Tetamu Rindu

Sunday 14 April 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 3 )


ISYRAQ menjerit sepuas- puasnya di dalam bilik. Habis satu bilik disepahkan. Cadar katil di tarik lalu dipijak- pijak dengan rasa marah dan geram yang bercampur baur. Tak guna punya perempuan, tak guna!! Jerit batin Isyraq.
“ Kau akan menyesal Hamna! Kau akan menyesal! Aku takkan biarkan kau hidup tenang!” dia menjerit seperti orang terkena histeria.
“ Apa aku nak buat? Apa aku nak buat pada Minah Gendut tu?” tanya Isyraq pada diri sendiri,
Dia mundar- mandir di dalam bilik. Bila dia sudah puas mundar- mandir, dia menghempaskan badannya di atas tilam.  Ditenungnya siling rumahnya lama- lama.  Tapi bila ditenung lama, muncul pula wajah gadis berkaca mata tebal dengan senyuman yang cukup sinis. Cukup menaikkan suhu kemarahan Isyraq.
“ Ish, menyampah betul aku dengan muka dia tulah. Kalau ada depan mata aku ni, memang lebam bijik mata minah tu aku tumbuk. Hidup, kalau tak menyakitkan hati orang tak sah agaknya. Jadi perempuan tu biarlah yang lemah lembut, ini tidak kalahkan ahli gusti.” Bebel Isyraq.
“ Apa aku nak buat? Kalau guna cara kasar tak boleh, aku guna cara halus. Kau tunggulah Hamna, kau akan menyesal!” sambung Isyraq lagi. Masih dalam mood bercakap sendiri.
Dia tersenyum- senyum. Otaknya sudah mula mengatur rancangan. Tapi kali ini rancangan ini hanya dia yang tahu. Sahabat- sahabatnya tidak perlu tahu. Dia tersenyum penuh makna.

“ SEMINGGU??!” tanya Hamna hampir menjerit.
Encik Mohamad menutup telinganya dan menjeling garang pada Hamna yang menjerit. Kok ya pun terkejut tak perlulah sampai perlu terjerit macam itu sekali. Desis hati Encik Mohamad.
“ Ini arahan Encik Fakhri yang perlu kamu berdua ikut,” terang Encik Mohamad lagi.
“ Kami bergaduh tak sampai sehari, takkan nak kena denda sampai seminggu pak cik?” balas Hamna selamba.
Encik Fakhri menggelengkan kepala. Kenapalah budak perempuan sorang ni bengap sangat? Dah nama pun denda, mestilah kena lama.
Isyraq yang berada di sebelah hanya tersenyum sinis. Kadang- kadang sikap kelam kabut Hamna mencuit hatinya tetapi bila diingatkan apa yang perempuan itu sudah lakukan padanya, membuatkan Isyraq menarik muka masam.
“ Apa yang kami kena buat pak cik?” soal Isyraq tanpa bercakap banyak. Dia sudah naik bosan tengok muka Hamna yang langsung tiada daya tarikan.
Macam mana nak menarik, penampilan gadis itu memang cukup buruk pada pandangan Isyraq. Dengan cermin mata tebal empat inci, tudung yang dipakai pun mengikut fesyen lama. Dibiarkan lepas melepasi dada. Baju pula hanya baju kurung dan kadang- kadang gadis itu memakai t-shirt lengan panjang dan berseluar slack. Cukup biasa pada pandangan Isyraq tapi yang luar biasa adalah mulut gadis itu. Memang mulut longkang!
“ Selama seminggu, kamu berdua kena tolong  mak cik cleaner cuci toilet dan mop lantai di sekitar kawasan kolej dan jadi tukang kebun kolej kita,” terang Encik Mohamad.
“ Alah, tu kerja senang je pak cik. Biar saya tolong mak cik cleaner, mamat perasan bagus tu jadi tukang kebun. Memang sesuai sangatlah dengan muka dia yang macam pasu bunga tu!” cukup bersahaja Hamna menuturkan kata.
Berderau darah Isyraq mendengar kata- kata pedas daripada Hamna. Dia menjeling benci.
“ Saya setuju pak cik. Elok sangatlah dia jadi cleaner. Muka pun dah macam  mangkuk tandas!,” sindir Isyraq kasar.
Hamna mengetap bibir. Main kasar nampak. Suka- suka hati dia je samakan muka aku yang cute ni macam mangkuk tandas, muka aku ni cantik sikit daripada mangkuk tandas tau. Monolog Hamna dalam hati. Dia memandang wajah Isyraq dengan pandangan tajam. Dia ingin membalas tetapi suara Encik Mohamad menghalang.
“ Baguslah kalau kamu berdua setuju tapi masalahnya pak cik tak setuju. Encik Fakhri dah tetapkan setiap kerja yang kamu berdua lakukan mestilah kerjasama. Kalau kamu berdua bergaduh lagi, denda ini akan dilanjutkan. Faham?” tanya Encik Mohamad sambil membetulkan cermin matanya.
Hamna dan Isyraq mengeluh. Mereka menundukkan kepala.
“ Ini semua kau punya pasal!” Isyraq menuding jari pada Hamna. Hamna panggung kepala dan memandang Isyraq sebelum matanya memandang wajah Encik Mohamad yang sedang memerhatikan tingkah laku mereka. Hamna tersenyum manis.
“ Memanglah aku punya pasal tapi pasal kau yang buat pasal,” Hamna bercakap sambil mengancingkan giginya. Mudah- mudahan dengan cara itu suaranya tidaklah kedengaran tinggi sangat.
Isyraq ingin membalas tapi isyarat mata yang diberikan oleh Hamna menghentikan niatnya. Dia memandang Encik Mohamad yang berwajah garang. Isyraq tersengih.
“ Baiklah kami faham pak cik. Kami akan ikut apa saja yang pak cik suruh, betul tak Na?” soal Isyraq lembut siap dengan senyuman lagi tu.
Tiba- tiba saja Hamna terasa ingin muntah apabila Isyraq memanggil nama pendeknya itu. Dia berpaling ke belakang dan menjolok tekaknya. Eeiii…geli betul telinga aku dengar. Nak muntah!
“ Ye Is, kita akan bekerjasama kan? Kan?” giliran Hamna pula yang berlakon.
Isyraq menjuihkan bibir namun apabila memikirkan yang mereka berdua berada di hadapan Encik Mohamad, Isyraq memaniskan muka dan menganggukkan kepala seperti burung belatuk.
“ Baguslah, kalau macam tu saya nak awak berdua minta maaf sesama sendiri…”
Arahan Encik Mohamad membuatkan mereka berdua saling berpandangan. Minta maaf? No way! Jerit hati mereka berdua.
Hamna menentang pandangan mata Isyraq yang tajam.
‘ Kalau kucing bertanduk sekali pun, aku takkan minta maaf dengan kau!’ bisik hati Hamna sambil matanya terus tajam menikam anak mata Isyraq.
‘ Kalau ayam bertelur anak kembar sekali pun, aku takkan minta maaf dengan perempuan macam kau!’ balas hati Isyraq. Matanya terus beradu dengan mata Hamna yang tersembunyi di sebalik kaca mata.
Namun kata hati mereka tidak seiring dengan apa yang mereka lakukan. Isyraq menghulurkan tangan untuk bersalaman tetapi hulurannya hanya dipandang sepi oleh Hamna. Dia memandang tangan Isyraq lama. Eh, takkanlah mamat ni tak tahu bersalaman dengan lelaki itu haram. Ini tak lain tak bukan, nak suruh aku ajarlah tu. Cebik Hamna.
“ Mana boleh salam, berdosa…” tegur Hamna sambil menggoyangkan jari telunjuknya pada Isyraq.
Isyraq tercengang. “ Oh,” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Isyraq. Dengan pantas dia menjatuhkan tangannya.
“ Tunggu apa lagi, cepatlah minta maaf…” sampuk Encik Mohamad yang tadi hanya diam membisu.
Hamna menggaru- garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya dipandang ke tempat lain. Begitu juga dengan Isyraq, dia buat- buat tak tahu. Berat betul mulutnya untuk melafazkan perkataan maaf itu pada Hamna.
“ Nampaknya, awak berdua ni degil betul. Baiklah, saya akan maklumkan perkara ni pada Encik Fakh…”
“ Nanti dulu pak cik!” tahan Hamna. Dia menjeling pada Isyraq yang masih selamba.
Lalu dia bergerak sedikit menghampiri Isyraq. Rapat sehingga hampir bersentuhan bahu tetapi sempat Isyraq menjarakkan diri. Apa kena pula perempuan ni dekat- dekat dengan aku? Ada aku tempeleng minah ni kan. Bisik hati Isyraq namun dia hanya mengeraskan diri menanti bicara daripada Hamna.
“ Lebih baik kau minta maaf dulu, mati kita kalau pak cik bagitahu dekat Encik Fakhri,” bisik Hamna perlahan.
“ Kenapa aku pula yang kena minta maaf dulu? Kau yang mulakan. Jadi kaulah yang kena minta maaf dengan aku,” balas Isyraq turut berbisik. Dia masih belum mahu mengalah.
Hamna menepuk dahi. Dasar lelaki! Egonya memang tak boleh nak kalah. Sekali aku cepuk mamat ni sembah lantai lagi kan. Bentak hati Hamna. Dia mengetap bibir.
“ Kau lelaki, kenalah tunjuk yang kau ni gentleman. Takkan aku pula yang nak mulakan. Malulah kau nanti. Kita berlakon je minta maaf. Kalau kau tak ikhlas pun tak apa sebab aku bukannya ikhlas pun nak maafkan kau,” selamba saja Hamna berkata.
Bulat mata Isyraq mendengar kata- kata Hamna. Sah, memang perempuan ni dah mereng! Ada ke minta maaf pun nak berlakon? Agak- agaklah sikit. Bebel hati Isyraq.
“ Kau tak payah buat muka macam ayam berak sembelitlah. Cepatlah, kalau tak nanti pak cik perasan…” sambung Hamna lagi. Dia dah lenguh kerana terpaksa menjinjit untuk berbisik di telinga Isyraq. Mamat ni dahlah tinggi kalahkan hantu galah. Makan apalah sampai jadi tinggi macam ni? Hati Hamna mula merepek.
Isyraq tersedar. Tidak dapat tidak akhirnya dia terpaksa akur dengan cadangan Hamna. Buat pertama kali dia setuju dengan Hamna, tapi sumpah kali ini saja!
“ Yelah- yelah, Hamna, aku minta maaf….” Tutur Isyraq dengan muka yang meluat. Dia memandang ke tempat lain tanpa sedikit pun memandang wajah Hamna.
Hamna tersenyum sumbing. Nampak sangat tak ikhlasnya. Tapi tak apa, aku pun bukan ikhlas sangat nak maafkan dia. Biar sama- sama tak ikhlas. Bisik hati Hamna.
“ Baiklah, aku maafkan…” balas Hamna dengan wajah dibuat- buat ceria. Kemudian dia memandang wajah Encik Mohamad yang sedang memerhatikan mereka berdua. Lelaki tua itu tersenyum.
“ Macam itulah bagus. Kita kan sesama Islam, bergaduh itukan tak elok apatah lagi awak Hamna, awak tu perempuan bertudung pulak tu. Sepatutnya awak jaga tatatertib sebagai seorang gadis yang lemah lembut bukannya gadis yang suka belasah anak orang,” nasih Encik Mohamad sambil menulis sesuatu di atas kertas.
Hamna mencebik. Kurang bersetuju dengan kata- kata Encik Mohamad. Mengapa kalau perempuan dan lelaki bergaduh, perempuan yang asyik dipersalahkan sedangkan lelaki juga harus dipersoalkan kerana berkasar dengan perempuan. Dunia memang tidak adil atau manusia itu sendiri yang menjadikan dunia tidak adil?
Isyraq mencuri pandang wajah Hamna yang mencebik. Dia tersenyum sinis. Ternyata Encik Mohamad memihak kepadanya. Oh, bahagianya!
“ Lelaki pun sama. Jangan nak tunjuk lagak sangat dengan perempuan. Mentanglah perempuan kaum yang lemah, ingat mereka semuanya ni diciptakan hanya untuk dibuli? Sebagai lelaki sejati, awak Isyraq sepatutnya melindungi perempuan bukannya turut sama buli mereka,” tempelak Encik Mohamad tidak semena- mena. Bulat matanya memandang wajah Isyraq yang tersenyum sinis.
Senyuman Isyraq mati. Dia terkulat- kulat memandang Encik Mohamad. Hampeh betul pak cik ni, ingatkan nak bela aku rupa- rupanya dengan aku sekali dia sembur. Bosan betul!
“ Tengok dululah pak cik. Bila kami boleh start denda tu? Saya ada kelas pula lepas ni,” ucap Isyraq malas mendengar Encik Mohamad membebel.
“ Esok, pukul satu jumpa saya di sini…” balas Encik Mohamad.
“ Baiklah,” jawab mereka serentak.
Tanpa menunggu lama, Isyraq keluar daripada bilik Encik Mohamad dan meninggalkan Hamna bersama dengan lelaki itu. Dia tidak peduli ke mana gadis itu pergi kerana dia masih ada urusan lain yang perlu diuruskan. Dendamnya perlu dibalas. Hatinya tergelak jahat.
Sewaktu sampai di tempat letak motor, Isyraq memandang ke satu tempat. Dia tersenyum sinis.
“ Kat sini kau letak motor buruk kau tu ye? Kau memang suka cari nahas dengan aku. Dahlah kau malukan aku, tempat letak motor aku pun kau kebas. Jagalah nasib kau, perempuan!” Isyraq berbisik sendirian penuh dengan maksud yang tersirat.
Dia menghampiri motor Honda EX5 berwarna hitam yang terparkir di celah- celah motor yang lain. Kemudian matanya memandang ke kiri dan kanan. Kawasan kolejnya lengang, tiada seorang pun yang kelihatan dan inilah masanya.
Perlahan- lahan Isyraq menarik motor tersebut yang tidak berkunci itu keluar dari tempat parkir dan diheretnya sehingga ke tebing longkang yang berhampiran. Dia tersenyum sinis.
“ Memandangkan mulut tuan kau macam longkang jadi tak salah kalau tempat kau dekat longkang!” ucap Isyraq.
Tanpa belas kasihan, Isyraq menolak motor itu sehingga jatuh ke dalam longkang. Dia ketawa jahat sambil mengibas- ngibas tangannya. Urusannya sudah selesai. Maka tamatlah riwayat kesan degil!

“ BABY! Baby!” panggil Hamna sambil melilau- lilau di kawasan tempat letak motor. Wajahnya tergambar riak cemas kerana motor kesayangannya hilang. Dia mengintai di celah- celah motor lain tetapi Babynya tidak kelihatan.
“ Mana pulak baby aku ni pergi? Tadi eloknya ada dekat sini. Janganlah ada yang culik dia…” rintih Hamna. Dia takut kehilangan satu- satunya kenderaan yang dia ada untuk ulang- alik ke kolej.
Hamna mundar- mandir mencari motorsikal kesayangannya itu tetapi bayangnya pun tidak kelihatan. Dia rasa mahu meraung di situ juga. Kepalanya digaru entah ke berapa kali tetapi Babynya tetap tidak kelihatan. Hamna resah.
“ Hamna, kenapa dengan kau ni?” satu suara menyapa daripada arah belakang memeranjatkan Hamna. Dia berpaling.
“ Eh, kau rupanya Elyas. Aku cari Baby akulah. Kau nampak tak Baby aku?” soal Hamna dengan muka cemberut.
Kelihatan dahi Elyas berkerut. Baby?
“ Kau dah kahwin ke Na? Kenapa aku tak tahu pun?” soal Elyas lurus. Dia memandang tepat wajah Hamna yang kelihatan berserabut.
“ Hah??” giliran Hamna pula yang melongo mendengar pertanyaan daripada Elyas. Bila pula aku cakap aku kahwin? Bakal jodoh pun macam tak ada je inikan pula nak kahwin? Apa- apa jelah Elyas ni. Desis hati Hamna.
“ Kau tanya pasal baby maknanya kau dah kahwin kan?” tambah Elyas lagi sambil memeluk rapat buku yang dipegangnya ke dada. Cermin mata yang melurut, dibetulkan sedikit.
Hamna menepuk dahi. Ke situ pula Elyas ni. Itulah berkawan lagi dengan mamat bengap macam Isyraq tu tak pasal- pasal diri sendiri pun terjangkit sama. Bebel hati Hamna.
“ Bukan baby itulah maksud aku…”
“ Habis itu, baby mana?” soal Elyas pantas.
“ Baby tu nama motorsikal aku. Motor aku hilanglah. Kau ada nampak tak?” soal Hamna sekali lagi.
Elyas tersengih- sengih. Oh, nama motor rupanya aku ingatkan apalah tadi. Macam- macam si Hamna ni, patutlah ramai orang cakap Hamna ni pelik ternyata memang pelik. Ada ke motor dipanggil baby? Habis itu kalau baby, agak-agaknya apa yang Hamna panggil? Soal hati kecil Elyas.
“ Elyas! Kau dengar tak aku tanya ni?” soal Hamna mengejutkan Elyas. Dia tersengih lagi.
“ Dengar- dengar. Baby kau tu jenama apa?” balas Elyas mengikut rentak Hamna. Layankan jelah dia ni.
“ Honda EX5 je…” balas Hamna pendek. Dia menjenguk- jengukkan kepala cuba mencari motornya di kawasan berdekatan namun tidak kelihatan.
Elyas turut meninjau kawasan sekeliling sebelum matanya tertacap pada sesuatu yang terdampar di dalam parit tidak jauh daripada tempat mereka berdiri. Dahi Elyas berkerut. Macam rupa motorsikal je tu tapi takkanlah sampai ke situ motor Hamna. Lalu, Elyas mendekati longkang tersebut dan ternyata….
“ Hamna!” panggil Elyas lantang.
Dengan terkocoh- kocoh, Hamna berlari- lari anak menghampiri Elyas yang berdiri tegak di tepi longkang.
“ Kenapa Elyas?” soal Hamna termengah- mengah. Dia memandang wajah Elyas yang kelihatan sedikit pucat.
“ Itu ke Baby kau, Na?” soal Elyas sambil menuding jari ke arah motorsikal yang tersadai di dalam longkang.
Hamna tercengang- cengang namun pandangannya tetap dihalakan ke arah tempat yang ditunjukkan oleh Elyas. Sah, memang itu Baby!
“ Arghhh! Babyyy!!” jerit Hamna seperti orang kena rasuk.
Dengan pantas dia turun ke dalam parit untuk menyelamatkan motorsikal kesayangannya. Dengan bantuan Elyas, motorsikalnya dapat diselamatkan tetapi segalanya sudah terlambat, Babynya sudah lencun terkena air longkang.
Hamna terasa ingin menangis namun tiada air mata yang keluar Cuma sekarang ini hanya terbit rasa marah. Siapalah yang berani kenakannya dengan sebegini rupa?
“ Tak guna! Siapa yang nak main- main dengan aku ni Elyas? Siapa yang berani humban Baby aku dalam longkang ni?” Hamna sudah terjerit. Dia menghentak- hentak kaki tanda geram. Separuh daripada seluarnya sudah kotor terkena air longkang.
“ Aku tak tahu, Na. Aku pun terkejut tengok motor kau ada dalam longkang macam anak kena buang. Dia jatuh sendiri kut,” Elyas cuba membuat andaian,
Hamna menggelengkan kepala dengan pantas. Andaian Elyas tidak boleh diterima akal. Motornya itu sudah diletakkan elok di tempat biasa, takkanlah boleh bergerak sampai ke dalam longkang. Memang tak masuk akal melainkan ada orang yang tolong menggerakkan motornya.
“ Aku tak rasa motor ni gerak sendiri…aku rasa macam….”
Hamna tidak sempat menghabiskan kata- katanya apabila telinganya menangkap deruman yang kuat dari arah belakang. Dia berpaling dan kelihatan Isyraq sedang menuju ke arahnya dengan menunggang YZF R1 berwarna merah. Hamna terpaku seketika.
Lelaki itu membuka penutup helmetnya. Satu senyuman sinis dilemparkan buat Hamna yang berdiri di sebelah motornya yang basah kuyup.
“ Elok sangatlah tu, motor dengan tuan mandi longkang. Dua- dua busuk macam air longkang. Sesuai sangat youuuuu!!!” perli Isyraq dengan ketawa kuat. Cukup menyakitkan telinga Hamna.
Hamna mengetap gigi. Perasaan dia kuat mengatakan Isyraq yang bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi pada motornya. Memang lelaki ni tak guna!
“ Ini semua kau punya kerja kan?!!” tempik Hamna kuat. Turun naik dadanya menahan rasa marah yang membuak- buak.
Tapi Isyraq hanya bersahaja malah ketawanya semakin menjadi- jadi melihat wajah Hamna yang merah.
“ Tak baik fitnah aku. Berdosa. Bukan kau tak tahu fitnah itu lebih kejam dari membunuh…” giliran Isyraq mengingatkan Hamna. Dia suka melihat wajah bengang Hamna.
“ Kalau membunuh tu bukan berdosa, kaulah orang pertama yang aku bunuh!!” jerit Hamna lagi. Kali ini dia betul- betul bengang dengan apa yang Isyraq lakukan. Dia takkan biarkan lelaki itu terlepas kali ini. Dia akan balas dendam!
“ Oh, yeke? Takutnya…hahahahaha!!!” Isyraq mengejek.
“ Kau! Kau!...” Hamna kehilangan kata- kata. Menggigil lututnya menahan rasa marah yang semakin memuncak.
“ Mulai hari ni aku isytiharkan perang!!!” jerit Hamna pada Isyraq.
Isyraq ketawa sepuas hati.
“ Baiklah, aku sambut perang kau tu! Tunggu dan lihat apa yang bakal jadi pada kau! Kita perangggg!!!” jerit Isyraq kemudian dia menghidupkan enjin motorsikalnya dan berlalu selepas memberi lambaian terakhir pada Hamna.
“ Jantan tak gunaaa!!!!!” bergema kawasan kolej itu dengan suara Hamna yang lantang.
Elyas hanya menelan air liur.


1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.