Tetamu Rindu

Saturday 1 August 2015

JADIKAN AKU YANG KEDUA ( BAB 1 )




BAB 1
NUHA tolong hantarkan air ni…” Arah Puan Maryam setelah selesai membancuh kopi O dan meletakkanya di atas dulang.
Nuha hanya mengangguk dan mengikut arahan yang diberikan. Maklumlah hari ini hari pertama dia bekerja di kantin sekolah setelah tamat SPM. Rasa kekok pula nak bekerja selepas sekian lama menghadap buku dan kerja sekolah.
“Siapa yang pesan air ni, mak cik?” Soal Nuha lembut.
“Cikgu Thaqif…” beritahu Puan Maryam dengan senyuman.
Cikgu Thaqif? Nuha menelan air liur. Hatinya berdebar- debar. Tanpa menunggu lama dia menatang dulang dan berlalu ke kantin guru.
Nuha menolak pintu gelongsor dan mencari kelibat Cikgu Thaqif yang tidak kelihatan. Dia memandang ke sudut meja yang menempatkan makanan. Dia tersenyum memandang belakang lelaki yang berkemeja biru lembut. Cikgu Thaqif…seru hatinya.
Tiba- tiba Cikgu Thaqif berpaling dan terkaku memandang Nuha yang sedang berdiri di sisi meja tidak jauh daripadanya. Namun, tiba- tiba bibirnya mengukir senyuman.
“Awak kerja dekat sini, Nuha?” soal Cikgu Thaqif seraya melabuhkan punggung di kerusi. Pinggan yang berisi nasi dan lauk diletakkan di atas meja. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan malu- malu untuk memandang wajahnya.
“Haah cikgu sementara tunggu result keluar…” balas Nuha lembut.
Cikgu Thaqif hanya mengangguk dan tersenyum. Dia menunduk dan meneruskan suapan manakala Nuha berlalu dengan hati yang berdetak. Aura Cikgu Thaqif sangat kuat pada dirinya. Sampaikan lidahnya kelu untuk berkata lebih.
Nuha tersenyum. Wajah Cikgu Thaqif bermain di fikirannya. Cikgu Thaqif seorang lelaki yang tenang, seorang yang tegas dan yang paling penting, seorang yang….kacak. Nuha tersenyum lagi.
“Amboi Nuha, apa yang disenyumkan tu?” laung Mak Cik Zakiah sewaktu Nuha masuk ke kawasan dapur.
Nuha tersengih. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Senyum sebab ingatkan Cikgu Thaqif, makcik. Bisik hatinya nakal. Kemudian dia meneruskan kerja yang terbengkalai. Roti burger dan daging burger yang sudah digoreng diambil.
“Qif tu tak nak kahwin lagi ke, Kak Yam? Dah setahun arwah pergi, kesian pula tengok si kembar tu tak dapat kasih sayang ibu,” tanya Mak Cik Zakiah yang sedang memotong sayur untuk dimasak tengah hari nanti.
Nuha hanya memasang telinga apabila nama Cikgu Thaqif disebut. Entah kenapa saat nama cikgu lelaki itu disebut pasti jantungnya berdegup.
“Entahlah Yam, Qif tu sayang sangat arwah Wahi tu. Dah penat akak suruh dia kahwin tapi dia tak nak. Bukannya akak nak suruh dia lupakan arwah tapi biarlah Dani dan Dania tu ada ibu bila besar nanti,” Puan Maryam meluahkan rasanya bersama keluhan berat.
“Kadang- kadang kesian pula saya tengok si Qif tu. Terpaksa bawak si kembar ke kantin. Mana nak kerja, mana nak jaga budak berdua tu lagi. Dahlah si kembar itu semakin membesar,” sambung Mak Cik Zakiah sambil mengupas bawang pula.
“Akak pun tak tahu macam mana nak nasihatkan anak akak yang sorang tu…” keluh Puan Maryam lagi.
Tiba- tiba perbualan mereka berdua terganggu apabila kedengaran suara anak kecil yang menangis. Sepantas kilat, Puan Maryam melangkah menuju ke bilik rehat yang telah dikhaskan untuk menjaga cucu kembarnya.
Telinga Nuha dapat menangkap suara tangisan itu makin kuat. Sayu pula mendengar keluhan hati Puan Maryam tadi. Kata- kata Puan Maryam membuatkan Nuha terfikir, sampai bila Puan Maryam mampu menjaga cucunya sedangkan wanita itu semakin berusia? Tidakkah Cikgu Thaqif memikirkan semua itu?
Syyhhh…sayang cucu opah. Kenapa menangis ni?” ucap Puan Maryam sambil menepuk-nepuk belakang Dani dengan lembut.
Nuha mengangkat muka. Kesian pula dia melihat anak kecil yang berusia satu tahun itu menangis sampai merah wajahnya. Dia tersenyum pada Dani dan tiba- tiba tangisan Dani terhenti.
“Mama…” ucap Dani sepatah.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur.
Puan Maryam tersentak. Dia memandang wajah cucunya dan Nuha silih berganti. Biar betul apa yang aku dengar tadi?
“Nuha cuba kamu dukungkan si Dani tu…” suara Mak Cik Zakiah membuatkan Nuha terkedu. Aku dukungkan si Dani? Biar betul?
Lalu, Puan Maryam menghulurkan tubuh Dani pada Nuha. Dengan teragak- agak Nuha menyambut. Namun, saat tubuh Dani berada dalam dukungannya, anak kecil itu senyap dan melentokkan kepalanya di bahu Nuha. Sungguh, hati Nuha tersentuh saat itu. Dia membelai belakang Dani dengan lembut.
Puan Maryam tersenyum simpul. Suka dia melihat Dani yang kelihatan manja dengan Nuha. Nampaknya kata- kata Mak Cik Zakiah tadi ada benarnya. Dani dan Dania perlukan seorang ibu.

THAQIF selesai makan dan mula melangkah ke dapur kantin untuk berjumpa dengan ibunya sekali gus menjenguk buah hati pengarang jantungnya. Si kembar yang semakin membesar. Lambang cinta Waheeda bersama dengannya dulu.
Sewaktu dia tiba di muka pintu, Thaqif dapat mendengar tangisan anak lelakinya. Pantas, dia mengatur langkah laju namun langkahnya terhenti apabila anak kecilnya itu menyebut satu perkataan yang begitu menyentuh hati lelakinya.
“Mama…”
Sepotong ayat itu cukup membuatkan Thaqif terkedu. Tanpa disedari air matanya menitis apabila terkenangkan anak kembarnya sudah setahun tidak merasa belaian seorang wanita yang bergelar ibu. Bukan dia tidak simpati pada anak-anaknya namun mampukah dia untuk menerima orang lain selain arwah Waheeda?
“Sayang anak papa menangis…” sampuk Thaqif lalu mendapatkan Dani yang berada dalam dakapan Nuha. Dia tersenyum sekilas pada Nuha yang kelihatan terkejut.
Thaqif cuba mengambil Dani daripada pelukan Nuha namun tidak semena- mena anaknya itu menangis sambil menghulurkan tangannya pada Nuha. Sungguh saat itu dada Thaqif dihurung sebak. Pandangannya dilarikan ke tempat lain.
‘Sayang, kalau sayang ada, abang tak perlu hadapi semua ini,’ desis hati kecilnya.
“Qif, biarlah Nuha yang dukung Dani. Dani tu rindukan ibunya kut,” ujar Puan Maryam.
Thaqif terdiam. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan tenang. Gadis itu membalas pandangannya bersama senyuman. Lantas, Thaqif menyerahkan Dani kembali pada Nuha. Sebaik saja Nuha mendukung Dani, anak kecil itu terus diam.
“Kamu nampak tak sentuhan seorang perempuan, Qif. Dani perlukan seorang ibu,” Bisik Puan Maryam sambil menepuk bahu anak lelakinya.
Thaqif tidak membalas. Hatinya menolak kata- kata Puan Maryam. Tiada siapa yang layak jadi ibu pada Dani dan Dania kecuali Waheeda. Selamanya tetap Waheeda dalam hati Qif, ibu. Bisik hati kecil Thaqif.
“Dania mana ibu?” soal Thaqif mengalih topik. Dia malas membincangkan perkara ini di hadapan Nuha. Gadis itu masih mentah untuk mengetahui apa yang dibincangkan.
“Ada dalam bilik tu. Tidur. Pergilah jenguk sekejap,” Puan Maryam bersuara.
Thaqif hanya mengangguk. Langkahnya di atur menuju ke bilik rehat untuk menjenguk puterinya.
Nuha tersenyum apabila dapat memeluk tubuh Dani yang kecil. Kemanjaan anak kecil itu menyentuh hati perempuannya. Percaya atau tidak, tiba- tiba dia rasa sayang pada Dani yang erat memeluknya.
“Lepas ni bolehlah Nuha tolong mak cik jagakan Dani dengan Dania. Mak cik pun tak larat sangat nak jaga budak semangat ni. Boleh kan?” soal Puan Maryam dengan senyuman.
Nuha berpaling dan membalas senyuman Puan Maryam dengan ikhlas. Dia mengangguk.
“Insya-Allah boleh. Tapi kerja saya macam mana?” Soal Nuha kembali.
“Pasal kerja tu kita letak tepi dulu, bila Dani dan Dania tidur, Nuha bolehlah sambung kerja tapi kalau dia terjaga Nuha tolong tengok- tengokkan. Lagipun mak cik rasa, Dani ni macam suka Nuha je,” ucap Puan Maryam sambil mencuit lengan Mak Cik Zakiah. Matanya dikenyitkan.
“Budak- budak kecil ni lain sikit Nuha, dia boleh baik dengan orang yang dia suka je. Nampaknya, tak lama lagi Dani ni dapat mama barulah. Tak gitu, kak?” usik Mak Cik Zakiah.
Nuha terkedu. Serta merta wajahnya berbahang panas. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain namun pandangan bertembung dengan anak mata Thaqif yang baru saja keluar dari bilik. Lama mereka bertatapan sebelum Nuha menundukkan pandangan. Jantungnya sudah berlari kencang terkena panahan lelaki berkaca mata itu. Ya Allah, tolong redakan perasaan aku!




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.