Tetamu Rindu

Friday 14 December 2012

R.D.S (Bab 27&28)


BAB 27

“ SELAMAT pagi Isya, awalnya kau bangun hari ini? Biasanya aku dah pergi kerja belum tentu kau bangun lagi. hari ini kau syif pagi ke malam?” Sapa Mardiyah bila melihat Quraisya yang sedang duduk di meja makan sambil mengunyah roti.

“ Hari ini aku kerja malam. Saja je aku bangun awal sikit sebab nak jumpa kau maklumlah setiap kali aku balik kerja atau pergi kerja mesti aku tak jumpa kau. Aku ada hal penting nak cakap dengan kau.”

Mardiyah tergelak. Dia cukup arif dengan kerja Quraisya sebagai jururawat yang sibuk dan disebabkan itulah Mardiyah jarang bertemu dengan Quraisya di rumah. Kadang- kadang mereka hanya bertemu jika Quraisya bercuti. Begitulah rutin harian hidup mereka yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

“ Apa dia? Aku tak sabar nak dengar ni. Yusuf ajak kau kahwin ek?” gurau Mardiyah.

“ Eh, tak adalah sampai ke situ. Sepupu kau tu lembab sikitlah dalam soal perasaan ni. Anyway aku tak nak cakap pasal Yusuf tapi aku nak bagi tahu kau yang aku kena posting ke Kuantan minggu depan.” Ucap Quraisya dengan perlahan.

Mardiyah terkejut. Mati terus senyuman manisnya.

“ Kau bergurau kan?”

“ Tak Diya. I’m damn serius. Aku pun baharu tahu semalam sebab tu aku nak bagi tahu kau ni. Yusuf dah tahu.” Suara Quraisya kedengaran sayu. Tak sanggup rasanya dia hendak meninggalkan Mardiyah keseorangan di rumah ini.

So kau nak tinggalkan aku sorang kat sini? Kau tak kesiankan aku ke?” tanya Mardiyah.

Mardiyah termenung sebentar. Selama ini ke mana sahaja dia pergi pasti Quraisya ada sekali tetapi sekarang sahabat baiknya ditukarkan di tempat yang jauh daripadanya. Pasti dia kesunyian nanti memandangkan hanya Quraisya sahaja yang ada tempat untuk dia meluahkan perasaan jika dia dilanda masalah.

“ Ini bukan masalah kesian atau tak Diya, tapi aku terpaksa. Dah pihak hospital yang nak aku pergi sana. Kau tahukan nurse macam aku ni memang asyik kena posting. Tapi kau janganlah risau, KL dengan Kuantan bukan jauh sangat setiap kali aku cuti aku jenguklah kau ya.” Ujar Quraisya.

Dia mencapai tangan sahabat baiknya itu. Dia melemparkan senyuman buat Mardiyah yang sedang bermasam muka.

Mardiyah mengeluh. Kalau itu yang sudah diputuskan oleh Quraisya, siapalah dia untuk membantah. memang sudah menjadi tugas Quraisya sebagai jururawat untuk berkhidmat pada masyarakat tanpa mengira tempat.

“ Apa aku boleh buat Isya, dah jadi tugas kau, aku tak boleh nak halang lainlah aku ni Menteri Kesihatan kan?” ucap Mardiyah dengan nada bergurau. Dia tersengih.

Quraisya tersenyum lega sekurang- kurangnya Mardiyah sudah tidak menayang muka sedihnya.

“ Aku tak dapat bayangkan kalau kau jadi Menteri Kesihatan, mesti ramai nurse yang berhenti.” Seloroh Quraisya.

Mardiyah tergelak.

“ Berhenti sebab nak kahwin dengan aku kan?” sambung Mardiyah.

Kedua- duanya tergelak. Namun perbualan mereka diganggu dengan bunyi hon di luar pagar rumah mereka. Mardiyah tersedak. Itu pasti Ammar. Dia hampir terlupa yang Ammar mahu menjemput dia pagi ini.

“ Siapa tu Diya?” tanya Quraisya.

“ Encik Ammar, bos aku.” Jawab Mardiyah tergesa- gesa.

Dengan pantas dia mencapai beg tangannya lantas berlari menuju ke luar.

“ Macam mana bos kau boleh jemput kau? Bukan ke kau dengan dia asyik bergaduh?” laung Quraisya bila melihat  Mardiyah kelam kabut.

“ Kadang- kadang ada soalan yang tak ada jawapannya. So aku pergi dululah. Bye, assalamualaikum…” balas Mardiyah lantas berlalu. Sempat lagi dia mengulang kata- kata yang pernah diungkapkan oleh Ammar dahulu.

“ Tapi kalau dalam SPM, kalau tak jawab tak dapat markah so nak tak nak kena jawab jugak soalan. Siapa kata ada soalan tapi tak ada jawapan. Mengarut betul Diya ni.” Bebel Quraisya seorang diri.

 

“ KENAPA diam je?” Tanya Ammar sewaktu dia dan Mardiyah berada di dalam kereta.

Hari ini merupakan kali pertama dia menjemput isterinya dirumah sewa gadis itu. Selama ini bukan dia tidak pernah ke rumah Mardiyah, seingat Ammar dia ke rumah Mardiyah sewaktu seminggu selepas pernikahan mereka dan sewaktu itu bencinya pada Mardiyah memang setebal Tembok Besar China. Tetapi bagaimana dengan sekarang? Ammar tersenyum sendirian.

Dia teringatkan perasaannya yang tidak sabar- sabar untuk menjemput Mardiyah dan dia sanggup bangun awal semata- mata untuk bersiap sampaikan Datin Zarina dan Datuk Zainal sendiri pelik melihat perangai Ammar yang agak berlainan daripada biasa. Bila ditanya, Ammar hanya membuat muka selamba.

Dia tidak mahu mama dan papanya tahu tentang apa yang berlaku kepada dirinya yang sudah mulai menerima Mardiyah dalam hidupnya walaupun tidak sepenuhnya lagi. Dia malu pada Datuk Zainal dan Datin Zarina kerana dahulu pernah dia katakan yang dia tidak akan sesekali menerima Mardiyah dalam hidupnya. Tetapi sekarang apalah dayanya sebagai seorang manusia yang lemah, walaupun dia cuba menanamkan kebencian pada Mardiyah tetapi hatinya seakan- akan menolak perasaan itu.

“ Hmm.. tak ada apa- apalah Am. Saya cuma fikirkan pasal kawan saya je.” Balas Mardiyah menyentakkan Ammar ke dunia sebenar.

“ Kenapa dengan kawan kau tu?”

“ Dia nak kena posting kat Kuantan so saya kena tinggal sorang jelah kat rumah tu.” balas Mardiyah.

Entah kenapa mula rasa senang hendak berbicara dengan Ammar memandangkan lelaki itu sudah tidak berkasar seperti dahulu lagi. tetapi Mardiyah masih lagi hairan apa yang menyebabkan Ammar berubah seperti itu.

“ Jadi kau takut nak tinggal dalam rumah itu seorang diri, begitu? Kau takut kalau- kalau ada Cik Ponti dengan Encik Pocong duduk sekali dengan kau.” Usik Ammar sambil tergelak besar. Dia teringat peristiwa semalam macam mana rupa Mardiyah yang ketakutan bila disebut pasal hantu.

“ Mana ada saya takut. Pandai jelah awak ni.” Balas Mardiyah malu. Mukanya dipalingkan ke luar tingkap.

Kalau boleh dia tidak mahu Ammar tahu yang dia sememangnya takut dengan spesis itu. dia tidak mahu Ammar memperlekehkan kelemahannya itu.

“ Betul tak takut? Kalau macam itu cuba pandang mata aku.”

Ammar menghentikan keretanya bila lampu jalan bertukar warna merah dan di kesempatan yang ada dia gunakan untuk menyakat isterinya. Dia suka melihat wajah Mardiyah yang berubah merah akibat malu itu. Mungkin sikap Mardiyah yang pemalu itulah yang menarik perhatian Ammar pada gadis berlesung pipit itu.

“ Tak naklah..” balas Mardiyah. Pandangannya masih terpaku di luar tingkap.

Come on Diya. So maknanya kau memang penakutlah.” Duga Ammar. Dia ketawa lagi.

“ Saya bukan penakut!” Nafi Mardiyah tegas. Suaranya dikeraskan.

So buktikan.” Cabar Ammar.

Dia menarik tangan Mardiyah menyebakan gadis itu berpaling ke arahnya dan serentak mata mereka bertembung pandang. Laju sahaja jantung Mardiyah berlari bila anak mata mereka berlaga namun dia tidak melarikan pandangan seperti biasanya bila mengingatkan cabaran Ammar tadi. Dia akan buktikan yang dia bukan penakut seperti yang dilabelkan oleh lelaki itu.

Ammar tersenyum nakal. Nampaknya Mardiyah sudah berani menentang pandangan matanya buat jangka masa yang lama. Dia dapat merasakan ketenangan mula bertapak di dalam hatinya bila renungan mata itu menyentuh naluri lelakinya. Namun, perasaan indah yang mula hinggap di jiwa Ammar terbang melayang apabila terdengar bunyi hon daripada kereta belakang menyebabkan mereka berdua tersedar dan kembali ke dunia yang nyata. Dengan pantas Ammar menekan minyak dan meneruskan perjalanan.

“ Wah, nampaknya kau dah buktikan yang kau ni bukan penakut. Well done. So nak hadiah tak?” Ucap Ammar sambil menepuk tangannya. Wajah Mardiyah yang merona merah dikerling melalui ekor mata sahaja.

“ Hadiah apa?” tanya Mardiyah pelik. Dahinya berkerut.

“ Hadiahlah sebab kau dah tak jadi penakut macam semalam.” Jawab Ammar sambil tersenyum penuh makna.

“ Mana hadiahnya?” tanya Mardiyah ingin tahu.

“ Ini…” tutur Ammar pendek.

Mardiyah kehairanan. Ini? Mananya? Dia tak nampak apa- apa bungkusan pun di dalam kereta mewah itu. bukankah hadiah selalu dibungkus.

“ Mana? Tak ada apa- apa pun..”

“ Sekejap. Cuba kau pandang sana..”

Ammar menunjuk ke arah luar tingkap dan tanpa mengesyaki apa- apa, Mardiyah berpaling ke luar tingkap. Keningnya bertaut. Pelik betullah.

“ Mana? Tak ada pun. Awak jan….”

Chuppp!!

Satu ciuman singgah di pipi Mardiyah buat kesekian kalinya membuatkan Mardiyah terpana. Dia berpaling pada suaminya yang sedang tersenyum- senyum sambil memegang pipinya yang menjadi mangsa ciuman lelaki itu. Ini bukan kali pertama pipinya menjadi mangsa malah semalam lelaki itu melakukan perkara yang sama.

“ Am, apa yang awak buat ni? Tak senonoh tau!” Marah Mardiyah dengan dada yang berombak. Buat kesekian kalinya pipinya dicium oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Mardiyah malu.

“ Bagi hadiahlah.” Jawab Ammar ringkas. Dia langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang telah dilakukan pada Mardiyah kerana dia sedar gadis itu halal baginya.

“ Hadiah apa macam tu?” Mardiyah mencebik. Dia menarik muka.

Ammar tergelak.

“ Kau marah ke? Aku bagi hadiah pun marah. Kau kira beruntung tau sebab perempuan pertama yang dapat hadiah special macam tu. Bukan semua dapat tau.” Seloroh Ammar sambil tergelak.

“ Itu bukan hadiah, itu ambil kesempatan namanya.” Balas Mardiyah geram.

Ammar tidak dapat berkata apa- apa kecuali ketawa. Dengan selamba dia menarik hidung Mardiyah membuatkan gadis itu terjerit kecil.

“ Am!!”

 

“ DIYA, jumpa lagi kita ye. Eh, Am you ada juga.” Sapa Datuk Hasyim pagi itu.

Mardiyah hanya tersenyum hambar. Dia hanya menunggu lif itu terbuka tanpa sedikit pun menjawab sapaan Datuk Hasyim. Teringat pada peristiwa sewaktu di perhentian bas tempoh hari bila Datuk Hasyim mengaku bahawa dialah yang mengirim segala bunga pada Mardiyah selama ini. Sejak daripada saat itu dia benci untuk melihat wajah Datuk Hasyim.

Morning datuk. Lama I tak nampak you datang hotel ni. Kenapa sekarang baru nampak muka. Datuk nak jumpa papa ke?” tanya Ammar.

“ Memang I nak jumpa datuk tapi sebenarnya I nak jumpa orang lain jugak.” Balas Datuk Hasyim. Mata galaknya sempat menjeling pada Mardiyah.

“ Siapa?” pintas Ammar.

Datuk Hasyim terdiam. Hanya bola matanya sahaja dilirikkan pada Mardiyah membuatkan Ammar sedar siapa yang dimaksudkan oleh Datuk Hasyim tadi. Patutlah Mardiyah diam sahaja rupa- rupanya gadis itu malas melayan perangai gatal Datuk Hasyim. Bisik hati kecil Ammar.

Ammar berdehem bila dia sedar Datuk Hasyim asyik merenung isterinya yang berdiri di sebelahnya. Geram Ammar dibuatnya bila isterinya ditenung oleh lelaki lain begitu rupa. Tak sedar diri betul orang tua ni. Marah Ammar dalam hati.

“ Jemput masuk datuk. Lif dah terbuka.” Tegur Ammar menyentakkan lamunan Datuk Hasyim yang entah ke mana. Dengan pantas dia melangkah ke dalam lif diikuti oleh Ammar dan Mardiyah.

Mardiyah melepaskan keluhan bila terpaksa bersesak- sesak di dalam lif yang ramai penumpang di tambah pula dengan Datuk Hasyim yang berdiri begitu rapat dengannya membuatkan Mardiyah rasa sesak nafas. Tambahan lagi tubuh lelaki itu hampir menyentuh belakang tubuhnya. Mardiyah rimas. Lantas dia bergerak menghampiri Ammar namun dia dapat merasakan ada tangan yang mula menjalar di pinggangnya. Dada Mardiyah berombak marah namun dia tidak dapat lakukan apa- apa kerana berada di dalam tempat yang sempit itu.

Ammar yang perasaan perubahan wajah Mardiyah yang bertukar pucat menjadi risau.

“ Kenapa Diya? Kau sakit ke?” bisik Ammar di telinga Mardiyah.

“ Ada orang cuba nak…..emm..saya..” beritahu Mardiyah terketar- ketar. Dia takut.

Ammar bengang. Dia memandang ke belakang dan memang sah, Datuk Hasyim berada di belakang Mardiyah. Kedudukan lelaki itu begitu rapat dengan isterinya hingga hampir tersentuh tubuh mereka dan keadaan itu cukup membuatkan Ammar marah. Mungkin Datuk Hasyim cuba mengatal dengan Mardiyah. Fikir Ammar.

Dengan pantas dia meraih pinggang isterinya dan menarik tubuh genit itu supaya rapat dengannya dan sepantas kilat dia bertukar tempat dengan Mardiyah. Dia tidak akan membiarkan Mardiyah menjadi mangsa dengan sifat gatal yang tidak pernah hilang dalam diri Datuk Hasyim. Dia tahu memang Datuk Hasyim cuba membuat perkara yang tidak senonoh pada Mardiyah.

“ Saya tahu datuk suka berfoya- foya tapi jangan nak try dengan pekerja saya. Nahas akibatnya nanti. Saya tak peduli dengan kedudukan datuk dalam hotel ini tapi saya nak nasihatkan supaya datuk jauhkan diri datuk daripada Diya.” Bisik Ammar memberi amaran keras cuma suaranya kedengaran mendatar.

Datuk Hasyim meneguk air liur. Tembelangnya sudah pecah. Tetapi itu tidak bermakna dia tewas kerana dia ada banyak cara untuk memastikan Mardiyah menjadi miliknya.

Mardiyah menarik nafas lega bila berada jauh daripada orang tua miang itu. dia berasa selamat sekarang cuma yang membuat dia tidak selesa bila tangan Ammar masih lagi kemas di pinggangnya padahal keadaan sudah selamat.

Dengan selamba Mardiyah menyiku perut Ammar dengan lembut membuatkan Ammar tersentak. Berkerut dahinya bila disiku seperti itu.

“ Apa kena dengan kau ni? Aku dah selamatkan kau, kau pulak siku aku. Sakit tau.” Bentak Ammar sambil berbisik di telinga Mardiyah.

“ Dah awak gatal sangat.” Balas Mardiyah turut berbisik.

“ Kau pilih, baik aku gatal ke atau datuk tu?” soal Ammar menguji.

Belum sempat Mardiyah menjawab, pintu lif telah terbuka membuatkan pertanyaan Ammar tergantung di situ. Dengan pantas Mardiyah melangkah keluar daripada perut lif dan berjalan meninggalkan Ammar di belakang yang masih bersesak untuk keluar daripada lif tersebut.

“ Diya tunggu dulu kau tak jawab lagi soalan aku.” Panggil Ammar lantas berlari mendapatkan Mardiyah yang sudah jauh ke hadapan.

Mardiyah menghentikan langkah bila tangannya ditarik oleh Ammar. Dia merentap kembali kerana risau ada kakitangan hotel yang lain ternampak perbuatan lelaki itu.

“ Apa ni pegang- pegang nanti orang nampaklah.” Marah Mardiyah.

“ Aku peduli apa. Kalau aku nak pegang kau ke peluk kau ke, orang lain peduli apa.” Balas Ammar selamba.

“ Awak ni dah gila ya? Ingat sikit kat hotel ni tak ada orang tahu pasal kita dan jangan awak nak cari pasal pulak.” Ujar Mardiyah memberi ingatan.

“ Kalau aku tetap nak cari pasal jugak, apa yang boleh kau buat?” cabar Ammar.

Mardiyah mendengus. Dia menentang pandangan Ammar yang tepat memanah anak matanya. Lelaki ini sudah hilang kewarasan ke?

“ Malaslah saya layan awak ni. Makin hari makin gila.” Bentak Mardiyah.

 

AMMAR tersenyum sendirian sewaktu masuk ke dalam pejabatnya bila melihat cebikan di bibir Mardiyah sewaktu dia mengenyitkan mata pada gadis itu semasa dia ingin melangkah ke dalam pejabat tadi. Ammar mengaku yang dia sememangnya suka menyakat isterinya itu namun rasa gembiranya itu diganggu dengan suara yang tak asing lagi di telinganya.

“ Amboi gembiranya you pagi ni. Sampai tak perasaan I ada kat sini.”

Ammar tersentak dan berpaling ke belakang. Lydia? Sejak bila Lydia berada di dalam ofisnya?

“ Pagi- pagi kita mesti ceria baharulah rezeki masuk.” Jawab Ammar sambil tersenyum.

Dia mempelawa Lydia supaya duduk di sofa.

“ Ceria sebab rezeki nak masuk ke sebab ceria dapat menggatal dengan perempuan kampung tu?” Marah Lydia. Bibirnya sudah mula memuncung. Tangannya disilangkan ke dada.

“ Apa yang you merepek ni Lydia? Bila masa pulak I menggatal dengan Diya?”Soal Ammar. Dia melabuhkan punggung di sebelah Lydia yang sedang merajuk.

“ You ingat I tak nampak masa you masuk tadi you sengih- sengih pada perempuan tu? you ingat I ni buta dengan pekak ke? Buta sebab tak nampak apa yang you buat dan pekak tak dengar apa yang pekerja you cakap yang you rapat dengan dia. Entah- entah you dah jatuh cinta pada perempuan kampung tu.” Sembur Lydia geram.

Sakit telinga Lydia mendengar cerita daripada penyambut tetamu hotel itu yang mendakwa Ammar semakin baik dengan Mardiyah, musuhnya itu.

“ You ni suka sangat dengar cakap orang. I baik dengan dia tak bermakna I nak menggatal dengan dia. I dah ada you cukuplah. Lagipun you tahukan macam mana bencinya I pada dia. Kenapa you boleh fikir yang I jatuh cinta pada dia.”

Nafi Ammar. Dia tidak mahu Lydia tahu tentang hubungan dia dan Mardiyah yang sebenarnya kerana dia masih belum bersedia sepenuhnya untuk mengaku Mardiyah sebagai isterinya walaupun separuh daripada hatinya sudah boleh menerima Mardiyah namun egonya menghalang.

“Manalah I tahu perasaan you pada dia.” Ucap Lydia sambil menjeling.

Ammar meraup mukanya. Perlahan- lahan dia merapatkan dirinya kepada Lydia. Rambut perang gadis itu dibelai sedikit, cuba mengambil hati Lydia yang kepanasan.

“ Darling, you tahukan yang dalam hati I ni hanya ada you je. I hanya nak you dalam hidup I. lagipun you tahukan yang I benci dengan dia nak tengok muka dia pun I dah muak inikan pula I nak jatuh cinta dengan dia. Dia bukan taste I lah. I tak pernah suka pada dia apatah lagi nak jatuh cinta. You dah gila ke?” ucap Ammar tanpa rasa bersalah.

Bibir Lydia mengukir senyuman manis. Sedikit sebanyak kata- kata Ammar melegakan hatinya yang meruap panas. Kekasih mana yang tak sakit hati bila buah hati kesayangan cuba dirampas oleh perempuan lain.

“ Betul ni? You tak tipu?” tanya Lydia manja.

“ Betul honey.” Jawab Ammar pendek.

Lydia tersenyum lega. Dengan selamba dia melentokkan kepalanya di dada bidang milik Ammar. Dia akan pastikan yang Ammar tidak akan terlepas daripada genggamannya kerana hanya Ammar yang akan membuat cita- citanya tercapai.

“ Tapi macam mana kalau dia goda you?” uji Lydia lagi.

Jari- jemarinya memutar- mutar tali leher Ammar. Manja konon.

“ I takkan tergoda dengan perempuan murah macam itu. seperti yang you katalah perempuan kampung macam itu tak layak untuk I…” kutuk Ammar lagi.

Namun dalam hatinya menolak segala kata- kata yang dimuntahkan tadi tetapi ego dan syaitan tetap membisikkan kata- kata nista buat isterinya.

Lydia ketawa gembira. Dia percaya dengan segala kata- kata Ammar tanpa mengesyaki sedikitpun pada lelaki itu. Dia percaya Ammar tidak akan curang kepadanya kerana tidak mungkin lelaki akan melepaskan gadis secantik dia. Perasan betul Lydia ini.

“ I tahu you takkan curang dengan I kan?” bisik Lydia menggoda.

Ammar hanya mengangguk. Dia hanya tersenyum hambar. Kalaulah Lydia tahu apa yang sedang bermain di hati dan fikirannya pasti gadis itu akan melancarkan segala perang dengan dia. Dia mengeluh berat.

 

BAB 28

 

AIR MATA Mardiyah tidak henti- henti mengalir. Sakit sungguh hatinya apabila terdengar bicara Ammar dan Lydia di bilik lelaki itu tadi. Tanpa rasa bersalah, lelaki itu menghina dirinya di hadapan Lydia. Sungguh dia berkecil hati dengan segala apa yang diungkapkan oleh Ammar yang dianggap terlampau keterlaluan.

“ I takkan jatuh cinta dengan perempuan murah macam dia itu.”

Kata- kata ini kembali berputar di fikiran Mardiyah membuatkan air matanya merembes laju. Jadi apa makna perbuatan lelaki itu yang mesra dengannya? Adakah lelaki itu hanya ingin mengambil kesempatan terhadapnya? Benak Mardiyah tertanya- tanya.

Dia melepaskan segala rasa sedihnya di dalam tandas. Kemudian dia memandang wajahnya di depan cermin. Dia meneliti keseluruhan wajahnya yang merah akibat terlalu banyak menangis.

Selama ini aku terlalu berlembut dengan dia dan sekarang tanpa perasaan dia menghina maruah aku. Aku benci dia. Aku benci lelaki itu!  jerit hati Mardiyah.

Berombak dadanya menahan perasaan sakit yang dalam. Sekali lagi dia rasa terluka, luka yang amat dalam sehingga dia rasa tiada ubat yang mampu mengubati lukannya itu. dia tidak menyangka lelaki itu masih menyimpan dendam pada dia, padahal sejak kebelakangan ini sikap lelaki itu semakin berubah tetapi rupa- rupanya lelaki itu tidak pernah berubah malahan tanpa rasa bersalah lelaki itu menghinanya.

Mardiyah memandang wajahnya lagi.

‘ Kali ini aku takkan mengalah lagi. aku takkan biarkan dia terus menyakiti dan mempermainkan perasaan aku. Aku patut sedar yang dia tidak pernah suka pada perempuan kampung seperti aku. Tetapi aku akan buktikan yang aku bukan perempuan seperti yang di katakan Am. Akan aku buktikan.’ Tekad Mardiyah dengan air mata yang masih bersisa.

Lantas sisa air matanya dihapuskan. Mardiyah tidak mahu menangis lagi. dia tidak mahu terus menjadi lemah di hadapan Ammar kerana hanya tinggal beberapa minggu lagi untuk dia wujud di hadapan lelaki itu. selepas itu, dia akan menghilangkan dirinya daripada Ammar. Itu janji Mardiyah pada dirinya sendiri.

“ Tapi aku tak kuat Ya ALLAH. Aku tak kuat untuk menghadapi cubaan yang kau berikan ini. Kenapa dia bersikap baik dengan aku jika dia hanya akan menghancurkan hati aku? Kenapa dia mempermainkan hati dan perasaan aku?” tanya Mardiyah sendirian.

Namun, soalannya tiada jawapan. Mardiyah memandang wajahnya di depan kaca. Aku memang tak cantik, aku memang tak menawan seperti Lydia tapi aku juga wanita biasa yang ingin dihormati dan di hargai. Teruk sangatkah aku pada pandangan suamiku sendiri? Fikiranya terus di asak dengan pelbagai soalan tetapi masih tiada siapa yang dapat menjawab.

Akhirnya selepas puas menangis, Mardiyah membasuh wajahya dan berlalu untuk melakukan kerja yang terbengkalai.

 

 

“ DIYA, ni ada memo orang letak atas meja kau. Dari Encik Ammar.” Beritahu Kak Izzah sewaktu Mardiyah pulang daripada makan tengah hari.

“ Dia nak apa?” tanya Mardiyah acuh tak acuh.

“ Tak tahulah akak Diya, kau baca sendirilah.” Ujar Kak Izzah lantas berlalu.

Mardiyah mencapai memo itu dan membacanya perlahan- lahan.

 

Diya, sila datang ke bilik nombor 25 pukul 2 petang untuk adakan mesyuarat dengan klien. Saya tunggu awak di sana. – AMMAR

 

Mardiyah mengerutkan kening. Sejak bila mesyuarat di adakan di luar bilik mesyuarat, itu pun di bilik? Mardiyah tertanya- tanya. Mungkin Ammar ingin kenakan dia. Tapi tak mungkin Ammar berbuat demikian.

Mardiyah memandang jam di tangannya. Alamak! Jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang maksudnya dia sudah terlambat untuk ke sana. Dengan tergopoh gapah Mardiyah mencapai segala fail yang ada dan menuju ke bilik hotel seperti yang diberitahu. Lagipun dia faham dengan sikap Ammar yang tidak suka dengan pekerja yang lewat.

“ Kak Izzah saya pergi dahulu ya. Ada meeting.” Ujar Mardiyah sekadar memberitahu.

“ Okey.” Jawab Kak Izzah pendek.

 

NOMBOR pintu 25 diketuk oleh Mardiyah petang itu. dia gelabah kerana sekarang sudah hampir pukul tiga dan memang jelas dia telah terlewat untuk ke mesyuarat itu. Mardiyah gelabah. Tentu Ammar akan memarahinya lagi. sekali lagi pintu yang terukir cantik itu diketuk dan kali ini pintu bilik itu dibuka.

Terjengul wajah Datuk Hasyim di muka pintu menyebabkan Mardiyah terkejut. Dia memandang ke kiri dan ke kanan cuba mencari kelibat Ammar. Namun tiada sesiapa yang kelihatan.

“ Datuk buat apa kat sini? Mana Encik Ammar? Tadi dia cakap ada meeting dengan klien dekat sini.” Tanya Mardiyah pelik. Wajah Datuk Hasyim yang sedang tersenyum ditenung dengan rasa meluat.

“ Marilah masuk dahulu. Sekejap lagi Ammar datanglah. Tadi dia ada call I dia cakap dia lambat sikit.” Balas Datuk Hasyim ramah. Dia memandang Mardiyah dari atas ke bawah. Gadis itu kelihatan elegan dengan kemeja lengan panjang berwarna peach dipadankan dengan seluar slack berwarna putih.  Tudung pula dililitkan kemas di atas kepala menyebabkan gadis itu kelihatan anggun walaupun hanya bersolek nipis. Bergetar naluri Datuk Hasyim bila memandang wajah gadis pujaannya itu.

“ Kenapa datuk pandang saya macam itu?” Tegur Mardiyah. Dia tidak selesa.

“ Tak ada apa- apa. Jomlah tunggu kat dalam. Sekejap lagi Ammar datanglah tu.”

“ Tak mengapalah biar saya tunggu Encik Am kat luar ni. Lagipun kita bertiga sahaja ke yang meeting?” Soal Mardiyah pula.

“ Ya. I nak bincang pasal perkembangan hotel kita ini dengan Ammar dan juga I ada beberapa cadangan untuk memperkembangan hotel kita ini ke luar negara.” Jelas Datuk Hasyim.

Mardiyah terdiam sejenak. Boleh percaya ke Datuk Hasyim ini? Hatinya ragu- ragu.

“ I tahu you pasti tak percayakan I sebab I dah buat perkara yang you tak suka dulu kan? Look Diya I mintak maaf dengan apa yang pernah I cakap pada you dulu. Salah I sebab terburu- buru cakap perasaan I pada you. Tapi apa yang I boleh buat, kalau hati I memang dah terpikat pada you. Sekarang ini I dah berubah. I nak mintak maaf dengan you, memang salah I.” ucap Datuk Hasyim sayu. Dia pura- pura sedih. Hatinya tergelak besar bila melihat wajah Mardiyah yang mula berubah.

Mardiyah serba salah. Dia rasa apa yang dikatakan oleh Datuk Hasyim diucap dengan seikhlas hati. adakah selama ini dia terlalu kasar pada Datuk Hasyim padahal bukan salah lelaki itu jika jatuh suka pada dia.

“ Maafkan saya datuk. Memang saya tak boleh terima datuk apatah lagi nak bercinta dengan datuk. Saya dah anggap datuk macam arwah ayah saya. Saya mintak maaf kalau saya dah lukakan hati datuk.” Ucap Mardiyah ikhlas.

Datuk Hasyim tersenyum. Akhirnya Mardiyah termakan dengan kata- kata pujukan dia. Hati Datuk Hasyim ketawa jahat dan syaitan mula membisikkan kata- kata jahat.

“ I tak kisah. Kalau macam itu. you masuklah dulu.” Pelawa Datuk Hasyim.

Pintu bilik itu dibukakan sedikit untuk Mardiyah dan tanpa berfikir panjang, Mardiyah melangkah masuk ke dalam bilik hotel yang mewah itu tanpa memikirkan niat sebenar Datuk Hasyim. Lantas, saat tubuh Mardiyah melepasi pintu itu, Datuk Hasyim menutup daun pintu itu dengan rapat.

Mardiyah melabuhkan duduk di atas sofa yang tersedia di hujung bilik yang mewah itu. sempat juga Mardiyah memandang ke sekeliling bilik itu yang cantik dan bersih tetapi apa yang membuatkan Mardiyah tertanya- tanya adalah di dalam bilik itu, tiada langsung kelengkapan untuk mesyuarat. Habis, mereka mahu bermesyuarat di mana? Takkan atas lantai kot. Namun Mardiyah hanya diamkan sahaja.

Tiba- tiba Datuk Hasyim melabuhkan punggung di sebelah Mardiyah yang diam membisu. Dia tersenyum dan menghulurkan segelas air putih pada Mardiyah namun gadis itu menolak. Datuk Hasyim menjongket bahu.

“ You nampak cantiklah hari ini.” Puji Datuk Hasyim tiba- tiba.

Tangannya dengan selamba menyentuh hujung kain tudung Mardiyah. Pandangannya juga tidak beralih daripada wajah Mardiyah.

Mardiyah berpaling dan mendapati Datuk Hasyim berada begitu rapat di sampingnya membuatkan Mardiyah tersentak. Dengan pantas dia menepis tangan gatal Datuk Hasyim.

“ Apa ni datuk?!” Marah Mardiyah lantas berdiri.

“ Alah, takkan you nak marah pulak. I tak buat apa- apa pun.” Jawab Datuk Hasyim tersengih seperti kerang busuk. Di matanya tersinar perasaan yang membuak- buak untuk Mardiyah.

“ Datuk jangan nak sentuh saya. Nanti saya menjerit baru datuk tahu. Saya nak balik!” bentak Mardiyah lantas dia cuba berlalu namun dengan pantas tangan kanannya direntap keras oleh Datuk Hasyim membuatkan Mardiyah tercampak ke atas sofa. Dia menjerit.

Tanpa mempedulikan Mardiyah, Datuk Hasyim segera menindih tubuh genit Mardiyah dan dia merentap tudung Mardiyah membuatkan kain tudung Mardiyah terlucut. Perkara itu membuatkan Mardiyah menjerit kuat namun setiap jeritannya mendapat tamparan daripada lelaki itu.

Namun itu tidak membuatkan Mardiyah putus asa. Demi mempertahankan maruah dan kehormatannya, Mardiyah mengangkat kaki dan menendang ‘empunya’ Datuk Hasyim membuatkan lelaki itu menjerit kerana menahan perit. Di kesempatan yang ada Mardiyah bingkas bangun dan mencapai tudung lalu dililitkan di atas kepala. Walaupun dia tidak dapat mendapat pakai dengan betul, cukuplah dia menutup auratnya.

Jantung Mardiyah berlari pantas. Dia benar- benar ketakutan dengan sikap Datuk Hasyim yang berubah menjadi ganas dan cuba mencabul kehormatannya. Lantas, Mardiyah berlari menuju ke pintu utama namun ada tubuh Datuk Hasyim di situ membuatkan Mardiyah cuak.

“ Datuk jangan cuba apa- apakan saya. Saya akan adukan perkara ini pada Datuk Zainal!”Jerit Mardiyah. Dia mengundur setapak ke belakang bila Datuk Hasyim yang gila itu cuba merapatinya.

Datuk Hasyim tergelak besar. Tubuh Mardiyah yang berdiri di hadapannya di pandang dengan penuh nafsu. Dia tidak akan melepaskan Mardiyah kali ini.

“ You nak cakap pada datuk? Pergilah, tetapi selepas you layan I…” ujar Datuk Hasyim berani.

“ Ya ALLAH datuk, cuba ingat ALLAH. Saya bukan isteri datuk!” Bangkang Mardiyah lagi.

“ I nak buat you jadi isteri I, you tak nak jadi I nak you layan I hari ini.” Ujar Datuk Hasyim lagi semakin kemaruk.

Dia semakin dekat dengan Mardiyah dan sewaktu dia ingin merentap tangan Mardiyah, dengan pantas Mardiyah berlari ke bilik mandi. Sewaktu dia ingin menutup pintu bilik air, tiba- tiba pintu itu ditolak dengan kuat daripada luar membuatkan hidung Mardiyah terhantuk pada pintu itu. Darah pekat mula mengalir daripada hidung dan celah bibirnya. Dia mengerang kesakitan.

‘ Ya ALLAH tolong selamatkan aku.’ Doa Mardiyah dalam hati.

Dia semakin panik bila Datuk Hasyim semakin menghampiri tubuhnya di dalam bilik mandi yang sempit itu. Dia tidak nampak jalan keluar untuk melepaskan diri daripada datuk keparat itu.

Datuk Hasyim tersenyum sinis, dia yakin Mardiyah tidak akan dapat melepaskan diri lagi. Dia semakin dekat dengan Mardiyah dan dengan selamba dia menarik tangan Mardiyah yang sedang meronta untuk melepaskan diri. Gadis itu memukul- mukul tangan Datuk Hasyim yang gatal memegang tangannya dan tak cukup dengan itu kaki lelaki miang itu ditendang namun itu tidak mendatangkan kesan pada Datuk Hasyim.

“ Lepaskan akulah binatang!!” jerit Mardiyah kuat. Dia meronta- ronta untuk melepaskan diri. Namun jeritannya dibalas dengan satu penampar di pipi membuatkan Mardiyah hampir pengsan.

Tenaga Mardiyah semakin lemah. Dia semakin tidak berdaya. Hanya ALLAH yang dapat menolong dirinnya saat ini. Dia dapat rasakan tubuhnya diheret daripada bilik mandi itu. kepalanya juga semakin berpinar- pinar. Ya ALLAH!

 

 

 

 

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.