Tetamu Rindu

Tuesday 3 June 2014

Rindu Dalam Sepi -Mengintai Rindu ( Bab 3 )


A
MMAR turun dari tingkat atas. Mata hazelnya melilau mencari kelibat mama dan adik- adiknya yang lain. Papanya pasti sudah keluar berjumpa dengan client. Namun, satu kelibat pun tidak kelihatan menyebabkan dahi Ammar berkerut. Tadi mama cakap nak buat kuih rayalah apalah tapi kelibat mamanya tidak kelihatan.
Kaki Ammar dihayunkan ke ruang tamu. Mana tahu Datin Zarina sedang menonton televisyen. Tetapi suasana tetap sunyi hanya kedengaran suara dari peti televisyen. Namun, langkah Ammar terhenti apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas sofa. Mata gadis itu terpejam rapat.
Ammar merengus. Tak balik lagi ke dia ni? Desis hati Ammar. Bengkak pula hatinya melihat Mardiyah yang kelihatan tenang dalam lenanya. Lantas, Ammar berpaling untuk kembali ke bilik namun tiba- tiba langkahnya terhenti. Dia berpaling semula lalu langkahnya dihayunkan ke sofa di sebelah Mardiyah. Dia duduk sambil berpeluk tubuh.
‘Kenapa aku pula yang nak lari sedangkan ini rumah aku? Perempuan ni yang sepatutnya berambus!’ desis hatinya.
Ammar cuba menumpukan sepenuh perhatian pada skrin TV namun hatinya bagaikan meronta- ronta supaya dia meneliti wajah Mardiyah yang sedang lena di sofa. Arghh, kacau betullah. Come on, Am, fokus pada TV. Jangan ikutkan sangat hati tu. Seakan ada suara yang berbisik di telinganya.
Ammar cuba menahan matanya daripada berpaling namun tidak dapat tidak dia tetap mengalihkan pandangannya pada laman wajah Mardiyah yang sedang lena diulit mimpi. Entah apalah yang sedang gadis itu mimpikan. Ammar mengesot sedikit badannya supaya lebih dekat dengan Mardiyah.
Dia menongkat dagu sambil matanya dibiarkan terus menjamah setiap inci wajah Mardiyah. Gadis itu tidaklah cantik sangat cuma sekadar sedap mata memandang. Tetapi wajah itu cukup tenang sewaktu tidur. Ammar terus- terusan memandang wajah Mardiyah, daripada keningnya yang lebat kemudian turun pada hidung gadis itu yang sederhana mancung sebelum anak matanya bergerak pada bibir Mardiyah yang merekah bak ulas limau. Lama matanya difokuskan di bibir itu sebelum matanya dialihkan pada pipi Mardiyah yang mulus. Nampak lembut. Batin Ammar bagaikan dijentik sesuatu, lalu perlahan- lahan tangannya diangkat untuk menyentuh ubun- ubun Mardiyah yang berbalut dengan tudung.
Namun, perbuatannya terhenti. Dia tersedar lalu menyandarkan tubuhnya kembali di sofa. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Dia cuba menahan rasa debar yang menyapa di hati. Apa yang aku nak buat tadi? Soal hatinya.
Ammar cuba menfokuskan pandangannya pada kaca televisyen. Siaran berita di waktu pagi tidak langsung menarik minatnya sebaliknya wajah Mardiyah juga yang bermain di mindanya. Ammar mula resah. Lalu, dia bangun dan duduk di birai sofa yang diduduki oleh Mardiyah. Kepala gadis itu yang tidak beralas, dilapikkan dengan bantal kecil. Tudung gadis itu yang senget dibetulkan. Pandangannya dibiarkan terus menatap wajah ayu itu.
Ammar sedikit terkejut apabila melihat mata Mardiyah yang tiba- tiba mengalirkan air mata. Setitis air mata gugur di pipi yang mulus itu diseka dengan jarinya. Dalam tidur pun Mardiyah menangis? Terseksakah gadis itu? Soal hati Ammar.
Sedang asyik dia merenung wajah Mardiyah tiba- tiba telefon bimbit Mardiyah berbunyi. Dengan pantas, Ammar mencapai telefon tersebut dan menekan keypad lock bagi mengelakkan bunyi deringan itu menganggu tidur Mardiyah. Dia cuba meletakkan kembali telefon Mardiyah di atas meja tetapi ada sesuatu yang menariknya untuk memeriksa mesej yang diterima tadi.
Perlahan- lahan dia membuka kekunci telefon jenama Nokia C3 milik Mardiyah. Berderau juga darahnya apabila membaca sebaris nama yang tertera di skrin. Mesej daripada Raqeem!
Ammar cuba mengawal rasa kurang senang yang bermain di jiwanya. Lalu dengan pantas dia menekan punat di papan kekunci untuk membaca mesej yang dihantar oleh Raqeem. 
Diya, jom berbuka dgn sy hari ni..

Sebaris pesanan ringkas yang dihantar oleh Raqeem membuatkan Ammar menarik nafas panjang. Oh, kau nak bercinta dengan minah ni ye? Huh, kesian kau Raqeem, orang yang kau suka tu dah jadi milik orang lain. Desis hati Ammar.
Lalu, dia membalas mesej Raqeem tanpa izin Mardiyah.
Maaflah, sy sibuk.

Balas Ammar. Selepas mesej tersebut selamat sampai pada Raqeem, dengan pantas Ammar membuang kesemua mesej yang diterima dan dihantar kepada Raqeem. Dia tidak mahu Mardiyah curiga nanti. Dia tersenyum puas apabila sudah tiada balasan daripada Raqeem.
Ammar memandang sekilas pada Mardiyah yang sudah mula bergerak- gerak. Dengan pantas dia berdiri dan duduk di tempat asalnya. Dia mencapai remote control dan berlagak seperti tiada apa- apa yang berlaku.
Mardiyah memisat- misat matanya yang terasa pedih. Dia cuba mencelikkan mata seluas- luasnya namun sebaik saja dia terlihat Ammar yang duduk menonton televisyen cepat- cepat dia bangun dan membetulkan duduknya. Dia menelan air liur. Takut juga kalau dimarahi oleh Ammar kerana tidur di sofanya.
“Maaf, saya tumpang tidur sekejap tadi. Mengantuk sangat,” ujar Mardiyah tanpa sempat Ammar membuka mulut. Dia menjeling sekilas ke arah Ammar yang seperti tidak mengendahkan kehadirannya. Dia dah mula buat muka tak ada perasaan dialah tu. Bisik hati Mardiyah. Dia mendongak memandang jam yang tergantung di dinding. Sudah pukul sepuluh pagi. Lamanya aku tidur. Lebih baik aku pergi Solat Dhuha dululah. Bisik hatinya.
Lantas, Mardiyah bangun dan mula mengorak langkah melintasi Ammar yang sedang menonton rancangan di televisyen.
“Kau nak ke mana pulak tu?” soal Ammar menghentikan langkah Mardiyah.
Mardiyah berpaling.
“Saya nak pergi Solat Dhuha sekejap,” balas Mardiyah.
Ammar terdiam. Solat Dhuha? Hmm…dah lama aku tak buat. Bisik hatinya lalu Ammar turut bingkas.
“Jom solat sekali,” ajak Ammar tanpa memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah melongo. “Hah??” soalnya pelik.
“Tak dengar ke apa yang aku cakap tadi? Jomlah solat Dhuha sekali,” Ammar mengulangi ayatnya tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah tersedar kemudian menganggukkan kepala. Lalu, dia membuntuti langkah Ammar daripada belakang dan beredar ke tingkat atas.
Tanpa mereka sedari, Datin Zarina dan Akhil memerhatikan gelagat mereka dengan tawa kecil. Sengaja Datin Zarina menghilangkan diri kerana dia yakin pasti Ammar akan mencari dirinya ternyata apa yang dirancangkan benar- benar menjadi. Hampir terburai tawa dua beranak itu apabila melihat wajah Ammar yang leka memerhatikan wajah Mardiyah yang sedang tidur. Benci konon tapi mata lelaki itu ralit memandang wajah Mardiyah.
“Mama, along tu depan kita bukan main lagi cakap benci pada Kak Diya tapi bila kita tak nampak, bukan main lagi tak berkelip tengok muka Kak Diya. Apalah along ni,” komen Akhil dengan tawa kecil.
Datin Zarina ikut ketawa.

MARDIYAH meraup wajahnya setelah Ammar selesai membacakan doa. Syahdu hatinya apabila solat berimamkan Ammar walaupun Ammar masih enggan menerima dirinya sebagai isteri namun kesudian lelaki itu untuk menjadi imam dalam solatnya sudah cukup membuatkan Mardiyah terharu. Akhirnya, setitis air matanya gugur jua.
Ammar berpaling ke belakang setelah selesai membacakan beberapa potong doa. Sungguh tenang hatinya saat ini apabila dapat menunaikan solat Dhuha yang telah lama ditinggalkan.
“Apa yang sedih sangat tu?” soal Ammar apabila menyedari Mardiyah menitiskan air mata.
Mardiyah tersentak. Dia menggelengkan kepala lalu segaris senyuman hambar dihadiahkan kepada Ammar yang masih duduk mengadapnya. Mardiyah rasa segan apabila bola mata lelaki itu masih lagi merenung wajahnya. Lalu Mardiyah menundukkan pandangan.
“Terima kasih sebab sudi jadi imam saya,” ucap Mardiyah perlahan sambil tertunduk.
Ammar mengulum senyum. Timbul perasaan ingin mengusik gadis itu. Suka pula tengok wajah Mardiyah yang merona merah.
“Apa dia? Aku tak dengarlah..” ucap Ammar sambil mendekatkan wajahnya ke wajah Mardiyah.
Mardiyah tidak keruan apabila tubuh Ammar seakan dekat dengannya. Dia mengesot ke belakang sedikit. Wajahnya sudah berbahang panas. Dia cuba untuk mengangkat muka namun sebaik saja terlihat Ammar yang masih merenungnya, sepantas kilat Mardiyah menundukkan kembali wajahnya. Tidak sanggup rasanya dipanah dengan anak mata Ammar yang tajam.
Ammar ketawa besar melihat tingkah laku Mardiyah. Bukan main pemalunya minah ni. Macamlah aku nak makan dia pun. Bulan puasa kut. Namun Ammar masih belum puas mengusik. Dia menghulurkan tangannya pada Mardiyah.
Mardiyah terkejut. Dia mengangkat pandangan dan memandang wajah Ammar yang serius. Dahinya berkerut melihat tangan yang dihulurkan.
“Tengok apa? Salamlah. Kan dah habis solat ni,” tegur Ammar dengan suara yang dikeraskan padahal dalam hati bagaikan digeletek apabila melihat wajah Mardiyah yang cuak.
Mardiyah kelam kabut. Lalu dia menyambut huluran tangan Ammar dan mengucup tangan lelaki itu dengan lembut. Berdebar hebat jantungnya saat ini kerana inilah kali pertama dia bersalaman dengan lelaki itu walaupun sudah hampir sebulan dia berkahwin dengan Ammar.
Ammar tersenyum. Tersentuh juga hatinya saat Mardiyah mengucup lembut tangannya. Keadaan itu menunjukkan seolah- olah mereka seperti pasangan suami isteri yang lain padahal hakikatnya tidak. Ammar tersedar lalu menarik tangannya dengan kasar. Aku benci dia, sepatutnya aku tak perlu layan dia dengan baik. Bentak hatinya membantah tindakannya sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama, Ammar bangun dan meninggalkan Mardiyah yang termangu- mangu di situ. Mardiyah pelik dengan sikap Ammar yang asyik berubah. Mana satu Ammar yang sebenarnya? Soal hati Mardiyah.

ALAH, mama takkan Am yang nak kena beli barang. Mama pergilah dengan Akhil tak pun suruh je Mak Mah yang pergi. Am bukannya pandai nak beli barang tu semua,” Ammar membantah cakap Datin Zarina apabila mamanya itu meminta dia untuk pergi ke pasaraya.
“Mama sibuklah kat rumah ni. Mak Mah kamu tu pun tak larat nak beli barang bulan puasa ni. Takkanlah kamu sanggup tengok mama kamu ni bimbit barang- barang yang berat tu. Tak kesiankan mama?” soal Datin Zarina sambil mengelus bahu Ammar dengan lembut.
Ammar mencemikkan muka. Mamanya kalau pujuk memang takkan bagi peluang untuknya menang pasti akhinya dia yang akan kalah.
“Yelah- yelah Am pergi. Mana senarai barangnya?” soal Ammar sambil menghulurkan tapak tangan untuk meminta senarai barang.
Datin Zarina tersenyum lalu meletakkan beberapa helai kertas kecil di atas tangan Ammar. Dia tersengih apabila melihat mata Ammar yang terbeliak.
“Ini senarai barang ke karangan Bahasa Melayu, mama? Panjang bukan main lagi. Mama nak masak untuk buka puasa ke atau mama nak buat kenduri?” soal Ammar geram.
Datin Zarina ketawa mendengar kata- kata Ammar. Wajah cemberut anaknya dipandang lama sebelum dia mengalih pandangan pada kelibat Mardiyah yang baru saja turun dari tingkat atas.
“Hah, Diya ke sini sekejap,” panggil Datin Zarina lembut.
Ammar mula gelisah. Mama ni nak buat apalah pulak panggil minah ni? Soal hati Ammar.
“Ada apa, mama?” soal Mardiyah dengan dahi berkerut.
Datin Zarina tersenyum simpul. Dia menarik lengan Mardiyah supaya merapatinya.
Mardiyah menurut. Kini dia berdiri bertentangan dengan Ammar yang masam mencuka. Di tangan lelaki itu terdapat beberapa helai kertas yang dipegang kemas. Mardiyah bertambah pelik.
“Temankan Am beli barang. Mama nak masak untuk berbuka nanti. Inikan kali pertama mama berpuasa dengan menantu sulung mama jadi mama nak masak yang sedap- sedap tapi Am ni tak pandai pulak nak beli barang maklumlah lelaki. Lelaki kan memang lembab sikit bab barang- barang dapur ni,” ujar Datin Zarina namun sempat lagi dia menempelak Ammar. Ammar menjeling sambil mencebik.
Mardiyah hanya ketawa melihat reaksi Ammar. Tapi kenapa aku pulak yang nak kena teman? Lecehlah nak kena berhadapan dengan lelaki ni lagi. Dahlah garang mengalahkan cikgu disiplin. Kecut betul perut aku tengok air mukanya tu. Bebel hati Mardiyah.
“Tapi mama boleh pergi dengan Diya. Kita ajak Pak Mahmud,” cadang Mardiyah.
Err..Pak Mahmud cuti. Tak mengapalah, kamu berdua pergilah. Tolong mama, mama dah tak larat nak angkat barang- barang. Bolehlah Diya,” pujuk Datin Zarina lagi.
Mardiyah mengeluh. Dia melemparkan pandangan pada laman wajah Ammar yang kelihatan selamba. Lelaki itu tidak membantah seperti kebiasaannya namun Ammar lebih suka mendiamkan diri jika dia ada bersama.
“Encik Am macam mana?” soal Mardiyah takut- takut.
“Ikut sukalah!” balas Ammar malas lalu keluar rumah.
Datin Zarina tersenyum melihat tingkah Ammar. Walaupun masih keras tetapi lelaki itu tetap mengikut kata- katanya. Dia menganggukkan kepala pada Mardiyah yang masih berdiri di sisinya.
Lantas, Mardiyah berlalu mencapai tas tangannya sebelum menyalami tangan Datin Zarina. Cepat-cepat dia berlalu mengikut jejak langkah Ammar. Dia bimbang kalau terlambat, akan dimarahi oleh lelaki itu.
Sewaktu dia sampai di garaj, Ammar sudah pun berada di dalam kereta menunggunya. Mardiyah menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum membuka pintu kereta. Dia menghenyakkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu. Wajah Ammar yang membisu dipandang sekilas.
Ammar berpaling ke tepi apabila menyedari Mardiyah sudah berada di sisinya. Lama dia merenung wajah Mardiyah yang bersih tanpa sebarang solekan yang tebal. Dia memandang penampilan gadis itu yang hanya memakai t-shirt lengan panjang yang disingsing sehingga ke paras siku. Cukup santai dengan tudung bawal yang disilangkan ke bahu. Ammar menggelengkan kepala. Kebiasaannya Mardiyah seorang yang menjaga auratnya hari ini apa dah jadi?
“Kenapa kita tak gerak lagi?” soal Mardiyah lurus. Dia mengerling ke arah Ammar.
Berderau darahnya saat bertembung pandang dengan Ammar yang ralit memandang dirinya dari atas ke bawah. Apa yang tak kena pulak ni? Soal hati Mardiyah.
“Turunkan lengan baju tu. Kau nak tunjuk satu dunia ke yang lengan kau tu putih melepak,” perli Ammar sinis.
Mardiyah tersentak. Dia memandang lengan bajunya yang tersingsing. Hampir dia terlupa untuk menurunkan semula selepas solat Dhuha tadi. Macam manalah aku boleh tak perasan. Detik hatinya. Dengan kelam kabut dia menurunkan lengan baju sehingga ke paras pergelangan tangan.
“Tudung tu nak pakai macam tu je ke? Nak tambah dosa aku yang dah sedia banyak ni ke?” perli Ammar lagi. Dia menjeling.
Hah? Mardiyah kebingungan. Tudung? Lalu dia memandang tudungnya yang disilangkan ke bahu sehingga menampakkan dadanya. Oppsss, tak sengaja. Detik hati Mardiyah lalu menurunkan tudungnya sehingga menutupi dada. Dia mencari kerongsang yang di dalam beg tangan namun tidak jumpa- jumpa.
Ammar mendengus melihat Mardiyah yang kelam kabut. Spontan, dia menarik kedua belah bahu Mardiyah supaya mengadap dirinya. Dia mendekatkan wajah ke wajah Mardiyah. Hujung tudung Mardiyah yang senget dibetulkan sedikit. Kemudian, hujung tudung Mardiyah di sebelah kanan ditarik lalu disilangkan ke sebelah kanan. Manakala hujung tudung di sebelah kiri disilangkan ke sebelah kanan lalu dipinkan menggunakan kerongsang yang berada atas tapak tangan Mardiyah. Rambut Mardiyah yang sedikit terkeluar daripada tudung diselitkan ke dalam tudung.
Mardiyah tergamam dengan perbuatan Ammar. Kedudukan lelaki itu yang begitu dekat mendebarkan hati kecil Mardiyah. Sempat lagi dia merenung wajah Ammar yang dekat. Mak datuk memang hensem gila dia ni. Patutlah Isya cakap dia ni hensem kalahkan Lee Min Ho, memang betul pun, wajahnya putih kemerahan, matanya besar tapi tajam. Dahlah anak matanya coklat hazel. Menawan sungguh. Hidungnya tak payah cakaplah, tercacak elok je sesuai dengan bibirnya yang sensual. Rambut? Hitam keperangan. Perfect! Dah macam anak mat salih aku tengok. Tapi tak, dia ni Melayu sejati. Monolog hati Mardiyah sambil meneliti wajah Ammar yang berada di hadapannya. Berkelip- kelip dia merenung wajah Ammar.
Ammar tersenyum puas apabila melihat penampilan Mardiyah. Ini baru betul muslimah. Bisik hatinya. Serentak Ammar mengangkat pandangan. Berderau darahnya saat anak matanya bertaut dengan anak mata Mardiyah yang bundar. Dia membalas renungan Mardiyah yang berkelip-kelip memandang matanya. Namun, semakin lama dia merenung, semakin kuat debaran di dada lalu Ammar mematikan rasa indah itu dengan berpaling ke hadapan. Dia berdeham kecil bagi meredakan perasaannya yang gelisah.
“Lain kali kalau keluar rumah jangan lupa check pakaian tu jangan sesuka hati bantai keluar je. Ingat selangkah kau keluar tanpa tutup aurat dengan betul, suami kau dan ayah kau yang dapat seksa. Jangan nak tambah saham aku dekat akhirat nanti dengan sikap lalai kau tu,” nasihat Ammar sedikit keras. Dia memulas kunci kereta tanpa sedikit pun memandang wajah Mardiyah.
Mardiyah mengangguk. Dia kelu untuk bersuara tetapi apa yang dikatakan oleh Ammar semuanya betul. Dia khilaf hari ini dan dia berjanji tidak akan mengulangi lagi. Tapi kata- kata Ammar yang terakhir itu mencuit hatinya.
‘Jangan tambah saham aku dekat akhirat nanti dengan sikap lalai kau tu.’
Apa maksud lelaki ini? Dia bercadang untuk jadikan isteri aku sampai ke hujung nyawa ke? soal hati Mardiyah. Apa yang pasti soalan itu tidak ada jawapan.

2 comments:

  1. best sgt....sampai bab3 je ke?ade brp epi semua?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ade 20 bab...1 prolog dan 1 epilog..

      Delete

Note: only a member of this blog may post a comment.