Tetamu Rindu

Friday 7 December 2012

Digari Cinta (Bab 5)


BUNYI bising di Pasar Besar Kuantan tidak menganggu tumpuan Arisya untuk mencari sayur- sayuran yang dipesan oleh ibunya tadi. Arisya menghentikan langkah di gerai yang menjual pelbagai jenis sayur.

“ Ibu nak sayur apa ek?” Arisya bercakap sendiri. Dia menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan telefon bimbit.

Namun, perbuatan Arisya terhenti apabila dia terlihat dari kejauhan Hajah Khadijah sedang memilih sayur- sayuran. Bakal mak mentua ku! Jerit hati Arisya. Dia tersengih sendirian. Lalu, Arisya menapak untuk menegur Hajah Khadijah tetapi kehadiran seorang lelaki yang cukup dikenalinya itu mematikan langkah Arisya. Alamak, dia buat apa pulak kat sini?

Dengan pantas dia menyorok wajahnya di sebalik petai- petai yang bergantungan. Mak cik penjual sayur tu memandangnya dengan pandangan pelik melihat tingkah Arisya yang kelihatan agak pelik. Arisya hanya melebarkan sengihannya. Dia mengangkat dua jarinya. Peace!

Mata Arisya masih lagi mengawasi gerak- geri Hajah Khadijah dan lelaki itu. Nasib baik mereka berdua tidak perasan kehadirannya di situ jadi senanglah Arisya menjadi pemerhati dari jauh.

Arisya memerhatikan tingkah lelaki itu membantu Hajah Khadijah memilih sayur- sayuran. Dia melihat wajah lelaki itu cukup tenang. Senyuman lelaki itu yang ikhlas membuatkan hati Arisya bagaikan cair. Selama ini dia tidak pernah melihat lelaki itu tersenyum seperti itu. Gaya lelaki itu yang lembut dalam melayani Hajah Khadijah membuatkan Arisya terasa seperti ada sesuatu yang menjentik hatinya.

“ Aris, kalau kau nak pilih lelaki buat suami lebih baik kau pilih lelaki yang hormat dan sayangkan ibunya sebab kalau dia hormat ibunya jadi secara tak langsung dia akan hormat perempuan lain,” bunyi suara Salma terngiang- ngiang di telinga Arisya.

Arisya tersedar daripada lamunan saat dia melihat Hajah Khadijah mengatur langkah untuk keluar daripada pasar tersebut. Dari kejauhan dia melihat lelaki itu mengambil segala barang- barang yang di bawa oleh Hajah Khadijah, persis anak yang soleh. Bukan persis malah lelaki itu anak yang soleh kalau tak macam mana dia boleh bersetuju untuk berkahwin dengan aku sedangkan dia sendiri tak kenal aku. Hati Arisya berbisik. Ish, rasa semacam pulak hati aku ni tengok layanan dia pada mak dia. Muka boleh tahan, hormat orang tua, agama pun boleh tahan. Semuanya ada kriteria suami idaman aku. Arisya berangan.

Akhirnya dia berlalu pergi tanpa membeli apa- apa. Setiap langkahnya hanya memikirkan lelaki itu saja. Bahagia ke aku nanti hidup dengan dia? Selama aku kenal dengan dia, tak pernah pun dia cakap baik- baik dengan aku. Asyik menyinga je kerja dia. Aku tahulah dia polis tapi aku bukan penjenayah, cakap baik- baik takkan tak boleh kut.

Tapi kenapa ibu dengan abah suka sangat dengan lelaki tu erk? Apa istimewanya dia di mata ibu dan abah sampaikan setuju dia jadi menantu mereka. Aku kena terjah ni. Benak hati Arisya berkata- kata lantas menuju ke motorsikal untuk pulang ke rumah.

 

PUAN ALIANA memandang anak perempuannya dengan pandangan pelik. Matanya jatuh pada tangan Arisya yang kosong tanpa membawa apa- apa barang. Tadi aku suruh dia beli sayur, tapi dia boleh balik dengan selamba je.  Bertuah punya anak perempuan.

“ Aik Aris mananya pucuk paku yang ibu mintak beli. Tak ada pun…” tegur Puan Aliana sambil memandang wajah Arisya yang kelihatan seperti orang kebingungan.

Arisya tidak membalas kata- kata Puan Aliana sebaliknya dia menarik kerusi di dapur dan duduk sambil tangannya menopang dagu memandang Puan Aliana. Hatinya membuak- buak untuk bertanya lebih lanjut tentang lelaki itu pada ibunya.

“ Ibu, kenapa ibu suka sangat dengan Uzair tu? Apa bagus sangat ke dia tu bu?” soal Arisya tiba- tiba.

Puan Aliana melongo. Lain ditanya lain pulak yang di jawab oleh Arisya sebaliknya dia pulak yang disoal.

“ Kenapa tiba- tiba Aris nak tahu sangat ni? Selama ini Arisya tak pernah kisah pun tentang bakal menantu ibu tu,” balas Puan Aliana sambil menyibukkan diri mencuci ayam di singki.

“ Saja je ibu, Aris nak jugak kenal siapa bakal suami Aris nanti taklah Aris terkial- kial bila kahwin dengan dia,” jawab Arisya selamba.

“ Kenapa Aris tak kenal dengan dia terus je?”

“ Tak naklah ibu, lebih afdal kenal melalui orang lain apatah lagi ibu kita sendiri,” jawab Arisya petah.

Puan Aliana tersenyum manis. Tak sangka Arisya berminat juga nak mengenali Uzair. Ini berita baik ni. Selama ini Arisya hanya menayang muka selamba apabila dia dan suami bertanya pendapat tentang Uzair tetapi sekarang anaknya itu dengan rela hati nak mengenali Uzair.

“ Uzair tu anak kedua Mak Cik Dijah kau dan Pak Cik Yusuf kau. Sebelum- sebelum ni Mak Cik Dijah kau cakap, Uzair tu tak mahu berkahwin walaupun uminya sendiri nak carikan calon tapi kali ni tak tahu kenapa dia bersetuju nak kahwin. Dia pernah ada pengalaman buruk dengan perempuan sebab itu dia serik nak berkenalan dengan perempuan. Mak Cik Dijah kau cakap, Uzair tu sebenarnya pemalu dengan perempuan sebab itulah dia pilih kerjaya sebagai polis. Itu yang Mak Cik Dijah kau cakaplah,” terang Puan Aliana panjang lebar. Dia memandang sekilas ke arah Arisya yang terangguk- angguk.

  Habis tu macam mana pulak ibu boleh setuju untuk terima Uzair tu jadi menantu ibu. Ibu bukan kenal dia sangat pun,” provok Arisya.

“ Sebenarnya ibu dah lama kenal dengan keluarga Uzair tu, kamu je yang tak tahu. Ibu dan umi Uzair tu kawan baik. Ibu dah kenal Uzair sejak kecil lagi masa tinggal kat kampung dulu sampailah kami berpindah ke bandar ni hah. Ibu tengok Uzair tu baik budaknya, sangat hormatkan umi dan ayah dia. Berbudi bahasa, lembut je bila bercakap dengan umi. Yang paling ibu berkenan, walau sesibuk mana pun dia bekerja di KL dulu, setiap seminggu sekali mesti dia balik melawat umi dan ayah dia. Uzair tu memang lelaki yang bertanggungjawab Aris, beruntung Aris dapat bakal suami macam tu,” ucap Puan Aliana.

Arisya terdiam sebentar sambil memikirkan apa yang Puan Aliana cakapkan. Apa yang Puan Aliana khabarkan itu memang terbukti. Dengan mata kepalanya dia melihat sikap Uzair dalam melayani uminya tadi. Cukup sopan dan lembut. Arisya dapat rasakan yang tiba- tiba hatinya terpaut dengan budi bahasa Uzair.

“ Ibu, Aris naik atas dululah…” ujar Arisya lemah.

Tanpa menunggu balasan daripadan Puan Aliana, Arisya bingkas bangun dan mengorak langkah mendaki tangga. Dia merebahkan badan di atas katil. Kedua tangannya di letakkan di atas dahi. Kemudian dia teringatkan sesuatu lantas dia kembali berdiri dan mengorak langkah menuju ke meja solek. Sebuah diari berkulit hitam dikeluarkan sambil dia duduk bersila di atas katil.

Helaian demi helain di selak kemudian tangannya terhenti di satu muka surat yang tertulis, “ Ciri- ciri lelaki idaman”. Arisya tersenyum.

“ Ciri- ciri lelaki idaman aku, yang pertama mestilah soleh, yang kedua sedap mata memandang, yang ketiga hormatkan ibu bapa dan yang terakhir mestilah seorang yang hormatkan perempuan. Hmmm…agak- agak Uzair memenuhi citarasa aku ke tak?” Arisya bercakap sendirian. Dia mengetuk dagunya sendiri.

“ Dari segi rupa bolehlah lepas walaupun tak hansome macam Shah Rukh Khan tapi ada iras- iras Shahid Kapoor. Kira bolehlah. Nak cakap dia soleh, mungkinlah. Tapi yang penting dia memang sangat hormatkan umi dan ayah dia. Tengok cara dia layan umi dia, aku rasa memang dia seorang yang berbudi bahasa tapi bila dengan aku bukan main kasarnya dia. Mungkin sebab aku kasar dengan dia kot. Hmmm…tak sangka lelaki yang aku cari semuanya ada pada dia,” ucap Arisya sendirian. Dia tergelak seorang.

 

TEPAT pukul 5.30 petang, Arisya menunggu tunangnya seperti yang telah dijanjikan namun batang hidung lelaki itu masih belum kelihatan. Arisya mengeluh kecil. Dia melabuhkan punggung di bangku yang mengadap tasik kecil buatan manusia di taman rekreasi tersebut. Angin sepoi- sepoi meniup lembut wajah Arisya.

“ Assalamualaikum…” sapa satu suara membuatkan Arisya berpaling.

Kelihatan Uzair yang lengkap berpakaian seragam polis berdiri di hadapannya. Kacak! terdetik perkataan itu di hati Arisya melihat Uzair yang tegap berdiri tanpa segaris senyuman. Dia ingat aku kisah sangat dengan senyuman dia tu. Sombong betullah bakal suami aku ni. bebel Arisya.

“ Wa’alaikummusalam. Lambatlah awak ni. dekat sejam saya tunggu awak.” Bohong Arisya.

Uzair mencebik. Nak auta akulah tu. Macamlah aku tak nampak dia baru sampai. Memang perangai macam budak- budak.

“ Baguslah, saya memang nak awak tunggu lama pun. Biar padan dengan muka awak,” balas Uzair selamba.

Arisya mengetap gigi. Suka betul dia cari pasal dengan aku. Tak mengapa, aku masih banyak masa nak kenakan dia. Kalau aku tempeleng mamat ni, jangan tanya kenapa. Sakit betul hati aku dengan perangai sombong dia ni.

“ Eiii…bercakap dengan awak ni memang boleh naikkan darah saya je. Hah, awak nak jumpa saya buat apa?” tanya Arisya kasar. Dia sudah malas mahu bertikam lidah dengan Uzair yang tidak pernah mahu mengalah.

“ Saya nak kita batalkan perkahwinan kita….” Ujar Uzair.

“ Apa?!” hampir Arisya terjerit. Bukan hampir malah dia sudah pun menjerit kuat. Dia bingkas berdiri dan mengadap Uzair yang menayang muka tak ada perasaan.

Uzair menutup telinganya dengan kedua belah telapak tangan. Sakit telinganya mendengar jeritan Arisya. Kenapa perempuan suka sangat menjerit?

“ Awak tak payah nak menjerit. Bukannya saya nak bunuh awak. Saya Cuma nak kita batalkan perkahwinan kita ni je. Saya pasti awak akan setuju kan?”

“ Siapa cakap saya setuju? Ada awak nampak muka saya ni, muka setuju ke?” tanya Arisya sambil menunjukkan ke arah mukanya.

“ Maksud awak apa?”

“ Maksud saya ASP Uzair, saya tak setuju kalau awak nak batalkan perkahwinan ni. Ada faham?” tekan Arisya.

“ Apa? Tak nak batalkan? Tapi kenapa?!” giliran Uzair pula yang menjerit. Dia terkejut dengan keputusan Arisya. Kenapa tak nak batalkan? Kenapa?! jerit hati Uzair geram.

“ Saya ada sebab yang tersendiri…”

“ Tapi buat apa kita berkahwin kalau awak dan saya tak pernah sehati sejiwa…”

“ Memanglah kita tak pernah sehati sejiwa, hati awak kat awak, hati saya kat sayalah. Tu pun jadi masalah ke?” balas Arisya selamba. Dia tidak peduli akan wajah Uzair yang telah berubah merah. Marah ke geram tu?

Uzair mengecilkan matanya memandang Arisya yang kelihatan halus di matanya. Nasib baik kau masih haram untuk aku, kalau kau adik aku, dah lama aku sekeh- sekeh kepala kau budak kecik!

“ Susah betul kan cakap dengan budak kecik macam awak ni. Bukannya nak faham. Saya tak nak kahwin dengan awak. Kalau sebelum berkahwin asyik nak bergaduh, apatah lagi bila dah kahwin lagi. Saya yakin  awak tentu tak nak kahwin dengan saya kan?

“ Inilah kalau dah fikir terlampau matang sangat. Saya akan tetap kahwin dengan awak sebab saya dah berjanji dengan ibu dan abah saya. Abah saya pun dah setuju jika saya berkahwin dengan awak ayah akan jadikan saya pengurus di restoren seperti yang saya mahukan dan saya akan lakukan apa saja asalkan cita- cita saya tercapai walaupun terpaksa berkahwin dengan mamat sengal macam awak,” balas Arisya bersahaja. Dia berpeluk tubuh sambil menentang wajah Uzair yang kelihatan kelat.

Uzair terkesima. Jadi dia nak berkahwin dengan aku semata- mata untuk memenuhi cita- cita dia bukannya sebab dia memang rela hati nak kahwin dengan aku. Inilah sebabnya kenapa aku benci sangat pada kaum Hawa ni. Suka mengambil kesempatan dalam kesempitan!

“ Awak sanggup kahwin dengan saya semata- mata nak kejar cita- cita awak? Apa jenis perempuan awak ni?”

“ Jenis yang tulenlah. Takkan palsu pulak…” potong Arisya bersahaja. Dia tersengih.

Uzair meraup wajahnya yang kelihatan. Sakit betul hatinya bercakap dengan gadis seperti Arisya.

“ Awak tak boleh buat keputusan ikut suka hati awak je Inspektor Uzair, awak kena fikirkan umi dan ayah awak. Ibu dan abah saya. Mereka betul- betul nak kita bersatu. Kalau ikutkan saya, memang saya tak nak kahwin dengan mamat sengal menyakitkan hati macam awak ni, tetapi bila saya fikirkan ibu dan abah saya, saya turutkan juga. Kalau awak bencikan saya, itu hak awak sebab saya tak halang pun untuk awak sukakan saya malah saya tak harap pun Cuma saya nak kita teruskan hajat ibu bapa kita sebab dengan cara ini saja kita sebagai anak boleh bahagiakan mereka,” sambung Arisya serius.

Uzair terdiam. Kata- kata Arisya kali ini ada benarnya juga. Kalau dia memutuskan perkahwinan ini tentunya hubungan keluarganya dan keluarga Arisya akan renggang sedangkan mereka sekeluarga sudah berkawan rapat sejak tinggal di kampung lagi. Uzair juga tidak mahu memutuskan silaturrahim kedua keluarga tersebut. Tapi, bagaimana dengan perasaannya saat ini? Dia memang tak dapat menerima Arisya sebagai isterinya.

“ Awak tak fikir masa depan awak? Saya tak mungkin boleh bahagiakan awak sebab saya benci pada perempuan,” balas Uzair. Dia merenung wajah Arisya yang tersenyum sinis.

“ Masa depan saya adalah keluarga saya. Saya tak harap pun awak bahagiakan saya sebab saya dah bahagia dengan kehidupan saya dan saya rasa saya tak perlu kasih sayang awak tu. Awak simpanlah kasih sayang awak tu pada orang lain. Saya Cuma perlu berkahwin dengan awak je,” ucap Arisya seperti orang yang tiada perasaan.

Uzair terkesima. Biar betul perempuan ni? Dia tak kisah kalau aku tak boleh beri kasih sayang aku pada dia, maknanya senanglah hidup aku. tak perlu aku peningkan kepala fikirkan pasal perempuan. Kadang- kadang, dia ni bagus jugak walaupun perangai macam budak kecik.

“ Baiklah, kalau itu yang awak mahukan. Saya tak kisah sebab saya dah jelaskan semuanya. Awak jangan menyesal kahwin dengan saya sebab saya memang tak boleh terima awak. Saya nak awak tahu yang saya setuju untuk kahwin dengan awak adalah sebab ibu bapa kita. Jangan sesekali awak ungkit kenapa saya tak boleh terima awak,” Uzair membuat keputusan.

Dia rasakan inilah keputusan yang terbaik. Sekurang- kurangnya dia merasa lega kerana dapat berterus- terang dengan Arisya tentang perasaannya yang benci pada perempuan supaya gadis itu tidak menyoalkan kemudian hari.

“ Ada pulak kan saya kisah awak boleh terima saya ke tidak. Awak bercakap macam saya jatuh cinta pada awak. Sorry ya Inspektor Uzair, jatuh cinta pada awak adalah perkara yang tidak mungkin saya lakukan. Awak jangan risau saya ni kalis cinta dan tak percaya pada cinta cintun yang mengarut tu. Awak jangan risau, awak boleh teruskan dengan pendirian awak dan saya akan tetap dengan pendirian saya,” tegas Arisya tersenyum.

Uzair terdiam. Dia tidak menyangka ternyata Arisya seperti dirinya juga. Cuma bezanya Arisya tidak percaya pada cinta sedangkan dia tidak percaya pada perempuan. Bagaimana mereka ingin melayar bahtera rumahtangga jika masing- masing mempunyai pegangan yang tersendiri?

 

2 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.