PROLOG
“AKU mengandung, Wawa.” Kedengaran suara
lembut itu menyapa telinga Wawa.
“Serius, Wahi? Alhamdulillah. Seronoknya
aku dapat anak saudara. Tapi aku tak dapat nak rasakan kegembiraan dengan kau
sekarang. Aku busy sangat dekat
sini,” ujar Wawa sambil tangannya kemas memegang telefon bimbit. Sebelah
tangannya lagi menyelak buku rujukan yang terbentang di hadapan mata.
Wahi tersenyum hambar. Dia begitu
mengharapkan kehadiran kembarnya ini. Rasa rindu semakin mencengkam kalbu.
Perlahan-lahan, perutnya yang ditutupi dengan baju, digosok perlahan.
“Masa aku kahwin kau tak balik, masa aku
nak bersalin nanti mesti kau pun tak dapat balik. Agak-agak kalau aku tak ada,
kau balik tak?” soal Wahi tiba-tiba.
Wawa terkaku. Pen yang dipegang terlepas
dari genggaman. Jantungnya berdenyut pantas mendengar soalan daripada Wahi.
“Wahi, apa yang kau mengarut ni? Kau
tahu kan aku memang payah nak balik. Bukan aku tak nak balik, aku rindukan kau
tahu tak? Tapi aku banyak assignment
nak kena buat. Kau kembar aku, patutnya kau faham.” Ujar Wawa. Suaranya berubah
sayu apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Wawa.
Wahi ketawa kecil. Kembarnya ini cukup
sensitif orangnya. Pantang diusik cepat saja emosinya terganggu.
“Aku bergurau jelah. Aku tahu kau sibuk
tapi boleh tak aku nak mintak sesuatu daripada kau?” soal Wahi membuatkan Wawa
terdiam.
“Kau nak apa?” soalnya kembali. Dia
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal apabila terpaksa menyalin segala
nota-nota untuk dijadikan rujukan sebelum peperiksaan menjelang.
“Misalan, kalau terjadi apa-apa pada aku
kemudian hari, boleh tak kalau kau tolong jagakan anak aku?” soal Wahi.
Wawa terdiam. Hatinya resah dengan
soalan yang diutarakan oleh Wahi. Sekarang, tumpuannya hanya pada Wahi. Dahinya
berkerut seribu.
“Maksud kau apa, Wahi? Aku tak faham.
Kau sihat je kan? Abang Qif layan kau dengan baik kan?” bertalu-talu soalan
terbit dari bibir Wawa.
Kedengaran Wahi ketawa kecil di hujung
talian.
“Alhamdulillah, Abang Qif seorang suami
yang baik. Kalau jadi apa-apa pada aku, aku nak kau janji yang kau akan jaga
anak aku dengan Abang Qif, boleh?” soal Wahi lagi.
“Apa kau merepek ni, Wahi?” soal Wawa
makin pelik.
“Janji dengan aku, Wawa. Janji yang kau
akan jaga anak aku dengan Abang Qif,” gesa Wahi lagi. Kedengaran suara itu
seperti menahan sebak.
“Aku…aku…”
“Aku hanya percayakan kau sebab kau
kembar aku. Sebahagian diri aku ada dalam diri kau. Aku yakin kau boleh jaga
anak aku. Boleh ya, Wawa? Tolong janji dengan aku.” Rayu Wahi lagi.
Wawa tidak mampu untuk membantah. Dia
menganggukkan kepala seolah-olah anggukan itu mampu dilihat oleh Wahi.
“Insya-Allah, aku janji akan jaga anak
kau dengan baik.”
Beberapa
bulan berikutnya….
SEORANG
lelaki merenung kosong tanah kubur yang masih merah. Hujan renyai- renyai
membasahi bumi tidak dipedulikan. Air mata yang bercucuran di pipi juga tidak
dihiraukan. Sayu hatinya apabila mengenangkan jasad orang yang disayanginya
telah selamat disemadikan sebentar tadi.
Betapa seksa hatinya kerana terpaksa
berpisah dengan isteri tersayang walaupun baru setahun mereka mendirikan rumah tangga.
Pilu hatinya apabila teringatkan anak kembar mereka berdua yang masih dalam
jagaan ibunya di rumah. Apalah nasib anak kembarnya nanti, membesar tanpa kasih
sayang seorang ibu. Dia menyeka air mata yang menuruni laju pipinya.
Tepukan di bahu mengejutkan lelaki itu.
Dia mengangkat pandangan yang masih berbalam dengan sisa air mata yang tidak
kering. Ditambah dengan air hujan yang menitis membasahi wajahnya. Lelaki itu
tersenyum dalam kepayahan.
“Sudahlah tu nak, jangan menangis lagi.
Kesian arwah kat dalam sana. Bersabarlah, semua ini ujian daripada Allah. Jika
kamu redha dengan pemergiaannya insya-Allah, Allah akan tempatkan isteri kamu
dalam kalangan orang yang beriman,” nasihat seorang lelaki tua sambil tersenyum
tawar.
Lelaki itu membalas senyuman dengan
hambar. Nasihat bapa mentuanya itu lekat di kepala namun mata dan hatinya tidak
mampu membendung rasa yang bermain di jiwa. Dia cintakan wanita itu malah
cintanya tak mungkin berubah. Baru dia ingin menyulam cinta dan hidup bahagia
tetapi pemergian wanita itu meragut segalanya.
Sebak apabila terkenangkan wanita itu
yang masih sempat tersenyum walaupun ajal semakin menjemput.
“Saya hadiahkan abang dengan sepasang
kembar. Inilah lambang cinta saya pada abang. Tolong jaga mereka baik- baik.
Bila dia besar nanti, abang tolong cakapkan pada mereka yang saya sangat sayang
dan rindukan mereka. Saya tahu masa saya tak lama tapi saya nak abang tahu yang
saya akan selalu sayang dan cintakan abang biarpun saya tiada di sisi abang,”
ucap isterinya dengan suara yang lemah.
Dia menggelengkan kepalanya dengan laju.
Air mata sudah menuruni lekuk pipi. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir
isterinya yang terbaring lesu. Sebaik saja selepas pembedahan, keadaan wanita
itu menjadi semakin kritikal kerana penyakit barah rahim yang di alaminya
semakin teruk. Dia sendiri tidak menyangka yang isterinya sanggup
menyembunyikan penyakit itu semata- mata ingin memberinya zuriat penyambung
cinta mereka.
“Sayang akan sihat, percayalah cakap
abang. Abang tak boleh hidup tanpa sayang di sisi. Tolonglah sayang jangan
cakap macam tu. Sayang tak boleh tinggalkan abang. Abang sangat cintakan
sayang,” balas lelaki itu sambil mengusap pipi sang isteri yang tersenyum
tawar.
“Saya pun sayangkan abang tapi mungkin
jodoh kita sampai di sini. Tapi itu tak bermakna saya lupakan abang. Saya
sayangkan abang meskipun jasad saya sudah tiada,” ucap isterinya dengan
linangan air mata yang tidak berkesudahan. Dia mengenggam tangan suaminya
dengan erat. Dia mengucup tangan itu, mungkin untuk kali terakhir.
Lelaki itu menggelengkan kepala. Tidak!
Tidak! Jerit hatinya saat melihat mata wanita itu tertutup.
“Sayang jangan tinggalkan abang!”
jeritnya.
Dia tersedar apabila terdengar bunyi
guruh yang berdentum. Akhirnya dia bangun. Dengan langkah yang berat dia
berlalu meninggalkan tanah perkuburan itu dengan perasaan yang sayu. Tak
sangka, sayang tinggalkan abang juga akhirnya!
Siapa
yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya.
– HR al-Bukhari.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.