Tetamu Rindu

Sunday 30 December 2012

RYT (Bab 15&16)


BAB 15                   

RYAN menghempaskan badanya di sofa. Matanya dipejamkan cuba menghilangkan rasa penat setelah seharian menyiapkan kerja di pejabatnya. Namun, matanya terbuka bila terasa ada orang melabuhkan punggung di sebelahnya. Dia merengus bila melihat wajah Balqis sedang memandang ke arahnya. Rasa sakit hatinya terhadap Balqis masih belum pulih sepenuhnya.

“ Ryan, kau marahkan aku ke?” tanya Balqis dengan muka sengaja disedihkan.

Dia merenung wajah Ryan yang kepenatan. Dia agak kekok bila Ryan langsung tidak menegurnya kerana Ryan akan menegurnya setiap kali lelaki itu pulang daripada kerja tetapi hari ini Ryan langsung tidak memandang wajahnya. Balqis sedih.

“ Buat apa aku nak marah kau. Bukan ada faedah pun..” jawab Ryan selamba. Dia bangkit daripada pembaringan lantas berdiri untuk ke tingkat atas.

Balqis tersentak lantas dia memaut pergelangan tangan Ryan menyebabkan langkah Ryan terhenti. Dia tahu Ryan masih marahkannya kerana tidak mahu mengikut lelaki itu ke rumah Puan Rahina. Apa aku nak buat ni? Detik hati Balqis.

“ Okey fine, aku tak jadi keluar dengan Daniel. Aku ikut kau pergi rumah umi.” Ujar Balqis pantas apabila dia terasa Ryan cuba merungkaikan pegangan tangannya.

Ryan berpaling pada Balqis yang sedang memandang ke arahnya. Mata mereka bertentangan. Dia melihat Balqis tersenyum manis. Sedaya upaya Ryan cuba menahan bibirnya dari tersenyum namun saat bibir merekah itu tersengih Ryan kalah. Dia duduk kembali di sisi Balqis.

“ Aku tak suruh pun kau batalkan date kau dengan Daniel. Kenapa kau batalkan?” tanya Ryan serius. Wajah Balqis yang berseri di pandang.

“ Saja. Aku tak naklah tengok muka kawan aku ni muncung macam muncung itik sekati ayah aku kat kampung tu. Hodoh betul muka kau kalau muncung macam itu.” jawab Balqis selamba. Dia tergelak sedangkan Ryan hanya mempamerkan muka seposen tetapi dalam hati hanya ALLAH yang tahu dia juga turut tergelak cuma demi ego dia di hadapan Balqis dia buat muka blurr.

“ Hodoh pun laki kau jugak.” Balas Ryan geram.

“ Selisih semua malaikat aku dapat suami yang perangai macam budak- budak ni. Aku konfiuslah dengan kau ni Ryan, kau baligh tak lagi? perangai macam budak- budak. Aku tak nak ikut pun kau nak marah ke?” Tanya Balqis selamba. Dia tergelak besar bila melihat wajah Ryan yang berubah merah. Marah campur dengan malu.

“ Kau ni Qis saja nak naikkan darah aku. Aku dah baligh tau kalau tidak aku tak boleh kahwin.” Tegas Ryan. Dia mengetap bibir geram dengan Balqis yang suka memperkotak- katikkan dirinya.

Sebenarnya dia bukan marah sebab Balqis tidak mahu mengikutnya ke rumah Puan Rahina tetapi dia marah kerana Balqis ingin keluar dengan Daniel tanpa izinnya. Dia tidak suka Balqis keluar sewenang- wenangnya kerana dia masih berhak ke atas gadis itu. Cemburu ke? Entah.

“ Yeke? Macam tak percaya je.” Sambung Balqis lagi menguji kesabaran Ryan. dia mencebik bibir.

Ryan menarik nafas panjang. Geram bila melihat bibir comel itu tidak lepas- lepas cuba menguji kesabarannya.

“ Kau nak aku buktikan ke?” tanya Ryan pula. Dia merenung anak mata Balqis dengan tajam.

No you can’t..” balas Balqis sambil ketawa kecil. Dia tidak dapat mengesan perubahan wajah Ryan yang sudah berasap kerana dikutuk oleh Balqis.

Pada awalnya Balqis menganggap itu sebagai gurauan tetapi bila melihat wajah Ryan yang serius tanpa secalit senyuman membuatkan hati Balqis kecut. Renungan lelaki itu juga lain daripada kebiasaannya.  Balqis tersengih pada Ryan namun wajah Ryan tetap tidak berubah. Tetap tegang. Hati Balqis mula risau pantas dia berdiri dan ingin berlalu.

“ Kau nak ke mana?” halang Ryan sambil meluruskan kakinya menghalang Balqis daripada berlalu. Dia merenung Balqis dari atas ke bawah. Ryan turut berdiri berhadapan dengan Balqis. Dia hanya menunggu masa untuk menerkam gadis itu. Dia tahu Balqis ingin melarikan diri tapi kali ini dia tidak akan melepaskan gadis itu.

“Aku, aku nak…aku nak lariiii!!!” jerit Balqis.

Lantas dia berlari ingin menuju ke tingkat atas. Dia tahu dia sudah mencabar lelaki itu tadi dan Ryan memang seorang lelaki yang pantang dicabar. Balqis takut jika ‘dikerjakan’ oleh Ryan sebab itulah dia mengambil langkah seribu menyelamatkan diri.

Ryan tidak menunggu lama dia mengejar Balqis yang cuba melarikan diri. Maka berlakulah aksi kejar- mengejar antara Balqis dan Ryan. Terjerit- jerit Balqis dibuatnya apabila Ryan cuba menangkap tubuhnya. Bila lelaki itu cuba menarik lengannya Balqis mengelak dan berlari di sekeliling meja makan.

“ Ryan tunggu kejap, aku penat!” ucap Balqis berhenti. Dia memegang lutut dan melepaskan lelahnya. Turun naik nafasnya yang tidak teratur.

Ryan juga turut berhenti namun bila melihat Balqis yang cuba melangkah kaki secara senyap- senyap, dengan pantas Ryan mengejar isterinya semula. Bunyi suara Balqis yang menjerit memenuhi ruang rumah itu. Teruk juga Balqis kalau menjerit.

“ Kau nak lari mana hah? Rumah ni bukan besar sangat! Aku akan dapat kau jugak!” jerit Ryan sambil mengejar Balqis yang sudah berlari ke tingkat atas. Mungkin ke biliknya.

Balqis tergopoh- gapah membuka pintu bilik tidurnya. Dia tidak mahu Ryan sempat menangkapnya kerana dia tidak tahu apa yang mampu lelaki itu lakukan. Itulah tadi kutuk dia sangat kan tak pasal- pasal kena kejar. Rungut hati Balqis. sesungguhnhya Balqis takut apabila Ryan mengejarnya seperti singa kelaparan. Kalau singa kelaparan, boleh juga diberikan makanan tetapi ini Ryan bahayanya melebihi singa kelaparan.

Balqis terketar- ketar membuka pintu kerana Ryan berada hanya beberapa meter sahaja daripadanya dan apabila menyedari bahaya yang akan datang, dengan pantas Balqis menolak daun pintu dan berlari masuk ke dalam bilik namun dia mengalami kesukaran bila Ryan cuba merempuh pintu tersebut. Nasib Balqis malang hari ini kerana Ryan dapat memboloskan diri ke dalam bilik Balqis. Dia tersengih lebar pada Balqis menandakan kemenangan berada di pihaknya.

Balqis mula hilang arah bila Ryan berdiri di hadapannya sambil menyinsingkan lengan baju kemeja yang dipakainya. Balqis tersengih membariskan giginya yang putih bersih. Apa aku nak buat ni? Tanya Balqis dalam hati. matanya melilau- lilau mencari jalan keluar.

“ Tak ada jalan keluar dah Qis. Takkan takut kot. Tadi kau jugak tanya aku sama ada aku ni baligh atau tak so sekarang aku nak buktikanlah. Kau takut ke?” tanya Ryan tersenyum penuh makna. Dia suka melihat wajah Balqis yang kemerahan.

Balqis berundur setapak ke belakang. Dia tersengih lagi. Mampus aku!

“ Aku rasa tak perlu kot. Aku percaya kau bukan budak- budak lagi. Apa kata kalau kau masuk bilik kau. Kejap lagi kita nak ke rumah umi lambat pulak bersiap nanti.” Balqis memberi alasan. Dia tidak mahu  Ryan berada di dalam bilik itu. Sesak nafasnya.

Ryan ketawa lepas. Dia tahu Balqis gugup. Semakin Balqis gugup, semakin dia suka menyakat.

“ Hmm, sekarang baru pukul enam, kita pergi rumah umi pukul lapan, jadi ada berapa jam lagi ni bolehlah aku buktikan pada kau yang aku ni dah baligh biar kau percaya.” Jawab Ryan sambil tersenyum nakal. Keningnya yang lebat dimain- mainkan.

Kepala Balqis bagaikan mahu pitam mendengar kata- kata Ryan yang bersahaja. Dia mengigit bibir.

“ Kau jangan cari pasal dengan aku Ryan. Aku tumbuk kau kan.” Balqis memberi amaran sambil menunjukkan penumbuknya yang tidak sebesar mana. Suaranya juga terketar- ketar.

Ryan tergelak besar lantas dia melangkah setapak kehadapan menghampiri isterinya yang kelihatan gugup. Ryan sengaja mahu menyakat Balqis yang kelihatan tidak tentu arah. Biar tahu rasa minah ni. Tadi bukan main kutuk aku tak baligh lagi. bisik hati Ryan sambil ketawa jahat.

Lantas, Ryan mengambil langkah dan cuba menarik lengan Balqis namun Balqis sempat mengelak. Lalu terjadi lagi aksi kejar- mengejar. Habis satu bilik Balqis berlari semata- mata tidak mahu ditangkap oleh Ryan. Dia takut sebenarnya. Ryan lelaki yang sukar diramal segala tindak- tanduknya.

Namun, sejauh mana pun Balqis mengelak akhirnya Balqis berhenti kerana kepenatan. Dia memandang wajah Ryan yang turut kepenatan kerana berlari. Dia mengangkat kedua belah tangan tanda menyerah kalah. Nafas yang turun naik cuba diatur sebaik mungkin.

“ Okey aku mengaku kalah. Aku janji lepas ni aku takkan ejek kau lagi. Aku penatlah main kejar- kejar dengan kau. Tak seronok pun buat penat aku je..” bebel Balqis sambil menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Kemudian dia berdiri tegak.

“ Tahu pun menyerah. Lain kali mulut tu jangan ikut suka je nak mengata aku. nasib baik aku tak jadi nak buktikan pada kau yang aku dah baligh kalau tak kau tanggunglah akibatnya Sembilan bulan nanti.” Ucap Ryan selamba sambil tergelak. Dia turut berdiri dan mengatur saluran pernafasannya.

Balqis mencebik. “ Kau ingat aku nak biarkan macam itu je ke? Sorry sikit I’m not belong to you.” Tegas Balqis.

“ Selagi kau masih memegang title isteri Tuan Ryan Zhariff selagi itulah you’re belong with me.” Balas Ryan.

Dia cuba melangkah menghampiri Balqis yang berada di birai katil namun tiba- tiba langkahnya tersadung menyebabkan dirinya terpelanting ke hadapan dan jatuh sambil memeluk tubuh Balqis. Dia terkesima begitu juga Balqis. Nasib baik terjatuh ke atas tilam kalau jatuh atas lantai, mahu patah pinggang.

Balqis terkedu bila terasa tubuh Ryan berada di atas tubuhnya. Dia mendongak memandang Ryan yang turut memandangnya. Mata mereka bertatapan menyebabkan jantung Balqis berdenyut laju. Irama hatinya menjadi tidak tentu arah apabila dipanah dengan anak mata hazel milik Ryan. Mereka terkedu buat kesekian kalinya.

Ryan terkaku saat matanya bertautan dengan mata Balqis. Dia menelan air liur yang terasa pahit. Buat pertama kalinya dia berada begitu dekat dengan Balqis. seboleh- bolehnya dia cuba mengusir rasa aneh yang menyerang naluri lelakinya. Dia merenung wajah Balqis. perlahan- lahan dia menguis rambut Balqis yang menutup separuh wajah itu. Ryan tersenyum. Dadanya turut berdebar- debar.

“ Ryan…” Panggil Balqis cuba menyedarkan Ryan.

“ Ya, ada apa?” tanya Ryan selamba. Dia masih merenung wajah Balqis yang manis.

“ Tepilah sikit. Kita dah lambat nak pergi rumah umi ni.” Ujar Balqis sengaja menguatkan suaranya biar Ryan tersedar. Dia sendiri tidak dapat menahan diri jika Ryan tidak berganjak dari badannya.

“ Hah?!”

“ Kau cakap nak pergi rumah umi. Tepilah aku nak bangun ni. Kau tu bukan ringan sangat. Macam nak patah pinggang aku.” Gumam Balqis selamba. Dia menolak badan Ryan yang sasa supaya menjauh daripadanya.

Ryan kebingungan namun dia tetap juga bangun dari tempatnya. Dia duduk di birai katil sambil menjeling ke arah Balqis yang turut duduk di birai katil. Dia menjeling. Balqis juga menjeling sama. Jelingan mereka bertaut menyebabkan Ryan dan Balqis tertunduk. Tiba- tiba sahaja mereka menjadi kekok.

“ Aku keluar dululah. Nak mandi. Cepat sikit bersiap kalau kau lambat aku tinggal kau.” Ryan bersuara selepas lama mendiamkan diri. Dia berdiri dan ingin menuju ke pintu.

“ Kalau kau tinggalkan aku, aku boleh keluar dengan Daniel.” Ucap Balqis selamba separuh mengugut.

Serentak Ryan berpaling bila nama Daniel meniti di bibir Balqis. tajam dia merenung wajah Balqis seperti mahu ditelan sahabatnya hidup- hidup.

“ Kalau kau rasa nak kena kurung dalam bilik ni macam dalam cerita Rapunzel tu cubalah beranikan diri keluar dengan Daniel tu. Kan ada orang tak nampak matahari dengan bulan nanti.” Ujar Ryan memberi amaran. walaupun kedengaran seperti gurauan, tetapi itu adalah amaran pada Balqis.

Namun Balqis hanya ketawa. Lawak pula Ryan maghrib buta ni. Desis hati Balqis.

“ Kenapa kau cemburu ke?” tanya Balqis bersama tawanya yang masih bersisa.

“ Buang masa aku nak cemburu dengan kau. Aku tak nak ada orang mengata nanti, kau isteri aku tapi keluar dengan sepupu aku. Faham?” tekan Ryan geram.

Balqis mencebik. Dia sudah agak. Ryan tidak pernah cemburu dengan apa yang dia lakukan jadi kata- kata Suraya tadi semuanya salah belaka. Tidak mungkin Ryan akan cemburu.

“ Faham bos!”


BAB 16

SUASANA rumah Puan Rahina gamat dengan kedatangan Balqis dan Ryan. Abang Ryan, Tuan Rehan Zairil dan kakaknya Tuan Rasya Zanida turut datang untuk makan malam keluarga. Abang dan kakak Ryan semuanya sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai cahaya mata kecuali Ryan yang belum ada. Tetapi bila dilihat daripada cerita Ryan ini, rasanya peluang untuk ada anak dengan Balqis memang agak tipis memandangkan perkahwinan mereka bukan berdasarkan cinta.

“ Abah nak cakap sikit dengan korang semua sebab itulah abah dengan umi nak jumpa korang ni.” Tuan Razlan mula bersuara saat mereka sekeluarga duduk di meja makan.

Ryan, Rasya dan Rehan memandang abah dan umi mereka dengan penuh pertanyaan manakala Balqis hanya mendiamkan diri di sebelah Ryan. dia sendiri tidak faham mengapa perlu ada makan malam keluarga setiap bulan. Mungkin ini adalah salah satu cara keluarga Ryan untuk merapatkan hubungan keluarga mereka.

“ Ada apa abah?” tanya mereka hampir serentak.

Tuan Razlan dan Puan Rahina tersenyum.

“ Abah ingat nak pergi bercuti bulan hadapan memandangkan ulangtahun perkahwinan abah dengan umi kamu bulan depan jadi abah ingat nak bawak umi dan kamu semua bercuti. Kamu setuju tak?” tanya Tuan Razlan.

Maka suasana yang tadinya sunyi sepi bertukar riuh rendah dengan suara anak- anak Tuan Razlan dan Puan Rahina. Mereka sibuk mencadangkan tempat- tempat peranginan pada Tuan Razlan.

“ Abah tak kisah tempat mana yang kamu pilih asalkan kamu semua suka abah pun suka.” Sambung Tuan Razlan lagi.

“ Kita pergi Perth la abah. Boleh tengok kangaroo.” Rasya menyampuk memberikan cadangan.

“ Tak payah pergi jauh nak tengok kangaroo. Kau pun dah macam kangaroo.” Seloroh Rehan selaku abang sulung kepada Rasya dan Ryan.

Ryan tergelak diikuti dengan yang lain malah suami Rasya, Harith turut ketawa bila isterinya dikutuk oleh abang iparnya. Apabila Rasya menjeling baharulah Harith menghentikan ketawanya.

“ Kalau angah kangaroo, along dengan adik pun kangaroo jugak.” Balas Rasya tidak mahu mengalah.  Dia mencebik bibir.

Sekali lagi tawa mereka sekeluarga pecah. Tuan Razlan dan Puan Rahina hanya mengelengkan kepala sambil ketawa. Walaupun sudah berumahtangga, tetapi hubungan mereka adik- beradik tetap mesra dan anak- anak mereka selalu bergurau senda.

“ Sudah jangan nak bergaduh. Abah nak tanya pendapat korang bukan nak dengar korang bergaduh.” Ujar Tuan Razlan cuba membetulkan keadaan.

“ Hmm, apa kata kalau Ryan dan Balqis aje yang putuskan tempatnya. Korang berdua pun belum berbulan madu lagi kan? Apa kata sementara abah dan umi sambut ulang tahun, korang boleh berbulan madu. Okey tak umi?” Cadang Rehan sambil mengangkat kening pada Ryan.

Ryan dan Balqis terbatuk kuat. Hampir sahaja mereka berdua tersedak. Bulan madu? Oh no! Kalau boleh perkara itulah yang Balqis ingin elakkan.

“ Umi rasa elok jugak tu. Ryan, Balqis kamu ada cadangan ke?” tanya Puan Rahina. Matanya beralih pada anak lelaki bongsunya.

Ryan dan Balqis berpandangan. Ryan menggarukan kepala sedangkan Balqis sedang kegelisahan. Apa nak jawab ni? Adoyai.

“ Ryan belum terfikir apa- apa pun lagi umi. Tapi Ryan rasa, umi dengan abah nak sambut anniversary jadi abah dengan umi yang kena fikirkan. Umi pilihlah tempat yang romantik sikit mana tahu kita boleh tambah ahli keluarga baru ke betul tak along, angah?” sakat Ryan sambil tersenyum penuh makna pada Rasya dan Rehan.

“ Betul tu umi. Mana tahu kami boleh dapat adik baru.” Sambung Rasya selamba disambut dengan tawa mereka sekeluarga.

“ Pandailah kamu semua. Umi dengan abah memang nak tambah ahli baru tapi bukan dari umi dan abah tapi dari pengantin baru.” Balas Puan Rahina sambil melirik pada anak menantunya yang masih kelihatan selamba.

“ Pengantin baru? Siapa bang? Along nak kahwin lagi ke?” sampuk Balqis pelik. Dia memandang wajah Ryan yang sudah tergelak sakan mendengar pertanyaan Balqis.

Rehan juga turut ketawa. Isterinya Humayra hanya tersenyum manis.

“ Kalau along kahwin lagi alamak terlingkup rumah along tu dikerjakan oleh kak long kamu ni. Alah, Qis ni buat- buat tak tahu pulak, kamu berdualah pengantin barunya.” Jawab Rehan dengan tawa yang masih bersisa.

Balqis terdiam. Darah merah menyerbu wajahnya yang cerah. Dia malu bila Puan Rahina bertanyakan pasal anak yang memang tidak akan wujud.

“ Umi jangan risau, baru dua bulan Ryan kahwin, takkan nak ada anak terus. Sabarlah umi. Kalau umi nak cucu lagi, umi mintak dengan along dan angah. Mesti cepat dapat.” Jawab Ryan memberi alasan. Dia tahu Balqis tidak selesa dengan soalan uminya itu.

Buat seketika dia merenung wajah Balqis yang berada di sebelahnya. Kelihatan merah, mungkin malu dengan kata- kata umi. Tanpa disedari Ryan tersenyum sendirian.

“ Pandailah kau Ryan, penat tau kak long nak beranak lagi. Kalau along kau tolong tak mengapa jugak.” Sampuk Humayra bersahaja. Rehan hanya tergelak kecil.

“ Sudah- sudah jangan nak bergaduh pulak. Kita nak bincang tempat bercuti bukan nak bertumbuk.” Pintas Puan Rahina membuatkan anak- anak mereka terdiam.

“ Opah, kita pergi kat tempat yang ada strawberi la. Lama Hairi nak makan strawberi.” Sampuk anak Rehan, Hairi. Lengan Puan Rahina ditarik- tarik.

Puan Rahina dan yang lain hanya tersenyum mendengar Hairi yang masih pelat dalam bercakap. Lantas Puan Rahina mengusap kepala cucunya yang petah itu. Jika termasuk Hairi dia ada empat orang cucu kesemuanya. Rehan dan Humayra memiliki dua cahaya mata itu pun kembar manakala Rasya dan Harith juga mempunyai sepasang cahaya mata. Kehadiran cucu- cucunya membuatkan kehidupan Puan Rahina terasa bermakna dan sekarang dia menunggu cucu daripada Ryan dan Balqis yang entah bila akan muncul.

“ Umi rasa elok jugak kalau kita bercuti kat Cameron Highlands lagipun dah lama kita tak jenguk farm house kita kat sana. Betul tak bang?” tanya Puan Rahina. Matanya beralih pada suaminya yang sedang mengunyah nasi. Nampak berselera benar Tuan Razlan menjamah masakan isterinya.

“ Abang tak kisah, anak- anak kita tak kisah ke?” balas Tuan Razlan semula.

Kedengaran anak- anak Tuan Razlan berbincang sesama sendiri akhirnya mereka mengangguk setuju. Tuan Razlan dan Puan Rahina tersenyum lega.

 

BALQIS termenung panjang sambil tangannya mencuci pinggan yang terdapat dalam singki. Sebentar tadi Humayra yang ingin membasuh tetapi Balqis dengan rela hati menawarkan khidmat pelanggannya pada Humayra. Bukan apa dia rela duduk bersendirian melayani fikirannya di dapur daripada turut serta dalam perbualan keluarga Ryan. Bukan kerana Balqis tidak selesa dengan keluarga besar Ryan cuma dia memerlukan masa untuk menyendiri selepas rancangan percutian keluarga telah diputuskan oleh Tuan Razlan.

Sebenarnya tiada apa yang perlu dirisaukan sangat tentang percutian itu cuma Balqis rasa tidak selesa sahaja. Iyalah, tinggal di farm house keluarga Ryan bermakna dia dan Ryan terpaksa tinggal sebilik sedangkan perkara itulah yang Balqis ingin elakkan. Walaupun dia telah berkawan lama dengan Ryan namun ada juga hak privasinya yang ingin dia jaga lagipun Ryan bukanlah suami yang sepenuhnya.

‘Hai masalah, masalah. Apa aku nak bagi alasan ya supaya dapat elakkan diri daripada join trip ni? Nak cakap sekolah sibuk, masa itu cuti sekolah. Aduh, kena cari alasan apa nak cakap. Alah cakap jelah masa itu aku demam boleh tak? Ish tak masuk akal macam aku tahu je nak demam.’ Kepala Balqis tergeleng- geleng.

Lama Balqis termenung namun tangannya masih menyental pinggan dalam singki. Kalaulah pinggan itu boleh menjerit tentu Balqis dimarahi kerana hampir sejam dia menyental pinggan yang sama. Cuci ke tidak hanya Balqis yang tahu.

“ Oit Qis, agaknya tahun bila pinggan tu nak  cuci? Dah cukup berkilat dah aku rasa.” Sergah satu suara mengejutkan Balqis.

“ Opocot pinggan mak kau!” latah Balqis tidak sengaja. Habis buih sabun terpercik ke mukanya kerana terkejut. Nasib baik pinggan yang dipegang sempat di sambut kalau tidak mati dia jawabnya. Pinggan mahal tu!

Kedengaran Ryan tergelak besar. Dia menghampiri belakang badan Balqis. Dia menjenguk wajah Balqis yang sedang membelakanginya. Serentak dia ketawa kuat apabila melihat buih sabun memenuhi wajah Balqis yang kelat. Berair matanya kerana terlampau ketawa.

“ Apa  gelak- gelak? Ingat aku buat show Raja Lawak ke?” Marah Balqis bercampur geram. Dia menjeling Ryan yang sedang menekan perut kerana ketawa.

“ Macam gorilla albino aku tengok kau ni. Kalah Johan dan Zizan dalam Raja Lawak.” Tambah Ryan dengan tawa yang masih bersisa.

“ Banyak kau punya lawak. Aku hempuk dengan pinggan ni baru koma seminggu.” Balas Balqis kasar. Langsung tidak menggambarkan seorang isteri yang solehah. Lantaklah janji dia tidak memberi Ryan muka.

“ Kasarnya kau ni. Alah setakat hempuk koma seminggu buat apa, sekurang- kurangnya bagilah koma lama sikit boleh aku tidur lama sikit.” Balas Ryan selamba. Dia tidak mengendahkan emosi isterinya yang sedang marah padanya. Dia hanya menayang muka tidak bersalah.

“ Hai Ya ALLAH kenapalah aku dapat kawan yang sewel macam kau ni?” balas Balqis.

“ Kau lagi sewel dari aku.” sambung Ryan. Dia merenung wajah Balqis yang sedang menggelengkan kepala.

Balqis mencebik bibir. Perlahan- lahan dia menarik hujung tudung bawalnya dan ingin mengesat sisa buih sabun yang melekit di wajahnya. Namun ada tangan Ryan yang menghalang. Perbuatan Balqis terhenti lantas pandangan matanya dipakukan pada wajah Ryan. Dahinya berkerut.

“ Kenapa?” Tanya Balqis pendek sambil kening dijongketkan.

“ Kau nak buat apa tadi?” Tanya Ryan balik. Orang tanya dia, dia tanya orang balik. Gumam Balqis dalam hati.

“ Aku nak kesat mukalah. Nak buat apa lagi takkan nak buat facial treatment pulak.” Jawab Balqis selamba mengundang tawa daripada bibir Ryan.

“ Iyalah aku tahu tapi muka kau kau tengah melekit tu takkan nak kesat pakai kain tudung tu je nanti air dari buih sabun tu masuk dalam mata macam mana? Kan pedih pulak. Tangan kau pun kotor tu…”

“ Dah tu aku nak buat macam mana Tuan Ryan oii?” Pintas Balqis mula terasa lain dengan perhatian Ryan padanya.

“ Biar aku tolong. Aku suka buat pahala ni.” Ucap Ryan sambil tersenyum manis.

Dia mencapai beberapa helai tisu yang berada di atas meja lalu tisu tersebut dibasahkan menggunakan air paip. Kemudian, dia menarik Balqis supaya lebih dekat padanya lantas dia mengesat wajah Balqis dengan menggunakan tisu tersebut.  Dia tersenyum melihat wajah Balqis yang kebingungan melihat reaksinya yang spontan.

Balqis terdiam namun dalam hatinya hanya ALLAH yang tahu betapa dia kekok dengan perbuatan Ryan yang agak berlainan daripada biasa. Lelaki itu cukup prihatin terhadapnya membuatkan Balqis terasa sesuatu namun cepat- cepat dia menepis rasa itu. Dia mendongak memandang wajah Ryan yang begitu hampir dengan dia. Dia menelan air liur. Tak sangka kacak rupanya kawan aku ni. Selama ini kurang perasaan. Bisik hati Balqis.

“ Dah siap. Lepas ni boleh kau main buih sabun lagi.” ucap Ryan selamba. Dia memandang wajah Balqis yang ketika itu masih tidak lepas daripada memandang wajahnya. Mata mereka bertemu. Lama sehinggalah Ryan mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“ Qis, umi tanya tahun bila kau nak siapkan cuci pinggan ni?” Ryan mengalih topik perbualan. Dia menguis-nguis pinggan kotor yang terdapat di dalam singki.

 Sebenarnya dia sendiri tidak dapat membalas pandangan itu kerana dia risau gadis itu dapat membaca rahsia yang tersimpan kemas dalam hatinya. Hanya dia dan ALLAH sahaja yang tahu.

“ Hah?!” Balqis tersedar daripada lamunan. Lantas dia kembali mengambil tempatnya untuk menyambung kerja yang terbengkalai.

Dia menolak sedikit tubuh Ryan yang menghalang kerjanya. Menyibuk betul mamat ni. Getus Balqis. Ryan hanya tersenyum.

“ Aku tengok kau asyik je termenung tadi, kenapa?” tanya Ryan. Dia risau juga kalau- kalau Balqis rasa tidak selesa dengan pertanyaan uminya sebentar tadi.

“ Tak ada apa- apalah. Saja nak layan perasaan. Maklumlah tengah cuci pinggan elok layan perasaan je.” Balas Balqis. Dia cuba untuk melemparkan senyuman manis pada Ryan yang sedang berkelip- kelip memandangnya.

“ Tipulah aku tahu masa bila kau nak layan perasaan dan masa bila kau ada masalah. Aku kenal kau dah lama. Dah masak benar dengan perangai kau ni.” Balas Ryan sambil memeluk tubuh.

Balqis menjongketkan kening. “ Okey then tell me bila masa aku layan perasaan dan bila aku ada masalah. Aku nak tengok jugak seberapa masak kau dengan perangai aku.”  Uji Balqis. dia memberi sepenuh perhatian pada Ryan.

Ryan menggigit kuku. Lama dia termenung sebelum dia membuka bicara.

“ Kau akan layan perasaan bila kau baca novel ataupun kau tengah tengok cerita especially cerita Hindustan mulalah kau berangan yang bukan- bukan dan bila ada masalah kau akan termenung jauh sampaikan aku panggil pun kau tak dengar. Selain tu, kalau kau ada masalah kau akan buat- buat senyum. Senyuman yang tak ikhlas macam kau buat sekarang ni. Betul tak?” Tanya Ryan.

Balqis tersentak. Apa yang dikatakan oleh Ryan itu 99.99 peratus betul. Sebegitu prihatinnya Ryan kepadanya sedangkan dia langsung tidak mengambil peduli pada Ryan cuma adalah sesetengah perkara yang dia tahu pasal Ryan.

“ Mungkin betul tapi taklah betul sangat.” Balqis cuba menyangkal.

Ryan tersenyum. Tanpa menghiraukan Balqis dia membantu gadis itu membilas pinggan yang sudah ciap dicuci.

Then tell me what your problem? Pasal cuti tu ke?” tanya Ryan lagi.

Sekali lagi Balqis terpana. Ryan seolah- olah dapat membaca isi hatinya walaupun dia tidak meluahkan. Nujum Pak Belalang ke laki aku ni? Hati Balqis tertanya.

“ Aku kan cucu Nujum Pak Belalang tentulah aku tahu kau pasti ada masalah pasal cuti tu kan.” Duga Ryan lagi.

Terbeliak biji mata Balqis bila Ryan menyebut tentang Nujum Pak Belalang. Sebentar tadi baharu hatinya menyebut tentang perkara itu dan seolah- olah Ryan mendengar apa yang dikatakan oleh hatinya. Ish, pelik betul.

“ Qis kau dengar tak aku tanya ni. Dah dekat sebakul aku tanya tapi kau tak jawab pun. penatlah mulut aku tanya. Jawablah.” Bebel Ryan.

“ Yelah- yelah, memang aku risau pasal cuti tu pun. Boleh tak kalau aku tak ikut?” soal Balqis. Dia menayang muka penuh mengharap pada Ryan. Dia memang tidak mahu mengikut keluarga Ryan pergi bercuti.

“ Gila kau tak nak ikut! Kau tu isteri aku, apa kata umi nanti. Ingat kita kena berlakon nanti umi syak pulak.” Suara Ryan hampir meninggi namun di hujungnya kembali perlahan. Cukup untuk dia dan Balqis sahaja yang mendengar.

“ Tapi kau tahu kan kita ni tak biasa tidur sebilik, kalau pergi cuti sah- sahlah kita kena tidur satu bilik…”

So apa masalahnya? Tidur jelah. Bukan nak buat apa pun atau kau tak sabar nak bagi cucu kat umi?” usik Ryan sambil tersengih. Keningnya dimain- mainkan.

Wajah Balqis mula memerah. Kenapalah Ryan tidak faham apa yang cuba disampaikan? Dia tidak selesa tidur sekamar dengan Ryan. Itu masalahnya.

“ Mengarutlah kau ni. Bukan itu maksud aku. Aku tak selesa yelah kau tahukan perkahwinan kita ni macam mana. Aku tak nak apa- apa yang terjadi nanti.” Luah Balqis.

Ryan mengangguk. Dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Balqis cuma dia sengaja ingin mengusik gadis itu. Dia sendiri tidak betah berduaan dengan Balqis inikan pula tinggal satu bilik.

“ Qis, aku faham apa yang kau nak cakap tapi nak buat macam mana umi dan abah dah berharap sangat dengan kita takkan kita nak kecewakan mereka. Kau anggaplah percutian ini macam percutian yang biasa. Pasal kita kau jangan risau aku jamin kalau kita tinggal sebilik pun aku takkan buat apa- apa pada kau. Kau sahabat aku. Aku takkan khianati persahabatan kita dengan perbuatan yang kau tak suka. Aku hormat kau sebagai seorang perempuan dan seorang sahabat yang baik. Bagi aku kau hanya sahabat aku dan tak lebih daripada itu. Kau jangan risau bila tiba masanya nanti aku akan lepaskan juga untuk lelaki yang benar- benar dapat mencintai kau.” Ujar Ryan tenang. Dia memegang kedua belah bahu Balqis. Gadis bertudung jingga itu hanya menunduk.

Balqis terdiam. Dia percaya dengan kata- kata Ryan namun hatinya sedikit terasa apabila lelaki itu menyatakan bahawa dia hanya seorang sahabat dan tidak lebih daripada itu. Walaupun sering lelaki itu ungkapkan tetapi kali ini Balqis terasa lain. Dia terasa jauh daripada Ryan walaupun lelaki itu berada di hadapannya sahaja. Balqis mula sedar tentang hakikat sebenar hubungan mereka.

“ Kalau itu yang kau cakapkan, aku terima dan aku pegang janji kau. Ingat kita hanya kawan dan takkan lebih daripada itu right?” ulang Balqis lagi. dia menarik nafas panjang.

“ Betul tu. Kita hanya kawan dan tak lebih daripada itu…..”

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.