Tetamu Rindu

Friday 29 August 2014

Pewaris Takhta Cinta ( Prolog)



PROLOG
 
“MAMA tak izinkan kau kahwin dengan perempuan kampung tu. Dahlah miskin tak berpelajaran pula. Macam mana kau boleh jatuh hati dengan dia, hah?” Datin Sharifah Maisarah bersuara memecah kesunyian malam.
Syed Umar hanya mendiamkan diri. Dia tidak mampu berkata apa- apa bila mamanya sudah mula campur tangan. Namun cinta dia pada Soleha perlu dipertahankan. Dia ikhlas untuk memperisterikan gadis itu.
“Tapi mama, Umar cintakan Soleha. Soleha boleh mengubah Umar menjadi orang yang baik, mama. Dia gadis yang baik mama dan mungkin dia boleh jadi menantu yang baik untuk mama.” Syed Umar mula bersuara. Dia mendongak menentang wajah Datin Sharifah Maisarah yang masam mencuka.
“Sejak bila kau pandai membantah cakap mama? Ini mesti perempuan tu yang ajar. Kalau dia perempuan yang baik, dia takkan hasut kau untuk membantah cakap mama. Lagi satu Umar, dia tak setaraf dengan kita. Kau hanya boleh kahwin dengan perempuan yang ada Sharifah di pangkal namanya. Mama tak nak kau kotorkan keturunan kita jika kahwin dengan perempuan yang entah apa- apa keturunannya.” Datin Sharifah Maisarah masih lagi berkeras.
Entah apa yang merasuk fikiran anak lelakinya itu untuk berkahwin dengan anak nelayan kampung sebelah padahal seringkali dia menasihati anaknya agar berkawan dengan orang yang setaraf sahaja. Berkahwin pun mestilah dengan yang setaraf juga.
“Mama, yang tak ada Sharifah pun tak semestinya tak baik. Kita semua manusia biasa je. Sama di sisi Allah. Pangkat dan darjat bukan kekal untuk selama- lamanya, mama.” Balas Syed Umar lembut. Dia cuba memujuk.
Panas telinga Datin Sharifah Maisarah mendengar ungkapan Syed Umar. Anak muda ini sudah berani membantah cakapnya.
“Kau jangan nak nasihat mama! Kau nak jadi macam kakak kau tu ke? Kau nak mama halau kau keluar dari rumah ni dan merempat kat tepi jalan macam kakak kau. Jangan sesekali nak bantah cakap mama!” Marah Datin Sharifah Maisarah dengan wajah yang menyinga.
Syed Umar terdiam. Dia teringatkan nasib Sharifah Maryam yang dihalau oleh mamanya kerana berkahwin dengan orang biasa. Kakaknya hidup menderita dengan suaminya yang bekerja sebagai kerani am di syarikat keluarga mereka. Selepas Datin Sharifah Maisarah mendapat tahu tentang perkahwinan mereka, terus sahaja suami dan Sharifah Maryam dibuang daripada syarikat tanpa diberi peluang untuk memberi penjelasan.
“Umar cintakan Soleha, mama.” Syed Umar membantah lagi.
Kali ini Datin Sharifah Maisarah berdiri. Melotot matanya memandang Syed Umar. Dadanya turun naik kerana menahan marah.
“Ada apa dengan cinta kau tu? Kau ingat cinta kau tu boleh kenyangkan perut ke? Dengar sini Umar, mama dah pilihkan calon isteri untuk kau dan bulan depan kau akan nikah dengan dia. Suka atau tidak, mama dah tetapkan kau akan nikah dengan gadis pilihan mama. Kalau kau nak bantah, silakan kau keluar dari rumah ni dan mama akan anggap kau anak derhaka!” Datin Sharifah Maisarah memberi kata putus.
Syed Umar terperanjat. Dia terkedu dengan kata- kata mamanya. Aku nak dinikahkan dengan pilihan mama? Tidak! Bentak hati Syed Umar.
“Umar tak nak, mama. Umar berhak pilih teman hidup Umar sendiri.” Tegas Syed Umar.
“Kau tak ada pilihan, Umar. Kau anak mama dan mama berhak tentukan siapa yang layak untuk jadi isteri kau dan mama tak nak Soleha itu jadi menantu mama. Kau jangan degil. Kau akan kahwin dengan Sharifah Mastura. Anak kawan mama.” Ujar Datin Sharifah Maisarah.
Tanpa menunggu jawapan daripada Syed Umar, Datin Sharifah Maisarah berlalu meninggalkan Syed Umar dengan perasaan kecewa dan hampa. Terbayang- bayang dia fikiran Syed Umar wajah Soleha yang manis bertudung. Apa yang harus dia lakukan untuk menghalang niat mamanya? Perlukah dia kahwin lari seperti kakaknya? Syed Umar buntu.

SYED Umar memandang wajah manis Soleha yang sedang termenung. Dia tahu apa yang ada di fikiran Soleha sekarang ini. Tentu gadis itu masih terfikirkan masalah yang melanda mereka saat ini.
“Cakaplah sesuatu Leha, jangan buat abang tertanya- tanya begini.” Syed Umar bersuara memecahkan kesunyian antara mereka.

Soleha berpaling. Segaris senyuman dihadiahkan buat Syed Umar. Apa yang dilalui oleh Syed Umar sekarang ini memang berat malah Soleha sendiri tidak sampai hati melihat wajah kekasih hatinya yang kusut akibat memikirkan masalah ini.
“Leha tak tahu nak cakap apa, bang. Leha rasa lebih baik abang ikut cakap mama abang. Abang turuti kemahuan mama abang. Dia mama abang yang telah mengandung dan melahirkan abang dia berhak untuk melihat anaknya bahagia. Lagipun tak salah kalau abang ikut cakap mama abang,” ucap Soleha tenang.
“Apa yang Leha cakap ni? Abang takkan kahwin dengan orang lain selain Leha. Abang cintakan Leha bukan perempuan tu. Mama abang sengaja nak pisahkan abang daripada Leha,” Syed Umar memintas percakapan Soleha.
 “Tapi abang, redha Allah itu ada bersama dengan redha ibu bapa. Kalau mama abang tak restu perkahwinan kita, ia akan mendatangkan kesusahan pada kita nanti malah mungkin anak- anak kita nanti terkena tempiasnya. Leha nak abang tahu yang Leha pun sayang pada abang tapi mungkin bukan  jodoh kita bang.” Ucap Soleha sayu.
Sebenarnya berat hatinya untuk mengungkapkan kata- kata itu tetapi apakan daya untuk kepentingan hidup Syed Umar dia rela berkorban. Dia tidak mahu Syed Umar dibuang keluarga gara- gara dia. Dia sudah biasa dengan hidup susah tetapi Syed Umar tidak pernah mengenali erti susah.
“Abang nak kahwin dengan Leha. Abang rela hidup susah dengan Leha asalkan Leha berada di sisi abang.” Ucap Syed Umar lagi. Dia tidak henti- henti memujuk Soleha.
Soleha adalah gadis pertama yang mampu mencuri hatinya. Saat pertama kali terpandang wajah Soleha di surau berdekatan Kampung Selamat itu, hatinya sudah tertarik. Pertemuan kedua di rumah Tok Penghulu menguatkan lagi rasa hati Syed Umar pada Soleha. Akhirnya melalui anak bongsu Tok Penghulu dia dapat berkenalan dengan Soleha.
Apa yang membuatkan Syed Umar jatuh cinta pada Soleha adalah agama Soleha yang kuat. Soleha seorang gadis yang taat pada agama dan disebabkan itu Syed Umar mahu memperisterikan Soleha tetapi dihalang oleh mamanya dengan alasan Soleha bukan anak orang kaya.
“Abang, realiti tidak semudah kata- kata. Syurga abang di bawah telapak kaki mama abang. Abang turutilah permintaan mama abang. Pasal Leha abang jangan risau. Kalau kita tak ada jodoh, mungkin jodoh itu akan datang untuk anak- anak kita nanti.” Ujar Soleha lembut. Jarinya membetulkan hujung tudung yang ditiup angin pantai.
Matanya di halakan ke tengah laut. Tentu ayah masih mencari ikan di tengah lautan. Fikir Soleha. Dia tersentak bila Syed Umar menyentuh lembut tangannya malah jari jemarinya digenggam erat. Soleha terkedu. Perlahan- lahan dia menarik kembali tangannya. Dia menggelengkan kepala.
“Abang hanya cinta pada Leha seorang. Kalau itu yang Leha mahukan, abang akan ikut cakap Leha. Tapi abang nak Leha tahu yang tiada siapa yang mampu ganti tempat Leha dalam hati abang. Kalau di dunia kita tidak boleh bersatu, abang akan tunggu Leha di pintu syurga.” Ucap Syed Umar penuh perasaan. Setitis air mata lelakinya gugur jua.
Soleha terkesima. Dia menunduk menahan air mata daripada gugur membasahi bumi. Jika Syed Umar sedih dengan perpisahan ini, dia apatah lagi. Dia amat mencintai Syed Umar tetapi jodoh tidak menyebelahi mereka. Mungkin ALLAH merancang sesuatu yang lebih baik.
“Ingat Leha, abang akan jodohkan anak abang dengan anak Leha. Abang nak anak- anak kita menjadi pewaris cinta kita.”



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.