Tetamu Rindu

Friday 29 August 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 4 )



“MANA janji kau nak bayar hutang aku, hah??” Pekik John di telinga Malik.
Dua lagi orangnya memegang kolar baju Malik yang lembik akibat di belasah mereka. Itulah, orang berjudi dia pun nak berjudi. Bila kalah, hutang sana hutang sini. Sekarang ada hati mahu lari. Ini John, tiada siapa boleh lepas daripada cengkaman aku.  Detik hati John bangga.
“Tolonglah, John. Nanti aku ada duit, aku bayarlah. Buat masa sekarang ni aku tak ada duit lagi.” Rayu Malik. Sambil memegang mulutnya yang pecah akibat ditumbuk oleh kuncu- kuncu John kerana melarikan diri.
“Nak bayar kepala bapak kau! Dah dekat sebulan aku tunggu tapi kau tak jugak bayar. Kalau tahu tak mampu nak bayar jangan nak berhutang dengan aku!” Jerit John lagi.
John menggerakkan kening pada anak buahnya. Serentak dengan itu satu tumbukan padu mendarat di muka dan perut Malik. Darah terhambur daripada mulutnya.
“Maafkan aku, John. Aku janji aku akan bayar…”
“Kau nak bayar dengan apa, bangsat?!” Tanya John kasar. Perut Malik disepak dengan kakinya.
Malik mengerang kesakitan. Rasa seperti mahu tercabut nyawa daripada badannya. Dia perlu lakukan sesuatu agar John menghentikan perbuatannya. Kalau diikutkan hatinya ingin sahaja dia menjerit meminta pertolongan namun dia tahu sekarang orang kampung sedang mencari dirinya kerana dituduh membunuh Soleha.
Jadi dia membuat keputusan untuk bersembunyi di kebun getah jauh di hujung kampung. Tetapi dia tidak menduga bahawa geng John akan mencarinya sampai ke sini. Kalau dibiarkan terus mesti dia mati dikerjakan oleh John. Si lintah darat yang tidak berperikemanusiaan.
“Tunggu dulu, John. Aku ada tawaran untuk kau kalau kau henti pukul aku.” Tahan Malik.
Dia cuba untuk berdiri walaupun keadaannya hampir nazak. Selepas dirinya stabil sedikit dia meludah sisa- sisa darah yang terkumpul dalam mulutnya. Boleh patah gigi aku ni.
“Tawaran apa pulak ni? Kau jangan nak main- main dengan aku, Malik. Aku bunuh kau kang!” Ugut John dengan mata merah menyala menahan kemarahan.
“Ini tawaran baik punya. Aku bagi pada kau sorang je.” Malik masih berbasa basi. Dia tersenyum penuh makna.
Yelah, apa dia bodoh?!”
“Macam ini, aku ada anak tiri. Bini aku dah mati jadi kau boleh angkat dia, kau jual dia dekat ibu ayam ke bapak ayam ke aku tak kira, janji hutang aku dengan kau kira langsai macam mana?” Malik mula mengatur langkah untuk melepaskan diri walaupun nyawa dan maruah orang lain tergadai.
Terbayang di matanya wajah anak tirinya, Wafiya yang sangat disayangi oleh arwah isterinya. Tidak dapat dibayangkan jika Soleha dapat melihat anak kesayangan dan kebanggaannya menjadi pelacur jalanan. Sememang itu yang Malik mahu lihat kerana anak gadis itu berani mencabarnya.
“Tapi itu anak kau, kan?” John masih pelik.
“Anak tiri. Tak ada kena mengena pun dengan aku. Tapi yang aku boleh jamin dia masih dara. Kau boleh buat apa yang kau suka. Amacam?”
Lama John berfikir sebelum dia menghulurkan tangan pada Malik. Bagaikan ternampak duit- duit bertaburan di ruang fikirannya jika dia menjual anak dara kampung kepada bapak- bapak ayam di ibu kota.
“Aku setuju. Kalau aku berjaya jual dia, anggap sahaja hutang kau lunas. Tapi kalau aku tak dapat dia, nyawa kau jadi taruhan. Faham?!” Tegas John.
Malik mengangguk dalam kepayahan. Senyuman dilemparkan tetapi pahit. Ini antara hidup dan mati. Wafiya harus dijual!


MALAM yang masih muda membuatkan  Wafiya menggunakan masa yang ada untuk menjahit dengan menggunakan mesin jahit peninggalan arwah ibunya. Mesin inilah satu- satunya kenangan Soleha sewaktu dia masih hidup. Dengan mesin jahit ini juga Soleha mengambil tempahan daripada orang kampung bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.
“Fiya walaupun kita miskin dengan harta, ingat kita kena jaga maruah kita. Tambahan pula kita ini perempuan. Jangan kita jadi fitnah bagi kaum Adam. Kalau ibu dah tak ada nanti, pandai- pandailah Fiya bawak diri. Kehormatan sebagai wanita jangan diabaikan dan jangan sesekali Fiya abaikan perintah Allah. Setiap ujian yang datang ada rahmat sebaliknya.”
Nasihat Soleha sambil tangannya lincah mengunting kain yang ingin dibuat baju kurung. Wafiya yang mendengar hanya mengangguk tanda mengerti. Dia tidak menyangka nasihat itu adalah kali terakhir dapat dia dengar sebelum ibunya kembali mengadap Ilahi. Mungkin Allah lebih sayangkan ibu. Lagipun daripada- Nya kita datang, kepada- Nya kita kembali. Itulah hidup manusia.
Namun, ketenangan Wafiya malam itu diganggu dengan bunyi hempasan pintu yang kuat. Wafiya tersentak. Habis terbang segala ingatannya pada ibu tersayang. Spontan bulu romanya tegak. Jantungnya berdetak pantas. Memandangkan hanya dia seorang yang tinggal di dalam rumah ini, ketakutan mula menguasai diri.
“Siapa tu?” Tanya Wafiya menggeletar. Lantas dia berdiri menuju ke ruang tamu.
“Aku!” Muncul Malik di hadapan Wafiya dengan wajah yang lebam- lebam. Mungkin lepas dibelasah. Fikir Wafiya.
Wafiya kaget. Ya Allah, lindungilah hamba-Mu ini. Rintih hati kecilnya yang ketakutan.
“Ayah..buat ap..a dekat sini?” Tanya Wafiya tergagap- gagap.
“Berapa kali aku cakap pada kau, aku bukan bapak kau. Kau ni tak faham bahasa ke?” Marah Malik.
Namun dia tidak menunggu balasan daripada Wafiya sebaliknya dia meluru masuk ke dalam bilik Wafiya dan menyelongkar segala baju Wafiya dan dimasukkan ke dalam beg. Dia sudah nekad untuk menjual Wafiya pada John. Dia mahu hidupnya bebas daripada segala hutang.
Wafiya terkesima dengan kelakuan Malik. Dia terkejut melihat Malik mengisi segala pakaiannya ke dalam beg. Satu pun yang tak tertinggal. Apa yang dia nak buat ni? Hati Wafiya kalut.
“Ayah nak buat apa ni?” Tanya Wafiya takut- takut berani.
“Hari ini kau ikut aku. Aku nak bawak kau jumpa John?”
“John? Lintah darat tu?” Tanya Wafiya terkejut.
Malik mengangguk. Wafiya masih lagi terpaku di tempat dia berdiri. Dia kenal dengan John. John adalah lintah darat yang paling kejam di kampungnya malah John juga adalah bapak ayam yang kerjanya menjual gadis- gadis pada bapak- bapak ayam yang lain untuk dijadikan pelacur. Takkan aku masuk dalam senarai juga? Hatinya merintih.
“Ayah nak buat apa bawa Fiya jumpa dia? Fiya tak nak ikut!” Tegas Wafiya berani.
“Kau jangan nak melawan aku! John ada kerja nak bagi pada kau. Gajinya tinggi. Kerja bukan berat pun. Nanti hidup kau jugak senang.” Malik memujuk.
“Ayah ingat saya bodoh! Macamlah saya tak tahu kerja yang ayah maksudkan itu adalah pelacur. Ayah ingat saya ni tak ada maruah ke apa? Saya takkan ikut ayah. Lebih baik saya mati dari ikut cakap ayah!” Bangkang Wafiya lantang. Dia menentang wajah Malik dengan berani. Wajah lelaki itu sudah merah menyala.
“Kau ni dah pandai melawan kan? Memang nak kena dengan aku! Aku cakap ikut, maknanya ikutlah!” Tengking Malik.
Lantas, tanpa perasaan dia mencengkam tangan Wafiya lalu mengheret Wafiya hingga ke luar rumah. Walaupun tangan Wafiya kejap memegang tangga namun Malik tetap tidak berhati perut. Wajah Wafiya yang lembut ditampar berulang kali agar gadis itu melepaskan pautan tangannya yang bergayutan di tangga.
“Ikut aku! Jangan nak membantah!” Jerit Malik.
“Tak nak! Lepaskan saya!” Wafiya turut menjerit. Dia berharap agar ada orang yang datang menyelamatkannya.
“Kau ni memang degil, kan? Sebijik macam ibu kau yang dah mampus tu!” Malik berkata kasar.
Menangis Wafiya mendengar kata- kata kesat yang Malik lemparkan pada ibunya yang telah meninggal dunia. Wafiya tidak kira, kali ini dia akan berjuang untuk menyelamatkan maruah daripada di gadai oleh jantan yang tidak berguna ini. Wafiya meronta untuk melepaskan diri.
Namun, Malik tidak peduli akan rontaan Wafiya. Malah tubuh genit itu direntap kasar dan di heret di atas tanah. Dia tidak peduli akan kesakitan yang dirasai oleh Wafiya.
“Hoi, Malik. Kau nak bawak Fiya ke mana tu?!” Laung satu suara dengan lantang.
Malik menghentikan perbuatannya. Dia berpaling. Cis, Hamzah!
“Kau jangan sibuk urusan aku, Hamzah! Baik kau berambus!”
“Kau tu yang berambus! Lepaskan Fiya, dasar pembunuh!” Jerit Hamzah lantas meluru ke

arah Malik.
Malik melepaskan cengkaman tangan Wafiya. Dia bersedia untuk meghadapi Hamzah yang terkenal dengan ilmu persilatan. Tetapi itu tidak membuatkan Malik gentar. Mereka bertarung dan bergelut sedangkan Wafiya kelihatan lemah dan tidak bermaya. Tubuhnya tidak mampu untuk menampung kesakitan yang hebat itu. Hidung dan bibirnya mengeluarkan banyak darah. Apakah ajalku sudah tiba, Ya Allah?
“Fiya, bangun Fiya..” Panggil suatu suara menyedarkan Wafiya daripada mamainya.
Matanya dibuka sedikit.
“Mak Yam…” Ujarnya tidak berdaya.
“Ya, Fiya kena kuat. Mak Yam nak Fiya lari dari sini. Cepat sebelum Malik bertindak lebih ganas. Pak Hamzah kamu itu tak mampu bertahan lama. Cepat lari. Ini duit buat bekal untuk kamu!”
Mak Yam tiba di saat perbalahan antara Hamzah dan Malik. Dia perlu membantu anak gadis ini. Dia tidak mahu anak jirannya ini terus terseksa jika tinggal di kampung ini. Pantas seledang yang tersarung di kepala di hulurkan pada Wafiya.
Wafiya menyambutnya. Lantas, tanpa berlengah Wafiya berdiri dan mencapai beg pakaiannya dan berlari sepantas mungkin. Walaupun kakinya sakit tetapi itu tidak menghalang Wafiya untuk melepaskan diri. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan maruahnya dapat diselamatkan.
“Fiya, kau nak lari ke mana tu?!” laung Malik.
Buat kali terakhir dia melepaskan tumbukan di perut Hamzah membuatkan lelaki itu jatuh tersungkur. Mungkin kerana faktor usia dia tidak dapat bertahan lama. Terbatuk- batuk Hamzah dek penangan Malik. Akhirnya dia hanya mampu melihat Malik mengejar Wafiya yang telah jauh melarikan diri. Semoga Allah menyelamatkan anak gadis yang malang itu.

“FIYA, jangan lari!” Jerit Malik lantang.
Laju sahaja kakinya mengejar Wafiya yang jauh meninggalkannya menuju ke jalan besar. Dia tidak boleh membiarkan Wafiya terlepas begitu sahaja kerana dia telah berjanji dengan John untuk membawa Wafiya malam ini juga. Jika janji itu tidak ditepati, nyawanya yang akan menjadi galang gantinya.
Wafiya tidak mengendahkan laungan Malik. Dia tetap mempercepatkan langkahnya agar dia dapat meninggalkan Malik jauh di belakang. Nasib baik dia seorang pelari pecut di sekolah menengah dahulu boleh juga dia menggunakan kelebihan itu untuk menyelamatkan diri. Walaupun dia merasakan kakinya bagaikan ingin tercabut kerana terlampau laju berlari. Sesekali dia memandang ke arah belakang bimbang Malik dapat menyainginya.
Namun, nasib Wafiya memang malang. Sebaik sahaja dia sampai di jalan utama tiba- tiba ada sebuah kereta daripada arah depan menuju laju ke arahnya tanpa sempat Wafiya mengelak dan akhirnya…
“Aaaaaa…” jeritan Wafiya bergema.
Astaghfirullah-al-azim. Kenapa Mil?” Tanya Tan Sri Syed Umar apabila secara tiba- tiba Muzamil menghentikan keretanya.
Dahi Muzamil mengeluh. Air liur di telan berkali- kali. Aku langgar orang ke tadi?
“Amil rasa, Amil terlanggar orang ayah.” Ujar Muzamil masam- masam kelat wajahnya.
What? Jom kita tengok.” Ajak Tan Sri Syed Umar cemas.
Akhirnya, kedua lelaki itu keluar daripada kereta dan melangkah ke bahagian hadapan kereta. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalan raya.
“Ya Allah, ayah. Apa yang dah Mil buat ni? Mil dah langgar orang!” Muzamil cemas. Dia membetulkan cermin matanya yang seakan mahu terjatuh daripada hidungnya.
“Bawa bertenang, Mil. Ayah rasa budak ini tidak apa- apa. Mungkin dia pengsan.” Tan Sri Syed Umar menenangkan Muzamil yang kegelisahan.
Tan Sri Syed Umar menundukkan badan dan melutut untuk memeriksa anak gadis yang kaku di atas jalan itu. Jari telunjuk diletakkan di hidung gadis itu. Masih bernafas. Alhamdulillah. Bisik hati Tan Sri Syed Umar.
Dia meneliti wajah gadis itu yang pengsan. Wajah itu penuh dengan kesan luka dan lebam. Apa yang terjadi kepada gadis ini? Kenapa gadis ini terburu- buru berlari ke arah jalan raya sehingga membuatkan Muzamil hampir terlanggarnya? Benak Tan Sri Syed Umar tertanya-tanya.
Kemudian matanya teralih pada beg pakaian gadis itu yang terdampar di sisi. Gadis ini lari daripada rumah ke? Hatinya tertanya lagi. Tan Sri Syed Umar memandang ke kiri dan kanan. Tiada orang yang lalu lalang yang boleh diminta pertolongan. Takkan nak dibiarkan sahaja gadis ini di tempat yang sunyi seperti ini. Akan parah jadinya nanti.
“Mil, tolong ayah angkat budak ni. Kita hantar dia ke hospital. Ayah tengok dia macam cedera je. Lepas dia sedar, kita hantar dia balik rumahnya semula.” Tan Sri Syed Umar bersuara.
Muzamil hanya mengangguk. Mereka tiada pilihan saat ini.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.