Tetamu Rindu

Tuesday 27 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab 3 & 4)

BAB 3
 
 
BUNYI riuh rendah suara kanak- kanak bermain di rumah anak- anak yatim Nur Cahaya mengembirakan hati Mardiyah yang datang melawat petang itu.  Sudah lama dia tidak datang menjenguk rumah itu kerana asyik sibuk dengan kerjanya yang takkan pernah habis pun. Rumah anak yatim itu memang sering dikunjungi oleh Mardiyah dan sepupunya Yusuf sejak mereka menuntut di universiti lagi. Setiap penghuni rumah Nur Cahaya ini mengenali Mardiyah dan Yusuf.

Walaupun mereka tidak pernah tinggal di rumah anak- anak yatim namun mareka dapat merasai bagaimana jika kehilangan orang yang tersayang di waktu kita masih memerlukan kasih sayang seorang ibu dan bapa. Anak- anak di rumah ini puratanya anak yatim piatu dan tidak kurang juga anak yang dibuang keluarga. Sayu hati Mardiyah apabila memikirkkan nasib anak- anak yatim itu.

“ Termenung jauh nampak.” Tegur Umi Zaira.

“ Dia ni memang pantang kalau ditinggalkan sendirian umi, memang jauhlah menung dia tu.” Sampuk Yusuf diikuti tawa kecil dari Umi Zaira.

Umi Zaira dan Yusuf melabuhkan punggung disebelah Mardiyah yang sudah tersengih kambing. Bunyi angin yang sepoi- sepoi bahasa membuatkan udara menjadi nyaman dan tenang. Sesungguhnya keadaan seperti ini membuatkan Mardiyah terkenangkan kampung halaman. Apa khabar agaknya ibu dan ayah? Soal hati kecilnya.

“ Tengok itu umi, termenung lagi.agaknya umi bila Diya dah kahwin nanti suami kahwin lain pun dia tak sedar kalau sudah asyik termenung aje.” Sambung Yusuf lagi.

Mardiyah berpaling ke arah Yusuf yang asyik mengutuk dirinya sedari tadi. Dengan wajah yang sengaja dibengiskan dia mengangkat tangan kanannya yang sengaja dikepal.

“ Kalau kau nak rasa penampar Jepun, kutuklah aku lagi. Eleh, dia cakap kat Diya umi, dia pun sama juga kalau termenung memang tak ingat dunia luar. Apatah lagi kalau ada Quraisya asyik je tenung muka Quraisya tu. Macamlah kita tak tahu.” Tempelak Mardiyah membuatkan wajah Yuduf merona merah. Tembelang sudah pecah.

Memang dia suka melihat wajah teman baik Mardiyah yang ayu itu namun dia tidak pernah menceritakan perasaannya pada sesiapa pun tetapi Mardiyah seolah- olah dapat membaca isi hatinya yang dipendam terlalu lama.

“ Kau jangan nak merepek Diya. Mengarut je kau ni. Umi jangan percaya cakap Diya tu.” Dalih Yusuf cuba menafikan kata- kata Mardiyah.

Umi Zaira tergelak apabila melihat reaksi anak muda itu yang gelabah apabila nama Quraisya disebut. Umi Zaira turut perasan akan tingkah Yusuf yang agak berlainan apabila Quraisya ada bersama mereka. Mungkin benar juga kata Mardiyah, dalam hati ada cinta tapi tidak mahu mengakuinya.

“ Kalau kamu dengan Isya pun apa salahnya? Umi setuju je lagipun kamu nampak serasi bersama.” Balas Umi Zaira yang ternyata berpihak pada Mardiyah. Sempat lagi dia mengenyitkan mata pada Mardiyah yang sudah bertepuk tangan kegembiraan tidak ubah seperti keanak-anakkan.

“ Umi!” jerit Yusuf. Wajahnya masih tidak berubah daripada kemerahan.

“ Hah! Padan muka kau!”Mardiyah menjelirkan lidahnya pada Yusuf.

“ Kau kan…” Yusuf mengancingkan giginya. Matanya melotot memandang wajah manis Mardiyah yang menayang muka tidak bersalah. Geram dibuatnya dengan sikap kebudak- budakkan Mardiyah. Umur sudah mencecah 25 tahun tapi perangainya itu langung tidak berubah sedikit pun sejak dari kecil lagi.

“ Dah, dah jangan gaduh tak manis budak- budak tu pandang.” Tegur Umi Zaira menghentikan pertelingkahan Yusuf dan Mardiyah.

Umi Ziara mengelengkan kepala melihat keletah dua sepupu bertikam lidah. Umi Zaira bersyukur kerana masih ada anak muda yang mahu mencurahkan keringat menolong rumah anak- anak yatim yang diuruskan dia melebihi 10 tahun itu. Masih segar di ingatan Umi Zaira saat Mardiya, Yusuf dan Quraisya membuat lawatan di rumah Nur Cahaya beberapa tahun lepas bagi mengikuti program yang dianjurkan oleh universiti mereka. Namun pertemuan itu tidak berakhir di situ sahaja, selepas itu mereka datang semula untuk berkhidamat sebagai sukarelawan di rumah Nur Cahaya. Mulia sungguh hati mereka. Puji Umi Zaira di dalam hati.

“ Umi, macam mana dengan dana rumah ini? Cukup ke?” Tanya Mardiyah menyekat lamunan Umi Zaira yang telah jauh melayang. Serentak dia berpaling.

“ Semuanya okey lagi. Datin Zarina masih sedia untuk memberi dana untuk rumah kita ini. Umi rasa bersyukur sebab masih ada orang yang sebaik Datin Zarina untuk menghulurkan bantuan. Tadi dia ada datang, tak terserempak dengan kamu ke?” Soal Umi Zaira pula.

“ Tak pula umi. Alhamdulillah umi ini semua rezeki adik- adik di sini. Walaupun kami masih ada ibu bapa tapi kami dapat rasakan keperitan apabila ditinggalkan orang yang tersayang.” Balas Yusuf pula. Mardiyah hanya mengangguk.

“ Umi jangan risau selagi kami masih terdaya, kami akan tolong umi dan adik- adik kat sini. Mereka semua itu keluarga kami juga.” Tambah Mardiyah sambil mengenggam jari jemari Umi Zaira.

Umi Zaira tersenyum dengan senang hati.

 

“MAMA dari mana ni?” tanya Ammar saat melihat kelibat Datin Zarina melintasi ruang tamu rumah banglo itu.

Datin Zarina tersenyum lantas menuju ke arah anak lelaki sulungnya yang sedang menonton televisyen petang itu. walaupun masih penat tapi Datin Zarina tetap tersenyum memandang anak bujangnya yang kelihatan santai berseluar pendek dan berbaju t- shirt sambil berbaring di atas sofa. Dia melabuhkan duduk di hujung kaki Ammar.

“ Mama baru balik dari rumah anak yatim. Kamu tak keluar ke hari ini?” tanya Datin Zarina pula. Kebiasaannya Ammar jarang lekat di rumah kalau hari minggu begini, pasti ada sahaja rancangannya dengan buah hati pengarang jantung yang tercinta itu. Siapa lagi kalau bukan Lydia.

“ Tak mama, Lydia outstation dia pergi Singapore ada fashion show kat sana so Am duduk rumah jelah hari ini. Lagipun bukan selalu Am dapat duduk rumah kan mama?”lembut suara Ammar menyapa cuping telinga Datin Zarina. Bagi Datin Zarina walaupun usia Ammar sudah menginjak ke angka 27 tahun tapi sikap Ammar yang suka dimanja itu masih tidak berubah. Ammar akan tegas apabila bekerja sahaja tetapi bila di rumah dia suka bermanja dengan mamanya.

Tetapi Datin Zarina risau akan hubungan Ammar dan Lydia yang kelihatan semakin intim. Bukan dia tidak setuju dengan pilihan Ammar tetapi apa yang dirisaukan Lydia itu seolah-olah mengawal Ammar dalam segala hal.

“ Kamu yakin ke yang Lydia boleh jadi isteri yang solehah bila kamu dah kahwin nanti.” Tanya Datin Zarina tiba- tiba.

Ammar tersentak. Pantas dia membetulkan duduk disebelah Datin Zarina. Bahu mama kesayangannya itu dipeluk mesra. Dia tahu Datin Zarina sayang padanya dan dia juga tahu Datin Zarina bimbang kerana dia masih belum berumah tangga lagi walau kalau diikutkan dia sudah layak untuk bergelar seorang suami dan mungkin seorang bapa namun apa yang dapat dilakukan oleh Ammar hanya berdoa menanti jodoh yang tidak kunjung tiba. Lydia? Entah dia tidak pasti sama ada Lydia itu jodohnya atau tidak kerana setiap kali dia ingin melamar gadis itu pasti ada yang menghalang.

“ Kenapa mama tanya macam itu? Am bercinta dengan Lydia, tentulah Am akan kahwin dengan dia dan Am akan cuba membentuk dia jadi isteri yang solehah bila kami dah kahwin nanti.” Ujar Ammar dengan lembut. Wajah mamanya yang bersih dipandang dengan penuh kasih sayang.

“ Tapi mama macam tak berkenan je dengan Lydia tu. Bukan sebab pekerjaan dia tapi mama tak yakin dia boleh jaga kamu nanti. Tengoklah masa bercinta dia keluar ke sana ke mari dah tu ambil gambar dengan lelaki lain bukan main lagi. Mama tak sukalah menantu mama macam itu.” Datin Zarina berterus terang dan ternyata berubah air wajah Ammar mendengar kritikan percuma tentang Lydia. Dia termenung seketika.

“ Lydia tu cantik mama tak suka juga ke?”

“ Mama tak pandang seseorang itu dari kecantikkan dia tapi perangai  dan tingkah laku dia dalam menjaga maruah sebagai seorang perempuan. Kalau ada rupa yang cantik, badan yang cantik, takkan semua itu mahu ditunjukkan pada semua orang? Habis tu suami nanti nak tengok apa kalau semua dah didedahkan?

Mama bukan tak suka dia jadi menantu mama tapi mama rasa dia macam tak layak untuk Am. Bagi mama kalau kamu nak pilih perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri kamu pilihlah kerana agamanya bukan kerana kecantikkan luaran yang dimilikinya. Mama rasa kamu faham apa yang mama maksudkan.” Ujar Datin Zarina panjang lebar.

Ammar mengeluh. “ Tapi Lydia itu Islamkan mama.” Ammar cuba membela kekasih hatinya.

“ Islam pada nama bukan pada amalannya. Pernah kamu tegur dia untuk tutup aurat dan pernah dia ikut cakap kamu dalam apa yang kamu cakapkan hmm..” duga Datin Zarina lagi.

Ammar terdiam kerana apa yang dicakapkan oleh Datin Zarina semuanya ada kebenarannya.
 
 
 
“ DIYA, masuk bilik saya sekejap.” Arah Ammar sewaktu melintasi meja Mardiyah pagi itu. Mardiyah hanya mengangguk dan mengekori langkah Ammar.
“Ada apa encik panggil saya?” Tanya Mardiyah.
“ Saya nak awak tempahkan dua bilik kat mana- mana hotel di Kuantan untuk minggu depan kerana kita ada mesyuarat di sana.” Ujar Ammar. Fail-fail yang bertimbun di hadapannya diperiksa satu persatu.
Mardiyah mengerut kening. Kita? Dua bilik? Macam pelik je bunyi itu.
“ Apa maksud encik dengan ‘kita’?”
Ammar mengangkat wajah memandang tepat setiausahanya yang asyik menayang muka blurr bila dia memberi arahan. Entah sawan apa yang terkena pada setiausahanya itu sampaikan perkara yang semudah itu pun masih tidak dapat difahami.
“ Takkan benda simple macam ni pun nak kena saya terangkan juga. Minggu depan saya ada meeting di Kuantan dan saya nak awak ikut saya, mungkin dalam tempoh dua hari meeting itu. Sebab itulah saya suruh awak tempahkan mana- mana hotel kat Kuantan. Faham?” tekan Ammar lagi.
“ Okey encik. Tapi meeting itu akan di adakan di mana?” Tanya Mardiyah lagi. Dia mencatitkan sesuatu di dalam diari yang sememangnya dikhaskan untuk jadual Ammar.
“ MS Garden.” Jawab Ammar ringkas.
“ Kalau begitu saya akan cuba cari hotel yang berdekatan,”  ujar Mardiyah.
“ Awak buatlah apa yang awak rasa betul. Tapi saya tak nak sebarang masalah berlaku sebab meeting ini bersangkut paut dengan hotel kita.” Tambah Ammar lagi.
Kelihatan Mardiyah mengangguk-anggukkan kepala tanda faham dengan arahan yang diberikan oleh Ammar namun dia tidak menyedari yang Ammar sedang memerhatikan dirinya yang tercegat di hadapan meja. Apabila dia mengangkat wajah, mata mereka bertentangan buat seketika. Mardiyah pelik lantas menjongketkan keningnya.
Anything else sir?” Tanya Mardiyah.
Ammar menundukkan wajahnya cuba membuang jauh debaran yang tiba- tiba menyapa hatinya saat mata mereka bertentangan. Ish, ini hanya mainan perasaan sahaja. Desis hati kecil Ammar.
No, you can go now but remember pasal meeting itu.” Ammar memberi ingatan.
Alright sir tapi tadi Cik Lydia ada telefon, dia minta encik call dia balik.” Beritahu Mardiyah.
Masih kedengaran jelas suara bongkak Lydia meminta dia menyampaikan pesanan pada Ammar. Sudahlah tanpa salam terus disemburnya Mardiyah nasiblah gadis itu masih dapat bersabar maklumlah waktu bekerja dia kena professional walaupun hati panas mendidih dengan kebiadapan Lydia tadi. Entah apa yang dipandang oleh Ammar pada Lydia pun Mardiyah tidak tahu, memang wajahnya cantik secantik Natasha Hudson mungkin kerana Lydia berdarah kacukan tetapi budi bahasa sebagai wanita Timur semuanya hancur. Mungkin juga Lydia seksi dan menarik perhatian kaum Adam bila memandang.
“ Okey.” Jawab Ammar.
Mardiyah tersedar dari lamunannya.
“ Apa yang okey encik?” Tanyanya seperti orang kebingungan.
Ammar mengerutkan dahi kerana dia bertambah pelik dengan perangai setiausahanya yang satu ini. Dia mengeluh berat. Payah betul dapat setiausaha yang otak mereng mecam ni.
“ Okey awak boleh keluar.” Ujar Ammar berbaur geram.
Tanpa menunggu lama Mardiyah melangkah ke pintu dan Ammar kembali meneruskan kerjanya yang terbengkalai.
 
“ TUMPANG tanya boleh?” tegur satu suara.
“ Oii mak kau!” latah Mardiyah akibat terkejut ditegur secara tiba- tiba.
Siapalah yang memang nak menempah maut untuk aku ni? Dia mengurut dada sambil membebel dalam hati. Dia berpaling selepas mendengar suara garau itu ketawa kecil.
“ Kalau nak tumpang bayar la. Ingat sini teksi ke nak…..” Kata- kata Mardiyah mati di situ. Dia terpaku melihat sebatang tubuh berdiri di hadapannya. Fahrin Ahmad ke ni? Dia meneliti lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Wajah lelaki itu kelihatan persis Fahrin Ahmad cuma hidung lelaki itu lebih mancung. Nampak kacak dengan kemeja berwarna hitam menyerlahkan kulitnya yang putih bersih.
“ Hello miss..” Lelaki itu mengayangkan tangannya di depan muka Mardiyah. Mengelamun ke apa gadis ini? Desis hati lelaki itu.
Mardiyah tersedar lantas wajahnya dipalingkan ke arah lain kerana malu ditegur begitu. Merah wajahnya namun lelaki itu hanya tersenyum melihat tingkah Mardiyah yang tersipu- sipu.
“ Maaf saya dah buat awak terperanjat. Saya cuma nak tanya awak ni tea lady yang baru ke?” Tanya lelaki yang tidak diketahui nama itu dengan lembut. Wajah Mardiyah yang ayu dipandang dengan penuh minat. Sejujurnya dia belum pernah melihat Mardiyah di pejabat itu inilah baharu kali pertama. Mungkin selama dua minggu dia di Australia, Ammar mengambil pekerja baharu.
“ Oh, maaf encik saya bukan tea lady tapi saya secretary Encik Ammar yang baru.” Jelas Mardiyah sambil tersenyum menyerlahkan lesung pipitnya. Siapa lelaki ini? Tak pernah tengok pun.
Lelaki itu terdiam sejenak. Patutlah tak pernah nampak rupanya pekerja baharu setiausaha Ammar pula itu. Hmm, nampak sopan santun je tidak seperti setiausaha Ammar yang terdahulu lebih seksi dan lebih cantik tapi kali ini gadis yang berada di hadapannya lebih tertutup dalam pemakaian. Nampaknya kurang sikitlah dosa dia kali ini.
Lelaki itu menghampiri Mardiyah yang sedang kaku berdiri. Dia tersenyum.
“ Oh saya ingatkan awak tea lady sebab saya tak pernah lihat awak sebelum ini. Nama saya Raqeem Muhaimin. Awak boleh panggil saya Raqeem je.”
Raqeem menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan Mardiyah namun dia terpaksa menjatuhkannya semula bila huluran tangannya tidak disambut hanya senyuman yang dihadiahkan.
“ Maaf saya tak boleh sambut salam awak. Nama saya Ainur Mardiyah, awak boleh panggil saya Diya je. Saya tak pernah tengok awak pun sebelum ini.” Ujar Mardiyah cuba menghuraikan tanda tanya yang bermain di benaknya sedari tadi.
Raqeem tersenyum. Mula berasa senang dengan sikap yang sopan itu.
“ Saya ada urusan di Australia mungkin sebab itu awak tak nampak saya. Anyway nice to meet you.” Raqeem tersenyum manis.
Mardiyah membalas senyuman Raqeem seikhlas mungkin. Berdebar jantungnya melihat senyuman Raqeem yang menawan. Ish mamat ni lebih kacak dari Ammar, siapa dia ya? Lama- lama boleh jatuh cinta kalau setiap hari tengok muka dia. Hati kecil Mardiyah mula mengatal.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.