BAB
5
PAGI itu sungguh nyaman dan damai. Bunyi kicauan
burung menambah lagi ketenangan di pagi Ahad itu. Usai solat subuh Balqis masih
bermalas-malasan di atas katil,
maklumlah hari minggu dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah. Sedar tak
sedar dia terlelap.
Bunyi telefon bimbit Sony Erricson miliknya
mengejutkan Balqis yang lena di ulit mimpi indah. Hish, siapalah yang kacau aku
pagi-pagi buta ni tak hormatkan privacy orang betullah. Bebel Balqis apabila
tidurnya di ganggu. Baharu sahaja dia bermimpi Shah Rukh Khan meminangnya
alih-alih terganggu pulak dek bunyi bising. Tapi bila difikir dengan logik
akal, pandai ke Shah Rukh Khan meminang. Lari keliling pokok bolehlah. Balqis
tergelak sendirian. Mengarut.
Bunyi ringtone
Solo nanyian Iyaz berkumandang sekali lagi. Sakit sungguh hati Balqis,
lantas dia bingkas bangun sempat lagi mengerling jam loceng di atas meja.
Baharu pukul tujuh pagi. Orang yang call
aku ni dah tak ada kerja lain ke? Memang cari nahas betul. Aku nak sembur
habis-habisan nanti biar dia bertaubat tak akan kacau aku. Tak tahu ke tuan
puteri Balqis nak beradu. Guman Balqis lantas mencapai telefon bimbit dan tanpa
melihat skrin telefon dia terus menekan punat yang berwarna hijau.
“Assalamualaikum, Balqis speaking. Ada apa call pagi-pagi
buta ni menganggu ketenteraman awam betullah. Kalau ikutkan saya boleh saman
kerana anda telah membuat mimpi indah saya terganggu. Anda tidak boleh
dimaafkan.” Kembang kempis hidungnya mengutarakan hujah yang dirasakan cukup
bernas. Biar pemanggil itu serik kerana di sembur di awal pagi. Balqis tergelak
kemenangan tapi tiba-tiba……
“Pagi buta nenek tiri kau. Dah pukul 12.30 tengah
hari ni. Sah kau ni baharu bangun tidur anak dara apa kau ni tengah hari bangun
patutlah tak ada orang nakkan kau kalau macam ni lah perangai kau.” Bebelan
dari pemanggil itu membuatkan mata Balqis terbuka luas. Mak? Mampus aku!
“ Mak ke ni?” soalnya kebingungan. “ Taklah ayah
kau,”balas suara wanita di hujung sana.
“ Tapi sejak
bila pulak ayah buat pembedahan suara? Suara perempuan pulak tu tak sedap
langsung,” Kritik Balqis terang-terangan sambil bibir dijuihkan seperti percaya
suara itu milik Pak Ismail, ayahnya.
“Ya ALLAH, Qis kau ni kenapa lurus sangat? Ni maklah
bukan ayah kau.” Jerit Mak Kiah, emak Balqis.
Seperti terkena kejutan elekrik baharulah Balqis
benar-benar tersedar. Dia tergelak besar sehinggakan bunyi ketawanya
menyakitkan telinga Mak Kiah. Anak dara aku ni gelak mengalahkan langsuir
kehilangan anak. Seram aku. Rungut Mak Kiah.
“ Laa…mak rupanya, Qis sangkakan memang benarlah
ayah bersuara perempuan. Kenapa mak telefon Qis ni? Mak rindu eh..” usik Balqis
selepas tawanya reda.
“ Rindu- rindu juga, kau bila nak balik kampung? Mak
dengan ayah ada benda penting nak bincang dengan kau ni. Penting sangat. Kalau
boleh dalam minggu ni kau baliklah kampung bawak Hani sekali.” Ujar Mak Kiah
memulakan bicara. Balqis menggigit bibir. Ini tak ada hal lain la ni mesti nak
tanya bila aku nak kahwin. Bosanlah asyik di tanya benda yang sama setiap kali
pulang ke kampung.
“ Tak boleh bincang sekarang ke mak? Qis tak tahu
dapat cuti ke tidak minggu ni. Qis sibuk sikit sejak kebelakangan ini. Kelas
tambahan untuk budak-budak PMR dan SPM dah nak mula.” Balqis mencipta alasan.
“Kau jangan nak kelentong mak Qis, macamlah mak tak tahu yang kelas tambahan
sekolah kau tu start bulan berapa. Bulan lepas kau cakap kelas tambahan start
bulan tiga sekarang baharu bulan dua Qis.” Ujar Mak Kiah mematahkan niat Balqis
untuk berbohong.
Aduh, Balqis menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Sudah kusut rambutnya akibat asyik digaru sahaja. Begitulah keadaan Balqis jika
dalam kegelisahan.
“ Alah, mak nak bincang pasal apa ni? Kita bincang
dalam telefon jelah.” Pujuk Balqis dengan suara yang sengaja dilembutkan.
“ Tak boleh. Kalau kau tak balik mak kira kau
setuju.”
“Setuju apa pula ni mak?”
“Setuju nak dikahwinkan dengan lelaki pilihan mak.”
“Apa?!!”
“TAK boleh macam ni mak. Mak kena bincang dengan Qis
dulu sebelum mak terima lamaran mereka. Qis belum sedia lagi nak kahwin buat
masa sekarang ni.” Protes Balqis sewaktu tiba di rumah di kampungnya. Sebaik
sahaja mendengar ugutan Mak Kiah untuk menerima lamaran bagi pihaknya, Balqis
terus memecut kereta mengambil Hani dan pulang ke kampung tengah hari itu juga.
Jarak di antara Kuala Lumpur dan Kuantan dirasakan begitu dekat. Apa tidaknya
Balqis memandu melebihi had laju dek kerana terkejut dengan berita yang di
sampaikan oleh maknya sehingga adiknya Hani terjerit di dalam kereta kerana
takut dengan gaya pemanduan Balqis yang mengalahkan Michael Shumacher. Kalau
Michael Shumacher lihat gaya pemanduan kakaknya, memang sah kakaknya itu
mendapat kontrak untuk berlumba di dalam F1. Dahsyat gila.
Balqis memandang wajah mak yang dirinduinya sebelum
beralih ke wajah Pak Ismail yang leka membaca surat khabar. Hani pula hanya
diam membisu sambil menonton televisyen di ruang tamu. Langsung tidak mahu
membantunya dalam menangani permintaan Mak Kiah.
“ Mak rasa budak lelaki tu baik untuk kau Qis. Ayah
kau pun setuju juga. Dah kau lambat sangat bawa calon suami, bila mak tengok
gambar budak tu mak terus berkenan. Keluarga dia baik walaupun kaya tapi tak
meninggi diri. Terima jelah selagi orang masih nak kat kau ni. Dah berapa
banyak pinangan orang kampung ni yang kau tolak takkan kau nak tunggu mak
dengan ayah ni mati dulu baharu kau nak kahwin.” Rintih Mak Kiah. Dia tidak
mengerti dengan fikiran anak sulungnya yang asyik megelak apabila soal kahwin
diutarakan. Nak suruh kahwin pun susah betul anak-anak zaman sekarang ni. Itu
disuruh berkahwin bukannya berperang.
“ Bukan itu maksud Qis mak, Qis belum jumpa jodoh
Qis. Bila dah jumpa nanti Qis kahwin lah tapi tak tahu bila.” Balqis memujuk
Mak Kiah dengan lembut. Laju sahaja tangannya membantu Mak Kiah melipat kain.
Nak membodek katakan.
“ Itu saja alasan yang kau ada dari dulu lagi bila
mak suruh kau kahwin. Tak tahu, belum ada jodoh lagilah tak ada alasan lain
ke?” Mak Kiah tidak berpuas hati. kalau di ikutkan hampir semua kawan yang
sebaya dengan Balqis sudah mendirikan rumahtangga dan bertunang, Cuma tinggal
Balqis yang belum berteman.
Apabila ada orang yang datang untuk meminang Balqis
terus sahaja Mak Kiah terima lagipun yang datang meminang itu bukan
calang-calang orang, pemilik hotel yang terkenal di Kuala Lumpur. Tambahan,
mereka sanggup untuk menyediakan semua barang-barang pengantin bagi pihak
keluarga Balqis tapi dengan syarat majlis pernikahan hendaklah diadakan sebulan
dari sekarang memandangkan ibu kepada pihak lelaki itu tidak mahu melambatkan
majlis tersebut bimbang anak lelakinya menolak.
“ Nak buat macam mana mak, alasan itu yang Qis ada
buat masa sekarang. Nanti Qis fikirkan alasan lain pula ya.”sempat lagi Balqis
berseloroh. Hani yang mendengar kata-kata kakaknya hanya mampu menahan gelak.
Faham benar sikap kakaknya yang suka membuat lawak di waktu-waktu genting
seperti ini. “Qis rasa baik mak tolak la pinangan tu. Balqis tak kenal pun
lelaki tu macam mana Qis nak kahwin.” Balqis terus-terusan membantah.
Mak Kiah memandang wajah anak gadis yang berada di
hadapannya itu. memang Balqis tidak memahami perasaan seorang ibu. Dia hanya
mahu melihat anakya bahagia di samping suami dan anak-anak dan bila dia dijemput
pulang oleh Ilahi nanti ada orang yang akan menjaga Balqis dengan baik seperti
dia menjaga anak gadisnya sekarang ini.
“ Kau suka agaknya tengok mak kempunan nak lihat kau
duduk atas pelamin mendirikan
rumahtangga. Bukan susah pun mak nak kau tunaikan permintaan mak untuk kali
ini. Susah sangat ke? Kau memang tak sayang mak.” Mak Kiah bersuara lirih. Sayu
kedengaran di telinga Balqis.
“Mak, janganlah cakap macam ni. Qis sayang mak tapi
ini menyangkut soal masa depan Qis mak, hati Qis belum terbuka untuk sesiapa
lagi. Qis belum bersedia. Maafkan Qis mak.” Balas Balqis seolah-olah merayu.
Susah untuk
dia terangkan mengapa dia susah untuk menerima cinta. Pada Balqis cinta itu
bukan mudah malahan dia tidak pernah berfikir untuk jatuh cinta pada mana-mana
lelaki tambahan tahap kepercayaannya kepada lelaki amat sedikit. Bukan benci
tapi kurang berminat memikirkan soal hati dan perasaan. Tak rock la. Oleh sebab
itu, dia langsung tidak mengambil pusing soal cinta sehinggalah perkara itu di
bangkitkan oleh Mak Kiah.
Mak Kiah bangkit dari tempat duduknya. Melotot
pandangannya ke arah Balqis. Dia benar-benar kecewa dengan sikap anaknya yang
tidak mahu mempedulikan masa depan sendiri.
“ Kalau kau tak nak ikut cakap mak, anggap saja mak
dah mati! Mak tak mahu ada anak yang derhaka macam kau ni!” jerit Mak Kiah
secara tiba- tiba membuatkan Pak Ismail dan Hani terkejut beruk.
“ Kiah apa yang awak merepekkan ni? Kalau budak tu
tak nak ikut jangan di paksa. Berdosa tau awak cakap macam itu.” tegur Pak Ismail.
Isterinya itu kalau ada orang yang tidak mendengar kata pasti akan melenting
tak tentu pasal dan sekarang Balqis yang menjadi mangsa.
“ Biarkan bang. Budak macam dia kena ajar sikit biar
dia dengar cakap kita. Jangan asyik nak ikut kepala dia je. Qis kau buat la pilihan
sama ada nak ikut cakap mak atau nak jadi anak derhaka.” Teagas Mak Kiah lagi
lantas berlalu dari situ meninggalkan Balqis yang termangu sendirian. Setitik
air matanya gugur ke bumi jua.
Apa lagi pilihan yang aku ada? Apa yang harus aku
lakukan?
“ TAK boleh begini umi. Kenapa umi tak tanya
persetujuan Ryan dulu sebelum umi buat keputusan. Ryan tak setuju dengan
tindakan umi 200 peratus umi. Ni berkait dengan masa depan Ryan, umi tak boleh
sewenang-wenangnya pilih bakal calon isteri untuk Ryan. Ryan boleh pilih
sendiri lagipun Ryan bukan tua sangat pun baharu 27 tahun.” Bantah Ryan apabila
Puan Rahina memaksanya untuk berkahwin dengan gadis pilihan uminya yang entah
siapa-siapa. Bengang campur bingung di buatnya.
“ Tengok tu bang anak bertuah ni cakap dia tak tua.
Kamu tahu tak kawan yang sebaya kamu kebanyakkan dah ada anak dua orang takkan
kamu nak bujang sampai mati.” Marah puan Rahina mendengar kata-kata yang keluar
dari mulut anak lelaki bongsunya.
“ Taklah sampai mati umi setakat nazak tu kira okey
lah.” Jawab Ryan pantas membuatkan Tuan Razlan tergelak. Tapi apabila melihat
suhu kepanasan isterinya yang akan meletup bila- bila masa membantutkan niat
Tuan Razlan untuk ketawa dengan lebih kuat. Cepat-cepat Tuan Razlan mengalihkan
pandangan ke peti televisyen LCDnya. Takut.
“ Ryan jangan nak main- main dengan umi ya. Umi
serius ni. Umi nak kamu kahwin juga dengan gadis pilihan umi tu. Muktamad.” Tegas Puan Rahina tanpa
memberi pilihan kepada Rya untuk membela diri.
Ryan menghela nafas berat. Bukankah bulan lepas dia
telah membawa Balqis sebagai calon isteri pada uminya, walaupun secara diam dia
menipu Puan Rahina tapi segalanya sudah jelas yang dia sudah mempunyai pilihan
sendiri. Apa sudah jadi dengan umi aku ni? Bisik hati Ryan.
“ Umi, kan Ryan dah ada Balqis untuk dijadikan calon
isteri umi kan dah setuju dulu, kenapa nak bangkit balik soal ni. Ryan malaslah
umi.” Bentak Ryan tidak berpuas hati. tempoh hari semasa Balqis di bawa
berjumpa dengan Puan Rahina, uminya itu memberi reaksi positif tapi kenapa hari
ini lain pula. Ryan bertambah bingung.
“ Ada ke umi cakap umi setuju dengan pilihan Ryan
tu? Umi tak cakap apa-apa pun.”
“ Tapi umi….” Ryan tidak dapat meneruskan kata-kata.
Dia benar- benar bingung. Wajahnya di
raup berkali-kali mengharap ketenangan
akan meresap ke dalam jiwanya saat itu.
Puan Rahina menggelengkan kepala. Ryan tidak boleh
di beri peluang lagi. Kali ini anak lelakinya itu harus menurut kata- katanya.
Tidak boleh tidak.
“ Yang awak nak paksa-paksa anak kita ni kenapa ina?
Biarlah dia tentukan masa depan dia, dengan siapa dia nak berkahwin. Buatnya
dia tak berkenan dengan pilihan awak bagaimana? Yang terseksa dia juga bukan
awak.” Tegur Tuan Razlan. Dia seolah-olah tidak bersetuju dengan cadangan
isterinya untuk menikahkan Ryan dengan gadis yang Tuan Razlan sendiri tidak
kenal. Kata Puan Rahina, Ryan pasti setuju dengan pilihannya tapi sekarang lain
pula jadinya.
“ Abang, Ina tahu siapa yang Ina pilih untuk jadi
menantu kita. Orangnya baik, sopan- santun, beradab dan yang pasti dia boleh
jaga anak bujang kita ni hah” Puan Rahina masih belum berputus asa. Dia akan
terus memujuk kalau tidak menjadi juga, dia akan guna cara lain. Ugutan. Ya dia
akan mengugut Ryan sampai anaknya itu mahu mengikut kata-katanya.
“ Itu kata awak Ina, buktinya Ryan tak setuju dengan
cakap awak tu. Awak batalkan aje peminangan tu.” Ujar Tuan Razlan yang nyata
memihak kepada Ryan.
Bagaikan berada di dalam syurga betapa bahagianya
Ryan apabila Tuan Razlan berpihak kepadanya. Ternyata Ryan memang tidak tahu cara
apa lagi yang harus dilakukan untuk menepis cadangan Puan Rahina.
“ Senanglah abang cakap, Ina tak kira Ina nak Ryan
kahwin juga dengan gadis tu. Umi dah bincang dengan keluarga dia bulan depan
kamu nikah.” Tegas Puan Rahina.
Ryan tersentak. Apa lagi kali ni? Dahlah kena kahwin
paksa dan sekarang puan Rahina mengatakan yang bulan hadapan dia harus menikah.
Ya ALLAH, bala apakah ini?
“ Apa umi? Bulan depan nikah? Ryan tak nak umi. Umi
jangan paksa Ryan, Ryan tak nak,tak nak.” Bentak Ryan. Dia mula mundar- mandir
mengukur lantai ruang tamu yang luas terbentang di ruang matanya. Fikiran Ryan
sungguh bercelaru di saat itu.
“ Umi tak kira kamu mesti ikut cakap umi kalau tidak
umi akan kamu anggap kamu anak derhaka kerana tak ikut perintah umi. Ryan tahu
kan syurga anak itu di bawah telapak kaki ibu. Ryan nak jadi anak derhaka ke?”
ugut Puan Rahina dengan muka yang sengaja di seriuskan.
Ryan tersentak buat kesekian kalinya. Kalau dah
lama-lama asyik tersentak boleh terkena penyakit kencing manis ni.
“ Umi please
kalau benda lain umi minta daipada Ryan, Ryan boleh turutkan tapi kalau soal ni
Ryan tak boleh nak penuhi umi. Tolonglah umi faham.” Rayu Ryan lagi berharap
uminya akan berubah fikiran.
“ Dah banyak pilihan umi bagi pada kamu, tapi kamu
sia- siakan. Dulu umi suruh kamu kahwin dengan Nabila banyak alasan yang kamu
bagi, sekarang umi tak nak kamu membantah lagi. Ikut saja cakap umi.” Tegas
Puan Rahina tidak memberi talian hayat untuk Ryan lagi.
Ryan ingin membantah tapi Puan Rahina meninggalkan
Ryan termangu- mangu tidak puas hati. ingin memberontak, Puan Rahina itu uminya
dan dia harus menghormati uminya. Sungguh Ryan buntu. Dia tidak diberi pilihan
untuk bersuara. Arrrgghhh!!
BAB
6
TIADA kata yang terluah daripada Ryan mahupun Balqis
masing-masing melayani perasaan sendiri. Tiada lagi omelan yang keluar daripada
mulut Balqis yang lazimnya becok bercerita itu dan ini dengan Ryan. Dia
seolah-olah kehilangan suara untuk berkata-kata tambahan lagi dengan masalah
yang melanda dirinya saat ini. Dia setuju untuk barjumpa dengan Ryan pun kerana
lelaki itu yang mengajaknya kalau diikutkan dia lebih rela duduk terperap di
rumah sambil menunggu hari pernikahannya.
Ryan memandang wajah temannya yang suram. Beberapa
kali dia mendengar keluhan dari mulut Balqis namun tiada apa yang terluah dari
mulut comel itu. sudah hampir setengah jam mereka keluar bersama. Bunyi bising
di dalam restoren Selera Kampung pun tidak mengganggu tumpuan Balqis yang asyik
termenung sejak daripada tadi.
“ Kenapa dengan kau Qis? Aku tengok macam ada
masalah je. Aku ingatkan aku je yang ada masalah rupanya kau pun ada juga ke?”
Soal Ryan. Teh o’ ais limau yang dipesan dihirup perlahan. Segar.
Balqis menarik nafas sedalam- dalamnya. Dia perlu
berterus terang dengan Ryan akan masalahnya yang sebenar dan mungkin ini
pertemuan terakhir antara dia dan Ryan sebelum dia mendirikan rumahtangga
dengan orang yang langsung dia tidak kenali.
“ Setiap manusia ada masalah mereka sendiri. Aku pun
manusia normal juga.”
“ Kau normal ke? Aku ingat abnormal.” Jawab Ryan
selamba. Dia cuba menceriakan suasana agar tidak dingin seperti sekarang.
Suara tawa Ryan langsung tidak menjentik hati Balqis
untuk tergelak sama.
“Hahahahaha…tak lawak langsung.” Ejek Balqis geram
membuatkan tawa Ryan terhenti.
“ Okey kalau kau ada masalah bagitahu aku. Aku
tengok kau monyok je. Datang bulan eh?” Ryan tersengih bak kerang busuk malah
lebih busuk dari kerang di pasar.
Balqis membulatkan matanya yang sudah tersedia
bulat. Poyo betullah Ryan ni.
“ Kau ni aku hempuk jugakkan kau ni Ryan. Ini tak
ada kena mengena dengan bulan datang ke tak.”
“ Habis itu kenapa? Aku tak sukalah tengok kau macam
ni.” Rungut Ryan.
Balqis mengeluh lagi. Kenapa berat untuk dia
mengungkapkan pada Ryan padahal sebagai kawan baik, Ryan patut tahu. Perlahan
dia meraup muka berkali-kali.
“ Aku rasa ini kali terakhir aku jumpa kau sebab…”
Balqis tidak jadi untuk meneruskan kata- kata kerana ternyata Ryan terkejut
babun mendengar berita yang baharu disampaikan olehnya. Terlopong mulutnya
seketika nasib baik nasi goreng sempat dikunyah jika tidak pasti jatuh ke
lantai.
“ Sekarang ni bukan musim April fool Qis,
mengarutlah kau ni. Kenapa pula kali terakhir aku boleh jumpa kau kan tiap-
tiap hari kita boleh jumpa.” Ryan tergelak sendiri. Kepalanya di
geleng-gelengkan.
Ryan merenung jauh ke dalam anak mata Balqis yang
hitam cuba mencari kebenaran dari kata- kata itu dan ternyata memang benar
gadis itu tidak menipu.
“ Aku akan kahwin bulan depan.”
“ What?!”
jerit Ryan tiba-tiba mengejutkan pelanggan restoren yang lain. Ada yang
tertumpah minuman dek kerana terkejut mendengar jeritan Ryan. Tidak kurang juga
ada yang melatah.
“ Aku tahulah kau terkejut tapi tak payahlah
menjerit macam aku duduk empat batu dari kau.” Marah Balqis. Sebuah jelingan
dihadiahkan untuk temannya itu.
Ryan menekup mulutnya. Mata hazelnya dipandang ke
kiri dan ke kanan. Memang semua mata yang ada dalam restoren itu memandangnya
dengan pandangan yang berbagai-bagai. Akhirnya Ryan tersenyum manis dan
mengangkat tangan dan kebanyakan anak- anak gadis membalas senyuman Ryan dengan
semanis- manisnya membuatkan Ryan tersengih-sengih. Maklumlah jejaka handsome
ala- ala Baim Wong sedang tersenyum anak gadis mana yang mahu melepaskan
peluang.
“Sorry, sorry
aku memang terkejut sangat dengan cerita kau yang sadis ni. Cepatnya kau nak
kahwin. Kau cakap kat aku dulu kau tak main nak fikir pasal kahwin tapi
sekarang hujan tak ribut tak, cakap nak kahwin. Aku siap check ramalan kaji cuaca, hujan pun tak hari ni. Boyfriend kau tu dah tak sabar-sabar
ke?” Ryan tidak berpuas hati. sudahlah
hanya Balqis tempat dia mengadu masalah dan sekarang Balqis ingin memutuskan
persahabatan mereka gara-gara gadis itu ingin berkahwin. Ini tidak adil.
Balqis menatap wajah teman yang setia berada di
hadapannya itu. kenapalah mamat ni poyo sangat? Bebel Balqis dalam hati.
“ Aku tak ada boyfriend
la tapi aku kena kahwin paksa dengan mak aku. Sebab tu bulan depan aku kena
nikah.” Terang Balqis. Air oren di hirup perlahan cuba meredakan kegelisahan
hatinya.
Tanpa menunggu lama Ryan ketawa lepas mendengar
kenyataan Balqis. Terhinggut-hinggut bahunya ketawa mengundang sakit hati
pada Balqis.
“ Kenapa dengan kau ni? Gelak macam anak Pontianak
nak ejek aku la tu aku bantai dengan pinggan ni baharu tahu.” Marah Balqis.
Ryan masih tergelak namun tawanya terhenti
tiba-tiba. “ Samalah dengan aku.”
“ Apa yang sama?” Soal Balqis kehairanan.
“ Bulan depan aku pun kena kahwin jugak.”
“ Dengan siapa? Nabila?”
“ Taklah, dengan perempuan pilihan umi aku. Aku tak
kenal pun siapa dia malah aku tak nak ambil tahu pun pasal perempuan tu biar
umi aku yang uruskan semua. Dia yang beria- ria sangat. Aku tak nak.” Luah
Ryan. Dia tahu hanya Balqis seorang yang memahami isi hatinya. Disebabkan itu
dia selesa berkawan dengan Balqis walaupun kadang- kadang mereka selalu
bertengkar.
Balqis tidak berkata apa-apa yang nyata dia juga
terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Ryan. Lama wajah kacak Ryan
dipandang. Sebuah keluhan berat dilepaskan.
BALQIS merenung siling biliknya. Sejak dua menjak
tiga menjak ini dia tidak bersemangat untuk melakukan sebarang kerja. Dia hanya
menghitung hari menunggu hari pernikahan. Jika bakal pengantin lain pasti
bersemangat membuat persiapan untuk hari bahagia tapi semua itu bagaikan beban
untuk Balqis. Dia langsung tidak mempedulikan tentang persiapan itu, semua
barang- barang dan baju pengantin di beli oleh Mak Kiah dan Hani dia lebih rela
menyibukkan diri dengan kerja- kerjanya yang bertimbun. Lebih tragis lagi dia
tidak mahu bertemu dengan bakal suaminya walaupun berapa kali dipaksa oleh Mak
Kiah. Dalam diam dia membenci lelaki yang hanya dikenali dengan nama Zhariff
itu.
Tiba- tiba dia teringatkan Ryan yang mengalami
perkara yang sama dengannya. Rupa-rupanya Ryan juga dipaksa berkahwin oleh
uminya dan akan berkahwin pada tarikh yang sama dengan dirinya. Ternyata nasib
dia dan Ryan sama mungkin sudah ditakdirkan begitu. Kenapalah dia dan Ryan
menjadi mangsa dalam masalah kahwin paksa? Susah untuk dia terima dengan hati
yang terbuka. Tapi apa kan daya dia hanya ingin menjadi anak yang solehah yang
menurut kata- kata maknya walaupun dia harus mengorbankan kebahagiannya sendiri.
Bahagiakah dia dengan perkahwinan yang diatur oleh keluarganya itu?
finally... lama De tunggu novel baru akak. rindu dalam sepi is one of my favorite novel. goodluck akak. :)
ReplyDelete