Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

TERKINI!

Alhamdulillah novel ke 8 dah selamat 'dilahirkan'.. Novel ni merupakan novel ADAPTASI DARI DRAMA Jodoh Hak Milik Allah yang dibintangi oleh Aaron Aziz, Amyra Rosli dan Hisyam Hamid. Akan ditayangkan di Astro nanti. Skrip dan idea asal sepenuhnya milik Chinta Nadeshia dan Amka Ahmad. SK cuma penambah perisa aje ya... kenapa anda kena dapatkan novel ni juga walaupun dramanya dah ada? Sebabbbb.... Ada babak yang ada dalam novel, tak ada dalam drama... Nak tahu macam mana, kena dapatkan dulu.. Okey, ni blurp dan harganya.. Boleh dapatkan yang terawal di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Sila terjah bilik Penerbit Karyaseni nanti ya... Oh ya, kalau nak jumpa SK, boleh datang 28hb tu dari pukul 2pm sehingga 4pm. Boleh la kita bertentang mata. Hehe.

BLURP>

JODOH HAK MILIK ALLAH – SITI KHADIJAH
Harga : RM 25 (SM) / RM 28 ( SS )
Keluaran: Mei 2018

Apabila…Yang seakan sudah pasti menjadi ragu, yang awalnya diragukan menjadi pasti.

“Daripada kebetulan itulah akan mengalir satu ikatan yang kuat dan ia akan menghasilkan jodoh.”

Itulah prinsip dan kepercayaan yang dipegang oleh MARISSA. Bagi Marissa, kebetulan dan jodoh datang seriringan. Dengan prinsip dan kepercayaan itulah dia mencipta ‘permainan jodoh’ untuk menguji sejauh mana kekuatan jodoh antara dia dan lelaki yang cuba mendekatinya. Beberapa orang lelaki yang cuba menyahut cabaran Marissa, tetapi semuanya gagal.
Namun, pertemuan demi pertemuan secara tidak sengaja dengan lelaki di Dubai berada di luar jangkaan Marissa. Sikap lelaki itu yang menjengkelkan, memaksa Marissa untuk menjauhkan diri. Makin dia cuba menjauh, makin acap kali dia terserempak dengan lelaki itu.

“Baru saya perasan, masa dekat Burj Khalifa tadi pun awak ada sekali. Dekat mana saya pergi mesti saya terserempak dengan awak. Awak ni siapa sebenarnya?” MARISSA

“Saya bakal imam awak…”HANS YUSUF

HANS YUSUF, lelaki yang punya segalanya kecuali jodoh. Percutian singkatnya ke Dubai menemukan dia dengan Marissa. Tanpa sedar, hatinya terpaut sejak kali pertama dia terpandang gadis itu. Namun, untuk mendapatkan sekeping hati Marissa bukan mudah. Dia perlu melepasi ujian jodoh yang telah dicipta oleh Marissa bagi menentukan kekuatan jodoh mereka. Hans terkedu!

“Kalau awak jumpa semula wang kertas yang tertulis nombor saya dan nombor awak tadi, awak boleh call saya. Begitu juga sebaliknya. Kita dah letak nombor kita dekat duit tu kan? Kalau jodoh, pasti kita bertemu.”MARISSA

“Saya ikut apa yang awak nak ni bukan sebab saya percaya akan ujian jodoh awak tu. Semua ni saya lakukan disebabkan awak. Hanya awak.”HANS YUSUF

Ternyata, Hans akhirnya gagal dalam ujian jodoh Marissa. Timbul rasa kecewa dalam diri Marissa kerana jauh di dasar hatinya dia turut tertarik kepada Hans walaupun pertemuan mereka hanya seketika. Hans turut kecewa. Dek hatinya yang kecewa, satu rancangan telah diatur untuk menyedarkan Marissa daripada mimpinya.
Sedangkan Marissa keliru apabila wujud lagi pertemuan antara dia dan Hans walaupun ada lelaki lain yang telah berjaya melepasi ujian jodohnya. Benarkah lelaki itu jodoh yang ditakdirkan untuknya? Mampukah dia menafikan cinta yang wujud untuk Hans demi mengejar jodoh dengan caranya yang tersendiri? Atau sememangnya cinta dan jodoh itu tidak sehaluan?

📺 Novel diadaptasi dari Telefilem Jodoh hak milik Allah yang akan di tayangkan di Astro. Lakonan hebat Aaron Aziz, Amyra Rosli, Hisyam Hamid

P/S: UNTUK PEMBELIAN TERUS DARIPADA SK, BOLEH EMAIL UNTUK PERTANYAAN DI siti.khadijah5602@gmail.com ATAU PUN BOLEH PM SK DI FACEBOOK Karya Siti Khadijah.


Siapa lelaki ni?
Jodoh Marissa milik siapa?

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 10 ) - LAST ENTRY-


MARISSA duduk bersendirian di pinggir pantai Jumeirah Palm Beach. Dia menghembus nafas pendek. Sebaik saja terpandang  pantai ini, semerta kenangan bersama Hans kembali terimbas di ruang mata.
“Saya tengah cari jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?”
Kata-kata Hans terngiang di telinga Marissa sehinggakan menjemput senyum di bibirnya yang mungil. Marissa menggelengkan kepala. Walaupun hanya beberapa hari dia mengenali Hans, namun jujur dia akui sikap Hans menarik hatinya untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Tetapi dia masih lagi berpegang kepada prinsip jodoh. Dia tidak mahu terluka jika Hans bukan lelaki yang ditakdirkan untuknya.
If it’s meant to be, it will be…” desis Marissa perlahan.
Dia menebarkan pandangan ke kaki langit. Beberapa ekor burung sedang berterbangan. Serentak, wajah Hans yang tersenyum tergambar jelas di dada langit. Marissa tersentak.
“Siapa kau sebenarnya? Kenapa kau muncul dalam hidup aku dan mencuri perhatian aku?” Soal Marissa sendirian. Soalan yang pasti tidak ada jawapan.
Kenangan bersama lelaki itu kembali terimbau di fikirannya. Marissa tersenyum sendirian.
“Wahhhh… Cantik sungguh masjid ni.” Puji Hans sewaktu mereka berdua sampai di Masjid Sheikh Zayed petang itu. Hampir tidak terkatup mulut Hans apabila melihat  ruang hadapan masjid itu yang besar bagaikan satu padang bola sepak.
Marmar putih yang bercorakkan flora berkilauan disimbah dengan cahaya mentari petang. Sukar untuk Hans gambarkan perasaannya saat ini apabila melihat dengan mata kepalanya sendiri rumah Allah yang dibina dengan cukup indah dan mempesonakan.
“Subhanallah. Kita digalakkan sebut perkataan itu bila nampak benda yang cantik kan?” Soal Marissa lembut. Dia tersenyum manis.
Hans terdiam seketika. Dia tersipu-sipu apabila ditegur sebegitu. Akibat teruja, dia terlupa untuk mengucapkan kalimah suci itu.
Opsss… Maaf. Saya terlupa. Excited sangat tengok seni bina masjid ni. Tak hairanlah kalau masih ni menjadi salah satu masjid yang terbesar di dunia. Luas bukan main.” Ujar Hans kemudian meneruskan langkahnya ke ruang dalam masjid.
“Kalau awak nak tahu masjid ni ada 82 kubah tau dan mampu memuatkan seramai lebih kurang empat puluh ribu jemaah. Luas kan? Kalau tak silap saya karpet yang terbentang dalam masjid ni merupakan karpet yang terbesar di dunia.  Lampu chandelier yang ada dalam masjid ni pun merupakan lampu chandelier yang terbesar di dunia. Semua lampu ni diperbuat dari tembaga yang bersalut dengan emas. Awak bayangkanlah sendiri berapa kos pembinaan untuk masjid sebesar dan secantik ni.” Terang Marissa dengan mata yang bercahaya sewaktu menatap Masjid Sheikh Zayed yang berwarna putih bersih.
Hans berpaling ke sisi. Hatinya tercuit mendengar kepetahan gadis itu memberi penerangan. Dia tersenyum simpul.
“Tetapi sekali pandang kubah masjid ni sama dengan kubah Taj Mahal kan?” tambah Hans lagi.
Marissa menganggukkan kepala.
“Mungkin sebab warnanya putih. Putih kan lambang kesucian dan Islam itu sendiri adalah suci.” Jawab Marissa petah.
Hans menganggukkan kepala. Lama dia merenung wajah Marissa daripada sisi. Gadis itu kelihatan cantik apabila mengenakan tudung yang menutupi rambut sehingga melepasi dadanya. Wajah itu tampak asli tanpa solekan yang tebal. Malah, Hans hati merasa cukup tenang saat melihat senyuman yang mekar di bibir gadis itu yang merah. Hatinya terasa sesuatu.
“Subhanallah…” ucap Hans tiba-tiba.
Marissa berpaling ke sisi. Pandangan mereka bertaut menjemput rasa indah di hati masing-masing.
“Kenapa?” Soal Marissa pendek.
“Saya ternampak sesuatu yang cantik…” jawab Hans terus merenung ke dalam anak mata Marissa.
“Mana?” Soal Marissa lalu anak matanya melingas ke kiri dan kanan. Mencari sesuatu yang dikatakan oleh Hans.
Hans tersenyum penuh makna. Dia mengangkat kamera DSLR miliknya lalu diarahkan ke Marissa.
Klik! Gambar Marissa yang tidak bersedia diambil.
“Awak!” Marah Marissa. Terkejut dengan tindakan Hans yang tiba-tiba.
“Nah, inilah sesuatu yang saya cakapkan tu…” ujar Hans lalu menyerahkan kameranya kepada Marissa.
Marissa menyambut huluran Hans dengan dahi yang berkerut. Namun, dia tetap memandang skrin kamera yang ditunjukkan oleh Hans. Hatinya bergetar saat skrin kamera itu memaparkan gambar dirinya sendiri. Sungguh, Marissa merasakan dirinya berada di awang-awangan saat ini. Lidahnya kelu untuk mengungkapkan kata.
“Awak….” Marissa tidak jadi meneruskan kata. Dia tergagap buat seketika. Terasa seperti suaranya tersekat di kerongkong.
“Saya nak solat dulu. Jumpa awak kejap lagi.” Ucap Hans tanpa mengulas lanjut. Dia berlalu setelah mengambil kembali kamera daripada tangan Marissa. Sengaja dia biarkan persoalan bermain di minda Marissa kerana saat ini hatinya juga tidak keruan. Semuanya gara-gara gadis bernama Marissa.

BUNYI ombak yang menghempas pantai mengembalikan Marissa ke dunia realiti. Dunia di mana dia berseorangan tanpa teman. Kenangan beberapa hari lalu lenyap ditelan angin pantai yang menghembus lembut. Marissa melekapkan tangan di dada kirinya.
“Aku yakin kita pasti bertemu…” ucapnya perlahan.


AZAM melemparkan pandangan pelik pada Hans yang sedang menghampiri Kedai Buku Popular. Dia menarik lengan Hans. Langkah Hans terhenti.
“Kenapa kau heret aku sampai ke sini? Kau nak buat apa dekat kedai buku ni? Setahu aku kau ni bukan rajin pun nak membaca.” Ujar Azam. Raut wajah Hans ditenung dengan penuh tanda tanya.
“Ikut ajelah. Kau ni banyak bunyi betullah.” Omel Hans lalu menarik tangannya kembali.
“Boleh tak kau cakap dengan aku apa yang dah jadi dengan kau ni? Tak pasal-pasal boleh bawa aku ke sini.” Balas Azam tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Hans. Dia inginkan jawapan yang pasti sedangkan Hans seboleh mungkin ingin mengelak.
“Nanti aku ceritalah. Ini untuk idea billboard tu juga. Kita kena ada rujukan tentang jodoh kalau nak ketengahkan konsep jodoh tu. Sekurang-kurangnya konsep tu tak menyimpang dari maksud sebenar jodoh. Tak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum yang percaya tentang jodoh. Faham?” tekan Hans dengan mengeraskan perkataan faham itu.
“Betul ke ni? Atau semua ni ada kena mengena dengan perempuan yang kau cakapkan tu?” Soal Azam lagi masih tidak percaya dengan kata-kata Hans.
Hesy, kau ni! Malaslah aku nak layan!” bentak Hans lalu melangkah masuk ke dalam kedai buku. Dia menuju ke ruangan motivasi dan kaunseling.
Azam membuntuti langkah Hans. Masih ada persoalan yang masih belum terjawab. Lalu, dia menghampiri Hans. Bahu Hans dicuit. Hans menepis.
“Aku yakin kau datang sini bukan sebab konsep iklan tu aje. Ni mesti kes jodoh kau yang terhalang dek benua tu kan? Tengoklah sampai cari buku pun, kau cari buku kaunseling wanita. Pelik. Memang pelik. Hans yang tak pernah kisah tentang perempuan tapi nak tahu tentang kaunseling perempuan.” Sambung Azam lagi.
Hans menjengilkan mata. Rasa ingin ditepuk saja mulut Azam saat ini.
“Kau diam kejap boleh tak? Daripada kau mengomel mengalahkan mak nenek, lebih baik kau tolong aku cari buku.” Ujar Hans menghentikan bebelan Azam.
Azam menunjukkan jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“Aku? Aku kena cari sama?” Soal Azam pelik.
“Taklah. Bukan kau. Aku suruh roh kau yang tolong carikan.” Sindir Hans sambil tersenyum sumbing.
Azam menarik muka. Namun, dia tetap menurut kemahuan Hans. Beberapa buku yang terpapar di hadapan mata, ditarik dan ditunjukkan kepada Hans. Tetapi Hans hanya menggelengkan kepala.
“Habis tu buku macam mana lagi kau nak? Aku bagi buku ni kau tak nak. Aku bagi buku tu kau tak nak. Kalau ya pun nak minta tolong aku carikan, bagitahulah detail buku yang kau nak tu. Senang sikit aku nak cari. Aku ni jenis manusia yang ikut trend, sekarang nak cari benda guna Google je. Simple. Tak payah serabutkan kepala otak cari satu per satu.” Bebel Azam lagi.
Hans menekup telinganya dengan kedua belah telapak tangan. Bebelan Azam cukup membingitkan telinga. Nama saja lelaki tetapi bab membebel kalah mamanya. Sungut hati Hans.
“Kau nak cari ke tak ni?” Soal Hans akhirnya.
Bebelan Azam terhenti. Dia membalas pandangan Hans yang serius.
“Yalah, buku macam mana kau nak Encik Hans Yusuf?” soal Azam sambil mengancing giginya. Menahan rasa geram sebenarnya.
Hans ketawa kecil.
“Buku something like… Cara nak ubah pendirian wanita. Atau apa-apa saja yang berkaitan dengan jodoh. Lebih kurang macam tulah…” jawab Hans sambil perhatiannya terarah pada rak-rak buku.
“Pasal pendirian wanita? Pasal jodoh? Wow, aku dah cakap, kau memang ada sembunyikan something daripada aku kan?” soal Azam lagi. Masih tidak berpuas hati dengan sikap Hans yang cuba tarik tali.
Hans tidak menjawab sebaliknya dia mengerling ke arah jam yang melingkar di pergelangan tangan.
“Aku tak ada masa ni. Tolong cari ya?” ujar Hans kemudian menjarakkan diri daripada Azam. Dia berlalu ke rak yang seterusnya.
“Nak mengelaklah tu. Macamlah aku tak kenal perangai kau macam mana, Hans.” Getus Azam dengan bibir yang sengaja dicebikkan.


JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 9 )


HANS duduk termenung di meja kerjanya sambil anak matanya tegak merenung skrin komputer riba. Sudah puas dia mencari idea di carian Google namun satu pun tidak memenuhi kriteria seperti yang diinginkan pelanggannya. Hans meraup wajahnya. Dia menggerakkan kepala ke kiri dan kanan bagi melegakan bahu dan tengkuknya yang terasa lenguh.
“Manalah aku nak cari perkataan yang boleh orang terus jatuh cinta bila tengok iklan tu?” keluh Hans kemudian bangun seketika dan melabuhkan punggung di birai katil.
Dia mencapai kamera DSLR yang berada di atas meja sisi. Satu per satu gambar di dalam kamera itu dibelek. Mungkin dengan cara itu dia boleh mendapat idea. Sedang asyik dia meneliti setiap gambar pemandangan yang diambil di Dubai, tiba-tiba tangannya terhenti apabila pada sekeping gambar yang menarik perhatiannya.
Senyuman dan kerlingan mata gadis itu kembali menari di ruang fikirannya. Hans memejamkan mata sejenak. Dia teringat akan sesuatu. Lantas, dia mencapai beg sandangnya. Sebuah buku nota dikeluarkan dari beg sandangnya.
“Saya percaya pada jodoh dan saya akan terima awak kalau kita ada jodoh.”
Kata-kata gadis itu kembali terngiang di telinganya. Hans tersenyum sinis sambil membelek halaman demi halaman buku nota tersebut.
“Jodoh?” Hans tersentak sendiri. Lantas, dia mencapai telefon bimbitnya. Nombor Azam didail.
“Hello, assalamualaikum. Bro, kau buat apa tu?” Soal Hans sebaik saja talian disambungkan.
“Waalaikummusalam. Aku baru nak suap nasi goreng ke mulut. Kenapa kau call aku? Hah, biar aku teka. Confirm kalau kau call aku ni, sebab kau dah dapat idea kan?” tebak Azam sambil meneruskan suapannya.
“Dah…” jawab Hans sepatah. Sengaja dia biarkan Azam dilanda tanda tanya.
“Hah? Dah dapat? Apa idea kau?” soal Azam teruja.
Hans hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum penuh makna.

HANS berdiri dengan tenang di hadapan bilik mesyuarat yang dihadiri oleh wakil daripada syarikat MALTEX. Kelihatan Azam dan beberapa orang kakitangan syarikatnya turut serta dalam mesyuarat kali ini.
Hans memandang wajah yang berada di hadapannya satu per satu. Dia tersenyum dengan penuh yakin. Selepas semuanya dirasakan sudah bersedia, Hans menekan butang enter di komputer riba. Terpapar besar perkataan JODOH di skrin putih.
“Jodoh?” kedengaran bisik-bisik suara yang mula dilanda tanya dengan satu perkataan yang ditunjukkan oleh Hans.
Hans memandang Azam. Dia tersenyum. Azam hanya menganggukkan kepala.
“Sebelum saya teruskan, saya Hans Yusuf Fariq mewakili H&A Advertise berbesar hati dengan kehadiran tuan, puan wakil daripada syarikat MALTEX. Terima kasih kerana sudi bekerjasama dengan kami untuk mempromosikan produk daripada pihak anda. Lebih-lebih lagi MALTEX merupakan  antara syarikat telco yang terbesar di Malaysia dan saya rasa ini adalah peluang besar buat H&A Advertise berbanding projek sebelum ini.” Ucap Hans sebagai mukadimah pembentangannya kali ini.
Hans tersenyum manis saat melihat hadirin yang datang menganggukkan kepala dan membalas senyumannya. Dia kembali memandang skrin putih.
“Pertemuan, perjumpaan, perhubungan, percintaan, perkahwinan, persaudaraan, persahabatan dan lain-lain konsep penyatuan ini adalah kitaran sosial kehidupan manusia. Saya percaya dalam kalangan masyarakat Malaysia, apabila kita menyebut segala hal, kita akan melibatkan satu perkataan. Perkataan itu ialah….”
Hans menunjukkan tangannya ke skrin.
“Jodoh… Dan satu perkataan inilah yang akan menjadi main concept untuk mempromosikan produk terbaharu MALTEX.”
Wakil dari MALTEX berpandangan sesama sendiri sebelum mereka menganggukkan kepala, meminta agar Hans melanjutkan penerangan.
“Jodoh atau kebetulan? Pendapat saya, kebetulan itu merupakan jodoh yang telah ditentukan dan jodoh adalah ketentuan yang tak mungkin dapat kita elakkan. Konsep sosial melibatkan penyatuan tadi mungkin kurang berlaku kerana jarak yang berjauhan. Pasti kita selalu dengar orang-orang tua selalu menyebut, kalau jodoh tak ke mana. Kalau ada jodoh kita jumpa lagi. Kalau berjodoh, sejauh apa pun perhubungan itu tetap akan terjadi…” sambung Hans membuatkan beberapa orang wakil daripada MALTEX kelihatan kebingungan.
Hans berjeda seketika. Dia menarik nafas sebelum menyambung kembali.
“Pihak kami akan mengetengahkan produk MALTEX ni untuk memudahkan konsep jodoh tadi. Jodoh di hujung jari. Pertemuan, percintaan, perhubungan, dan persahabatan hanya di hujung jari. Walaupun perkara ini biasa kita dengar, tapi belum ada mana-mana syarikat telco yang menggunakan konsep jodoh ini dalam mempromosikan produk keluaran mereka.” Terang Hans lagi dengan penuh yakin.
Kali ini wakil daripada syarikat MALTEX menganggukkan kepala tanda faham. Mereka berbisik sama sendiri. Tergambak riak berpuas hati di wajah mereka.
“Okey, untuk konsep iklan seterusnya, saya serahkan kepada Encik Azam…” ucap Hans lalu mempersilakan Azam ke hadapan.
Azam menganggukkan kepala dan terus melangkah ke hadapan mengambil tempat Hans.
Hans duduk di bahagian hadapan. Dia mendengar penerangan Azam dengan khusyuk. Dia menarik nafas lega apabila segalanya berjalan dengan lancar.

AKU tak sangka kau otak kau boleh berfikir sejauh ni. Jodoh? Benda yang biasa kita dengar tapi tak ada sesiapa yang terfikir nak gunakan konsep ni. Hebat betul kepala otak kau, Hans.” Puji Azam sewaktu mereka menjamu selera tengah hari itu. Dia mengangkat kedua belah ibu jarinya.
Hans ketawa lepas. Dia menggeleng kecil.
“Dah dia orang nak satu perkataan je. Ingat senang nak promosikan produk dalam satu perkataan? Billboard pula tu. Mana ada aksi-aksi atau lakonan  macam iklan kat TV.” Komen Hans.
Azam hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata Hans.
“Betul juga. Tapi aku memang tabiklah dengan otak kau kali ni. Tapi…” Azam meleretkan kata. Dia menyoroti wajah Hans lama.
“Tapi apa lagi? Kita kan dah dapat projek tu. Kau nak tapi lagi tu kenapa?” Soal Hans sambil mengacau jus oren yang sudah separuh diminum.
“Entah. Aku macam dapat hidu sesuatu aje. Idea jodoh kau tu, kau dapat dari Dubai kan? Atau kau dah dapat jodoh dekat sana?” soal Azam dengan rasa curiga. Dia mengecilkan mata merenung wajah Hans yang jelas berubah riak.
Namun, Hans bijak mengawal riak wajahnya. Dia tersenyum dan mencebikkan bibir.
“Hah… Cara kau senyum pun dah lain macam aku tengok. Aku dah agak dah. Kau jumpa jodoh kau dekat Dubai kan?” Soal Azam lagi. Masih belum berpuas hati apabila tiada jawapan daripada Hans.
Hans hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia mengeluh kecil.
“Entahlah. Aku nak tanya kau, kalau kau jumpa perempuan pelik, suka buat benda-benda mengarut, percaya nasib, jodoh dan kebetulan, apa perasaan kau?” soal Hans tiba-tiba.
Azam terdiam seketika. Anak matanya dihalakan ke atas. Cuba memikirkan jawapan yang sepatutnya diberikan.
“Entah. Aku pun tak tahu. Mungkin aku akan gelakkan dia dan suruh dia bertaubat. Setiap sesuatu tu dah ditakdirkan, dia kena berbalik kepada Qada dan Qadar Allah.” Ucap Azam memberi pendapat.
“Tapi kenapa tiba-tiba kau tanya pasal ni? Kau dah terjumpa dengan perempuan macam tu ke?” sambung Azam. Terkebil-kebil dia memandang Hans.
Hans hanya tersenyum sinis. Dia mengangkat bahu.
“Aku nak masuk ofis dululah. Dah habis waktu rehat.” Balas Hans tanpa menjawab soalan Azam. Dia berlalu meninggalkan sahabatnya yang terpinga-pinga.
“Hah, inilah yang aku tak puas hati sangat ni. Hans!” jerit Azam lalu mengejar Hans yang sudah siap membuat pembayaran di kaunter.


JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 8 )


SUASANA pejabat H&A Advertise Sdn. Bhd. kelihatan tenang pagi itu. Semua kakitangan sedang melakukan kerja mereka dengan khusyuk. Sesekali kedengaran papan kekunci dan bunyi mouse yang diklik saling bertingkah. Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki berbaju kemeja dan berseluar slack serta berjaket kulit menuju ke meja hadapan pejabat.
Morning, July…” ucapnya dengan nada yang ceria. Permukaan meja sengaja diketuk bagi menarik perhatian gadis berambut panjang yang sedang tekun menghadap komputer.
July mendongak. Dia tersenyum sebaik saja melihat wajah Azam yang tersengih-sengih.
“Wah, jam loceng you dah berfungsi sekarang ya?” Perli July cukup bersahaja.
Azam mencebikkan bibir. Dia menjeling manja.
“Tengoklah orang zaman sekarang ni, lambat salah. Awal pun salah. Tak datang terus lagilah salah. Habis tu I nak buat macam mana?” soal Azam bergurau.
July hanya ketawa lepas melihat wajah Azam yang berpura-pura cemberut.
Yalah, Encik Azam kan orang penting. Kenalah jaga disiplin tu.” Balas July.
Azam mencebibkkan bibirnya sekali lagi.
“Eh, eh awak pula yang nak bising. Encik Hans awak tu relaks aje. Oh, saya lupa pula, awak kan mak tiri Encik Hans. Semua bendak dekat syarikat ni awak yang control. Dengan bos besar sekali awak nak control kan?” seloroh Azam. Kemudian dia ketawa apabila melihat July menjeling tidak berpuas hati.
“Encik Azam nak start pertandingan perli-memerli ke ni? Okey, boleh. Saya sahut cabaran. Lagipun saya dah kumpul semua kesalahan Encik Azam dua tiga bulan ni,” balas July tidak mahu mengalah.
Azam membeliakkan mata kemudian dia ketawa diikuti oleh July. Tawa mereka bergabung.
“Ni gelak sakan ni, sah memang tak ada kerja lainlah ni… Mesti tengah mengumpat bos besar,” tegur satu suara membuatkan July dan Azam berpaling.
Azam tersengih. Sedangkan July hanya mampu melemparkan senyuman kelat.
“Kau tu, nama aje bos besar tapi dengan mak tiri kau ni, kau surrender juga.” Gurau Azam sambil menepuk bahu Hans yang berdiri di sisinya sambil menghadap meja kerja July.
“Hesy, Encik Azam ni, tak habis-habis nak perli. Merajuklah macam ni,” ugut July.
Azam hanya mencemikkan muka pada July sebelum ketawa. Hans turut ketawa.
“Aku bukan takut dengan mak tiri tapi kalau tak ada mak tiri ni, siapa yang nak urus jadual aku? Jadual syarikat ni, nak harapkan kau? Kirim salam ajelah.” Balas Hans membela July.
July tersengih. Dia mengangkat-angkat keningnya pada Azam yang kelihatan terkulat-kulat.
“Amboi, back up nampak!” gurau Azam sambil menumbuk lembut bahu Hans.
Hans hanya mengenyitkan mata sebelum ikut ketawa.
By the way, bila kau balik? Tak cakap kat aku pun.” Azam mengalih topik perbualan mereka.
“Sengaja tak nak cakap. Kalau aku cakap, gerenti kau oder minah Arab untuk kau kan? Bukannya aku tak kenal perangai kau tu. Pantang nampak perempuan dahi licin. Semua nak try,” omel Hans.
“Betul tu, Encik Hans. Perangai gatal Encik Azam ni memang tak boleh bendung, nasib baiklah tak berjangkit pada encik.” Sampuk July. Seronok pula dia dapat kenakan Azam kali ini. Selalunya dia saja yang selalu terkena dengan ulah Azam.
Azam menjengilkan mata pada July. Pantas, July menekup mulut sebelum ketawa kecil.
“Walaupun 1 macam ni, tapi I lelaki yang setia tau. One women only.” Ujar Azam tidak mahu mengalah.
July hanya mencebikkan bibir. Dia membuat gaya seperti ingin muntah sebelum dia kembali menatap wajah Hans yang hanya ketawa sedari tadi. Bos besarnya itu nampak kacak dengan rambut yang disisir rapi. Penampilannya yang penuh berkarisma itu cukup membuatkan hati wanita cair apatah lagi saat lelaki itu melebarkan senyuman. Sejuk mata yang memandang.
So Encik Hans, best tak dekat Dubai?” Soal July sekadar ingin tahu.
Wajah Hans berubah. Dia mencapai fail yang dihulurkan oleh July.
Hmmm… Bolehlah…” jawabnya perlahan. Lagak seperti orang yang kecewa.
“Aik, lain macam aje bunyinya tu. Selalunya kaulah orang paling excited nak bercerita bila kau balik dari bercuti. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke ni?” Soal Azam sambil merenung Hans dari atas hingga ke bawah. Jelas, sahabatnya itu kelihatan tidak bersemangat. Seperti ada yang mengganggu fikirannya.
“Esok-esoklah aku cerita. Sekarang, sila buat kerja masing-masing.” Ujar Hans kemudian berlalu meninggalkan Azam dan July yang berpandangan sesama sendiri.
“Sah!” ucap Azam tiba-tiba.
July memandang Azam dengan pandangan pelik.
“Apa yang sahnya, Encik Azam?”
“Sah ada benda yang tak kena!” jawab Azam sambil menghantar tubuh Hans sehingga lelaki itu hilang di sebalik pintu pejabatnya.
July hanya mengjongketkan bahu.

BUNYI ketukan dipintu bilik pejabatnya membuatkan Azam mendongak. Terjengul wajah Hans sebaik saja dia memberi arahan untuk masuk. Azam tersenyum penuh makna saat Hans melabuhkan punggung di hadapannya.
“Kau ni dah kenapa tiba-tiba aje senyum? Dah rupa Joker aku tengok.” Kutuk Hans selamba.
Azam ketawa lepas. Dia membetulkan duduknya menghadap Hans.
“Aku senyum ni sebab aku tengok kau ni lain macam aje. Atau kau dah dapat jodoh dekat Dubai tu? Kalau tak, sia-sia jelah cadangan aku supaya kau bercuti dekat Dubat.” Balas Azam cuba mengorek rahsia yang cuba disembunyikan oleh Hans.
“Kau ni memang tak ada benda lain kan? Awek, isteri, jodoh, kahwin. Tapi kau tu tak kahwin-kahwin juga. Sebiji macam perangai papa aku. Kalau July tu kau panggil mak tiri, kau ni bapak tiri. Hah, sesuailah kau orang berdua.” Bebel Hans dengan laju.
Azam terkebil-kebil sambil merenung wajah Hans yang kelat apabila soal kahwin diutarakan. Namun, tidak lama kemudian dia menghamburkan tawa.
“Kenapa kau gelak?” Soal Hans. Dia menjongketkan kening.
“Saja. Kau kalau membebel, kalah mak nenek. Aku bukan tak nak kahwin, tapi jodoh tak datang lagi, nak buat macam mana? Takkan aku nak call jodoh tu datang cepat-cepat. Kalau aku tahu rupa jodoh aku macam mana, dah lama aku cari dalam Facebook, tak pun Instagram.” Gurau Azam kemudian ketawa dengan kata-katanya sendiri.
Hans terdiam apabila Azam menyentuh soal jodoh. Serentak bayang wajah itu menerpa ruang fikiran. Dia melepaskan nafas pendek.
“Jodoh…” desis Hans perlahan. Dia tersenyum sinis sebelum mengangkat bahu.
“Kau cakap apa, Hans? Aku tak dengar.” Ujar Azam sambil merapatkan tubuhnya ke arah meja.
“Tak ada apalah. Cukuplah cakap pasal jodoh. Aku jumpa kau ni sebab nak tanya pasal iklan Billboard Telco Company tu. Macam mana progress projek tu?” Soal Hans kembali kepada topik sebenar dia datang bertemu dengan Azam.
“Jangan risau, kau boleh harapkan aku. Nah…” jawab Azam seraya menyerahkan fail berisi surat penting kepada Hans. Fail bertukar tangan.
“Tapi aku masih anggap 50-50 sebab syarikat ni cerewet sangat. Nak itulah, nak inilah. Pening kepala aku fikir.” Omel Azam dengan mencemikkan wajahnya.
“Biasalah, Zam. Tak pernah ada client yang tak cerewet. Kalau dia orang sanggup bayar setimpal dengan apa yang kita usahakan, kita bersabar ajelah.” Balas Hans berbaur nasihat.
Azam hanya menganggukkan kepala tanda faham. Sejak berkecimpung dalam dunia pengiklanan ni, Azam sudah masak dengan perangai pelanggan yang bermacam-macam ragam. Kalau diikutkan hatinya yang kurang sabar, sudah lama syarikat itu gulung tikar. Tetapi memandangkan Hans adalah ketua syarikat, sedikit sebanyak dia belajar bersabar apabila melihat Hans tenang dalam mengendalikan kerenah-kerenah pelanggan yang cerewet.
“Tapi dia orang nak proposal idea untuk iklan produk baru ni. Detail okey? Dia orang nak sesiapa yang tengok billboard tu, akan terus tertarik dengan iklan tu. Dia orang nak idea yang fresh. Tak nak yang biasa, maksud aku pacak gambar, words berjela. Dia orang nak satu perkataan aje tapi mampu iklankan produk mereka ni. Plus, new model yang super lawa dan lain dari yang lain. Dia orang nak model yang ada kecantikan asli bukan tampal-tampal make up.” Terang Azam secara terperinci.
Hans menghembuskan nafas panjang. Permintaan pelanggan kali ini benar-benar menguji pereka iklan. Satu perkataan tapi mampu menarik perhatian? Perkataan apa? Soal hatinya. Dia meraup wajah sebelum kembali memandang wajah Azam.
“Kau ada idea?” Soalnya.
Azam berjeda. Dia hanya mampu menayang giginya yang bersih. Sedangkan Hans sudah mula mengeluh.