Tetamu Rindu

Friday 30 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab 21&22)


BAB 21

“ KAK Diya jom kita tengok baju pengantin dekat butik sana.” Ajak Aryani sambil menarik tangan Mardiyah menuju ke butik pengantin yang terletak di dalam KLCC. Suasana yang sibuk dengan ramai orang tidak membantutkan mood Aryani untuk membeli barang- barang perkahwinan sambil ditemani oleh abang dan kakak iparnya.

Mardiyah hanya mengikut sahaja langkah adik iparnya yang laju. Ammar pula hanya mengelengkan kepala melihat kerenah Aryani yang agak manja dengan Mardiyah.

“ Cantik tak baju ini kak?” tanya Aryani sewaktu mereka sampai di Butik Andaman.

Sepasang baju kebaya berwarna merah bata berlabuci di tayangkan pada Mardiyah yang sejak tadi mencari baju yang sesuai untuk Aryani.

“ Hmm, cantik. Yani try la.” Balas Mardiyah.

Dia menghampiri Aryani yang sedang memegang baju yang cantik itu. Pantas sahaja tangan dia menyentuh baju itu.

“ Yani rasa Yani tak nak try baju ini. Apa kata kalau Kak Diya je yang try. Mesti cantik. Lagipun kalau Kak Diya pakai, Yani dapat tengok keseluruhan baju ini. Betul tak along?” ujar Aryani sambil tersenyum pada abangnya yang hanya mendiamkan diri sejak daripada tadi.

Dia tahu abangnya tidak selesa keluar bersama- sama dengan Mardiyah. Tengok sahaja waktu Aryani mengajak dia untuk menjemput Mardiyah pagi tadi, banyak alasan yang diberikan tetapi akhirnya abangnya terpaksa akur bila Aryani menarik muncung. Rasa lawak pula bila Aryani melihat wajah abangnya yang bengang kerana terpaksa menurut kerenahnya. Dia tahu alongnya itu sayang akannya sebab itulah lelaki itu  menurut walaupun terpaksa.

“ Tapi bukan Kak Diya yang nak kahwin. Yani saja yang try baju ni.” Tolak Mardiyah lembut. Dia tidak selesa bila Ammar ada bersama mereka. Walaupun lelaki itu tidak banyak bercakap tetapi pandangan mata lelaki itu yang kadang- kadang singgah di wajahnya cukup membuatkan Mardiyah tidak senang duduk wal hal lelaki itu memakai kaca mata tetapi dia dapat rasakan pandangan itu menusuk kalbu.

“ Ala bolehlah kakak.” Pinta Aryani.

“ Tapi akak…”

“ Tak ada tapi- tapi lagi. Lagipun akak tak pernah pakai baju pengantin masa akak kahwin kan?” ucap Aryani sambil menjeling pada abangnya yang hanya menayang muka selamba.

Mardiyah mengarukan kepalanya yang tidak gatal. Tetapi dia tidak dapat menolak kerana melihat wajah Aryani yang penuh mengharap itu membuatkan Mardiyah jadi serba salah. Akhirnya dalam keterpaksaan, Mardiyah menurut.

Dia mencapai baju pengantin itu daripada tangan Aryani dan menuju ke bilik persalinan. Sementara Ammar dan Aryani menunggu Mardiyah dengan penuh sabar.

Tidak lama kemudian, Mardiyah muncul di sebalik bilik persalinan setelah sepuluh minit menukar baju. Dengan rasa kekok dia berdiri di hadapan Aryani dan Ammar. Namun, dia menarik- narik sedikit baju kebaya itu yang agak melekat di tubuhnya yang genit. Dia tersipu- sipu malu bila melihat dua pasang mata yang terpaku melihat dirinya. Macam nampak hantu je mereka berdua ni. Getus hati Mardiyah.

“ Wow, cantiknya Kak Diya. Macam Ayu Raudhah.” Usik Aryani. Dia menjeling sedikit pada Ammar yang masih terpaku melihat Mardiyah. Aryani tersenyum penuh makna.

“ Ada- ada saja Yani ni. Boleh tak akak nak tukar baju sekarang? Baju ni seksilah untuk akak.” Mardiyah berterus terang.

Aryani tersengih.

“ Sekejap akak. Cuba akak pusing.”

Mardiyah mengikut sahaja kata Aryani. Dia memusingkan badan ala- ala model gitu.

“ Macam mana along? Cantik tak?” Tanya Aryani.

Ammar tersedar dari lamunannya. Terus sahaja matanya difokuskan pada wajah cantik adiknya namun sempat lagi dia mengerling pada isterinya yang kelihatan tidak selesa memakai pakaian itu. Memang Ammar akui gadis itu kelihatan lain bila memakai baju pengantin itu hingga Ammar sendiri terpesona melihat penampilan isterinya yang berbeza.

“ Apa Yani tanya? Along tak dengarlah.”

“ Along ni Yani duduk dekat along pun along tak dengar apa yang Yani tanya. Itulah siapa suruh along tenung muka Kak Diya tu lama- lama. Ingat Yani tak nampak ke walaupun along pakai glasses tu.” Bisik Aryani dekat dengan Ammar.

Ammar menelan air liur yang terasa tersekat di kerongkong. Dia tidak menyangka yang Aryani sedar tentang perbuatannya yang asyik memandang Mardiyah sedari tadi. Ammar cuba berlagak selamba sambil membetulkan cermin mata hitam yang teersangkut di hidungnya yang mancung.

“ Mana ada. Yani jangan nak fitnah along.” Bantah Ammar.

“ Eleh, Yani ada mata along. Nanti Yani bagi tahu Kak Diya yang along pandang dia.” Ugut Aryani sambil berjalan menuju pada Mardiyah yang sedang kebingungan melihat dua beradik yang asyik berbisik.

“ Yani janganlah.” Halang Ammar.

Dia cuba menarik lengan Aryani yang semakin dekat dengan Mardiyah tetapi dengan pantas Aryani mengelak menyebabkan Ammar tertarik lengan Mardiyah menyebabkan gadis itu terdorong ke arahnya.

Aryani terkejut.

Ammar terpana.

Mardiyah terkedu.

Mata Ammar dan Mardiyah saling bertentangan membuatkan jantung kedua insan itu berdegup pantas apatah lagi jarak wajah mereka begitu dekat hingga menimbulkan resah di jiwa Ammar. Terasa hangat nafas isterinya menyapa lembut wajah Ammar membuatkan satu perasaan halus mula terbit di sebalik hati kecilnya. Lama mereka bertatapan sesama sendiri tanpa ada satu pun di antara mereka yang cuba mematikan perasaan halus yang mula menyapa di kalbu.

“ Ehem- ehem..” Aryani berdehem. Dia tersenyum melihat abang dan kakak iparnya yang seakan hanyut dalam dunia mereka.

“ Ehem, ehem, ehem…” Aryani berdehem sekali lagi namun tiada reaksi daripada mereka membuatkan Aryani geram. Lantas dia memetik jari dekat di telinga dua insan yang sedang di lamun perasaan asing.

Akhirnya Mardiyah dan Ammar tersedar. Pantas Ammar melepaskan tubuh Mardiyah yang menjadi mangsa pelukan tidak sengajanya tadi. Wajahnya yang putih berubah kemerahan kerana insiden itu disaksikan oleh adiknya. Namun getaran yang hebat melanda hatinya membuatkan Ammar di buru gelisah.

“ Along tunggu kat luar. Yani cepat sikit nanti kalau lambat along tinggal.” Ujar Ammar cuba menutup malu. Wajah Mardiyah langsung tidak dipandang dan dengan pantas dia melangkah meninggalkan Aryani dan isterinya.

Aryani tersenyum simpul lalu pandangannya beralih pada Mardiyah yang sudah menunduk. Malu mungkin.

“ Akak..” panggil Aryani.

Mardiyah mendongak.

“ Akak salin baju dahululah..” balas Mardiyah pantas.

Dengan pantas dia masuk ke dalam bilik persalinan semula. Dia cuba meredakan debaran di dadanya yang semakin kuat. Apa dah jadi ni?

 

 

“ ALONG, kak, jom pergi makan. Laparlah.” Ajak Aryani memecah kebisuan antara dua insan yang sedang cuba dilanda kegelisahan kerana peristiwa tadi.

Tidak kira Ammar ataupun Mardiyah, mereka hanya diam membisu dan hanya bercakap apabila perlu sahaja. Tiba- tiba Ammar terasa lain bila Mardiyah ada bersama walhal bukan hari ini mereka bersua muka malah sudah lama gadis itu menjadi sebahagian hidupnya.

“ Baru ingat nak makan? Along ingat Yani nak tunggu tangan along ni patah dahulu baru Yani nak ajak along makan.” Perli Ammar.

Aryani hanya tersengih mempamerkan giginya yang putih.

“ Alah along ni, baru sikit Yani mintak tolong dah along nak merungut. Tak rock la macam ni.” Aryani berpura- pura merajuk.

“ Eleh nak merajuk konon. Berapa hari lagi nak nikah dan nak jadi isteri orang masih lagi nak merajuk. Malang betul Dr. Zariel dapat bakal isteri macam Yani ni. Dahlah kuat merajuk, manja, memasak pun tak pandai.” Kutuk Ammar sambil tergelak.

“ Yani  merajuk, manja dengan along je. Bila dengan Zariel Yani okey je. Pasal memasak tu Yani boleh belajar. Betul tak Kak Diya?” Aryani memandang Mardiyah meminta simpati supaya Mardiyah membelanya daripada usikan Ammar.

No komen. Kalau time makan time itulah nak belajar, alamaknya 12 jam pun belum tentu siap makanan tu.” balas Mardiyah. Sempat lagi dia mengenakan adik iparnya yang sudah menarik muncung. Tak puas hati beb.

Ammar ketawa lepas. Tak sangka Mardiyah boleh mengenakan adiknya.

“ Kak Diya ni…tak nak dah bela Yani. Sukalah tu dapat kenakan Yani.” Bentak Aryani seperti budak- budak.

Mardiyah ketawa.

“ Mana ada akak kenakan Yani, akak cakap berdasarkan fakta. Tak pun lepas kahwin nanti Yani upah je mamak kat corner tu masak untuk Yani. Habis cerita.” Ucap Mardiyah bersama tawanya. Ammar juga turut tergelak.

“ Kak Diya! Malaslah layan Kak Diya dengan along ni.” Aryani berpura- pura merajuk.

Dia meninggalkan Ammar dan Mardiyah yang masih lagi ketawa. Bengang juga kerana dikenakan oleh abang dan kakak iparnya namun sebaik sahaja dia membelakangkan mereka, Aryani tersenyum sendiri.

“ Yani nak ke mana tu?” panggil Ammar bila melihat Aryani sudah melangkah pergi.

“ Yani merajuk ke?” Tanya Mardiyah serba salah.

Ammar berpaling pada Mardiyah dan melemparkan senyuman manis.

“ Taklah. Yani memang macam tu, manja lebih. Kau jangan risaulah sekejap lagi okeylah dia tu.” terang Ammar.

Mardiyah hanya mengangguk.

“ Yani!” panggil Ammar lagi.

Kali ini Aryani berpaling. Sempat lagi dia menjelirkan lidah pada Ammar yang sudah ketawa kecil.

“ Yani tunggu dekat kereta!” laung Aryani dan dengan pantas dia berjalan meninggalkan Ammar dan Mardiyah di tengah- tengah ruang legar di pusat membeli belah itu.

“ Apalah Yani ni, kita dia tinggalkan. Jomlah kita balik.” Ajak Ammar.       

Mardiyah hanya menurut dan sewaktu dia ingin melangkah tiba- tiba tubuh Mardiyah dilanggar oleh seseorang. Mardiyah terkejut nasib baik dia sempat berpaut pada lengan sasa Ammar kalau tidak pasti dia menyembah lantai.

Sorry miss salah saya..” ucap lelaki yang berkaca mata hitam sambil memandang wajah manis milik Mardiyah.

Mardiyah tegak berdiri lantas mendongak menentang pandangan lelaki itu tetapi dia terkesima sebentar melihat wajah lelaki yang memang cukup dikenali itu.

“ Diya?” lelaki itu memanggil nama Mardiyah.

“ Nizam?” Mardiyah menelan air liur.

Dia tidak menyangka akan wujud lagi pertemuan dengan lelaki yang sememangnya ingin dia elakkan. Dia tidak mahu bayangan kenangan dulu bertamu di hati kerana kenangan itu amat menyakitkan. Lelaki yang segak berkemeja dan berseluar jeans itu dipandang lama.

Manakala Ammar terpinga- pinga melihat insiden yang berlaku di hadapannya. Siapa lelaki ini? Hati Ammar tertanya- tanya. Melalui pandangan mata kedua insan ini, Ammar dapat merasakan yang mereka pasti ada hubungan yang khusus kerana terdapat sendu di mata Mardiyah bila memandang wajah lelaki yang cukup asing pada pandangan Ammar.

“ Diya apa khabar? Dah lama Zam tak jumpa Diya sejak daripada hari itu.” Nizam memulakan bicara. lelaki kacak di sebelah Mardiyah dipandang sekilas. Timbul juga rasa cemburu bila melihat bekas tunang yang pernah disayanginya berdampingan dengan lelaki lain.

“ Alhamdulillah Diya sihat. Nizam? Mana Hartina?” tanya Mardiyah sambil menjenguk ke belakang Nizam. Mana tahu kalau- kalau isteri lelaki itu ada bersama.

Tetapi wajah Nizam bertukar mendung bila nama Hartina di bangkitkan. Sukar untuk dia menerangkan pada Mardiyah bahawa pilihan yang dia buat dahulu adalah pilihan yang salah dan dia menyesal atas keputusannya yang dianggap tidak matang.

“ Zam sorang je. Zam dah tak tinggal bersama dengan Tina lagi, panjang ceritanya nanti Zam ceritakan pada Diya kalau ada kesempatan. Ini siapa Diya? Suami Diya?” Tanya Nizam sambil mengalihkan pandangan pada wajah Ammar yang hanya diam dan menjadi pemerhati perbualan mereka.

Mardiyah berpaling pada Ammar dan ternyata Ammar juga turut berpaling padanya. Mata mereka bertembung namun dengan pantas Mardiyah menunduk dan perlahan- lahan kepalanya digelengkan.

“ Tak. Dia bos Diya.” Jawab Mardiyah ringkas.

Ammar tersentak. Rasa tidak puas hati mula menerjah ke tangkai hatinya.

Sementara Nizam tersenyum penuh makna. Dia bersalaman dengan Ammar yang dilanda kegusaran dengan kenyataan Mardiyah.

“ Jadinya Zam ada peluang lagilah?”

Pertanyaan Nizam membuatkan Mardiyah tersentak. Lama dia merenung anak mata Nizam yang hitam pekat itu untuk mencari makna di sebalik kata- kata itu. Bukankah dia sudah beristeri?

“ Diya rasa kita tak perlu lagi bincang semua ini. Segala yang berlaku biarlah berlalu tak perlu Zam tanya perkara yang bukan- bukan.” Jelas Mardiyah.

“ Tak mengapa, Zam akan tunggu Diya sampai bila- bila.” Tegas Nizam.

Ternyata kata- kata itu memberi bekas dalam diri Ammar. Dia semakin ingin tahu apa hubungan lelaki itu dengan Mardiyah. Dia tidak suka tatapan mata lelaki itu pada Mardiyah yang seakan menyimpan satu rasa yang terpendam dan dia juga tidak suka cara Mardiyah memandang lelaki itu. Ya, dia tidak suka. Tetapi kenapa?

“ Diya tak paksa untuk Zam lakukan semua itu.” ucap Mardiyah lembut.

“ Tapi Zam akan lakukan juga sebab…”

Hold on, boleh I tahu apa hubungan you all ni. I tengok macam ada masalah je.” Ammar mencelah cuba memecahkan kebuntuan di fikirannya.

Nizam tersenyum manakala Mardiyah gelisah. Dia berharap agar Nizam tidak membocorkan tentang hubungan mereka dahulu tetapi segalanya sudah terlambat.

She is my ex- fiancé.” Ucap Nizam.

Jelas Ammar terkejut. Dia tidak tahu pula yang Mardiyah pernah bertunang dan pernah putus tunang patutlah gadis itu pernah berkata yang dia pernah kecewa dalam bercinta dan tidak akan sesekali mengemis cinta. Rupa- rupanya ini yang dimaksudkan oleh isterinya.

But she never told me about you.”

“ Perkara ni dah lama berlaku tak ada apa yang perlu diperkatakan lagi. baiklah saya ada hal sikit ni. Saya mintak diri dulu. Diya, Zam harap ini bukan pertemuan terakhir kita.” Ucap lelaki itu tanpa mengesyaki apa- apa tentang Mardiyah dan Ammar. Dia berlalu selepas bersalaman dengan Ammar.

“ Tak sangka kau dah bertunang.” Tutur Ammar tiba- tiba.

Mardiyah hanya mendiamkan diri kerana dia sendiri masih terkejut dengan apa yang berlaku. Tanpa menjawab soalan Ammar, dia melangkah meninggalkan lelaki itu yang masih menunggu jawapan daripadanya.

But he such a good guy. Kenapa break?” tanya Ammar cuba menutup rasa hati yang semakin nyilu.

“ Kalau dah bukan jodoh, kahwin seratus tahun pun akan bercerai juga. Ini kan pula bertunang.” Balas Mardiyah sewaktu Ammar berjalan di sisinya.

“ Aku tahu kau masih harapkan dia kan? Kau masih cintakan bekas tunang kau tu sebab itu kau tak mengaku yang kau dah berkahwin.” Ujar Ammar.

Mardiyah menghentikan langkah. Dia menghelakan nafas panjang. Wajah Ammar ditentang.

“ Buat apa saya mengaku kalau perkahwinan ini tak diiktiraf oleh lelaki yang bergelar suami. Saya tak mahu jadi hidung tak mancung pipi tersorong- sorong.” Jawab Mardiyah petah.

Ammar terkesima sebentar.

“ Tapi itu tak bermakna kau tak boleh beritahu pada dia yang kau dah menikah.” Bantah Ammar lagi.

Mardiyah mengeluh. Apa lagi yang lelaki ini tak puas hati?

“ Sama ada saya mengaku atau tidak, itu tidak mengubah apa- apa pun Encik Ammar. Dia dah kahwin dan kisah antara saya dan dia dah jadi sejarah.” Tegas Mardiyah.

“ Dahlah lebih baik kita balik, kesian Yani tunggu lama kat kereta.” Sambung Mardiyah bila tiada jawapan daripada Ammar. Dia berpaling untuk meneruskan langkah namun dengan pantas tangannya diraih oleh Ammar. Mardiyah tersentak.

“ Apa ni?” bentak Mardiyah sambil merentap kembali tangannya.

“Tapi sejarah itu boleh berulang kan? Lepas ini aku tak nak dengar lagi tentang hubungan kau dengan Nizam tu atau dengan sesiapa pun.” Ucap Ammar tiba- tiba menyebabkan Mardiyah kurang mengerti. Dahinya berkerut.

“ Kenapa?”

Ammar terdiam. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang patut diberikan.

“ Tak semua soalan ada jawapannya.”

Mardiyah hanya tidak membalas kata- kata lelaki itu bila Ammar sudah pun berlalu meninggalkannya. Cuma terbit rasa pelik dalam hati Mardiyah bila melihat wajah Ammar yang seperti bengang saat dia berbual dengan Nizam. Tetapi bukan itu yang berada di fikiran Mardiyah tetapi pertemuan dia dan Nizam yang bermain di fikirannya.

Untuk apa wujud pertemuan antara dia dan Nizam jika hanya mahu membawa derita di hatinya dan apa yang dimaksudkan dengan kata- kata lelaki itu yang sanggup menunggunya? Apakah yang terjadi antara Nizam dan Hartina? Mardiyah benar- benar buntu. Masih wujud lagikah rasa cinta untuk lelaki itu?

MARDIYAH termenung di balkoni bilik tetamu rumah Datin Zarina. Tidak sampai sehari dia berada di dalam rumah itu namun pelbagai perasaan yang terbit dalam hatinya apabila terpaksa berhadapan dengan Ammar. Sikap lelaki itu yang sentiasa dingin menyebabkan Mardiyah tidak betah. Terasa ingin pulang ke rumah sewanya namun apakan daya apabila terkenangkan Aryani dan Datin Zarina yang begitu bersungguh-sungguh ingin dia membantu dalam menyiapkan majlis pernikahan Aryani.

Peristiwa dia pusat membeli belah pagi tadi bermain di fikiran Mardiyah. Kenapa dia perlu bertemu lagi dengan lelaki yang menciptakan luka di hatinya jika hanya pertemuan itu akan lebih menyeksakan hatinya? Bohong jika Mardiyah mengatakan yang dia telah melupakan bekas tunangnya itu. Segala kenangan yang mereka ciptakan kerap menari di dalam ingatannya namun kata- kata perpisahan daripada Nizam lebih menghantui fikiran Mardiyah sehingga sekarang.

“ Zam mintak maaf tapi Zam terpaksa putuskan pertunangan ini sebab Zam nak kahwin dengan perempuan lain,”

Sebaris ayat itu cukup membuatkan hati Mardiyah hancur lumat. Begitu mudah lelaki itu mengukir janji begitu mudah juga lelaki itu memungkirinya di saat hari bahagia mereka hampir tiba. Hati wanita mana yang tidak berkecai apabila lelaki yang dicintai meninggalkannya semata- mata untuk wanita lain yang lebih cantik dan kaya. Sungguh luluh hati Mardiyah di saat itu.

Sekarang di saat dia sudah dapat melupakan bayang- bayang semalam, lelaki itu muncul lagi. Walaupun pertemuan yang seketika, namun ia cukup memedihkan hatinya. Apatah lagi  dalam keadaannya yang sudah berumahtangga dengan lelaki yang tidak pernah mahu menerimanya. Begitu berat ujian perasaan yang diterima Mardiyah. Dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin menghadapi semua itu.

Lantas tanpa di duga, setitis mutiara jernih menitis setitik demi setitik. Mardiyah rela menangis jika air mata itu dapat membasuh luka di hatinya yang tidak pernah sembuh.

 


BAB 22

PINTU diketuk membuatkan Mardiyah tersentak lantas dia menyapu air mata dengan belakang tangan. Dia mencapai kain tudung untuk menutupi kepalanya sebelum melangkah untuk membuka pintu.

“ Eh, Yani rupanya. Ada apa Yani?” soal Mardiyah sambil tersenyum.

Aryani turut tersenyum.

“ Tak ada apa- apa kak saja datang nak borak dengan akak. Boleh tak atau Yani menganggu akak ni?” soal Yani sopan.

“ Tak adalah. Masuklah kita borak- borak. Nanti lepas Yani dah kahwin tak bolehlah nak borak selalu kan?” usik Mardiyah lalu membiarkan Aryani melangkah masuk ke dalam biliknya.

Mardiyah melabuhkan punggung di birai katil dan diikuti oleh Aryani yang duduk bersila di atas katil. Dia merenung wajah Mardiyah yang manis. Sejuk hatinya melihat wajah Mardiyah yang manis bertudung. Timbul satu keinginan dalam hatinya untuk menjadi seperti kakak iparnya itu.

“ Kenapa pandang akak macam itu?” soal Mardiyah pelik. Keningnya dinaikkan.

“ Yani suka tengok Kak Diya nampak manis je pakai tudung. Yani teringinlah nak pakai tudung tapi Yani tak tahu nak mula daripada mana. Mama ada suruh Yani pakai tudung tapi Yani tak pernah nak ikut cakap mama. Akak tolong Yani boleh?” ujar Aryani lembut.

Mardiyah tersenyum manis.

“ InsyaALLAH boleh. Tapi Yani kena ingat nak pakai tudung dan menutup aurat bukan sekadar hanya teringin tapi kenalah istiqamah ataupun berterusan sebab ini adalah perintah daripada ALLAH bukan sekadar fesyen tau. Sebagai wanita yang dah akil baligh, wajib untuk kita untuk tutup aurat kerana aurat kita adalah mahkota kita yang sebenar dan juga maruah yang perlu kita jaga,” nasihat Mardiyah.

Kelihatan Aryani terangguk- angguk tanda faham dengan apa yang diterangkan oleh Mardiyah.

“ Habis itu macam mana pulak kalau nak berfesyen kak?” soal Aryani lagi.

“ Islam tak larang umat dia untuk berfesyen Yani malah kita boleh berfesyen janji fesyen itu tidak melanggar batas syariat dalam pemakaian dalam Islam. Sekarang ni banyak fesyen- fesyen muslimah yang sesuai untuk gadis- gadis macam Yani. Islam tu tak pernah membebankan umatnya melainkan umatnya sendiri yang menyusahkan apa yang mudah. Kalau Yani bertudung sekalipun kecantikan Yani takkan pernah terjejas kerana kecantikan tu bukan datang daripada keelokkan rupa tapi lahir dari hati yang ikhlas,” ujar Mardiyah lagi.

“ Wow, hebatnya Kak Diya. Banyak yang Kak Diya tahu sedangkan Yani tak pernah nak ambil tahu tentang semua ini. Yani rasa bertuah dapat kenal Kak Diya. Beruntung Along kahwin dengan Kak Diya. Apa yang Yani dapat cakap, Kak Diya memang berpuluh kali ganda lebih baik daripada Kak Lydia,” ucap Aryani sambil mencebikkan bibir bila menyebut nama Lydia.

Mardiyah tertunduk dan tersenyum. Dia meramas- ramas jari jemarinya. Tetapi dia tetap tidak dapat menandingi Lydia dalam segala hal. Dia banyak kekurangannya.

“ Kak Diya ni perempuan biasa je Yani. Akak tak cantik, tak seksi, tak kaya dan tak popular macam Cik Lydia. Akak rasa dia lebih sesuai untuk abang Yani,” Mardiyah merendah diri.

Pantas Aryani menggelengkan kepala. Lalu dia memeluk bahu Mardiyah.

“ Yani tak nak orang lain jadi kakak ipar Yani kecuali Kak Diya. Walaupun kita tak lama kenal tapi Yani lebih selesa dengan Kak Diya berbanding dengan sesiapa pun. Kehadiran Kak Diya buatkan Yani rasa ada seorang kakak. Yani harap sangat Kak Diya dapat bimbing Yani untuk jadi seorang wanita yang solehah sebelum Yani menjadi isteri orang,”

Kata- kata Aryani membuatkan Mardiyah terharu. Tiba- tiba dia teringatkan Aisya Humaira adik perempuannya yang manja. Kehadiran Aryani sedikit sebanyak mengubat rindunya terhadap Aisya.

“ InsyaALLAH Yani akak cuba,” ucap Mardiyah sambil membalas pelukan Aryani.

 

BUNYI telefon bimbit Ammar yang memecah kesunyian malam itu menganggu Ammar yang sedang lena tidur. Perlahan- lahan dia mencapai telefon bimbitnya. Dengan mata yang berbalam- balam dia melihat terdapat 10 panggilan tak di jawab dan semua panggilan dari Lydia membuatkan Ammar merengus. Entah apa yang buah hatinya mahukan pada pagi- pagi seperti itu.

Ammar menggosok matanya. Dia menutup mulut kerana menguap. Nak call ke tak nak? Hatinya bertanya. Paling tidak pasti Lydia ingin mengajaknya ke kelab sedangkan Ammar memang malas untuk menjejakkan kaki ke tempat itu lagi. Sejak peristiwa di tangkap khalwat tempoh hari, Ammar memang sudah menghentikan tabiat suka keluar sampai lewat malam. Hari- harinya di habiskan dengan kerja dan kadang- kadang sahaja dia keluar dengan Lydia. Ammar sendiri pelik dengan perubahan dirinya.

“ Ah, malaslah nak call balik. Esok- esok jelah aku call,” putus Ammar. Dia kembali berbaring tetapi saat matanya dipejamkan tekaknya terasa haus.

Lantas Ammar menyelak selimut dan ingin menuju ke tingkat bawah. Namun sewaktu dia melewati bilik Mardiyah, dia terlihat samar- samar cahaya merembes keluar daripada celah pintu yang tidak tertutup rapat.

‘ Aik, tak tidur lagi ke minah ni? Dah pukul tiga pagi ni,’ hati Ammar tertanya- tanya. Lantas dia menghampiri pintu tersebut. Dia bersandar di sebalik di dinding dan mengintai dari celah pintu. Ammar terpaku seketika apabila melihat Mardiyah duduk di tikar sejadah sambil menyelak helaian al-Quran.

Bunyi suara gadis itu mengalunkan ayat- ayat suci kedengaran jelas di telinga Ammar membuatkan tiba- tiba hatinya menjadi sayu. Dia seakan terpana dengan suara gadis itu yang gemersik halus. Perlahan- lahan Ammar memejamkan mata cuba menghayati bacaan gadis itu. Ternyata begitu menyentuh hati lelakinya yang keras. Ammar rasakan tembok kebencian yang dia tegakkan untuk gadis itu seakan mencair dengan sendirinya apabila mendengar gadis itu mengalunkan bait- bait ayat suci itu.

‘ Siapa sebenarnya gadis ini? Adakah aku patut bagi peluang pada diri aku sendiri untuk kenal dia?’ hati Ammar bertanya dalam keseorangan. Namun soalannya tiada jawapan.

 Lantas Ammar berlalu selepas Mardiyah menutup al-Quran.

 

PAGI yang hening bertambah ceria dengan suara Akhil yang sentiasa riang untuk bersarapan. Telatahnya cukup membuatkan Datin Zarina dan Datuk Zainal pening kepala. Ada sahaja yang ingin diusiknya.

“ Akhil cuba kamu duduk, jangan asyik nak kacau Mak Yam je,” marah Datin Zarina apabila anak lelaki bongsunya itu tidak sudah- sudah mengusik Mak Yam yang sememangnya ada penyakit latah. Mardiyah yang berada di belakang Mak Yam hanya tersenyum dan kadang- kadang tergelak bila melihat gelagat Akhil.

“ Alah mama ni, Mak Yam dah biasa kena kacau dengan Akhil. Kalau Akhil tak kacau Mak Yam, Akhil nak kacau siapa lagi?” rungut Akhil manja.

“ Yelah mama tahu tapi jangan sampai Mak Yam kamu tu penat nanti siapa yang nak masak? Kamu?” tanya Datin Zarina selamba sambil menghidangkan nasi lemak di atas meja.

Akhil hanya tersengi bak kerang busuk.

“ Alah, Kak Diya kan ada. Kak Diya boleh masak. Betul tak kak?” Akhil cuba menarik perhatian Mardiyah yang sedang mengupas tembikai. Kelihatan kakak iparnya itu hanya ketawa kecil.

“ Akak tak nak masuk campur,”ucap Mardiyah bersahaja membuatkan Akhil menarik muka masam. Datin Zarina dan Mak Yam hanya ketawa melihat reaksi Akhil yang kecewa. Namun, perbualan mereka diganggu dengan kedatangan Ammar.

Mardiyah terus mematikan senyumannya apabila melihat kelibat Ammar menghampiri Datin Zarina. Kelihatan dahi lelaki itu berkerut seribu.

“ Mama, boleh tolong jahitkan butang baju Am ni tak? Butang ni tercabutlah. Am malas nak ganti baju lain,” pinta Ammar sambil menunjukkan butang baju kemejanya yang tercabut.

“ Mama nak tolong Mak Yam masak ni Am. Nanti lambat pulak kamu dengan papa boleh sarapan,” jawab Datin Zarina selamba. Dia sempat memberi isyarat mata pada Mak Yam supaya tidak mengendahkan Ammar. Dalam fikiran Datin Zarina sudah merencanakan sesuatu. Dia tersenyum penuh makna.

“ Habis tu Am takkan Am nak jahit pulak. Am mana pandai jahit mama,” rengek Ammar manja. Dia memandang Datin Zarina meminta simpati wanita itu. Namun Datin Zarina menyibukkan diri dengan membancuh air.

“ Kak Diya kan ada along. Kak Diya pun dah siap kupas tembikai tu,” sampuk Akhil yang berdiri tidak jauh daripada Mardiyah.

Mardiyah tersentak sedangkan Ammar memakukan pandangannya ke arah gadis yang hanya mendiamkan diri sejak dari tadi. Mata mereka bertentangan sebelum Mardiyah mengalihkan pandangan ke arah lain.

“ Akak…akak…” Mardiyah kehilangan kata.

“ Ha’ah Am, cuba minta tolong dengan Diya jahitkan butang baju kamu tu. Mama sibuk ni. Diya tolong suami kamu ni,” pinta Datin Zarina sebelum berlalu daripada dapur diikuti oleh Mak Yam.

“ Kalau Diya nak benang dan jarum ada dalam laci kat kabinet tu,” sempat lagi Mak Yam berpesan sebelum melangkah keluar dari ruang dapur.

Mardiyah menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Belum sempat dia berkata apa- apa Datin Zarina sudah berlalu pergi meninggalkan dia dan Ammar yang masih tercegat di tepi singki. Apa aku nak cakap ni? Benaknya tertanya. Dia hanya dapat membuang pandangan ke arah Ammar yang turut memandang padanya.

Ammar terkaku dengan apa yang Datin Zarina ucapkan. Takkan aku nak mintak tolong dia? Nak ke dia tolong aku? hatinya tertanya. Namun, apabila dia melihat Mardiyah seperti ingin mengatur langkah, tidak dapat tidak Ammar terpaksa meminta pertolongan daripada gadis itu.

“ Diya, boleh kau tolong aku?” akhirnya keluar juga suara Ammar.

Mardiyah serba salah apatah lagi Ammar semakin menghampiri. Nak tolak nanti mamat ni mengamuk pula. Bisik hatinya.

“ Sekejap saya ambilkan benang,” ucap Mardiyah pantas mencari benang yang tersimpan di dalam laci.

Lalu dengan tangan yang terketar- ketar Mardiyah memulakan jahitannya. Dia dapat rasakan wajahnya berbahang apabila Ammar berdiri begitu rapat dengannya sehingga Mardiyah dapat mencium haruman Dashing yang dipakai oleh lelaki itu. Cukup menggetarkan jiwa wanitanya.

Ammar hanya tersenyum nipis apabila melihat wajah gadis itu yang merah. Di kesempatan yang ada Ammar meneliti wajah isterinya yang lembut. Satu persatu anggota wajah itu diperhati. Hmm, boleh tahan. Bisik hati lelakinya. Namun, bagaikan terkena kejutan elektrik, jantung Ammar bagaikan direntap apabila secara tiba- tiba Mardiyah mengangkat pandangan dan mata mereka bertentangan. Dunia Ammar bagaikan terawangan apabila lembut pandangan mata itu menikam bola matanya. Terasa nafasnya tersekat.

“ Along, Kak Diya cepat tengok Kak Yani dah…..” kata- kata Akhil mati di situ apabila melihat pasangan itu bertatapan sesama sendiri. Dia tersenyum nakal.

“ Ehem- ehem…” Akhil berdehem kuat.

Ammar dan Mardiyah tersentak. Mereka berpaling pada Akhil yang tersenyum nakal sambil keningnya dimainkan. Ammar menepuk dahi sedangkan Mardiyah sudah tidak dapat menyembunyikan lagi darah merah yang menyerbu ke segenap wajahnya.

“ Romantik nampak along,” sindir Akhil sambil menghampiri Ammar yang hanya diam membisu. Dengan selamba Akhil memeluk bahu abang kesayangannya itu dan melemparkan senyuman pada Mardiyah.

“ Apa kau mengarut ni Akhil…” marah Ammar dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Dia cuba menutup rasa debar yang melanda dadanya. Sekilas dia menjeling pada Mardiyah yang hanya menundukkan wajah.

“ Diam- diam berpandangan mata bertentang mata. Lama- lama dalam diam aku jatuh cinta,” dengan selamba Akhil menyanyikan sebaris lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Ramlah Ram sebelum dia ketawa kuat kerana dapat mengusik abang dan kakak iparnya itu.

“ Akhil!!” jerit Ammar tidak tahan dengan usikan nakal adik bongsunya itu lantas tanpa mempedulikan Mardiyah dia mengejar Akhil.

Terjerit- jerit Akhil berlari mengelilingi ruang dapur. Dia bimbang jika dapat ditangkap oleh Ammar memang teruk dia dikerjakan oleh abangnya itu.  selepas puas mengelilingi meja makan, Akhil berlari mengelilingi Mardiyah pula membuatkan Mardiyah turut berpusing cuba menghentikan perkelahian dua beradik itu.

“ Akhil, Encik Am sudahlah tu. Penat tau saya,” keluh Mardiyah.

Akhirnya Akhil berhenti di belakang Mardiyah. Dia menjelirkan lidah tanda mengejek Ammar yang tidak dapat menangkapnya.

“ Kau memang nak kena dengan along,”ucap Ammar tercungap-cungap. Dia merenung Akhil yang sedang berselindung di belakang Mardiyah. adiknya itu tersenyum mengejek.

“ Kalau along dapat, tangkaplah Akhillll….” Jerit Akhil sebelum menolak lembut belakang Mardiyah ke arah Ammar dan melarikan diri ke ruang makan.

Ammar tidak sempat berbuat apa- apa dengan pantas dia menyambut tubuh isterinya daripada terjatuh. Ammar terkejut sedangkan Mardiyah terpempan dengan situasi tersebut. Sekali lagi mereka bagaikan terkena renjatan elektrik. Terasa seperti ada perasaan halus yang mula mengalir dalam diri Ammar hingga membuatkan jantungnya berdebar tidak menentu apabila gadis itu berada dalam pelukannya. Ammar terkedu. Alamak, sesuatu telah berlaku!

 

 

 

 

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.