PROLOG
MATANYA
yang bundar masih lagi merenung tanah kubur yang merah. Batu nisan yang
berwarna putih itu digosok perlahan dengan rasa yang amat pilu. Jasad insan
tersayang telah tersemadi di dalam liang lahad yang sunyi sepi ini. Hatinya
bagaikan diremuk apabila mengenangkan pemergiaan insan itu kerana kesilapan
dirinya sehingga dia merasakan dirinya yang membunuh insan itu.
Air mata mengiringi lekuk pipi tidak diendahkan
malah diseka dengan kasar menggunakan tapak tangan. Betapa hatinya cukup
terseksa dengan hukuman yang diberikan sehingga dia terpaksa datang secara
senyap dan sembunyi bagi melepaskan rindu pada pusara yang tidak bernyawa ini.
“Ayah, Diya datang ni. Diya rindu pada ayah. Tadi
Diya ada pergi rumah, tapi Diya mampu tengok dari jauh jelah ayah. Diya tak mahu
ibu tahu yang Diya datang ke sini. Diya tak mahu hati ibu terluka bila
ternampak Diya kat kampung ni. Diya rindu sangat kat ibu, ayah tapi Diya tahu
Diya tak mungkin dapat peluk ibu macam dulu dah. Ibu benci sangat pada Diya
sama seperti suami Diya bencikan Diya tapi ayah jangan bencikan Diya ye,”
rintih hati gadis itu sambil mengenggam tanah dengan telapak tangannya.
Satu persatu peristiwa yang berlaku dalam hidupnya
kembali berputar di fikiran. Malam yang telah memusnahkan hidupnya kembali
terlayar ke ruang mata. Disebabkan malam itu, dia kehilangan ayahnya, disebabkan
malam itu, dia dibuang keluarga, dan disebabkan malam itu, dia dibenci tanpa
sebab oleh suaminya sendiri. Dia cuba untuk tabah tapi hatinya masih lagi lemah
untuk menerima ujian yang sehebat ini. Atau memang dia tak layak untuk menerima
kasih sayang daripada sesiapa pun?
Satu keluhan dilepaskan. Air putih disiramkan ke
atas pusara ayahnya yang sepi itu sebelum kelopak bunga ditabur di atas tanah
merah itu.
“Ayah, esok dah mula puasa. Diya ralat sangat sebab
tak dapat puasa dengan ayah, dengan ibu dan adik- adik. Diya nak sangat
keluarga kita bersatu macam dulu tapi itu tak mungkinkan, ayah? Ayah dah tenang
di sana tinggallah Diya seorang dekat sini. Kalaulah Diya dapat ikut ayah ke
sana juga kan lebih bahagia lagipun dekat sini tak seorang pun yang sayang pada
Diya. Tak ada seorang pun yang peduli pada Diya lebih baik Diya ikut ayah,”
ngongoi gadis itu lagi. Dia memeluk lutut. Tersedu-sedan dirinya menahan tangis
yang semakin merasuk dirinya.
“Diya tahu Diya anak yang tak guna Diya dah conteng
arang ke muka ayah dan ibu tapi itu semua berlaku bukan kerelaan Diya, ayah.
Maafkan Diya kerana dah kecewakan ayah. Tapi Diya berjanji, Diya akan
kembalikan harga diri Diya yang tercalar itu. Mungkin berkat bulan Ramadhan
yang bakal menjelma ni, Diya akan temui semangat Diya yang baru meskipun tanpa
ayah di sisi Diya tapi Diya harap ayah selalu temani Diya walaupun Diya tahu
kita tak mungkin dapat bersua kembali,” ucap gadis itu lagi sambil mengesat air
mata yang bersisa.
Angin yang bertiup lembut petang itu mendamaikan
hatinya yang keresahan. Tanah perkuburan yang sunyi sepi itu menjadi peneman
hatinya yang turut sepi. Di sinilah tempat dia meluahkan segala kekecewaan yang
bermukim di hati.
“Diya dah nak balik, ayah. Nampaknya Diya tak ada
peluang untuk berpuasa dan beraya dengan ayah tahun ni. Diya pun tak tahu bila
lagi Diya dapat datang jenguk ayah dan ibu. Tapi yang pasti Diya tetap akan
datang walaupun Diya cuma memandang dari jauh je. Maafkan kesalahan Diya, ayah.
Maafkan anak ayah ni. Insya-Allah kita akan bersatu kembali, ayah. Tunggu Diya
di sana,” ucap gadis itu penuh perasaan.
Dia menggosok dan mencium batu nisan itu buat kali
terakhir sebelum dia berdiri dan mula mengorak langkah meninggalkan kawasan
perkuburan yang sepi itu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.