Tetamu Rindu

Monday 15 September 2014

Pewaris Takhta Cinta (Bab 6)



SUDAH seminggu Wafiya tinggal dan bekerja di rumah Tan Sri Syed Umar yang gah dan mewah seakan istana itu. Selepas tinggal dengan Tan Sri Syed Umar baharulah Wafiya tahu bahawa Tan Sri Syed Umar merupakan seorang usahawan yang berpangkat Tan Sri. Sikap Tan Sri Syed Umar yang merendah diri tidak menampakkan lelaki yang separuh umur itu seorang yang berpangkat.
Namun, keramahan Tan Sri Syed Umar tidak sama dengan isterinya Puan Sri Sharifah Mastura. Sejak pertama kali Wafiya melangkah kaki ke dalam rumah tersebut dia dapat melihat wajah kurang senang Puan Sri Sharifah Mastura mungkin kerana dia anak kampung yang tiba- tiba muncul bersama dengan Tan Sri Syed Umar.
Wafiya cuba bersikap sebaik mungkin untuk mengambil hati Puan Sri Sharifah Mastura namun jelingan wanita itu cukup membuatkan Wafiya kecut perut. Akhirnya Wafiya mengalah kerana dia tidak setaraf dengan wanita itu malah Puan Sri Sharifah Mastura tidak suka pembantu rumah dekat dengannya kerana bagi Puan Sri Sharifah Mastura pembantu rumah adalah orang kelas bawahan dan tidak layak untuk mendekati orang sepertinya.
Wafiya menggelengkan kepala. Kenapa perlu dibezakan antara pangkat dan darjat jika di akhirat nanti hanya amalan yang akan dihitung bukannya pangkat dan darjat? Di rumah itu hanya Wafiya dan Mak Milah sahaja yang bekerja sebagai pembantu rumah bersama dengan Pak Ismail selaku pemandu peribadi keluarga Tan Sri Syed Umar.
“Apa yang kamu menungkan tu, Fiya?” sapaan dari Mak Milah menyedarkan Wafiya daripada lamunan. Dia mendongak memandang Mak Milah dengan senyuman manis.
“Tak ada apa, Mak Milah. Tan Sri dah balik ke? Kenapa Fiya dengar macam bising- bising je dekat luar tu?” tanya Wafiya sambil menjengukkan kepalanya ke luar.
“Anak Tan Sri dari luar negara baru je sampai. Tan Sri panggil Fiya tadi. Pergilah,” ujar Mak Milah sambil mengeluarkan sayur- sayuran daripada peti sejuk.
“Anak Tan Sri? Muzamil maksud Mak Milah?” Dahi Wafiya berlapis.
Mak Milah tersenyum. Pasti Wafiya kebingungan apabila dia membicarakan perihal anak Tan Sri Syed Umar kerana anak tunggal Tan Sri Syed Umar jarang pulang ke Malaysia kerana menyambung pelajaran di luar negara.
“Muzamil bukannya anak Tan Sri yang sebenarnya. Amil tu cuma anak angkat je, Fiya. Anak tunggal Tan Sri selama ni tinggal di luar negara sambung belajar dekat sana. Sekarang dah tamat jadi baliklah dia ke Malaysia semula,” terang Mak Milah.
“Saya tak tahu pun pasal hal ni, Mak Milah. Saya ingatkan Amil tu anak Tan Sri,” ujar Wafiya sambil mengelap tangannya menggunakan tuala kecil.
Mak Milah hanya tersenyum nipis.
“Sudahlah, kalau kamu nak kenal anak Tan Sri kamu pergilah ke depan nanti Tan Sri bising kalau kamu tak muncul- muncul lagi,”
“Tapi saya malulah, Mak Milah..” balas Wafiya sambil menundukkan wajah.
“Nak malu apanya, Fiya?  Anak Tan Sri bukannya orang lain anak majikan kamu jugak,” ujar Mak Milah sambil menepuk bahu Wafiya. Mak Milah faham sangat dengan perangai Wafiya yang pemalu dan pendiam orangnya pasti agak kekok apabila berjumpa dengan orang yang asing bagi dirinya apatah orang itu adalah lelaki.
Tidak dapat tidak akhirnya Wafiya menurut kata Mak Milah. Dengan langkah yang tersusun dia berjalan menuju ke ruang tamu. Di ruang tamu dia melihat Tan Sri Syed Umar sedang berbual mesra dengan pemuda yang duduk bersandar di sofa membelakangkannya. Wafiya tercari- cari wajah lelaki itu namun hampa kerana lelaki tersebut sedang rancak berbual dengan Tan Sri Syed Umar.
“Assalamualaikum, Tan Sri panggil saya?” lembut suara Wafiya menghulurkan salam membuatkan Tan Sri Syed Umar terdiam sebentar dan berpaling.
Wa’alaikummusalam, eh Fiya mari sini uncle kenalkan dengan anak uncle. Pasti Fiya belum kenal lagi, kan?” ucap Tan Sri Syed Umar dengan ramah.
Wafiya tersenyum ramah namun dalam hatinya terasa berdebar- debar. Eh, kenapa pulak dengan jantung aku ni? Benaknya tertanya- tanya. Jantung Wafiya bertambah debar saat lelaki tersebut berpaling ke arahnya. Mata mereka bertentangan buat seketika sebelum Wafiya menundukkan pandangan. Dia dapat rasakan wajahnya berbahang panas. Entah apa yang terjadi pada hatinya saat memandang wajah lelaki itu. Kacak! memang itu Wafiya tidak nafikan.
“Fiya ini uncle kenalkan anak tunggal uncle, Syed Aryan Haidar dan Ary ini Wafiya Khadeeja,” suara Tan Sri Syed Umar mematikan renungan Syed Aryan terhadap Wafiya.
Syed Aryan berpaling wajah pada ayahnya semula. Dia tersengih apabila dia melihat ada senyuman yang tersungging di bibir Tan Sri Syed Umar. Entah kenapa dia bagaikan terpaku saat melihat gadis yang berdiri di belakangnya itu. Wajah itu lembut penuh keayuan dan keaslian wanita Melayu membuatkan hati Syed Aryan terdetik sesuatu tetapi rasa itu hilang di bawa angin lalu.
Err…siapa dia ni, papa?” tanya Syed Aryan sambil menunjukkan pada Wafiya.
Emm, Fiya ni anak kawan papa tapi ibu dan ayahnya dah meninggal dunia jadi sekarang ni Fiya tinggal dengan kita sebagai anak angkat papa dan pembantu rumah,” terang Tan Sri Syed Umar.
Syed Aryan hanya mengangguk. Sementara Wafiya masih lagi terasa kekok dengan kehadiran pemuda itu. Kenapalah anak Tan Sri ni lelaki? Aku dahlah fobia dengan lelaki. Gumam hati Wafiya.
“Tan Sri, kalau tak ada apa- apa lagi saya mintak diri ke dapur dulu nak siapkan makan tengah hari,” Wafiya bersuara selepas lama mendiamkan diri.
Tan Sri Syed Umar mendongak memandang wajah manis Wafiya kemudian dia mengangguk dan menghantar langkah Wafiya dengan pandangan matanya sebelum dia kembali memandang wajah anaknya yang kacak.
“Apa pendapat Ary tentang Fiya?” soal Tan Sri Syed Umar tiba- tiba. Dia tersenyum manis.
Syed Aryan tersentak. Lain macam saja soalan papa ni. Hatinya terdetik.
“Pendapat yang macam mana maksud papa?” soalnya kembali.
Yelah, apa sahaja pendapat kamu tentang Fiya,”
Syed Aryan mengerutkan kening. Apa yang boleh dikatakan pasal gadis bertudung yang baharu saja dikenalinya itu? Cuma hati kecil dapat mengatakan bahawa wajah itu sekadar sedap mata memandang.
“Dia okey je. Kenapa papa tanya Ary macam tu?” Syed Aryan masih lagi pelik dengan pertanyaan Tan Sri Syed Umar.
“Tak ada apa- apa. Papa saja je tanya kamu. So lepas ni apa plan kamu? Nak kerja terus atau nak buat apa?” Tan Sri Syed Umar mengalihkan topik perbualan.
Syed Aryan tersenyum.
“Ary rasa Ary nak rehat seminggu dan Ary nak melancong sekitar Malaysia sebelum Ary start kerja. Lagipun Ary rindu dengan Malaysia. Boleh ya papa Ary nak bercuti dulu?” pinta Syed Aryan manja.
Yelah-yelah papa benarkan janji lepas bercuti kamu kena bekerja dengan papa. Banyak kerja yang menanti kamu dekat office tu,” ujar Tan Sri Syed Umar membuatkan Syed Aryan tersenyum. Nampaknya bolehlah dia bercuti dengan kekasih hatinya sebelum memulakan tugas.
Tan Sri Syed Umar tersenyum puas melihat wajah gembira Syed Aryan. Dalam benaknya sedang memikirkan sesuatu. Sesuatu yang akan dilakukan semata- mata untuk menyambung cintanya yang tidak kesampaian.

MUZAMIL merenung wajah ayah angkatnya lama. Kata- kata Tan Sri Syed Umar membuatnya termenung seketika.
“Betul ke keputusan ayah ni?” soal Muzamil untuk kedua kalinya.
Tan Sri Syed Umar mengangguk dengan yakin. Apa yang diputuskan adalah untuk kebaikan syarikat dan keluarga mereka. Keputusan untuk melantik Syed Aryan sebagai pengarah baharu syarikat adalah keputusan yang terbaik kerana Tan Sri Syed Umar tidak tahu sampai bila dia harus bertahan dengan penyakit jantung yang di hidapinya sejak beberapa tahun dulu. Perkara itu di rahsiakan daripada Puan Sri Sharifah Mastura dan juga Syed Aryan. Dia tidak mahu keluarganya risau dengan keadaannya yang sudah berada di peringkat terakhir.
“Ayah rasa ini yang terbaik, Mil. Walaupun Ary fresh graduate tapi selepas ayah tengok cara dia bekerja untuk masa tiga bulan ni, ayah rasa Ary memang layak untuk ganti tempat ayah. Apa pendapat kamu?” soal Tan Sri Syed Umar sambil memandang tepat ke wajah Muzamil.
“Amil tak berhak untuk membantah keputusan ayah sebab ayah sudah pun membuat keputusan. Apa sahaja yang ayah putuskan Amil rasa adalah yang terbaik. Lagipun Amil pun rasa ayah perlu berehat,”
“Tapi sebelum Ary dilantik jadi pengarah, ayah rasa dia patut kahwin,” ujar Tan Sri Syed Umar tiba- tiba.
“Kahwin?” Muzamil terkejut.
“Haah untuk dia menjadi ketua syarikat dan mengendalikan syarikat dia perlukan seseorang untuk berada di belakangnya memberi kata- kata semangat dan dorongan. Ayah nak sangat tengok Ary berkahwin sebelum ayah menutup mata,”
Ucapan Tan Sri Syed Umar membuatkan Muzamil tersentak. Sejak kebelakangan ini, Tan Sri Syed Umar sering bercakap perkara- perkara yang pelik. Lelaki separuh abad itu acap kali menyebut tentang kematian. Memang tidak salah mengingati mati tetapi cara Tan Sri Syed Umar berkata- kata seolah- olah lelaki itu ingin pergi jauh.
“Ayah, kenapa ayah cakap macam ni? Ajal maut di tangan Allah dan insya- Allah ayah akan dapat tengok Ary kahwin lagipun takkan ayah tak tahu anak ayah tu dah ada girlfriend. Bila- bila masa ayah nak dia kahwin, Amil yakin dia akan ikut cakap ayah,” balas Muzamil dengan senyuman.
“Tapi ayah tak nak dia kahwin dengan Sharifah Akyra tu walaupun Kyra tu anak kawan ayah. Ayah tak berkenan dengan dia,” ujar Tan Sri Syed Umar dengan serius.
“Habis tu ayah nak Ary berkahwin dengan siapa?  Ayah dah ada pilihan untuk Ary ke?” soal Muzamil bertubi- tubi. Dia membetulkan duduknya dengan lebih tegak dan memberikan sepenuh perhatian pada Tan Sri Syed Umar yang sedang tersenyum penuh makna.
“Ayah rasa ayah dah ada calon untuk Ary. Orangnya manis, ayu, sopan santun, berbudi bahasa dan yang penting agama yang ada dalam diri dia membuatkan ayah terpikat untuk jadikan dia menantu ayah,” ujar Tan Sri Syed Umar bersungguh- sungguh dengan penuh semangat. Matanya bercahaya seolah- olah gadis itu adalah pilihan terbaiknya untuk dijodohkan dengan anak kesayangannya itu.
Muzamil mula memikirkan sesuatu berkenaan dengan ciri- ciri wanita yang ayahnya sebutkan tadi. Jangan- jangan…
“Siapa gadis itu ayah? Amil kenal ke?” Dada Muzamil mula berdebar- debar.
Of course Amil kenal. Ayah nak jodohkan Ary dengan Wafiya,” ucap Tan Sri Syed Umar dengan selamba.
Bagaikan halilintar kedengaran di telinga Muzamil apabila Tan Sri Syed Umar menyebut nama Wafiya. Dia terdiam seketika sebelum tersenyum hambar. Haruskah dia menutup lagi rasa hatinya yang kecewa dengan apa yang berlaku. Sewaktu cintanya mula berputik dalam diam buat Wafiya, ayahnya sudah merancangkan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran Muzamil.
“Tapi kenapa Fiya, ayah? Mil tak rasa yang Ary akan setuju,”
“Sebab Fiya adalah anak kepada Soleha dan ayah pernah berjanji pada Soleha dulu untuk menyatukan cinta ayah yang tidak kesampaian dahulu. Walaupun ayah tidak dapat memiliki Soleha sebagai isteri tapi cinta Soleha selalu di hati ayah dan ayah akan pastikan yang cinta ayah dan Soleha akan menyatu dengan bersatunya Wafiya dan Ary. Ayah tahu dan ayah pasti Ary akan menentang tapi kali ini tidak ada siapa yang akan dapat menghalang ayah daripada menjadikan Wafiya menantu ayah,” ucap Tan Sri Syed Umar tegas.
Muzamil menarik nafas panjang. Nampaknya dia terpaksa melupakan cintanya pada Wafiya buat selama- lamanya kerana impian ayah angkatnya adalah lebih penting. Tapi mampukah dia melupakan cinta pertama yang telah lahir di hatinya sejak terpandang wajah Wafiya buat kali pertama?

PUAN SRI SHARIFAH MASTURA menahan air mata yang hampir tumpah tatkala mendengar kata- kata yang terbit daripada mulut suaminya itu. Sungguh dia tidak percaya suami yang diharapkan memberikan kasih dan sayang tidak pernah mencintainya selama mereka berkahwin. Puan Sri Sharifah Mastura sedar selama mereka berkahwin tidak pernah sekalipun Tan Sri Syed Umar menyatakan cinta padanya. Pada permulaan Puan Sri Sharifah Mastura merasakan perkara itu biasa tetapi selepas mendengar segalanya baharulah dia sedar yang selama ini dia hanya memiliki jasad suaminya sahaja dan bukannya cinta.
Hati Puan Sri Sharifah Mastura sakit malah sakitnya seperti mencucuk- cucuk tangkai hatinya. Jadi selama ini gadis yang berada di dalam rumahnya itu adalah anak kepada bekas kekasih suaminya dulu. Begitu bijak Tan Sri Syed Umar menyembunyikan perkara itu daripada Puan Sri Sharifah Mastura sehinggakan dia percaya bahawa kehadiran Wafiya ke dalam keluarga itu hanya untuk menjadi pembantu rumah rupa- rupanya ada udang di sebalik batu.
Puan Sri Sharifah Mastura menyeka air matanya yang mengalir. Dia tidak perlu mengalah. Dia perlu menghalang rancangan Tan Sri Syed Umar untuk menjodohkan anak tunggalnya dengan perempuan kampung itu. Dia tidak sesekali membiarkan impian Tan Sri Syed Umar tercapai selepas hatinya di sakiti dengan begitu kejam tapi bagaimana caranya untuk menghalang rancangan itu?




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.