Tetamu Rindu

Monday 20 May 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 9 )


FIKA memandang Hamna yang tercungap- cungap menghampirinya. Dia mengerutkan kening sambil memandang jam di tangan. Lambat!
“ Kenapa kau lambat, Na? Nasib baik Cik Ummi tak masuk lagi?” soal Fika sambil memandang laman wajah Hamna yang sudah melabuhkan punggung disebelahnya. Kelihatan dahi gadis itu berpeluh.
“ Aku kena siapkan denda yang Encik Fakhri arahkan. Itu yang lambat tu. Mana Cik Ummi?” soal Hamna sambil menarik nafas panjang. Huh, penat betul terkejar- kejar nak pergi kelas. Nasib baik aku tak kena langgar tadi kalau tidak pasti aku ke hospital. Bisik hatinya apabila teringatkan peristiwa tadi. Nasibnya baik apabila diselamatkan oleh musuh ketatnya. Tanpa sedar dia tersenyum sendirian.
“ Yang kau tersenyum sorang- sorang ni kenapa?” soal Fika pelik.
Hamna tersentak lantas menggelengkan kepala.
“ Hmm…yelah tu,” ucap Fika tidak berpuas hati. Dia tahu pasti ada sesuatu yang gadis itu sembunyikan daripadanya. Melihat saja wajah Hamna yang kelihatan kemerahan itu pasti ada cerita yang dia tidak tahu.
Namun, senyuman Hamna mati apabila kelihatan Isyraq menolak daun pintu. Dia mendiamkan diri dan pura- pura mencari sesuatu  di dalam beg sandangnya. Jantungnya tiba- tiba saja berdegup saat terlihat kelibat lelaki itu.
“ Kau cari apa, Na? Bukan ke buku kau ada atas meja ni?” soal Fika pelik.
“ Hah?” Hamna terpinga- pinga. Dia tersengih apabila melihat buku Sistem Ekonomi Islam ada di atas meja. Masa bila pulak aku keluarkan buku ni? Soal hati Hamna sambil menggarukan kepalanya yang berlapik dengan tudung.
“Eh, eh, eh!” jerit Hamna apabila terasa tudungnya ditarik dari arah belakang. Nasib baik dia sempat memegang tudungnya kalau tidak pasti tercabut.
“ Kurang ajar!” jerit Hamna sambil memusingkan badannya ke belakang apabila terdengar suara orang ketawa.
Dia berdiri sambil mencekak pinggang. Wajah Isyraq yang selamba dipandang dengan rasa marah yang meluap- luap. Sesuka hati dia je tarik tudung aku. Aku tahulah dia tak pakai tudung, tapi yang sengaja nak cari pasal dengan aku tu kenapa? Tak cukup ke dia baling ulat gonggok dekat aku tadi? Agaknya mamat ni spesis yang tak suka tengok aku senang sikit. Bebel hati Hamna.
“ Korang tengok tu, muka dan macam muka makcik beranak sepuluh. Kita tengok eh Mak Cik Minah Gendut ni dah nak marahlah, takut tak kawan- kawan?!” ejek Isyraq selamba dengan ketawa kuat.
Zaim dan Redza sudah tergelak sambil bersorak dan turut serta mengejek Hamna. Kata- kata Isyraq mengundang geli di hati mereka.
Hamna mengetap bibir. Geram. Penumbuknya di kepalkan. Kalau boleh saat ini juga dia ingin menumbuk muka Isyraq yang menyakitkan hati itu.
“ Kau memang suka cari pasal dengan aku kan? Apa yang kau tak puas hati sangat ni? Aku ada kacau hidup kau ke?” Hamna membalas dengan kasar. Mencerlung matanya memandang wajah Isyraq yang tersenyum sinis.
“ Baru hari ni kau nak tanya? Aku ingat kau dah sedar diri!”
“ Bukan aku yang tak sedar tapi kau! Dasar lelaki tak guna!” balas Hamna geram.
Isyraq terpempan. Dia cakap aku tak guna? Hoi, kalau aku tak guna, tak adanya aku nak selamatkan kau daripada bahaya. Bukan sekali tapi dua kali aku selamatkan kau! Balas Isyraq Cuma dalam hati.
“ Oh, aku lelaki tak guna jadi yang berguna pada kau pasti yang sanggup datang jumpa kau semata- mata nak bagi air mineral tu kan? Dialah yang berguna sangat pada kau?!” tingkah Isyraq tanpa menyebut nama Elyas.
Hamna terkedu. Elyas terpempan. Apasal aku pulak yang masuk dalam pertengkaran mereka ni?
“ Memang pun, lebih berguna daripada kau!” balas Hamna tanpa perasaan. Dia menjeling sekilas pada Elyas yang sudah tersenyum simpul. Suka sangatlah tu aku cakap dia berguna. Bisik hati Hamna.
Isyraq cuba menahan perasaan sakit hatinya. Sabar Is, sabar. Bisik hatinya.
“ Sudahlah tu, kejap lagi Cik Ummi masuk. Korang ni asyik bergaduh je. Ada jugak yang kahwin nanti,” sampuk Haiqal yang asyik menjadi pemerhati Isyraq dan Hamna bergaduh.
Hamna dan Isyraq menjeling pada empunya suara sebelum mereka berpandangan sesama sendiri. Isyraq merengus manakala Hamna membuat muka ingin muntah sebelum duduk di sebelah Fika.
“ Kau tak penat ke asyik bergaduh dengan dia, Na? Aku yang jadi penonton ni pun dah letih, tahu tak?” Fika berbisik di telinga Hamna. Takut pertanyaannya didengari oleh Isyraq. Tak pasal- pasal dia pula disembur oleh lelaki itu.
“ Bukan aku yang mulakan, dia. Kau dengarlah apa yang dia panggil aku. Minah Gendut! Gendut sangat ke aku?” soal Hamna dengan suara yang perlahan. Kadang- kadang kata- kata Isyraq membuatkannya sedih. Hodoh sangat ke aku pada pandangan dia?  Soalan itu bermain di fikirannya.
“ Eh taklah gendut sangat cuma chubby sikit,” balas Fika sambil tersengih.
Hamna tersengih. Hampeh punya kawan!
Namun, perbualan mereka terbantut sebaik saja Cik Ummi melangkah masuk ke dalam kelas. Selepas menjawab salam, Cik Ummi memandang pelajarnya dengan senyuman.
“ Saya ada pengumuman nak buat ni. Tak lama lagi Kelab Pengurusan akan adakan Family Day di Duta Sands Village saya nak semua pelajar semester akhir untuk turut serta,” ujar Cik Ummi.
Kedengaran pelajar- pelajar berbisik sesama sendiri. Cik Ummi hanya mampu tersenyum
melihat gelagat pelajarnya yang teruja.
“ Berapa yang perlu dibayar cik?” soal Fika yang duduk di meja hadapan.
“ Seratus ringgit termasuk dengan dinner,” ujar Cik Ummi.
“ Seratus ringgit?” kedengaran ada pelajar yang merungut.
“ Alah duit PTPTN nak masuk tak lama lagi kan lagipun Family Day ni lambat lagi. Sempat lagi nak kumpul duit. Ini saya edarkan kertas kosong, siapa yang nak pergi boleh tulis nama dan serahkan kembali pada saya,” ucap Cik Ummi.
Dia menyerahkan kertas A4 kosong pada Nadia yang duduk di hadapan mejanya. Kertas bertukar tangan hinggalah sampai pada giliran Hamna. Dia merenung kertas itu dengan pandangan kosong.
“ Macam mana ni Fika, nak pergi tak nak?” Soal Hamna berbisik.
“ Kau pula macam mana?” soal Fika kembali.
“ Aku tak tahulah. Seratus ringgit, mahal tu. Duit PTPTN aku berapalah sangat. Nak bayar yuran lagi, rumah sewa lagi. Belum masuk belanja untuk final nanti. Aku tak tahulah boleh pergi ke tak tapi kalau tak pergi inikan sem terakhir kita,” balas Hamna sambil memicit dahinya.
Fika turut mengeluh. Nasib dia pun sama dengan Hamna. Dekat mana dia nak cekau duit untuk bayar semua itu. Belum masuk kos untuk beli baju bagi makan malam pula. Mahu beratus jugak habis nanti. Keluh hati Fika.
“ Macam nilah kita tulis dulu nama, nanti kita trylah cari duit tu. Terkilan pula kalau tak pergi last sem ni,” Fika membuat keputusan.
Hamna hanya mengangguk.
“ Hoi, cepatlah sikit tulis nama tu. Menulis ke mengeja? Takkan nak tulis nama sendiri pun lembap!” satu suara menyampuk dari belakang
Hamna tersentak lalu menoleh. Dia kenal sangat dengan suara itu. Dia menjeling tajam pada Isyraq yang tersenyum sinis.
“ Suka hati akulah!” balas Hamna tidak mahu mengalah. Kemudian dia kembali menulis namanya sebelum memberikan kertas itu pada kawannya yang lain.
Isyraq menyembunyikan tawanya apabila melihat wajah Hamna yang kemerahan. Dia suka melihat gadis itu marah. Rasa macam heaven je!
“ Is, kau nak pergi ke family day tu?” soal Zaim disebelahnya dengan suara yang perlahan. Dia memandang ke arah Cik Umi yang sedang leka memberi penjelasan tentang konsep kewangan dalam Islam.
Mata Isyraq terus difokuskan ke hadapan namun telinganya masih mendengar apa yang ditanya oleh Zaim.
“ Kau pula macam mana?” soal Isyraq acuh tak acuh. Tangannya ligat mencatat apa yang tertulis di papan putih.
“ Bosanlah pergi family day, Is. Macam malas je..” balas Zaim.
“ Hmmmm….” Hanya itu yang terkeluar daripada mulut Isyraq.
Bulat mata Zaim memandang Isyraq. Aku bukan main bercakap, dia boleh hmmm je. Tak patut betullah Isyraq ni.
“ Bagi aku pulak, depends…” ucap Isyraq pendek.
Dia terdiam apabila Elyas menyerahkan kertas yang tertulis senarai nama itu padanya. Dia membaca satu persatu nama yang tercatat di atas kertas itu.
‘ Elyas pergi jugak,’ bisik hatinya. Matanya terus membaca nama yang tertera sebelum matanya tertacap pada sebaris nama. Dia tersenyum dalam hati.
“ Depends pada apa, Is?” soal Zaim pelik. Dahinya berkerut.
“ Aku pergi…” ucap Isyraq tak semena- mena sambil menulis namanya di bawah nama Elyas.
Kemudian dia menyerahkan kertas tersebut pada Zaim yang terpinga- pinga. Pelik betul Is ni, selama hampir tiga tahun belajar di kolej ini, belum pernah lelaki itu mahu mengikuti program yang dianjurkan tapi kali ini lelaki itu boleh setuju. Depends? Depends pada apa? Soal hati Zaim penuh dengan tanda tanya.
“ Maknanya aku dengan Redza kena pergi jugaklah ni?” soal Zaim tak berpuas hati.
“ Apa lagi pilihan yang korang ada?” soalan dibalas soalan.
Zaim mengeluh.

“ AKU rasa kita kena minta tempoh dengan Cik Ummilah tentang nak bayar deposit tu,” ucap Hamna sewaktu mereka makan tengah hari.
“ Aku pun rasa macam tu, ada ke patut Cik Ummi nak duit tu besok padahal eventnya lambat lagi,” keluh Fika sambil menghirup air sirap yang terhidang di hadapan mata.
“ Mungkin sebab nak booking resort tu kut,” balas Hamna sambil membetulkan cermin matanya yang terlurut jatuh.
Fika mencebik. Takkanlah pensyarah tak tahu masalah biasa bagi student, duit kurang. Pinjaman pun belum masuk lagi. Mintak itu ini manalah larat nak bayar semuanya dalam satu masa. Keluh hati Fika.
“ Dahlah, aku rasa boleh tu mintak tempoh dengan Cik Ummi. Jom kita pergi jumpa dia,” ajak Hamna sambil mencapai beg sandangnya lalu disandang ke bahu.
Mereka berdua bergerak menuju ke bilik pensyarah. Sewaktu dalam perjalanan ke bilik pensyarah mereka terserempak Isyraq and the geng sedang lepak di bangku di hadapan kelas.
“ Minah Gendut in the houselah!” ejek Isyraq sambil ketawa lepas. Zaim dan Redza turut tergelak Cuma Elyas saja yang cool sambil membaca novel. Hamna tersenyum pada Elyas yang turut memandangnya.
Isyraq memandang Hamna dan Elyas silih berganti. Amboi, main senyum pulak! Kat aku ni tak nak senyum pulak! Bebel hati Isyraq dia mendengus sambil duduk di samping Elyas. Dia memandang wajah Elyas yang tenang. Apa yang hebatnya kau ni? Soal hati Isyraq sambil menjeling pada Elyas. Dia berpeluk tubuh. Huh!
“ Elyas tu kacak juga kan? Aku tengok dia selalu sebelahkan kau kalau Is kutuk kau. Dia suka kau kut,” usik Fika sambil menolak lembut bahu Hamna dengan bahunya. Dia dapat melihat wajah Hamna yang kemerahan.
“ Tak ada maknanyalah, Fika. Siapalah aku ni nak dia suka,” balas Hamna seakan berjauh hati.
“ Maknanya kalau dia suka kau, kau suka dialah?” soal Fika pula sambil membulatkan matanya.
“ Itu semua kalaulah kan?” balas Hamna. Dia memandang muka Fika yang tersengih- sengih.
Fika tidak menjawab kemudian dia berjalan memasuki bilik pensyarah dan mencari meja Cik Ummi. Dia tersenyum sebaik saja melihat Cik Ummi yang sedang leka menaipkan sesuatu di komputernya.
“ Assalamualaikum, Cik Ummi..” mereka memberi salam serentak.
“ Wa’alaikummusalam…” jawab Cik Ummi lantas mendongak. Dia tersenyum memandang Hamna dan Fika.
“ Hamna, Fika ada apa yang saya boleh tolong?” tanya Cik Ummi lembut.
Hamna dan Fika tersengih- sengih.
“ Kau cakaplah…” ujar Hamna pada Fika. Fika menjengilkan matanya.
“ Kaulah yang cakap…” balas Fika pula sambil mencuit lengan Hamna.
“ Ini kenapa awak berdua ni? Nak cakap apa?” soal Cik Ummi dengan dahinya berkerut melihat pelajarnya yang takut- takut untuk bercakap.
“ Errrr…sebenarnya…sebenarnya…” Hamna tergagap- gagap.
“ Yelah, apa yang sebenarnya?” soal Cik Umi pelik.
“ Errr…boleh tak kalau kami mintak tangguh dulu duit deposit untuk Family Day tu? Sekarang ni kami tengah pokailah cik. Pinjaman pun belum masuk lagi,” jelas Hamna dengan satu nafas. Dia menjeling pada Fika yang berada di sebelah.
“ Nak mintak tangguh? Tapi awak berdua dah bayarlah. Bukan setakat deposit tapi semua sekali,” ujar Cik Ummi.
“ Hah?? Dah bayar??!” jerit Hamna dan Fika serentak.
Cik Ummi menutup telinganya. Beberapa orang pensyarah yang lain mengerling ke arah mereka bertiga.
“ Sorry, Cik Ummi. Tapi bila kami bayar?” soal Fika pula. Dia benar- benar terkejut. Bulat matanya memandang Cik Ummi yang sedang duduk.
“ Saya tak tahu bila tapi duit tu dah ada atas meja saya dengan nama awak berdua,” terang Cik Ummi.
Hamna dan Fika berpandangan. Bila masa pula aku bayar? Duit pun cukup- cukup makan je. Siapalah yang baik hati tolong bayarkan? Soal hati Hamna tanpa ada jawapan yang pasti.
“ Cik Ummi tak tahu ke siapa yang letakkan duit atas meja cik?” soal Hamna lagi ingin merungkaikan tanda tanya yang bermain di benaknya.
Cik Ummi hanya menggelengkan kepala.
Hamna dan Fika mengeluh. Akhrinya mereka terpaksa meminta diri namun tanda tanya masih lagi bermain di fikiran.
“ Kau agak siapa yang bayarkan?” soal Fika pada Hamna sewaktu mereka ingin menolak daun pintu bilik pensyarah itu.
Hamna hanya menjongketkan bahu.
“ Manalah aku tahu, Fika. Tapi siapa pun dia, aku memang nak berterima kasih dan kalau aku tahu siapa dia, aku nak bayar balik duit dia tu,” ujar Hamna sambil memandang wajah Hamna yang berada di sisinya.
Sewaktu dia menolak daun pintu, tiba- tiba pintu kaca itu ditarik dengan kuat dari luar membuatkan Hamna tersentak. Tubuhnya terdorong ke hadapan dan hampir bertembung dengan tubuh seorang lelaki. Hamna menghentikan langkahnya sambil tangannya berpaut pada lengan Fika. Wajahnya didongakkan dan menentang wajah lelaki itu.
“ Apa pandang- pandang?” soal lelaki itu dengan kasar.
Hamna mencebik. Namun matanya setia membalas renungan dingin lelaki itu.
“ Macam bagus je!” bentak Hamna geram.
“ Memang aku bagus pun!” balas Isyraq selamba kemudian dengan selamba dia merempuh bahu Hamna lalu masuk ke bilik pensyarah.
“ Aduh!” Hamna terjerit kecil sambil menggosok bahunya yang terasa sengal. Dahinya berkerut.
Fika hanya terlopong melihat perlakuan Isyraq dan memegang lengan Hamna mengelakkan gadis itu daripada terjatuh. Agaknya, memang tak ada orang yang nak ajar lelaki itu tentang sivik. Kurang ajar ya ampun!


2 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.