Tetamu Rindu

Friday 30 November 2012

Rindu Dalam Sepi (Bab 23&24)


BAB 23

ARYANI tersenyum simpul apabila semua mata memandang padanya. Dia tersengih apabila mama dan papanya tidak berkelip memandang tubuhnya daripada atas ke bawah. Begitu juga dengan Ammar dan Mardiyah.

“ Kenapa pandang Yani macam tu mama, papa?” Aryani bersuara memecah kesunyian di meja makan itu.

“ Macam mana mama dan papa tak pandang Yani kalau penampilan Yani hari ini memang lain sangat. Cantik!” puji Datin Zarina sambil meneliti penampilan Aryani yang baharu.

Walaupun hanya mengenakan baju kurung dan berselendang yang dililitkan menutupi dadanya cukup membuatkan anak daranya itu kelihatan manis dan ayu. Sejuk hatinya sebagai ibu memandang perubahan yang berlaku pada anak gadisnya itu.

“ Ha’ahlah Kak Yani. Sejak bila akak pakai tudung?” Akhil menyampuk. Dia melabuhkan punggung di sebelah Ammar sementara Mardiyah duduk di samping Aryani di hadapan Ammar.

Aryani tersenyum pada Akhil. Dia memandang wajah ahli keluarganya satu persatu. Bertuah sungguh kerana dia mendapat mama dan papa yang selalu mendokong dirinya dalam segala hal. Abang yang penyayang dan juga adik yang manja. Dia tidak mahu apa- apa lagi dan sudah tiba masanya untuk dia berhijrah ke arah yang lebih baik memandangkan tidak lama lagi dia akan bergelar isteri orang.

“ Dah lama akak teringin tapi baru semalam akak terbuka hati nak cuba pakai tudung itupun selepas tengok Kak Diya manis apabila bertudung. Tudung akak ni pun Kak Diya yang bagi. Akak rasa dah tiba masanya akak berubah,” jawab Aryani tenang. Dia menghirup air kopi yang tersedia. Wajah Mardiyah yang tersenyum dipandang.

“ Alhamdulillah…” ucap mereka serentak.

“ Papa pun dah lama berharap yang Yani akan berubah dan ternyata doa mama dan papa akhirnya terkabul jugak. Terima kasih Diya sebab membantu Yani dalam mencari diri dia yang sebenar,” Datuk Zainal mula bersuara.

“ Diya tak buat apa- apa pun papa. Yani yang nak berubah kerana diri dia sendiri. Diya Cuma bantu apa yang termampu lagipun ini kan tanggungjawab Diya sebagai muslim,” jawab Mardiyah petah membuahkan senyuman di bibir Datuk Zainal dan Datin Zarina.

Ammar hanya mendengar butir bicara Mardiyah tanpa berkata apa- apa. Sesungguhnya dia cukup gembira dengan perubahan adik perempuannya itu. Dia sendiri tidak menyangka Mardiyah mampu mengubah adiknya ke arah kebaikan. Namun, lamunan diganggu dengan bisikan daripada Akhil yang berada di sebelahnya.

“ Cuba along tengok, Kak Diya berjaya lembutkan hati Kak Yani untuk bertudung takkan hati along masih keras untuk membenci Kak Diya? Kalau along lepaskan Kak Diya, Akhil gerenti along takkan dapat perempuan yang sebaik dan sesolehah Kak Diya. Akhil pun nak cari perempuan macam Kak Diya…” bisik Akhil membuatkan Ammar tidak dapat berkata apa- apa. Dia kelu untuk membalas ucapan Akhil. Haruskah aku menerima wanita ini menjadi sebahagian hidup aku? Hati Ammar tertanya- tanya.

“ Kak Diya, boleh tak kalau Yani nak pinjam kereta akak untuk pagi ni?” soalan Aryani membantutkan lamunan Ammar.

“ Kereta Yani?” soalan di balas soalan.

Road tax kereta Yani dah tamat. Yani ingat nak pergi klinik dulu sebelum pergi sambung road tax. Tengah hari nanti Yani hantar kereta akak kat pejabat,” ujar Aryani seperti yang dirancang.

“ Hmm, boleh je Yani gunakan kereta akak tu. Akak tak kisah,” jawab Mardiyah tanpa berfikir panjang.

“ Habis itu Kak Diya nak pergi kerja dengan apa?” Akhil menyampuk.

Mardiyah mengetuk dagu. Dia mengelap mulutnya selepas menghabiskan bihun goreng.

“ Diya pergi kerja dengan Am jelah. Lagipun pejabat korang kan sama,” sampuk Datuk Zainal.

Mardiyah tersentak. Ammar tersedak. Mereka berpandangan.

“ Errr, tak mengapalah papa Diya boleh pergi sendiri naik teksi tak pun Diya boleh mintak tolong Yusuf sepupu Diya ambilkan Diya kat sini,” jawab Mardiyah tersekat- sekat. Panahan mata Ammar menikam kalbunya.

Ammar bungkam di tempat duduknya. Berderau juga darahnya apabila Mardiyah menyebut nama lelaki lain walaupun lelaki itu sepupu Mardiyah. Apa dah jadi dengan aku ni? Batin Ammar menjerit.

“ Buat apa susahkan orang lain Diya, tempat kerja kamu dan Ammar kan sama. Tak perlu susah- susah kamu nak naik teksi atau telefon Yusuf,” tambah Datin Zarina mengiakan cadangan Datuk Zainal.

“ Err tapi Diya…”

“ Kalau tak sudi cakap jelah tak sudi. Senang cerita,” Ammar mula bersuara.

“ Bukan macam tu nanti apa staff lain cakap kalau nampak saya datang kerja dengan Encik Am,” akhirnya terluah juga apa yang berada di dalam fikiran Mardiyah.

Dia risau jika ada yang terserempak dengan mereka berdua pasti akan ada gosip yang melanda dalam pejabat itu memandangkan dia hanya setiausaha Ammar sahaja sedangkan lelaki itu bakal menjadi pengarah syarikat.

“ Takut staff lain nampak ke takut Raqeem yang nampak?” tempelak Ammar dalam diam. Dia merenung wajah Mardiyah cuba menduga gadis itu.

Mardiyah terkelu. Dia memandang wajah Datin Zarina cuba meminta bantuan daripada ibu mentuanya itu namun Datin Zarina hanya tersenyum dan mengangguk supaya dia pergi bersama dengan Ammar.

Apabila tiada jawapan daripada Mardiyah, Ammar bingkas dari tempatnya dan pergi menyalami Datuk Zainal dan Datin Zarina.

“ Ma, pa Am pergi dulu. Yang duduk termenung lagi tu kenapa? Nak kena dukung ke baru nak bangun,” selamba Ammar berkata pada Mardiyah membuatkan yang lain ketawa.

Mardiyah tersentak lantas dengan pantas dia bangun dan membuntuti langkah Ammar selepas bersalaman dengan Datuk Zainal dan Datin Zarina.

“ Nampaknya reaksi along makin positif mama. Ada nampak tanda- tanda along cemburu dengan Abang Raqeem,” Akhil membuat kesimpulan selepas kelibat Ammar dan Mardiyah menghilang di sebalik pintu utama.

Datin Zarina tersenyum ceria. Rancangan dia untuk mendekatkan Ammar dan Mardiyah semakin menampakkan sinarnya. Dia tahu dalam diam Ammar sedang berperang dengan perasaan antara benci dan cemburu. Walaupun anak lelakinya itu tidak berkata apa- apa tapi bahasa tubuh Ammar telah menceritakan segalanya.

“ Tapi kita kena fikirkan rancangan seterusnya mama sebab Yani tengok hati along tu bukan main keras lagi apatah lagi along masih berhubungan dengan Kak Lydia tu,” tambah Aryani.

Datin Zarina hanya tersenyum nipis.

“ Kamu jangan risau, cepat atau lambat along kamu pasti akan tewas dengan perasaan dia sendiri. Sekeras mana pun hati along kamu pasti dia akan tertawan dengan budi pekerti Kak Diya kamu tu. Mama yakin sangat yang satu hati nanti along kamu yang akan tinggalkan Lydia,” ucap Datin Zarina penuh pengharapan.

 

SUASANA sepi menyelubungi kereta Ammar hanya suara deejay radio sahaja yang kedengaran. Mardiyah pula hanya termenung memandang ke luar jendela. Tiada apa yang perlu dikatakan dan dibicarakan dengan majikannya itu.

“ Terima kasih sebab kau Yani dah berubah,” suara Ammar memecah kesunyian. Dia tidak betah dengan berdiam diri sahaja. Dia mengerling sebentar pada Mardiyah yang hanya membisu di sebelahnya. Entah apa yang berada di dalam fikiran gadis itu.

“ Oit, dah sampai ke mana tu?” soal Ammar sambil mencuit lengan Mardiyah  selepas tiada balasan daripada gadis itu.

Mardiyah tersentak lantas menarik tangannya. Tidak suka disentuh atau dicuit oleh lelaki itu. Mardiyah berpaling.

“ Encik cakap apa? Saya tak dengar,”

“ Macam mana nak dengar kalau asyik nak termenung je. Aku nak ucapkan terima kasih sebab kau dah berjaya mengubah Yani,” ulang Ammar.

Mardiyah tersenyum.

“ Saya tak buat apa- apa pun Yani yang berubah mengikut kata hati dia. Lagipun dia memang cantik walaupun bertudung,” ucap Mardiyah merendah diri.

Ammar hanya tersenyum mendengar jawapan Mardiyah. Walaupun dia cuba untuk tidak mempedulikan gadis ini tetapi jauh di sudut hatinya ada perasaan untuk lebih mengenali isterinya ini. Ah, mana janji aku dulu untuk melihat dia terseksa?hati Ammar menjerit.

“ Aku tak tahu apa istimewanya kau sampaikan family aku boleh terima kau dengan senang sedangkan mama begitu payah nak terima Lydia walaupun Lydia tu pilihan hati aku,” ujar Ammar membuatkan Mardiyah tertunduk.

“ Saya tak mintak keluarga Encik Am terima saya dan layan saya dengan baik sebab saya tiada apa yang istimewa dibandingkan dengan Lydia tapi saya bersyukur sebab mama, papa dan adik- adik terima saya dan hormat saya sebagai seorang wanita biasa. Saya tak akan ganggu hubungan encik dengan kekasih encik Cuma saya harap encik tak halang untuk saya dekat dengan mama, papa dan adik- adik encik sebab saya rasa saya mula sayang pada mereka,” ucap Mardiyah lembut. Dia mematah- matahkan jarinya.

Ammar terdiam. Apa yang perlu dikatakan lagi? melihat wajah lembut gadis itu menimbulkan rasa simpati dalam diri Ammar bila terkenangkan gadis itu sekarang sudah kehilangan ayah. Mungkin kehadiran keluarganya mampu mengubat sedih gadis itu. Fikir Ammar. Lantas dia tersenyum nipis.

“ Baiklah aku takkan halang kau untuk rapat dengan keluarga aku dengan syarat jangan kau harap yang aku akan terima kau sebagaimana mama aku terima kau,” Ammar masih lagi tetap utuh dengan egonya walaupun hatinya tidak berbisik seperti apa yang terluah di bibirnya.

“ Terima kasih encik saya sedar siapa yang di mata encik dan saya akan sentiasa ingat tentang taraf saya,” ujar Mardiyah sayu cuba melindungkan sebak yang terasa.

Ammar tidak membalas dia hanya mendiamkan diri namun dalam hati dia tertanya ke mana perginya perasaan benci yang dia tanamkan untuk gadis itu kerana saat ini hatinya terasa lapang bila gadis itu berada di sisinya. Dia terasa seolah- olah dirinya lengkap. Apakah ini hanya mainan perasaan ataupun satu petunjuk?
 


BAB 24

“ CANTIKNYA Kak Diya…” puji Aryani selepas puas menyolekkan wajah Mardiyah. Dia memalingkan wajah Mardiyah ke cermin supaya gadis itu dapat melihat wajahnya sendiri di hadapan cermin.

Berkelip- kelip Mardiyah memandang wajahnya di hadapan cermin. Aku ke ni? Soalnya dalam hati. Dia nampak begitu berlainan apabila di solek sebegitu oleh Aryani. Pada awalnya dia menolak untuk disolekkan tapi apabila Aryani memujuk, Mardiyah tewas juga. Akhirnya dia membiarkan sahaja Aryani wajahnya di solek dan rambutnya di dandan oleh Aryani.

“ Hmm, tapi ada yang kurang. Rambut akak ni kalau dilepaskan baru cantik lagipun along suka perempuan yang berambut panjang,” ujar Aryani sambil jari jemarinya bermain di rambut Mardiyah.

Mardiyah terdiam apabila nama Ammar di sebut. Dia teringat kata- kata Ammar pagi tadi, walaupun keluarga Datin Zarina menerima dirinya, namun Ammar tidak akan sesekali menerima Mardiyah sebagai isteri walaupun ikatan sah. Itu yang membuatkan Mardiyah sedikit berjauh hati. Dia sedar dia tidak layak untuk lelaki sehebat Ammar dan tidak akan pernah sepadan dengan lelaki itu dan dia akan cuba elakkan untuk menjaga hatinya agar tidak terjebak dengan perasaan aneh yang dulu pernah menghiasi hatinya.

“ Akak dengar tak apa yang Yani cakapkan ni?” soalan Aryani menghentikan lamunan Mardiyah. Dia mendongak memandang wajah cantik Aryani yang seiras dengan Datin Zarina.

“ Maaflah akak tak dengar. Yani cakap apa?” balas Mardiyah membuatkan Aryani tergelak kecil.

“ Yani cakap along tu memang nampak kasar dengan garang tapi along manja tau. Along jugak suka perempuan yang berambut panjang macam Kak Diya nampak lebih feminin,”

“ Mungkin sebab itulah along jatuh cinta dengan Cik Lydia kan?” soal Mardiyah selamba.

Aryani terdiam sebentar. Dia memegang kedua belah bahu Mardiyah dan cuba merenung ke dalam mata kakak iparnya itu. Ada sendu di mata itu.

“ Yani tak rasa pun yang along cintakan Kak Lydia…”

“ Kenapa Yani cakap macam tu? Bukan ke along memang cintakan Cik Lydia?” pintas Mardiyah tanpa sempat Aryani menghabiskan ayatnya. Pandangannya di fokuskan pada laman wajah Aryani yang mencebik. Dia hanya membiarkan Aryani menyapu blusher di pipinya.

“ Sebab Yani kenal dengan abang Yani tu. Dia memang bukan anti perempuan dan bukan anti dengan cinta tapi untuk mengungkap kata cinta pada seseorang tu agak payah bagi along. Yani tahu yang semua perempuan yang pernah mama kenalkan pada along cakap yang along ni tak romantik. Malah, Kak Lydia pun pernah cakap macam itu tapi Yani tak hairan sebab memang along macam tu entah sampai bila dia dapat jumpa dengan cinta sejati dia,” jelas Aryani tentang abang kesayangannya itu.

“ Habis itu macam mana Encik Ammar boleh bercinta dengan Cik Lydia kalau tak saling mencintai?” soal Mardiyah pelik.

Aryani mengeluh. Dia meletakkan sikat di atas meja solek kemudian dia berlalu menuju ke almari. Sepasang baju kebaya berwarna putih dan bermanik dibawa keluar kemudian di hulurkan pada Mardiyah.

“ Setahu Yani, Kak Lydia yang nak jalinkan hubungan dengan along. Waktu itu along tengah pening kepala sebab mama asyik carikan perempuan untuk jadikan isteri untuk along jadi untuk elakkan daripada mama mencarikan jodoh along terima Kak Lydia tapi sejauh mana along cintakan Kak Lydia Yani tak tahu pulak,” terang Aryani. Mardiyah hanya menganggukkan kepala.

“ Nah, cuba akak try pakai baju ni mesti bertambah cantik,” Aryani menghulurkan baju kebaya tersebut pada Mardiyah.

“ Inikan baju Yani. Tak naklah akak pakai. Yani yang nak jadi pengantin, Yani yang kena pakai bukan akak,” tolak Mardiyah lembut. Dia menggelengkan kepala.

“ Yani cuma nak tengok akak pakai baju pengantin ni mesti cantik. Bolehlah kak sekejap je,” pujuk Aryani lembut. Dia memegang tangan Mardiyah.

Mardiyah mengetap bibir. Kalau dengan pujukan Aryani pasti dia akan tewas. Tidak dapat tidak akhirnya Mardiyah mengikuti kemahuan Aryani lagipun hanya mereka berdua di dalam bilik itu. Dia berlalu ke bilik air untuk menyalin pakaian. Selepas beberapa minit dia keluar.

“ Wah, akak memang cantiklah pakai baju tu. cuba akak tengok diri akak dalam cermin,” Aryani seakan tergamam melihat figura Mardiyah yang kelihatan cantik dan ayu apabila mengenakan kebaya yang diberi sentuhan moden dari segi rekaannya. Lantas, Aryani menarik Mardiyah ke hadapan cermin. Dia membiarkan Mardiyah mengamati dirinya di dalam cermin.

Mardiyah memandang wajahnya di depan kaca. Wajahnya memang tampak lain setelah disolekkan. Rambutnya juga di dandan dengan cantik tapi kenapa wajahnya seperti tidak bermaya. Mardiyah menundukkan wajah. Ada satu yang hilang di wajahnya iaitu senyuman kegembiraan. Selepas peristiwa itu berlaku dalam hidupnya, kegembiraan Mardiyah bagaikan sirna sehinggakan dia sudah tidak tahu bagaimana untuk ketawa riang seperti dahulu. Mardiyah rasakan dia sudah tidak seperti dahulu lagi, jika dahulu dia seorang yang suka melawan tetapi sekarang dia lebih mudah mengalah dan tunduk dengan kehendak takdir dalam menentukan jalan hidupnya. Dia sudah pasrah dengan apa yang akan berlaku pada masa depannya.

Mardiyah mengangkat muka. Dia berpaling ke kanan dan kiri apabila dia tidak melihat kelibat Aryani di dalam bilik itu.

“ Aik, mana pula Yani ni? Masa bila pulak dia keluar?” soal Mardiyah sendirian. Dia memandang pintu bilik yang terbuka sedikit. Mungkin Yani keluar. Bisik hati Mardiyah. Akhirnya dia melangkah ke tepi tingkap untuk mengambil angin.

 

“ AKHIL yang kau beria- ria suruh along masuk dalam bilik Yani ni kenapa? Along banyak kerjalah kat bawah tu nak tolong mama. Kau pergi sendiri ambil kunci tu tak boleh ke?” bebel Ammar apabila Akhil meminta dia mengambil kunci kereta Aryani yang berada di dalam bilik.

“ Alah along ni banyak bunyi betullah. Tolonglah sekejap, Akhil nak tolong papa kemas ruang depan malam nanti kawan- kawan mama nak datang tolong siapkan hantaran,” ujar Akhil sambil bercekak pinggang.

“ Kak Yani mana?” tanya Ammar pula. Dia masih berada di anak tangga.

“ Tak tahu tak nampak batang hidung pun hari ni. Tidur agaknya,”

“ Dah dekat maghrib takkan tidur lagi? memang nak kena budak ni sorang,” bebel Ammar sambil memanjat tangga menuju ke bilik Aryani.

Akhil hanya tersenyum penuh makna kemudian dia mengangkat ibu jari kepada Aryani yang bersembunyi di ruang dapur bersama dengan Datin Zarina. Rancangan sedang berjalan dengan lancar.

Ammar menguak pintu bilik Aryani  yang sedikit terbuka tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Dia mencari- cari kelibat Aryani namun kosong kemudian matanya beralih pada seseorang yang termenung di tepi tingkap. Dahi Ammar berlapis melihat Aryani yang memakai baju kebaya ditempah untuk majlis akad nikah itu. Dah gila nak kahwin ke adik aku ni? Soal Ammar dalam hati. Tapi sejak bila Yani rambut panjang hingga hampir menyentuh pinggang?

“ Kenapa Yani keluar tak bagitahu akakkk…” kata- kata Mardiyah mati di situ apabila dia berpaling. Bukan Aryani yang berada di hadapannya tetapi Ammar! Mardiyah terpaku.

Ammar juga terkedu. Orang yang disangkakan Aryani rupa- rupanya Mardiyah. Tidak berkelip dia memandang Mardiyah dari atas hingga bawah. Amat berlainan sekali penampilan gadis itu.

Bammm!

Bunyi pintu yang ditarik daripada luar mengejutkan kedua insan itu. Ammar berpaling dan menuju ke pintu. Dia memulas tombol pintu. Terkunci! Ini semua pasti kerja Akhil. Ammar mengetap bibir. Dia terkena kali ini.

Dia berpaling semula pada Mardiyah. Kelihatan gadis itu sedang mencari sesuatu kemudian Ammar terlihat selendang yang tersangkut di penyidai tidak jauh darinya. Pasti gadis itu mencari selendang untuk menutup rambutnya. Teka Ammar kemudian dia tersenyum penuh makna.

“ Kau cari selendang ni?” tanya Ammar sambil mengangkat selendang tersebut.

Mardiyah mendongak. Pantas dia mengangguk. Mardiyah tidak tahu apa yang harus dilakukan, auratnya sudah terdedah pada lelaki itu walaupun lelaki itu suaminya tetapi dia tidak rela auratnya dilihat oleh lelaki yang tidak pernah menerimanya sebagai isteri. Namun, segalanya sudah terlambat lelaki itu sudah melihat rambutnya.

“ Kau nak buat apa dengan selendang ni? Bukan ada lelaki lain pun dalam bilik ni,” ujar Ammar selamba sambil mencampakkan selendang tersebut ke belakang jauh dari Mardiyah.

“ Encik tu selendang saya…” ucap Mardiyah. Dadanya terasa sesak dengan kehadiran Ammar dalam bilik itu. Manalah Yani ni? Hati Mardiyah resah.

“ Yang kau pakai macam ni kenapa? Dah gian nak kahwin ke?” tempelak Ammar. Matanya tajam merenung Mardiyah yang berkebaya menampakkan susuk tubuh gadis itu yang menawan.

“ Yani yang mintak saya cuba baju ni kalau ikutkan saya tak nak. Saya mintak maaf kalau encik tak suka saya boleh tukar sekarang,” jawab Mardiyah tergagap- gagap. Dia menundukkan wajah kerana tidak tahan dengan panahan mata Ammar yang tajam menikam bola matanya.

“ Aku tak cakap yang aku tak suka,” balas Ammar membuatkan Mardiyah sepantas kilat mendongak. Mata mereka bertentangan. Mardiyah gelisah melihat senyuman yang tersungging di bibir Ammar. Senyuman yang sukar dimengertikan oleh Mardiyah.

“ Saya rasa lebih baik saya keluar dahulu…” ucap Mardiyah.

Dia menghayunkan langkah menuju ke pintu tetapi dengan pantas lengannya ditarik oleh Ammar. Mardiyah tersentak lantas menarik kembali tangannya.

“ Pintu itu berkunci,” beritahu Ammar lembut.

“ Hah?”

“ Kalau tak percaya cubalah kau buka,”

Tanpa berlengah, Mardiyah memulas tombol pintu dan ternyata Ammar tidak berbohong.Pintu itu berkunci daripada luar. Alamak, mati aku!

“ Siapa yang kunci pintu ni? Macam mana saya nak keluar?” soal Mardiyah seperti mahu menangis. Dia tidak mahu berada di dalam bilik itu dengan Ammar. Dia tak sanggup.

“ Kalau aku tahu siapa yang kunci takkan aku ada dalam bilik ini dengan kau. Bukan kau sorang je yang nak keluar aku pun nak keluar jugak,” bisik Ammar rapat di telinga Mardiyah.

Mardiyah berpaling apabila terasa Ammar rapat berada di belakangnya. Pantas dia melarikan diri ke meja solek. Laci meja tersebut di buka untuk mencari kunci bilik. Mana tahu kalau- kalau Aryani ada menyimpan kunci pendua dalam laci meja solek.

“ Kau cari apa?” tanya Ammar selamba tanpa riak risau kerana dikurung di dalam bilik yang sama dengan Mardiyah.

“ Saya cari kunci pendua. Mana tahu kalau Yani ada simpan kat dalam laci ni,” ujar Mardiyah.

Ammar tersenyum melihat sikap Mardiyah yang kelam- kabut. Lantas tanpa amaran, dia memalingkan Mardiyah supaya mengadapanya.

Mardiyah terkejut. Dia berdiri kejap di hadapan Ammar. Kedudukan lelaki itu yang begitu rapat membuatkan nafas Mardiyah bagaikan terhenti. Jantungnya mula berdetak tidak menentu. Pantas wajahnya ditundukkan lagi. Mardiyah tidak berani menatap wajah Ammar di saat ini.

“ Dalam rumah ni hanya ada satu kunci pendua itu pun ada kat dalam laci meja tingkat bawah jadi kau jangan nak berangan Yani akan simpan kunci dalam bilik dia,” ujar Ammar sambil menatap wajah isterinya.

Kesempatan yang ada Ammar meneliti wajah gadis yang sedang tertunduk malu dihadapanya itu. Tipu jika Ammar tidak terasa getar bila berada dekat dengan gadis itu. Jantungnya bagaikan tidak berhenti berdegup melihat wajah Mardiyah yang sebenar. Rambut gadis itu yang panjang hitam pekat mampu memukau pandangannya buat kali pertama. Ditambah pula dengan sikap gadis itu yang malu- malu semakin membangkitkan keinginan Ammar untuk menyakat gadis itu.

“ Saya nak keluar. Tolonglah encik lakukan sesuatu…” pinta Mardiyah.

“ Kenapa? Kau takut berada dalam bilik ini dengan aku?” duga Ammar sambil melangkah setapak lagi menghampiri Mardiyah.

Mardiyah berdebar lantas dia mengundur langkah ke belakang tetapi langkahnya di halang oleh meja. Mardiyah terperangkap lagi!

“ Saya….saya….” suara Mardiyah tersekat- sekat

“ Saya apa?” bisik Ammar lembut. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah yang sedang tertunduk. Wajah gadis itu sudah kemerahan membuahkan senyuman di bibir Ammar.

Please stay away from me…” Mardiyah memberanikan diri untuk bersuara.

“ Kau takut aku apa- apa kan kau macam tu?” soal Ammar pula sambil ketawa kecil.

Mardiyah tidak menjawab kerana memang itu yang ditakutkan. Tubuh Ammar yang berada begitu rapat dengan tubuhnya membuatkan Mardiyah tidak selesa. Kalau ikutkan hati Mardiyah mahu saja dia menolak tubuh sasa lelaki itu supaya menjauh tetapi apakan daya dia bimbang jika dia bertindak sebegitu, Ammar akan membalas kerana lelaki itu seorang yang sukar diramal tindak tanduknya.

“ Diam tanda setuju. Hmmmm…” bisik Ammar lagi.

Dengan selamba Ammar menyentuh jari jemari Mardiyah yang terasa dingin. Jemari runcing itu diramas lembut sebelum dengan pantas Mardiyah menarik tangannya daripada disentuh oleh Ammar. Ammar hanya tersenyum nipis.

“ Saya tak suka encik sentuh saya!” bentak Mardiyah sambil menjeling. Dia memalingkan wajah ke tempat lain.

“ Tapi aku berhak untuk sentuh kau,” balas Ammar bersahaja.

“ Encik tak ada hak untuk bercakap soal hak dengan saya. Saya bukan kekasih encik yang encik boleh sentuh dan pegang sesuka hati. Saya ada maruah dan harga diri walaupun maruah saya encik dah campak ke tepi,” tegas Mardiyah berani. Kali ini dia berani menentang wajah Ammar. Dia menentang pandangan mata itu tanpa rasa gentar demi mempertahankan harga dirinya.

Ammar membalas renungan mata itu dengan senyuman. Dia sedikit tidak terkesan dengan kata- kata Mardiyah yang berani. Perlahan-lahan anak matanya turun ke bibir gadis itu yang merah basah sebelum dia kembali menatap mata gadis itu yang bersinar.

“ Aku belum bodoh sampaikan tak boleh bezakan yang mana halal yang mana haram,” ucap Ammar.

Ammar merapatkan lagi jaraknya dengan Mardiyah sehinggakan tiada lagi ruang yang memisahkan mereka. Mardiyah terasa ingin menjerit sedangkan Ammar tersenyum suka. Lalu, demi untuk menyelamatkan diri, Mardiyah cuba menolak tubuh Ammar supaya menjauh tetapi langkahnya agak tersasar apabila Ammar menangkap tangannya dan digenggam lembut.

“ Encik, lepaskan tangan saya,” dengus Mardiyah geram.

Ammar menggelengkan kepala. Seperti hilang pertimbangan Ammar mengucup lembut jari jemari Mardiyah. Pipi gadis itu diusap lembut sebelum jarinya membelai rambut Mardiyah yang panjang. Matanya tidak lepas dari memandang bibir Mardiyah yang merah. Terasa ada sesuatu yang menjentik tangkai hatinya dan merasuk jiwa lelakinya. Naluri lelaki Ammar bagaikan tergoda melihat keindahan ciptaan Tuhan yang berada di hadapan matanya.

Hati Mardiyah semakin parah. Dia menjadi tidak keruan apabila sentuhan tangan itu menyapa di wajahnya. Apa sebenarnya yang lelaki ini inginkan? Hati Mardiyah menjerit namun lidahnya bagaikan kelu untuk berkata- kata.

“ Encik tolong jangan jadi gi…la…” kata- kata Mardiyah mati di situ apabila bibir spontan di kucup oleh Ammar. Mardiyah terpana!

 

ARYANI menutup daun pintu dengan pantas. Lajunya saja jantungnya berlari apabila melihat adengan romantik yang dilihat dengan mata kepalanya. Dia meraup wajahnya. Memang dia dan Akhil sudah berpakat untuk mengunci bilik itu apabila Ammar masuk. Itu rancangan mereka untuk menyatukan Ammar dan Mardiyah namun apa yang berlaku di luar jangkaan Aryani. Dia tersenyum sipu bila teringatkan apa yang dia lihat sebentar tadi.

“ Kak Yani mengintai along dengan Kak Diya ya? Apa yang berlaku kak? Akhil nak tengok jugak,” ujar Akhil sambil cuba merapati pintu.

Dengan pantas Aryani menolak tubuh Akhil.

“ Kau ni menyibuk je. Kau tak boleh tengok, kau tu budak- budak lagi. Pergi main jauh- jauh,” halau Aryani.

“ Tapi ni rancangan Akhil tau…” Akhil berjauh hati.

“ Ye akak tahu rancangan kau tapi kau tak boleh mengintai berdosa. Jomlah kita turun bawah kita bagitahu mama yang rancangan kita dah berjaya,” ucap Aryani ceria.

“ Berjaya? Betul ke kak?” Akhil kelihatan teruja.

Aryani hanya tersenyum dan mengenyit mata. Kemudian dia menarik tangan Akhil untuk ke tingkat bawah. Pintu bilik yang dikunci dibiarkan tidak berkunci lagi.

Sementara itu, Ammar mengangkat muka memandang wajah Mardiyah sebaik sahaja dia tersedar akan perbuatannya itu. Ammar menjarakkan tubuhnya daripada Mardiyah. Dia menggigit bibir. Apa yang aku dah buat ni? Soal hatinya. Wajah keruh Mardiyah di pandang.

Mardiyah terdiam seribu bahasa. Dia bagaikan kehilangan kata- kata dengan apa yang berlaku. Tanpa disedari setitis air matanya gugur membasahi pipinya.

“ Diya, aku tak berniat untuk buat perkara tu dengan kau. Please forget it, it just an excident,” ucap Ammar tanpa memikirkan hati Mardiyah yang remuk dengan kata- kata itu.

Mardiyah mengangkat muka. Air matanya dibiarkan mengalir laju. Dia menentang wajah Ammar yang kelihatan serba salah.

An excident awak kata. Tolong jangan hina saya dengan perbuatan awak Encik Ammar. Saya pun ada hati dah perasaan! Saya tak dapat terima apa yang awak buat pada saya kali ini,” ujar Mardiyah.

Tanpa berlengah Mardiyah mencapai selendangnya dan keluar dari bilik tersebut dengan hati yang hancur berkecai. Sementara Ammar hanya mengeluh bila terkenangkan apa yang terjadi. Macam mana aku boleh hilang pertimbangan? Arghhhh!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.