Tetamu Rindu

Wednesday 26 December 2012

Digari Cinta (Bab 9)


LAMBAIAN tangan daripada Encik Zamry dan Puan Aliana membuahkan senyuman di bibir Arisya yang turut melambai daripada dalam kereta. Wajah bahagia abah dan ibunya cukup membuatkan Arisya gembira walaupun dia terpaksa berhadapan dengan lelaki yang sangat menjengkelkan hatinya.

Hari ini dia akan bertolak ke Terengganu untuk berbulan madu. Kononnya. Walaupun dia tahu Uzair pasti akan merungut kerana terpaksa pergi berbulan madu. Dah nak buat macam mana, itu semua hadiah daripada umi dan ayah Uzair. Terima sajalah.

“ Agak- agaknya kenapa umi dan ayah nak kita pergi bulan madu awal- awal? Padahal baru sehari kita berkahwin..” suara Uzair memecah kesunyian mereka berdua.

Arisya berpaling pada Uzair yang kelihatan tenang memandu. Mata lelaki itu masih difokuskan ke hadapan.

“ Perlu ke saya jawab soalan tu?” soal Arisya seperti orang yang baharu tersedar daripada mimpi.

Uzair berpaling. “ Kalau awak rasa tak keberatan nak jawab, jawablah. Lagipun memang saya tanya awak pun…” balasnya selamba.

Arisya mencebik benci. Dia dah mula dah perangai sengal dia tu. Kalau sehari tak sakitkan hati aku, dia ni memang takkan hidup bahagia ke?

“ Saya rasa sebab awak tu polis, jadi pasti susah awak nak cuti dah. Itu yang ayah dan umi suruh awak bulan madu awal- awal tu…” balas Arisya membuat andaian sendiri.

“ Saya pun rasa macam tu jugak. Tapi saya rasa mcam pelik pulak pergi bercuti dengan awak. Selama ini saya tak pernah keluar dengan mana- mana perempuan kecuali keluarga saya, jadi saya harap awak jangan expect yang saya ni sama dengan lelaki- lelaki lain yang romantik, caring and loving tu. Saya totally different.” Uzair menjelaskan sedikit sebanyak tentang dirinya. Dia tidak mahu Arisya mengharap sesuatu daripada perkahwinan ini.

Arisya tergelak kecil. Macamlah aku suka sangat dekat dia. Eh, tolonglah. Aku pun ada selera aku sendirilah.

“ Dan awak pun jangalah harap sangat yang saya ni akan seperti perempuan- perempuan lain. Saya bukan seorang yang lembut, yang prihatin. Saya ni kasar, suka cakap lepas dan yang paling orang lelaki tak boleh kawan lama dengan saya ialah sebab saya ni panas baran. Jadi kalau saya marah awak, awak jangan marah saya balik nanti teruk padahnya…”

Kata- kata Arisya membuatkan Uzair tergelak sinis. Dia tidak rasa pun Arisya seorang yang panas baran Cuma kadang- kadang gadis itu suka bercakap ikut sedap tekak dia saja. Itu yang membuatkan Uzair rasa macam nak stapler je mulut gadis itu.

“ Kenapa awak gelak?” tanya Arisya tidak puas hati. Dia menjeling pada Uzair yang tersenyum.

“ Saya tak rasa pun awak ni panas baran tapi awak ni kuat membebel. Saya nak ingatkan awak memandangkan awak dah kahwin dengan saya, saya nak awak kurangkan sikit hobi awak yang suka membebel tu. Saya tak suka perempuan yang suka membebel lainlah kalau perempuan tu umi saya,”

“ Eh, sesuka hati awak je nak suruh saya berhenti membebel, untuk pengetahuan awak saya takkan berhenti membebel sebab itu perangai semula jadi saya. Saya takkan ubah semata- mata untuk awak. Kita bukan siapa- siapa pun sampaikan saya perlu ubah perangai saya untuk awak,” ujar Arisya sambil mencebikkan bibir.

“ Ingat, awak tu isteri saya. Nak atau tak nak, awak kena ikut cakap saya selagi cakap saya ni tak menyimpang dari landasan Islam..” balas Uzair tidak mahu mengalah.

“ Tolonglah Inspektor Uzair Darius, saya ni isteri atas kertas awak je tak payahlah awak nak suruh saya ikut cakap awak sebab awak pun bukan sudi sangat dengan perkahwinan ni kan…” tempelak Arisya geram. Suka- suka dia je nak mengatur aku. Suka hati akulah aku nak membebel ke apa ke.

Uzair mengetap bibir tanda geram. Sikap keras kepala Arisya kadang- kadang mencabar kesabarannya sebagai lelaki. Memang perangai makhluk bernama perempuan ni sukar diramal kan? Sebab itulah aku tak suka dengan makhluk Allah yang satu ni. Bisik hati Uzair.

“ Awak jugak yang nak kahwin dengan saya jadi nak, tak nak awak kena ikut cakap saya,” Uzair berkeras.

“ Tak nak!” bantah Arisya.

“ Nak!”

“ Tak nak! Tak nak! Tak nak!” ucap Arisya separuh menjerit.

Sedang asyik mereka bertikam lidah, tiba- tiba kereta Myvi yang dipandu oleh Uzair tersengguk- sengguk sebelum berhenti dengan sendirinya. Kedua- duan insan tersebut terdiam.

“ Kenapa ni?” Soal Arisya mula cemas.

Uzair tidak menjawab soalan Arisya sebaliknya dia cuba menghidupkan kembali keretanya.Namun, setelah beberapa kali memulas kunci, kereta tetap tidak dapat dihidupkan. Hah sudah. Dahi Uzair sudah mula berpeluh.

“ Awak tunggu sekejap, saya nak pergi check apa yang rosak. Awak jangan pergi mana- mana,” ujar Uzair kemudian melangkah keluar daripada perut kereta.

Bonet kereta dibuka. Berasap enjin kereta. Uzair cuba menyentuh tetapi enjin kereta yang panas membuatkannya membatalkan hasrat.

“ Kenapa dengan kereta ni awak?” soal Arisya tiba- tiba muncul di sebelah Uzair.

“ Awak ni terkejut saya…” ucap Uzair sambil mengurut dadanya kerana terkejut dengan kedatangan Arisya yang tiba- tiba.

“ Kan saya dah cakap awak duduk diam- diam dalam kereta, yang awak turun jugak tu kenapa?” sambung Uzair sambil bercekak pinggang.

Arisya mencebikkan bibir. Banyak bunyi betullah dia ni. Tak nampak ke aku tengah tunjuk yang aku caring dekat dia. Bukannya nak hargai, asyik nak membebel je.

“ Dah awak yang lambat jadi saya keluarlah. Macam mana, apa yang rosak?” soal Arisya kembali. Dia turur menjenguk ke dalam enjin kereta yang berasap. Dia mengibas- ngibas asap yang berkepul- kepul.

“ Entahlah, saya pun tak tahu. Saya bukan pakar sangat masalah kereta ni. Lagipun ni bukan kereta saya…” ucap Uzair sambil tersengih. Arisya melongo.

“ Bukan kereta awak? Jadi kereta siapa?” soal Arisya kembali.

“ Kereta ayah. Saya pinjam je…” balas Uzair selamba.

“ Awak servis tak kereta ni?”

Uzair menggelengkan kepala dengan menayang muka yang tak bersalah. Sedangkan Arisya menepuk dahi. Alahai,suami aku.

“ Mana sempat saya nak servis, semalam kita nikah, alih- alih hari ni kita kena pergi bulan madu. Tak sempatlah saya nak hantar servis kereta ayah ni. Kereta saya pulak ada kat bengkel…” terang Uzair selepas Arisya hanya mendiamkan diri.

“ Habis tu sekarang macam mana? Awak tolonglah call mekanik. Takkan kita nak berkhemah kat lebuhraya ni. Satu kereta pun saya tak nampak…” suara Arisya kedengaran risau. Dia menggigit kuku.

“ Nombor telefon mekanik kat Kuantan saya tak ada lah. Saya ada nombor mekanik kat KL je. Awak ada tak?” soal Uzair masih lagi tenang.

“ Awak, saya tak ada kereta macam manalah saya nak ada nombor telefon mekanik. Aduyai awak ni pun…”

“ Nampaknya kita kena berjalanlah cari kampung ke bandar yang terdekat. Kita mintak tolong kat situ. Saya rasa dalam beberapa kilometer lagi Bandar Muktafi Billah Shah. Kita cari mekanik kat sana jelah,” Uzair memberi cadangan.

Arisya terdiam sebentar. Kemudian dia mengangguk setuju. Dia berlalu ke kereta dan mencapai beg sandang dan juga beg tangannya. Arisya menghampiri Uzair yang sudah mengunci kereta. Mereka memulakan perjalanan.

HAJI YUSUF tersenyum pada isterinya yang sedang tekun mengemas rumah. Maklumlah selepas majlis pernikahan anak mereka semalam, rumah mereka masih bersepah. Majlis pernikahan diadakan sekaligus dengan majlis menyambut menantu, maklumlah mereka berjiran jadi tak perlu membazir duit untuk melakukan majlis yang berasingan.

“ Anak menantu kita dah pergi bulan madu ke Dijah?” soal Haji Yusuf sambil mencapai suratkhabar dan duduk di halaman rumah.

“ Sudah bang. Tengah hari tadi mereka gerak. Bahagia sungguh saya tengok Uzair dah kahwin bang,” ucap Hajah Khadijah dengan senyuman yang mekar di bibir tuanya.

“ Saya pun macam tulah Dijah. Suka sangat tengok anak kita tu dah kahwin. Taklah kita risau sangat dengan perangainya yang pemalu tu. Tapi saya tengok Uzair tu memang serasi bila dengan Aris. Mungkin jodoh mereka kot,” balas Haji Yusuf turut tersenyum.

“ Saya pun cukup berkenan dengan Aris tu walaupun perangainya masih lagi macam budak- budak tapi sikap dia yang hormatkan orang tua buat saya suka. Tak sabar pulak saya nak dapat cucu baru,” ucap Hajah Khadijah dengan angan- angan yang tinggi.

Haji Yusuf tergelak kecil dengan impian isterinya itu. Namun, tiba- tiba dia melihat garaj keretanya kosong. Aik, mana perginya Myvi aku tu? Dahi Haji Yusuf berkerut.

“ Dijah, mana kereta Myvi saya?” soal Haji Yusuf sambil berdiri.

“ Oh, kereta awak tu, Uzair pinjam. Kereta dia kan ada kat bengkel. Tengah servis,” ujar Hajah Khadijah selamba.

“ Apa? Awak bagi Uzair bawak kereta saya tu?” Haji Yusuf terkejut. Bagai nak terjojol biji matanya mendengar kata- kata Hajah Khadijah.

“ Yelah awaknya, yang abang terkejut sangat ni kenapa? Awak tak kisah kan Uzair bawak kereta awak tu?”

Haji Yusuf sudah mula mundar mandir di halaman rumah. Sekejap dia duduk sekejap dia berdiri sehingga mendatangkan kekeliruan di benak Hajah Khadijah.

“ Saya memang tak kisah tapi awak tahu tak yang kereta tu ada masalah sikit…”

“ Masalah apa bang?” giliran Hajah Khadijah pula yang terkejut. Dia menghampiri suaminya yang duduk di atas sofa.

“ Kereta tu ada masalah dengan tangki airnya. Saya tak tahu kereta tu dapat bertahan sampai mana. Abang ingatkan lepas majlis Uzair, abang nak hantar bengkel tapi awak dah bagi pada Uzair...harap- harap mereka tak apa- apa…” ucap Haji Yusuf dengan riak yang risau. Dia memandang ke dada langit seolah- olah dia melihat Uzair dan Arisya.

Manakala, Hajah Khadijah hanya mendiamkan diri. Salahnya juga kerana tidak bertanya pada suaminya dulu sebelum memberi kebenaran pada Uzair. Ya Allah, selamatkan perjalanan anak dan menantu ku. Desis hati Hajah Khadijah.

 

HARI semakin senja namun Arisya dan Uzair masih lagi meneruskan perjalanan yang tidak berkesudahan. Mereka sendiri tidak tahu mereka berada di mana. Lebuhraya kelihatan sunyi sepi petang itu manakala perut mereka berdua sudah berkeroncong minta diisi.

“ Awak, lama lagi ke kita nak sampai kat bandar tu? Saya dah penatlah…” suara Arisya memecah kesunyian di antara mereka.

Uzair berpaling pada Arisya yang berjalan di belakangnya. Dia menghentikan langkah menunggu Arisya menyainginya. Dia mengesat peluh yang membasahi wajahnya.

“ Saya pun tak tahulah. Saya bukannya selalu datang Terengganu ni. Tapi saya rasa tak lama lagi kita sampailah. Kalau awak penat, kita rehat dulu,” ujar Uzair lembut. Dia pun penat sebenarnya tapi tidak dinyatakan pada Arisya.

Sebaik sahaja mendengar kata- kata Uzair, Arisya terus duduk bersila di atas jalan raya bagi melepaskan penatnya. Turun naik nafas Arisya melepaskan lelah yang tidak tertahan- tahan. Dia tidak pedulikan Uzair yang menggelengkan kepala melihat tingkahnya. Apa yang penting dia dapat menghilangkan penatnya kerana seharian berjalan.

“ Awak, apa kata awak duduk betul- betul atas line putih tengah jalan raya tu. Senang sikit kereta nampak awak,” perli Uzair.

Perempuan ni tak takut ke duduk tengah- tengah jalan raya. Kena langgar nanti, aku juga yang susah kena bawa dia pergi hospital. Dahlah kereta rosak. Bebel hati Uzair.

“ Sibuklah awak ni. Suka hati sayalah nak duduk atas jalan ke bawah jalan ke. Saya penat awak tahu tak. Selama saya hidup tak pernah saya jalan kaki sejauh ni, awak tu lainlah,” balas Arisya bengang.

“ Apa salahnya awak exercise sikit. Badan awak tu saya tengok bukannya kurus sangat tu. Mana tahu dengan jalan kaki, awak boleh kuruskan badan,” ucap Uzair sambil tergelak besar.

Arisya terpempan mendengar kata- kata Uzair. Dia cakap aku bukan kurus sangat? Maknanya dia cakap aku gemuklah. Kurang ajar punya suami, sempat lagi kutuk aku. Pantas, Arisya mencapai batu kecil, lalu di baling pada Uzair tanda protes.

Tawa Uzair terhenti namun sebaik sahaja melihat wajah Arisya yang memerah, Uzair kembali ketawa. Suka benar melihat wajah itu menahan marah.

“ Gelaklah, gelak sampai pengsan. Saya memang suka awak kutuk saya,” balas Arisya sambil mengetap bibir. Dia bangun dan berjalan menuju ke arah Uzair. Dia duduk di sebelah Uzair. Peha lelaki itu dicubit sekuat hati. Hah, rasakan penangan Arisya Yusra.

“ Auch, sakitlah! Kasarnya awak ni. Saya bergurau je tadi,” ucap Uzair sambil menggosok pehanya yang terasa pedih.

“ Padam dengan muka awak. Siapa suruh kutuk saya?” balas Arisya sambil tersenyum kemenangan.

Tiba- tiba dia memegang perutnya yang berbunyi. Dia memandang wajah Uzair yang kacak.

“ Kenapa pandang saya macam tu?” soal Uzair sambil membetulkan butang bajunya. Takut diapa- apakan oleh Arisya.

“ Saya laparlah. Awak tak lapar ke?”

Uzair menarik nafas lega. Lapar rupa- rupanya. Ingatkan apalah tadi. Uzair tersenyum sendirian. Dia mencari sesuatu dalam begnya namun tiada apa yang dijumpai.

“ Saya tak bawak makananlah. Saya pun lapar juga tapi kat sini tak kedai makan. Awak bertahan sikit ya. Nanti kalau ada kereta lalu, kita tahan,” balas Uzair cukup lembut. Dia kesian melihat wajah isterinya yang keletihan kerana seharian tidak menjamah apa- apa makanan. Tapi apalah dayanya untuk menolong gadis itu, dia pun lapar juga. Perutnya sudah memainkan lagu irama klasik yang tidak tahu apa tajuknya.

Arisya mengeluh hampa. Kemudian, dia membuka beg sandangnya dan ternyata ada sebungkus kecil biskut Lexus terselit di celah pakaiannya. Arisya tersenyum riang.

“ Awak, tengok ni ada biskutlah…” ujarnya sambil menayang biskut tersebut pada Uzair.

Uzair turut tersenyum gembira. Dia membiarkan Arisya membuka plastik biskut dan menikmati biskut tersebut. Dia menelan air liur. Namun, demi egonya dia tidak akan sesekali meminta pada Arisya.

“ Awak nak?” tanya Arisya sambil menyuakan biskut tersebut pada Uzair yang sedang termenung. Pantas, Uzair menggelengkan kepala.

“ Alah, awak tak payah nak malu- malu dengan saya. Awak makan sekeping, saya makan dua keping. Ambil lah,” ucap Arisya sambil menarik tangan Uzair. Dia meletakkan biskut tersebut di atas telapak tangan Uzair.

Uzair mengalah, akhirnya dengan sekali suapan, biskut tersebut habis dikunyah. Dia menggosok tengkuknya. Alangkah bestnya kalau dapat minum air ni. Bisik hatinya.

“ Awak, nah air vitagen. Tak sangka saya ada simpan dalam beg ni…” ujar Arisya tiba- tiba mengejutkan Uzair. Dia memalingkan wajahnya pada Arisya yang menghulurkan air vitagen yang telah separuh diminum oleh gadis itu.

“ Beg awak tu kedai runcit ek? Macam- macam ada, harap nasi je yang tak ada,” ucap Uzair sambil tergelak kecil.

“ Inilah perempuan. Benda yang dianggap remeh oleh lelaki itulah yang akan perempuan simpan. Tengok, kan berguna sekarang ni…” ujar Arisya sedikit berbangga. Dia tersenyum.

Uzair hanya mencebikkan bibir.

“ Sebab itulah beg perempuan besar- besar. Banyak pulak tu, kalau boleh semua barang nak isi dan yang kena angkat, lelaki jugak kan. Itulah sikap perempuan,” ujar Uzair membantah kata- kata Arisya.

“ Apa gunanya Tuhan kurniakan lelaki kudrat yang banyak kalau tak boleh tolong perempuan. Alah setakat angkat beg, takkan itu jadi isu yang besar bagi kaum awak kot…” balas Arisya tidak berpuas hati.

“ Memanglah bukan isu yang besar tapi masalahnya kaum awak tu menyusahkan kaum saya. Dah bawak beg besar- besar tak nak bawak sendiri, semuanya nak letak atas bahu lelaki. Ingat kudrat yang Allah bagi tu semata- mata untuk kaum awak ke?” Uzair mula memuntahkan rasa tidak puas hatinya.

Nampaknya peperangan akan bermula. Arisya sudah berdiri mengadap Uzair. Melotot matanya memandang Uzair yang kelihatan tenang. Dia memang pantang kalau ada yang mengutuk kaumnya. Macamlah kita ni terlalu bergantung sangat dengan kaum dia tu. Bentak hati Arisya.

“ Yang awak tak puas hati sangat dengan kaum saya tu kenapa? Kalau tak ada kaum perempuan, hidup awak tu akan sunyi tahu tak?” suara Arisya sudah mula meninggi.

Uzair tersenyum sinis. Ye ke sunyi? Memang tak lah. Kalau tak ada lebih baik kut.

“ Lebih baik tak ada daripada ada. Perempuan semuanya sama, suka menyusahkan hidup lelaki. Dah tu penipu, suka bermuka- muka. Cakap tak serupa bikin. Itu semua perangai perempuan!” balas Uzair turut meninggi. Seolah- olah dengan cara itu dia dapat meluahkan rasa sakit hatinya pada insan yang bergelar wanita.

Arisya semakin bengang. Dia mencekak pinggang. Ini dah lebih. Tak mengapa wahai kaum wanita, aku akan pertahankan kaum aku sehingga kaum Adam ni mengalah.

“ Oh, perempuan menipu, cakap tak serupa bikin? Yang awak percaya sangat tu kenapa? Awak ada otak fikirlah mana yang baik mana yang buruk. Atau pun memang lelaki ni jenis yang bengap sebab itulah cepat sangat kena tipu. Padam muka!” balas Arisya keras.

Suasana menjadi semakin tegang. Telinga Uzair berdesing mendengar kata- kata kasar yang terbit daripada bibir comel itu. Ini yang buat aku makin tak suka dengan perempuan.

“ Sebab perempuan selalu mengambil kesempatan terhadap kebaikan lelaki. Perempuan memang tak guna!”

“ Perempuan yang awak cakap tak guna tu dah jadi ibu awak. Perempuan yang tak guna itu juga yang jadi isteri awak yang akan temani seumur hidup awak. Awak tak perlu nak lawan fitrah Uzair. Tak ke mana pun…” ucap Arisya. Suaranya kembali mengendur. Dia mencapai beg dan menggalasnya kembali.

“ Awak tak boleh samakan umi dengan perempuan- perempuan lain. Gelaran seorang ibu itu sangat mulia tetapi perempuan- perempuan lain bagaikan sampah pada saya…” ujar Uzair masih lagi tegang.

Arisya tersentak. Sampah? Maknanya dia cakap aku sampah juga. Bencinya dia pada perempuan. Kenapa agaknya? Hati Arisya berteka- teki.

“ Awak boleh membenci perempuan selama mana yang awak mahukan tetapi awak tak boleh melawan takdir apabila seorang lelaki itu memerlukan seorang perempuan sebagai pendamping melainkanlah awak ni jenis gay. Itu saya tak boleh nak cakap apalah. Tapi awak kena ingat Uzair, Rasulullah pun sunyi apabila tiada wanita di sisi baginda, apatah lagi awak kan. Saya nak tengok selama mana awak boleh pertahankan prinsip awak yang benci pada perempuan tu. Jangan suatu hari nanti awak gilakan perempuan sudah…” ucap Arisya tenang. Dia melangkah ke tepi jalan apabila dia terdengar bunyi kereta.

“ Walaupun saya benci pada perempuan tu bukan bermaksud saya suka pada lelaki. Tetapi pendirian saya pada perempuan takkan berubah walau bertahun pun saya berkahwin dengan awak. Saya takkan kalah di tangan perempuan,” balas Uzair perlahan. Dia hanya memandang Arisya yang sudah berdiri di tepi jalan.

Arisya tidak membalas. Lantak kau lah. Dia melambaikan tangan untuk menahan sebuah kereta Proton Waja yang bergerak tidak jauh daripadanya. Arisya tersenyum apabila kereta tersebut berhenti di hadapannya.

Tidak lama kemudian, dua orang lelaki keluar daripada perut kereta sambil tersenyum penuh makna. Arisya menelan air liur. Lain macam je senyuman tu bang. Takut pula aku. Desis hati Arisya.

“ Kenapa dengan cik adik ni?” tanya lelaki yang memakai t-shirt berwarna merah. Lelaki itu kelihatan mengunyah gula- gula getah.

“ Kereta saya rosak, saya nak tumpang boleh?” tanya Arisya walaupun tergagap. Dia kecut perut melihat renungan kedua lelaki itu yang memandangnya dari atas ke bawah.

“ Oh, nak tumpang…boleh- boleh. Jomlah. Kita boleh seronok- seronok,” ujar seorang lagi sambil tergelak. Cukup jahat kedengaran di telinga Arisya.

“ Nanti dulu, biar saya ajak suami saya sekejap,” ucap Arisya sambil mengundur langkah untuk mendapatkan Uzair yang hanya memandang dari kejauhan.

Namun, tanpa diduga lelaki tersebut merentap pergelangan tangan Arisya membuatkan langkah Arisya terhenti. Berdegup kencang jantung Arisya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kedua lelaki tersebut.

“ Tak payahlah nak ajak suami bagai. Awak seorang pun dah cukup. Kereta ni tak muatlah naik ramai- ramai,” ujar lelaki tersebut sambil cuba menarik tangan Arisya menuju ke kereta.

Arisya meronta. Dia cuba melepaskan tangannya daripada cengkaman kedua lelaki tersebut. Ini dah lebih. Aku pantang orang pegang aku sesuka hati bapak dia je. Aku ada suami lah. Hati Arisya menjerit.

“ Hoi, lepaskan aku. Awak, tolong!” jerit Arisya kuat.

“ Alah cik adik ni tak payahlah jerit- jerit. Kita nak hantar awak ni takkan tak nak kot?” lelaki berbaju merah itu bersuara. Cukup gatal dan menggelikan anak tekak Arisya.

“ Tak naklah! Lepaskan tangan saya sebelum saya bertindak ganas!” ugut Arisya. Dia berpaling ke belakang. Eh, mana Uzair. Takkan dia tinggalkan aku. Argh, tak mungkin!

“ Saya nak tengok juga keganasan awak tu. Tunjuklah sikit,” ejek lelaki yang bersubang itu lantas ketawa besar dan diikuti oleh kawannya yang berbaju merah.

“ Seronok gelak bang, tak nak ajak saya sekali ke?” satu suara menyapa membuatkan tawa kedua lelaki tersebut terhenti. Mereka mendongak.

Uzair tersenyum dan melambaikan tangan pada kedua lelaki tersebut dengan selamba. Dia melihat tangan kedua lelaki tersebut memegang pergelangan tangan Arisya. Serta merta perasaan marah menyapa hatinya. Dia cukup tak suka melihat tangan isterinya itu berada di dalam genggaman lelaki lain. Rasa macam nak cincang sampai lumat je lelaki tersebut.

“ Kau siapa?” tanya lelaki baju merah.

“ Saudara sesama Islamlah. Untuk pengetahuan abanglah, perempuan yang abang pegang tu, isteri saya. Saya ni ada masalah sikit…” ucap Uzair berbasa basi. Dia menghampiri kedua lelaki tersebut tanpa rasa takut.

Dia melihat wajah Arisya sudah keruh. Mungkin takut kerana dipegang oleh lelaki yang tidak dikenali itu. Salah dia juga, memandai sangat tahan kereta ikut suka hati. Tengok aku juga yang kena selamatkan dia. Nak buat macam mana, isteri katakan.

“ Apa masalah kau?” tanya lelaki itu kembali.

“ Masalah saya… saya pantang tengok lelaki lain sentuh isteri saya tu. Kalau saya dapat, memang saya takkan lepaskan…” balas Uzair masih lagi selamba. Dia menyinsing lengan baju t-shirt yang dipakainya. Beg sandangnya di campak ke tepi. Dia melangkah setapak lagi.

Arisya terharu mendengar kata- kata Uzair. Hatinya sedikit berbunga- bunga.

“ Tu masalah kau bukan masalah aku. Dah isteri kau datang menyerah takkan kami nak tolak…” lelaki tersebut membalas.

Uzair mengetap bibir. Sakit hati betullah bercakap dengan orang tak ada sivik ni. Ni nak suruh aku bertindak ganaslah ni.

“ Niat isteri saya tu baik tapi abang berdua ni dah salah faham. Sekali lagi saya minta tolong lepaskan isteri saya tu…saya ni bukan penyabar sangat orangnya. Abang jangan menyesal kalau terpaksa naik ambulance lepas ni,” ujar Uzair lagi cuba berlembut. Dia mengancing gigi.

Kedua lelaki tersebut hanya tergelak mendengar kata- kata Uzair. Nak gertak konon, ingat aku takut, ini Komenglah takkan gentar dengan ugutan. Mangsa dah ada depan mata takkan nak lepaskan begitu sahaja.

“ Entah- entah kau yang naik ambulans. Perempuan ni aku punya. Jangan harap aku bagi kat kau,” balas Komeng.

Uzair bertambah bengang. Lalu, dengan sepantas kilat dia merentap tangan Arisya daripada cengkaman kedua lelaki tersebut dengan kuat. Tubuh Arisya ditolak ke belakang. Dia berdiri di hadapan Arisya berhadapan dengan kedua lelaki tersebut.

Komeng dan kawannya tersentak. Pergerakan Uzair terlalu pantas membuatkan mereka terkedu. Fuyooo, hebatnya dia!

Komeng menepuk bahu kawannya supaya menyerang Uzair yang tersenyum sinis. Jack yang mengerti isyarat Komeng terus menerpa ke arah Uzair yang sudah bersedia. Belum sempat dia menghulur penumbuk, mukanya terlebih dahulu ditumbuk keras. Perutnya dihentak dengan lutut membuatkan dia jatuh tertiarap di atas jalan raya. Jack menjerit kesakitan.

Terkebil- kebil Komeng melihat kawannya jatuh tersungkur dengan begitu mudah. Dia menelan air liur melihat darah yang keluar daripada mulut Jack. Kemudian dia memandang wajah Uzair yang tenang. Lelaki itu melangkah setapak cuba menghampirinya. Ish, bahaya dia ni.

“ Kau kerja apa?” terpacul soalan itu daripada mulut komeng. Suaranya terketar- ketar.

“ Inspektor polis unit jenayah dari IPD Kuantan…” balas Uzair selamba. Dia memeluk tubuh.

“ Po…po..lisss…Jack bangun…” Suara Komeng bergetar. Dia menggigil.

Lantas, dia mendapatkan Jack yang masih terkial- kial untuk bangun. Komeng memapah Jack menuju ke kereta. Tidak lama kemudian, kereta Waja tersebut menderum laju meninggalkan Uzair dan Arisya dalam kegelapan malam. Hanya cahaya lampu jalan saja yang menemani mereka berdua.

 

UZAIR tersenyum melihat tingkah kedua penyangak tersebut. Dia sengaja membiarkan keduanya melarikan diri kerana dia tiada kuasa untuk menahan lelaki tersebut. Apa yang penting mereka selamat. Uzair berpaling ke belakang. Dia melihat Arisya masih lagi berdiri di belakangnya. Uzair menghampiri Arisya yang diam membisu.

“ Awak tak apa- apa?” tanya Uzair lembut. Dia mencari raut wajah Arisya yang tertunduk. Ish, dia ni menangis ke apa?

Arisya menggelengkan kepala. Dia okey cuma sedikit terkejut dengan kejadian tadi. Dia masih lagi ketakutan.

“ Apa maksud awak dengan gelengan tu? Awak okey ke tak ni?” tanya Uzair lagi.

Dia memegang kedua belah bahu Arisya. Dagu gadis itu dipaut lembut. Dengan cara begitu baru dia dapat melihat wajah gadis itu. Uzair terkesima apabila melihat wajah itu basah dengan air mata.

“ Kenapa menangis ni? Takut ye? Jangan risau lelaki- lelaki itu dah tak ada. Saya ada dengan awak sekarang ni,” pujuk Uzair. Dia turut terkesan melihat air mata Arisya yang menitis.

“ Saya takut, awak. Saya takut awak tinggalkan saya tadi…” akhirnya Arisya bersuara. Dia memandang tepat ke mata Uzair.

Uzair membalas pandangan Arisya dengan senyuman kecil terukir di bibir. Alahai, dia ni manja lah pulak. Selama ni bukan main garang mengalahkan singa betina.

“ Saya Cuma nak tengok sejauh mana lelaki tadi cuba kacau awak. Saya tak sangka pulak dia sanggup bertindak macam tu. Bukan niat saya nak tinggalkan awak. Awak jangan risaulah, saya kan polis takkan saya nak biarkan orang lakukan kejahatan depan mata saya pula, kalau negara saya boleh pertahankan, takkan saya nak biarkan orang lain ambil kesempatan pada diri awak,” ucap Uzair. Kedengaran cukup ikhlas di pendengaran Arisya.

Hati wanita Arisya tersentuh mendengar ucapan Uzair. Ternyata lelaki itu bukan seteruk yang disangka. Dia tidak dapat bayangkan jika Uzair meninggalkannya bersama dengan lelaki- lelaki jahat pasti teruk dia dikerjakan. Syukur pada-Mu ya Allah.

“ Terima kasih, awak,” ucap Arisya.

Lantas, dia memeluk tubuh sasa Uzair. Dia menyembamkan wajahnya ke dada bidang milik Uzair. Dia menangis. Arisya sendiri tidak tahu mengapa perlu dia menangis tetapi dia rasakan kehadiran Uzair sedikit sebanyak melegakan dirinya. Dia bersyukur kerana Uzair masih bersama dengan dirinya.

Uzair terkedu. Dia tidak sempat mengelak. Namun, dia biarkan sahaja mungkin Arisya benar- benar ketakutan. Uzair membalas pelukan Arisya. Hangat pelukan Arisya mendamaikan jiwanya. Dia mengelus lembut kepala Arisya yang beralas tudung berharap dengan cara itu Arisya akan dapat menenangkan diri.

2 comments:

  1. so sweet...hahaha...mesti uzair akan fall in love dekat Arisya...hehehe... :)

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.