Tetamu Rindu

Monday 15 September 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 7 )



TAN SRI SYED UMAR menjeling isterinya yang baharu melangkah masuk ke dalam kamar mereka. Wajah wanita itu keruh tidak seperti selalu. Tan Sri Syed Umar hanya membiarkan isterinya itu duduk di meja solek tanpa berkata apa- apa pun. Dia sudah penat menasihati isterinya yang tidak pernah mahu mendengar dan mengikuti arahannya. Biarlah wanita itu dengan caranya.
Keluhan yang terbit dari bibir Puan Sri Sharifah Mastura membuatkan Tan Sri Syed Umar mendongak. Dia merenung isterinya yang duduk tidak jauh daripadanya.
“Kenapa dengan you ni? I tengok lain macam je hari ini. Selalunya tengah malam baru you balik, sekarang baru pukul 10,” sinis Tan Sri Syed Umar sambil matanya masih tertacap pada buku yang di baca.
“Siapa I dalam hati you, Umar?” soal Puan Sri Sharifah Mastura tiba- tiba. Wajahnya kelihatan mendung. Sedangkan Tan Sri Syed Umar tersentak mendengar soalan Puan Sri Sharifah Mastura yang agak pelik di pendengarannya.
“Apa you merepek ni?” soalan di balas soalan.
“I tanya siapa I dalam hati you? Takkan itu pun you tak boleh jawab!” suara Puan Sri Sharifah Mastura mula meninggi dan mula menengking Tan Sri Syed Umar. Dia bingkas bangun.
Tan Sri Syed Umar tersentak. Dia turut bingkas berdiri.
“Yang you tanya soalan pelik- pelik dekat I ni kenapa? You isteri I takkan  you dah lupa?” jawab Tan Sri Syed Umar dengan nada yang masih lembut.
“Isteri? I cuma isteri di mata you? Sebanyak mana cinta you pada I, Umar? Banyak mana?” soal Puan Sri Sharifah Mastura bertubi- tubi.
Tan Sri Syed Umar mula bingung dengan sikap isterinya malam ini. Wanita itu kelihatan lain daripada biasanya. Selama ini belum pernah Puan Sri Sharifah Mastura bertanyakan perihal cintanya pada wanita itu tetapi malam ini seolah- olah wanita itu menginginkan sebuah jawapan yang pasti dan memang Tan Sri Syed Umar tidak dapat memberikan jawapan yang tepat kerana dalam hatinya tiada sekelumit cinta pun untuk isterinya itu.
“Kenapa you diam Umar? You pasti tak dapat jawab soalan I yang senang tu kan? Macam mana you nak jawab kalau dalam hati you memang tak pernah cintakan I. Betul tak, Umar?” soal Puan Sri Sharifah Mastura lagi selepas tiada jawapan daripada suaminya.
“Sebenarnya I cuba untuk cintakan you selepas kita berkahwin tetapi I tak mampu kerana cinta I bukan untuk you, Mas. I terlanjur mencintai wanita lain malah I sudah mencintai dia sebelum kita berkahwin. Perkahwinan kita ni bukan kehendak I tapi mama I yang suruh I kahwin dengan you sebab nak halang I berkahwin dengan Soleha, cinta hati I. I minta maaf kalau kata- kata I ni menyakiti hati you,” ujar Tan Sri Syed Umar berterus terang.
Tan Sri Syed Umar cuba memegang bahu isterinya namun tangannya di tepis kasar. Dia melihat wanita itu menangis dan meraung.
“Kalau you tak cintakan I kenapa you bertahan untuk hidup dengan I? kenapa you sanggup menghabiskan masa you hidup dengan orang yang you tak cinta? Kenapa you sanggup buat semua ni pada I, Umar? Kenapa?” Puan Sri Sharifah Mastura mula mengongoi.
“I bertahan dengan perkahwinan ini semata- mata kerana tanggungjawab dan janji I pada Soleha untuk menerima you sebagai isteri I..”
Argh! Asyik-asyik Soleha.Cantik sangatkah perempuan tu sampaikan you sanggup tolak I?” Suara Puan Sri Sharifah Mastura kedengaran lantang. Wajahnya sudah bertukar bengis.
“I tak pernah cintakan Soleha kerana kecantikannya kerana dia adalah wanita yang sangat sederhana, I cintakan dia sebab dia seorang yang merendah diri dan dalam hatinya penuh dengan cinta yang I tak pernah dapat daripada you Mas.
You terlalu pentingkan kecantikan sampaikan you abaikan I. I tak pernah rasa punya isteri sebab you selalu bersama dengan kawan- kawan you. Pada you, I akan tergila- gilakan you kalau you cantik dan seksi tapi itu adalah sebaliknya Mas. I tak pandang semua tu tapi sayang you tak pernah cuba nak buka pintu hati I untuk merasakan cinta you,” ucap Tan Sri Syed Umar panjang. Dia memegang dadanya yang terasa sakit.
“Jadi you nak salahkan I bila I tak beri perhatian pada you? Huh, hakikatnya you yang tak pernah lupakan perempuan sial tu dari hidup you! You ingat I tak tahu yang you ada agenda you sendiri kan dengan anak perempuan tu.You ingat I bodoh Umar, you nak kahwinkan anak kita dengan anak perempuan yang tak guna tu kan? You jangan nak bermimpi di siang hari, I takkan benarkan cita- cita you yang bodoh tu tercapai!” tengking Puan Sri Sharifah Mastura.
Tan Sri Syed Umar tersentak. Macam mana dia tahu?
“Tiada siapa yang dapat halang apa yang I nak buat. Jika dulu you yang jadi penghalang cinta I dan Soleha, I takkan biarkan you halang impian I untuk satukan Ary dan Fiya,” ucap Tan Sri Syed Umar dengan tegas. Dia menentang wajah isterinya yang tajam memandang wajahnya. Sudah hilang sinar kasih di mata itu cuma yang tinggal sinar dendam yang semakin membuak.
Puan Sri Sharifah Mastura melangkah setapak untuk berhadapan dengan suaminya yang sekarang cukup dibenci sepenuh hati. Lelaki itu telah menciptakan luka pada hatinya yang setia selama ini. Dia membalas pandangan mata itu dengan berani.
“Kalau pun impian you tercapai, I akan pastikan yang anak kekasih kesayangan you tu akan menderita selagi I hidup!” ucap Puan Sri Sharifah Mastura penuh dendam. Jari telunjuknya di luruskan tepat ke muka Tan Sri Syed Umar.
“You jangan nak apa- apa kan Fiya. I tak benarkan you sentuh dia walau sikit pun…”
“Kenapa you takut dia mati macam mana kekasih you yang dah mampus tu!”
“Mas!!” jerit Tan Sri Syed Umar.
Dia mengangkat tangan. Hampir sahaja dia menampar wajah cantik Puan Sri Sharifah Mastura namun disebabkan rasa sabar yang masih bersisa menghalang dia menyentuh wajah itu.
Puan Sri Sharifah Mastura terkesima dengan tindakan Tan Sri Syed Umar. Selama ini belum pernah Tan Sri Syed Umar berkasar dengannya tetapi malam ini lelaki itu telah berani ‘mengangkat tangan’ semata- mata ingin membela kekasih hati yang sudah tiada di dunia lagi.
“I tak pernah jumpa lelaki yang sedayus you, Umar. You dah jadi suami orang tapi masih mencintai perempuan lain. I benci you Umar! Benci!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura.
Tan Sri Syed Umar ingin membalas namun tiba- tiba dia merasakan jantung cukup sakit. Dia memegang dadanya dengan telapak tangan. Dahi Tan Sri Syed Umar berpeluh- peluh menahan rasa yang semakin mencengkam dadanya. Dia menarik nafas panjang cuba mententeramkan dadanya yang berombak. Tidak lama kemudian Tan Sri Syed Umar jatuh terjelepok di lantai.
“Umar!!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura yang terkejut melihat Tan Sri Syed Umar yag terjatuh di lantai. Lantas dia mendapatkan Tan Sri Syed Umar. Dia cuba menggoncangkan bahu suaminya namun hanya kedengaran nafas lelaki itu sahaja yang berombak kasar.
“Umar bangun Umar! Ary! Ary! Papa kamu pengsan!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura dengan nada cemas.
Puan Sri Sharifah Mastura masih lagi menjerit memanggil nama suaminya namun Tan Sri Syed Umar hanya kaku di ribaannya. Hanya air mata Puan Sri Sharifah Mastura yang bercucuran menangisi keadaan suaminya yang terbaring kaku.

SYED ARYAN mengenggam tangan papanya yang terbaring di katil hospital. Sejak dia membawa Tan Sri Syed Umar ke hospital, papanya itu masih belum sedarkan diri. Menurut doktor yang merawat, Tan Sri Syed Umar mengidap penyakit jantung yang telah berada di tahap yang kritikal dan mungkin tidak dapat di selamatkan.
Sungguh berita itu seolah- olah membawa separuh nafas Syed Aryan pergi. Tidak sampai beberapa bulan dia berada di Malaysia, dia perlu menghadapi ujian ini. Dia masih belum puas bermanja dengan papanya itu. Ya Allah, jangan kau ambil papaku sebelum aku dapat membalas segala jasanya. Bisik hati Syed Aryan. Dia sebak.
Tiba- tiba jari jemari Tan Sri Syed Umar bergerak- gerak membuatkan Syed Aryan tersentak. Dia mendongak memandang wajah Tan Sri Syed Umar. Mata papanya bergerak- gerak sebelum terbuka luas. Lalu, Syed Aryan mendekatkan wajahnya ke wajah Tan Sri Syed Umar apabila dia melihat papanya seperti ingin mengatakan sesuatu.
“Mana yang lain, Ary?” soal Tan Sri Syed Umar sedikit lemah. Suaranya kedengaran perlahan cukup didengari oleh Syed Aryan.
“Mama dan Muzamil ada dekat luar. Mak Milah dengan Wafiya pun ada tunggu papa dekat luar,” Ujar Syed Aryan lembut.
“Papa rasa masa papa dah sampai, Ary. Papa harap Ary boleh jaga diri dan boleh jaga mama selepas papa tak ada. Ary je harapan dunia dan akhirat papa. Papa sayang sangat pada Ary…”
“ Papa, apa yang papa cakapkan ni? Papa takkan pergi ke mana- mana, Ary dengan mama akan jaga papa sampai bila- bila dan Ary nak papa tahu yang Ary tersangat sayang pada papa. Ary akan cari pakar yang dapat mengubati penyakit papa. Percayalah pada Ary, papa…” Syed Aryan mula menitiskan air mata.
Tan Sri Syed Umar menggelengkan kepalanya. Perlahan- lahan telapak tangannya memegang pipi anak tunggal kesayangannya itu. Tiada siapa yang dapat menghalang kehendak takdir yang memintanya untuk meninggalkan dunia ini jika itu sudah tercatat dalam kitab takdir.
“Mungkin masa papa dah sampai untuk mengadap Ilahi. Papa redha sebab untuk kali terakhir papa boleh melihat wajah Ary. Ary adalah anak kesayangan papa dan satu- satunya harapan papa, sebelum papa pergi boleh Ary tunaikan satu impian papa yang telah lama papa pendamkan?” soal Tan Sri Syed Umar dengan sayu. Setitis air matanya mengalir membasahi pipi tuanya.
“Apa dia papa? Ary akan lakukan apa saja asalkan papa bahagia,” Syed Aryan memintas. Dia mengucup tangan papanya yang sedang tersenyum hambar. Kepala Syed Aryan diusap lembut.
Lama Tan Sri Syed Umar merenung raut wajah Syed Aryan yang kacak. Bola mata yang hitam cair itu kelihatan berair menahan air mata daripada gugur. Tan Sri Syed Umar tahu Syed Aryan cuba menyembunyikan rasa sedih dengan mempamerkan senyuman manis di hadapannya. Kalau boleh di putarkan waktu Tan Sri Syed Umar tidak mahu meninggalkan keluarganya namun mungkin ini noktah hidupnya.
“Ary tolong panggilkan Fiya..”
“Fiya? Kenapa papa nak jumpa Fiya?” soal Syed Aryan bertalu. Dahinya berkerut. Tan Sri Syed Umar tersenyum nipis.
“Ary tolong panggilkan Fiya dulu baru papa jelaskan,” ujar Tan Sri Syed Umar. Dia terbatuk kecil.
“ Papa okey tak ni? Okey- okey, Ary panggilkan Fiya sekarang,”
Lantas, Syed Aryan bingkas bangun dan menuju ke luar bilik untuk memanggil Wafiya. Tidak lama kemudian, Syed Aryan kembali semula ke sisi Tan Sri Syed Umar dengan diikuti oleh Wafiya yang ayu berbaju kurung dan bertudung putih. Tan Sri Syed Umar tersenyum melihat kedua insan tersebut. Alangkah indahnya jika dia dapat melihat mereka berdua disatukan sebelum dia menutup mata.
“Fiya, duduklah. Uncle nak cakap dengan kamu berdua sikit,”
Wafiya melabuhkan punggungnya di kerusi di sebelah Tan Sri Syed Umar manakala Syed Aryan melabuhkan duduknya di sisi Tan Sri Syed Umar. Dia masih tertanya- tanya mengapa Tan Sri Syed Umar mahu berjumpa dirinya dan Wafiya. Apa kaitan Wafiya dengan keluarga mereka?Walhal Wafiya hanya pembantu rumah saja.
“Papa tahu Ary pasti tertanya- tanya kenapa papa nak jumpa dengan Ary dan Fiya kan?” tanya Tan Sri Syed Umar seolah- olah mengerti apa yang berada di fikiran Syed Aryan. Syed Aryan mengangguk sedangkan Wafiya hanya mendiamkan diri.
“Sebelum papa pergi, papa nak Ary tahu yang Fiya bukan setakat pembantu rumah kita saja tapi dia adalah anak kawan papa dan juga anak angkat papa. Papa sayang pada Fiya seperti mana papa sayangkan Ary dan Amil. Tapi bukan itu yang papa nak cakap cuma papa harap Ary dapat menerima dan mengambil Fiya sebagai isteri Ary…”
Syed Aryan dan Wafiya tersentak. Mereka berpandangan namun dengan pantas Wafiya menundukkan pandangan apabila matanya bertentangan dengan Syed Aryan. Dadanya sedikit berdebar dengan permintaan Tan Sri Syed Umar yang tiba- tiba.
“Papa apa yang papa cakapkan ni? Takkan papa nak Ary kahwin dengan Fiya. Tak masuk akal papa,” bantah Syed Aryan dengan nada yang lembut.
“Fiya bukan sahaja anak kawan papa malah dia anak kepada wanita yang papa cintai sebelum papa berkahwin dengan mama Ary. Disebabkan arwah ibu Fiya, papa banyak berubah ke arah kebaikan, Ary. 30 tahun yang lepas, papa telah berjanji dengan arwah ibu  Fiya jika anak papa lelaki dan anak dia perempuan, papa akan satukan anak- anak kami dalam ikatan pernikahan. Papa nak Ary tunaikan satu itu sahaja permintaan papa, kahwini Fiya supaya papa tenang kalau papa dah tak ada nanti,” ujar Tan Sri Syed Umar. Dia terbatuk- batuk. Nafas yang dihela kedengaran agak berat.
Syed Aryan mula risau melihat keadaan papanya seolah- olah susah untuk bernafas. Dia mendekatkan wajahnya ke arah Tan Sri Syed Umar yang memejamkan mata. Kemudian, Syed Aryan memandang pula pada Wafiya yang sedang menangis. Takkan aku nak terima dia jadi isteri pula?
“Papa, Ary dah ada pilihan Ary sendiri papa. Kalau papa nak Ary kahwin boleh tapi Ary kahwin dengan Sharifah Akyra. Papa pun tahu kan pasal itu,” Syed Aryan membalas. Dia mengenggam tangan Tan Sri Syed Umar berharap agar papanya mengerti.
Tan Sri Syed Umar mengalih pandangan pada laman wajah Fiya yang suram. Kata- kata Syed Aryan tidak dibalas. Sedikit sebanyak hatinya kecewa dengan penolakan Syed Aryan yang terang- terangan.
“Kenapa Fiya menangis?” soalnya.
“Fiya sayangkan uncle. Fiya dah tak ada sesiapa lagi kalau uncle pergi. Maafkan kesalahan Fiya kalau kehadiran Fiya dalam keluarga uncle menyusahkan keluarga uncle,” ujar Wafiya tersedu- sedu. Dia tidak sanggup lagi melihat satu lagi pemergian orang yang disayanginya. Walaupun Tan Sri Syed Umar menganggapnya sebagai anak angkat, tapi kebaikan Tan Sri Syed Umar memang tidak akan Wafiya lupakan sehingga akhir nafasnya.
“Fiya jangan cakap macam tu, Fiya tak pernah menyusahkan uncle sebab uncle yang mencari Fiya untuk tunaikan janji uncle pada ibu Fiya tapi sayang, anak uncle sendiri tak nak penuhi janji itu. Tak mengapa Fiya uncle tetap gembira sebab uncle dapat jumpa Fiya untuk kali terakhir,”
“Papa jangan cakap macam tu, bukan Ary tak nak tunaikan janji papa tapi…” ucap Syed Aryan risau apabila mendengar suara papanya yang seakan berjauh hati.
“Sudahlah Ary, papa tak boleh nak paksa Ary. Ary dah besar dan Ary boleh buat keputusan Ary sendiri. Biarlah papa pergi…”
Tan Sri Syed Umar cuba menarik nafas panjang namun dadanya terasa sesak dan sakit. Ya Allah, adakah masaku telah sampai? Setitis air mata Tan Sri Syed Umar menitis ke pipi. Seakan terlihat wajah Soleha yang tersenyum di hujung kakinya.
Syed Aryan serba salah. Dia meraup wajahnya berulang kali. Dia tidak mahu papanya pergi dan dia tidak mahu mengecewakan papanya tetapi untuk menikahi Wafiya bukan pilihannya. Tapi apa lagi pilihan yang aku ada?
“Papa jangan macam tu, papa. Baiklah Ary akan penuhi impian papa. Ary akan menikahi Fiya sekarang juga di hadapan papa. Ary nak papa tengok sendiri Ary menikah dengan Fiya,” pantas sahaja Syed Aryan membuat keputusan.
Wafiya terkejut. Pantas dia mendongak memandang Syed Aryan cuba meminta perjelasan daripada lelaki itu namun lelaki itu lebih memberi perhatian pada Tan Sri Syed Umar tanpa meminta pendapatnya terlebih dahulu. Tetapi di waktu yang genting ini tiada siapa yang dapat membuat keputusan dengan akal yang waras. Wafiya faham sebagai anak pasti Syed Aryan ingin memberikan yang terbaik untuk papanya begitu juga Wafiya. Dia juga ingin membalas jasa baik Tan Sri Syed Umar yang menjaganya selepas dia melarikan diri daripada kampung.
“Tuan Ary saya nak bincang sikit…” pinta Wafiya lembut membuatkan Syed Aryan berpaling padanya.
Syed Aryan memandang sejenak pada Tan Sri Syed Umar yang mengangguk tanda membenarkan Syed Aryan berbincang dengan Wafiya. Akhirnya Syed Aryan mengikuti langkah Wafiya yang menuju ke tepi tingkap.
“Ada apa?” tanya Syed Aryan sedikit kasar namun diperlahankan agar tidak didengari oleh papanya.
“Saya rasa tuan tak patut setuju dengan permintaan uncle sebab itu akan membebankan tuan nanti. Saya akan cuba jelaskan pada uncle tentang perkara ini,” ujar Wafiya dengan lemah lembut. Pandangannya ditundukkan dari memandang wajah Syed Aryan yang berdiri bertentangan dengannya. Dia tidak sanggup dipanah dengan mata yang tajam itu.
“Kau nak jelaskan apa lagi? Papa nak sangat tengok aku kahwin dengan kau. Kau faham tak? Papa aku tengah sakit sekarang dan dia tidak mahu dengar sebarang penjelasan daripada sesiapa pun saat ini dan aku tak mahu kau cakap apa- apa lagi. Aku nak kau kahwin dengan aku disebabkan papa aku. Aku tak nak papa kecewa dengan aku dan kau,” balas Syed Aryan tegas. Suaranya diperlahankan seolah berbisik pada Wafiya.
Wafiya menelan air liur. Ketegasan Syed Aryan membantutkan niat Wafiya untuk melawan. Akhirnya, dia mengangguk setuju membuatkan Syed Aryan tersenyum. Syed Aryan melangkah ke arah Tan Sri Syed Umar yang menanti dengan penuh sabar. Dia melabuhkan duduk di sisi papanya yang sedang tersenyum manis membuatkan Syed Aryan serba salah untuk menolak kemahuan papanya.
“Ary dan Fiya setuju untuk bernikah, papa. Ary harap papa gembira,” ujar Syed Aryan buat- buat senyum.
“Alhamdulillah…” ucap Tan Sri Syed Umar sambil meraup wajahnya yang pucat. Akhirnya impian dan janjinya telah tertunai. Soleha, abang dah tunaikan janji kita. Semoga kita berjumpa di sana. Bisik hati Tan Sri Syed Umar sambil memejamkan mata. Rapat.
“Papa…papa…papa..” panggil Syed Aryan apabila melihat papanya tidak berkata apa- apa. Nafasnya juga tidak kedengaran membuatkan Syed Aryan cemas. Dia melihat mesin hayat yang di sebelah papanya. Tidak bergerak hanya mengeluarkan bunyi yang Syed Aryan tak gemari. Tak mungkin! Tak mungkin!
“ Papa!!!”




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.