Tetamu Rindu

Monday 15 September 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 9 )



SYED ARYAN mundar mandir di hadapan Puan Sri Sharifah Mastura yang duduk bersandar sambil memeluk tubuh di sofa dalam bilik bacaan yang selalu Tan Sri Syed Umar  gunakan semasa hayatnya.
“Macam mana ni mama takkan kita nak biarkan perempuan tak guna tu bermaharajalela dalam rumah kita sendiri. Ary tak sanggup nak mengadap muka dia hari- hari,” ujar Syed Aryan sambil menggigit jari.
Puan Sri Sharifah Mastura melepaskan keluhan kuat.
“Habis tu apa yang mama boleh buat kalau dah itu arwah papa kamu nak. Papa sendiri yang tulis wasiat tu dan wasiat tu sah di sisi undang- undang. Kita kena ikut walaupun terpaksa,” balas Puan Sri Sharifah Mastura tegang.
“Ary tak dapat terima mama. Tak dapat terima langsung yang perempuan kampung tu jadi mem besar dalam rumah ni,”
Syed Aryan menggelengkan kepalanya. Dia meraup wajahnya yang kegelisahan apabila mengenangkan yang dia hanya menumpang di dalam rumahnya sendiri.
“Itu Ary jangan bimbang mama akan buat dia menyesal kerana masuk dalam keluarga kita. Dasar perempuan tak sedar diri. Dahlah budak kampung ada hati nak rampas harta keluarga kita. Apa kata Ary ceraikan saja perempuan tu dan selepas itu kita halau dia dari rumah ni,” Puan Sri Sharifah Mastura memberi cadangan. Dia berdiri dan menepuk bahu anak tunggalnya itu.
Syed Aryan terdiam sebentar. Cerai? Kemudian dia menggeleng- gelengkan kepala.
“Ary rasa ceraikan dia bukan selesaikan masalah tapi menambah masalah. Kalau Ary ceraikan dia sekalipun, kita tetap tak boleh halau perempuan tu dari rumah ni sebab arwah papa dah tetapkan syarat hanya selepas enam bulan baharu perempuan tu boleh keluar atau tukar hak milik mama,” balas Syed Aryan.
Ye tak ye jugak. Memang dasar perempuan tak guna. Apa yang dia dah bagi pada papa sampaikan papa sanggup berikan rumah ni pada dia? Mama memang sakit hati dengan perempuan tu. Sebab itu mama tak suka kamu berkawan dengan golongan bawahan tengoklah apa yang jadi. Kita bagi dia tempat tinggal, sekarang dia yang pijak kepala kita. Habis tu apa yang kamu nak buat dengan perempuan tu?”
“Ary tak nak ambil tahu pasal dia. Mama uruskan dia ikut suka hati mama. Ary tak nak ambil kisah,” ucap Syed Aryan dengan muka tak ada perasaan.
Puan Sri Sharifah Mastura tersenyum penuh makna. Memang itu yang dia mahukan. Dia akan membuat Wafiya tidak betah tinggal di rumah itu. Dulu cinta mak kau yang merampas suami aku sekarang aku takkan berdiam diri dengan membiarkan kau merampas harta aku, Fiya. Kalau aku tak dapat balas dendam pada mak kau, jadi kau yang harus terima balasan akibat perbuatan mak kau yang tak guna itu. Bisik hati Puan Sri Sharifah Mastura penuh dengan dendam kesumat dan apa yang pasti dia tidak akan melepaskan Wafiya sebelum gadis itu membayar harga sakit hatinya.

“TOLONG Puan Sri lepaskan saya. Sakit Puan Sri!” rintih Wafiya dengan air mata yang lebat mengalir di pipi.
Dia cuba melepaskan genggaman tangan Puan Sri Sharifah Mastura yang kuat mencengkaman rambutnya. Dia mengadu kesakitan tetapi Puan Sri Sharifah Mastura bertindak dengan lebih ganas dengan menampar pipinya berkali- kali.
“Tahu sakit. Hati aku yang sakit kau tak tahu. Kalau tak sebabkan janji laki aku dengan mak kau, aku takkan dapat menantu sampah macam kau ni. Dulu mak kau menggatal dengan laki aku dan sekarang kau berangan nak jadi mem besar dalam rumah ni. Lebih baik kau cermin muka kau tu sikit atau kau tak pernah cermin muka kau selama ni. Mari sini aku tunjuk muka kau biar kau sedar diri!” herdik Puan Sri Sharifah Mastura lagi.
Dengan tidak berperikemanusiaan, Puan Sri Sharifah Mastura menarik rambut Wafiya dan mengheret tubuh kurus itu ke hadapan cermin. Dia menunja-nunjal kepala Wafiya supaya gadis itu berdiri di hadapan cermin. Apabila Wafiya sudah berdiri, Puan Sri Sharifah Mastura menarik kepala Wafiya ke belakang sedikit supaya kepala Wafiya tegak memandang ke arah cermin.
“Kau pandang muka kau tu betul- betul, sesuai tak dengan anak aku yang kacak tu. Kau sedar tak kau tu tak ubah macam sampah di mata Ary malah kau lebih murah daripada pelacur di jalanan. Kau tak payah nak berangan nak duduk dalam mahligai yang indah ni. Budak kampung macam kau ni patut sedar diri, dahlah busuk, kotor ada hati nak jadi anak raja!” tambah Puan Sri Sharifah Mastura dengan kasar. Tanpa belas dia terus menghina Wafiya yang sudah menangis teresak- esak.
Wafiya terus- terusan menangis. Remuk redam hatinya apabila dicaci dan dicerca sedemikian rupa seperti dia tiada maruah dan harga diri. Ya Allah, kepada-Mu hamba berserah. Tolonglah hamba-Mu ini. Rintih hati Wafiya bersama tangisan dan kesakitan.
“Saya tak mintak Tan Sri berikan rumah ini pada saya, Puan Sri. Maafkan saya Puan Sri jika saya ada buat salah pada Puan Sri tapi tolong lepaskan saya Puan Sri. Sakit…” rayu Wafiya lagi. Dia cuba meleraikan cengkaman tangan Puan Sri Sharifah Mastura di rambutnya tetapi semakin dia cuba semakin kuat Puan Sri Sharifah Mastura kuat.
“Kau nak aku lepaskan kau ye?”
Pantas Wafiya mengangguk dengan wajah yang berkerut. Dia cuba menahan kesakitan yang semakin membalut dirinya. Namun, tanpa di sangka- sangka, Puan Sri Sharifah Mastura menolak tubuh kurus Wafiya sehingga gadis itu jatuh tersungkur di atas lantai. Tubuhnya yang kurus di sepak sesuka hati oleh wanita yang tidak berperikemanusiaan itu.
“Rasakan kau dasar perempuan sundal, perempuan sial!” jerit Puan Sri Sharifah Mastura lagi.
Seperti dirasuk iblis, Puan Sri Sharifah Mastura memukul dan menyepak tubuh Wafiya dengan sesuka hatinya tanpa ada sedikit belas kasihan dalam hatinya yang bergelar wanita. Dia hanya inginkan kepuasan agar dendamnya terhadap Soleha terbalas.
Manakala Wafiya tidak dapat berbuat apa- apa. Dia hanya menahan kesakitan yang tidak bertepi. Dia hanya mampu mengerang kesakitan dan merayu agar tubuhnya yang lemah tidak terus menjadi mangsa pukulan Puan Sri Sharifah Mastura. Namun, semakin dia merayu, semakin kuat habuan yang diterima daripada Puan Sri Sharifah Mastura. Wafiya hanya mampu berserah bersama air mata yang tidak berhenti mengalir mengenangkan nasib diri yang diperlakukan seperti binatang.

MAK MILAH menjerit memanggil nama Wafiya dari luar bilik anak gadis itu. Dia tahu Puan Sri Sharifah Mastura telah melakukan sesuatu pada Wafiya kerana dia mendengar jeritan suara gadis itu merayu pada Puan Sharifah Mastura.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.