Tetamu Rindu

Monday 10 December 2012

Digari Cinta (Bab 6)


PETANG Ahad yang tenang menambah lagi ketenangan Uzair yang sedang leka bermain bola keranjang bersama anak- anak saudara dan adik- adik tunangnya. Siapa lagi, kalau bukan adik- adik Arisya yang datang untuk mengulangkaji pelajaran bersama adik bongsunya.

Bunyi hiruk pikuk mereka merebut bola membuahkan senyuman di wajah tua Hajah Khadijah yang duduk di laman rumah sambil minum petang bersama anak sulungnya yang datang untuk menyiapkan barang- barang keperluan untuk majlis pernikahan Uzair nanti.

“ Umi tengok tu, dah nak kahwin pun sibuk lagi nak main- main dengan budak-budak,” ujar Haslina sambil memuncungkan mulut pada Uzair yang seronok bermain dengan anak- anaknya. Faizal dan Fauzan yang pada mulanya mengulangkaji dengan Uwais turut serta bermain dengan Uzair.

Hajah Khadijah hanya ketawa kecil melihat telatah Hazwan dan Haslinda yang terkial- kial mahu merampas bola daripada Uzair yang ternyata jauh lebih tinggi berbanding mereka yang baru berumur 10 dan lapan tahun. Pastinya Uzair yang menang.

“ Biarlah Lina, sementara masih bujang ni bolehlah dia main- main dengan anak buah dia nanti bila dah kahwin, angah tu sibuk dengan isterinya pulak. Lagipun masa inilah dia nak rapat dengan bakal adik iparnya itu,” ujar Hajah Khadijah tersenyum bahagia.

“ Ha’ah betul juga umi. Alhamdulillah akhirnya angah tu nak juga kahwin. Selama ini puas kita paksa dia tapi dia degil tak nak kahwin tapi kenapa kali ini dia terima nak kahwin dengan Aris umi? Lina tengok Aris tu jauh berbeza dengan angah,”

“ Jauh berbeza macam mana maksud Lina?” soal Hajah Khadijah kembali. Dia menongkak dagu memandang wajah anak sulungnya yang masih lagi cantik walaupun sudah beranak tiga.

“ Yelah, Lina tengok Aris tu banyak cakap orangnya, peramah berbeza dengan sikap angah yang pemalu dan penakut dengan perempuan tu. Kadang- kadang Lina tengok Aris tu jenis perempuan yang selamba dan yang paling penting, umur mereka memang jauh beza,”

“ Ada apa dengan  semua itu Lina? Sikap Aris yang ceria dan peramah tulah yang buat Umi berkenan untuk jadikan dia menantu umi walaupun umi tahu angah tu pemalu sikit dengan perempuan. Takkanlah umi nak pilih perempuan yang pemalu juga nanti kedua- dua tak bercakap. Sekurang- kurangnya dengan sikap Aris yang macam tu dia boleh buat angah bahagia. Umi Cuma nak seorang gadis yang mampu jaga angah dan umi lihat Aris mampu jaga angah walaupun angah tu seorang anggota polis,” tutur Hajah Khadijah memuji bakal menantunya.

Haslina terangguk- angguk. Apa yang dikatakan oleh uminya ada benarnya juga. Kadang- kadang perbezaan itu akan melengkapi antara pasangan. Begitu juga adiknya dan Arisya.

“ Assalamualaikum…” bunyi orang memberi salam membantutkan perbualan mereka dua beranak. Serentak Hajah Khadijah dan Haslina berpaling.

“ Wa’alaikummusalam, eh Aris jemputlah masuk…” pelawa Haslina sambil tersenyum. Hajah Khadijah turut tersenyum manis melihat bakal menantunya yang sedang tersenyum manis sambil membimbit beg plastik.

Arisya tersenyum ramah pada Haslina dan Hajah Khadijah. Pada masa yang sama dia menjeling pada Uzair yang leka bermain bersama adik- adiknya. Oh, ini kerja mereka semua. Kata datang rumah Hajah Khadijah nak ulangkaji, rupa- rupanya inilah ulangkaji mereka. Tak apa, siaplah kau Fauzan, Faizal.

“ Mak cik dan Kak Lina apa khabar?” soal Arisya selepas bersalaman dengan Hajah Khadijah dan Haslina.

“ Kami khabar baik,” jawab mereka hampir serentak.

“ Jemputlah duduk Aris,” pelawa Hajah Khadijah. Arisya tersenyum manis.

“ Tak mengapalah mak cik. Aris cuma nak hantarkan kuih lapis yang Aris buatkan  ni untuk mak cik dan keluarga. Aris segan sebenarnya nak hantar kuih lapis ni kat mak cik tapi ibu yang suruh. Aris harap mak cik sudilah makan,” ucap Arisya sambil tersengih.

Dia meletakkan bekas yang berisi kuih lapis di atas meja. Dia melihat ada senyuman di wajah Hajah Khadijah dan Haslina.

“ Aik tak payahlah nak panggil mak cik- mak cik dengan umi ni. Kan tak lama lagi umi ni nak jadi umi Aris jugak. Panggil je umi macam mana kak long panggil umi,” sampuk Haslina mengusik.

“ Betul tu Aris. Kamu tu dah nak jadi menantu umi tak payah nak panggil umi mak cik lagi. Umi senang hati kamu sudi bagi kuih yang kamu masak untuk umi. Alhamdulillah, nanti umi suruh Uzair rasa. Mesti dia tak sabar- sabar nak rasakan masakan kamu kan?” Hajah Khadijah turut ingin mengusik.

Arisya menelan air liur. Terima kasih umi sebab bagi cadangan yang baik. Kalau Aris tahu umi nak bagi mamat sengal tu makan, dah lama Aris letak julap dalam kuih, khas untuk dia saja. Biar dia tahu betapa sedapnya masakan bakal menantu umi ni. Hati Arisya berbisik nakal.

“ Hmm…kalau begitu, Aris minta diri dululah umi, kak long…”

“ Awalnya nak balik? Tak nak minum dulu ke?” soal Haslina sambil tersenyum.

Arisya serba salah. Dia memintal hujung tudungnya. Senyuman Haslina dibalas kemudian matanya memandang pada Faizal dan Fauzan yang masih terjerit- jerit merebut bola daripada Uzair. Tak penat ke diaorang asyik main je kerjanya.

“ Tak apalah kak, Aris kena balik sebab nak tolong ibu buat bunga telur lagipun dah petang ni. Nanti ibu cari Aris pulak. Nak harapkan Fauzan dengan Faizal tu alamatnya malam karang baru dia orang balik,” ucap Arisya.

Haslina dan Hajah Khadijah tergelak kecil.

“ Ha’ah dah nak magharib ni. Budak- budak tu tak reti-reti lagi nak masuk rumah,” sambung Hajah Khadijah.

“ Kalau begitu biar Aris jemput adik- adik bertuah Aris tu balik ye umi? Ingatkan datang rumah umi nak belajar rupa- rupanya nak bermain je kerjanya. Memang nak kena dengan Aris budak bertuah tu,” ujar Arisya sambil mengetap bibir. Geram dengan perangai adik- adiknya itu.

Hajah Khadijah hanya membiarkan Arisya menghampiri Uzair yang sedang seronok bermain. Dia hanya melihat Arisya menangkap bola yang dilemparkan Uzair pada Fauzan.

“ Eh kak long, kak long buat apa kat sini?” tanya Fauzan selamba sambil menayang giginya yang putih bersih. Dia mengelap peluh yang membasahi dahi.

“ Kak long datang ni nak pinang korang berdua….” Balas Arisya juga bersahaja. Dia melemparkan jelingan pada Uzair yang memandangnya. Apa pandang- pandang? Aku tahu aku cute. Getus hati Arisya.

“ Zal tahu mesti kak long nak pinang kita orang untuk balik ke rumah kan?”

“ Hah, pandai pun kau ya. Kak long ingat datang sini nak belajar dengan Umar tapi hampeh yang korang seronok main lompat- lompat ni kenapa? Tak ingat nak balik rumah ke? dah nak magharib ni. Ibu asyik tanya korang je,” marah Arisya tapi suaranya diperlahankan. Dia tidak mahu Hajah Khadijah dengar.

“ Kita orang dah habis belajar dengan Umar lah kak long. Tu yang kita orang main dengan Abang Uzair lagipun bukannya selalu kan Abang Uzair…” sampuk Fauzan. Dia mengangkat kening pada Uzair yang sejak tadi mendiamkan diri.

“ Arisya awak jangan nak marahkan adik- adik awak ni, saya yang ajak dia orang main bola keranjang ni. Petang- petang elok exercise bukannya asyik belajar je nanti otak pun tak bergerak…” ujar Uzair menyebelahi bakal adik iparnya.

Arisya memandang tajam pada Uzair yang kelihatan bersahaja. Eiii…mamat ni menyibuk betullah. Adik aku, suka hati akulah nak sekolahkan dia macam mana pun. Busy body betul!

“ Otak memang dah tak boleh bergerak kalau dah duduk dalam tempurung kepala tu. Siapalah yang ajar awak ASP Uzair otak boleh bergerak?” Arisya mengenakan Uzair.

Fauzan dan Faizal menahan gelak.

“ Bercakap dengan awak lebih teruk daripada bercakap dengan beruang kutub!” balas Uzair geram kerana dipermainkan oleh Arisya di hadapan anak- anak buahnya dan bakal adik iparnya.

“ Laaa…awak pernah pergi Kutub Utara ke?” perli Arisya sambil tersenyum sinis.

“ Ya ALLAH, sakit hati betul bercakap dengan budak kecik nilah. Fauzan, Faizal lebih korang berdua ikut kakak korang yang tercinta ni balik sebelum abang jadi sakit mental,” arah Uzair. Dia tiada mood untuk bergaduh dengan Arisya di hadapan keluarganya. Nanti tak pasal- pasal dia menengking gadis itu.

Pantas Fauzan dan Faizal menganggukkan kepala. Mereka cepat- cepat bersalaman dengan Uzair dan melambaikan tangan pada Hajah Khadijah dan Haslina yang menjadi pemerhati. Sempat lagi dia menarik lengan Arisya yang tidak berpuas hati.

Arisya menurut langkah adik- adiknya namun sempat lagi dia berpaling pada Uzair yang berada di belakangnya dan memterbalikkan ibu jarinya tanda lelaki itu telah kalah. Dia tersenyum sinis.

 

“ ASSALAMUALAIKUM…” kedengaran suara memberi salam menyentakkan lamunan Arisya yang sedang asyik menonton CD di ruang tamu. Dia berpaling ke belakang. Siapa pulak yang kacau aku tengah layan Kuch Kuch Hota Hai ni. Baru nak tangkap leleh dah potong. Bebel hati Arisya. Akhirnya dia memfokuskan pandangannya di kaca televisyen tanpa mempedulikan tetamu yang datang.

“ Aris, yang kau duduk melongo tengok tv tu kenapa? Tak dengar ke orang beri salam tu,” Puan Aliana berdiri bercekak pinggang memandang anak perempuan bertuahnya itu. Kepalanya digeleng- gelengkan.

“ Laa..Aris ingatkan Fauzan dan buka pintu, itu yang Aris sambung tengok tv ni,” balas Arisya berdalih. Dia tersengih lebar.

Puan Aliana menggelengkan kepala. Ada je yang nak dijawabnya. Akhirnya Puan Aliana sendiri yang membukakan pintu.

“ Eh, Uzair. Jemputlah masuk…” pelawa Puan Aliana dengan ramah.

Sebaik sahaja mendengar suara Uzair, berdesup cahaya Arisya melarikan diri ke biliknya. Bukan kerana tidak mahu berjumpa, sebaliknya dia tidak memakai tudung. Tak kuasa dia menayang rambutnya di hadapan mamat tu.

“ Tak mengapalah mak cik, Uzair datang ni pun nak hantar bekas yang Aris hantar petang tadi. Umi yang beria nak Uzair hantar pada mak cik. Umi ada buatkan pengat pisang. Mak cik rasalah,” ucap Uzair penuh bersopan- santun. Dia menghulurkan bekas makanan tersebut dengan senyuman yang tersungging di bibir.

Namun, senyuman mati sebaik sahaja melihat wajah Arisya yang terjengul di belakang Puan Aliana. Dengan selamba, gadis itu menjelirkan lidah padanya. Macam- macam gaya yang dilakukan Arisya di belakang Puan Aliana membuatkan Uzair mengetap bibir. Geram betul dengan perangai Arisya.

Puan Aliana berpaling ke belakang secara tiba- tiba membuatkan Arisya terus berdiri tegak. Macam nak menyanyi lagu Negaraku saja lagaknya. Dia menayang gigi pada Puan Aliana. Seperti biasa dia mengangkat dua jarinya. Peace yo!

“ Hah, Aris kau buat apa kat situ? Mari sini. Tunang kau sampai takkan tak nak bertegur sapa..” ujar Puan Aliana.

Dengan lagak malas, akhirnya Arisya menghampiri ibunya. Dia berdiri sambil menyandarkan bahunya di tepi pintu. Wajah Uzair yang kelihatan tenang di pandang daripada atas hingga ke bawah. Lelaki itu hanya memakai kain pelekat dan berbaju melayu berwarna merah menyerlahkan kulitnya yang kuning langsat. Rambutnya pula ditutupi dengan kopiah yang berwarna putih. Kacak!

Uzair menjeling pada Arisya yang masih merenung dirinya. Apa hal pula dengan dia ni? Pandang aku semacam je. Eh, kita tak kahwin lagilah. Hati Uzair berkata namun dia tetap tersenyum kerana Puan Aliana masih lagi berdiri di hadapannya.

“ Assalamualaikum, awak dari mana nak ke mana?” soal Arisya dengan lemah lembut. Kemudian apabila ibunya tidak memandang, dia menjeling. Jelingan maut tu.

“ Wa’alaikummusalam, saya dari surau, awak. Tak sempat nak masuk rumah pun, umi dah mintak saya hantarkan pengat ni. Awak rasalah ya,” balas Uzair turut berlembut. Padahal dalam hati hanya dia dan Allah yang tahu. Rasa ingin di cekik- cekiknya Arisya. Entahlah, geram sangat melihat senyuman mengejek yang dilemparkan oleh Arisya.

“ Abah saya mana? Tadi pun abah pergi surau jugak,” soal Arisya seolah- olah kehadiran Uzair amat di alu- alukan.

“ Eh, kamu berdua berbual dulu. Ibu ada kerja sikit,” sampuk Puan Aliana meminta diri lalu beredar meninggalkan Uzair dan Arisya yang masih tercegat di muka pintu.

“ Abah awak tengah syok berbual dengan pak imam kat surau sekali dengan ayah saya. Saya malas nak kacau,” balas Uzair bersahaja.

“ Awak tak nak jemput saya duduk ke? Lenguh saya berdiri mengadap muka awak. Kalau menyejukkan mata tak apalah ni menyakit mata terus ke hati je,” selamba badak je Uzair berkata tanpa mempedulikan perasaan Arisya.

Hampir ternganga mulut Arisya mendengar kata- kata yang agak pedas keluar daripada mulut Uzair. Dia ni nak cari pasal dengan aku ke? Tak mengapa,tunggu kau. Peluru berpandu Arisya akan berlepas tak lama lagi. Jaga kau!

“ Laa, awak nak duduk? Saya ingatkan nak balik dah…” sinis Arisya selamba.

Uzair mengetap bibir. Kan aku dah cakap, kalau bercakap dengan dia ni memang boleh bagi aku kanser hati. Sakit betul cakap dengan perempuan ni.

“ Kalau niat hati tu nak menghalau cakap je terus- terang tak payah nak selindung- selindung. Saya tak tahu apa yang umi pandang pada awak sampaikan sanggup nak jadikan awak sebagai menantu. Saya tak nampak apa- apa istimewa pun,” memang Uzair seorang yang berterus- terang tetapi sikap terus- terangnya sangat menyakitkan hati Arisya.

Arisya mendengus. Sabar- sabar. Dia bakal suami aku. Dia bakal suami aku. Arisya cuba menenangkan dirinya yang sudah berbahang panas.

“ Umi awak pandang saya dengan mata hati sebab itu nampak saya ni istimewa tak macam awak, pandang saya dengan kepala lutut sebab tu tak nampak apa- apa!” tempelak Arisya geram. Suaranya dikawal supaya tidak terlalu tinggi.

Macam ni ke nak jadi suami aku yang mithali? Asyik berperang je bila berjumpa. Agak- agaknya dia sengaja nak buat aku sakit hati supaya aku dapat batalkan perkahwinan ni. Tapi dia dah setuju nak kahwin. Ini lain tak bukan sebab dia memang spesis tak ada perasaan. Tak ada kasih sayang. Satu cara je nak ajar lelaki yang senget otak macam Uzair, macam ni caranya…

‘ Bammmm!’

Pintu utama dihempas kuat. Hampir saja terkena muka Uzair yang terpinga- pinga. Kurang asam gelugur punya bakal isteri! Jerit hati Uzair. Sementara Arisya yang berada di sebalik pintu hanya mampu ketawa terkekeh- kekeh. Padam muka kau mamat poyo!

 

 

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.