datang menjengah memanggil Balqis kerana sudah sampai masanya untuk majlis akad nikah berlangsung. Dengan penuh debaran Balqis melangkah keluar diiringi dengan Hani dan Mak Kiah. Dup dap,dup dap..

 

RYAN kelihatan tenang duduk beralaskan bantal di ruang tamu rumah bakal mertuanya. Dia memandang sekeliling cuba mencari pengantin perempuan merangkap bakal isterinya nanti namun hampa kerana wajah pengantin perempuan ditutupi dengan kipas oleh pengapitnya. Pandangannya di tuju pada wanita yang duduk di sebelah pengantin perempuan. Macam pernah kenal je wanita itu tapi di mana ya? Ryan menggigit bibir cuba mengingat. Tetapi kehadiran Tok Kadi membantutkan niat Ryan untuk berfikir dengan panjang lebar. Jantung Ryan bagai berhenti berputar apabila terlihat wajah Tok Kadi yang sedang tersenyum manis seolah menyatakan yang beberapa minit lagi dia akan  dinikahkan dengan wanita yang tidak diketahui asal usulnya. Sungguh dia tidak rela.

“ Kamu sudah bersedia?” tanya Tok Kadi dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Seronok nampak Tok Kadi ni, aku yang nervous macam nak mati je dia tak tahu. Tak mengapa semalam kan aku dah practice mesti boleh lepas. Ryan cuba menyedapkan hatinya yang berdebar tak tentu arah.

Ryan hanya mengangguk. Tok Kadi memandang ke sekeliling, meminta persetujuan tetamu yang hadir untuk memulakan upacara akad nikah. Ternyata semua hadirin termasuk wali pihak perempuan setuju untuk memulakan akad nikah.

Tok Kadi menarik nafas dalam sebelum melafazkan ijab.

“ Tuan Ryan Zhariff bin Tuan Razlan aku nikahkah engkau dengan Ummu Balqis binti Ismail dengan mas kahwin RM1000, tunai.”

“ Aku terima nikahnya Ummu Balqis binti Ismail dengan mas kahwin RM1000, tunai.” Dengan sekali lafaz Ryan menyempurnakan ijab dan kabul namun nama penuh pengantin perempuan yang dikabulkan tadi sama dengan nama teman baiknya sendiri. Tanda tanya mula mengusai minda Ryan. Alah bukan Balqis je yang ada nama macam tu. Bisik hatinya lagi.

Keadaan di dalam rumah itu mula riuh rendah dengan suara tetamu yang hadir. Ternyata Puan Rahina gembira kerana anak bongsunya akhirnya berkahwin dan itu sudah cukup membuat Puan Rahina senang hati apatah lagi melihat anaknya yang segak berbaju melayu, bersongkok  dan bersamping ala- ala pahlawan melayu gitu.

Selesai upacara akad nikah dan doa, Ryan dibawa untuk berjumpa dengan wanita yang telah sah menjadi isterinya tadi. Hatinya masih belum berhenti berdetak. Semakin bertambah kencang, maklumlah kali pertama bersua muka. Dia tidak tahu sama ada isterinya cantik atau buruk. Entah- entah macam dinosaur zaman purba tak pun macam zombi kampung pisang. Ryan menelan air liur tak dapat untuk di bayangkan. Jeng! Jeng!

 

BALQIS gelisah di tempat duduk. Dia telah selamat diijab kabulkan sebentar tadi. Hampir menitis air matanya kerana terlampau sedih kerana gelaran anak dara yang disandangnya telah berubah kepada gelaran isteri yang belum tentu dapat digalasnya. Sebak terasa apabila mendengar lelaki yang telah menjadi suaminya melafazkan dengan sekali lafaz sahaja. Tapi suara lelaki itu macam pernah di dengar namun dia terlupa. Balqis cuba mengintai wajah suaminya namun dia tidak dapat melihat dengan jelas kerana lelaki yang memakai baju melayu satin berwarna putih itu duduk membelakangkannya.

“ Tahniah akak, akak dah jadi isteri orang.” Ujar Hani yang duduk di sebelahnya selaku pengapit yang menutup wajahnya dengan kipas yang berukiran cantik. Naik rimas Balqis dibuatnya.

Bertalu- talu Balqis di hadiahkan dengan ciuman di pipi oleh sanak saudara yang datang membuatkan Balqis merasakan dirinya di sayangi. Namun dia terkilan di saat hari yang bahagia walaupun pada dasarnya tidak bahagia sahabat baiknya tidak dapat hadir kerana dia turut dinikahkan pada malam ini.

“ Qis, pengantin lelaki dah sampai.” Ucap Mak Kiah dengan lembut. Dia gembira akhirnya anak gadisnya bertemu jodoh juga. Dia tersenyum dengan penuh bahagia.

Balqis semakin gementar sekali dalam seumur hidupnya dia menghadapi gementar tahap dewa. Sumpah lepas ini dia takkan berkahwin lagi. Tapi bukankah kahwin itu sekali dalam seumur hidup?

Upacara membatalkan air sembahyang akan berlangsung tidak lama lagi, pengantin lelaki semakin hampir tapi Balqis semakin menundukkan wajah sehingga mahu mencecah lantai. Dadanya di landa getaran yang hebat membuatkan dia seperti mahu terkucil. Ditelan air liur beberapa kali namun dirasakan perit dikerongkong. Aduh macam mana ni?

“ Assalamualaikum.” Bunyi suara garau itu menyentakkan Balqis dari lamunan. Macam pernah aku dengar suara ni tapi di mana ya? Soalnya dalam hati. dengan bibir yang terketar-ketar dia menjawab salam lantas mendongak untuk memandang wajah lelaki yang telah berani memperisterikannya itu dan...

“ Kau?!!”

“Kau?!!”

 Suara mereka serentak. Lantas tanpa mempedulikan orang ramai Balqis berdiri kerana terkejut melihat jasad lelaki yang berada di hadapannya sekarang. Kepalanya terasa berdenyut-denyut memikirkan kemungkinan yang bermain di fikirannya sekarang.

“ Qis, macam mana kau boleh ada kat sini? Dan kenapa kau pakai cantik- cantik ni?” tanya Ryan seperti orang yang kebingungan. Orang yang berada di situ pelik melihat ‘perbincangan’ pengantin lelaki dan pengatin perempuan yang dilihatnya seperti orang yang kehilangan arah.

Balqis mundar- mandir sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal apabila mendengar pertanyaan daripada Ryan. Dia benar- benar bingung. Terasa ingin dihantuk kepalanya di dinding. Someone help me!. Jerit hatinya.

“ Aku rasa kau salah rumah Ryan, yang sepatutnya datang kat aku, suami aku Zhariff bukan kau.” Ujar Balqis membela diri.

Bunga-bunga pertengkaran mula kelihatan pada mereka. Ryan seakan tidak berpuas hati apabila wajah isteri yang dinikah adalah Balqis bukan wanita yang dicakapkan oleh uminya. Manakala Balqis juga dalam keadaan yang sama apabila Zhariff bertukar dengan Ryan. Apa sudah jadi?

“ Kau jangan nak salahkan aku!”

“ Dan kau juga jangan nak salahkan aku!” masing-masing mula meninggikan suara membuatkan suasana menjadi kecoh. Kebisuan Mak Kiah dan Puan Rahina menjadi tanda tanya kepada pengantin baharu yang sedang bertegang urat itu.

“ Umi!” panggil Ryan.

“ Mak!” Balqis juga tidak ketinggalan. Dia perlukan penjelasan daripada orang tua mereka.

Pandangan mereka dihalakan pada Mak Kiah dan Puan Rahina yang berdiri sebelah menyebelah seakan tahu diri mereka akan menjadi tumpuan oleh Balqis dan Ryan.

Puan Rahina dan Mak Kiah hanya mampu tersengih sesama sendiri sehingga mengundang rasa curiga di hati Balqis dan Ryan.

“ Lebih baik mak cakap siapa suami Qis sebelum Qis mengamuk kat sini.” Ugut Balqis dengan muka yang diseriuskan. Ternyata ugutan Balqis mengundang rasa takut pada Mak Kiah.

“ Kalau Qis nak tahu, Zhariff suami Qis itu adalah Ryan lelaki yang berdiri di hadapan Qis sekarang. Nama penuhnya adalah Tuan Ryan Zhariff.” Ujar Mak Kiah.

“ Betul tu Qis, dan isteri kamu Ryan adalah Ummu atau nama penuhnya Ummu Balqis. Perempuan yang kamu kenalkan pada umi tempoh hari.”

Ternyata penerangan daripada ke dua belah pihak amat mengejutkan Balqis dan Ryan. Kepala Ryan terasa seperti berpusing- pusing begitu juga Balqis yang tidak boleh menerima kejutan yang maha hebat bagi dirinya.

“ Apa?!” jerit mereka serentak. Tanpa menunggu lama dunia Balqis dan Ryan menjadi kelam dan gelap akhirnya mereka jatuh ke lantai. Pengsan!

 

SUASANA bilik pengantin di rumah Balqis sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Sama ada Balqis mahupun Ryan, masing- masing mendiamkan diri kerana masih terkejut dengan perkara yang mereka alami hari ini. Tidak terlintas langsung di fikiran bahawa mereka di ijabkabulkan tanpa pengetahuan mereka sendiri. Sungguh bijak ibu bapa mereka mengatur strategi untuk mengenakan mereka berdua.

Balqis mengeluh. Ryan termenung.

“ Habis tu macam mana sekarang?” kata mereka hampir serentak.

Ryan menjatuhkan kepalanya yang tadi tegak merenung bintang di luar jendela manakala Balqis hanya termenung di birai katil mengenangkan nasibnya yang terperangkap dalam dunia ciptaan dia dan Ryan.

“ Kau cakap umi kau tak suka kat aku tapi kenapa dia kahwinkan kita juga?” soal Balqis kebingungan. Dia berpaling ke arah Ryan yang sedang menyandarkan badan di belakang jendela. Kelihatan lelaki itu juga kebingungan kerana jelas terpampan di raut wajahnya yang kusut.

Ryan mengeluh lagi. “ Aku tak tahu Qis. Sumpah umi memang cakap yang dia nak pinangkan untuk aku bukan kau tapi Ummu aku terlupa yang nama kau Ummu Balqis. Patutlah sewaktu aku akad nikah tadi nama pengantin perempuan sama dengan nama kau. Aku ingatkan itu kebetulan aje tapi rupa- rupanya memang betul kaulah orangnya.” Terang Ryan cuba merungkai kemusykilan yang melanda di benak teman baiknya itu.

Perlahan dia menghampiri Balqis yang duduk di birai katil wajah gadis itu menunjukkan yang dia juga terkejut dengan kejadian itu. sempat juga Ryan merenung raut wajah Balqis yang kelihatan manis pada malam itu. Tudung yang di pakai gadis itu masih lekat di kepalanya.

“ Boleh aku duduk sini?” pinta Ryan sopan.

Balqis hanya mengangguk membiarkan Ryan melabuhkan punggung di atas tilam yang tidak jauh darinya.

“ Sekarang ni bagaimana? Mesti umi kau dan mak aku fikir yang kita berkahwin sebab suka sama suka tapi kenyataannya bukan macam itu. Aku rasa baik kita terus terang pada mereka perkara yang sebenar dan selepas itu kau…”

“ Lepaskan kau? Begitu maksud kau?” potong Ryan. Dia menarik nafas berat sebelum menyambung.

“ Kalau perkara ini semudah yang kau cakapkan aku rela lepaskan kau tapi ini menyangkut soal maruah keluarga kita masing- masing. Cuba kau fikir ada ke pasangan yang bernikah hari ini, esok bercerai dan yang dapat aibnya kelurga kita Qis. Orang akan mengata yang buruk- buruk apatah lagi kau perempuan pasti teruk kau kena. Aku juga tak nak mempersendakan agama dengan mempermainkan soal perkahwinan ni. Kau faham kan maksud aku?” ujar Ryan cuba membuat Balqis faham yang soal perkahwinan tidak boleh di buat main.

“ Aku faham Ryan tapi aku tak nak kita terus terjebak dalam ikatan yang tak menjanjikan apa- apa ni.”

“ Maksud kau?”

“ Yelah kau dan aku tak mencintai antara satu sama lain macam mana kita nak hidup bersama kalau antara kita tak ada perasaan itu. aku hanya anggap kau sebagai kawan baik aku je tak lebih dari itu dan takkan boleh lebih dari seorang sahabat.” luah Balqis.

Dia meraup wajahnya yang keletihan. Sepatutnya hari ini dialah orang yang paling gembira kerana telah menamatkan zaman bujang namun semuanya berlaku sebaliknya. Dia rasa tertekan kerana pernikahan itu. tambahan lagi suaminya sekarang adalah Ryan sahabat baiknya sendiri dan dia langsung tiada perasaan cinta untuk lelaki itu. tidak sama sekali.

Ryan tersenyum hambar. Baharulah dia tahu yang Balqis tidak mempunyai apa- apa perasaan terhadapnya walaupun mereka telah berkawan lama sedangkan perasaannya terhadap Balqis hanya ALLAH yang tahu.

“ Aku pun tak cintakan kau tapi buat sementara waktu ini kita teruskan aje perkahwinan ini sampai salah seorang daripada kita bertemu dengan cinta hati masing- masing. Okey?” cadang Ryan. Namun Balqis masih lagi gelisah. Lama anak matanya mencari kebenaran di sebalik mata hazel milik Ryan namun apabila lelaki itu membalas renungannya dengan pantas Balqis mengalih pandangan ke arah lain.

“ Tapi kalau tak jumpa juga bagaimana?” soal Balqis inginkan kepastian.

Ryan hanya ketawa mendengar soalan Balqis yang kedengaran risau. “ Kenapa kau ketawa?” marah Balqis geram.

“ Aku kan handsome mesti ramai awek- awek yang suka kat aku tak macam kau dari dahulu sampai sekarang  tak ada orang nak. Tapi misalan aku dah jumpa cinta sejati aku nanti dan kau tetap jugak tak laku- laku, aku tak kisah kalau kau nak jadi kekasih gelap aku.” Usik Ryan sambil ketawa geli hati melihat wajah Balqis yang merona merah. Marah barangkali.

Balqis mengetap bibir. Geram kerana diperlekehkan oleh Ryan. Pantas tangannya mencapai bantal lantas lengan lelaki itu dipukul berkali- kali sehingga membuatkan Ryan menjerit kesakitan.

“ Tak guna kau Ryan, kau kutuk aku eh? Aku akan buktikan pada kau yang aku akan jumpa cinta sejati aku dan pada masa itu kalau kau merayu-rayu kat aku mintak balik dengan kau, aku takkan layan huh!” ujar Balqis berkobar- kobar sambil memeluk tubuh.

Ryan mencapai bantal yang digunakan Balqis untuk memukulnya tadi dan dengan pantas dia menekup wajah temannya dengan bantal tersebut. Geram kerana sikap gadis itu yang tak mahu mengalah.  “ Kau jangan nak perasan. Aku ni yang lelaki pun tak nak dengan kau apatah lagi lelaki lain.”

Balqis rimas dengan bantal yang ditekup ke mukanya lantas dia merentap bantal tersebut namun dia tersalah taktik apabila dia turut merentap tangan kasar milik Ryan menyebabkan lelaki itu terdorong ke arahnya. Tubuh mereka bersentuhan menyebabkan mereka terkesima seperti terkena kejutan elektrik. Balqis dan Ryan tergamam dengan situasi itu lama pandangan mereka bertaut. Ryan menelan air liur sedangkan Balqis gelisah. Namun keadaan itu tidak dibiarkan lama oleh Balqis, sepantas kilat juga dia menolak tubuh sasa Ryan menyebabkan lelaki itu terjatuh daripada katil. Balqis terkejut dengan tindakan rifleksnya tetapi hanya ketawa yang meletus dari bibir mungilnya.

“ Padam muka kau. Itulah kutuk aku lagi kan dah dapat hadiah. Kalau kau tak hingin kat aku, aku sepuluh kali tak hingin kat kau tau.” Balas Balqis sambil tersenyum puas kerana dapat mengenakan Ryan. Sekali sekala dapat kenakan orang best juga tambahan orang yang macam Ryan tidak boleh diberi muka sangat nanti dia juga yang kena.

Bersusah payah Ryan bangun. Dia menggosok pinggangnya yang sakit akibat terhentak di lantai satu jelingan tidak puas hati dilemparkan pada Balqis yang sedang enak ketawa bagaikan Pontianak tak cukup darah. Ngeri betul pada pendengaran Ryan. Nasibnyalah berkahwin dengan perempuan yang gelak macam Pontianak.

“ Jahatlah kau Qis. Ni kes mendera namanya nanti aku buat aduan kat Aduan Rakyat baharu kau tahu. Tak sampai setahun aku kahwin dengan kau habis patah riuk kau kerjakan aku.” Keluh Ryan sambil dia menayang muka sedih.

Balqis hanya ketawa geli hati.

“ Padam muka kau, aku suka tengok kau patah riuk ni bolehlah aku hantar kau kat rumah orang- orang kurang upaya mana tahu kan jodoh kau ada di sana.” Ujar Balqis dengan ketawanya yang masih bersisa.

Ryan merengus marah kerana dipermainkan oleh Balqis. Tak apa hari ini hari sabtu, hari kau kenakan aku tengoklah esok-esok aku kenakan kau kaw-kaw punya sampai kau bertaubat. Hahahahaha, bisik hati kecil Ryan.

“ Dahlah aku nak tidur penat gila ni. Tepilah sikit.” Ryan menolak kaki Balqis yang berada di atas tilam. Dia merangkak naik ke atas katil dan dengan selamba badak air Ryan membaringkan badannya di sebelah Balqis membuatkan Balqis terlopong melihat aksi berani mati Ryan tidur di sebelahnya. Gila ke dia ni nak tidur sekatil dengan aku.

“ Eh Ryan tolong sikit ye katil ini katil aku kau pergilah tidur kat bawah ni tempat aku.” Protes Balqis geram.

Ryan tidak membalas. Matanya dipejam rapat, dia berpura- pura tidur dan tidak mendengar kata-kata Balqis. Dia benar- benar penat dan hanya satu dalam fikirannya adalah tidur. Dia tahu Balqis pasti akan mengamuk sakan namun dia tidak peduli dengan semua itu kerana dia tahu Balqis akan senyap jika dia senyap.  kedingingan malam membuatkan Ryan semakin malas melayan kerenah Balqis yang jelas sedang membebel tidak berpuas hati. segala butir bicara gadis itu tidak melekat di kepalanya yang sudah pening- pening lalat.

“ Ryan kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Pergilah tidur kat bawah takkan aku nak tidur sekatil dengan kau pula!” jerit Balqis namun suaranya masih dikawal takut kedengaran oleh maknya.Balqis menggoncang tubuh Ryan yang kaku terbaring di sebelahnya dan hanya kedengaran nafas lelaki itu yang turun naik. La tidur rupa- rupanya. Desis Balqis. Dia mengeluh lagi, takkan aku nak tidur sebelah dia pula seganlah. Nampaknya kenalah aku tidur kat atas lantai. Hmm..lantai here I come..

Balqis mengambil sebijik bantal dan comforter di  hamparkan di atas lantai. Tubuh kecilnya dibaringkan di atas comforter tersebut dan tidak sampai beberapa saat dia melelapkan mata.

BAB 8

TIDUR nyenyak Balqis diganggu dengan suara Ryan yang menjerit mengejutnya bangun dari tidur. Balqis masih lagi bermalas- malasan, matanya masih terpejam rapat dan sengaja dia menggolek- golekkan badannya. Hmm, empuk sungguh lantai rumah aku ni macam tilam Vono la pulak. Detik hati kecilnya. Balqis tersenyum sendirian sambil matanya masih terpejam.

‘Tilam?’ Balqis membuka matanya luas. Sungguh dia terkejut kerana dia sedang berbaring di atas tilam sambil tubuhnya di selimuti sampai ke paras dada. Dia meraba kepalanya yang tidak bertudung hanya ada anak telekung yang masih melekat di kepalanya. Bukankah semalam dia tertidur di lantai dengan kepalanya masih ditutupi tudung? Siapa yang berani menceroboh hak privasi dia dan siapa yang mengangkat dia hingga ke atas katil ini? Balqis menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serentak dia terdengar suara lelaki di dalam bilik air.

‘ Pasti Ryan punya kerja!’ jerit hatinya. Balqis bingkas dari pembaringan dan berdiri sambil bercekak pinggang menunggu ketibaan Ryan keluar daripada bilik air. Dadanya berombak kencang kerana menahan rasa marah yang memuncak, Ryan ni dah melampau mentang- mentanglah aku dah jadi isteri dia sekarang senang- senang je dia nak ceroboh yang bukan hak dia. Nak kena mamat ni dengan aku. Siaplah kau kalau keluar dari bilik air nanti. Rungut Balqis sambil menyising lengan baju kurungnya.

Pintu bilik air terkuak. Terjengul wajah kacak Ryan di hadapan Balqis yang sedang mundar- mandir sambil menggigit jari. Entah apa yang tak kena minah ni. Desis Ryan. Dengan selamba Ryan mengelap rambutnya yang basah tanpa mempedulikan Balqis yang kelihatan tidak tenteram.

“Kau ke yang angkat aku dan letak aku atas tilam ni semalam?” soal Balqis resah.

What?”

“ Dan kau ke yang tanggalkan tudung aku ni?”soal Balqis lagi tanpa menunggu jawapan dari Ryan.

Ryan menayang muka selamba. Dia tergelak dalam hati. memang dia yang mengangkat gadis itu dan dibaringkan di atas katil. Dia lakukan semua itu kerana kesian melihat Balqis yang meringkuk kesejukan di atas lantai dan dia tiada apa- apa niat yang tidak elok pada kawannya itu. Selain itu, memang Ryan yang menanggalkan kain tudung yang dipakai oleh Balqis semalam. Kesian dia melihat wajah keletihan gadis itu sekurang- kurangnya Balqis dapat tidur dengan selesa.

Walaupun jauh di dalam hati Ryan dia rasa tidak selesa tidur satu bilik dengan Balqis bukan kerana dia benci pada gadis itu tapi dia bimbang dia tidak dapat menahan diri. Melihat wajah sebenar Balqis sudah cukup membuat imannya yang selama ini kuat sedikit bergoyang maklumlah dia lelaki dan Balqis pula perempuan juga merupakan isterinya yang sah. Bersusah payah dia menepis bisikan- bisikan yang jahat saat dia menatap wajah temannya sewaktu dia terjaga semalam. Oleh kerana rasa hormat dia pada Balqis masih menebal dia berjaya menepis segala hasutan itu.

“ Ryan, kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni? Termenung pula. Nak kena karate ke?” bunyi suara Balqis mengejutkan Ryan dari lamunan. Hilang semua peristiwa semalam yang hanya diketahui oleh Ryan sahaja, biarlah rahsia.

Ryan memusingkan kepala. Wajah Balqis ditatap. Tampak kusut.

“ Okey aku dengar. Kalau betul aku yang angkat kau dan aku yang tanggalkan tudung kau,kenapa? Kau nak marah? Marahlah. Ada aku kisah.”ujar Ryan selamba tanpa perasaan bersalah.

Balqis mengetap bibir tanda geram. Kalau ikutkan hati mahu sahaja kepala Ryan diketuk dengan penyapu namun dia masih menghormati lelaki itu tambahan lagi Ryan sudah menjadi suaminya yang sah.

“ Aku tak suka kau buat macam itu.  Aku tak suka kau ceroboh hak privasi aku. Kau fahamkan maksud aku?”

“ Aku tak ceroboh. Masalah sekarang ini kau dah jadi isteri aku yang sah walau apa pun penerimaan kita untuk pernikahan ini, secara hukumnya aurat antara kita dah tak terbatas. Aku rasa kau tahu pasal ini kan? Waktu sekolah dulu untuk subjek agama kaulah yang paling tinggi takkan untuk masalah ini pun kau dah tak ingat.” Perli Ryan. Ternyata wajah Balqis berubah merah. Malu kerana ditegur sebegitu oleh Ryan.

“ Aku tahu tapi…”

“ Dahlah Qis, kita bincang perkara ini lain kali jelah. Sekarang ni kau pergi mandi dan kita sembahyang subuh berjemaah. Tengah hari nanti kita nak balik KL pula.” Potong Ryan membuatkan Balqis terdiam.

Tanpa menunggu lama Balqis menapak ke bilik air meninggalkan Ryan yang sedang membentangkan sejadah untuk mereka solat subuh nanti. Jauh di dalam hati Balqis tersentuh juga dengan sikap Ryan yang ambil berat dalam soal ibadat persis seorang lelaki yang mithali namun segala perasaan itu di buang jauh dari lubuk hati Balqis. Dia bimbang jika perasaan itu menjerat dirinya sendiri.

 

“MAK harap kau dapat jaga anak mak ini dengan baik seperti mana mak jaga dia sampai dia besar. Mak percaya pada kau Ryan.” Ujar Mak Kiah sewaktu mereka sekeluarga bertandang ke rumah Puan Rahina untuk majlis menyambut menantu  bagi meraikan perkahwinan di antara Ryan dan juga Balqis. Setelah hampir separuh hari keluarga dan sanak saudara Mak Kiah bertandang, kini tibalah masa untuk dia menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga Balqis kepada Ryan.

Ryan tersenyum manis. Wajah si isteri yang sedang tertunduk di tatap secara diam dan apabila gadis itu mengangkat muka, sepantas kilat Ryan melarikan pandangannya ke arah Mak Kiah.

“ Mak Kiah eh mak jangan risau selagi Qis  berada dengan Ryan, Qis akan selamat lagipun Ryan dan Qis dah lama kawan kami boleh jaga di antara satu sama lain. Betul tak Qis?” Ryan mengenyitkan mata kepada Balqis yang hanya mencebikkan bibir. Eleh depan mak aku kau cakaplah macam- macam tapi belakang mak hampeh. Rungut Balqis di dalam hati.

Namun Balqis tersentak apabila tangan Ryan menjalar mengenggam telapak tangannya. Sepantas kilat wajah Ryan yang sedang tersenyum kepada Mak Kiah di pandang. Lelaki itu berlagak selamba seolah- olah tiada apa yang berlaku sedangkan Balqis bagaikan ingin tercabut jantung bila di sentuh sebegitu. Selama ini tiada satu lelaki pun yang berani memperlakukan dia sebegitu dan hari ini Ryan sudah memecahkan rekod itu.

“ Ryan apa ni pegang- pegang?” bisik Balqis cuba mengawal suara agar tidak kedengaran oleh tetamu yang hadir. Ryan berpaling memandang wajah isterinya yang kelihatan sudah merah kemudian pandangannya jatuh pada tangannya yang selesa mengenggam tangan Balqis. Dia tersenyum.

“ Kenapa? Salah ke?” soalnya pula.

“ Aku tak suka la. Orang tengok, malu.” Jawab Balqis cuba melepaskan genggaman tangan Ryan namun Ryan tetap tidak berganjak.

“ Cik Ummu Balqis, awak tahu tak yang awak tu dah nikah dengan saya? Dan majlis ni majlis kita, kita kena tunjuk mesra sikit depan mak dan ayah kita faham? Lagipun setakat pegang tangan kau ni tak dosa pun lah.” Ujar Ryan selamba.

“ Aku tahulah tak dosa tapi..”

“ Ssshh…kau ni banyak cakaplah.” Pintas Ryan membuatkan percakapan Balqis terhenti. Dia menarik muka tidak puas hati, Ryan selalu begitu memintas percakapannya. Akhirnya, Balqis mendiamkan diri dan hanya mengikut rentak Ryan kerana tiada guna dia berbahas dengan lelaki  yang tidak pernah mahu mengaku kalah bila berdebat.

Tindakan Balqis mendiamkan diri membuatkan Ryan tersenyum sendirian. ‘ tahu pun diam,sejak dari tadi asyik duk membebel je.’ Rungut Ryan dalam hati.

“ Kau dahaga tak? Aku ambilkan air eh.” Balqis cuba mencari alasan untuk menjauhkan diri daripada Ryan, rasa tidak selesa menguasai diri apabila berada di sisi lelaki itu dengan pantas Balqis bingkas dari tempat duduknya namun Ryan lebih pantas menyambar pergelangan tangan isterinya membuatkan langkah Balqis terhenti.

‘ Hish, apa lagi la mamat seorang ni nak?’ bebel Balqis di dalam hati.

“ Aku tak nak air but boleh tak kalau kau duduk kat tepi aku ni diam- diam, ni asyik nak merayap je kerja kau. Macam kau pula pelayan kenduri kahwin ni.” Bebel Ryan. Tangan Balqis di lepaskan.

Balqis meniru gaya Ryan membebel. Macam mak nenek.

“ Kau ni mengalahkan aku je membebelnya kalah nenek moyang aku kalau kau dah start membebel. Kalaulah ada pertandingan membebel, aku sarankan kau masuk dan aku gerenti kau akan juara.” Sindir Balqis sambil ketawa lepas.

Ryan sungguh tidak berpuas hati kalau diikutkan hatinya yang panas mahu sahaja kepala Balqis diketuk dengan senduk tapi nasib baik akalnya masih waras. Bibirnya dicebikkan kepada Balqis.

“ Boleh kenapa kau tak anjurkan je?” balas Ryan tidak mahu mengalah.

Namun, belum sempat Balqis menjawab, kedengaran suara memberi salam. Mereka berdua menoleh. Alangkah terkejutnya Balqis apabila melihat sebatang tubuh berdiri di hadapannya itu. seakan mahu gugur jantungnya bila mata mereka bertentangan. Daniel! Apa yang dia buat di sini? Hati Balqis penuh tanda tanya.

“ Apa khabar Dani?” soal Ryan sambil memeluk tubuh Daniel.

Daniel yang seakan terjaga dari mimpi terus membalas pelukan Ryan. Tapi matanya tidak lepas daripada memandang wajah Balqis yang kelihatan tercengang. Nampak sangat dahi gadis itu berlapis- lapis macam kek lapis Sarawak bila dia dan Ryan saling mengenali antara satu sama lain.

You all kenal ke?” Tanya Balqis ingin menghuraikan kekusutan.

Ryan berpaling pada isterinya kemudian dia memandang Daniel yang tidak lepas merenung Balqis. Lain macamlah pula renungan itu. Ryan mula mengesyaki sesuatu.

“ Patutnya aku yang tanya kau, kau kenal ke sepupu aku ni? Nampak gaya macam kenal je.”

Sepupu? Balqis bagaikan tidak percaya Daniel adalah sepupu kepada teman baiknya sendiri. Selama ini dia tidak pernah tahu Ryan ada sepupu bernama Daniel dan Daniel tidak pernah menceritakan apa- apa yang berkaitan Ryan. Pening- pening!

“ Ha’ah Qis, saya dan Ryan sepupu. Saya tak sangka kawan baik yang selalu dia ceritakan pada saya selama ini adalah awak. Saya ingat nama saja sama rupa- rupanya orang pun sama. Tak sangka Ryan, kita berkongsi kawan baik yang sama.” Balas Daniel sambil tersenyum.

Ryan tersenyum. Kongsi kawan tak  apa jangan nak berkongsi isteri. Guman Ryan sendirian. Ryan masih boleh mempamerkan sikap selamba sedangkan Balqis bagaikan mahu pecah dada akibat terkejut dengan berita terkini ini. Daniel adalah sepupu Ryan dan Ryan adalah suaminya sekarang ini. Nampak gayanya tiada peluanglah dia ingin menjadi teman hidup Daniel memandangkan memang dia ada menyimpan perasaan pada Daniel dalam diam sejak di university lagi tapi kini semuanya hancur musnah akibat rancangan mereka yang telah memerangkap mereka sendiri.

 

 

1 comment:

  1. assalam akak... ada bakat jadi penulis.. tapi ada teguran sikit dari saya.. dah banyak idea penulis sebijik macam akak.. ubahlah cara gaduh2 kahwin x rela pastu tidur kat lantai esok pagi tengok2 ada atas katil.. boring dengan adegan sama! kau cilop idea aku aku copy idea kau..-_-

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.