BAB 5
“ALHAMDULILLAH,
empunya diri setuju. Jadi bila nak dilangsungkan?” soal Puan Aminah setelah
keluar dari bilik Nuha untuk menanyakan persetujuan anak perempuannya itu.
Puan Maryam meraup wajah dengan telapak
tangan. Senyumannya sampai ke telinga apabila Nuha telah bersetuju untuk
menjadi menantu keduanya.
“Alhamdulillah, kalau macam itu kita
langsungkan lagi dua bulanlah. Tak perlu bertunang lama- lama pun tak apa,
lagipun anak saya itu dah lama menduda,” ucap Puan Maryam sambil tersengih.
Puan Aminah dan Encik Idris hanya
tersenyum. Duda? Apalah nasib kau Nuha kahwin dengan duda? Macam tak ada anak
teruna saja. Desis hati Puan Aminah.
“Kalau macam itu kami ikut saja lagipun
memang tak elok juga bertunang lama- lama ni. Maklumlah darah manis, kalau dah
suka sama suka lebih baik percepatkan saja. Kami letakkan hantaran sebanyak
RM10 ribu, boleh ke?” Encik Idris menyampuk.
Puan Maryam terdiam. Dia memandang pada
wajah sahabat- sahabatnya yang lain. RM10 ribu? Namun, apabila difikirkan balik
nasib cucu- cucunya akhirnya Puan Maryam akur.
“Ya, saya terima RM10 ribu. Tapi saya
tak mahu adakan majlis persandingan cukuplah majlis akad nikah dan kenduri doa
selamat. Maklumlah ini adalah perkahwinan kali kedua anak saya jadi tak
perlulah buat secara besar- besaran, boleh?” pinta Puan Maryam mengharap.
Puan Aminah dan Encik Idris berbisik
sama sendiri. Mereka menganggukkan kepala membuatkan Puan Maryam terasa lega.
Alhamdulillah, urusan yang baik mesti dipermudahkan oleh Allah, bisik hati
kecilnya.
“Kami tak kisah lagipun Nuha memang
beriya-iya nak berkahwin jadi takkan kami nak halang pulak. Tapi dah jodoh dia
dengan duda beranak dua kan, apa boleh buat kan?” Encik Idris bersuara.
Kedengaran sinis di telinga Puan Maryam.
Puan Maryam mengagahkan diri untuk
tersenyum walaupuan hatinya terguris mendengar sindiran daripada Encik Idris.
Dia tahu lelaki di depannya ini hanya ayah tiri kepada Nuha tapi lagaknya
mengalahkan ayah kandung.
“Walaupun duda, tapi si Thaqif ni jejaka
idaman Malaya. Ramai yang nak jadi isteri si Thaqif ni bang, cuma Thaqif pilih
Nuha jugak. Beruntung Nuha dapat suami yang baik macam Thaqif ni,” Mak Cik
Zakiah bersuara bagi pihak Puan Maryam.
Puan Maryam memandang wajah Mak Cik
Zakiah. Sejak bila pula ramai yang nak jadi isteri anak aku? Thaqif ni bukannya
peduli pasal perempuan, kalau tidak disebabkan Dani dan Dania yang suka pada
Nuha, belum tentu anak lelakinya itu mahu berkahwin.
Encik Idris terdiam. Dia menjeling
isterinya yang sedang tersenyum manis pada para tetamu.
“Lupakan pasal status tu, lagipun dah
jodoh mereka kita terima jelah. Hmm,
Puan Aminah ni cincin pertunangannya…” ucap Puan Maryam.
Dia menghulurkan kotak kecil baldu merah
kepada Puan Aminah. Kotak cincin bertukar tangan, Puan Aminah membuka kotak
tersebut. Dia tersenyum melihat cincin emas bertatahkan permata berwarna putih
bersinar di hadapan mata.
“Saya rasa lebih baik Puan Maryam yang sarungkan
cincin ni pada Nuha. Dia pun dah lama menunggu dekat dalam tu,” ujar Puan
Aminah.
Puan Maryam mengangguk lalu berdiri
sambil diikuti oleh Mak Cik Zakiah untuk mengiringi Puan Maryam ke bilik Nuha.
Dia tersenyum saat melihat Nuha yang duduk di birai katil memakai baju kurung
satin berwarna putih dipadankan dengan tudung yang turut berwarna putih. Wajah
itu kelihatan bersih dan tenang menyejukkan mata yang memandang.
“Assalamualaikum….” Salam dihulurkan
sebelum Puan Maryam melangkah masuk ke dalam bilik Nuha yang kemas.
“Wa’alaikummusalam…”
Nuha menjawab sambil mengangkat muka. Dia tersenyum manis melihat Puan Maryam
yang mula menapak masuk ke dalam bilik. Dadanya sudah berdebar kerana beberapa
minit lagi dia akan bergelar tunangan orang. Tunang kepada lelaki yang dikagumi
dalam diam. Ternyata mimpinya menjadi realiti!
Puan Maryam membalas senyuman Nuha. Dia
melabuhkan punggung di birai katil. Matanya tidak berkelip memandang wajah Nuha
yang kelihatan cantik disolek nipis namun wajah kebudak- budakan itu masih
belum pudar.
“Cantik Nuha hari ni, kalau Qif tengok
mesti dia terpikat,” usik Puan Maryam sambil ketawa kecil.
Nuha menundukkan wajah. Dia dapat
rasakan saat ini wajahnya sudah berona merah. Malu apabila menjadi perhatian
beberapa pasang mata yang berada di dalam bilik itu. Dia memandang wajah Puan
Maryam yang kelihatan gembira, seakan ingin menitis air matanya melihat anak
mata wanita itu yang sudah berkaca. Menangiskah wanita itu?
“Mulai hari ini, Nuha akan jadi tunang
Qif, bakal menantu mak cik. Mak cik harap sangat Nuha jadi menantu mak cik.
Anak mak cik perlukan seorang wanita bergelar isteri begitu juga cucu mak cik
perlukan seorang ibu. Mak cik percaya Nuha dapat pikul tanggungjawab itu,” ucap
Puan Maryam berbisik. Cukuplah dia dan Nuha saja yang mendengar.
Nuha terkelu. Harapan Puan Maryam
terlalu tinggi, dia bimbang harapan itu tidak dapat dipenuhi.
“Insya- Allah, mak cik. Nuha akan cuba
untuk pikul tanggungjawab tu walaupun Nuha tak tahu sama ada Nuha ni layak atau
tidak untuk gantikan tempat arwah isteri Cikgu Thaqif. Tapi Nuha janji akan
cuba menyayangi Cikgu Thaqif mulai sekarang,” balas Nuha.
Namun dalam hatinya hanya Allah yang
tahu betapa dia menyayangi Cikgu Thaqif bukan sekarang tetapi sejak pertama
kali dia melihat lelaki itu muncul di sekolah. Perasaan yang dirasakan ini
terlalu ajaib, dalam sekelip mata dia boleh jatuh cinta pada seorang lelaki
yang sudah berumahtangga!
Puan Maryam tersenyum manis. Dia percaya
Nuha boleh diharapkan kerana hatinya telah memilih gadis itu untuk menjadi
menantu keduanya. Lalu, Puan Maryam mengeluarkan cincin dan menyarungkan ke
jari manis Nuha. Sebuah ciuman kudus lekat di dahi bakal menantunya itu. Lalu,
tubuh Nuha dipeluk erat.
“Terima kasih sebab sudi terima pinangan
mak cik,” ucap Puan Maryam sebak. Dia berharap Nuha dapat menghalau segala
kesedihan yang menghuni hati anak lelakinya itu.
“Sama- sama, mak cik. Terima kasih sebab
sudi ambil Nuha jadi menantu yang kedua,” balas Nuha bersama senyuman namun air
mata kegembiraan mengalir di pipi. Dia membalas pelukan Puan Maryam dengan
erat.
“Sudahlah tu, sekarang waktu gembira
bukannya bersedih. Nanti mak cik pula yang menangis,” sampuk Mak Cik Zakiah yang sejak tadi menjadi
pemerhati.
Nuha meleraikan pelukan. Dia memandang
Mak Cik Zakiah yang berdiri di muka pintu. Satu senyuman manis dilemparkan. Di
sebelah Mak Cik Zakiah kelihatan Puan Aminah yang turut memandang dengan
pandangan yang sayu. Nuha tersenyum pada ibunya. Senyumannya berbalas. Sungguh
dia merasa bahagia saat ini!
KAWASAN
Tanah Perkuburan Islam Sri Setali kelihatan tenang tanpa gangguan. Namun, di
satu sudut, kelihatan seorang lelaki sedang melutut di tepi pusara yang sepi.
Daun- daun kering yang berterbangan di atas timbunan tanah, dibuang ke tepi.
Alunan surah Yassin meniti di bibirnya dihadiahkan khas untuk isteri yang
tercinta.
Selesai membaca Yassin, Thaqif memegang
nisan putih yang kaku tanda jasad seorang wanita yang amat disayangi telah
disemadikan dengan aman. Hampir setahun berlalu namun Thaqif tidak pernah jemu
mengunjungi pusara isterinya untuk bercerita tentang kehidupan sehariannya.
“Sayang apa khabar? Dah lama abang tak
jenguk sayang, kan? Abang sibuk sikit sejak kebelakangan ni tapi ingatan abang
pada sayang tak pernah padam. Abang harap sayang tenang di sana. Hari ini kan
sayang, ibu abang nak pergi melamar Nuha untuk jadikan ibu pada si kembar.
Abang tahu sayang mesti tak suka kan? Tapi abang tak nak kecewakan ibu lagipun
si kembar semakin membesar, jadi dia perlukan seorang ibu. Sayang tak marahkan?
Abang buat semua ini hanya untuk jalankan tanggungjawab abang sebagai seorang
ayah. Abang tak nak anak kita rasa kekurangan bila dia dah besar nanti,” ujar
Thaqif sambil menggosok batu nisan yang berwarna putih itu.
“Sayang jangan risau, abang masih
berpegang pada janji abang yang dulu. Tak ada seorang pun wanita yang mampu
menggantikan tempat sayang di hati abang. Kalaulah sayang masih ada, abang
tentu tak perlu tempuhi semua ini. Abang rindukan sayang, tersangat rindukan
sayang,” rintih Thaqif lagi.
Tanpa sedar air matanya menitis
membasahi bumi. Rindu yang dirasakan saat ini benar- benar menyeksa jiwa
lelakinya. Sukar untuk dia menepis bayangan Waheeda dalam fikirannya. Senyuman,
gelak tawa dan sentuhan wanita itu telah sebati dalam dirinya malah bayang
Waheeda sering muncul dalam mimpinya sehingga meragut rasa bahagia yang pernah
hadir dalam hidupnya dulu.
“Abang tak kuat Wahi untuk hadapi ujian
ini seorang diri. Abang perlukan Wahi. Abang rindukan Wahi…kenapa Wahi tak
tunggu abang sekali? Kenapa Wahi pergi tinggalkan abang seorang diri? Kenapa?
Kenapa?” Thaqif mengongoi di tepi nisan. Air mata yang berjuraian tidak
dipedulikan. Rasa seksa yang menikam jiwa membuatkan Thaqif menjadi seorang
lelaki yang lemah.
Thaqif mengesat air mata yang merembes
laju dengan lengan baju. Sejak Waheeda pergi meninggalkannya hampir setahun
yang lalu, air mata adalah peneman paling setia buat Thaqif. Sudah tiada tawa,
sudah tiada senyuman manis terukir di bibirnya semuanya gelap gelita. Kehadiran
Dani dan Dania adalah penguat semangatnya untuk meneruskan hidup.
“Abang janji depan pusara Wahi, cinta
abang takkan berubah untuk orang lain. Hanya Wahi cinta pertama dan terakhir
abang!” ucap Thaqif dengan penuh perasaan.
Dia menaburkan kelopak bungan mawar di
atas pusara Waheeda sebelum menyiramkan air ke atas tanah yang sudah mula
ditumbuhi rumput. Thaqif cuba untuk bertahan, dia cuba untuk menerima hakikat
bahawa cintanya terhalang oleh kematian.
THAQIF
menapak ke kawasan rumah teres setingkat yang kelihatan meriah dengan bunyi
gelak tawa orang di dalam rumah. Thaqif terasa segan kerana inilah kali pertama
dia menjejakkan kaki ke rumah bakal mentuanya yang baru. Walaupun beberapa kali
dia menolak ajakan Puan Maryam namun kali ini dia terpaksa akur dengan
permintaan Puan Maryam supaya dia hadir selepas selesai majlis pertunangan.
Tiba-tiba rasa debar menyerang jantung
Thaqif. Bagaimanakah agaknya penerimaan keluarga Nuha terhadapnya? Maklumlah
dia duda beranak dua tapi ingin menyunting anak dara yang masih belum cukup
matang. Bekas anak murid pula tu. Agak- agak ada tak orang lain buat macam aku
buat? Berkahwin dengan bekas anak murid yang sepuluh tahun lebih muda? Hati
Thaqif mula ragu- ragu.
“Assalamualaikum,” salam dihulurkan
dengan suara yang agak bergetar.
“Waalaikummusalam…”
salamnya berjawab.
Seorang wanita yang sebaya ibunya muncul
di depan pintu. Wanita itu kelihatan terpegun sewaktu menatap wajah Thaqif yang
tersenyum manis. Ini ke bakal mak mentua aku? Desis hati Thaqif.
Puan Aminah terpegun seketika melihat
raut wajah anak muda yang berdiri di hadapannya. Dengan ketinggian yang
sederhana, anak muda itu kelihatan segak dengan baju melayu berwarna putih yang
tersarung di tubuhnya yang tegap. Wajahnya tenang malah senyuman yang
dilemparkan cukup ikhlas pada pandangan tua Puan Aminah yang membuatkan Puan
Aminah turut tersenyum.
“Anak ni cari siapa?” soal Puan Aminah
lembut.
“Saya cari ibu saya, Puan Maryam. Dia
yang minta saya datang ke sini, mak cik,” jelas Thaqif ramah.
“Oh, jadi anak ni Thaqif ye. Jemput
masuk nak. Ibu kamu ada dalam bilik Nuha,” ucap Puan Aminah sambil
mempersilakan Thaqif untuk masuk ke dalam rumah.
Thaqif akur. Dia melangkah masuk ke
dalam rumah yang sederhana luas itu. Dia tersenyum pada tetamu yang ada.
“Jemputlah duduk, Thaqif. Mak cik ni mak
Nuha, ini ayah Nuha, Pak Cik Idris, itu pula kakak- kakak Nuha. Kak Nurin dan
Kak Naemah,” ujar Puan Aminah memperkenalkan Thaqif pada ahli keluarganya yang
lain.
Thaqif hanya tersenyum pada kakak- kakak
Nuha sebelum menghampiri Encik Idris untuk bersalam. Sungguh dia terasa kekok
apabila kakak- kakak Nuha memandangnya tanpa berkelip. Dia membetulkan cermin
matanya yang hampir melurut jatuh. Kemudian dia duduk bertentangan di sofa
bertentangan dengan Encik Idris selepas dipelawa oleh Kak Nurin.
“Umur Thaqif berapa?” soal Kak Naemah.
Matanya masih tertacap pada wajah Thaqif yang tenang. Anak kecil yang bermain
di ribanya tidak diendahkan.
“Umur saya 28 tahun kak, dah tua dah,”
jawab Thaqif bergurau. Dia cuba beramah mesra dengan keluarga tunangnya ini.
“Eh mana ada tua. Sama baya dengan Kak
Naemah. Tapi muka Thaqif nampak macam budak remaja lagi, awet muda ke?” sampuk
Kak Nurin ramah. Mereka ketawa.
Thaqif turut ketawa. Ya ke muka aku
macam budak remaja? Rasa macam dah kerepot je. Bisik hati Thaqif.
“Eh, tak adalah kak. Qif ni dah ada dua
orang anak dah. Kira dah tualah tu,” balas Thaqif sambil tersengih. Buat
seketika dia memandang pada Encik Idris yang masih mendiamkan diri. Terbit
perasaan risau dalam hati Thaqif dengan penerimaan Encik Idris.
“Lelaki ni tak pernah tua, Qif. Makin
tua makin hot,” sampuk Encik Idris
tiba- tiba.
Thaqif ketawa dengan kenyataan Encik
Idris. Dia menarik nafas lega apabila Encik Idris sudah mula bersuara.
Belum sempat dia membalas, kelihatan
ibunya dan Puan Aminah berjalan menuju ke ruang tamu. Thaqif bangun dan
mendapatkan ibunya. Kelihatan wajah Puan Maryam benar- benar gembira.
“Qif datang juga akhirnya, ibu ingat Qif
dah tak nak datang. Qif dari mana ni siap berbaju melayu lagi ni?” soal Puan
Maryam sambil memandang anak lelakinya daripada atas sehingga ke bawah.
“Qif dari tempat biasa, ibu,” jawab
Thaqif tanpa berdalih.
Puan Maryam terdiam. Dia tahu tempat
yang dimaksudkan oleh Thaqif adalah kubur Waheeda. Dia tahu anak lelakinya ini
masih belum dapat melupakan Waheeda sepenuhnya. Akhirnya tanpa membalas kata-
kata Thaqif dia melangkah menuju ke arah Puan Aminah. Dia duduk di sisi Puan
Aminah yang bersimpuh di atas permaidani.
Thaqif mengangkat bahu melihat reaksi
Puan Maryam yang diam membisu. Dia turut membuntuti langkah Puan Maryam dan
duduk di sebelah ibunya.
“Qif dah kenal semua bakal keluarga Qif
yang baru?” soal Puan Maryam lembut.
“Dah, ibu,” balas Thaqif lembut.
“Tak sangkakan mak Nuha dapat bakal
suami yang hensem macam ni. Patutlah nak kahwin cepat je, tak mahu terlepas
jejaka idaman Malaya,” usik Kak Nurin membuatkan wajah Thaqif mula merah. Dia
hanya tersengih.
“Itulah, mak pun tak sangka bakal
menantu mak kacak orangnya. Ingat ke bila Nuha cakap duda, mak terbayangkan
macam Jalaludin Hassan tapi rupa- rupanya hero Korea. Macam sebaya je dengan
Nuha,” balas Puan Aminah turut mengusik Thaqif.
Serentak dengan itu, mereka ketawa. Puan
Maryam turut ketawa. Dia dapat lihat wajah Thaqif yang semakin merah. Anaknya
ini cepat malu, pantang diusik pasti wajah itu merona merah.
Thaqif mengesat peluh yang mula memercik
di dahi. Naik segan apabila dirinya diperkatakan di tengah- tengah orang ramai.
Saat ini tiada satu pun yang dapat membantunya, sudahnya dia hanya tersengih
dan mendiamkan diri.
“Qif nak jumpa Nuha ke? Biar mak cik
panggilkan,” Puan Aminah menyambung.
“Errr…Qif
rasa tak payahlah lagipun esok Qif boleh jumpa dekat tempat kerja. Qif datang
pun sebab nak berkenalan dengan keluarga mak cik,” balas Thaqif. Dia masih
belum bersedia untuk bertemu muka dengan Nuha saat ini. Entah, perasaannya
bercampur baur. Sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa dia sudah menjadi
tunangan kepada gadis yang tidak pernah difikirkan selama ini.
“Esok lain cerita, hari ini lain
cerita,” Sampuk Kak Naemah sambil memberi isyarat pada Kak Nurin.
Kak Nurin akhirnya bangun dan masuk ke
dalam bilik Nuha. Tidak lama kemudian, kelihatan Kak Nurin berjalan seiringan
dengan Nuha yang menundukkan kepalanya. Thaqif sudah kehilangan arah.
Perasaannya sudah tidak keruan. Dahinya mula berpeluh- peluh melihat figura
Nuha yang mula menghampiri. Inikah dia bakal isteri aku? Ish, apa yang aku merepek ni? Bukannya aku tak pernah jumpa Nuha
malah sudah setahun aku jadi cikgu dia. Tapi kenapa lain benar Nuha hari ini?
desis hati Thaqif.
Nuha mula resah. Kalau ikutkan dia malu
untuk berhadapan dengan Thaqif saat ini. Dadanya sudah berdentum- dentam
memainkan irama yang tidak tentu arah. Bunyi bising di sekelilingnya tidak
langsung menarik perhatian Nuha malah debarannya makin kuat apabila dengan sengaja
Kak Nurin menyuruhnya duduk bertentangan dengan Thaqif.
“Apa kata kita makan ramai- ramai?
Rasanya sepanjang majlis ni berlangsung, tak ada pun yang makan lagi. Minah,
makanan dah siap ke?” soal Encik Idris.
Puan Aminah teringatkan sesuatu lantas
bangun selepas memanggil kedua anak perempuannya untuk menolong hidangkan lauk.
Nuha turut bangun namun dengan pantas ditegah oleh Kak Nurin.
“Nuha duduk jelah temankan tetamu, biar
kita orang yang hidangkan makanan,” ucap Kak Nurin membantutkan niat Nuha. Dia
kembali duduk di sebelah ayahnya. Dia tidak berani untuk angkat muka, takut
bertembung pandang dengan Thaqif yang duduk berhadapan dengannya.
“Qif ada berapa orang adik beradik?”
soal Encik Idris cuba beramah mesra.
“Tiga orang, pak cik. Adik Qif ada dekat
Kedah sekarang ni, tinggal dengan mak saudara. Kakak pula tinggal dekat India,
ikut suami dia kerja dekat sana,” terang Thaqif. Puan Maryam hanya
menganggukkan kepala.
“Suami kakak Qif kerja apa?” soal Encik
Idris ingin tahu.
“Doktor, pak cik.” Jawab Thaqif. Sekali
sekala dia menjeling pada Nuha yang sedang memandang wajah Encik Idris. Terkedu
sebentar Thaqif saat melihat wajah Nuha yang kelihatan berseri- seri. Mata
bundar itu juga kelihatan bersinar- sinar. Cukup indah sehingga membuatkan dia
enggan untuk mengalihkan pandangan.
“Nanti boleh bawak Nuha pergi honeymoon dekat sana,” sampuk Kak Nurin
yang muncul entah dari mana.
Thaqif tersentak. Laju saja wajahnya
dipalingkan ke tempat lain apabila Nuha mula mengangkat wajah. Kali ini wajah
Kak Nurin yang dipandang. Honeymoon?
Macam tak nak pulak.
“Insya- Allah, hajat hati memang nak
suruh mereka ni honeymoon dekat sana,
maklumlah kakaknya tu bukannya boleh balik ke Malaysia jadi rasanya bolehlah
mereka ke sana lepas kahwin nanti,” sampuk Puan Maryam.
Encik Idris dan Kak Nurin berpandangan.
Mereka tersenyum sesama sendiri.
Sedangkan Thaqif terkelu mendengar kata-
kata Puan Maryam. Ini sudah lari daripada rancangan. Aku tak nak berbulan madu
ke mana- mana pun! bentak hati Thaqif tapi untuk menjawab kata- kata Puan
Maryam dia tidak berani. Hanya pandangan penuh tanda tanya dilemparkan pada
ibunya.
Puan Maryam hanya tersenyum membalas
pandangan Thaqif. Memang itulah rancangannya untuk mendekatkan Nuha dengan
Thaqif. Mana tahu dengan rancangan berbulan madu ke India ini boleh mengubah
prinsip hidup anak lelakinya itu.
“Baguslah kalau macam tu sekurang-
kurangnya bolehlah buka minda Nuha ni. Dia ni asyik memerap dalam rumah je
kalau time tak bekerja, mengadap
novel jelah kerjanya,” sampuk Puan Aminah dari belakang.
Nuha tersentak. Dia memandang Thaqif
yang kelihatan tidak selesa. Mungkin lelaki itu tidak bersetuju dengan cadangan
Puan Maryam.
“Tak payahlah kita bincang pasal hal tu,
apa kata kita makan dulu. Mak cik, cikgu, jemput makan…” Nuha bersuara bagi
meredakan suasana.
Dia duduk bersimpuh di sisi Puan Aminah
yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Puan Aminah menghulurkan
pinggan yang berisi nasi kepada Nuha dan memberi isyarat supaya dia memberikan
pinggan tersebut kepada Thaqif. Nuha terpaku sebentar sebelum menyambut pinggan
tersebut.
‘Eh, cepat betul mak aku ni terima Cikgu
Thaqif, hari itu bukan main tak suka lagi bila dengar aku nak kahwin, sekarang
apa dah jadi?’ benak hatinya berkata- kata.
Namun dengan wajah yang tebal empat
lapis, Nuha menghulurkan pinggan yang berisi nasi putih kepada Thaqif. Dia
menundukkan pandangan apabila bertentangan mata dengan anak mata Cikgu Thaqif
yang menawan. Sekali lagi dada Nuha berdebar hebat.
Thaqif menyambut huluran daripada Nuha.
Dia perasan pipi Nuha sudah merona merah. Dia tahu gadis itu malu. Namun, dia
hanya mendiamkan diri. Wajahnya dipalingkan pada Puan Maryam dan Puan Aminah
yang sedang leka bercerita itu dan ini. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
Nuha turut terdiam sambil mendengar
perbincangan yang dilakukan oleh kedua belah keluarga tersebut. Sesekali dia
tersenyum namun tiba- tiba dia terasa seperti diperhatikan oleh seseorang
lantas dia mendongak.
Duppp!
Bagaikan terkena kejutan elektrik, darah Nuha seakan berhenti mengalir saat
anak matanya bertembung pandangan dengan Thaqif yang sedang merenungnya. Dia
melemparkan senyuman manis dan senyumannya berbalas. Sungguh saat ini Nuha
terasa bagaikan berada di awang- awangan. Dia menarik nafas panjang dan
dilepaskan perlahan. Gementar habis!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.