Tetamu Rindu

Friday 29 August 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Bab 2 )



MATANYA yang bundar memandang ke dada laut yang membiru. Desiran ombak di pantai membuatkan hatinya tenang dan damai. Namun, mata bundar itu akhirnya menitiskan air yang jernih sejernih air di lautan.
“Ibu, Fiya rindukan ibu.” Wafiya mengesat air matanya yang tumpah mengenangkan ibunya yang telah pergi mengadap Ilahi sepuluh hari yang lalu.
Sukar untuk Wafiya menerima kenyataan bahawa ibunya yang tersayang telah pergi buat selama- lamanya kini tinggal dia keseorangan dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran ini tanpa bimbingan dan kasih sayang daripada seorang ibu.
Wafiya masih teringat bagaimana keadaan ibunya yang menghembukan nafas terakhir di pangkuannya akibat dipukul oleh ayah tirinya yang mabuk ketika itu. Ibunya dipukul kerana ingin menyelamatkannya daripada menjadi mangsa nafsu buas ayah tirinya itu.
Air mata Wafiya terus mengalir tanpa henti. Dia tidak menyangka perkahwinan kedua ibunya dengan Malik membawa bencana dalam keluarga mereka. Ayah kandung Wafiya telah meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu Wafiya ingin meniti ke alam remaja dan untuk mengurangkan beban keluarga dan juga beban persekolahan Wafiya, ibunya menerima pinangan daripada Malik yang berjanji ingin menjaga mereka sekeluarga.
Namun segala kata- kata itu hanya dusta belaka apabila Malik berubah sikap sebaik sahaja usia perkahwinan mereka menginjak ke tahun yang kedua. Ibu sentiasa dimarahi oleh Malik dan kadang- kadang Wafiya ternampak ibu ditendang oleh Malik yang berhati binatang.
Apa yang paling Wafiya tidak dapat lupakan adalah peristiwa hitam yang berlaku dalam hidupnya sepuluh hari lalu. Masih terbayang di mata Wafiya bengisnya wajah Malik cuba meragut kehormatannya namun Allah masih menyayanginya, ibu datang menolong walaupun pertolongan ibu itu akhirnya membawa kepada pengakhiran hidup ibu di atas muka bumi ini.

“TOLONGLAH ayah jangan buat Fiya macam ini. Fiya kan anak ayah.” Rayu Wafiya dengan linangan air mata yang berguguran.
“Anak? Hei, kau tu bukan anak aku. Kau tu anak ibu kau. Aku tak kira, ibu kau tak sihat, jadi kau kena layan aku!” Jerit Malik tanpa belas kasihan.
Dia cuba menarik Wafiya tetapi dengan pantas Wafiya menolak. Kaki lelaki itu ditendang sekuatnya. Dia akan lakukan apa sahaja untuk menyelamatkan maruahnya daripada dicemari oleh lelaki pemabuk itu.
“Ya Allah, ayah ingat pada Allah. Ayah dah mabuk ni. Fiya takkan benarkan ayah sentuh tubuh Fiya!” Tegas Fiya.
Lantas, Wafiya berlari menuju ke muka pintu namun tiba- tiba tangannya ditarik kasar oleh Malik membuatkan Wafiya menjerit kesakitan. Tubuhnya dihempas ke lantai. Wafiya cuak. Dengan bersusah payah dia mengesot ke belakang. Air mata tidak jemu menuruni lekuk pipinya.
Malik ketawa jahat. Dia menjilat bibir melihat Wafiya yang jatuh terlentang di atas lantai. Wajah Wafiya yang manis ditenung dengan penuh nafsu serakah. Kalau Soleha tidak dapat memenuhi kehendaknya, biar anak wanita itu yang menjadi galang gantinya. Bisik syaitan ke telinga Malik.
Wafiya ketakutan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan selain menyebut nama Allah Yang Maha Kuasa. Kepada-Nya dia berlindung daripada bala bencana dan petaka.
“Ibu!” Tiba- tiba Wafiya menjerit apabila Malik semakin menghampirinya.
Malik ketawa lepas. Dia menghampiri Wafiya dan duduk di atas peha gadis itu.
Wafiya menangis semahunya. Dia meronta- ronta ingin melepaskan diri.
“Ibu! Ibu!” Wafiya menjerit seperti orang kurang siuman. Walaupun dia tahu waktu sekarang ini ibunya berada di surau kerana menghadiri ceramah agama setiap malam Jumaat.
“Tak payahlah kau menjerit panggil ibu kau. Sia- sia je. Perempuan bodoh!” Tengking Malik kasar.
Malik cuba merentap pakaian Wafiya namun secara tiba- tiba pintu bilik Wafiya ditolak daripada luar dan kelihatan Soleha berdiri di muka pintu dengan wajah yang cemas. Soleha terkejut apabila melihat suaminya cuba melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak kesayangannya itu.
Tanpa berlengah lagi, Soleha meluru ke arah Malik dan bertubu- tubi tubuh lelaki itu dipukul.
“Binatang kau, Malik. Anak kau sendiri kau nak ‘makan’. Apa jenis jantan kau ni, hah?!” Jerit Soleha bagai dirasuk hantu. Dia sudah lupa dosa dan pahala asalkan jantan tak guna itu di beri pengajaran.
Malik bengang kerana ‘kerja’ diganggu. Lantas dia memulas tangan Soleha yang asyik memukul badannya. Pukulan itu langsung tidak memberi kesan kepadanya.
“Hei, perempuan! Dia bukan anak aku. Aku tak ada anak dengan perempuan tak guna macam kau ni. Anak kau ni dah besar panjang takkan kau nak simpan macam itu je biarlah aku rasa manisnya dulu!” Jerit Malik bersama tawanya panjang.
Muka Soleha berkerut menahan sakit kerana tangannya dipulas oleh Malik namun demi maruah anaknya dia akan lakukan apa sahaja asalkan Wafiya tidak menjadi mangsa kepada manusia berhati binatang seperti Malik itu.
“Tak guna kau, setan!” Jerit Soleha.
Tangannya direntap kasar lalu dia mencapai pasu bunga berhampiran dan meluru ke arah Malik namun Malik dengan pantas mencapai gunting yang berada di atas meja lalu menusuk ke perut Soleha.
Langkah Soleha terhenti. Dia terasa perutnya pedih. Pandangannya berbalam- balam. Kesakitan yang dirasakan sungguh perit sehingga terhempas pasu yang berada di tangannya. Akhirnya, Soleha jatuh terjelopok atas lantai dengan darah yang bertaburan.
“Ibu!!” Jerit Wafiya seperti orang gila. Dengan pantas dia menerpa ke arah ibunya yang sudah terbujur kaku di atas lantai.
“Ibu, jangan tinggalkan Fiya! Celaka kau jantan. Kau bunuh ibu aku!” jerit Wafiya bersama tangisan. Wajah Malik dipandang dengan penuh kebencian.
Malik gelabah. Aku pembunuh? Dia memandang ke kiri dan kanan. Lantas tanpa menunggu lama dia melompat melalui jendela dan meninggalkan Wafiya dan Soleha yang telah terbujur kaku tanpa nyawa.

“FIYA!” Panggil satu suara mengejutkan Wafiya yang sedang termenung panjang mengadap Pantai Cherok Paloh yang terbentang luas. Peristiwa itu berlalu daripada fikiran Wafiya dan digantikan dengan susuk tubuh Mak Yam dan anaknya, Aisya Maria.
“Mari balik Fiya dah maghrib ni.” Laung Mak Yam.
Wafiya mengesat air mata. Lalu dia bangkit daripada duduknya dan melangkah menuju ke arah Mak Yam dan Aisya Maria. Kenangan lalu mesti dilupakan agar dapat meneruskan kehidupan di masa sekarang ini. Fikir Wafiya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.