MOTORSIKAL YZF R1 yang berwarna merah berhenti di
perhentian bas tidak jauh daripada kawasan kolej. Hujan yang lebat menyukarkan
Isyraq untuk memacu motornya tambahan pula baju hujan tidak dibawa. Dia menanggalkan helmet dan
menuju ke bangku yang disediakan untuk menunggu bas.
Isyraq memandang ke sekeliling, kelihatan sebuah
motorsikal EX5 berwarna hitam terparkir tidak jauh dari perhentian bas. Dahi
Isyraq berkerut kerana dia seperti mengenali pemilik motor tersebut. Takkan
dia? Tapi aku rasa tu motor dia. bisik hati Isyraq sebelum mengorak langkah
menghampiri motor tersebut.
Dia membelek- belek beg sandang yang berada di dalam
raga motor tersebut. Dahinya bertambah kerut apabila melihat keychain yang
tertulis nama seorang wanita tergantung pada zip beg sandang tersebut. Dia?
Isyraq memandang sekeliling mencari kelibat gadis
itu. Puas dia mengintai namun bayang gadis itu tidak kelihatan. Namun,
telinganya menangkap bunyi sesuatu yang pelik dari arah longkang. Bunyi orang
mengerang kesakitan diselang seli dengan bunyi kucing. Isyraq mula tidak sedap
hati. Takkan siang- siang hari pun ada jembalang? Bisik hati Isyraq. Dia
menggosok batang lehernya yang tiba- tiba meremang.
“ Mioww!Mioww!” bunyi kucing itu semakin kuat dan
dekat dengan telinga Isyraq.
Dia mencari arah bunyi itu sebelum matanya tertancap
pada longkang besar yang berada di belakang perhentian bas itu. Lantas,
langkahnya dihayun ke sana.
Dengan hati yang takut- takut berani, Isyraq cuba
menjengukkan kepalanya ke arah longkang. Alangkah terkejutnya apabila dia
melihat seorang perempuan sedang berteleku di dalam longkang sambil memegang
seekor anak kucing yang sudah basah kuyup. Perempuan itu pun sama. Dia tidak
dapat melihat wajah perempuan itu kerana perempuan itu menundukkan wajah.
“ Miss…miss buat apa kat dalam longkang tu?” soal
Isyraq.
Tiba- tiba perempuan itu mengangkat wajah.
“ Kau?! Kau buat apa kat dalam tu. Agak- agaklah wei
kalau nak tidur pun, tak sempat nak balik rumah ke?” perli Isyraq dengan ketawa
jahat.
Mahu tak gelak. Melihat muka Hamna yang comot itu
cukup kelakar malah cermin mata yang dipakai oleh gadis itu sudah senget ke
tepi. Baju gadis itu yang basah dan kotor membuatkan gadis itu kelihatan cukup
buruk di mata Isyraq.
“ Aduh…” Hamna mengerang kesakitan. Dia memegang
tapak tangannya yang terluka akibat terkena kaca saat dia cuba keluar daripada
longkang selepas menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh.
Tawa Isyraq yang menyakitkan tidak dipedulikan
Hamna. Tangannya sakit membuatkan dia tidak mampu untuk membalas kata- kata
Isyraq. Air hujan yang menimpa tubuhnya membuatkan Hamna kesejukan. Sudah
hampir lima belas minit dia berada di situ. Sudah hilang suaranya untuk meminta
tolong, akhirnya mamat perasan bagus juga yang muncul. Bertambah sakit Hamna.
Sakit hati!
Isyraq menghentikan tawanya. Dia memandang wajah
Hamna yang sedikit pucat. Alahai, kesianlah pulak.
“ Kenapa dengan tangan kau?” soal Isyraq lagi.
“ Luka kena kaca,” balas Hamna pendek.
“ Kena kaca?” ulang Isyraq seolah- olah bertanya
pada diri sendiri.
Lalu tanpa berlengah dia menghulurkan tangan pada
Hamna untuk menarik gadis itu naik ke atas namun Hamna menghulurkan anak kucing
yang dipegangnya pada Isyraq.
“ Anak kucing ni nak buat apa?” tanya Isyraq seakan
menjerit. Aku nak selamatkan dia bukannya kucing ni. itu pun tak faham ke?
Bebel hati Isyraq.
“ Kau selamatkan kucing ni dulu. Letak kat atas.
Kesian dia jatuh dalam longkang. Nasib baik tak hanyut,” ujar Hamna. Wajahnya
serius.
Isyraq terdiam. Erk? Masa ini pun kau boleh fikir
pasal kucing? Sayang jugak kau dekat binatang. Hmmm…macam aku… bisik hati
Isyraq. Tanpa disedari dia tersenyum sendirian.
“ Yelah- yelah,” ujar Isyraq lalu mengambil anak
kucing yang dihulurkan oleh Hamna dan diletakkan di atas bangku. Kemudian,
pandangannya dialihkan pada Hamna yang masih berada di dalam longkang. Memang
Isyraq akui, longkang itu agak dalam malah ketinggian longkang itu melebihi
ketinggian Hamna. Patutlah gadis itu sukar untuk naik ke atas. Turun pandai
pulak, tapi nak naik hampir satu hari. Nasib baik air longkang itu tidaklah
deras mana kalau tidak dengan Hamna dibawa arus air longkang.
Kemudian, Isyraq menghulurkan tangannya pada Hamna
yang sudah berdiri. Namun, gadis itu masih membatukan diri. Isyraq pelik.
“ Kau kenapa? Aku tengah baik nak tolong ni, jangan
sampai aku berubah hati. Ada jugak aku tinggalkan kau dalam longkang ni.
Tidurlah sampai besok!” bentak Isyraq geram.
“ Tangan aku sakit, macam mana nak naik,” balas
Hamna dengan wajah yang sayu. Air matanya hampir menitis apabila tapak tangan
yang terluka tiba- tiba berdenyut.
“ Sebab itu aku suruh kau sambut tangan aku ni.
Sekarang ni darurat. Tak ada orang lain yang boleh tolong kau selain aku jadi
sambut jelah tangan aku ni!” ujar Isyraq sambil mengetap bibir. Geram.
“ Aku…aku…tak…” Hamna kehilangan kata. Dia memandang
tangan Isyraq dengan lama. Takkanlah aku nak pegang tangan dia. Berdosa tu.
Walaupun dalam keadaan darurat tapi aku tak sanggup nak bersentuhan dengan dia.
Gelilah pegang tangan bukan muhrim! Bentak hatinya.
Isyraq yang seakan mengerti apa yang ingin dikatakan
oleh Hamna mula memikirkan sesuatu. Lalu, dia berlalu meninggalkan Hamna menuju
ke motornya.
Hamna cuak apabila melihat kelibat Isyraq suda
hilang dari pandangan. Ke manalah dia pergi? Takkan dia tinggalkan aku?
Takkanlah!
“ Is, jangan tinggalkan aku. Aku tak nak tidur dalam
longkang ni. Is, tolong keluarkan aku dari sini!” jerit Hamna. Air matanya
sudah mengalir laju.
“ Siapa kata aku tinggalkan kau? Aku ada je dekat
sini,” suara Isyraq muncul kembali di hadapan Hamna. Lelaki itu tersenyum.
Hamna terpanar. Dalam keadaan itu pun dia masih
sempat terpegun melihat senyuman Isyraq yang jarang-jarang dilihat. Jantungnya
mula berirama indah. Ish, janganlah fikir bukan- bukan wahai hati.
Hamna tersedar apabila Isyraq menghulurkan tangan
buat kali kedua tetapi kali ini tangan lelaki itu sudah siap bersarung tangan.
Mungkin sarung tangan itu selalu digunakan oleh lelaki itu ketika menunggang
motorsikal berkuasa tinggi miliknya. Hamna tersenyum nipis. Tahu pun kau!
“ Sekarang aku dah pakai protection jadi kulit kau
takkan tersentuh kulit aku. Sarung tangan ni tebal jadi sekarang, sambut tangan
aku cepat. Aku dah nak beku duduk dalam hujan ni,” arah Isyraq namun kali ini
nada suaranya sudah kedengaran lembut.
Tanpa berlengah, tangan kiri Hamna menyambut huluran
tangan Isyraq. Usah dicerita dadanya yang berdebar saat tangan itu mengenggam
tangannya. Seakan mahu luruh semua organ dalaman. Namun, Hamna tersedar saat
tubuhnya di tarik dengan kuat dan sekelip mata dia sudah berada di atas tanah
bukan lagi di dalam longkang. Hamna menarik nafas lega.
“ Terima kasih, Is…” ucap Hamna ikhlas lalu duduk di
atas bangku. Dia penat dan lesu tetapi hujan masih belum berhenti untuk dia
kembali ke rumah sewanya.
Isyraq mendiamkan diri. Ucapan terima kasih daripada
gadis itu hanya dibalas di dalam hati. Dia turut melabuhkan punggung di sisi
Hamna. Wajah gadis itu yang comot dipandang lama sebelum tangannya menyeluk
poket dan menyerahkan sehelai sapu tangan pada gadis itu.
“ Ambil ni and kesat muka kau. Dah macam orang gila
aku tengok muka kau,” balas Isyraq bersahaja.
Hamna mencebik. Sempat lagi cakap aku orang gila?
Nasib baik kau selamatkan aku, kalau tidak dah lama aku sembur kau balik. Desis
hati Hamna. Dia menahan rasa geram. Sapu tangan yang dihulurkan diambil lalu dia
mengesat wajahnya yang terasa melekit. Cermin mata yang sentiasa menghiasi
wajahnya ditanggalkan dan diletakkan di atas bangku.
Isyraq mengambil kesempatan untuk memandang wajah
gadis itu tanpa cermin mata. Comel, bisik hati Isyraq namun kata- kata itu hanya
terlontar jauh di lubuk hatinya. Kemudian, matanya beralih pada tapak tangan
gadis itu yang mengeluarkan darah. Dengan pantas tangan gadis itu dicapai.
Sepantas kilat juga Hamna menarik tangannya kembali.
Apa ni pegang- pegang? Bentak hatinya. Dia menjeling tajam.
“ Aku pakai sarung tanganlah. Janganlah takut
sangat. Aku Cuma nak tengok luka dekat tangan kau tu panjang mana,” jelas
Isyraq. Kecut juga hatinya apabila dijeling oleh Hamna. Tapi dia suka.
Hehehehe…
Hamna tidak membalas. Dia hanya menunjukkan
tangannya pada lelaki itu dan apabila Isyraq cuba memegang, cepat- cepat Hamna
menarik tangannya.
Isyraq mengeluh. Susah betullah perempuan ni. dah
sakit pun nak ego lagi. Aku cepuk baru tahu. Bebel hati Isyraq.
“ Teruk jugaklah luka tangan kau tu. Aku rasa better
kau pergi klinik sebelum apa- apa terjadi. Dahlah luka kau bercampur dengan air
longkang, entah- entah kena jangkitan pulak,” ujar Isyraq dengan muka sengaja
diseriuskan.
Hamna menelan air liur. Kena jangkitan? Agak- agak
tangan aku kena potong tak? Hah, sudah habislah tangan aku. Bisik hati Hamna
dengan wajah yang kelat.
“ Aku rasa luka kau ni mesti kena 14 ataupun 20
jahitan. Teruk sangat ni,” sambung Isyraq lagi sambil menilik tangan Hamna. Dia
mengerling sekilas wajah Hamna yang kelihatan cuak. Wajah itu pucat tak
berdarah. Namun, hati Isyraq bagaikan mahu pecah menahan gelak.
“ Ish, takkanlah luka kecil macam ni pun kena 14
jahitan, agak- agaklah kau nak tipu aku,” bidas Hamna berani namun suaranya
tetap bergetar. Takut sebenarnya.
“ Kau nampak je kecil, tapi sebenarnya panjang. Dah,
lebih baik kau ke klinik sebelum apa- apa yang buruk berlaku,” tambah Isyraq
lagi.
Hamna menelan air liur buat kesekian kali. Ini yang
buat aku malas ke klinik ni. Buatnya aku kena 20 jahitan tak ke haru hidup aku.
Sakit tu!
“ Lepas aku balik rumah, aku pergi klinik,” balas
Hamna.
Isyraq memandang tepat pada mata Hamna. Dia nak buat
perangai degil dialah tu. Ingat aku tak tahu, kalau balik rumah, confirm dia
takkan pergi klinik. Desis hati Isyraq.
“ Tak payah, aku boleh hantarkan kau ke klinik,”
ucap Isyraq dengan suara mendatar.
Hamna mengerutkan dahi. Dia nak hantar aku ke
klinik? Mimpi apa dia malam tadi? Atau aku yang bermimpi ni? Is Tiger nak
hantar aku ke klinik? Huh, boleh masuk Malaysia Book’s of Record ni. bisik
hatinya.
“ Tak payah susah- susah. Kau selamatkan aku kira
dah bersyukur sangat. Aku boleh jaga diri aku,” balas Hamna.
Isyraq merengus. Boleh jaga diri konon, dia ni cakap
je lebih tapi habuk pun tak ada. Dasar perempuan ego. Kalahkan lelaki saja lagaknya.
Cebik Isyraq.
“ Kau tak payah nak banyak cakap, pandai jaga diri
konon. Motor pun kau tak boleh nak bawak, inikan pula nak pergi klinik. Dah,
pakai helmet ni sekarang!” perintah Isyraq dengan suara yang meninggi. Dia
menyerahkan helmet yang diambil dari motor Hamna lalu diserahkan kepada gadis
itu.
Hamna tercengang. Apa pula kali ni?
“ Nak buat apa pakai helmet ni. Aku nak tunggu hujan
reda dulu baru aku nak balik,” balas Hamna. Namun, huluran daripada Isyraq
tetap diambil. Dia merenung kosong helmet yang berada di tangan.
Isyraq meraup rambutnya yang basah ke belakang.
Macam manalah aku nak cakap pada dia ni? Dia ni satu kenapalah bengap sangat?
Aku tengah baik hati ni jangan sampai aku tukar fikiran sudah. Hati Isyraq
berkata- kata.
“ Tak payah nak tunggu hujan bagai. Kau ikut aku
balik rumah. Tangan kau tu sakit mana boleh bawak motor. Cuba dengar cakap aku
dan jangan asyik nak tanya macam- macam. Sakit otak aku nak menjawab soalan kau
tu!” marah Isyraq. Geram pun ada.
Hamna diam tidak terkutik. Hatinya memberontak namun
kata- kata Isyraq ada benarnya juga. Tapak tangannya berdenyut membuatkan sukar
untuk dia menggerakkan tangannya itu. Tapi perlu ke dia ikut Isyraq sampai ke
rumah?
“ Rumah kau ke rumah aku?” soal Hamna spontan.
Isyraq menepuk dahi. Aduhai, minah ni. Takut sangat
aku apa- apakan dialah tu.
“ Rumah nenek aku. Tentulah rumah aku!”
“ Tak nak aku pergi rumah kau. Tak manis!” bantah
Hamna keras.
Isyraq mengeluh. Aku nak tolong pun payah ke?
“ Tak manis apa bendanya? Rumah tu ada mak aku, ayah
aku dan adik- adik aku. Puas hati?!” tekan Isyraq sambil mengancing gigi.
‘ Kalau aku nak tolong, bukan main dia kira manis ke
tak manis tapi kalau Elyas, cepat je dia terima. Aku tahulah aku tak sekacak
Elyas tapi sekurang- kurangnya aku ada lagi sikap berperikemanusiaan pada dia.’
desis hati Isyraq.
“ Oh, habis tu kita nak naik apa pergi rumah kau?”
soal Hamna lagi. Matanya terkebil- kebil memandang Isyraq yang kelihatan
menggaru- garukan kepalanya. Gatal sangat ke kepala tu?
Isyraq melepaskan keluhan berat. Dia memicit dahinya
yang berdenyut. Banyak betul soalan minah ni. Ada jugak aku cekik- cekik
perempuan ni kan!
“ Kau ada nampak kereta BMW tak kat depan ni?” soal
Isyraq memerli.
Dengan pantas Hamna menggelengkan kepala. Motor aku
dengan motor dia adalah dekat sini.
“ Dah tu kita nak naik apa lagi kalau bukan dengan
motor ni? Sekali lagi kau tanya, aku sepak muka kau!” balas Isyraq dengan
kasar. Dia sudah tidak dapat menahan perangai lurus Hamna yang kadang- kadang
menyakitkan hatinya itu.
Hamna terdiam namun kata- kata Isyraq hanya
mengundang cebikan di bibir Hamna. Ingat aku takutlah tu. Aku dah lali dengan
kata- kata dia yang kasar tu. Dah cair tahi telinga ni. Benak hatinya berkata-
kata.
“ Hujan ni kan…” Hamna bersuara lagi. Dia ingat aku
senang- senang nak naik motor dengan dia. Entah dia ni betul atau tak. Jangan-
jangan dia nak bunuh aku, yelah aku selalu je sakitkan hati dia. Ish, seramlah
pulak. Fikiran Hamna mula memikirkan perkara yang bukan- bukan menyebabkan bulu
romanya meremang. Dia menggosok- gosok lengannya yang terasa seram sejuk.
Isyraq terdiam. Lalu dia menanggalkan jaket kulit
yang dipakainya lalu diletakkan di belakang badan Hamna. Dia tidak melihat
reaksi gadis itu sebaliknya dia melangkah menuju ke motornya dan menghidupkan
enjin.
Hamna terkaku. Lidahnya kelu melihat perlakuan
Isyraq yang kelihatan berlainan daripada kebiasaan. Dia rasa terharu namun dia
cepat- cepat tersedar. Mungkin lelaki itu melakukan semua itu kerana simpati.
Ya, kerana simpati. Bisik hati kecilnya cuba menyedarkan diri.
“ Yang kau tercegat dekat situ lagi, kenapa?
Cepatlah. Aku dah sejuk beku ni!” laung Isyraq sambil memeluk tubuh yang
menggigil kerana disirami air hujan.
“ Yelah- yelah!” balas Hamna lalu mencapai beg
sandang dan kunci motornya sebelum merantai motornya. Tidak dilupakan juga
kucing oren yang diselamatkan tadi turut dicapai sebelum dia melangkah
menghampiri Isyraq.
“ Kenapa kau bawak kucing tu sekali?” soal Isyraq
dengan kening yang terjongket.
Hamna tersengih.
“ Kesianlah kalau tinggalkan kucing ni dekat sini.
Aku takut dia jatuh longkang lagi,” terang Hamna.
Isyraq menarik nafas panjang.
“ Ikut suka kaulah!” balasnya.
Hamna tersenyum manis. Lalu dia menghulurkan beg
sandangnya pada Isyraq. Lelaki itu menurut tanpa banyak bicara malah beg
sandang gadis itu disilangkan di bahunya.
Hamna tersenyum sendirian melihat tingkah Isyraq.
Aku tak sangka lelaki segarang dan menjengkelkan macam kau ni rupa- rupanya
baik jugak. rasa macam nak tercabut je hati aku sekarang ni. Desis hati Hamna.
Manakala Isyraq yang sedang menunggang motorsikal
hanya mampu tersenyum. Dalam hatinya sudah berbunga- bunga.
BULAT mata Hamna melihat kawasan rumah Isyraq yang
boleh dikatakan luas. Walaupun rumah teres dua tingkat namun kawasan rumah itu
cukup besar. Mungkin disebabkan rumah lelaki itu di lot tepi. Hamna terpaku
sangkar kucing yang terdapat di rumah lelaki itu. lalu dia menghampiri sangkar
yang menempatkan lima ekor kucing Parsi. Takkan mamat ni suka kucing kut?
Isyraq hanya menggelengkan kepala melihat telatah
Hamna yang tidak sabar- sabar untuk turun daripada motor namun bibirnya tetap
mengukir senyuman saat bibir gadis itu menguntum senyuman.
“ Banyaknya kucing kau. Cantik- cantik pulak tu.
Tentu mahal kau belikan?” ujar Hamna teruja. Dia berpaling ke belakang mencari
Isyraq yang semakin mendekati.
“ Ini semua mama dan papa aku yang belikan. Aku
dengan adik- adik Cuma tolong jagakan je,” balas Isyraq tersenyum.
“ Mesti seronok dapat main- main dengan kucing Parsi
ni. Aku memang suka gila dengan kucing Parsi tapi nak beli memang taklah. Mahal
gila kut. Lastly aku bela kucing biasa macam kucing ni,” balas Hamna ramah
sambil mengusap kepala kucing yang mendiamkan diri.
“ Tak apalah, janji kau dah dapat buat kebajikan
dengan membela semua kucing ni. Dapat pahala kan?” Isyraq tersenyum lagi. Dia
memandang wajah Hamna yang ralit mencuit hidung kucing Parsinya yang berada di
dalam sangkar. Dia tersenyum kecil. Kenapa aku tengok kau ni comel pulak
walaupun cermin mata kau tu besar mengalahkan cermin mata Harry Potter. Bisik
hati Isyraq.
Hamna mengangkat pandangan membuatkan anak mata
mereka berlaga. Jantung Isyraq berdetak kencang lalu sepantas kilat dia
melarikan pandangan ke tempat lain.
“ Errr…kau tunggu dekat sini sekejap boleh? Aku nak
masuk dalam dulu, nak cakap dekat mama aku. Aku tak nak dia terkejut pulak aku
bawak balik perempuan. Kau tunggu sekejap ye,” pinta Isyraq sebelum tergesa-
gesa berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jawapan daripada Hamna.
Hamna hanya mengangguk walaupun dia tahu Isyraq
tidak nampak anggukannya itu. Kenapa dengan dia tu? Macam gelabah semacam je
aku tengok. Bisik hati Hamna.
Lima belas minit kemudian, Hamna keluar dengan
seorang wanita dalam lingkungan 40-an. Wanita itu tersenyum padanya lalu Hamna
membalas senyuman itu dengan seikhlas mungkin. Mesti ini mama Isyraq. Detik
hati Hamna.
“ Inilah kawan along, mama. Namanya dia Ezlaili
Hamna, mama boleh panggil Hamna je,” Isyraq mengenalkan Hamna pada ibunya.
“ Oh, Ezlaili Hamna, sedap nama tu…jemputlah masuk.
Along pun kenapa dibiarkan kawan tu duduk dekat luar. Hujan ni kan tentu
sejuk,” ucap Puan Liza dengan senyuman ramah.
“ Along takut mama marah je along bawak balik kawan
perempuan,” ucap Isyraq dengan suara cukup lembut. Sampaikan Hamna bagaikan
cair mendengar bahasa lelaki itu gunakan apabila bercakap dengan mamanya.
“ Ish, takkanlah mama nak marah pula. Kawan kamu kan
sakit. Dah pergi bawak kawan kamu tu masuk, jangan lupa beri tuala sekali. Dah
basah lencun mama tengok,” ujar Puan Liza lagi.
Hamna hanya mendiamkan diri. Tidak berani untuk
menyampuk perbualan dua beranak itu. Namun, pandangan Isyraq menganggu lamunan
Hamna.
“ Dah jomlah masuk. Bawak kucing tu sekali. Nanti
aku beri makanan,” ucap Isyraq sambil mempelawa Hamna untuk masuk.
“ Tapi baju aku kotor…”
“ Tak apa Hamna, kamu boleh mandi dulu. Nanti mak
cik berikan baju mak cik….”
“ Eh, tak payahlah mak cik, menyusahkan aje. Saya….”
“ Menyusahkan apanya. Baju mak cik zaman muda- muda
dulu banyak jadi tak tahu nak berikan pada siapa. Alang – alang kamu ada,apa
salahnya mak cik berikan,” pintas Puan Liza.
Hamna serba salah. Dia memandang wajah Isyraq.
Lelaki itu hanya mengangguk dan tersenyum membuatkan Hamna mengalah.
Saat melangkah masuk ke dalam rumah Isyraq sekali
lagi Hamna terpegun. Rumah yang berpenghawa dingin itu cukup kemas dan bersih.
Malah bau haruman lavender mencucuk- cucuk hidung Hamna sehingga menjemput rasa
tenang di hati. Hamna hanya berdiri,
anak kucing yang diselamatkan telah diserahkan pada Isyraq yang
menghilangkan diri entah ke mana. Dia berasa sedikit kekok berada di dalam
rumah itu. Mana adik- adik Isyraq?
Hamna terpandangkan gambar keluarga yang tergantung
di dinding. Kelihatan Isyraq bersama mama dan papanya sambil diapit oleh dua
lagi budak lelaki yang masih kecil. Wajah mereka seiras namun kulit adik- adik
Isyraq lebih putih berbanding Isyraq yang hanya berkulit sawo matang. Hamna
melihat gambar lelaki itu yang mengukir senyuman dan tanpa sedar dia turut
membalas senyuman itu.
“ Apa yang disenyumkan sangat tu. Aku tahulah aku
yang paling kacak dalam gambar tu, tak payah tenung lama- lama nanti merana,”
sampuk satu suara menyentak lamunan Hamna. Dia berpaling. Alamak, Isyraq!
Malunya!
“ Mana ada aku senyum, mulut aku lenguh je itu yang
aku senyum tanpa sedar tu…” balas Hamna cuba menutupi rasa malu yang bermain di
jiwa.
Isyraq ketawa kecil mendengar alasan yang diberikan
oleh Hamna. Dia menghampiri gadis itu lalu sehelai tuala dan sepasang baju
kurung diberikan pada gadis itu yang kelihatan terpinga- pinga.
“ Kau ambil tuala dengan baju ni lepas tu kau pergi
mandi dekat bilik sebelah tangga tu…” arah Isyraq sambil merenung anak mata
Hamna yang terselindung di sebalik cermin mata.
“ Aku seganlah. Tak payahlah erk. Aku balik jelah,”
Hamna berterus-terang. Memang dia cukup segan dengan lelaki itu saat ini.
“ Kau tak payah nak segan- segan sangatlah. Aku
cakap pergi mandi tu pergi jelah. Bau dah macam longkang ada hati tak nak
mandi! Sakit hidung aku dengan bau kau yang macam apa entah!” ucap Isyraq
dengan kasar. Matanya dijengilkan. Mungkin dengan cara itu Hamna akan mengikut
kata- katanya. Cakap lembut tak jalan, inilah jelah caranya.
Hamna mencebik benci. Terus saja dia merampas tuala
dan baju daripada tangan Isyraq tanpa dia sedari gelang tangan yang dipakai
terlurut jatuh. Dengan rasa bengang, Hamna melangkah menuju ke bilik yang
ditunjukkan oleh Isyraq tadi.
Isyraq tersenyum kemenangan melihat Hamna yang
menghilangkan diri di sebalik pintu. Namun, senyumannya mati saat terpandangkan
seutas gelang tangan berwarna silver terdampar di lantai. Lalu, Isyraq
membongkokkan badan. Gelang tangan itu dicapai.
‘ Ini macam aku punya. Macam mana boleh ada dengan
dia?’
best....
ReplyDelete