Tetamu Rindu

Thursday 29 November 2012

Rindu Dalam Sepi ( Bab 13&14)


BAB 13

“ DIYA, masuk bilik aku sekejap!” lantang suara Ammar kedengaran di telefon. Dia menghempaskan gagang telefon. Helaian kertas di hadapannya dibelek dengan kasar. Wajahnya masam mencuka.

Tidak lama kemudian pintu biliknya terkuak dan muncul Mardiyah yang berbaju kurung riau berjalan menghampiri mejanya. Wajah gadis itu ditenung tajam bagai ingin ditelan gadis itu hidup- hidup. Ammar cuba menahan amukan dalam dadanya yang cukup sakit hati melihat wajah Mardiyah.

“ Ada apa encik?” tanya Mardiyah perlahan.

“ Ada apa kau tanya aku? Kau ni dah berapa lama bekerja? Takkan taip surat ni banyak sangat typing error? Kau ni belajar ke tak belajar?!” tengking Ammar kuat membuatkan Mardiyah tersentak. Dia menelan air liur yang terasa berpasir.

Mardiyah menunduk cuba menahan air mata daripada mengalir. Dia harus kuat dalam menghadapi Ammar yang akan cuba mencari kesalahannya.

“ Saya mintak maaf encik. Mungkin saya tak perasan masa menaip tu,” balas Mardiyah.

“ Mintak maaf? Kau ingat dengan maaf kau tu boleh betulkan balik kesalahan kau ni. Eh, Diya kau ni nak makan gaji buta je ke? Kalau tak pandai nak buat kerja jangan bekerja. Kalau aku cakap kau bodoh kau marah tapi itulah hakikatnya!” tutur Ammar agak kasar.

“ Saya mintak maaf sekali lagi. Saya janji perkara ni takkan berulang lagi,” Mardiyah memohon maaf. Namun, Ammar bertambah galak menyakiti hati Mardiyah.

“ Kau memang perempuan yang tak guna. Tahu nak menyusahkan orang je!” tengking Ammar tanpa belas. Dia seronok melihat wajah sunggul Mardiyah. Dia puas dapat menyakiti gadis itu.

Tanpa di duga- duga Ammar merenyuk kertas tersebut dan melemparkannya tepat ke muka Mardiyah. Dia tersenyum sinis.

“ Kau ambik surat tu dan taip elok- elok. Kalau sekali lagi aku jumpa kesilapan yang sama aku nak kau taip surat tu berpuluh kali. Ada setiausaha pun tak guna!” maki Ammar lagi tanpa sedikit pun mempedulikan perasaan Mardiyah yang terluka.

Mardiyah terpempan dengan perbuatan kasar Ammar namun dia hanya mendiamkan diri. Tanpa berlengah dia mengutip kembali surat tersebut dan berlalu keluar dari bilik Ammar bersama titisan air mata yang tidak henti mengalir mengubati rasa hati yang terluka kerana di hina sebegitu rupa oleh lelaki yang bergelar suami.

 

YUSUF dan Quraisya memandang jam di tangan berulang kali. Sudah masuk kali ke 10 dia memandang jam tapi kelibat Mardiyah tidak  juga muncul. Mereka sudah sejam menunggu Mardiyah di rumah Nur Cahaya untuk menyambut hari lahir salah seorang anak yatim penghuni rumah itu.

“ Hai, manalah Diya ni? Kita suruh beli kek bukan pergi buat kek.” Keluh Quraisya sambil kepalanya dijenguk ke luar pagar.

Yusuf hanya tersenyum melihat tingkah Quraisya yang risau dengan Mardiyah.

“ Tak payahlah awak risau sangat, kejap lagi sampailah Diya tu.” tegur Yusuf bila melihat Quraisya mundar mandir di hadapannya.

“ Saya bukan risau kat Diya, tapi saya risau kalau kek tu lambat sampai nanti Syifa tahulah kita nak buat surprise party dekat dia.” Balas Quraisya.

Yusuf mengelengkan kepala. Ingatkan risaukan Mardiyah rupa- rupanya risaukan kek itu. ada- ada saja Quraisya ini.

Tidak lama selepas itu kelihatan kereta Myvi milik Mardiyah berhenti di hadapan rumah itu. Quraisya menjerit kegembiraan. Dia sudah tidak peduli dengan jelingan Yusuf yang memandangnya dengan pandangan terkejut. Arh, lantaklah.

“ Aku mintak maaf sangat Yus, Isya aku lambat sikit sebab jalan jam tadi. Kau tahulah petang- petang macam ini memang payah sikit nak keluar.” Tutur Mardiyah memohon maaf. Padahal Mardiyah dia lambat kerana terpaksa melayan kerenah Ammar yang tak sudah- sudah mencari pasal dengannya. Nasib baik dia dapat menyiapkan segala kerja yang lelaki itu arahkan jika tidak memang Mardiyah tidak dapat bersama dengan Yusuf dan Quraisya petang ini.

Kek yang dipegang dihulurkan pada Quraisya yang sedang tersenyum padanya.

“ Aku tak kisah Diya tapi kawan baik kau ni dah macam cicak kena lastik dah aku tengok sebab risaukan kek yang tak sampai.” Ujar Yusuf sambil mengenakan Quraisya,

Quraisya membuntangkan matanya pada Yusuf yang sudah ketawa mengekek.

“ Risaukan kek? Habis aku ni kau tak risaulah ya Isya?” tanya Mardiyah berpura- pura merajuk padahal dalam hati dia turut tergelak melihat wajah gelabah Quraisya.

“ Eh mana ada Diya. Yus ni saja nak kenakan aku.” Balas Quraisya.

Mardiyah tergelak diikuti dengan Yusuf. Memang Mardiyah dan Yusuf suka menyakat Quraisya kerana gadis itu cepat sangat gelabah bila digertak.

“ Kenapa korang gelak? Aku ada salah cakap ke?” soal Quraisya lurus.

“ Tak ada apa- apalah. Jomlah kita masuk mesti umi tengah tunggu kita. Syifa dah balik tuisyen belum?” tanya Mardiyah lagi.

“ Aku rasa tak lagi. tadi umi cakap Syifa balik mungkin dalam pukul enam kot. Sekarang baru pukul 5.30.” Jawab Yusuf yang berdiri di sebelah Quraisya.

“ Eh ada setengah jam lagi kita nak prepare jomlah masuk.” Ajak Quraisya pula.

Quraisya memang begitu agak kelam kabut lain pula dengan Mardiyah yang agak tenang jika menguruskan sesuatu.

Belum sempat mereka melangkah, kedengaran suara wanita memberi salam dari arah belakang. Siapa pula tu? tanya Mardiyah di dalam hati. serentak dia berpaling.

“ Wa’alaikummusalam…” jawab Mardiyah lambat- lambat apabila melihat wanita yang berdiri di hadapannya kini adalah orang yang sepatutnya dihindari.

“ Datin…” suara Mardiyah bagaikan tersekat di kerongkong.

Peristiwa malam itu kembali terlayar di ruang fikiran. Datin Zarina yang telah menenangkan dirinya apabila di hina dan dicemuh oleh Ammar. Datin Zarina melayan dirinya seperti anak sendiri padahal Ammar tidak pernah menerima dirinya dalam hidup. Kesanggupan Datin Zarina berada di sisinya membuatkan Mardiyah mula menyayangi wanita itu. Dia tidak akan lupa semua itu tetapi Ammar juga telah memberi amaran agar dia menjauhkan diri daripada Datin Zarina.

“ Siapa tu Diya?” Bisik Quraisya kebingungan. Belum pernah dia melihat wanita yang anggun berbaju kurung ini. Nampak seperti orang berada.

“ Inilah Datin Zarina. penyumbang  dana untuk rumah ini.” Mardiyah turut berbisik.

Kenyataan Mardiyah membuatkan Quraisya diam membisu.

“ Diya apa khabar?” tanya Datin Zarina ramah.

Dia menghulurkan tangan pada Mardiyah. Salamnya bersambut begitu juga dengan kawan Mardiyah.

“ Ini pasti Quraisya dan Yusuf kan? Umi Zaira banyak bercerita tentang kamu semua. Auntie bersyukur sebab masih ada anak muda yang mahu mengambil berat dengan anak- anak yatim ini.” Ujar Datin Zarina sambil tersenyum tanpa menunggu jawapan daripada Mardiyah.

Yusuf dan Quraisya hanya tersenyum ramah. Sudah menjadi kewajiban bagi dirinya untuk menolong anak- anak yang memerlukan pertolongan.

“ Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini untuk saling bantu membantu sesama insan yang memerlukan pertolongan. Kami sebagai manusia biasa turut berbangga dengan datin sebab jarang ada golongan yang berada macam datin ini mahu memberi pertolongan tanpa dihebah- hebahkan.” Ucap Yusuf pula dengan penuh kagum. Quraisya mengangguk-angguk hanya Mardiyah yang diam membisu.

“ Tidak ada apa yang perlu dihebahkan. Amal yang kita buat tak perlu dicanangkan ke semua orang nanti berkatnya tidak dapat. Betul tak Diya?” tanya Datin Zarina. dia sengaja menyebut nama Mardiyah agar gadis manis itu berbicara dengannya kerana sejak dia datang Mardiyah langsung tidak mengeluarkan suara.

Mardiyah hanya melemparkan senyuman hambar. Tiada apa yang perlu dikatakan lagi. Melihat wajah Datin Zarina membuatkan Mardiyah teringat pada Ammar yang selalu menyakitkan hatinya.

Selepas berbual- bual kosong, mereka mula mengorak langkah menuju ke dalam rumah. Jam sudah hampir pukul enam sekejap lagi Syifa akan pulang. Quraisya dan Yusuf terlebih dahulu meninggalkan Mardiyah dan Datin Zarina.

“ Diya tunggu dulu.” Halang Datin Zarina bila melihat Mardiyah mula mengatur langkah.

Langkah Mardiyah terhenti. Dia berpaling menghadap Datin Zarina yang mendekatinya. Tangannya ditarik oleh wanita yang hampir sebaya dengan ibunya itu. Tiba- tiba dia teringatkan Kamariah yang hampir sebulan tidak dihubungi.

“ Kenapa Diya cuba melarikan dari mama?” tanya Datin Zarina membuatkan Mardiyah tersentak. Mama? Telinga aku tak salah dengar ke?

“ Mama? Maaf datin saya tak faham dengan bahasa yang datin gunakan.” Ujar Mardiyah sedikit pelik. Dahinya berlapis-lapis.

“ Diya kan menantu mama. Tak salah kalau Diya panggil mama pun.”

Datin Zarina tersenyum manis. Dia faham jika Mardiyah keliru tetapi dia tidak salahkan Mardiyah jika kehadiran dia tidak diterima. Gadis itu telah banyak terluka dengan layanan anak lelakinya.

“ Tapi datin saya bukan menantu pilihan datin. Saya tak layak untuk jadi isteri atau menantu pada datin. Biarlah perkara ini tetap menjadi rahsia kerana saya tak mahu Encik Ammar marahkan saya sebab dekat dengan datin.” Ujar Mardiyah. Wajah Datin Zarina yang sentiasa tersenyum itu dipandang. Senyuman itu nampak ikhlas dan penuh ketenangan.

“ Tiada siapa yang boleh halang Diya dari jadi menatu mama. Kalau mama boleh terima Diya kenapa tidak Ammar? Dia kena belajar untuk menerima hakikat yang Diya sudah jadi isterinya yang sah. Kalau Diya fikir mama tak terima Diya sebab malam itu, Diya silap sebab mama kenal Diya sebelum malam itu. jadi bagi mama, Diya seorang perempuan yang baik dan boleh mengubah Ammar.” Ucap Datin Zarina bersungguh- sungguh.

Dia yakin lambat laun Ammar akan terima Mardiyah sebagai isteri walaupun akan memakan masa sebab sememangnya hati Datin Zarina sudah terpaut dengan budi bahasa Mardiyah sejak kali pertama dia berjumpa dengan gadis lurus ini dan Datin Zarina akan pastikan yang hanya Mardiyah yang akan menjadi menantunya.

“ Saya mintak maaf datin. Encik Ammar tidak pernah terima saya dalam hidupnya dan saya mintak sangat dengan datin jangan pernah paksa Encik Ammar untuk terima saya sebab cinta dia bukan untuk saya tapi cinta dan hatinya hanya untuk Lydia. Lagipun telah lama saya tutup pintu hati saya untuk lelaki. Apa yang nyata untuk hubungan saya dan Encik Ammar akan berakhir dengan perpisahan.” Balas Mardiyah. Dia tertunduk kerana tidak mampu menentang mata Datin Zarina yang penuh mengharap.

“ Mama takkan paksa kamu untuk panggil mama, mama. Mama juga takkan paksa Ammar untuk terima kamu tapi mama tak boleh ubah takdir yang telah menjodohkan kamu dengan Ammar. Mama yakin suatu hari nanti Ammar akan terima kamu dan mama akan pastikan hanya kamu yang akan jadi menantu mama dan bukannya Lydia.” Datin Zarina berkata tegas.

Mardiyah memejamkan mata sejenak. Dia terharu dengan penerimaan Datin Mardiyah terhadap dirinya tetapi dia juga tidak boleh melawan kata- kata Ammar kerana jika dia melawan, padah yang dia akan dapat. Ya ALLAH bantulah hambaMu ini. Jerit batin Mardiyah.

 

 

BAB 14

 
BUNYI deringan telefon di atas meja mengejutkan Mardiyah yang sedang leka menyemak dokumen yang perlu di hantar pada Ammar sebelum mesyuarat petang ini. Dia mengangkat muka lantas mencapai gagang telefon yang tidak henti berdering cukup membingitkan telinga Mardiyah.

“ Hello, good morning Hotel Saga here,  can I help you?” tanya Mardiyah sopan.

“ Diya aku ni..” suara itu kedengaran tidak bermaya.

Mardiyah mengerutkan dahi.  Siapa pula yang nama aku ni? Tanya dia kebingungan.

Sorry, siapa yang bercakap?” tanya Mardiyah lagi. lembab betul Mardiyah ini.

Suara itu terbatuk- batuk sebelum bercakap.

“Ini akulah Ammar. Kenapa lambat sangat kau jawab telefon? Aku tak masuk je terus kau tak buat kerja gitu?” Marah Ammar dengan suara yang serak.

Mardiyah mengigit bibir. Macam mana dia boleh tidak cam dengan suara Ammar. Sekarang tak pasal- pasal dia kena marah.

“ Saya mintak maaf encik, saya tak cam suara encik.” Mardiyah memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan. Alah takkan itu pun Ammar nak marah.

“ Ah sudahlah. Semua kerja kau buat lembab.” Bebel Ammar cukup menguris hati Mardiyah yang telah lama terhiris.

“ Aku tak masuk ofis hari ini. Batalkan semua appointment dan  mesyuarat aku pada hari ini, aku tak mahu diganggu.” Tutur Ammar selepas tiada jawapan daripada Mardiyah.

“ Baiklah Encik Ammar, tetapi kenapa encik tak masuk hari ini?” tanya Mardiyah sekadar ingin tahu. Nanti senang hendak dijawab jika ada yang  menanya.

“ Aku tak sihat.” Jawab Ammar sebelum meletakkan gagang telefon.

Mardiyah tersentak. Dia belum habis cakap lagi Ammar sudah letak telefon. Nampak sangat tidak lelaki itu tidak suka mendengar suaranya. Mardiyah mencebik, ingat aku nak tahu sangat gamaknya. Dengus Mardiyah geram.

Tidak lama selepas itu telefonnya berdering lagi. Mardiyah menjeling. Mesti Ammar lagi. dia mengeluh berat. Gagang di angkat dengan penuh rasa malas.

“ Ya Encik Ammar ada apa- apa yang saya tolong lagi.” tanya Mardiyah serkap jarang.

“ Diya ini bukan Am, ini papa.” Suara itu kedengaran lain di telinga Mardiyah.

  Papa?” tanya Mardiyah pelik. Buat kesekian kalinya dahi Mardiyah berkedut seribu.

Datuk Zainal tergelak. Nampak sangat Mardiyah tidak kenal dengan dirinya.

“ Ini Datuk Zainal, kenal tak?” soal Datuk Zainal selepas tawanya reda.

Mardiyah gigit bibir. Oppss, terlebih sudah.

“ Maaf Datuk saya tak cam suara datuk.” Sekali lagi Mardiyah memohon maaf bila dia tidak mengenal suara Datuk Zainal.

“ Tak mengapa. Am ada call Diya tak?” tanya Datuk Zainal.

Mardiyah terdiam sejenak.

“ Ada datuk. Encik Ammar cakap dia tak masuk ofis hari ini sebab dia tidak sihat.” Jawab Mardiyah jujur.

“ Papa tahu dia tak masuk hari ini tapi papa nak minta tolong dengan Diya boleh tak?” suara Datuk Zainal kedengaran lembut di pelupuk telinga Mardiyah. Tetapi dia agak kekok dengan bahasa Datuk Zainal yang membahasakan dirinya dengan panggilan papa.

“ InsyaALLAH datuk. Apa yang saya boleh bantu?” tanya Mardiyah lembut.

“ Boleh tak Diya pergi ke apartment Am, dia demam panas tu tapi tak ada yang jaga dia kat sana. Mama tak sempat nak pergi sana lagi. papa pula ada mesyuarat kejap lagi. boleh tak Diya tolong jengukkan Ammar?” pinta Datuk Zainal penuh mengharap.

Sebenarnya dalam hati dia berharap dengan cara begini, Ammar dan Mardiyah dapat dirapatkan. Walaupun peluangnya agak tipis dengan sikap Ammar yang dingin terhadap Mardiyah namun belum cuba belum tahu.

Mardiyah berfikir sejenak. Perlukah dia berhadapan dengan Ammar lagi?

“ Tapi saya tak tahu alamat apartment Encik Ammar, datuk.”

“ Tak apa nanti papa bagi alamat.”

 

KESELURUHAN badan Ammar mengigil menahan suhu badannya yang tidak menentu. Sekejap panas sekejap sejuk. Dia mula berpeluh bila badannya terasa panas. Kesejukkan yang melampau pula membuatkan Ammar mengigil. Selimut yang tebal membaluti tubuhnya tidak membantu menghilangkan kesejukkan yang melanda.

Dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh diserang demam secara tiba- tiba. Mungkin juga kerana semalam dia terkena hujan sewaktu pergi melawat tapak projek di Selayang kerana kebiasaannya dia memang payah untuk dihinggapi penyakit terutama sekali demam panas seperti ini.

Ammar mengosok tengkuknya yang terasa perit. Sesekali dia terbatuk- batuk kerana menahan rasa yang seolah- olah mengaru-garu di anak tekaknya. Ammar bangkit dari pembaringan di atas sofa. Dia terasa haus tetapi kepalanya berdenyut membuatkan Ammar terbaring semula di sofa. Serentak wajah Datin Zarina melayar ke ruang mata. Saat ini dia amat memerlukan Datin Zarina di sisi.

“ Mama..” serunya.

Berair air mata Ammar menahan rasa sakit menerjah ke dalam dirinya.

“ Assalamualaikum..” bunyi suara wanita memberi salam.

“ Wa’alaikumusalam. Mama..” panggil Ammar tidak bermaya.

Pintu terkuak dari luar. Wajah Mardiyah terjengul di muka pintu membuatkan Ammar mengeluh. Bukan mama rupanya. Bisik hati Ammar. Dia menarik selimut menutupi keseluruhan tubuhnya.

“ Kenapa dengan encik?” tanya Mardiyah seakan terkejut bila melihat Ammar berbungkus walhal matahari telah tegak berdiri di atas kepala. Dia menghampiri Ammar yang sedang terbaring lesu di sofa. Wajah itu kelihatan pucat dan tidak bermaya tidak seperti kebiasaannya.

“ Kau jangan menyibuk boleh tak?” Dengus Ammar.

“ Papa encik yang minta saya ke mari sebab mama encik ada urusan. Saya tak tahu pula encik demam teruk begini.” Ujar Mardiyah sedikit risau.

Dia meraba dahi Ammar yang sedikit berpeluh. Dia langsung tidak mempedulikan bebelan daripada Ammar yang tidak jelas di telinga Mardiyah.

“ Ya ALLAH panasnya. Awak demam panas ni. Jom saya bawak awak ke klinik.” Ajak Mardiyah namun gelengan daripada Ammar membuatkannya terdiam.

“ Kenapa encik tak nak pergi klinik pula? Nanti makin teruk pula demam encik ini.”

Ammar mengetap bibir. Aku dah tak sihat, dia pula banyak cakap.

“ Aku tak mahu pergi klinik. Jangan paksa aku.” Marah Ammar dengan suara yang tersekat- sekat.

Dia dapat rasakan seluruh tubuhnya dingin dan sejuk seperti air batu. Badannya mula menggigil. Tidak dapat tidak Ammar bangkit lantas memeluk tubuh Mardiyah sedang duduk di sampingnya. Kebiasaanya jika dia demam memang Datin Zarina yang dipeluknya tetapi kini yang ada hanya Mardiyah jadi terpaksalah dia jadikan Mardiyah galang gantinya.

Mardiyah terkedu dengan tindakan Ammar yang tiba- tiba. Lelaki itu memeluknya dengan erat. Dia betul- betul terkesima. Laju sahaja jantungnya berdegup kerana inilah kali pertama ada lelaki yang memperlakukan dia sebegitu.

“ Encik tak apa- apa?” tanya Mardiyah lembut. Dia cuba meleraikan pelukan daripada Ammar namun lelaki itu tidak mahu melepaskan tubuhnya.

“ Aku tak larat. Aku sejuk sangat ni.” Ucap Ammar separuh berbisik. Suaranya begitu dekat di telinga Mardiyah hingga membuatkan Mardiyah tidak keruan.

“ Kita pergi jumpa doktor ya?” ujar Mardiyah cuba memujuk.

Ammar mengeleng. Matanya terpejam rapat dan dia masih tidak melepaskan pelukan terhadap isterinya itu. Kehangatan tubuh isterinya seolah-olah memadamkan rasa dingin yang membaluti diri Ammar sebentar tadi dan dia dapat rasakan ketenangan mula meresap ke dalam dirinya saat mencium haruman segar yang terbit dari helaian rambut Mardiyah yang ditutupi dengan tudung. Inilah kali pertama dia berasa begitu dekat dengan Mardiyah, orang yang dibencinya namun jauh di dalam hatinya dia merasa cukup tenang bila memeluk tubuh genit itu.

“ Kalau begitu, encik baring dahulu biar saya ambilkan ubat.”

Mardiyah menolak sedikit tubuh Ammar dan membaringkan lelaki itu semula selepas agak lama dia membiarkan tubuhnya dipeluk oleh Ammar. Dia benar- benar tidak selesa dengan keadaan itu.

Ammar hanya menurut kerana dalam keadaan begini dia tidak mampu membantah.

“ Aku haus.” Adu Ammar.

Lantas Mardiyah melangkah ke dapur untuk mengambil air. Tidak lupa juga dia mengambil semangkuk air dan tuala untuk diletakkan di dahi Ammar. Nampak gayanya terpaksalah dia menjaga Ammar untuk hari ini sementara menunggu kedatangan Datin Zarina.

Mardiyah menyuakan gelas ke bibir Ammar yang nampak pucat. Timbul rasa simpati dalam dirinya bila melihat wajah tidak bermaya Ammar. Selepas Ammar selesai meneguk air, Mardiyah meletakkan tuala yang telah dibasahkan di atas dahi Ammar. Dia lakukan semua itu semata- mata ingin mengurangkan rasa panas di badan Ammar. Lama dia merenung wajah Ammar yang sedang memejamkan mata. Buat pertama kalinya dia berada begitu dekat dengan Ammar. Itupun kerana lelaki itu sakit jika tidak memang teruk dia menjadi bahan makian lelaki itu.

“ Encik Am, saya pergi ke dapur sekejap ye nak tengok apa yang boleh di masak untuk encik. Encik makan ke belum?” tanya Mardiyah lembut.

Ammar hanya mengelengkan kepala. Dia tiada daya untuk bercakap.

“ Baiklah kalau begitu encik rehat dahulu nanti saya datang balik.”

 


“ ENCIK Ammar, makanan dah siap. Encik bangun sekejap saya suapkan bubur ini.” Mardiyah mengerakkan tubuh Ammar yang sedang lena tidur.

Mata Ammar yang tadinya terpejam kini terbuka dengan perlahan- lahan. Bunyi suara gemersik itu menganggu tidurnya. Saat matanya terbuka, terpampan wajah Mardiyah yang manis bertudung di hadapannya. Gadis itu tersenyum namun dia tidak membalas.

“ Kau masak apa?” Tanya Ammar perlahan.

“ Bubur je. Encik makanlah dahulu buat alas perut. Nanti encik kena makan ubat pula.” Ujar Mardiyah.

Dia menyuakan sudu ke mulut Ammar namun ditolak oleh tangan Ammar.

“ Kenapa encik?” tanya Mardiyah kehairanan.

“ Aku tak nak makan. Tekak aku sakit.” Jawab Ammar. Wajah Mardiyah dipandang. Baharu kali ini dia dapat menatap wajah Mardiyah lama. Hmm,boleh tahan.

“ Tapi kalau encik tak makan, nanti perut masuk angin sakit lain pula yang datang. Encik makan sikit je ye.” Pujuk Mardiyah penuh kelembutan.

Dia menyuakan bubur itu buat kali kedua. Kali ini Ammar menurut. Baharu sahaja beberapa sudu bubur ditelan, Ammar dapat rasakan tekaknya mual. Perutnya pula seakan menolak bubur yang disuapkan padanya. Bukan kerana masakan Mardiyah yang tidak sedap tetapi tekaknya yang berasa pahit. Dia cuba berdiri untuk ke dapur tetapi dia terjatuh semula ke sofa kerana kepalanya mula berpinar- pinar. Seksaan apakah ini?

Mardiyah meletakkan mangkuk di atas meja lantas tangan Ammar ditarik dan diletakkan ke atas bahunya manakala tangan kirinya memeluk pinggang Ammar. Dia terpaksa lakukan semua itu semata- mata ingin menolong suaminya itu. dengan bersusah payah dia memapah Ammar menuju ke dapur.

Saat itu Ammar terkelu. Dia tidak tahu apa yang hendak diucapkan bila  dengan rela hati gadis itu menolongnya walaupun dia tahu gadis itu malu bila terpaksa memapah tubuh sasanya. Ammar merenung wajah Mardiyah yang kemerahan.

Sampai sahaja di singki, Ammar memuntahkan segala isi makanan yang di makannya sebentar tadi. Sakit tekaknya memang tidak terkata namun dia tidak dapat mengelak. Mardiyah pula masih setia di sisi Ammar sambil mengurut tengkuk suaminya agar lelaki itu rasa selesa.

“ Awak dah okey?” tanya Mardiyah bila dia melihat Ammar sudah berdiri sambil memegang kepalanya.

Kepalanya digeleng laju.

“ Tolong bawak aku ke bilik. Aku nak rehat kepala aku sakit sangat.” Tutur Ammar lemah. Suaranya kedengaran  tidak bermaya.

Mardiyah mengangguk. Sekali lagi tubuh Ammar dipapah ke bilik. Dia membaringkan Ammar dan menyelimuti tubuh lelaki itu dengan selimut tebal agar lelaki itu selesa. Sebelum lelaki itu memejamkan mata sempat lagi dia memberikan ubat agar demam lelaki itu kebah sedikit nanti.

Ammar hanya memerhatikan setiap tindak tanduk Mardiyah dengan rasa yang bercampur. Antara benci, keliru dan terharu telah bercampur membuatkan kepala Ammar bertambah pusing. Bila dia mengadu sakit kepala, Mardiyah akan terus memicit kepalanya tanpa disuruh. Hati Ammar benar- benar tersentuh dengan layanan Mardiyah yang baik. Sungguh saat ini Ammar keliru. Adakah aku telah salah menilai gadis ini?

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.