Tetamu Rindu

Friday 14 December 2012

Rasa Yang Tertinggal (Bab 9&10)


BAB 9

BALQIS mundar mandir di dalam bilik tidur yang indah itu. kegelisahan terpancar pada wajahnya yang kuning langsat. Dia gelisah bukan sebab Daniel sepupu Ryan dan bukan juga dia gelisah sebab ditinggalkan oleh ibunya tetapi dia gelisah kerana terpaksa berkongsi bilik lagi dengan Ryan. Bilalah sandiwara ini akan berakhir? Balqis cukup berasa terseksa dengan permainan yang diciptakan oleh Ryan ini.

Dia berpaling apabila terdengar pintu bilik terkuak daripada luar. Terjengul wajah kacak Ryan di ruang mata Balqis. Rasa tidak selesa mula mengamit dirinya.

“ Kenapa dengan kau ni mundar- mandir macam kucing bercerai dengan laki dia je? Ada masalah ke?” tanya Ryan selamba. Punggungnya dilabuh di sofa yang tidak jauh dari Balqis. Wajah isterinya yang kusut dipandang.

“ Aku rasa baik kita pindah.” Balqis mula bersuara.

Langkah dia terhenti di hadapan Ryan dan dia mula melabuhkan duduk di birai katil tidak jauh dari suaminya itu.

What? Nak pindah? Untuk apa? Rumah ni tak cukup besar lagi ke untuk kau?” Soal Ryan bertalu- talu. Mata yang tadinya mengantuk sudah terbuka luas.

Balqis mengigit jari. Rambutnya yang berjuntaian diraup ke belakang. Susah untuk dia terangkan kepada Ryan kenapa dia mahu pindah. Dia tidak mahu sekamar dengan Ryan kerana dia takut perasaannya berubah. Apatah lagi status mereka sekarang bukan lagi sekadar kawan tetapi sebagai suami isteri dan itu yang menakutkan Balqis.

“ Bukan sebab itulah Ryan. Rumah kau ni cukup besar dan cukup selesa tapi aku tak selesa tinggal satu bilik dengan kau memandangkan hubungan suami isteri yang kita cipta ini hanya untuk sementara. Aku tak nak kita terlebih pula dari apa yang kita bincangkan dulu.” Luah Balqis.

Kedengaran keluhan dari bibir Ryan. Memang benar apa yang dikatakan oleh Balqis itu. Selama mana mereka dapat bertahan dengan mengekal hubungan sebagai kawan tetapi tinggal di satu bilik yang sama.  Ryan juga tidak mahu menodai persahabatan mereka dengan hal- hal yang tidak terjangkau dari akalnya. Mana ada wanita dan lelaki boleh tinggal satu bilik tanpa berlaku apa- apa. Esok, lusa mungkin boleh tetapi bagaimana dengan hari-hari mendatang. Ryan tiada jaminan untuk itu. dia juga risau perasaan yang terkubur sekian lama akan datang kembali dan itu yang ingin dia elakkan.

“ Aku rasa macam itu juga. Aku takut juga mana tahu kalau lama- lama kau tinggal dengan aku, nanti kau jatuh cinta pula dengan aku kan? Kau jangan risau nanti aku tanya umi. Bila pindah nanti kita boleh tinggal di bilik asing- asing. Tu yang kau nak kan?” balas Ryan. Sempat lagi dia terperasaan yang Balqis akan jatuh cinta dengan dia. Namun jauh di sudut hati tiada siapa yang tahu apa yang tersimpan dalam kamus hatinya.

Balqis mencebik. Namun dia tersenyum selepas itu apabila akhirnya Ryan mengerti tentang perasaan gelisahnya.

“ Kau jangan nak perasan okey. Aku tak kan jatuh cinta pada kaulah sebab aku sukakan…” kata- kata Balqis mati di situ. Dia mengigit lidah kerana tersasul dalam perkataannya. Dia menjeling pada Ryan yang sudah berubah wajah.

“ Suka apa? Kenapa tak habiskan ayat tu?” soal Ryan tidak puas hati. dia tahu Balqis pasti menyembunyikan sesuatu daripadanya dan mungkin Balqis ada menyukai seseorang.

“ Tak ada apa- apalah. Aku nak tidur dulu kau jangan nak kacau aku tau.” Balas Balqis sambil membaringkan tubuhnya di atas tilam. Selimut ditarik hingga ke paras dada.

Sikap Balqis itu benar- benar menimbulkan sakit hati  Ryan. Memang Balqis suka berahsia malah dari dahulu lagi Ryan tidak tahu siapa yang disukai oleh Balqis kerana gadis itu terlalu berahsia. Namun dia yakin suatu hari nanti dia akan dapat jawapannya.

“ Qis jangan tidur lagi ada satu hal aku nak cakap dengan kau ni.” Halang Ryan.

Balqis yang pada mulanya memejamkan mata akhirnya membuka mata. Dia duduk sambil menyandarkan kepalanya ke kepala katil. Tegak memandang Ryan yang kelihatan sedikit gelisah.

“ Kenapa?” tanya Balqis.

Ryan menghampiri isterinya itu lantas di melabuhkan duduk di birai katil. Wajah balqis ditenung membuatkan Balqis tertunduk. Memang begitu jika dia dengan Ryan. Malu kononnya.

“ Boleh tak kalau depan family aku kau panggil aku dengan panggilan yang sedap di dengar sikit. Kalau bahasa kita macam ni aku takut umi aku perasan.” Ryan menyuarakan apa yang terbuku di dalam hati. Dia berharap sangat yang Balqis akan faham keadaannya. Dia takut Puan Rahina sedar akan bahasa yang mereka gunakan. Sebelum tertangkap lebih baik mengelak. Bak kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati.

Balqis terdiam sebentar bagi memikirkan permintaan Ryan yang dirasakan berat itu. Nak suruh aku panggil apa dah elok aku panggil nama dia bukan aku panggil ganas- ganas pun. Banyak songeh pulak dia sekor ni, rasa rugi pula nikah dengan dia tapi dia tak tahu kena nikah dengan aku. Kesian kau Ryan, nikah dengan perempuan bukan pilihan hati. Gumam Balqis sendirian.

“ Oit, dah sampai Jerman belum ni?”

“ Hah?!” Balqis tersentak apabila lengannya dicuit. Dia tersipu malu apabila Ryan merenungnya.

“ Kenapa kau pandang aku macam tu?” soalnya gugup.

Ryan mengelengkan kepala. Kita tanya dia, dia tanya kita balik. Mamai betul kawan aku ni. Bisik hati Ryan.

“ Kau ni Qis aku mintak dengan kau boleh tak kalau depan umi dengan abah aku kau panggil dengan panggilan yang sedap sikit? Yang kau termenung ni kenapa?” sambung Ryan lagi. Dia masih setia menanti jawapan daripada Balqis yang tampak sedikit gelisah.

“ Perlu ke? Kan dah elok aku panggil kau macam biasa. Aku bab tukar bahasa aku lemah sikit. Cuba bayangkan daripada bahasa melayu nak kena tukar bahasa Korea, kan payah tu.” sungut Balqis dengan muka selamba.

Ryan menepuk dahi. Payah betul bercakap dengan manusia yang terlampau cerdik mengalahkan kancil ni. Dia mengeluh.Qis, Qis..kadang- kadang okey, kadang- kadang kalau virus lembab dia datang, payah juga hendak kawal.

“ Bukan bahasa itulah Qis. Maksud aku panggilan untuk aku ni hah.”

“ Contoh?”

“ Abang ke?”

What?!” Balqis menjerit terkejut. Hampir terbeliak biji matanya yang sememangnya besar.

Ryan menutup telinga mendengar jeritan Balqis yang kuat kedengaran di telinganya. Over la pula Balqis ni, buat malu je.

“ Janganlah jerit nanti orang dengarlah.” Marah Ryan.

“ Mahu aku tak menjerit, kau suruh aku buat benda pelik.”Balas Balqis tidak puas hati. Kedua tangannya disilangkan ke dada. Rambut yang berjuntaian di selak ke belakang.

Ryan mengerutkan kening. Apa yang peliknya? Bukan dia suruh balqis makan pakai siku, suruh panggil’abang’ pun dikatakan pelik. Ish, Balqis ni dah sewel ke?

“ Apa yang pelik Qis, bukan aku suruh kau terjun tingkap pun.”

“ Tak pelik kau kata? Kau suruh aku panggil kau abang sedangkan kita sebaya. Peliklah tu bagi aku.” Jawab Balqis petah. Cukup membuatkan Ryan pening kepala.

Ryan ketawa mendengar alasan Balqis yang dirasakan cukup lawak kalah Raja Lawak pertama. Alasan yang tidak munasabah dan munasarawak.

“ Memang kita sebaya tapi kalau dikira dari bulan, kau lebih muda daripada aku lima bulan so tak salahlah kalau kau panggil aku abang. Lagipun bukan payah just sebut je bukan berat pun. Its just a word Qis.”Ujar Ryan.

Dia faham, susah untuk dua insan bersatu dalam ikatan yang terjalin tanpa cinta mungkin bagi Balqis perkataan itu terlalu berat tapi jika bukan disebabkan terpaksa, dia tidak mahu menyusahkan temannya itu. Dia sendiri tidak tahu yang dia akan dinikahkan dengan Balqis kerana ini semua adalah rancangan uminya yang seakan tahu tembelangnya itu.

Tetapi semua itu telah terjadi dan Ryan hanya boleh berserah pada ALLAH untuk mengatur segala yang akan berlaku selepas ini. Kemungkinan dia akan meneruskan perkahwinan ini sehingga Balqis atau dia menemui penganti.

“ Bagi kau memang la perkataan tapi aku payah nak sebut perkataan itu. Nak termuntah pun ada.” Luah Balqis.

Please Qis. Nanti apa kata umi kalau kau panggil aku macam ni. Kita kena tunjuklah macam pasangan yang bahagia. Kalau kau tak biasa, biar aku ajarkan ya.” Pujuk Ryan. Dia tidak akan putus asa sehingga Balqis bersetuju. Dia tahu walau sekeras mana pun balqis, akhirnya pasti dia akan setuju juga.

“ Wekk! Nak muntah.”ujar Balqis sambil membuat gaya seperti mahu muntah. Reaksi itu mengundang tawa Ryan. Dengan selamba Ryan mencapai jari jemari Balqis lalu dipegang erat. Tindakan itu membuatkan Balqis tersentak. Dia tergamam seketika sebelum dia menarik tangan dia kembali namun genggaman tangan Ryan terlalu kuat hingga menyukarkan Balqis untuk melepaskan diri.

“ Kenapa dengan kau ni pegang- pegang aku? Gatal sangat ke?”Marah balqis sambil cuba merentap tangannya kembali namun gagal.

Ryan ketawa geli hati melihat wajah Balqis yang merona merah. Seronok rasanya dapat menyakat isteri yang baharu dinikahinya itu. dia tahu Balqis pasti akan mengamuk jika  dirinya disentuh atau dipegang. Ryan memang cukup arif dengan perangai Balqis yang satu itu.

“ Kalau kau setuju, baru aku lepaskan.” Ryan bermain tarik tali.

Balqis merengus geram. Selepas kahwin, Ryan memang suka meperlakukan dirinya sesuka hati hingga menerbitkan rasa geram dalam diri Balqis. Dia mencuba buat kesekian kalinya namun tetap gagal. Pegangan itu cukup kemas. Balqis mengeluh.

Ryan tersengih bangga sambil keningnya dimain-mainkan kerana ternyata dia lebih kuat daripada Balqis.

“Kalau kau lepaskan tangan aku baru aku setuju.” Jawab Balqis pula.

Oh, kau nak main- mainkan aku ya, kita tengok siapa yang akan dipermainkan. Balqis ketawa dalam hati.

“ Betul kalau aku lepaskan kau, kau akan setuju?” tanya Ryan pula.

“ Betul percayalah.” Ujar Balqis dengan muka diseriuskan.

Akhirnya, dengan perlahan- lahan Ryan melepaskan tangan Balqis yang kemas dalam genggamannya tadi. Sedikit sebanyak Ryan percaya pada kata- kata Balqis yang sebenarnya mempunyai banyak helah.

Balqis tersenyum bila jerat mengena. Dengan pantas dia menarik tangan dan sepantas kilat dia menyelubungkan diri di dalam selimut tanpa memberi jawapan yang tepat pada  Ryan. Ternyata Ryan terkejut melihat reaksi isterinya yang berjaya mengenakannya. Dia terkena lagi dengan kepintaran Balqis.

“ Qis, kau setuju ke tak ni?” Tanya Ryan. Dia cuba menrik selimut yang membungkus tubuh Balqis namun Balqis kejap memegang selimut itu.

“ Balqis!” ucap Ryan separuh menjerit.

“ Tunggu jawapan aku esok. Aku nak cari ilham dalam mimpi.” Balas Balqis dari dalam selimut. Suaranya seakan tidak kedengaran akibat terhalang oleh selimut yang tebal.

“ Qis! Kau ni degillah.” Bentak Ryan geram.

“ Padam muka kau siapa suruh kau kahwin dengan aku.” Balas Balqis pula.

“ Kalau tak terpaksa aku tak kahwin dengan orang degil macam kau ni.”

Balqis ketawa besar.

“ Ada aku kisah!” ujarnya lagi diakhiri dengan gelak yang cukup memedihkan telinga Ryan.

Ryan mengetap bibir. Cuba mencari jalan untuk mengenakan Balqis balik. Selepas puas berfikir dia tersenyum sendiri. Seakan ternampak mentol yang menyala di tepi kepalanya kerana idea telah ditemui.

“ Aku pun tak kisah tau.”

Ucapnya dengan satu ciuman lekat di pipi Balqis yang diselimuti selimut. Ryan tergelak apabila mendengar jeritan daripada Balqis. Pasti gadis itu bengang.Namun semakin Balqis bengang, semakin Ryan suka. Sebelum apa-apa terjadi padanya, Ryan pantas beredar ke sofa dan terus menyelimutkan badan. Di dalam selimut, dia tergelak sendirian apabila mendengar namanya dipanggil dengan lantangnya oleh Balqis.

“ Ryan!!!!”

 

 

BAB 10

“ BALQIS, cepat awak ke padang sekarang ada pemain sekolah kita cedera.” Arah Cikgu Azizan selaku guru yang menjaga perlawanan bola sepak itu. Tanpa banyak bicara Balqis bergegas dengan peti kecemasan dan berlari ke padang.

Balqis sedikit cemas melihat beberapa orang pelajar sedang mengerumuni seorang pelajar lelaki yang sedang duduk di atas rumput sambil memegang tanganya yang kelihatan berdarah. Siapa? Hati Balqis tertanya-tanya.

“ Tolong beri laluan sedikit, saya nak lalu.” Pinta Balqis sopan.

Selepas mendapat ruang, Balqis melutut berhadapan dengan pelajar lelaki itu dan dia terkejut apabila lelaki itu adalah Ryan teman sekelasnya.

“ Ryan..” Panggilnya lembut.

Ryan mengangkat muka dengan muka yang berkerut menahan kesakitan kerana luka di tangannya begitu memeritkan. Namun, demi melihat seraut wajah yang tenang di hadapannya itu dia tersenyum dalam kepayahan.

“ Qis, kau rupanya aku ingatkan siapa tadi.” Tegur Ryan.

“ Macam mana kau boleh luka teruk begini Ryan? Kau main bola ke kau pergi main pedang?”Balqis mula membebel.

Kini tinggal mereka berdua sahaja. Balqis memakai sarung tangan dan menarik tangan sahabatnya itu dan membelek- belek telapak tangan lelaki itu yang dipenuhi darah. Teruk juga lukanya dan mungkin memberikan kesan parut.

Ryan merenung Balqis yang asyik meneliti luka di telapak tangannya. Entah apa yang ada di fikiran Balqis Ryan tidak tahu.

“ Qis, kau tenung luka aku tu bukan boleh sembuh pun. Agak-agaknya tahun depan ke kau nak letak ubat. Nak tunggu luka tu tumbuh cendawan butang dulu ke?”Perli Ryan membuatkan Balqis terkulat-kulat.

Balqis tersengih seperti kerang busuk apabila di tegur begitu. Namun dia tetap menayang muka selamba. Biasalah nak cover malu.

“ Diamlah, aku nak tengok panjang mana luka kau ni.” Balasnya.

“ Sepanjang Sungai Pahang.” Usik Ryan sambil tergelak. Ternyata kehadiran Balqis sedikit sebanyak mengurangkan sakit tangannya itu.

Balqis menjeling geram. Memang begitu sikap Ryan bila dengannya, suka menyakat dan kadang- kadang menyakitkan hati tidak hairanlah kalau mereka sering bertikam lidah. Namun sikap itulah yang membuatkan Balqis senang dengan sikap Ryan.

“ Nak marahlah tu. Kau period eh.” Usik Ryan lagi tanpa mempedulikan wajah Balqis yang sudah bertukar kemerahan. Tetapi dia boleh bantai gelak lagi. Memang cukup menyakitkan hati dan jiwa Balqis.

“ Aku rasa ada yang nak hilang tangan ni.” Sinis Balqis. Dia mengetap bibir. Perangai Ryan bukan boleh dilayan sangat kalau meroyannya sampai memang boleh mendatangkan kemarahan.

Ryan menutup mulutnya tetapi wajahnya kelihatan merah akibat menahan gelak yang akan meletus bila- bila masa. Dia mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Takut juga kalau- kalau Balqis memotong tangannya itu. Nanti hilang kekacakan yang di kekalkan selama ini. Perasan betul Ryan ni.

“ Okey-okey aku surrender. Cepatlah balut luka aku ni, aku nak balik pula game dah habis tu.” ujar Ryan. Dia meluruskan sedikit kakinya yang kebas kerana asyik sangat bersila.

Tanpa berlengah Balqis mengambil air bersih lalu disiram perlahan- lahan ke atas kesan darah yang mula mengering itu. Berdecit Ryan menahan kesakitan tetapi Balqis langsung tidak mempedulikan semua itu. Inilah masa untuk balas dendam. Hati Balqis membisik nakal.

Kemudian, dia membersihkan sisa- sisa darah itu dengan kapas kering dan sidikit iodine diletakkan atas luka tersebut. Menjerit Ryan kerana kepedihan. Tapi Balqis tetap buat muka batu kerana memang dia sengaja menekan tempat luka itu. Biar padam muka Ryan.

“ Kau nak bunuh aku ke?” bentak Ryan kesakitan.

“ Ada juga hajat tu tapi aku pendam dululah buat masa ini.” Ujar Balqis tanpa perasaan.

Ryan membeliakkan mata sementara Balqis tergelak besar. Tangannya masih bergerak membaluti telapak tangan Ryan yang sudah siap dicuci.

“ Aku letak ubat ni buat sementara saja, balik karang kau pergilah klinik takut ada jangkitan kuman pulak. Macam mana kau boleh luka macam ni Ryan?” tanya Balqis ingin tahu.

Ryan menilik tangannya yang sudah siap dibalut oleh Balqis. Pandai juga balqis merawat orang ingatkan pandai bergaduh saja. Sempat lagi Ryan mengutuk temannya di dalam hati.

“ Aku terjatuh masa nak rampas bola tadi, ada orang tackel kaki aku sampai jatuh and aku tak sangka pula tempat aku jatuh tu ada batu tajam itu yang jadi macam ni.” Terang Ryan. Wajah Balqis dipandang dan bila mata mereka bertemu dia melemparkan senyuman.

“Kalau dah luka- luka begini lebih baik tak payah main lagi bagus. Kan susah kau nak makan dengan tangan yang luka macam ni. Nasib baik sikit kalau dua- dua tangan kau kena kan susah nak gerak.” Bebel Balqis membuatkan Ryan ketawa.

“ Kenapa kau ketawa?” tanya Balqis pelik.

“ Risau jugak kau dekat aku ya.” Ryan mengenyitkan mata.

Balqis menjelirkan lidah. Kepala lelaki itu diketuk dengan botol air kosong.

“ Aku tak risaukan kau tapi umi kau..”

“ Kenapa?” tanya Ryan pelik. Dia mengerutkan kening.

“ Kesian umi kau dapat anak cacat macam kau.” Balqis ketawa mengejek.

Ryan bengang. Memang jika bergaduh dengan Balqis memang dia tidak pernah menang pasti gadis itu yang akan menang. Disebabkan itulah Balqis lain dari kawan perempuannya yang lain.

“ Kau ni memang nak kena hempuk dengan aku Qis.” Balas Ryan geram.

“ Tangan separuh OKU ada hati nak hempuk aku.” Balas Balqis pula tidak mahu mengalah.

Dia mencabut sarung tangan yang digunakan tadi dan bersiap- siap mengemas barang- barang untuk beredar. Jika dia terus melayan Ryan pasti esok belum tentu dia balik lagipun karnival sukan yang dianjurkan oleh sekolah mereka sudah hampir ke acara penutup.

“ Yang kau pakai sarung tangan itu kenapa?” tanya Ryan tiba- tiba selepas berdiam diri.

Balqis berpaling dan mengangkat kening ala- ala The Rock kerana pelik dengan pertanyaan Ryan yang tiba- tiba itu. pelik ke aku pakai sarung tangan?

“ Kau bukan muhrim aku takkan aku nak pegang tangan kau pula. Tak pasal- pasal aku dapat dosa kering kontang. Kalau kau laki aku tak apalah.” Jawab Balqis tenang.

“ Kalau suatu hari nanti aku ditakdirkan jadi laki kau bagaimana?”

 

“ EH, Ryan yang kau termenung ni kenapa?” kedengaran suara Khairul memecah tembok lamunan Ryan yang jauh melayang ke zaman persekolahan mereka dahulu. Dia kembali ke alam realiti yang memang tidak terjangkau dek fikirannya semasa dahulu.

“ Kenapa kau termenung?” tanya Khairul lagi sambil melabuhkan punggung di tepi Ryan. Wajah temannya sedikit gelisah seperti ada sesuatu yang menganggu. Bunyi bising di pusat boling malam itu tidak menjejaskan perbualan mereka.

Seketika dia melemparkan pandangan ke arah teman- teman mereka yang sedang leka bermain. Suraya, Balqis, Shafiq dan Nisa sedang bergembira melihat pin- pin jatuh apabila bola dilontarkan cuma Ryan dan Khairul sahaja yang duduk bagi melepaskan lelah selepas penat bermain sebentar tadi.

“ Aku tengok kau macam ada masalah aje. Tak nak cerita kat aku ke?” soal Khairul lagi selepas pertanyaan sebentar tadi tiada respon daripada Ryan.

Ryan mengeluh berat. Dia pun tidak tahu apa yang sedang menganggu fikirannya saat ini Cuma apa yang pasti kebelakangan ini dia asyik teringat kenangan di zaman persekolahan dahulu. Kenangan yang banyak memberi kesan kepadanya.

“ Aku tak tahu Rul sampai bila aku nak tipu umi aku pasal perkahwinan aku ni. Dah banyak sangat aku tipu umi aku tu.” luah Ryan sambil meraup wajahnya yang kelesuan.

Buat seketika dia membuang pandangan ke arah Balqis yang ceria bersama- sama dengan teman mereka. Sekejap gadis itu tergelak sekejap gadis itu serius entah apa yang lawak sangat pun Ryan tidak tahu. Namun hati Ryan sedikit tercuit apabila Shafiq duduk berdekatan dengan Balqis. Hampir berselisih bahu mereka dan itu cukup mendatangkan ketidakselesaan di hati Ryan namun dia masih dapat menyembunyikannya daripada di hidu oleh Khairul.

“ Tapi kau ada alasan untuk buat macam itu. kalau aku jadi kau pun aku rela pilih Balqis daripada Nabila perempuan yang nak dijodohkan dengan kau tu. Nauzubillah.” Ujar Khairul pula.

Ryan tersenyum. Rupa-rupanya ada juga orang yang menyokong keputusannya. Memang keputusannya tepat tetapi keputusan itu juga telah menjerut lehernya sendiri. Walaupun hampir sebulan dia mendirikan rumahtangga dan hidup tidak seperti pasangan suami isteri yang lain namun Ryan tetap gembira tetapi dia masih bingung memikirkan hujung perkahwinan mereka.

Sekarang ini Ryan dan Balqis telah pun tinggal di rumah yang dihadiahkan oleh Puan Rahina sempena perkahwinan mereka. Walaupun di hadapan Puan Rahina mereka berlakon tetapi itu cukup membuatkan Ryan merasa bersalah kerana menipu uminya sendiri dalam diam. Semalam uminya baharu sahaja menimbulkan pasal anak, berpeluh dahi Ryan dan Balqis untuk menjawab soalan itu. nasib baik otak Ryan cepat berputar. Alasan belum bersedia dijadikan alasan yang utama. Untung Puan Rahina faham, jika tidak jenuh juga Ryan hendak membuat alasan.

“ Aku berharap tiada lagi masalah yang berlaku selepas ini dan jika semuanya berjalan lancar aku akan berpisah juga dengan Balqis aku tak nak terus menyusahkan dia.” Luah Ryan ihlas. Sememangnya dia tidak mahu terus menyusahkan temannya itu.

Khairul sedikit tersentak mendengar keputusan Ryan. Ingatkan selepas berkahwin mereka boleh terus bersama lagipun pada pandangan Khairul, Ryan dan Balqis kelihatan serasi. Macam lagu Nurul dan Ajai itu Semakin Hari Semakin Serasi.

“ Tak boleh ke kalau kau teruskan saja hubungan korang ni. Tak salah aku rasa kalau kau teruskan hubungan ini sebagai suami isteri lagipun setahu aku, Qis tak ada boyfriend dan kau pun tak ada awek. Ataupun kau masih belum dapat lupakan Zarryn?” soal Khairul membuatkan Ryan tersentak. Tak sangka Khairul dapat membaca fikirannya.

Ryan mengeluh berat. Kenyataan yang tidak mampu dia elakkan. Cinta pertama payah hendak dilupakan. Dia mengangguk lemah mengiyakan kata- kata Khairul.

“ Zarryn gadis pertama yang dapat membuka pintu hati aku untuk cinta sebab itu aku payah nak lupakan dia. Kadang- kadang aku berharap yang dia akan kembali dalam hidup aku semula.” Ujar Ryan.  Serentak wajah jelita Zarryn melayar ke kotak fikiran mengantikan wajah manis milik Balqis.

“ Tapi Ryan kau jangan tertipu dengan kata hati kau sendiri dan jangan menyeksa perasaan kau sendiri. Aku tahu dalam diam kau pun ada hati pada Qis kan? Sebelum Zarryn hadir dalam hidup kau, Balqis dahulu yang mendapat tempat di hati kau kan?” tekaan Khairul membuatkan Ryan tergelak.

“ Aku tak pernah ada hati pada  Balqis. Dia kawan aku, kawan- kawan tak boleh kahwin tau.” Ryan berseloroh. Anak mata coklatnya dilarikan ke tempat lain. Bimbang Khairul dapat membaca apa yang tersirat disebalik matanya itu.

Khairul tersenyum penuh makna. Dia tidak mempercayai apa yang Ryan katakan. Dia memandang ke arah Balqis yang kelihatan berbual mesra dengan Shafiq, tiba- tiba dia mendapat akal untuk menguji sejauh mana kebenaran kata-kata Ryan sebentar tadi.

“ Betul kau tak kisah kalau Qis rapat dengan lelaki lain?” tanya Khairul sambil mengangkat kening.

Dengan penuh keyakinan, Ryan mengelengkan kepala. Air 100 Plus diteguk perlahan.

“ Betul ni kau tak kisah? Mana tahu Balqis dapat penganti dengan kawan kau sendiri.” Uji Khairul lagi cuba menarik perhatian Ryan.

“ Apa maksud kau?” Tanya Ryan pelik.

Khairul tersenyum.

“ Cuba kau tengok sana Balqis dengan Shafiq, aku tengok mereka sesuai juga kalau bersama. Apa kata kalau kita satukan mereka. Lepas ini masalah kau selesailah.” Provok Khairul lagi dan ternyata provokasinya menjadi apabila Ryan tidak lepas daripada memandang Shafiq dan Balqis yang sedang bergelak tawa gembira.

Ryan cuba bersikap selamba. Sepantas kilat dia melarikan pandangan ke tempat lain. Air tin yang terhidang di hadapan mata diteguk dengan rakus. Tanda protes. Dia cuba meneutralkan keadaan dirinya yang tiba- tiba sahaja panas melihat kelakuan isterinya yang dianggap berlebihan. Walaupun tidak bersentuhan tetapi Ryan merasakan Balqis tidak perlu melayan Shafiq dengan begitu mesra sekali.

Khairul mula perasan perubahan air muka Ryan cuma mampu tersenyum. Tadi kata tak kisah sekarang nak marah. Ryan, Ryan kalau dah suka mengaku sahajalah.

“ Aku nak balik dululah. Dah lewat ni esok aku nak kerja.” Ucap Ryan tiba- tiba.

Dia bingkas bangun dan mendapakan Balqis yang masih lagi bergembira. Memang tak ingat dunia Balqis ini kalau sudah bermain. Macam budak tadika pun ada juga.

“ Qis sini kejap.” Panggil Ryan cuba mengawal suaranya yang kedengaran gementar akibat menahan rasa.

Balqis berpaling apabila mendengar namanya dilaungkan. Siapalah yang menyibuk menganggu konsentrasi aku ni? Bentak hati kecil Balqis.

“ Hah, kau nak apa? Aku tengah syok main ni.” Ujar Balqis setelah Ryan dihampiri. Dia langsung tidak menyedari akan perubahan pada wajah Ryan.

“ Syok bermain ke syok berbual dengan Shafiq?” tanya Ryan sinis. Mukanya serius.

Balqis mengarukan kepalanya yang beralaskan tudung. Walaupun kepalanya tiada kelimumur tetapi tetap gatal mendengar bicara Ryan yang pelik. Sejak bila Ryan pandai serius ni?

“ Aku main lah. Dah takkan aku nak main dengan penuh kesusilaan pulak mestilah aku bersembang dengan dia.” Jelas Balqis.

Bunyi bising di pusat boling itu menyukarkan pendengaran Balqis untuk fokus pada butir bicara Ryan. Namun daripada pandangan Ryan nampak sangat lelaki itu tidak suka dia berbual dengan Shafiq. Tapi kenapa?

“ Kau jangan banyak songeh Qis, dah jom balik. Esok nak kerja pulak.” Mood Ryan masih lagi belum pulih.

“ Kalau kau nak balik, kau baliklah dulu aku boleh balik dengan Suraya ke tak pun Shafiq boleh hantar aku.” Ucap Balqis tanpa rasa bersalah. Dia tidak mengerti perubahan wajah Ryan yang sakit hati melihat kemesraan dia dengan Shafiq, sekarang ini dia masih menyebut nama temannya itu. Memang nak cari nahas.

Ryan memandang Balqis dengan tajam seolah- olah memberi amaran.

“ Aku cakap kita balik sekarang!” Ryan mula meninggi suara.

Balqis terkedu dengan sikap Ryan yang mula berubah. Emotional la pula.

“ Okey-okey. Tak payah nak marah- marah.”

 

“RYAN, aku nak makan.” Balqis cuba memancing Ryan untuk berbicara. Sejak pulang dari pusat boling tadi Ryan langsung tidak mengeluarkan suara. Mahal sangat ke suara dia itu. Balqis bukan nak sangat dengar suara Ryan, cuma dia tidak sedap hati kerana Ryan seolah- olah marah padanya. Tapi dia tidak tahu apa kesalahannya.

Ryan diam. Matanya masih tepat memandang jalan raya. Sedikit pun wajah Balqis tidak dipandang. Hatinya masih bengkak dengan kejadian tadi. Namun jika difikirkan balik, Ryan tiada perasaan pada Balqis tapi mengapa perlu dia merasa sakitnya?

Balqis mula berasa bosan bila kata- kata dia tiada balasan. Dia menjeling ke sisi. Ryan masih lagi dengan muka ketatnya. Namun itu bukan alasan untuk Balqis mendiamkan diri. Otaknya tengah ligat berputar untuk mencari idea supaya Ryan mahu berbual dengannya.

“ Hai lah cermin kenapa kau tak nak cakap dengan aku? Apa dosa aku ya?” perli Balqis sambil mengetuk-ngetuk cermin kereta. Mata bundar miliknya di lirikkan pada Ryan yang tenang memandu.

Sedaya mungkin Ryan cuba mengawal bibrnya yang ingin menguntum senyum. Ternyata kata- kata Balqis tadi mencuit hatinya. Kata-kata yang sengaja ditujukan padanya. Tidak dapat tidak akhirnya dia tersenyum.

“ Kau memang sengaja nak mengada-ngada dengan aku kan? Lapar la apa la. Macam aku tak tahu tadi kau dah melantak nasi goreng kampung.” Ryan mula bersuara tapi dengan nada yang serius.

Yesss..akhirnya cermin bersuara jugak.”

Balqis menjerit keriangan membuatkan Ryan mengelengkan kepala. Dia mencubit peha Balqis membuatkan Balqis menjerit kesakitan.

“ Oii, sakitlah la. Kau ingat aku ni span ke nak cubit- cubit macam ketam je kau ni. Spesis ketam batu ke kau ni.” Marah Balqis dengan wajah berkerut.

“ Itulah siapa suruh kau panggil aku cermin. Muka handsome macam ni kau cakap macam cermin.” Bebel Ryan. Suaranya kembali ceria.

“ Dah aku tanya, kau tak jawab, bila aku tanya cermin baru kau jawab. Maknanya kau cerminlah.” Jawab Balqis sambil mengekek ketawa.

Ryan hanya mengelengkan kepalanya dengan perangai Balqis yang agak kebudak- budakkan. Tetapi perangai itulah yang selalu membuatkan dunia Ryan ceria. Tanpa suara riang Balqis, Ryan pasti kemurungan.

“ Betul ke kau lapar? Kalau betul aku nak singgah mana- mana warung ni.” Tanya Ryan. Wajah Balqis dipandang sekilas.

“ Tak adalah aku dah kenyang.” Jawab Balqis tersenyum.

“ Tadi kata lapar.”

“ Itu tadi, sekarang dah tak lapar.” Balas Balqis.

Ryan hanya menjungkitkan bahu. Kalau itu yang Balqis ucapkan buat apa dia membantah.

“ Ryan, esok aku nak keluar dengan Shafiq, kau nak ikut?” tanya Balqis.

Pertanyaan itu betul- betul mengundang rasa cemburu dalam hati Ryan. Sedaya upaya dia ingin menepis namun bila nama lelaki lain terbit dari bibir mungil itu, hati Ryan menjadi kacau. Mati segala senyuman manisnya.

“ Nak keluar buat apa? Tadi kan kau dah jumpa dengan dia.” Tanya Ryan tegang.

“ Saja. Dia ajak aku keluar so aku ajak kau juga. Kau dengan dia kan kawan baik sejak dulu lagi. lagipun kita dah lama tak keluar sama- sama. Last keluar masa form four dulu.” Ujar Balqis.

Dia langsung tidak mengesan akan perubahan pada air muka Ryan yang masam. Dia fikir Ryan pasti akan membenarkan untuk dia keluar dengan Shafiq.

“ Kenapa tak ada perempuan lain ke dia nak ajak selain kau? Kenapa dia tak ajak Anisa je. Bukan ke dia syok dengan Anisa dulu?” bentak Ryan.

Dia memandang ke luar tingkap sebelum matanya terus difokuskan ke hadapan. Dia tidak mahu Balqis perasan akan perubahan wajahnya yang sedang ditiup api cemburu. Untuk apa dia cemburu, Ryan sendiri tidak tahu. Apa yang dia tahu Shafiq sengaja ingin mendekati isterinya itu.

“ Entahlah dia cakap dia rindu kat aku.” Jawab Balqis dengan tawa. Dia merasakan perkara itu hanya gurauan tapi bagi Ryan hati dia bagaikan direntap bila mendengar jawapan daripada Balqis.

Ryan mengetap bibir. Sakitnya hati hanya ALLAH yang tahu. Tetapi dia tetap bersabar.

“ Aku tak benarkan kau pergi esok.” Tegas Ryan.

Balqis berpaling. Tersentak dia mendengar suara Ryan yang cukup tegas.

“ Kenapa?” tanyanya pendek.

“ Tak perlu aku bagi jawapan. Apa yang penting aku tak nak kau keluar dengan dia esok. Malah bukan setakat esok, lusa tulat dengan anak cicit dia, aku tak nak kau keluar dengan Shafiq.” Jawab Ryan. Dia tidak memberi Balqis pilihan.

“ Tapi ini tak adil untuk aku. Dia kawan kita, apa salahnya kalau aku keluar dengan dia. Bukan nak buat apa- apa pun.” Balqis cuba memujuk.

“ Bila aku cakap tak boleh, maknanya tak boleh. Sejak bila pulak kau pandai bantah cakap aku ni? Kau dah suka kat Shafiq ke?” tanya Ryan serius.

“ Kalau aku suka dekat dia bukannya urusan kau.” Jawab Balqis. Dia sengaja menguji kesabaran Ryan. Sakit juga hatinya bila Ryan cuba mengongkong pergerakannya.

Ryan brek mengejut membuatkan Balqis terdorong ke hadapan. Kepalanya terhantuk pada dashboard kereta. Dia mengaduh kesakitan.

“ Apa ni Ryan? Kalau kau sakit hati sangat pada aku jangan sampai nak bunuh aku.” Marah Balqis. Dia mengosok- gosok kepalanya yang terasa sakit akibat hentakan.

Ryan juga terkejut dengan tindakan refleksnya itu hingga menyakitkan sahabatnya itu. dia menyesal dengan tindakan terburu- burunya tadi.

“ Aku mintak maaf. Aku tak sengaja. ” Ucap Ryan.

Dia mengerakkan sedikit badannya merapati Balqis yang bermasam muka. Dia menarik wajah Balqis supaya menatap wajahnya. Mata hitam gadis itu ditenung dalam. Cuba mencari kebenaran daripada kata- kata Balqis sebentar tadi.

“ Apa ni?” marah Balqis lagi. dia cuba melarikan pandangan ke arah lain namun Ryan terlebih dahulu bertindak dengan mengucup dahinya yang terkena hentakan tadi. Balqis terpana dengan tindakan Ryan yang tiba- tiba. Pantas sahaja jantungnya berdegup laju.

“ Aku mintak maaf Qis aku tak sengaja tadi.” Ucap Ryan sambil mengusap pipi isterinya. Terasa seperti ada perasaan lain yang menjentik tangkai hatinya bila merenung wajah yang penuh tanda tanya itu.

Balqis menepis tangan Ryan yang lembut menyentuh pipinya. Belum pernah Ryan berperangai seperti itu.  Balqis rasa tidak selesa dengan pandangan Ryan yang agak berlainan daripada biasa. Apa yang terjadi kepada lelaki itu?

“ Okey- okey aku maafkan tapi aku nak tanya kau sikit.” Balqis membetulkan duduknya daripada menghadap Ryan.

“ Apa dia?” Tanya Ryan.

“ Bila kita nak balik ni? Aku dah mengantuk.” Ucap Balqis selamba.

Ryan tersentak tetapi akhirnya dia ketawa kecil. Balqis memang pandai mengalih topik perbincangan mereka. Lantas, enjin kereta dihidupkan semula.

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.