Tetamu Rindu

Saturday 31 August 2013

Cinta Si Gadis Kebun ( Bab 3 )


“AKU terima nikahnya Aisya Batrisya Binti Hamdan dengan mas kahwin lapan puluh ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz Aisya kini sah bergelar isteri kepada seorang jejaka yang segak mengenakan baju melayu satin putih.
Sejak dari tadi Aisya asyik menunduk memandang lantai masjid. Nasib baik tak tembus lantai masjid itu. Lamunannya terhenti apabila Diana menyiku tangannya mengarahkannya untuk menadah tangan mengaminkan doa.
Mata Aisya terpandang sesusuk tubuh yang duduk membelakangkannya. Macam manalah rupa mamat ni? Tapi dari belakang macam aku pernah tengok tapi dimana ya? Monolog Aisya sendiri.
Aisya kembali menundukkan kepalanya apabila melihat lelaki itu berpusing untuk menuju kearahnya. Tiba-tiba hati berdegup kencang. Alahai hati janganlah macam ni. Aku takut tercabut aje jantung ni. Tenang ya hati. Desis Aisya yang cuba menenangkan hatinya yang sedang dilanda pelbagai rasa.
Aisya telan air liur. Haruman daripada jejaka yang sah menjadi suaminya itu menusuk tajam ke dalam lubang hidungnya. Wanginya bau perfume dia. Perfume apalah yang mamat ni guna? Detik Aisya dalam hati.
Si Jejaka menghulurkan tangan untuk menyarungkan cincin dijari manis Aisya. Namun Aisya masih lagi membeku disitu.
“Aisya..Tangan kau. Abang Hakimi nak sarung cincin tu.” Diana menyiku lengan Aisya. Aisya tersedar dari lamunannya. Tapi Diana ada sebut nama abang Hakimi tadi? Hakimi yang mana satu ni? Desis Aisya.
Dengan gaya yang lambat mengalahkan kura-kura Aisya menghulurkan tangan kanannya. Si jejaka memegang jari manis Aisya dengan lembut dan menyarung sebentuk cincin berlian ke jari manis Aisya. Berkilau-kilau cincin itu dimata Aisya.
“Salamlah tangan Hakimi tu. Dia tunggu lama dah tu.”  Ujar Nek Timah kepada Aisya tatkala melihat Aisya keras seperti patung cendana.
Aisya segera menyalami tangan si jejaka tanpa melihat wajahnya. Tangan Aisya dijabat erat. Berderau darah Aisya dibuatnya. Maklumlah itulah kali pertama dia menyentuh kulit lelaki. Aisya ingin menarik jari jemari namun tangan lelaki itu tidak mahu melepaskannya. Aisya mendongakkan pandangannya.
Anak mata hitam Aisya terlekat pada anak mata coklat milih Hakimi Danial, jejaka yang baharu sahaja sah menjadi suaminya. Aisya terpaku. Matanya tak berkelip melihat Hakimi Danial.
“ehem..ehem…” Hakimi Danial berdehem dan melepaskan genggamannya. Diana dan Nenek Timah tersenyum melihat reaksi Aisya yang seperti orang yang dipukau. Siap ternganga mulut.
Tidak semena-mena muka Aisya membahang merah. Malu siot. Isyyy..kenapa aku boleh jadi macam ni? Macam mana mamat ni boleh jadi laki aku pulak. Tak ada orang lain ke? Nenek ni kalau nak cari suami untuk aku pun pilihlah yang best sikit macam Lee Min Ho ke, Daniel Wu ke, Salman Khan ke, ini tak mamat sengal ni jugak yang dipilih. Masaklah aku. Bebel Aisya dalam hati.
“Kau?” Aisya bersuara dengan nada yang agak tinggi. Semua hadirin disitu agak terperanjat dengan nada suara Aisya yang tinggi itu. Nenek Timah juga terkejut monyet. Cucu aku ni dah mula dah perangai tak betul dia ni. Desis Nek Timah.
“Isya, Kenapa kasar macam tu dengan Hakimi? Hakimi tu suami Isya sekarang. Hormat sikit.” Marah Nek Timah tetapi dengan nada yang perlahan. Dia tidak mahu memalukan cucunya di hadapan hadirin yang lain.
“Tapi nek kenapa dia?” Aisya terus membentak. Neneknya menjengilkan mata sebagai isyarat menyuruh Aisya hentikan karenah kebudak-budakannya.
Hakimi Danial hanya diam membisu. Dia tidak berkata apa-apa. Diana kemas mengenggam erat jari-jemari abangnya. Diana hanya menggeleng kepala melihat perangai kawan baiknya itu.
“Kau tak boleh cakap macam tu Isya. Abang Hakimi ni sekarang dah jadi suami kau. Suka atau tak suka kau kena terima dia sebagai suami kau. Ingat, syurga seorang isteri dibawah tapak kaki suami.” Tempelak Diana. Dia sudah tidak boleh bersabar melihat Aisya asyik membentak kerana tidak dapat menerima Hakimi Danial sebagai suaminya yang sah..
“Arghhh….Isya bencilah semua ni.” Aisya bingkas bangun dan keluar dari masjid itu meninggalkan semua orang disitu terkulat-kulat. Nenek Timah hanya mendengus perlahan.
“Isya nak pergi mana tu?. Isya jangan kurang ajar.” Nenek Timah cuba menghalang Aisya di tangga masjid.
“ Isya tak nak. Isya nak pergi dari sini. Lantaklah nak jadi apa pun. Isya tak suka dengan perkahwinan ni.”Aisya memeluk tubuh sambil memuncungkan mulutnya.
“Isya kena terima dengan takdir Allah ni. Inilah yang terbaik untuk Isya dan kehidupan Isya.” Nada suara nek Timah mulai kendur.
“Isyyy..bencinya. Kenapalah Isya kena hadapi semua ni.” Aisya membentak dan terus bergegas turun dari masjid itu tanpa berkasut. Nenek Timah menggeleng kepala. Ada air mata jernih tumpah dari birai matanya. Diana mengusap lembut bahu Nenek Timah dan menyeka air mata itu.
“Sabarlah nek. InsyaAllah nanti berubahlah tu perangai Isya. Sampai bila dia nak berperangai macam tu.” Diana cuba menenangkan hati Nek Timah.
“Nenek jangan risau Kimi janji yang Kimi akan jaga Isya baik-baik. Nenek jangan risau ya.” Setelah sekian lama membisu akhirnya Hakimi Danial bersuara. Nenek Timah hanya tersenyum mendengar janji yang dilafazkan dari mulut Hakimi Danial.



AISYA menguak pintu dari luar. Hampir gugur jantungnya apabila terlihat sekujur tubuh sedang tidur baik punya atas katil kesayanganya. Kakinya melangkah perlahan-lahan menuju ke katil. Diperhatikan wajah Hakimi Danial sedang lena diulit mimpi. Kacak jugak dia ni. Puji Aisya dalam hati.
“Wei, bangun. Kenapa awak tidur atas katil saya. Kalau nak tidur pergilah balik rumah awak. Ini rumah saya.” Aisya menggoncang-goncang bahu Hakimi Danial.
Lena Hakimi Danial terganggu. Dengan perlahan-lahan dia membuka mata. Dia bingkas bangun apabila bertembung mata dengan Aisya.
“Dah lama awak balik?” Hakimi Danial menggosok-gosok matanya.
“Saya dah lama balik ke? Tak balik-balik ke? Awak sibuk apa. Sekarang yang penting saya nak tahu awak buat apa dalam bilik saya ni?” Soal Aisya dengan nada yang agak kasar.
“Kalau dah ada dalam bilik ni buat apa lagi? Tidurlah. Takkan main bola pulak.” Perli Hakimi Danial.
Aisya mengetap bibir. Kurang asam mamat cekeding ni. Berani dia jawab main-main macam tu. Bebel Aisya dalam hati. Mata Hakimi Danial dipandang tajam. Hakimi Danial membalas tenungan tersebut. Akhirnya Aisya yang mengalah.
Aisya mendengus kasar sambil menjeling tajam kepada Hakimi Danial. Hakimi Danial hanya tersenyum halus. Tuala di tempat penyidai dicapai dan kemudian Aisya menghilangkan diri dalam bilik air.
Aisya keluar dari bilik air sambil mengesat rambutnya yang basah. Matanya agak terbeliak apabila melihat Hakimi Danial masih lagi terlentang atas katil sambil memandangnya tanpa berkelip-kelip. Aisya telan liur.
“Apa pandang-pandang?”
“Salah ke kalau saya pandang isteri saya sendiri.” Hakimi Danial menghadiahkan senyuman kepada Aisya.
“Banyaklah awak punya isteri. Malaslah saya nak layan awak mengarut ni. Saya nak keluar sekejap. Rimas pulak duduk lama-lama dalam bilik ni dengan awak.” Aisya merapikan rambutnya dan menyapu sedikit losyen ditangan.
“Bagus jugak kalau awak keluar. Sekurang-kurangnya bolehlah saya sambung tidur. Lagipun saya tak puas lagi tidur sebab awak kacau saya tadi.” Tempelak Hakimi Danial.
Kau ingat kau seorang saja boleh bermulut laser. Aku pun bolehlah. Desis Hakimi Danial dalam hati.
Tanpa berkata banyak Aisya mengatur langkah dengan kasar dan menghempas pintu bilik dengan kasar. Hatinya panas dengan kata-kata Hakimi Danial sebentar tadi.
“Isya pergi mana tadi?” soal Nek Timah apabila Aisya duduk dimeja makan. Aisya menarik nafas dalam-dalam. Sekejap lagi panaslah telinga aku dengar nenek membebel. Nasib kaulah Aisya. Gumam Aisya dalam hati. Telinganya yang penuh dengan tahi telinga itu dikorek-korek.
“Nenek tanya ni tadi Isya pergi mana? Kenapa tinggalkan majlis perkahwinan Isya tadi macam tu aje. Kasihan Kimi. Malu nenek dengan Kimi tahu tak.” Suara Nenek Timah kedengaran agak tegang dan serius.
“Isya pergi kebun sekejap. Rindu sangat kat kebun tu. Lagipun masa Isya tinggalkan majlis semua dah settle kan. Akad nikah pun dah selesaikan. Nak malu apanya.” Jawab Aisya dengan wajah yang tak bersalah. Nenek Timah menggelengkan kepala.
“Isya ni bila nak berubah? Nenek harap sangat Isya berubah. Kamu nak tengok nenek mati dulu ke baru kamu nak berubah? Isya tu bukannya budak-budak lagi dah boleh jadi mak budak dah pun. Kalau tak boleh nak berubah seratus peratus cubalah berubah perlahan-lahan. Ini tak dari dulu sampai sekarang macam tu aje perangainya. Langsung tak nak berubah. Nasihat orang lain tak didengarnya.” Leter Nek Timah. Aisya hanya menunduk memandang kain alas meja. Tangannya asyik bermain dengan kain alas meja.
“Tengoklah nanti Insya-Allah akan berubah.”Jawab Aisya pendek. Dia malas hendak menjawab lebih-lebih dengan neneknya. Kalau jawab lebih-lebih nantikan boleh dapat senduk atas kepala. Tak ke naya tu.
“Sekarang kamu pergi panggilkan Kimi makan. Lauk dah siap ni.” Arah nek Timah. Ikan goreng diletakkan di atas meja.
Dengan rasa yang malas, Aisya bergerak perlahan menuju ke bilik tidurnya. Pintu bilik dikuak dari luar dan hampir-hampir kepalanya berlanggar dengan dada bidang Hakimi Danial yang juga menguak pintu dari dalam.
“Awak ni kalau nak buka pintu pun agak-agaklah. Terkejut saya tahu tak.” Marah Aisya.
“Manalah saya tahu yang awak pun nak buka pintu.” Jawab Hakimi Danial ringkas sambil tersenyum manis pada Aisya.
Mamat ni kenapalah suka sangat senyum manis kat aku. Mesti nak pikat aku ni. Aisya perasan sendiri.
“Yang awak tersengih-sengih macam kerang busuk depan saya ni kenapa? senget ek?” Tempelak Hakimi Danial.
Serta-merta lamunan Aisya terhenti.
“Nenek panggil awak makan. Jomlah.” Ajak Aisya dengan selamba untuk menutup rasa malu kerana asyik merenung wajah kacak milik Hakimi Danial.
“Jomlah. Saya pun dah lapar sangat dah ni.” Ajak Hakimi Danial. Tanpa disedari tangan Aisya ditarik lembut oleh Hakimi Danial. Aisya terkedu seribu bahasa. Hakimi Danial buat muka selamba badak.
“Kalau ya pun lapar janganlah tarik tangan saya beria sangat.” Sinis Aisya. Seraya itu Hakimi Danial pantas melepaskan tangan Aisya daripada genggamannya. Mukanya tiba-tiba merona merah kerana terpegang tangan Aisya tanpa sedar.
“Opppsss…sorry terlebih sudah. Tapi awak tak payahlah nak buat muka bengang sangat. Lagipun kalau saya pegang tangan awak bukannya berdosa pun. Awak tu isteri saya yang sahkan. So tak salahlah kalau saya pegang tangan awak bukan?” Ujar Hakimi Danial sambil mengangkat-angkat kening yang lebat itu.
“What ever.” Balas Aisya. Dia malas hendak bertikam lidah dengan Hakimi Danial. Dia kemudian berjalan laju meninggalkan Hakimi Danial dibelakang. Hakimi Danial hanya mencebik bibir dan mengekori Aisya dari belakang.
“Duduk Kimi. Ini aje lauk yang boleh nenek masakkan untuk Kimi. Makanlah ya.” Pelawa Nek Timah apabila melihat Hakimi Danial duduk di kerusi yang berhadapan dengan Aisya. Aisya hanya menjeling tajam pada Hakimi Danial.
“Tak apa nek. Ini pun dah kira best dah ni.” Ujar Hakimi Danial sambil mencuci tangan.
Eleh..berlagak baik konon. Pegi dahhh….Getus Aisya dalam hati.
“Apa lagi yang kau menungkan tu Isya. Tolonglah sendukkan nasi untuk Kimi. Kau tu kan dah jadi isteri dia. Kau kenalah layan dia elok-elok. Barulah boleh jadi isteri solehah.” Tegur Nek Timah apabila melihat Aisya seperti sedang termenung. Hakimi Danial hanya tersenyum ketika mendengar kata-kata itu dari mulut Nek Timah.
“Suruhlah dia senduk sendiri. Bukannya dia tak ada tangan.” Jawab Aisya dengan berani. Nenek Timah menjengilkan matanya. Terus Aisya menyendukkan nasi untuk Hakimi Danial.
Hakimi Danial mengucapkan terima kasih setelah Aisya menyendukkan nasi ke dalam pinggannya. Aisya langsung menjawab apa-apa hanya dengusan halus kedengaran.
Mamat ni ingat dia raja ke nak kena layan bagai. Bukannya tak ada tangan. Nenek ni pun satulah bagi muka sangat kat mamat sengal ni. Bebel Aisya dalam hati kecilnya.
Nenek Timah meletakkan ayam goreng ke dalam pinggan Hakimi Danial. Aisya hanya memerhatikan tingkah laku neneknya itu.
“Isya pun nak jugak ayam goreng tu nek.” Pinta Aisya sambil menghulurkan pinggannya.
“Ambillah sendiri. Isya kan ada tangan.” Tempelak Nek Timah. Nasi disuakan ke dalam mulut.
Aisya mencebik bibir. Tanda tak puas hati dengan layanan neneknya yang berat sebelah itu.
Tidak semena-mena Hakimi Danial mengambil seketul ayam goreng dan meletakkannya ke dalam pinggan Aisya.
“Terima kasih.” Ucap Aisya perlahan namun masih mampu didengari oleh Hakimi Danial.
“Sama-sama.” Balas Hakimi Danial sambil tersenyum manis.
Mereka sekeluarga makan dengan penuh berselera. Sesekali Nek Timah akan menceritakan perihal Aisya ketika waktu kecil-kecil dahulu. Naik malu Aisya dibuatnya. Hakimi Danial hanya tergelak kecil apabila mendengar cerita Nek Timah. Dia khuatir kalau dia gelak besar nanti dia akan disepak oleh Aisya. Maklumlah bini dia tu ahli gusti yang tak bertauliah.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.