Tetamu Rindu

Friday 30 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab 19&20)


BAB 19

DATIN ZARINA menjengukkan kepala ke luar rumah. Dia tercari- cari kelibat Mardiyah yang tidak kelihatan. Ke mana agaknya Diya ini, takkan tak datang kot. Hati Datin Zarina mulai risau. Semalam sewaktu dia menelefon Mardiyah, gadis itu bersetuju untuk datang ke rumahnya hari ini. Tetapi sekarang jam sudah menunjukkan pukul lapan malam tetapi kelibat Mardiyah tetap tidak kelihatan.

“ Mama tak payah nak berharap sangatlah. Dia takkan datang percayalah. Daripada dia datang rumah kita lebih baik dia pergi dating dengan Raqeem.” Ammar bersuara.

“ Mungkin dia lambat sikit kot. Kamu cakap kereta dia rosak. Mama suruh kamu ambil dia kamu tak nak.” Bebel Datin Zarina.

Ammar mencebik. Matanya terus difokuskan pada kaca televisyen. Masa dia bukan diperuntukkan untuk gadis itu. Kalau ikutkan hatinya, memang Ammar hendak pulang ke apartmentnya sahaja daripada menatap wajah Mardiyah hari ini tetapi Datin Zarina menghalang.

“ Malaslah ma. Buang karan je.” Balas Ammar ringkas.

“ Tapi..”

“ Assalamualaikum..” bunyi satu suara mengejutkan mereka sekeluarga.

Datin Zarina tersenyum gembira. Manakala Ammar hanya mencebik benci.

“ Kan mama dah cakap, Diya pasti datang. Yani tolong bukakan pintu.” Arah Datin Zarina.

Yani hanya menurut perintah. Saat pintu dibuka dia tergamam bila melihat seorang gadis bertudung dan berbaju kurung sedang  berdiri di hadapannya sambil tersenyum manis menampakkan lesung pipit di sebelah kanan pipinya. Manisnya dia ini. Puji hati Aryani.

“ Assalamualaikum..” Ujar Mardiyah bila salamnya tidak disambut. Senyuman dihulurkan buat wanita yang berdiri di muka pintu. Ini pasti anak dara Datin Zarina yang akan bernikah tidak lama lagi. getus hati Mardiyah.

“ Wa’alaikummusalam..” jawab Aryani tergagap- gagap.

“ Maaf saya lambat sikit.”

Aryani mengangguk. Agak kekok untuk berbicara dengan gadis di hadapannya itu. nampaknya benar apa yang dikatakan oleh mamanya, Mardiyah seorang yang bersopan santun. Memang sesuai dengan abangnya. Aryani tersenyum lebar.

“ Tak mengapa. Jemput masuk akak. Dah lama mama tunggu.” Jemput Aryani lantas memberi laluan untuk Mardiyah masuk.

Mardiyah melangkah masuk ke dalam rumah Datin Zarina yang mewah. Kecut perut dia melihat rumah Datin Zarina yang dipenuhi perabot- perabot yang mewah. Terasa dirinya begitu kerdil di rumah yang sebesar istana itu. Kini Mardiyah sedar yang dia memang tidak layak untuk berada di dalam rumah itu apatah lagi menjadi menantu Datin Zarina dan Datuk Zainal. Ternyata Lydia lebih sesuai untuk bergelar menantu di dalam rumah yang serba mewah ini bukan dirinya yang asalnya dari kampung.

“ Sampai juga Diya rumah mama. Ingatkan dah lupa..” Datin Zarina bersuara lantas memeluk mesra tubuh Mardiyah.

“ Teksi saya lambat tadi. Saya harap datin tak marah.” Mardiyah memohon maaf.

“ Hai Diya, kita kan dah jadi keluarga, tak payahlah nak berdatin lagi dengan mama kamu itu.” Sampuk Datuk Zainal yang sejak tadi mendiamkan diri.

“ Entahlah kakak ni. We are one family. Apa yang nak disegankan.” Aryani menyapa sambil tersenyum.

Anyway Diya mama kenalkan ini Aryani dan itu Akhil.” Datin Zarina memperkenalkan anak- anaknya kepada Mardiyah.

Mardiyah hanya melemparkan senyuman buat Aryani dan Akhil yang tersenyum ke arahnya. Cuma Ammar sahaja yang bersikap dingin dengannya. Langsung tidak menyapa Mardiyah walaupun berada dalam rumah yang sama.

“ Jomlah kita makan mama. Akhil dah lapar ni.” Sungut Akhil anak bongsu keluarga Datin Zarina.

“ Ish kamu ini Akhil asyik makan je dalam kepala kamu tu. Tak ada benda lain dah ke?” tegur Datuk Zainal dengan kegelojohan anak lelakinya itu.

“ Ada papa. Aweks..” jawab Akhil selamba.

Serentak mereka ketawa kecuali Ammar yang tetap dengan muka ketatnya. Buang masa nak ketawa depan perempuan ni. Benaknya berkata- kata.

“ Am cakap sepatutnya hari ini Diya ada date dengan Raqeem kan? Kenapa batalkan?” Tanya Datin Zarina sewaktu mereka menjamu selera malam itu.

Mardiyah mengangkat muka memandang Datin Zarina. Sebenarnya dia agak kekok bila terpaksa makan berhadapan dengan Ammar kerana setiap kali dia menangkat muka pasti matanya bertembung pandang dengan mata hazel milik lelaki itu hingga mencetuskan rasa tidak selesa dalam diri Mardiyah. Tambahan pula ini kali pertama dia duduk semeja dengan lelaki yang amat membenci dirinya itu.

“ Tak jadi datin Raqeem ada kerja lain yang terpaksa dia uruskan.”

“ Kalau Raqeem tak ada kerja pasti kau keluar dengan dia kan. Aku tahu sangat kenapa kau dekat dengan Raqeem tu. Perempuan semua sama. Gila harta.” Ujar Ammar tiba- tiba.

Matanya tepat menikam anak mata Mardiyah yang hitam pekat. Berubah terus air muka Mardiyah bila dituduh sebegitu di hadapan keluarga Datin Zarina. Dia malu.

“ Am kenapa cakap macam itu pada Diya? Dia kan tetamu kita dan kamu tak patut cakap begitu. Kenapa, kamu cemburu Diya keluar dengan Raqeem?” Soalan Datin Zarina bagaikan peluru berpandu yang kena tepat pada Ammar.

“ Cemburu? Am tak ada masa nak cemburu pada perempuan macam ini. Berlambak lagi perempuan yang lebih baik daripada dia kalau mama nak Am carikan. Am tak perlukan perempuan macam dia dalam hidup Am. Kalaupun mama boleh terima dia, Am tetap takkan terima.” Jawab Ammar lantang mengejutkan Datin Zarina dan yang lain.

“ Along, depan rezeki ini..” tegur Akhil.

“ Tak mengapa memang salah saya sebab datang dalam kehidupan datin dan sekeluarga. Silap saya juga terjadinya pernikahan yang tak dirancang ni. Saya nak mintak maaf disebabkan kehadiran saya keluarga datin jadi kacau bilau.” Mardiyah bersuara sayu.

Sedih bila dia mengenangkan sikap Ammar yang amat membenci dirinya padahal peristiwa hitam itu sudah sebulan berlalu. Jika semua itu di bawah kawalannya, dia tidak mahu perkara yang memalukan itu berlaku dalam hidupnya kerana disebabkan perkara itu ayahnya meninggal dunia dan ibunya membuang diri Mardiyah daripada hidup mereka.

“ Ini bukan kesalahan Diya. Am stop it.” Marah Datuk Zainal.

“ Kenapa mama dan papa tak percayakan Am? Nampaknya mama dengan papa lebih pilih perempuan tak guna ni daripada Am. Kalau begitu lebih baik Am keluar je dari rumah ini.” Ammar memberontak.

Serentak dia bangun dari meja makan dengan mengangkat pinggan kotor menuju ke dapur. Sakit betul hati dia bila melihat wajah sugul milik Mardiyah. Sungguh dia benci dengan gadis itu.

Mardiyah menundukkan wajah. Dia menguis-nguis nasi yang masih bersisa di dalam pinggan. Terbantut selera untuk dia menjamah makanan yang telah dihidangkan.  Sebak hatinya bila teingat kata- kata Ammar sebentar tadi. Terasa begitu hina di mata Ammar.

“ Kak Diya janganlah sedih dengan kata- kata along tu. Dia tak dapat terima lagi dengan keadaan sekarang tambahan pula mama lebih suka Kak Diya daripada teman wanita along. Mungkin sebab itu along bengang. Kak Diya tak payah sedih ye. Kita makan lepas tu kita borak- borak.” Ucap Aryani cuba menenangkan Mardiyah yang kelihatan sedih.

Mardiyah tidak mampu untuk berkata apa- apa hanya senyuman hambar dilemparkan.

“ Tak ayulah Kak Diya sedih begini. Kakak orang Terengganu kan? Apa ek orang Terengganu cakap? Emm..senyum sokmo kan?” Akhil bersuara cuba menceriakan suasana.

Mardiyah tersenyum. sedikit sebanyak lawak Akhil tadi menjadi membuang keruh di hatinya.

“ Betullah tu. pandai Akhil cakap. Belajar kat mana?”

“ Belajar dengan awek kak..” jawab Akhil selamba membuatkan semua mata memandang ke arahnya.

“ Awek?” ujar mereka serentak.

Akhil menepuk dahi. Kantoi dah.

“ Nampaknya ada yang bakal nikah sekali dengan angah ni mama.” Usik Aryani sementara Akhil hanya tersengih malu. Datin Zarina turut ketawa.

“ Hmm, sebelum mama lupa, minggu depan Diya datang bermalam rumah mama boleh?”

“ Ada apa mama?” soal Mardiyah balik pelik dengan permintaan Datin Zarina yang tiba- tiba.

“ Yani kan dan nak nikah jadi Yani nak akak tolong sekali siapkan majlis Yani tu. Lagi meriah kalau akak ada sekali,” sampuk Aryani. Datin Zarina hanya mengangguk mengiakan apa yang dikatakan oleh anak gadisnya itu.

“ Tapi macam mana dengan….” Kata- kata Mardiyah mati di situ. Dia menunduk. Dengan keadaan Ammar yang masih membenci dirinya mana mungkin mereka tinggal sebumbung walaupun untuk jangka masa yang pendek.

“ Am maksud Diya? Pasal Am Diya tak payah fikirkan sangat. Mama kenal dengan perangai anak mama yang sorang tu. Dia taklah seteruk apa yang Diya nampak selama ni,” balas Datin Zarina.

Mardiyah hanya mengeluh berat. Apa yang boleh di katakan jika itu yang keluarga Datin Zarina mahukan.

“ InsyaALLAH mama,”

 

 

AMMAR memandang jutaan bintang di langit yang luas. Rasa tenang menyapa dirinya setelah berjaya mengusir rasa amarah yang hadir dalam dirinya sebentar tadi. Bukan niat dia untuk kurang ajar dengan mama dan papanya tetapi saat dia melihat wajah Mardiyah dan mendengar nama Raqeem meniti di bibir gadis itu hati dia menjadi sakit. Dia benci bila dia harus ada perasaan seperti itu. Perasaan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh hadir dan disebabkan itulah dia sengaja menghina gadis yang tidak bersalah itu di hadapan mama dan papanya.

“ Assalamualaikum…” bunyi satu suara mengejutkan Ammar yang sedang termenung melayan perasaan. Ammar kenal dengan suara itu tak perlu lagi berpaling.

“ Buat apa kau datang jumpa aku? Nak pujuk aku supaya terima kau gitu?” pintas Ammar tanpa menjawab salam Mardiyah. Salam yang dihulurkan hanya dijawab di dalam hati.

“ Tak saya takkan paksa untuk encik terima saya sebab saya bukannya pengemis cinta orang. Saya pernah rasa sakit disebabkan cinta, jadi saya takkan paksa encik untuk terima pernikahan ini. Saya redha dengan apa yang terjadi dan saya dah tahu apa penghujung pernikahan kita ini. Cuma saya nak tahu kenapa encik begitu membenci saya?”

Ammar tersenyum sinis. Dia berpaling pada Mardiyah yang hanya berdiri di tepinya. Gadis itu kelihatan ayu dengan baju kurung berwarna coklat tersarung di tubuh genitnya.

“ Aku rasa kau ada jawapan untuk itu. Tak payah tanya aku. Kau tanya diri kau.” Jawab Ammar cukup sinis.

“ Tapi saya betul tak tahu encik. Kalau saya ada salah saya mintak maaf. Tak boleh ke kalau encik terima saya sebagai seorang kawan?”

“ Kawan? Kau layak ke nak kawan dengan aku? Apa taraf kau perempuan kampung!” tengking Ammar.

Terkedu Mardiyah dibuatnya. Lelaki itu tidak pernah berubah malah tidak akan berubah. Dia menarik nafas sedalam- dalamnya. Kali ini dia sudah nekad kalau Ammar tidak mahu berbaik dengannya dia takkan paksa. Malah dia tidak akan merayu. Apa yang dilakukan tadi semata- mata ingin penuhi permintaan Datin Zarina supaya memujuk Ammar. Tetapi jika itu keputusan Ammar dia tidak akan merayu lagi.

“ Baiklah. Saya dah dapat jawapan daripada encik so lega hati saya sekurang- kurangnya saya tak terkilan bila kita berpisah nanti. Saya cuba nak buat baik tapi encik menolak, apa daya saya untuk memujuk.” Ucap Mardiyah tanpa rasa bersalah.

Ammar tercengang. Dia fikir Mardiyah akan merayu padanya tetapi ternyata dia tersilap. Gadis itu nampaknya gembira. Ammar bengang.

“ Kau memang perempuan tak guna.” Maki Ammar lagi.

Dia belum puas menyakitkan hati Mardiyah. Dia mahu gadis itu menangis di hadapannya.

“ Cakaplah apa yang encik nak cakap. Saya dah tak kisah. Anyway hanya tinggal dua bulan lagi untuk encik menghina saya dan selepas itu encik takkan nampak lagi muka saya yang tak cantik ini.” Ucap Mardiyah.

Sempat lagi dia melemparkan senyuman manis buat Ammar. Bukan ikhlas sangat senyuman itu sekadar untuk mengejek lelaki sombong itu.

Ammar menghampiri Mardiyah yang berdiri di hadapannya. Wajahnya didekatkan dengan wajah isterinya. Dia memandang tepat ke dalam anak mata bundar isterinya. Terkumpul semua rasa benci dan disalurkan terus ke anak mata itu.

“ Aku tak sabar nak tunggu hari itu.” ucap Ammar separuh berbisik.

Berkelip- kelip mata Mardiyah membalas pandangan Ammar yang menikam jiwa wanitanya. Berdebar juga jantungnya bila ditenung begitu. Namun Mardiyah hanya bersikap selamba.

“ Saya pun…” balas Mardiyah berani.

Dengan sengaja dia menentang pandangan Ammar yang sarat dengan kebencian. Tetapi dia sengaja menghadiahkan senyuman yang menggoda.

Pada masa yang sama kedengaran bunyi hon di luar pagar rumah menyentakkan Mardiyah dan Ammar yang seakan terkedu melihat senyuman manis isterinya. Mereka berpaling.

“ Kawan saya dah datang so saya balik dululah. Ingat Encik Ammar lagi dua bulan untuk encik melihat muka saya ni. Hanya dua bulan sahaja.” Ucap Mardiyah lantas beredar dari situ.

Ammar mengetap bibir. Geram kerana dipermainkan oleh gadis genit itu. Dia menghantar langkah gadis itu melalui pandangan matanya.

“ Menghitung hari detik demi detik….”

Kedengaran gemersik suara itu mengalunkan sebaris lagu menyebabkan Ammar terus mematikan pandangan pada gadis itu yang semakin menghilang di sebalik kereta Honda Accord yang terparkir di luar rumahnya. Ammar tertanya- tanya bila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali memandu kereta itu. siapa lelaki itu? Apa hubungannya dengan Diya? Ammar mendengus. Cemburu ke? Tak kuasa!

 


BAB 20

HOW the dinner?” Tanya Yusuf sewaktu dia dan Mardiyah berada di dalam kereta.

Hmm, everything fine.” Jawab Mardiyah.

Dia sebolehnya ingin menyembunyikan apa yang berlaku di rumah Datin Zarina tadi. Perihal Ammar yang menghina dirinya. Dia diam dan memandang ke luar tingkap melihat kepekatan malam.

“ Aku tahu kau cuba sembunyikan sesuatu daripada aku tapi kalau kau tak bersedia untuk cerita, aku tak kisah. Cuma siapa lelaki yang bercakap dengan tadi?”

“ Encik Ammar, bos aku.” Jawab Mardiyah ringkas.

Dahi Yusuf berkerut.

“ Maksud kau Encik Ammar, suami kau?” Yusuf inginkan kepastian.

“ Ha’ah.” Balas Mardiyah pendek.

Dia malas hendak bercakap panjang lebar tentang Ammar. Hanya menyakitkan hatinya sahaja. Lebih baik dia termenung memandang bintang- bintang di langit daripada membicarakan perihal Ammar.

Quite handsome. Beruntung kau.” Usik Yusuf sambil menyiku lengan Mardiyah.

Terbayang di mata Yusuf figura seorang lelaki yang tinggi lampai dengan badan yang tegap berdiri di hadapan Mardiyah sewaktu dia menjemput gadis itu pulang. Wajah lelaki itu memang kacak pada pandangan Yusuf di tambah lagi dengan kulit lelaki itu yang putih kemerahan. Tetapi pandangan lelaki itu pada Mardiyah sarat dengan kebencian dan itu menghairankan Yusuf. Jadi benar segala cerita Mardiyah selama ini bahawa suaminya tidak pernah menerima kehadiran Mardiyah.

Mardiyah hanya mencebikkan bibir.

“ Buat apa ada laki handsome kalau perangai mengalahkan anak jin dalam cerita Ahmad Albab.” Gumam Mardiyah.

Yusuf tergelak. Ada ke sama kan muka Ammar yang kacak itu dengan anak jin. Tak patut betul sepupu aku ni. Getus hati Yusuf.

“ Tak baik tau kau kutuk suami kau macam itu. Berdosa.” Yusuf memberi ingatan.

“ Kalau setakat suami di atas kertas aku rasa tak salah kot aku kutuk dia. Entah- entah di belakang aku bukan main lagi dia kutuk aku.” Bebel Mardiyah dengan bibir dijuihkan. Nampak sangat bencinya pada Ammar.

“ Diya, Diya daripada apa yang kau cakap ini aku nampak benci betul kau dengan suami kau tu. Kenapa dia ada buat perkara yang tak elok pada kau ke?” tanya Yusuf.

Wajah cemberut sepupunya dipandang sekilas. Jika dia tahu Ammar menyeksa Mardiyah, akan dia membuat perhitungan dengan lelaki itu. Dia tidak mahu Mardiyah terus disakiti apatah lagi gadis itu pernah kecewa oleh lelaki yang tidak berguna.

“ Kalau dia seksa diri aku, aku tak kisah tapi dia sakiti perasaan aku. Itu yang aku tak mampu bertahan. Aku tak tahu kenapa aku begitu hina di mata dia, harga diri aku begitu rendah pada dia padahal aku cuba berbaik dengan dia tapi dia tidak pernah hargai kebaikan yang aku lakukan. Aku tak minta dia terima aku sebagai isterinya malah aku sedar siapa diri aku, tetapi satu sahaja yang aku nak dari dia supaya dia hormatkan perasaan aku. Aku pun manusia biasa juga ada hati dan perasaan Suf.” Luah Mardiyah bersama sebak.

Yusuf terkesima sebentar mendengar luahan yang pertama kali terluah dari mulut Mardiyah.

Hold on Diya. Aku tak tahu apa yang berlaku antara kau dan Ammar tapi percayalah aku tetap akan bersama kau walau apa pun yang orang cakap pada kau. Kalau dia sakiti kau tahulah aku nak kerjakan dia.”

“ Terima kasih Yus, hanya kau yang aku percaya untuk simpan rahsia ini. Aku tak nak Isya tahu pasal semua ini, pasal Encik Ammar. Biarlah tak ada yang tahu pasal hal ini.”

Mardiyah mengesat air matanya yang mula menitis di pipi.

“ Tapi sampai bila Diya. Isya itu kawan kita malah kawan baik kau. Kalau dia tahu kau rahsiakan perkara besar ini daripada orang lain pasti dia kecil hati.” ujar Yusuf.

Mardiyah menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan- lahan. Perkara ini bukannya perkara mudah. Amat payah untuk dirinya menceritakan apa yang terjadi kepada orang lain walaupun orang itu sahabat baiknya sendiri.

“ Aku tak tahu Yus, mungkin sampai aku berpisah dengan Encik Ammar.” Ucap Mardiyah tenang.

What? Kau nak berpisah dengan Ammar?” Tanya Yusuf separuh terkejut.

“ Habis itu kau ingat aku akan menghabiskan seumur hidup aku dengan lelaki sombong yang menjengkelkan itu sampai aku tua tanpa seorang pun tahu kami dah bernikah. Tak Yus, aku tak nak memperjudikan hidup aku dengan mana- mana lelaki lagi. Cukuplah sekali aku terluka dengan Nizam dulu.” Ucap Mardiyah bersungguh- sungguh.

Sakitnya hati kerana dipermainkan amat menghiris jiwa lembut Mardiyah bila tunang tersayang dikebas orang tapi Mardiyah cuba berfikiran positif dengan menganggap jodohnya tiada dengan Nizam.

“ Kisah kau dengan Nizam dah jadi sejarah. Tak payah kau ingat lagi lelaki sengal itu. Kalau aku dapat Nizam tu, memang nahas dia aku kerjakan.”

Mardiyah tersenyum.

“ Memang aku dah lupakan dia cuma kadang- kadang kenangan dulu datang tanpa aku pinta. Aku cuma dapat mendoakan kebahagian dia dengan isteri pilihan dia. Mungkin aku bukan terbaik untuk dia.” Ujar Mardiyah sambil tersenyum hambar,

Buat apa dia terkenangkan orang yang telah melupakan dia. Hidup mesti diteruskan dan hidup dia pasti bukan untuk mana- mana lelaki lagi. Dia sudah lelah dalam mencari cinta yang sementara.

“ Baik mem, kita tutup cerita tentang Nizam. Macam mana dengan penerimaan Datin Zarina dan keluarganya?” Yusuf cuba mengalih topik perbualan.

“ Semuanya baik. Datin Zarina dengan Datuk Zainal tak kisah dengan apa yang berlaku pada aku dengan Ammar. Dia terima aku sebab diri aku sendiri dan bukan sebab aku dah bernikah dengan anak mereka. Anak – anak Datin Zarina yang lain pun terima aku dengan baik. Tadi Datin ada ajak aku datang masa anak perempuan dia nikah nanti.” Tutur Mardiyah ceria. Suaranya yang tadi sedih kembali bermaya.

“ Kau jelah? Aku?” usik Yusuf sambil menjeling pada Mardiyah.

“ Ish kau ni dah aku je yang datang rumah dia tadi mestilah dia ajak aku. Alah nanti- nanti mesti datin jemput kau jugak.”

“ Aku tahulah cik adik oi. Aku bergurau je. Kau ni lurus sangatlah.” Protes Yusuf.

“ Ye ke aku lurus. Habis itu kau bengkang- bengkok ke?” Mardiyah berlawak.

Yusuf tergelak. Mardiyah pun.

“ Kau balik kampungkan minggu lepas? Ada tak kau jenguk ibu dengan adik- adik aku?” tanya Mardiyah selepas tawa mereka reda.

Yusuf hanya mengangguk.

“ Ada tak mereka tanya pasal aku? Ibu tanya tak pasal aku?” tanya Mardiyah penuh mengharap. Wajah Yusuf ditenung dalam mengharap jawapan yang boleh menyedapkan hatinya.

Yusuf gelisah. Jawapan apa yang harus diberikan buat gadis polos ini. Yusuf tidak sanggup memberikan jawapan yang hanya mampu mengecewakan Mardiyah kerana kenyataannya Kamariah langsung tidak mempedulikan anak gadisnya ini malah nama gadis ini tidak dibenarkan disebut di rumah mereka.

“ Adik- adik kau kirim salam. Dia rindu sangat pada kau.” Ujar Yusuf ringkas masih menyembunyikan rasa gelisah kerana dia sudah dapat mengagak soalan Mardiyah yang seterusnya.

“ Ibu?”

Air mata Mardiyah bergenang bila mengetahui Rifqie dan Aisya merinduinya. Dia juga menanggung seksa kerana merindui keluarganya. Bukan tidak pernah dia menghubungi adik- adiknya tetapi setiap kali dia menelefon pasti talian akan diputuskan oleh ibunya dan itu yang membuatkan Mardiyah rasa terkilan. Kamariah masih belum dapat menerimanya.

“ Err..aku tak tahu Diya. Mak Yah tak cakap apa- apa kat aku.” Jelas Yusuf terpaksa berterus terang. Kedengaran keluhan terbit daripada mulut Mardiyah.

“ Aku dah agak mesti ibu tak dapat terima aku lagi. Tak mengapalah aku akan tunggu sampai ibu terima aku walaupun aku terpaksa tunggu hingga aku mati.” Lirih suara Mardiyah kedengaran.

“ Kau jangan cakap macam tu Diya, aku yakin Mak Mah pasti rindukan kau cuma dia tak tunjuk depan aku. Kau tahu kan tak ada ibu yang dalam dunia ini tak rindukan anaknya.” Nasihat Yusuf cuba memberikan semangat pada sepupunya itu.

“ Aku akan cuba belajar untuk terima semua ini Yus walaupun aku harus tunggu seribu tahun lagi. Aku tak tahu penghujung hidup aku, adakah aku akan terus hidup dalam buangan keluarga atau akan ada sinar buat aku akan datang.” Ujar Mardiyah. Dia cuba untuk tersenyum.

“ Ingat Diya, ALLAH selalu ada untuk hamba- Nya yang sentiasa ingat pada Dia. Luahkan semua perasaan kau pada Dia nescaya Dia sentiasa mendengar segala rintihan hamba- Nya.” Ucap Yusuf lagi.

Mardiyah hanya diam mendengar kata- kata Yusuf yang ada benarnya. Ya, hanya ALLAH tempat dia mengadu kerana ALLAH sahaja yang mengetahui segala yang tersembunyi.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.