Tetamu Rindu

Friday 29 August 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 5 )



MUZAMIL meneliti dompet berwarna merah hati yang dijumpai bersama gadis itu. Siapa gadis ni erk? Tanya hati kecil Muzamil. Dia duduk termangu di luar pintu bilik rawatan di Hospital Tengku Afuan Afzan. Dia terpaksa membawa gadis itu ke hospital kerana gadis itu tidak sedarkan diri malah sewaktu dia mengangkat tubuh gadis itu pun, gadis itu masih belum sedarkan diri.
Apa yang berlaku pada gadis ini sehingga wajahnya luka- luka dan ada kesan lebam? Takkanlah sebab terkejut nampak kereta terus luka wajahnya. Benak Muzamil tertanya. Dengan perlahan- lahan dia membuka dompet gadis itu walaupun teragak- agak. Dia mengeluarkan kad pengenalan gadis itu.
“Wafiya Khadeeja binti Uthman.” Dia menyebut sebaris nama itu. Ehmm, cantiknya nama dia. Bisik hati Muzamil. Dia tersenyum sendirian.
“Apa yang kamu senyum sangat tu, Mil?” Tegur satu suara yang tidak asing lagi pada Muzamil. Lantas wajanhnya didongakkan. Satu senyuman dilemparkan buat ayah angkatnya itu.
Eh, ayah dah siap sembahyang?”
“Alhamdulillah. Ayah tengok kamu senyum je. Kenapa? Ini dompet siapa pulak ni?” Tanya Tan Sri Syed Umar ingin tahu. Dia melabuhkan punggung di sebelah Muzamil sambil matanya jatuh pada dompet yang dipegang oleh Muzamil.
“Mil cuma nak tahu siapa nama gadis yang Mil terlanggar sebab itu Mil buka dompet dia ni.” Terang Muzamil. Dia tidak mahu Tan Sri Syed Umar tersalah anggap padanya.
“Siapa namanya?” Tanya Tan Sri Syed Umar ingin tahu.
“Wafiya Khadeeja, ayah. Cantikkan namanya secantik orangnya.” Ucap Muzamil. Ayat terakhir diperlahankan agar tidak di dengari oleh Tan Sri Syed Umar. Nanti apa pula yang Tan Sri Syed Umar fikirkan.
“Dia orang kampung itu jugak ke?”
“Tengok daripada kad pengenalan dia ni memang dia asal kampung itu. Tapi kenapa dia bawak beg besar macam itu? Dia nak lari dari rumah ke, yah?” Soal Muzamil.
Tan Sri Syed Umar menjongketkan bahu. Tapi dia rasa seperti mengenali wajah itu. Raut wajah yang lembut itu mengingatkannya pada seseorang. Tapi tak mungkin. Tan Sri Syed Umar menggelengkan kepala.
Tiba- tiba sekeping gambar jatuh daripada dompet yang dipegang oleh Muzamil. Tan Sri Syed Umar tersentak lalu menunduk dan mencapai gambar tersebut. Dahinya berkerut mengamati insan yang berada di dalam gambar tersebut. Pantas jantungnya berdegup laju. Adakah ini benar?
“Kenapa ayah? Kenapa ayah nampak terkejut je ni?” Tanya Muzamil pelik. Tan Sri Syed Umar seolah terkaku memegang gambar seorang wanita yang terjatuh daripada dompet Wafiya.
“Ini gambar…gambar…”
“Maaf siapa waris pesakit tadi?” Sapa satu suara membantutkan perbualan mereka.
Mereka mendongak. Kelihatan seorang doktor berjubah putih berdiri di hadapan mereka dengan senyuman yang manis.
“Saya doktor? Kenapa dengan Wafiya, doktor?” Tanya Tan Sri Syed Umar dengan pantas.
Muzamil pelik melihat sikap Tan Sri Syed Umar yang berubah secara tiba- tiba. Tadi lelaki itu seperti tidak mengambil kisah tentang Wafiya sekarang wajah Tan Sri Syed Umar seolah- olah begitu risau dengan gadis misteri itu.
“Tuan jangan risau. Dia dalam keadaan selamat cuma dia pengsan sahaja. Everything okey.” Ujar doktor wanita itu dengan senyuman.
“Alhamdulillah. Boleh saya tengok dia, doktor?”
“Boleh. Tapi saya nasihatkan tuan jaga dia baik- baik kerana dia masih belum pulih sepenuhnya.”
“Baik, doktor.”
Selepas doktor itu berlalu, Tan Sri Syed Umar terkocoh- kocoh berlari menuju ke bilik Wafiya. Dia begitu risau dengan gadis itu. Jika benar telahannya, maknanya dia sudah menjumpai apa yang dia cari selama ini. Dia tidak akan lepaskan peluang ini.
Muzamil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan sikap Tan Sri Syed Umar yang lain daripada kebiasaannya. Akhirnya, dia hanya membuntuti Tan Sri Syed Umar masuk ke dalam bilik Wafiya.

WAJAH yang lesu dengan kesan lebam di wajah dipandang dengan sayu. Memang wajah itu mirip dengan Soleha dan tidak mustahil jika gadis itu adalah anak kepada Soleha, wanita yang amat dirindui itu. Tapi selagi dia tidak mendengar pengakuan daripada mulut Wafiya sendiri selagi itulah dia dilanda gelisah.
Lama wajah Wafiya dipandang sebelum dia melihat tangan gadis itu bergerak- gerak dan akhirnya mata itu terbuka luas. Tan Sri Syed Umar mendekatkan dirinya pada Wafiya dan begitu juga dengan Muzamil.
“Saya dekat mana ni?” Tanya Wafiya lemah. Pandangan jatuh pada dua wajah yang amat asing pada penglihatannya.
“Jangan risau, Wafiya selamat. Tadi Wafiya pengsan tengah jalan sebab itu uncle bawak Wafiya ke hospital ni.” Ujar Tan Sri Syed Umar lembut. Muzamil hanya memerhati.
Wafiya mengangguk. Dia cuba mengingat kembali apa yang terjadi kepada dirinya sebentar tadi. Dia hanya dapat mengingat wajah bengis Malik yang mengejarnya sehinggalah dia berlari sampai ke tengah jalan dan segalanya hilang dari pandangan.
“Terima kasih sebab selamatkan saya…” ucap Wafiya namun tiba- tiba matanya tertacap pada gambar yang berada dalam genggaman lelaki separuh umur itu. Itu gambar ibu. Bisik hatinya.
“Kenapa, Wafiya?” Tanya Tan Sri Syed Umar.
“Macam mana gambar ibu saya ada dengan, encik?” Tanya Wafiya lemah.
“Ibu? Maknanya Wafiya ini anak Soleha?”
Tan Sri Syed Umar terkejut. Telahan yang dibuar adalah benar sama sekali. Ya Allah, terima kasih kerana Kau telah mempertemukan aku dengan orang yang sangat ingin aku temukan. Desis hati Tan Sri Syed Umar.
“Encik kenal dengan ibu saya?”
“Kenal, nak. Uncle kawan lama ibu kamu. Dah lama  uncle cari ibu kamu dan tak sangka uncle dapat jumpa ibu kamu. Nak uncle telefon ibu kamu dan bagitahu yang kamu ada di sini?”
Mati senyuman Wafiya. Serentak air matanya menitis setitik demi setitik.
“Kenapa, Wafiya? Uncle ada salah cakap ke?”
“Tak, uncle tak salah. Ibu saya dah meninggal dunia. Ayah saya pun.” ujar Wafiya tidak mampu menahan sebaknya lagi.
Tan Sri Syed Umar terpana. Dah meninggal? Soleha dah meninggal? Serentak air matanya turut menitis laju. Jadi penantiannya selama ini adalah sia- sia sahaja kerana ternyata Soleha telah pulang ke pangkuan Penciptanya.
“Ayah okey?” Muzamil bersuara.
“Jangan risau, Mil. Ayah okey cuma sedih sikit sebab tak dapat jumpa Soleha buat kali terakhir.” Suara Tan Sri Syed Umar kedengaran bergetar menahan sebak yang menghurung di dada.
Tan Sri Syed Umar membuang pandangan ke laman wajah yang sedikit pucat. Apalah nasib anak gadis ini yang hidup sebatang kara tanpa seorang ayah dan ibu. Pilu hati Tan Sri Syed Umar memikirkan nasib Wafiya.
“Wafiya tak ada adik beradik yang lain ke?” tanya Tan Sri Syed Umar lembut.
Wafiya hanya menggelengkan kepala. Dia memejamkan matanya sebentar memikirkan apa nasibnya selepas melarikan diri daripada Malik. Ke mana harus dia membawa diri sedangkan dia tidak mempunyai saudara mara yang lain yang dapat dia meminta pertolongan. Apa yang Wafiya tahu dia harus pergi jauh daripada bandar ini agar dia tidak dikejar oleh Malik.
“Kalau macam itu Fiya nak uncle hantarkan Fiya balik rumah Fiya ke?”
“Jangan! Saya tak nak balik rumah tu lagi. Biarlah saya tidur dekat hospital ini untuk malam ni, esok saya janji saya akan keluar dari hospital ni,” pintas Wafiya pantas.
Tan Sri Syed Umar berpandangan dengan Muzamil. Dia merasa seperti Wafiya menyembunyikan sesuatu.
“Kenapa Fiya tak nak balik rumah? Ada masalah?” soal Tan Sri Syed Umar lagi namun Wafiya hanya mendiamkan diri. Dia hanya mampu menitiskan air mata apabila terkenangkan dirinya yang hampir di jual oleh ayah tirinya.
“Ayah, Mil rasa lebih baik ayah biarkan Wafiya berehat dulu mungkin dia belum bersedia untuk ceritakan pada kita. Apa kata kalau ayah bawa Wafiya tinggal dengan ayah,” cadang Muzamil sambil berbisik ke telinga Tan Sri Syed Umar.
Tan Sri Syed Umar tersenyum. Cadangan Muzamil ada benarnya. Lagipun dia tiada anak perempuan. Anak lelakinya pun belum pulang dari luar negara. Mungkin dengan adanya Wafiya rumahnya takkan sunyi.
“Bagus cadangan Mil tu. Sekurang- kurangnya rindu ayah pada Soleha terubat bila tengok wajah dia,” ujar Tan Sri Syed Umar juga berbisik. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Wafiya.
“Kalau Fiya tak nak balik rumah, apa kata Fiya ikut uncle balik KL. Fiya boleh tinggal dengan uncle,” cadang Tan Sri Syed Umar dengan suara yang kedengaran ceria.
“Tapi uncle…”
“Fiya jangan risau uncle ni bukannya orang jahat. Uncle ni kawan dengan ibu Fiya malah ibu Fiya kawan baik uncle. Dia banyak tolong uncle, mengubah uncle ke arah kebaikan jadi uncle rasa tak salah kalau nak jadikan Fiya sebagai anak angkat uncle,” sambung Tan Sri Syed Umar lagi.

“Saya tak nak menyusahkan uncle dan keluarga. Biarlah saya hidup dengan pilihan saya sendiri,” Wafiya menolak secara lembut.
“Wafiya saya tahu awak baru je kenal dengan kami tapi tak bermakna kami ni berniat jahat pada awak. Niat ayah saya ikhlas nak tolong awak. Kalau awak tak nak balik rumah awak, awak nak tinggal mana? Bahaya kalau awak merayau- rayau sorang- sorang dalam bandar ni apatah lagi awak ni perempuan, tolong biar kami tolong awak,” Muzamil menyampuk apabila tiada tanda- tanda Wafiya ingin menerima pelawaan ayahnya.
Muzamil mendekati Wafiya yang sedang terbaring. Dia memandang lama wajah yang lembut yang sedang tertunduk. Wajah itu menyembunyikan seribu kedukaan yang tidak mampu diungkapkan.
Wafiya mengeluh panjang. Sedikit sebanyak pujukan dan kata- kata Muzamil ada benarnya. Sekarang ini dia tiada pilihan lain selain melarikan diri daripada Malik dan John. Dia tidak mahu maruah dirinya diperdagangkan untuk kepentingan mereka yang tidak berhati perut. Namun, pada masa yang sama dia tidak mahu menyusahkan Tan Sri Syed Umar yang baharu dikenalinya itu. Lantas, fikiran Wafiya ligat memikirkan sesuatu.
“Baiklah saya akan setuju untuk ikut uncle tapi dengan syarat biarlah saya bekerja dengan uncle,” putus Wafiya tiba- tiba.
“Kerja? Kerja apa yang Fiya boleh buat?” soal Tan Sri Syed Umar dengan dahi yang berlapis. Dia memandang wajah Muzamil. Lelaki itu hanya mengangguk kepala meminta supaya Tan Sri Syed Umar bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Wafiya.
“Saya tak ada kelayakan lain cuma kerja yang saya boleh buat hanyalah kerja- kerja rumah. Saya tak kisah kalau jadi pembantu rumah uncle asalkan saya bekerja dan tak menyusahkan uncle dan keluarga,” tegas Wafiya.
Tan Sri Syed Umar tak mampu untuk berkata tidak kerana dia perlu menunaikan janji yang pernah di lafazkan dahulu pada Soleha demi cinta mereka. Tak lama kemudian Tan Sri Syed Umar menganggukkan kepala tanda setuju. Dia melihat senyuman di wajah Wafiya. Senyuman itu menambahkan rindunya pada Soleha. Ya Allah, damaikanlah hatiku dengan pemergiannya. Detik hati Tan Sri Syed Umar.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.