Tetamu Rindu

Sunday 12 May 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 8 )


ISYRAQ menyembunyikan diri di sebalik dinding saat terlihat seorang gadis yang sedang duduk di bangku dengan wajah yang murung. Gadis itu kelihatan termenung jauh. Apa yang berada di dalam fikiran gadis itu sebenarnya? Soal hati Isyraq.
Masih teringat pertengkaran antara dia dan Elyas semalam, siapa yang cuba merosakkan maruah gadis itu? Memang aku benci pada dia, memang aku sakit hati apabila berhadapan dengan dia tapi aku tetap tidak sanggup melihat dia dilakukan dengan sebegitu rupa. Bisik hati kecil Isyraq.
Isyraq memandang jam di tangan. Tepat pukul satu. Pasti gadis itu menunggu dirinya untuk melaksana hukuman yang diterimanya. Hari ini mereka terpaksa menjadi pekebun pula. Macam- macam kerenah Encik Fakhri yang terpaksa mereka ikutkan. Isyraq berdehem sebelum melangkah menghampiri gadis itu.
“ Hoi…” tegur Isyraq selamba.
Dia memandang wajah Hamna yang kelihatan sugul. Apabila gadis itu mendongak, dengan pantas dia berpaling ke tempat lain.
“ Kau ni tak ada kerja lain ke selain termenung? Menyampah aku tengok muka kau macam nasi basi tu,” sambung Isyraq selepas melihat Hamna hanya mendiamkan diri.
Hamna memaling wajah ke tempat lain. Sakit pula matanya memandang wajah Isyraq yang tak berapa nak hensem tu. Sudahlah dia masih lagi trauma dengan apa yang berlaku pada dirinya semalam, hari ini dia terpaksa datang ke kolej semata- mata untuk melaksanakan dendanya yang masih berbaki. Walaupun rasa malas namun dia gagahkan diri jua.
Isyraq yang berada di sebelah langsung tidak dihiraukan. Hari ini aku malas nak bertekak dengan kau. Kau bertekaklah sorang- sorang. Bisik hati Hamna. Dia bangun dan membetulkan baju yang dipakai. Cermin mata yang tersungging di hidung, dibetulkan sedikit.
“ Hoi, kau dah pekak ke?!” jerit Isyraq lagi.
‘Kenapa dia tak melawan cakap aku erk? Takkanlah sebabkan kejadian tu, dia terus insaf? Eh, tak boleh jadi ni, aku tak boleh tengok dia diam je. Tak boleh, tak boleh…’ hatinya berkata.
“ Eh Minah Gendut, kau ni dah kena sawan ke? Tak dengar apa aku cakap ni?” soal Isyraq lagi. Dia mengetap bibir geram dengan sikap yang ditunjukkan Hamna hari ini. Dah buang tebiat agaknya minah ni.
Hamna hanya menayang muka sepuluh sen.
“ Aku tak ada mood nak gaduh dengan kau. Jom buat kerja, lepas tu aku nak balik,” Hamna bersuara juga akhirnya. Itu pun dengan muka masam mencuka.
Terdiam Isyraq mendengar kata- kata Hamna. Mana boleh tak ada mood? Hari- hari bergaduh dengan aku, takkan hari ni nak cuti pulak? Sunyilah hidup aku…erk? Is apa yang kau melalut ni. Benak hatinya berkata- kata.
Tanpa menunggu balasan kata- kata daripada Isyraq, Hamna berlalu meninggalkan Isyraq yang terkebil- kebil. Apabila tersedar, Isyraq terus membuntuti langkah Hamna.
Hamna menyerahkan pencakar rumput kepada Isyraq. Lelaki itu menyambut tanpa banyak bicara. Apabila Hamna melangkah ke arah pokok, lelaki itu turut mengikut. Hamna rimas, dia berpaling dan bercekak pinggang.
“ Kerja kau cakar semua rumput dan daun kering, yang kau ikut aku nak bersihkan pokok bunga ni buat apa, hah?” soal Hamna dengan nada geram.
Isyraq tersentak. Dia tersengih dan menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Kemudian tanpa kata dia melangkah ke tempat untuk mencakar daun- daun kering yang bertaburan di atas rumput.
Sekali sekala Isyraq menjeling pada Hamna yang tekun membersihkan pasu bunga. Nampak tangan bergerak tapi pandangan gadis itu kosong. Sah, termenung lagi. Apa agaknya yang berada di dalam fikiran gadis itu? Isyraq mula ditanda tanya.
‘ Kenapa dengan dia? Agak- agak kalau aku tanya, dia jawab tak? Atau dia buat- buat tak tahu je? Tapi aku nak tanya macam mana? Nak tanya dengan lembut, aku tak pandai, aduh..kenapa dengan aku ni? Macam tak biasa dengan dia.’ monolog Isyraq dalam hati. Dia menggigit kuku.
Kemudian dia melihat Elyas menghampiri Hamna dengan membawa sebotol air mineral lalu diserahkan kepada gadis itu. Kelihatan wajah Hamna berseri- seri menyambut kedatangan Elyas. Namun, Elyas tidak lama, hanya beberapa minit dia menyinggah sebelum berlalu meninggalkan Hamna yang tersenyum sendirian.
“ Ceh, kurang ajar kau Elyas, dekat minah tu kau bagi air, aku ni yang panas tahap dewa, kau boleh buat- buat tak nampak je? Minah tu pun, suka sangat dapat air mineral dari kekasih hati. Tadi muka macam ayam tertelan panadol, sekarang dah elok dah. Kau tak payah suka sangatlah Hamna, sakit pulak hati aku ni,” Isyraq bercakap sendirian sambil menjuihkan bibirnya.
Pencakar yang dipegang di tekan- tekan dengan kuat sebagai balasan  sakit hatinya. Bibirnya dijuihkan. Kemudian, matanya menangkap seekor ulat gonggok sebesar ibu jari sedang merayap di depan kakinya. Lantas, Isyraq tersenyum penuh makna. Dia menunduk dan menekup ulat gonggok tersebut yang telah bergulung menjadi bulat.
Dia melangkah untuk menghampiri Hamna yang sedang duduk mencangkung menggembur tanah di dalam pasu bunga. Gadis itu menanggalkan cermin matanya untuk mengesat peluh dan inilah masanya buat Isyraq melaksanakan perangai nakalnya.
Dia ketawa kecil. Dengan langkah yang perlahan, dia berhenti apabila berada beberapa meter dari Hamna. Sebaik saja Hamna ingin menyarung kembali cermin matanya, sepantas kilat Isyraq melemparkan ulat gonggok tersebut ke arah Hamna.
“ Arghhh!!” jerit Hamna terkejut. Dia jatuh terduduk. Ulat gonggok  yang melekat di bajunya, dikuis ke tepi. Dadanya berombak kerana terkejut.
Habis rumput yang dipegangnya terlambung tinggi. Kedengaran orang ketawa menyebabkan telinga Hamna berdesing. Dia tahu pasti Isyraq yang melemparkan ulat gonggok tersebut. Baru saja dia ingin memakai cermin mata, tiba- tiba dia terasa matanya pedih.
“ Aduh!” Hamna mengaduh sambil menggosok matanya yang terasa pedih. Mesti pasir masuk mata ni. Sakitnya. Desis hati Hamna.
Isyraq yang asyik gelakkan Hamna terdiam. Dia memandang wajah Hamna yang berkerut. Kenapa dengan dia? Lantas Isyraq mendekati Hamna. Dia turut mencangkung di hadapan Hamna.
“ Kau ni kenapa?” soal Isyraq dengan nada serius.
“ Mata aku sakitlah, bebal. Ini semua kau punya pasallah. Balingkan ulat gonggok, habis habuk masuk mata aku,” marah Hamna.
Dia cuba mengelipkan matanya beberapa kali. Tetapi pedihnya tetap sama.
“ Alah, sikit je. Itu pun nak manja…” ucap Isyraq tanpa perasaan. Dia mencebik. Namun, dalam hatinya turut simpati apabila melihat mata Hamna yang sudah berair.
“ Sudahlah, lebih baik kau pergi buat kerja. Tinggalkan aku sorang!” Hamna menghalau. Buat menyemak je ada depan aku. Bukannya boleh tolong pun. Dasar mamat tak ada perasaan, hati batu, bebal! Semua sumpah seranah terbit dalam hati Hamna.
Dia cuba menggosok matanya sekali lagi tetapi suara Isyraq menghalang  dia untuk berbuat demikian.
“ Tak payahlah tenyeh mata tu sampai nak tercabut aku tengok. Kena sikit pun dah nak kecoh. Meh sini aku tolong,” ujar Isyraq cuba berlembut.
“ Apa yang kau boleh tolong? Tolong menyibuk bolehlah!” tekan Hamna lagi dengan nada geram.
Isyraq buat muka sakit hati. Dia mengetap bibir. Eh, minah ni, aku nak tolong patutnya dah bersyukur. Sekali aku cepuk, mahu jadi gendut seumur hidup. Bebel hati Isyraq.
“ Kau ni banyak bunyilah. Aku cungkil bijik mata tu baru tahu!” balas Isyraq geram.
Hamna terdiam. Dia menyentuh matanya dengan hujung jari.
“ Tangan tu boleh duduk diam tak? Tangan kau tu kotor, sentuh mata nanti masuk pulak kuman. Jadi benda lain pulak. Ish, kau boleh tak buat sesuatu tu guna otak?!” bebel Isyraq.
“ Habis tu aku buat sesuatu tak guna otaklah?” bidas Hamna geram. Dia mengancip gigi.
“ Tak. Sebab itu kau tak ada otak!” balas Isyraq selamba.
Hamna tidak berpuas hati. Dia menjeling benci.
“ Sudah! Aku malas nak cakap lebih. Sekarang kau buka mata kau luas- luas,” arah Isyraq.
Hamna tersentak. Dia memandang wajah Isyraq penuh tanda tanya.
“ Nak buat apa?” soal Hamna lagi.
“ Ikut jelah!” tekan Isyraq. Dia menjengilkan matanya.
“ Yelah- yelah…”
Lantas, Hamna membuka matanya dengan luas lalu Isyraq mendekatkan sedikit wajahnya ke wajah Hamna. Dengan perlahan- lahan mata gadis itu ditiup supaya habuk yang melekat di dalam mata gadis itu hilang.
Hamna terkebil- kebil dengan perlakuan Isyraq yang tiba- tiba bertukar menjadi pelik. Matanya dan mata Isyraq bertentangan. Terasa segala pedih di matanya hilang dengan sendiri. Hatinya pula yang terasa semacam. Apa dah jadi erk?
Isyraq yang tersedar daripada perbuatannya hanya mampu menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Reaksi Hamna yang terkebil- kebil membuatkan Isyraq kehilangan kata. Akhirnya dia turut menentang pandangan mata itu dengan penuh tanda tanya. Apa yang aku buat tadi?
Kedua insan itu membisu. Masing- masing tidak mengerti apa yang terjadi pada hati mereka. Akhirnya, Isyraq berlalu tanpa sebarang kata. Hamna pula hanya membisu seribu bahasa Cuma hatinya saja yang berdetak tidak tentu  arah.

HAMNA siap melakukan kerjanya tepat pukul tiga petang. Selepas kejadian tadi, dia terus mendiamkan diri. Langsung tidak bertegur sapa dengan Isyraq apatah lagi nak bergaduh seperti biasa. Tiba- tiba saja dia rasa tidak selesa apabila berhadapan dengan Isyraq. Teringat renungan mata lelaki itu yang menusuk ke jantungnya, hampir semput nafas Hamna dibuatnya.
Dia berlalu ke dalam stor untuk mengambil beg sandangnya. Setelah segalanya selesai, Hamna berlalu meninggalkan kawasan kolej untuk ke gerai yang berada di hadapan kolejnya. Rasa dahagalah pula. Bisik hatinya.
Sewaktu dia ingin melintas jalan, tiba- tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dengan pantas, Hamna menyeluk saku dah cuba mengeluarkan telefon bimbitnya yang berdering sehingga membingitkan telinga Hamna. Namun, Hamna tidak menyedari yang dia sudah berada di tengah- tengah jalan raya sedangkan dia masih tergopoh- gapah ingin mengeluarkan telefon bimbit.
Kelihatan sebuah kereta meluru laju membelah jalan raya menuju ke arah Hamna yang masih terkial- kial membuka zip beg sandangnya. Dia tidak sedar bahaya yang datang apatah lagi pemandu kereta itu sedang asyik bermain dengan telefon.
Kereta Proton Wira berwarna hitam itu semakin mendekat. Hamna masih lagi berada di tengah jalan raya. Kereta itu semakin mendekat dan mendekat, akhirnya…..
“ Hoi, kau nak mati ke??!!” jerit satu suara kuat.
Hamna dapat rasakan tubuhnya seakan melayang apabila terasa lengannya ditarik dengan kasar sehingga dia hampir menyembah tanah. Bunyi hon yang kuat menyebabkan Hamna berdebar- debar. Dia menggigil ketakutan.
“ Kau ni apahal? Kalau nak berkhemah, jangan tengah- tengah jalan raya. Nak mati sangat ke?” marah suara itu lagi.
Hamna menarik tangannya. Dia cuba mententeramkan hatinya yang berdebar. Dia mengurut dada sebelum mendongak. Isyraq? Dia ke yang selamatkan aku?
Isyraq membalas pandangan Hamna dengan wajah yang tegang. Hampir tercabut nyawanya tadi apabila melihat kereta yang begitu hampir melanggar tubuh Hamna yang berdiri di tengah jalan raya. Agaknya apa yang gadis itu fikirkan sampaikan kereta yang meluru laju tidak disedari.
“ Apasal tengok aku? Tak pernah jumpa orang sekacak aku?” soal Isyraq selamba.
Hamna mencebik. Kacak apanya? Macam cicak tokek je aku tengok. Tapi kenapa dia baik sangat tolong selamatkan aku, padahal aku ni musuh dia. Tak sangka jahat- jahat dia ada juga sikap keperimanusiaan .  Siapa dia yang sebenarnya ya? Desis hati Hamna.
“ Kacak lagi kambing gurun,” balas Hamna selamba.
Tanpa ucapan terima kasih, Hamna mengatur langkah untuk berlalu setelah hatinya kembali tenang.
Melopong Isyraq memandang  Hamna yang ingin berlalu pergi.
“ Terima kasih sebab selamatkan aku,” ejek Isyraq dengan suara yang dibuat- buat seperti Hamna.
Hamna menepuk dahi. Hampir dia terlupa untuk berterima kasih pada lelaki itu. Nak cakap ke tidak? Nak cakap ke tidak? Dia berkira- kira.
Isyraq menanti ucapan itu keluar daripada mulut Hamna namun agak lama dia menanti tetapi Hamna hanya membisu. Gadis itu melangkah tanpa berkata apa- apa.
‘ Terima kasih sebab dah selamatkan aku.’ Bisik hati Hamna sebelum berlalu pergi.
Isyraq terasa hatinya berdenyut secara tiba- tiba. Dia menyentuh dadanya.
‘ Sama- sama…’ balas hatinya tidak semena- mena.



2 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.