Tetamu Rindu

Tuesday 28 May 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 11 )


BAB 11
“ ADUH, sakitlah!!” jerit Hamna sambil cuba menendang kaki Isyraq yang sedang mencuci luka di tangannya. Dahinya berkerut menahan perit akibat ubat yang diletakkan ditempat luka.
“ Kau ni tahanlah sikit. Macam budak- budak, nak menjerit je kerja kau. Aku potong tangan kau ni baru kau tahu!” marah Isyraq. Nasib baik dia sempat mengelak daripada ditendang oleh Hamna tadi kalau tidak boleh bengkak juga kakinya. Minah ni pun, ganas sangatlah!
“ Sakitlah. Kau faham tak, sakit!” tegas Hamna sambil melarikan tangannya daripada dipegang oleh Isyraq.
Isyraq mengeluh berat. Ini yang aku tak suka pasal perempuan ni. Kasar yang amat. Kenapa dia ni tak macam perempuan lain?
“ Dah tu kau nak aku buat macam mana?” soal Isyraq geram.
“ Letak ubat tu slow, slow tak boleh ke? Ini kasar bukan main lagi.” bebel Hamna.
Isyraq terdiam. Kasar sangat ke aku? Argh, dia jugak yang kasar dengan aku dulu. Padamlah muka dia. Bisik hati Isyraq.
“ Yelah- yelah. Bak sini tangan tu balik. Aku letak slow, slow…” ucap Isyraq selamba. Dia menghulurkan tangan.
Hamna menghulurkan tangannya. Dia memandang tangan Isyraq yang bersarung tangan. Dalam hati dia tersenyum.
Dengan perlahan- lahan, Isyraq melekapkan kapas yang dititik dengan Dettol di tempat yang terluka. Dia meniup luka yang tergaris di tapak tangan mulus itu. Dia lega kerana tidak mendengar jeritan daripada Hamna lagi. Kemudian, dia mencapai kapas yang telah diletakkan iodine lalu dibalut dengan pembalut. Semuanya dilakukan dengan penuh berhati- hati. Dia takut gadis itu menjerit lagi.
Apabila semuanya sudah siap, Isyraq mengangkat pandangan. Serta merta darahnya berderau apabila anak matanya berlaga dengan anak mata Hamna yang begitu asyik merenungnya. Buat seketika kedua insan itu membisu. Hanya detak jantung yang berirama menjemput rasa indah di hati kedua insan yang sedang merenung sesama sendiri.
“ Errr…dah siap…tak payahlah pergi klinik dah. Kalau kau rasa tak selesa baru pergi klinik…” akhirnya Isyraq mematikan perasaan yang indah itu. Walaupun suaranya kedengaran tenggelam timbul namun dia cuba untuk mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran canggung. Walhal dalam hati bagaikan dilanda tsunami.
Hamna tersedar. Dengan pantas dia menunduk. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Air liur ditelan berkali- kali untuk meredakan rasa debar yang begitu kuat menggoncang tangkai hatinya. Kenapa pulak dengan hati aku ni?
“ Oh, okey..terima kasih. Kalau macam tu, bolehlah aku balik…” ujar Hamna tidak lama kemudian.
Isyraq menjarakkan diri. Dia berpura- pura mengemas kotak peti kecemasan yang digunakan tadi. tiba- tiba dia rasa kekok untuk berhadapan dengan Hamna. Jantungnya sudah tidak berdenyut seperti biasa. Kenapa agaknya?
“ Boleh, pergilah…” jawab Isyraq selamba tanpa memandang wajah Hamna.
Buntang biji mata Hamna memandang Isyraq yang kelihatan selamba. ‘ Dia yang ajak aku ke sini, dia boleh suruh aku balik macam tu je? Ish, tak patut betul.’ Bebel hati Hamna.
Namun, Hamna tetap berdiri. Dia mengorak langkah untuk meminta izin daripada mama Isyraq yang mungkin berada di dapur. Isyraq yang kelihatan sibuk menyusun peralatan di dalam peti kecemasan itu dipandang sekilas. Time ni jugak kau nak mengemas ye? Bisik hati Hamna.
Tanpa mempedulikan Isyraq, Hamna melangkah ke dapur. Selepas bersalaman dengan Puan Liza, Hamna kembali ke ruang tamu. Dahinya berkerut kerana kelibat Isyraq tidak kelihatan. Dia mengeluh.
Namun, saat kakinya melangkah ke ruang pintu utama dia melihat Isyraq sedang menyandarkan tubuhnya di tepi pintu. Perlahan- lahan Hamna menghampiri dan keluar melintasi Isyraq.
“ Eh, kau nak ke mana tu?” soal Isyraq terkejut apabila melihat Hamna yang sudah menyarung seliparnya.
“ Nak baliklah. Takkan nak tidur kut,” balas Hamna selamba sambil mencapai beg sandang yang diletakkan di atas bangku di hadapan pintu rumah. Wajah Isyraq tidak dipandang.
“ Kau nak balik dengan apa? Hujan ni…” tambah Isyraq lagi.
“ Dengan apa- apa jelah. Janji aku boleh balik. Dah nak malam ni. Esok ada kelas pulak,” balas Hamna. Dia sudah mula mengorak langkah untuk meredah hujan namun pautan tangan Isyraq di lengannya menghentikan langkah Hamna.
Dia menjeling tangan Isyraq yang melekat di lengannya. Nasib baik aku lengan baju aku panjang. Dengan pantas, Hamna merentap tangannya dengan kasar. Satu jelingan tajam dihadiahkan pada Isyraq yang sudah tersengih.
“ Sorry, tak sengaja…” ucap lelaki itu. Hamna merengus.
“ Aku hantarkan kau balik. Hujan ni, nanti dapat penyakit lain pulak,” tutur Isyraq dengan nada lembut. Wajah Hamna yang serius dipandang dengan senyuman nipis. Apabila gadis itu menolak cermin mata yang ingin melurut jatuh, Isyraq sudah mula melebarkan senyuman. Comel! Detik hatinya.
“ Ikut suka kaulah. Tapi takkan nak naik motor, aku pakai baju kurung ni. Susah nak panjat motor kau yang tinggi semacam tu,” balas Hamna.
“ Siapa cakap aku nak hantar kau naik motor? Kita naik ni…” ucap Isyraq kemudian beredar ke kereta Honda CRV milik mamanya. Dia tersenyum dan membuka pintu kereta sebelum memboloskan diri.
Hamna terlopong. Hampeh punya lelaki, apa salah tolong bukakan pintu untuk aku. Ini tak menonong je masuk kereta. Tak romantik langsung! Bebel hatinya lagi.
“ Kau tercegat apa lagi dekat situ? Cepatlah, kata nak balik!” jerit Isyraq dari dalam kereta.
Hamna tersentak. Dengan muka tidak puas hati, dia melangkah ke kereta. Pintu kereta ditarik sebelum menghenyakkan punggung di tempat duduk. Dia memeluk tubuh. Sejuklah pula. Bisik hatinya.
Dengan laju, Isyraq mematikan penghawa dingin. Tingkap dibuka sedikit bagi menjemput angin masuk. Hujan pun telah mula berhenti. Sekali sekala dia menjeling ke arah Hamna yang mendiamkan diri.
“ Motor aku macam mana? Takkan nak biarkan macam tu je. Esok aku nak pergi kelas susahlah,” Hamna bersuara. Isyraq berpaling.
“ Esok aku ambil kau, lepas tu bolehlah kau ambil motor kau tu…” cadangan yang berbaur arahan diutarakan kepada Hamna.
“ Kau nak ambil aku dekat rumah? Ish, tak naklah. Nanti apa kata Fika?” bantah Hamna pantas.
Isyraq hanya menjongketkan bahu. Orang nak tolong, jual mahal. Ikut suka kaulah. Detik hatinya.
“ Ikut kaulah. Kau jalan kaki jelah ambil motor kau tu,” balas Isyraq.
Hamna menarik muka. Memang kadang- kadang perangai Isyraq cukup menyakitkan hatinya. Rasa mahu diketuk- ketuk kepala lelaki itu tetapi dia masih waras. Walaupun Isyraq banyak menyakitkan hatinya tetapi lelaki itu tidak lokek memberikan pertolongan ketika dia susah. Inilah kali pertama lelaki itu menolongnya.
“ Kalau macam tu aku minta tolong dengan Elyas jelah,” ujar Hamna tiba- tiba. Dia tersenyum sendirian.
Isyraq tersentak apabila nama Elyas meniti di bibir gadis itu. Tanpa sedar dia menekan pedal brek dengan kuat menyebabkan tubuh Hamna terdorong ke hadapan. Nasib baik tidak terhantuk. Dia memandang wajah Isyraq yang berubah kelat.
“ Kau ni kenapa? Suka hati je nak tekan brek. Nasib baik tak terhantuk kepala aku!” marah Hamna.
“ Kau keluar sekarang!” ujar lelaki itu dingin.
“ Hah?!” Hamna tayang muka pelik.
“ Keluarlah. Dah sampai rumah kau pun, takkan kau nak tidur dalam kereta aku pulak!” tempelak Isyraq. Dia menyabarkan hatinya yang rasa ingin meletup apabila mendengar nama Elyas yang disebut oleh gadis itu.
Hamna terpinga- pinga. Dia memandang sekeliling. Yelah, dah sampai rumah aku pun. Tapi macam mana Is tahu rumah aku? Tak pernah pun aku beritahu dia. Musykil ni. Detik hati Hamna.
“ Kau nak keluar ke tak? Atau kau nak aku tolong keluarkan kau?” soal Isyraq lagi dengan sinis.
Hamna mencebik. Benci betul dengan sikap dingin yang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“ Yelah- yelah, aku tahulah ni kereta kau. Aku keluar dulu. Apa- apa pun terima kasih!” ucap Hamna. Dia bukanlah jenis orang yang tak kenang budi, walaupun dia cukup menyampah dengan perangai Isyraq namun pertolongan yang lelaki itu hulurkan memang tidak terbalas.
“ Hmmmm….esok aku ambil kau,” ujar Isyraq tanpa memandang Hamna. Cermin mata hitam dipakai.
Hamna yang baru saja ingin keluar dari perut kereta, berpaling.
“ Apa dia?” soalnya.
“ Aku rasa kau tak pekak lagi kan? Esok aku ambil kau. Kalau kau tak nak Fika nampak, pandai- pandailah kau kelentong dia. Janji pukul 9 aku sampai, aku nak kau dah ada depan pintu pagar kalau tak aku rempuh je masuk!” ugut Isyraq.
Dahi Hamna berkerut. Ini arahan ke ugutan? Macam memaksa pun ada. Ikut suka hati akulah nak ikut cakap dia ke tidak. Apa- apa jelah Mat Rimau oiii!
“ Yelah- yelah…” balas Hamna malas.

HAMNA menyusup masuk ke dalam dengan perlahan- lahan. Nasib baik Fika dan teman serumahnya yang lain tiada di ruang tamu, mungkin tidur barangkali. Maklumlah hujan, pasti seronok dapat melelapkan mata. Dengan kaki yang terjongket- jongket, Hamna cuba memulas tombol pintu biliknya.
“ Hah! Kau dari mana tu!” sergah Fika dari arah membelakang membuatkan Hamna terkejut.
“ Oii, makkk!” latah Hamna sebelum berpaling. Dadanya sudah berdebar- debar manakala otaknya ligat mencari alasan yang sesuai untuk diberikan pada Fika.
Hamna tersengih mempamerkan giginya yang putih apabila melihat Fika yang melotot memandangnya. Seramlah pulak aku tengok Si Fika ni, dengan rambut mengerbang, mata bulat. Dah macam Suster Ngesot aku tengok. Kutuk hati Hamna.
“ Kau pergi mana? Dah dekat maghrib baru nak balik? Tangan kau tu kenapa berbalut?” soal Fika bertalu- talu.
Hamna menggarukan kepala. Banyak betul soalan. Nak jawab yang mana satu?
“ Dah habis ke soalan kau?” soal Hamna bersahaja.
Fika terdiam. Lama dia merenung Hamna sebelum menyedari sesuatu yang pelik. Dia berjalan mengelilingi Hamna sambil menggosok dagu. Tubuh Hamna yang berdiri kaku di pandang dari atas hingga ke bawah.
“ Bukan ke kau pergi kelas pakai baju t-shirt dengan seluar jeans? Macam mana boleh tukar dengan baju kurung? Labuh pulak tu. Sejak bila kau ada baju kurung warna kuning?” Fika menyambung soalan.
Hamna menepuk dahi. Ini susahnya kalau ada kawan yang terlampau ambil berat, sampaikan warna baju kurung aku pun dia dapat hafal. Fika Santi kau memang kawan yang terbaik! Tetapi soalan kau memang dah menjerut leher aku sendiri! benaknya berkata- kata.
“ Errr…panjang ceritanya…” balas Hamna.
“ Pendekkan…” ucap Fika selamba.
“ Aku jatuh motor lepas tu tangan aku luka, adalah seorang mak cik tu yang selamatkan aku. Dia ajak aku pergi rumah, lepas tu dia pinjamkan aku baju kurung anak dia. Tu saja,” bohong Hamna.  Hampir semput nafasnya mereka cerita yang memang 100 peratus kelentong.
‘ Aku terpaksa, Fika. Kalau kau tahu cerita sebenar, 40 hari 40 malam kau gelakkan aku sebab terima pertolongan daripada Isyraq. Tapi nak buat macam mana, hanya dia yang ada untuk tolong aku masa tu, maafkan aku Fika.’ Detik hati Hamna.
“ Oh, okey,” balas Fika selamba sebelum berlalu masuk ke dalam bilik.
Hamna tercengang. Okey je? Punyalah penat aku menipu, itu je yang dia balas. Bertuah punya kawan. Buat sakit jantung aku je. Gerutu Hamna dalam diam.

ISYRAQ memetik suis lampu bilik yang baru saja digunakan oleh Hamna sebentar tadi. Dia melangkah masuk ke dalam bilik tetamu yang sederhana besar itu. Matanya meliar memandang keadaan bilik yang kemas sebelum anak matanya tertacap pada sepasang baju yang terlipat kemas berada di atas katil.
Dahinya berkerut apabila melihat baju t-shirt berwarna putih dan seluar jeans berwarna hitam tersadai di atas katil. Baju dan seluar itu masih lagi lembab dan kotor.
“ Ini mesti yang minah tu punya. Lupa nak ambillah tu,” Isyraq bercakap sendirian.
Dia mencapai pakaian itu dan tiba- tiba bibirnya mengukir senyuman penuh makna. Lantas, pakaian gadis itu direnyuk- renyukkan dan diletakkan di atas katil. Cadar katil itu turut disepah- sepahkan. Akal jahatnya mula memainkan peranan.
Kemudian, Isyraq menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbit dan sekeping gambar ditangkap. Gambar pakaian itu disimpan sebelum memulakan agendanya. Hahahaha…siaplah kau Hamna!
“ Lepas ni baru kau kenal siapa Isyraq, Hamna. Kau suka sangat kan pada Elyas, kita tengok sama ada Elyas suka tak pada kau lepas tengok pakaian kau ada dalam bilik aku. Hahaha..sekali kau masuk dalam hidup aku, jangan harap kau boleh keluar. Aku takkan lepaskan kau!” ucap Isyraq sendirian. Dia merenung pakaian Hamna dengan senyuman penuh makna.

1 comment:

Note: only a member of this blog may post a comment.