BAB 10
KENDURI
doa selamat berjalan dengan lancar. Thaqif menghela nafas lega, akhirnya
semuanya selesai. Dia tersenyum manis pada tetamu yang hadir. Daripada jauh dia
memandang Nuha yang sedang mengulit Dani yang tidur dalam dakapannya. Tanpa
sedar bibir Thaqif tersenyum manis melihat Nuha yang kelihatan tenang memeluk
tubuh Dani.
Namun, pandangan Thaqif terganggu
apabila bahunya ditepuk lembut oleh seseorang. Thaqif berpaling dan tersenyum
pada Haji Lokman yang tersenyum hambar.
“Tahniah, itu saja yang ayah boleh
ucapkan. Kamu dah buat keputusan, ayah tak boleh nak halang cuma ayah harap kamu
tak pisahkan ayah dan cucu- cucu ayah,” ucap Haji Lokman dengan senyuman
hambar.
Thaqif turut tersenyum. Dia memegang
tangan bekas ayah mentuanya itu.
“Walaupun saya dah kahwin tapi saya
takkan pisahkan ayah dengan si kembar. Dia tetap cucu- cucu ayah, anak- anak
daripada isteri saya. Ayah boleh jenguk Dani dan Dania bila- bila masa ayah
suka,” balas Thaqif lembut.
Haji Lokman terdiam. Jauh di dalam sudut
hatinya dia masih kecewa dengan pernikahan Thaqif dengan gadis lain. Dia tidak
menyangka, menantu kesayangannya ini menemui pengganti Waheeda secepat ini.
Masih tergambar di matanya bagaimana Thaqif kelihatan terseksa sewaktu Waheeda
meninggal dunia setahun yang lalu. Dia fikirkan Thaqif begitu menyayangi
Waheeda tetapi ternyata lelaki itu memilih untuk berkahwin dengan gadis yang
jauh lebih muda.
Sebenarnya Haji Lokman sudah membuat
rancangan untuk menyatukan Thaqif dan kembar Waheeda, Wazirah tetapi ternyata
angan- angannya tidak menjadi kenyataan. Adakah dia ikhlas menerima hakikat
bahawa dia akan kehilangan menantu kesayangannya ini?
“Ayah harap macam tulah. Ayah sayangkan
Qif dan cucu- cucu ayah,” balas Haji Lokman setelah agak lama mendiamkan diri.
Dia melemparkan pandangan pada Nuha yang duduk di sofa. Kelihatan isterinya,
Hajah Latifah menghampiri Nuha yang sedang duduk bersendirian bersama Dani yang
tidur di pangkuan.
“Seronok jadi ibu segera?” soal Hajah
Latifah sebelum melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan Nuha.
Nuha mendongak. Dia tersenyum pada Hajah
Latifah yang hanya mempamerkan riak kurang senang. Soalannya juga kedengaran
sinis di telinga Nuha.
“Dani ni tak banyak sangat ragamnya jadi
taklah susah jadi ibu si kembar ni,” ujar Nuha dengan lembut.
Hajah Latifah tersenyum sinis. Wajah
Nuha yang lembut tidak mampu untuk memadamkan rasa tidak puas hati yang bermain
di jiwanya.
“Remaja macam kamu ni seeloknya fikir
untuk sambung belajar bukannya pasal kahwin. Tengok, orang lain sibuk belajar,
kamu pula jaga anak. Tak terkilan ke? Jangan suatu hari nanti menyesal sudah,”
balas Hajah Latifah seakan menyindir.
Nuha sedikit terkejut dengan kata- kata
Hajah Latifah. Riak wanita itu juga kelihatan kurang senangnya dengan
kehadirannya. Aku ada buat salah ke?
“Saya tak pernah menyesal dengan
keputusan yang saya buat, mak cik. Insya- Allah saya akan cuba untuk menjadi
ibu yang terbaik pada cucu- cucu mak cik. Saya tahu mak cik sayang si kembar ni
sama juga macam saya. Saya sayangkan dia macam anak saya,” balas Nuha dengan
senyuman manis.
Dalam hati dia dapat rasakan bekas ibu
mentua Thaqif ini kurang senang dengan pernikahan antara dia Thaqif. Mungkin
juga wanita sebaya ibunya ini belum dapat menerima kenyataan yang Thaqif sudah
berkahwin lain.
“Cakap memang senang tapi untuk
laksanakan tanggungjawab itu yang susah. Jangan sampai satu hari nanti kamu
sendiri yang akan tinggalkan Thaqif sebab memang dia berkahwin dengan kamu pada
zahirnya tetapi mak cik yakin dia sangat mencintai anak mak cik dan takkan
pernah melupakan arwah isterinya walaupun kamu ada depan mata,” ucap Hajah
Latifah tanpa memikirkan kata- katanya telah mengguris hati Nuha.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur
yang terasa kelat. Dia cuba untuk bersabar dengan kata- kata Hajah Latifah.
Memang jelas tergambar rasa menyampah yang terpancar di anak mata Hajah
Latifah.
“Saya minta maaf kalau kata- kata saya
ni kedengaran kasar tapi saya tahu Abang Qif memang tak dapat nak melupakan
arwah isterinya dan saya tak pula memaksa dia untuk melupakan wanita yang telah
melahirkan Dani dan Dania. Saya berterima kasih disebabkan Dani dan Dania saya
dapat berada di sisi orang yang saya sayang. Memang Abang Qif tak dapat nak
melupakan arwah Kak Wahi tapi sebagai seorang isteri saya akan cuba untuk
meletakkan diri saya dalam hati Abang Qif,” tegas Nuha.
Giliran Hajah Latifah pula yang
terpempan. Dia tidak menyangka gadis semuda Nuha sanggup melawan kata- katanya.
“Apa yang mak cik nampak, kamu memang
tak sesuai untuk jadi ibu pada cucu- cucu mak cik. Qif patut fikir panjang
sebelum ambil budak mentah macam kamu untuk jadikan isteri. Apa yang Qif nampak
pun mak cik tak tahu,” balas Hajah Latifah lagi.
Nuha menarik nafas dalam. Dia masih lagi
bersabar. Dani yang masih tidur di pangkuannya dipeluk erat. Semua yang aku
lakukan ini demi Dani dan Dania. Selagi mereka perlukan aku, selagi itu aku
bersabar. Bisik hatinya memberi kata- kata semangat.
“Kita hanya manusia yang mampu merancang
mengikut kata hati kita sendiri mak cik tanpa memikirkan baik buruknya sendiri.
Saya menerima menjadi isteri dan seterusnya menjadi ibu pada anak- anak Abang
Qif bukan kerana terpaksa tetapi kerana saya sayangkan Abang Qif dan si kembar
ni. Mungkin mak cik tak suka kehadiran saya dalam hidup Abang Qif tapi Allah
telah meletakkan saya dalam hidup dia. Siapa kita nak menolak apa yang telah
ditetapkan?” ucap Nuha penuh perasaan.
Serentak itu dia bangun dengan
mengendong Dani. Dia menepuk- nepuk belakang badan Dani yang sedikit
menggeliat, mungkin terkejut kerana tidurnya diganggu.
Hajah Latifah terdiam seribu bahasa. Dia
ingin mengatakan sesuatu tetapi Nuha terlebih dahulu bersuara.
“Mak cik mungkin rasa saya ni nak
mengambil alih tempat anak mak cik dalam hidup Abang Qif kan? Salahkah kalau
saya menggantikan tempat itu. Saya isteri dia sekarang dan saya berhak!” tegas
Nuha dan berlalu meninggalkan Hajah Latifah yang termangu- mangu.
Berdesing telinga Hajah Latifah
mendengar kata- kata Nuha. Tak padan dengan budak kecik. Asyik menjawab je
kerjaya. Memang nak kena dia ni. Macam ni ke nak didik cucu- cucu aku? Bentak
hati Hajah Latifah lalu dia bangun dan mendapatkan Thaqif yang sedang
bersembang dengan suaminya.
“Qif, kami balik dululah. Makin panas
pulak duduk dalam rumah kamu ni,” ucap Hajah Latifah tiba- tiba sebaik saja dia
berdiri di sisi Haji Lokman. Wajahnya masam mencuka.
Haji Lokman dan Thaqif terkejut. Dia
memandang wajah Hajah Latifah dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa dengan awak ni, Pah?” soal Haji
Lokman pelik.
Hajah Lokman sudah menarik mulut
muncung. Malas nak bercerita dengan sikap kurang ajar Nuha tadi.
“Isteri baru Qif tulah. Kurang ajar
sangat dengan saya. Geram pulak saya ni. Perempuan macam tu ke yang Qif nak
suruh didik cucu- cucu mak? Diri sendiri tak terurus inikan pula nak uruskan si
kembar tu,” bebel Hajah Latifah.
Thaqif mengerutkan dahi. Apa maksud
Hajah Latifah? Apa yang Nuha dah buat?
“Apa yang mak maksudkan ni? Qif tak
faham…” ucap Thaqif cuba meleraikan tanda tanya yang bermain di benaknya.
“Mak malas nak cerita panjang. Kamu
nasihatkan sikit dia tu jangan nak kurang ajar dengan orang tua. Dia tu baru
setahun jagung nak kenal dunia jangan biadap sangat. Itulah mak suruh kamu
tunggu Wawa kamu tak nak, pilih juga budak kecil yang entah apa- apa tu jadi
isteri. Kejap lagi dia ke mana, cucu mak entah ke mana,” balas Hajah Latifah
lagi dengan muka cemberut.
“Sudahlah tu, Ifah. Qif, ayah dengan mak
balik dulu ye,” ucap Haji Lokman meminta diri.
Thaqif hanya mampu menganggukkan kepala
lalu bersalaman dengan Hajah Latifah dan Haji Lokman. Dia memandang ke tingkat
atas. Nuha, apa lagi yang awak buat ni? soal hatinya. Dia mengeluh berat.
THAQIF
memulas tombol pintu biliknya dengan perlahan. Dia percaya tentu Nuha berada di
dalam bilik tersebut. Lalu, Thaqif melangkah masuk selepas melihat kelibat Nuha
yang berdiri di tepi tingkap. Gadis itu termenung panjang.
“Kenapa Nuha ada kat sini? Tetamu ramai
lagi dekat bawah tu,” ujar Thaqif memulakan perbualan. Dia berdiri di hadapan
Nuha yang masih hanyut dalam lamunan.
Nuha tersentak. Lalu dia mendongak. Kelihatan
Thaqif sedang berdiri berhadapan dengannya lalu sepantas kilat, Nuha mengesat
air mata yang merembes di pipi. Dia tidak mahu Thaqif perasan yang dia sedang
menangis namun mata Thaqif lebih cekap.
Thaqif menarik tangan Nuha yang cuba
untuk mengesat air mata yang mengalir di pipi. Dia merenung wajah gadis itu
sedalam- dalamnya. Dia melihat ada sendu yang terbias di sebalik anak mata yang
bundar itu.
“Nuha menangis?” soal Thaqif lembut.
Nuha menggelengkan kepala lalu
menundukkan wajahnya. Tangannya dibiarkan di dalam genggaman tangan Thaqif.
“Habis tu kenapa pipi tu berair takkan
mata masuk habuk, kut?” soal Thaqif lagi.
Kebisuan Nuha meresahkan Thaqif. Laju
saja tangannya mengangkat dagu Nuha. Anak matanya dibiarkan terus untuk menatap
ke dalam bola mata Nuha yang hitam pekat. Sayu hatinya apabila melihat air mata
yang bergenang di kelopak anak mata itu.
“Tak nak cerita pada saya apa yang
bermain dalam fikiran Nuha saat ni? Manalah tahu saya boleh tolong ke?” sambung
Thaqif lagi dengan nada yang lembut.
“Saya okey. Awak jangan risau. Sorry saya rehat sekejap. Tadi Dani nak
tidur itu yang saya naik ke bilik ni. Sekarang dia dah tidur, jadi bolehlah
saya turun,” Nuha membuka mulut. Dia tersenyum tetapi dirasakan cukup hambar.
Dia mula mengorak langkah menuju ke
pintu tetapi dengan pantas pergelangan tangannya disambar oleh Thaqif
membuatkan langkah Nuha terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum berpaling
pada Thaqif. Dia cuba untuk tersenyum manis tetapi apa yang dirasakan adalah
cukup pahit.
“Nuha menyesal kahwin dengan saya?” soal
Thaqif tiba- tiba.
Nuha sedikit tersentak. Sepantas kilat
dia menggelengkan kepala tanda dia tidak pernah menyesal dalam memilih Thaqif
sebagai suaminya walaupun haknya telah dinafikan oleh lelaki itu.
“Habis tu kenapa Nuha menangis?” soal
Thaqif lagi. Selagi Nuha tidak menceritakan apa yang berlaku selagi itulah dia
rasa tidak tenteram. Thaqif yakin perubahan emosi Nuha pasti ada kaitan dengan
Hajah Latifah.
“Betul ke saya ni tak ada tempat
langsung dalam hati awak?” soalan dibalas soalan. Dia membalas pandangan Thaqif
dengan penuh pengharapan.
Thaqif tersentak. Lain ditanya lain pula
yang dibalas oleh Nuha. Dia mengetap bibir. Fikirannya ligat memikirkan jawapan
yang terbaik untuk diberikan kepada Nuha. Dia tahu gadis itu sedang bersedih,
dia tidak mahu menambah lagi kesedihan gadis itu jika dia memberikan jawapan
yang sebenar- benarnya.
“Nuha jangan fikirkan sangat pasal hal
ni. Kita teruskan hidup macam biasa, biar waktu yang menentukan segalanya,”
balas Thaqif.
Nuha tersenyum nipis. Dia menarik
tangannya daripada genggaman Thaqif. Satu keluhan dilepaskan. Jawapan Thaqif tidak
mampu menenangkan hatinya yang gundah. Lalu, Nuha mengorak langkah menuju ke
katil. Dia melabuhkan punggung di birai katil.
“Saya tahu saya tak layak kan untuk
berada dalam hati awak apatah lagi untuk menggantikan tempat arwah Kak Wahi
tapi saya ikhlas menyayangi awak sepenuh hati saya kerana awak suami saya.
Mungkin angan- angan saya terlalu tinggi untuk terus hidup bersama awak
sedangkan saya harus sedar suatu hari nanti saya mungkin akan kehilangan awak,”
ucap Nuha sayu. Sebak yang menghurung dada ditahan namun air mata sudah kembali
bergenang di kelopak mata.
Sakit. Itulah yang dirasakan dalam
hatinya saat ini. Mencintai seseorang yang tidak mencintai kita memang benar-
benak menyesakkan dadanya. Dia tidak boleh memaksa Thaqif untuk mencintainya
tapi dia juga tidak dapat memaksa dirinya sendiri untuk melupakan Thaqif
walaupun dia benar- benar berharap yang dia dapat melupakan bayang lelaki itu
daripada mindanya.
Thaqif bungkam seketika. Kemudian, dia
turut melabuhkan punggung di hadapan Nuha. Wajah gadis itu yang muram ditenung
lama sebelum sebeuah keluhan dilepaskan. Kenapa cerita hidupnya semakin rumit
saat ini?
“Saya tak boleh memaksa untuk menerima
orang lain dalam hati saya bagi menggantikan Wahi. Saya juga tak boleh memaksa
cinta tu datang untuk Nuha, saya akan cuba untuk jalankan tanggungjawab sebagai
seorang suami walaupun tidak sempurna tapi saya akan cuba. Maafkan saya kalau
kata- kata saya melukakan hati Nuha tapi sebelum kita berkahwin saya dah
terangkan pada Nuha perkara yang sebenar dan Nuha sendiri yang sanggup untuk
jadi isteri saya tanpa sebarang rungutan,” balas Thaqif cuba berlembut.
Kata- kata Thaqif menikam jauh ke dalam
hati Nuha. Air matanya menitis juga. Adakah aku lupa tujuan sebenar aku
berkahwin dengan Thaqif? Adakah aku terlampau memaksa lelaki itu sedangkan dia
masih mencintai arwah isterinya? Aku harus sedar cinta itu sememangnya tidak
boleh dipaksa kerana cinta itu hadir tanpa dipinta. Benak hati Nuha berkata-
kata.
“Jadi maafkan saya. Saya yang terlanjur
mencintai awak dan saya berharap agar perasaan ini akan hilang suatu hari
nanti. Maafkan saya,” ucap Nuha dengan sedu sedan yang jelas kedengaran di
telinga Thaqif.
Thaqif tersentak. Nuha mencintai aku? Ya
Allah, macam mana boleh jadi macam ni? soal hatinya.
Perlahan- lahan, Thaqif menarik Nuha ke
dalam pelukannya. Dia berharap dengan cara itu kesedihan Nuha akan berkurangan.
Dia menepuk lembut bahu Nuha dan mengusap kepala Nuha dengan perlahan.
Nuha menyembamkan wajahnya ke dada
Thaqif. Erat tanganya memeluk pinggang Thaqif. Kesedihan yang dirasakan begitu
meruntun jiwanya. Aku yang bersalah kerana jatuh cinta pada dia tapi mampukah
aku untuk memadamkan rasa cinta ini? Ya Allah, berilah aku kekuatan. Aku tak
mahu lemah kerana cinta yang nyata bukan milik aku. Doa hati Nuha.
“Syyyhhh…jangan
menangis Nuha. Saya pernah cakap pada Nuha kan jangan pernah jatuh cinta pada
saya dan jangan pernah buat saya jatuh cinta pada Nuha kerana saya takut Nuha
akan terluka. Sekarang tengok apa dah jadi, Nuha dah terluka,” ucap Thaqif
lembut memujuk.
Nuha masih lagi menangis. ‘Cinta saya
pada awak bukannya sekarang sebaliknya cinta itu telah lama menghuni hati saya
sejak kali pertama saya lihat awak. Awak tak tahu dan awak takkan pernah tahu
apa yang saya rasakan.’ Bisik hati Nuha.
“Ya, saya yang bersalah. Kesalahan saya
sebab dah jatuh cinta pada awak. Maafkan saya,” suara Nuha kedengaran tenggelam
timbul. Dia mengeratkan lagi pelukannya di tubuh Thaqif yang sasa dan
melepaskan segala kesedihannya di dada bidang itu.
Thaqif mengeluh panjang. Nuha cintakan
aku sedangkan aku tak mampu untuk memberikan cinta ini pada sesiapa pun kerana
cinta aku satu tiada yang kedua.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.